Kain rentang yang dinaikkan oleh Persatuan Tiong Hua Johor Bahru itu digantung di bangunan sembilan tingkat tersebut sejak 28 Januari lalu.
Ia memaparkan tulisan bermaksud ‘Sinaran tahun baru membawa kehidupan kepada jutaan peluang perniagaan, kemajuan dan masa depan yang cemerlang’ dan ‘Kerjasama, perpaduan dan semangat 1Malaysia membina minda bersatu dan membawa kekayaan dan kemajuan kepada negara.’
Presiden persatuan itu, Lim Ik Kim berkata, kain rentang itu dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai kain rentang ucapan tertinggi di negara ini.
‘‘Kain setinggi 30 meter dan lebar 1.5 meter mengandungi 50 patah perkataan dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hoo Seong Chang serta Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi.
Ik Kim berkata, idea untuk menggantung kain rentang itu timbul kerana mahu mencipta kelainan berbanding tradisi biasa masyarakat Cina menulis ucapan Tahun Baru Cina di atas kertas kecil yang ditampal di hadapan pintu.
Menurutnya, tradisi dan seni kaligrafi tulisan Cina yang dinaikkan di bangunan itu juga bertujuan untuk menceria dan menambah kemeriahan sambutan perayaan tersebut.
‘‘Ia juga bagi menggalakkan generasi muda untuk meneruskan seni tulisan kaligrafi itu apabila ia dipaparkan di tempat dan cara yang istimewa, menarik dan tidak sekadar cara lama,” katanya.
Beliau berkata, kain rentang yang disiapkan dalam masa dua minggu oleh sembilan ahli jawatankuasa persatuan itu dinaikkan pada 28 Januari lalu dan dijangka diturunkan pada 16 Mac ini iaitu selepas perayaan Cheng Gei selesai.
Menurutnya, kain rentang itu membawa erti yang besar iaitu harapan masyarakat Cina agar negara terus maju dengan ekonomi berkembang pesat serta rakyat berbilang kaum hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan