Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

'Jalan berdarah' 2010




TAHUN 2010 menyaksikan banyak kemalangan melibatkan bas ekspres yang dikaitkan akibat dipandu laju.

30 Mei - Seorang anggota polis berpangkat koperal antara tiga yang maut apabila kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 14, Lebuh Raya Timur-Barat Gerik-Jeli. 22 Jun - Sebuah bot pancung yang membawa warga Indonesia dari Banting, Selangor ke Dumai karam ketika laut bergelora dan hujan lebat.
13 Ogos - Tiga terbunuh manakala 18 lagi peniaga cedera dalam kejadian ribut taufan di Bazar Ramadan Stadium Jasin.
8 Sept. - Enam maut manakala enam lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 35 Jalan Lahad Datu-Kunak.
11 Sept. - Kebakaran tiga kabel utama di bawah Jambatan Pulau Pinang bermula 10.02 pagi menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas lebih 10 kilometer di kedua-dua arah jambatan itu.
15 Sept. - Empat termasuk tiga beranak rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 394, Lebuh Raya Utara-Selatan.
16 Sept. - Seorang pegawai Bomba dan Penyelamat parah manakala dua lagi anggota cedera ringan selepas helikopter jenis Agusta A109E yang mereka naiki terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Ladang Getah Bukit Lada, Felcra Kuala Kaung dekat Lanchang.
28 Sept. - Wanita warga Australia maut setelah payung terjunnya gagal berfungsi sewaktu menjalani latihan terjunan bebas di Menara Alor Setar, setinggi 165.5 meter.
10 Okt. - Seramai 12 maut, manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila dua bas ekspres, tiga kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat.
18 Okt. - Lebih 200 rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Lembaga Padi di Inanam, Sabah.
19 Okt. - Masalah jerebu di Muar terus berlarutan selama tiga hari berturut-turut dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah pada tahap 122, iaitu dalam kategori tidak sihat.
3 Nov. - Lebih 77,000 daripada lebih 17,000 keluarga di Kedah dan Perlis terlibat dengan banjir yang berlaku pada 1 hingga 14 November lepas manakala bandar Kangar lumpuh.
16 Nov. - Kerajaan pusat memperuntukkan wang ihsan sebanyak RM35 juta kepada lebih 17,000 keluarga mangsa banjir di Kedah dan Perlis.
28 Nov. - Empat sahabat maut manakala dua lagi terselamat apabila kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 110 Lebuh Raya Utara-Selatan Pagoh-Yong Peng.
29 Nov. - Kakitangan bank, Mohd. Helmi Hussin, 37, meninggal dunia dihempap tunggul pokok besar yang patah sewaktu mangsa melalui dengan motosikal. Suasana menjadi sayu apabila isterinya, Hayati Hussin, 43, yang tiba di tempat kejadian sambil menangis, mencium dahi mayat suaminya yang berlumuran darah.
10 Dis. - Hasrat lima beranak untuk menyelamatkan seorang ahli keluarga mereka yang lemas berakhir dengan tragedi apabila kesemua mereka ditemui mati lemas di Pantai Pandak, Chendering.
14 Dis. - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor maut selepas helikopter Robinson 44 yang dipandunya secara solo terhempas dan terbakar di Malim Nawar.
16 Dis. - Empat anggota Jabatan Penjara terbunuh manakala 19 lagi cedera selepas bas yang mereka naiki terhumban ke dalam gaung di Kilometer 30, Jalan Kota Kinabalu-Keningau dekat Kampung Moyog.
20 Dis. - Percutian sekumpulan 35 pelancong warga Thailand ke Cameron Highlands bertukar menjadi tragedi apabila 26 daripada mereka maut di samping dua warga tempatan.
26 Dis. - Bot membawa 29 penumpang dari Pulau Sibu ke Jeti Tanjung Leman terbalik dan karam menyebabkan empat maut dan seorang hilang.

Dua beradik cipta rekod


T. THURGASHREE didukung oleh bapanya, N. Thanabalasingmam, Logassree (kakak) masing-masing memegang sijil Malaysia Book of Records bergambar sama keluarga pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Seorang kanak-kanak yang berumur empat tahun berjaya mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records apabila membuat tekan tubi sebanyak 1,111 kali tanpa henti dalam masa 32 minit 21 saat. T. Thurgashree, 4, yang masih tidak pandai bertutur itu ternyata memukau kira-kira 100 penonton yang hadir menyaksikannya melakukan rekod tersebut untuk kategori kanak-kanak.
Antara yang hadir termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Presiden Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi.
Sementara itu, kakaknya, T. Logassree, 8, pula berjaya mengangkat palang besi seberat 21 kilogram dengan menggunakan dua jari telunjuk selama 10 saat.
Sebelum ini, Logassree pernah mencatatkan namanya dalam Malaysia Book of Records pada 2008 dalam kategori angkatan paling berat oleh kanak-kanak.
Pada majlis itu, Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, beliau sangat teruja dan bangga dengan kebolehan yang ditonjolkan oleh dua beradik itu.
"Latihan yang intensif dan sistematik dalam sukan boleh membuahkan hasil yang dirasakan mustahil pada kaca mata masyarakat.
"Selain itu, ibu bapa juga patut memberi sokongan 100 peratus bagi membantu kanak-kanak untuk mencapai kejayaan luar biasa itu," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan percubaan kedua-dua mereka dalam mencipta rekod Malaysia Book of Records di sini hari ini.
MIC turut menyumbangkan RM1,000 kepada setiap kanak-kanak itu bagi memberi sokongan kepada mereka agar meneruskan usaha mencipta rekod pada masa depan.
Dalam pada itu, bapa kedua-duanya, yang juga merupakan jurulatih angkat berat, M. Thanabalasingam berkata, beliau memastikan kedua-dua anaknya membuat latihan selama empat jam sehari sejak enam bulan lalu.
"Menu makanan mereka juga terpaksa ditukar kerana mereka tidak boleh makan makanan yang pedas atau berminyak, malah saya hanya memberikan makanan Barat sejak latihan dimulakan.
"Kini cita-cita saya hanyalah satu iaitu melakarkan nama anak-anak saya di dalam Guiness World Records," katanya.
Menurutnya, beliau berharap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan membantu bagi menjayakan cita-citanya itu.
Sebelum ini, anak lelakinya iaitu T. Tirilohgan, 12, turut mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records dua tahun lalu apabila mengangkat palang besi seberat 25 kilogram dengan menggunakan dua jari kelingkingnya.

Kelantan turut isytihar cuti peristiwa Ahad ini & pengumuman

KOTA BHARU 30 Dis. - Kerajaan Kelantan turut mengisytiharkan bahawa Ahad ini adalah hari cuti peristiwa sempena meraikan kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, semalam. 

Perisytiharan itu terkandung dalam arahan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Bilangan 4/2010 kepada semua ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, pihak pengurusan badan-badan berkanun/Persekutuan/Negeri dan pihak berkuasa kerajaan tempatan negeri.

Salinan surat itu dikirim kepada Bernama di sini malam ini.
Seluruh Malaysia cuti 31/12/2010 juga tetapi Isnin depan tetap sekolah......

Pencapaian besar bola sepak Malaysia

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya terus bersama-sama menyokong ahli sukan negara dengan rasa bangga.
Perdana Menteri berkata, sokongan itu bukan sahaja pada waktu ahli sukan berkenaan mencapai kemenangan tetapi ketika mereka berhadapan dengan kekecewaan.
"Kita harus terus menyokong ahli sukan negara, baik lelaki mahupun wanita ketika mereka sangat-sangat memerlukan sokongan," katanya dalam entri terbaru bertajuk Syabas Harimau Malaysia dalam blognya www.1malaysia.com.my hari ini.
Beliau mengulas kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam, sekali gus mengakhiri penantian negara selama 14 tahun untuk memenangi piala itu.
Dalam pada itu, Najib menyifatkan tahun ini begitu sukar dilupakan bagi sukan Malaysia berikutan kejayaan yang begitu sukar dicapai dalam permainan bola sepak.
"Kita juga telah menikmati beberapa kejayaan penting dalam bidang sukan pada tahun ini termasuk pencapaian cemerlang dalam Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia di Guangzhou," katanya.
Mengulas kejayaan pasukan bola sepak negara, beliau berkata, semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah dipamerkan dengan penuh kebanggaan oleh semua pihak.
"Ia bukan sahaja dipamerkan oleh para pemain di gelanggang, malah oleh jutaan penyokong yang telah memberikan sorakan semangat untuk pasukan Malaysia menempa kejayaan," katanya.
Menurut Najib, pada 12 hari lalu, beliau turut berkesempatan meluangkan masa duduk bersama-sama rakyat di Jalan Bukit Bintang di sini untuk menonton pasukan Malaysia menentang Vietnam.
"Ketika itu saya yang bukan hanya sebagai Perdana Menteri, tetapi juga seorang peminat sukan tersebut merasakan bahawa kita akan menyaksikan satu pencapaian dan perubahan besar kepada bola sepak Malaysia.
"Ini telah disahkan oleh barisan pemain muda, pasukan bola sepak Malaysia malam tadi, yang kini juara Piala Suzuki.
"Pemain-pemain kita telah mempamerkan bahawa disiplin, kerja berpasukan dan kegigihan merupakan ramuan untuk mencapai kejayaan.
"Jika kita terus berusaha berteraskan semua nilai ini, kita mampu melonjakkan bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berharap rakyat akan bergembira menikmati cuti umum esok.
"Ini untuk meraikan kejayaan kita dan seterusnya menyambut ketibaan tahun baru yang diharapkan akan lebih berjaya," katanya.

Isu beg sekolah berat, adakah masih relevan?

TAHUN baru persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi tentunya disambut dengan pelbagai reaksi. Bagi anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan Tahun 1, tentunya merasa seronok melangkah ke alam persekolahan sebenar, tidak boleh main-main lagi. Jika berada di tadika, adakalanya malas hendak ke sekolah, mungkin ibu bapa masih akan lembut hati melayan kerenah sedemikian. Sekarang, anak-anak akan melangkah ke Tahun 1, ibu bapa perlu lebih serius dan peka dalam memahami kehendak anak-anak dan juga memerhati perubahan tindak tanduk anak-anak.
Isu yang boleh dikatakan sudah lama dan lapuk kembali lagi. Setelah beberapa tahun berlegar di sekitar permasalahan beg berat, adakah isu ini sudah ditangani dengan jayanya? Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pernah menulis dalam sebuah akhbar harian tahun ini yang menyatakan bahawa isu ini belum selesai. Kenapakah isu yang boleh dianggap kecil ini tidak dapat diatasi dengan efektif. Apakah lagi yang boleh dicadangkan untuk menangani masalah ini?
Ketika isu beg sekolah berat ini hebat diperkatakan, banyak cadangan yang telah diajukan kepada pihak-pihak yang berkaitan; ibu bapa, guru, Jabatan Pendidikan dan juga Kementerian Pelajaran. Antara yang pernah dicadangkan adalah pihak sekolah menyediakan lokar bagi memudahkan pelajar menyimpan buku yang tidak perlu dibawa balik dan guru pula dicadangkan merancang proses pengajaran dan pembelajaran dengan menetapkan apa yang hendak diajar agar pelajar hanya perlu membawa buku yang berkenaan sahaja.
Ibu bapa pula disaran agar meneliti jadual waktu anak-anak dan memastikan anak-anak membawa buku yang dijadualkan sahaja. Sesetengah buku teks juga telah dibahagikan kepada beberapa jilid agar tidak terlalu tebal dan berat untuk dibawa ke sekolah. Sekurangnya-kurangnya pihak yang berwajib bersikap responsif kepada permasalahan ini. Namun begitu, tidaklah dapat dipastikan sejauh mana cadangan-cadangan tadi telah direalisasikan oleh pihak sekolah, guru dan ibu bapa.
Kini, selepas beberapa tahun isu beg berat ini menjadi perbahasan pihak-pihak yang terlibat, adakah masalah ini telah diatasi dengan jayanya? Masih adakah rungutan ibu bapa? Jika tiada rungutan, adakah ini bermakna masalah ini sudah lenyap? Atau, masalah ini masih berterusan tetapi didiamkan sahaja kerana tiada kesudahannya? Kadang-kadang masyarakat cenderung menyatakan anak-anak zaman ini terlalu dimanjakan dan isu ini tidak lagi relevan walaupun ada kajian menyatakan kesan bebanan yang berat menyebabkan kanak-kanak mengalami sakit belakang dan simptom-simptom lain yang menjurus kepada akibat terlebih bebanan ini.
Perlu diimbas di sini bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia pernah menjalankan kajian khusus pada 2003 bagi mengenal pasti punca sebenar masalah beg berat ini. Kajian yang dijalankan mendapati berat sebenar keseluruhan buku teks adalah di antara 2.8 kilogram hingga tiga kilogram sahaja bagi sesuatu tahun. Menurut sumber Kementerian Pelajaran juga, berat ini akan jauh berkurangan jika pelajar membawa buku teks mengikut jadual harian. Bebanan lain termasuk buku kerja tambahan, buku rujukan, botol air dan kotak pensil. Perlukah semua buku tambahan, rujukan dibawa ke sekolah setiap hari?
Di sinilah, peranan guru sangat penting dalam menyediakan perancangan pengajaran yang berkesan. Perancangan sangat penting dalam apa juga situasi yang kita hadapi. Begitu juga dalam merancang strategi pengajaran dan pembelajaran. Kita sedia maklum bahawa guru-guru pada umumnya sangat terlatih dan mampu mengurus sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, namun mungkin ada ketika berlakunya kekeliruan tentang apa yang hendak diajar pada hari tersebut berlainan dengan apa yang dinyatakan kepada pelajar.
Sebagai contoh, mata pelajaran Bahasa Inggeris. Adalah tidak mungkin bagi seorang guru untuk mengajar pemahaman dan penulisan dalam peruntukan waktu yang sama. Kita sedia maklum bahawa kebiasaannya guru akan menetapkan hari-hari tertentu untuk mengajar kemahiran tertentu. Jadi, pelajar akan membawa buku yang berkaitan dengan kemahiran yang mahu diajar pada hari tersebut.
Kekeliruan mungkin timbul apabila kita tidak mengikut perancangan. Contohnya, pada hari yang sepatutnya pelajar diajar kemahiran penulisan, mereka sebaliknya diminta mengeluarkan buku pemahaman. Jika pelajar tidak membawa buku tersebut, pelajar akan dimarahi.
Bagi sesetengah guru yang terlebih emosi, kemarahan akan disertai dengan kata-kata yang agak tidak sesuai untuk dilontarkan kepada pelajar. Bagi pelajar yang baru menginjak ke alam persekolahan sebenar di mana persekitarannya agak berbeza dari persekitaran pra-sekolah, pengalaman dimarahi guru sangat menakutkan. Di situlah bermulanya budaya angkut semua buku sekolah agar tidak tersilap lagi dan tidak dimarahi lagi.

Sikap tamak jejas pelancongan negara


INSIDEN bot karam yang membawa penumpang berlebihan berlaku lagi. Kali ini ia melibatkan sebuah bot nelayan yang sepatutnya hanya membawa 12 penumpang. Tetapi disebabkan sikap tamak pengendali bot terbabit, bot itu memuatkan 29 penumpang ketika kejadian. Akibatnya, empat maut dan seorang masih hilang di Laut China Selatan.
Nahas feri yang berlaku kira-kira 300 meter dari jeti Tanjung Leman, dekat Mersing, Johor itu mengingatkan kita kembali kepada tragedi membabitkan feri Express Seagull 2 yang terbakar dan karam sehingga meragut tujuh nyawa kira-kira lapan kilometer dari jeti Kampung Genting di Pulau Tioman pada 11 Oktober 2007.
Nahas kali ini juga sekali lagi mengingatkan kita bahawa apabila undang-undang dan peraturan tidak dipatuhi, maka akan berlakulah musibah yang memudaratkan termasuk meragut banyak nyawa yang tidak berdosa.
Bot nelayan yang hanya mempunyai enam jaket keselamatan dilaporkan membawa penumpang lebih sekali ganda daripada sepatutnya.
Pemandunya pula merupakan seorang warga emas yang tidak memiliki lesen memandu bot dan ketika kejadian, tiada seorang pun penumpang yang kebanyakannya warga Singapura diarahkan atau dinasihatkan memakai jaket keselamatan.
Dalam tragedi feri Seagull tiga tahun lalu, seramai 103 penumpang dan tiga krew feri terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri tanpa jaket keselamatan yang mencukupi.
Hasil siasatan pihak berkaitan mendapati, feri itu beroperasi secara haram kerana sijil penumpangnya tamat pada 2 Disember 2006. Malah, sebelum kejadian, syarikat pengangkutan tersebut pernah disaman kerana membawa penumpang berlebihan.
Selain itu, siasatan turut mendapati, senarai nama penumpang tidak diserahkan kepada Jabatan Laut pada hari kejadian.
Berikutan tragedi feri Seagull itu, antara tindakan yang diambil adalah dua pegawai Jabatan Laut di Mersing telah digantung tugas bagi membantu siasatan.
Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Chan Kong Choy mengarahkan siasatan untuk memastikan sama ada wujud kecuaian di kedua-dua pihak dilakukan manakala Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari ditugaskan menjalankan siasatan lanjut terhadap sistem pengangkutan feri penumpang di seluruh Malaysia.
Tragedi itu berlaku tiga tahun lalu, dan bagaimana pula dengan kes yang terjadi kelmarin. Polis dikatakan telah menahan tekong bot serta pemilik kelong terbabit bagi membantu siasatan.
Tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang terlibat dan wajar sekiranya jika didapati bersalah, mereka ini dikenakan hukuman yang setimpal.
Tidak perlu bagi kerajaan bertolak ansur dalam soal ini. Ia berlaku tidak sampai seminggu selepas nahas bas persiaran yang membawa 35 pelancong warga Thailand terbalik di Simpang Pulai, Perak.
Secara kebetulan, dua tragedi yang berlaku pada penutup kalendar tahun 2010 ini melibatkan pelancong warga jiran kita.
Imej Malaysia khususnya destinasi-destinasi pelancongan negara mungkin terjejas jika kerajaan tidak bertindak tegas memastikan sistem pengangkutan awam, sama ada di darat atau laut lemah penguatkuasaannya.
Berbalik kepada tragedi bot karam di Tanjung Leman, jika tiga tahun lalu, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan timbalan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua feri pelancongan diperiksa tahap keselamatan selain memastikan siasatan rapi dibuat untuk mengenal pasti punca nahas itu.
Kini, sudah tiga berlalu, bukan punca siasatan yang kita dapat, sebaliknya nahas terbaru pula berlaku. Dan seperti biasa, selepas ini, pelbagai pihak akan memberi komen yang serupa dan ia pasti akan berulang lagi, jika tiada tindakan tegas diambil.

Keputusan PMR 2010 terbaik dalam empat tahun – KP

PUTRAJAYA 23 Dis. – Seramai 30,863 pelajar telah mencapai A dalam semua mata pelajaran yang diduduki dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, keputusan PMR tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun.
“Bilangan pelajar yang mencapai A dalam semua subjek meningkat sebanyak 2,675 orang berbanding tahun lalu.
“Bilangan yang mendapat semua E telah menurun daripada 397 orang pada 2009 kepada 386 orang pada tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Haramkan bas dua tingkat di jalan berbukit

HANYA ungkapan dahsyat, ngeri dan menyayat hati sahaja dapat menggambarkan kemalangan bas persiaran yang membawa pelancong dari Thailand Ahad lalu.
Ia juga turut direkodkan sebagai kemalangan terburuk dalam lipatan sejarah negara.
Berdasarkan laporan siasatan awal pihak polis, bas ini kemungkinan terbabas ke arah laluan bertentangan dengan melayang melepasi penghadang jalan raya lalu berpusing dan merempuh tebing bukit. Ini semua berdasar keadaan bas yang terlalu teruk keadaannya.
Pelbagai andaian juga dibuat untuk mencari punca penyebab kemalangan tersebut seperti kelajuan bas dan kerosakan mekanikal bas. Antaranya:
* Ahli Parlimen Cameron Highlands menyatakan kemungkinan berlaku kegiatan jahat pihak tertentu yang mencurahkan minyak pelincir di atas jalan tersebut seperti yang pernah beliau alami.
* Reka bentuk bas harus diambil perhatian. Reka bentuk bas tersebut yang mempunyai ketinggian yang hampir menyamai rumah dua tingkat dilihat kurang memberi kestabilan akibat tahap gravitinya yang rendah.
* Keadaan jalan di negara ini yang banyak kawasan berbukit-bukau, keadaan cuaca yang kerap hujan dan ditambah lagi dengan tiupan angin lintang, bas sebegini memang tidak sesuai dan kurang selamat untuk beroperasi di kawasan tertentu seperti laluan Cameron Highlands, Genting Highlands.
* Kelemahan reka bentuk juga dapat dikesan apabila berlaku kemalangan melibatkan syarikat Sani Ekspres yang turut menelan korban yang tinggi.
Padahal ketika kemalangan, bas tersebut dipandu pada kelajuan yang ditetapkan. Namun akibat reka bentuknya dengan kedudukan penumpang di tingkat bawah yang separas dengan penghadang lebuh raya, maka kesemua korban melibatkan penumpang di tingkat bawah bas tersebut.
Diburukkan lagi keadaan dengan kelemahan reka bentuk dan kualiti penghadang lebuh raya dan jalan raya yang melibatkan kedua-dua kemalangan.
* Penyelesaian dan langkah yang perlu diambil oleh pihak berwajib adalah dengan membekukan lesen bas dua tingkat. Bas dua tingkat yang sedia ada hanya dibenarkan beroperasi di kawasan yang selamat dan sesuai dengan reka bentuknya.
Tidak mustahil akan berlaku kemalangan yang lebih dasyat pada masa hadapan daripada kemalangan ini jika pihak berkuasa terlibat terus leka dan alpa.

Bertindak

Kadar kemalangan jalanraya yang melibatkan bas nampaknya semakin menjadi jadi di kalangan rakyat Malaysia. Insiden terkini yang membabitkan kemalangan ngeri di KM15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada pukul 11.40 pagi Isnin lalu dianggap paling tragis. Ia meragut 27 nyawa membabitkan 25 rakyat Thailand dan dua rakyat Malaysia.

Apa yang dikesalkan, bagaikan tiada satu usaha drastik diambil oleh pihak berwajib sebagai langkah jangka panjang. Kini bukan lagi soal kempen sana sini, letakkan pemidang. Semua langkah ini bagaikan mencurah air di daun keladi.
Sekarang sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil langkah tegas bagi membendung kemalangan melibatkan bas, termasuk bas pelancongan, khususnya yang dalam perjalanan di kawasan pelancongan bukit tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands, juga tempat-tempat lain.
Antara langkah yang boleh diambil ialah:
* Melarang bas dua tingkat digunakan untuk laluan bercerun seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands atau tempat lain. Ini kerana kenderaan sukar dikawal dan hilang kuasa garaviti serta imbangan bas, terutama sewaktu laluan menuruni bukit. Minta kerjasama pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meluluskan sesuatu permit perjalanan dan jangan berkompromi dalam soal keselamatan.
* Membuat garisan kuning dalam jarak yang panjang. Dengan adanya garisan kuning ini akan memberi amaran kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan, khususnya ketika melalui kawasan bercerun.
* Garisan putih kebanyakannya sudah pudar. Ini menyebabkan pandangan tidak jelas dan kabur ketika permanduan, apatah lagi pada waktu malam dan ketika hujan. Garisan pudar perlu segera dicat semula.
* Banyakkan papan tanda bersesuaian dipasang di sepanjang jalan ketika menuruni bukit. Pemasangan papan tanda eletronik dianggap paling berkesan kerana ia dapat dilihat dari jauh.
* Pemandu mesti ada rekod perjalanan terakhir mereka sebagai bukti mereka mempunyai rehat yang cukup. Pihak syarikat mesti dikenakan denda maksimum jika masih enggan mematuhi arahan pihak berwajib selain diwajibkan pemandu kedua.
* Selain faktor manusia dan kenderaan, faktor bentuk dan keadaan jalan juga wajar diteliti. Jalan rosak yang tidak dibaiki dalam jangka masa sepatutnya juga menyumbang kepada kemalangan negeri. Sesetengahnya tidak dipasang dengan papan tanda yang lengkap.
* Mengenakan denda maksimum kepada kenderaan berat seperti lori pengangkutan berat meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan. Sudah berapa banyak kemalangan yang melibatkan rempuhan daripada belakang berlaku dengan kematian, namun tiada usaha positif diambil. Kenderaan berat tetap banyak tersadai di tepi jalan.

Kaji semula penggunaan bas dua tingkat di kawasan berbukit

NAHAS ngeri melibatkan bas berlaku lagi, kali ini ia menyaksikan sebuah bas persiaran dua tingkat yang membawa pelancong dari Thailand terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai.
Akibatnya 27 orang terbunuh termasuk dua warga tempatan. Ini merupakan tragedi nahas bas terburuk dalam sejarah negara.
Seperti biasa apabila kemalangan berlaku maka satu demi satu hujah mula dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuklah laporan bahawa bas atau pemandunya mempunyai saman.
Namun begitu dalam kes terbaru ini, kita tidak mahu menuding jari kepada sesiapa sehinggalah siasatan selesai. Tetapi apa yang ingin diperkatakan di sini kemungkinan mengharamkan bas dua tingkat di laluan sukar termasuk di kawasan berbukit dan bercerun.
Mengikut pengalaman beberapa penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat ini mereka melahirkan rasa bimbang setiap kali kenderaan tersebut melalui kawasan berkenaan.
Oleh itu adalah perlu pihak berkuasa mengkaji secara mendalam pandangan berhubung perkara tersebut kerana ia bukanlah sesuatu yang mustahil hendak dilakukan.
Kajian perlu dilakukan dengan teliti. Bas dua tingkat seharusnya hanya dibenarkan beroperasi di kawasan jalan tidak berbukit atau tidak bercerun sahaja.
Kita tidak mahu tragedi bas dua tingkat berulang lagi. Cukuplah sekali nahas paling buruk di Simpang Pulai dan sebelum ini beberapa kali melibatkan nyawa penumpang melayang atau cedera.
Janganlah pula kita hendak menanti apabila berlaku lagi sekali tragedi buruk barulah mahu bertindak itu dan ini.
Sebab itulah tindakan dalam hal ini perlu dilakukan segera dan tidak harus ditangguh-tangguhkan lagi.
Kita sebenarnya sudah bosan dengan sikap sudah terhantuk baru terngadah. Sekarang adalah masa untuk bertindak dan bukan hanya bertindak apabila sudah berlaku.
Orang ramai sememangnya muak apabila mendengar kenyataan yang berunsur retorik apabila kemalangan berlaku.
Ia termasuklah bas yang terlibat dalam sesuatu kemalangan itu sebenarnya bermasalah sama ada bas itu sendiri mahupun pemandunya.
Tetapi acap kali juga teguran dan pendedahan yang dibuat dibiarkan begitu sahaja, kesudahannya masih terdapat lagi bas ekspres atau bas persiaran yang bermasalah dibiarkan bermaharajalela di jalan raya.
Dalam soal ini, ketegasan pihak berkuasa amat-amat diperlukan. Jangan hanya bijak membuat kenyataan dan berhujah tetapi 'kosong' dari segi tindakan.
Kita perlu faham bahawa terdapat ratusan ribu rakyat negara ini menggunakan bas ekspres atau bas persiaran setiap hari. Nyawa mereka tidak boleh dipertaruhkan dengan menaiki bas yang bermasalah.
Kenapa susah sangat untuk pihak berkuasa bertindak termasuklah mengadakan operasi besar-besaran bagi mengesan bas bermasalah termasuklah pemandunya.
Dalam operasi berkenaan mana-mana bas yang bermasalah perlu digantung perkhidmatannya manakala syarikat terlibat perlu dikenakan dengan denda yang tinggi.
Begitu juga pemandu bas yang mempunyai saman. Jika dalam kes saman ekor pihak berkuasa sanggup mengejar pemandu kenderaan sehingga ke lubang cacing maka tindakan yang sama perlu dikenakan ke atas pemandu-pemandu bas.
Ia kerana pemandu bas lebih bahaya kerana setiap hari mereka membawa ribuan nyawa di jalan raya mahupun lebuh raya.
Apa pun pada masa ini tumpuan utama perlu diberikan kepada pembanterasan kepada bas bermasalah dan mengkaji semula penggunaan bas dua tingkat di kawasan bercerun serta berbukit.
Mungkin ada antara kita berhujah bahawa sebaik mana pun tindakan manusia, ia tidak boleh melawan kehendak takdir. Tetapi acap kali kemalangan melibatkan bas ini adalah kerana kesilapan manusia itu sendiri termasuklah sikap tidak tegas pihak berkuasa.

Pelajar luar bandar perlu berusaha

PUTRAJAYA 29 Nov. - Para pelajar di luar bandar dinasihatkan supaya tidak menjadikan faktor ketidakmampuan sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita mereka.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pelajar berkenaan sebaliknya perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan ilmu pengetahuan untuk mengubah corak hidup mereka.
"Saya mempunyai kepercayaan penuh bahawa hanya pendidikan boleh mengubah kehidupan kita semua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama 20 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, di sini hari ini.
Mereka merupakan peserta program lawatan ke Semenanjung yang dianjurkan oleh MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), anak syarikat Malaysian Airline System Bhd.
Program lawatan tiga hari itu membolehkan pelajar cemerlang terbabit melawat pusat pembaikan kapal terbang serta tempat menarik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berpidato asah keyakinan diri



Kebolehan berpidato tidak datang dengan sendiri sebaliknya perlu dipupuk dengan latihan yang betul.......

ADA ketika para aktivis bahasa melaung-laungkan tentang kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ada juga segelintir rakyat negara ini yang masih kurang mahir menguasai bahasa tersebut.
Dan apabila ditanya pada pakar-pakar bahasa tentang cara terbaik untuk memantapkan komunikasi dalam sesuatu bahasa, jawapan mereka ialah dengan latihan percakapan yang kerap.
Jadi tidak lain tidak bukan apabila lidah membiasakan bertutur dalam bahasa baru maka kita akan lebih cepat menguasai bahasa tersebut.
Salah satu cara yang boleh digunakan ialah melalui amalan pengucapan awam (public speaking) dan berpidato.
Itu juga yang berjaya dibuktikan di Kelab Pidato Perdana (KPP), apabila menyaksikan individu yang dulunya tidak mempunyai keyakinan berbicara dalam bahasa Melayu di khalayak, berubah menjadi pemidato hebat persis seorang Yang Berhormat (YB) di Dewan Rakyat.
Kelab yang kini diterajui oleh, Azmi Shahrin, selaku presiden, sebenarnya sudah memasuki tahun ke enam penubuhannya iaitu sejak Mac 2004 lalu.
Manakala sejak April 2009, KPP dikendalikan oleh Litar Pidato Pertama (Litar P1) yang didaftarkan sebagai sebuah organisasi perniagaan.
“Tujuan dan matlamat kelab secara umum ialah untuk memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa sama membantu rakyat Malaysia terutamanya ahli-ahli kelab mempertingkatkan kemahiran bertutur dan berpidato.
“Kami percaya bahawa bahasa Melayu mampu menyatukan rakyat dan membawa kita meniti kejayaan di alaf baru.
“Kami berpegang bahawa bahasa Melayu, seperti juga bahasa-bahasa lain, mempunyai nilai kesenian yang begitu tinggi sehingga ia patut dipertahankan daripada ditelan arus kemodenan dan globalisasi.
“Kami yakin bahasa Melayu boleh diperkasa sehingga ia menjadi bahasa pilihan segenap rakyat Malaysia,” jelas Azmi ketika ditemui di majlis perjumpaan KPP di Menara TM, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Azmi lagi, KPP ialah kelab untuk semua rakyat Malaysia yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain yang memiliki taraf penguasaan bahasa Melayu yang berbeza.
“Kelab ini amat sesuai untuk mereka yang biasa berbahasa Melayu dan ingin mempelajari kaedah penyampaian ucapan yang lebih berkesan.
“Kelab Pidato Perdana ini juga sesuai untuk mereka yang kurang fasih dalam bahasa Melayu dan ingin memperbaiki pertuturan dalam bahasa tersebut,” ujarnya yang sebelum ini hanya fasih berpidato dalam bahasa Inggeris.
Kata Azmi lagi, sesiapa yang memiliki asas dalam bahasa Melayu boleh mendapat manfaat daripada kelab ini.
Keahlian terbuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan ahli-ahlinya kini terdiri daripada golongan profesional dan pelajar universiti.
Kegiatan kelab yang unik

Sementara itu, pengelola KPP, Sandy Tan berkata, kelab tersebut mengadakan perjumpaan dua kali sebulan dan menganjurkan kegiatan-kegiatan yang selaras dengan tujuan dan matlamat KPP.
“Dalam setiap perjumpaan, ahli-ahli diberi kesempatan untuk berpidato di hadapan khalayak (ahli-ahli lain),” katanya.
Kegiatan-kegiatan yang dianjurkan terbahagi kepada beberapa jenis antaranya latihan kaedah berpidato dengan betul.
Tumpuan khas diberikan kepada sesuatu kemahiran atau perkara misalnya gerakan tangan, tatapan mata, mimik muka, kepelbagaian suara dan sebagainya.
“Jurulatih pidato yang bertugas akan memberi penerangan ringkas dan membantu para pemidato untuk memperbaiki cara penyampaian.
“Pada masa sama jurulatih mungkin akan meminta khidmat ahli-ahli lain untuk memberi penilaian.
“Ahli-ahli juga diberi buku panduan asas iaitu, Kemahiran Asasi Berpidato, Hak Asasi Anda untuk mencatatkan dan mengikuti kemajuan masing-masing dalam mempelajari kaedah-kaedah berpidato,” ujar Sandy yang juga salah seorang pengasas kelab ini.

Keputusan PMR diumum 23 Disember

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 akan diumumkan pada 23 Disember ini.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu analisis keputusan PMR akan diumumkan pada hari itu di pejabat kementerian di Putrajaya.
Keputusan akan dikeluarkan di sekolah masing-masing pada hari yang sama mulai pukul 10 pagi manakala calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
Sejumlah 479,675 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 446,896 orang calon adalah daripada sekolah kerajaan. - BERNAMA.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket