Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Borang bantuan khas diedar secara percuma mulai 1 Dis

IPOH 19 Nov. – Borang program bantuan khas kerajaan RM500 kepada rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2012 akan mula diedarkan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada umum secara percuma pada 1 Disember ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan menggunakan mekanisme itu bagi memastikan setiap isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan berhak menerima bantuan berkenaan.
"Dijangka 3.4 juta individu akan mendaftar melibatkan nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM2.6 bilion...untuk itu seramai 2,000 sukarelawan LHDN akan digerakkan ke seluruh negara bagi memudahkan proses pendaftaran,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan masjid dan penyampaian hadiah Tadika Firdaus, Rancangan Perumahan Tersusun Batu 4 di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian berkenaan juga menyediakan bilik gerakan sepanjang proses pendaftaran dan pengagihan wang berkenaan yang dijangka bermula Januari depan.
Katanya pendaftaran akan dibuat melalui LHDN, pejabat daerah atau agensi kerajaan terlibat serta kerajaan akan mengumumkan penerima yang layak melalui media massa.
Ahmad Husni berkata proses pendaftaran adalah sangat penting dan LHDN juga akan buka bilik gerakan dan kesemua sukarelawan akan membantu sepanjang proses pendaftaran termasuk di kawasan pedalaman.
Oleh yang demikian pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan sentiasa berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengedar borang permohonan palsu.
"Kita tidak mahu ada golongan tertentu yang cuba mengelirukan bakal penerima insentif ini dengan mengedarkan borang palsu bagi mengaut keuntungan,” katanya.
Beliau berkata proses pendaftaran haruslah melalui saluran yang betul dan tidak melalui orang tengah.
"Kita akan menghantar pasukan sukarelawan ini ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk proses pendaftaran,” katanya.

pengumuman ke ukm permata pintar

Assalamualaikum wbt......Sepanjang 3 minggu, dari 20 november hingga 13 disember saya akan ke ukm permata pintar sekali lagi untuk kem perkhemahan cuti sekolah & inilah saat-saat pemilihan ke sekolah permata pintar. Doakan saya semoga berjaya. Jika saya ada kesempatan, insya-Allah saya akan post blog. Jangan lupa juga datang ke klcc,kuala lumpur kerana ada karnival ekspo permata pintar 10-12 disember ini terutama kepada rakyat negeri selangor kerana cuti ahad hari sultan jatuh hari isnin sebagai hari ganti cuti peristiwa.

Saya ucapkan salam maal hijrah pada 27 november kepada seluruh umat islam di dunia.
Buat transformasi terhadap diri anda.

UPSR terbaik tempoh 4 tahun

PUTRAJAYA 17 Nov. - Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada 485,160 pelajar yang menduduki peperiksaan, seramai 46,012 calon mencatat keputusan cemerlang mendapat semua A.
Menurutnya, jumlah tersebut mencatat penurunan berbanding tahun lepas iaitu 48,327 calon.
Kata beliau, peratusan calon yang mendapat pencapaian baik iaitu minimum gred C (tidak termasuk semua A) bagi semua mata pelajaran yang telah diduduki meningkat daripada 54.38 peratus pada tahun 2010 kepada 55.4 peratus tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 1.07 peratus.
"Namun, pencapaian calon cemerlang semua A telah menurun sedikit (0.54 peratus) iaitu daripada 10.02 peratus pada tahun lalu kepada 9.48 peratus tahun ini.
"Peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan sebanyak 0.51 peratus iaitu daripada 3.39 peratus kepada 2.88 peratus tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Abd. Ghafar, sejumlah 497,691 murid mendaftar sebagai calon UPSR yang merangkumi 489,101 (98.3 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran dan 8,590 (1.7 peratus) calon sekolah swasta.
Kata beliau, pencapaian calon cemerlang bandar dan luar bandar pada tahun ini masing-masing mengalami penurunan sebanyak 0.37 peratus dan 0.72 peratus.
Bagaimanapun, peratusan calon yang mendapat pencapaian baik di bandar dan luar bandar, masing-masing meningkat sebanyak 0.49 peratus dan 1.70 peratus.
Ini bermakna, katanya, peningkatan pencapaian baik bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu 1.21 peratus.
Abd. Ghafar berkata, pada tahun ini, peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum telah berjaya dikurangkan terutamanya di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.68 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.38 peratus.
"Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon di luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar.
"Peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan dapat juga dilihat melalui nilai GPN yang mengurang iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.02 bagi luar bandar. Jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar dirapatkan sebanyak 0.01," katanya.
Bagi pencapaian calon berkeperluan khas pada tahun ini, seramai 59 orang dengan calon yang mendapat pencapaian cemerlang meningkat sebanyak 0.34 peratus iaitu pertambahan seramai lima orang.
Sejumlah 17 calon yang mendapat pencapaian cemerlang terdiri daripada enam calon rabun, seorang pekak, seorang spastik dan sembilan lagi lain-lain kecacatan.

Laskar Garuda tersungkur



PENJAGA gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat menangkap kemas bola hantaran lawan pada perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam. Malaysia mara ke separuh akhir selepas menewaskan tuan rumah 1-0.


JAKARTA – Malaysia melenyapkan ego Indonesia selepas mencatat kemenangan 1-0 untuk melangkah ke separuh akhir bola sepak selaku juara Kumpulan A.
Untuk babak seterusnya, Malaysia yang diwakili skuad Harimau Muda akan berdepan naib juara Kumpulan B, Myanmar pada 19 November ini.
Bertambah manis, kemenangan itu juga kali pertama dalam tempoh lapan tahun buat skuad negara di Stadium Gelora Bung Karno di samping mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.
Biarpun laungan Maling! Maling! (pencuri) mengiringi persembahan Malaysia pada awal perlawanan, anak-anak buah Ong Kim Swee tenang mengawal permainan sebelum Syahrul Azwari muncul wira negara apabila menjadi penjaring gol tunggal negara.
Berpunca daripada hantaran tinggi Mahalli Jasuli pada minit ke-17, Syahrul berjaya melepasi kawalan bek tuan rumah sebelum tenang melepaskan rembatan leret melepasi jangkauan penjaga gol Indonesia, Andritany Ardhiyasa.
Malaysia sebenarnya berpeluang menambah gol kedua beberapa minit kemudian melalui tandukan bek kiri, Asraruddin Putra Omar berpunca daripada situasi sepakan penjuru, namun palang menjadi penyelamat Indonesia.
Walaupun terpaksa bermain tanpa arahan Kim Swee yang diarah keluar padang pada 20 minit terakhir perlawanan, ia tidak mematahkan semangat juang pemain negara yang bertahan bermatian-matian.
Sementara itu, rasa sakit hati rakyat Malaysia akibat provokasi buruk yang dilakukan penyokong Indonesia sepanjang Sukan SEA XXVI, sedikit terubat semalam, berterima kasih kepada adik Aaliyah Yoong Hanifah yang mencipta nama sebagai juara termuda dalam sejarah Sukan SEA pada usia 8 tahun dengan meraih emas ski air tricks wanita.
Hampir di semua venue, baik di Palembang atau Jakarta, penonton melaungkan perkataan ‘maling’ yang membawa maksud pencuri, malah insiden keji berlaku di kolam renang apabila jalur pada Jalur Gemilang dikurangkan pada upacara menaikkan bendera acara terjun kelmarin. Lagu Negaraku pula diejek oleh hampir 90,000 penonton di Gelora Bung Karno sebelum aksi bola sepak semalam.
Pelbagai serangan psikologi yang dilancarkan penyokong tuan rumah ke atas atlet, jurulatih, pegawai, penyokong, malah wartawan Malaysia langsung tidak memberi kesan.
Keseronokan juara remaja Asia, Aaliah yang juga adik kepada bekas pemandu Formula Satu, Alex Yoong itu memberikan emas selepas mencatat 2,960 mata, mengatasi Promsunitsit Sareeya dari Thailand. Kakaknya, Philippa Yoong meraih gangsa dengan 1,860 mata.
Bukan Aaliyah saja membanggakan bapa mereka, Hanifah Yoong Abdullah, malah Phillipa turut mengharumkan nama keluarga dengan merangkul emas slalom wanita, manakala Alex meraih sebutir perak.
Keseluruhannya, sembilan emas, 10 perak dan 11 gangsa dikutip Malaysia pada hari ketujuh. Renang menambah sebutir emas menerusi Christina Koh dalam 50 meter kuak dada wanita, namun kejutan hadir menerusi atlet yang kurang diberi perhatian, Heidi Gan apabila menjuarai saingan renang perairan terbuka.
Silat yang menjadi mangsa pengadilan buruk wasit sejak hari pertama pertandingan, akhirnya mengutip tiga emas manakala memanah dan boling menokok satu emas.
Seperti geram dengan layanan buruk yang diterima rakan-rakannya, Ahmad Shahril Zailudin melepaskan perasaan menerusi persembahan hebat membenam peserta tuan rumah, Sapto Purnomo 5-0 dalam kelas Putera D 60-65kg. Emas kedua silat hadir daripada Mohd. Al Jufferi Jamari (Putera E 65-70kg), manakala Mohd. Fauzi Khalid melengkapkan emas ketiga dalam Putera F 70-75kg.
Di Anchol Jaya, Jakarta, boling menepati sasaran tiga emas yang ditetapkan apabila menambah sebutir lagi menerusi trio lelaki. Malah, pasukan negara menguasai kedudukan 1-2 apabila kombinasi Adrian Ang, Alex Liew dan Zulmazran Zulkifli mengalahkan rakan sepasukan, Aaron Kong, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malik dan Muhd. Nur Aiman Khairuddin.
Memanah juga meneruskan dominasi recurve lelaki. Selepas merangkul emas dan perak individu kelmarin, Malaysia mempertahankan emas berpasukan pula menerusi juara individu, Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamed dan Haziq Kamaruddin.
Ketika Sukan SEA berbaki lima hari lagi, Malaysia sudah mengumpul 37 emas, 35 perak dan 55 gangsa, sekali gus memintas Singapura untuk menghuni tangga keempat keseluruhan. Kita hanya mencari tiga lagi emas bagi melengkapkan sasaran awal 40 emas tetapi Majlis Sukan Negara (MSN).

Siapa layak dipilih jadi pemimpin?

SUDAH beberapa kali jangkaan tarikh pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 menjadi teka-teki dan pada tarikh 11 November lalu ramai yang membuat perhitungan, Perdana Menteri yang baru pulang dari mengerjakan haji akan membuat pengumuman atas andaian mendapat petunjuk sudah tiba masanya.
Bagaimanapun, dalam teka-teki tersebut, banyak juga lontaran pendapat mengenai bakal calon yang akan dipilih. Dari sudut pandangan Perdana Menteri, calon yang boleh menjamin kemenangan itulah yang akan diberikan peluang, kerana dalam politik perjuangan, kepentingan pertubuhan yang diwakili itu adalah lebih penting daripada kemenangan peribadi.
Dalam situasi sedemikianlah maka ada di antara kita mula memikirkan, bagaimana untuk menentukan wajah sebenar pemimpin yang kita impikan.
Adakah kita memerlukan seorang pemimpin yang memimpin dengan berkesan atau seseorang yang hanya kelihatan warak?
Watak-watak seperti itu memang sentiasa hadir dalam politik Malaysia. Ada mereka yang warak, tetapi tidak boleh memimpin dengan berkesan dan jahil dengan selok-belok pengurusan.
Jawapan yang pasti ialah kita memerlukan seseorang pemimpin yang dapat memenuhi dua sifat tersebut, iaitu warak dan mahir dengan soal-soal pengurusan.
Pengutamaan sepatutnya diberikan kepada mereka yang mempunyai dua kelebihan ini dan bila tidak dapat kedua-duanya maka yang mempunyai kemampuan mengurus itulah yang patut didahulukan sebagaimana urutan yang disebutkan di dalam al-Quran itu, Surah al-Qasas ayat 26.
Mereka yang warak adakalanya tidak mampu memimpin dengan baik kerana melihat dirinya dalam konteks kesempurnaan peribadi. Orang seperti inilah yang telah menimbulkan banyak kekalutan dalam masyarakat.
Sifat waraknya telah menyebabkan dirinya dinilai yang terbaik, tidak ada cacat dan cela. Cara itu akhirnya menjerumuskan pemimpin yang warak itu dalam bingkai pemujaan peribadi yang melampau.
Rakyat terus teruja dan memuja pemimpin itu sehingga melihat kesalahan yang dilakukan tidak mendatangkan musibah. Penderitaan dan kesusahan rakyat bukan salah pemimpin, ia adalah takdir yang telah ditentukan.
Kemiskinan rakyat bukan kerana kegagalan pemimpin untuk menyediakan ruang dan peluang, tetapi ia adalah hakikat yang mesti diterima tanpa banyak soal.
Pemimpin yang warak tidak dinilai telah gagal sedangkan rakyat meletakkan harapan yang besar agar nasib mereka dapat diperbaiki. Seorang pemimpin yang warak sentiasa menggugah emosi, mendorong pengikutnya agar lebih banyak bersabar dan memikirkan bahawa kehidupan sebenarnya bukanlah untuk mencipta kemewahan dan kesempurnaan di dunia.
Dunia hanyalah pinjaman dan segala apa yang dimiliki tidak akan menjamin kebahagiaan di akhirat. Itulah putaran ganas politik yang dimainkan oleh pemimpin yang sentiasa menampilkan dirinya sebagai orang yang warak.
Atas kegagalan pemimpin yang warak menguruskan segala sumber dengan berkesan, setiap kali dibangkitkan kelemahan-kelemahan itu akan diserang pula bersama kesimpulan, orang yang sentiasa mendorong kepada perubahan telah mengetepikan agama.
Apabila orang mempersoalkan apakah telah dilakukan sepanjang tempoh menjadi pemimpin, jawabnya juga mudah, semakin ramai rakyat memahami Islam?
Benarkah pemimpin yang warak itu berupaya meningkatkan kefahaman mengenai Islam kepada pengikutnya? Jika benar, maka secara jelas kita tidak akan mempunyai perangkaan gejala sosial yang sentiasa meningkat setiap tahun.
Tentunya juga petunjuk buang bayi, penagihan dadah, pecah rumah, maksiat dan penghidap HIV/AIDS tidak membimbangkan. Tentunya juga perpecahan dalam masyarakat tidak melebarkan sengketa dan pemencilan silaturrahim.
Al-Quran memberikan peringatan agar membuat keputusan secara bijaksana untuk memilih pemimpin. Bahkan, ketika ditanya mengenai dua orang calon pemimpin, Imam Ahmad Ibnu Hanbal menjelaskan, tidak mudah untuk mencari seorang pemimpin yang dapat memenuhi kedua-duanya.
Pemimpin pertama menunjukkan kekuatan fizikal tetapi banyak berbuat dosa. Pemimpin kedua, warak tetapi lemah dalam kepimpinan.
Jawab Imam Ahmad Ibnu Hanbal, "Orang pertama, dosanya dipikul sendiri sedangkan kekuatannya mendukung kepentingan ummah; dan orang kedua kewarakannya adalah untuk diri sendiri sedangkan kelemahannya membawa petaka kepada orang yang dipimpinnya." Maka yang sepatutnya kita pilih ialah orang pertama kerana sentiasa mencari jalan untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.
Dalam memilih pemimpin, Nabi Muhammad SAW bersabda: Siapa yang mengangkat seseorang untuk satu jabatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih tepat, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum Muslim. Maknanya, seseorang yang kelihatan warak itu belum tentu boleh mengurus dengan berkesan dan ini telah dibuktikan.
Ada pemimpin yang hanya bercakap mengenai dosa dan pahala bila mendekati pengikutnya, tetapi dalam masa yang sama memaki-hamun orang yang tidak sehaluan dengan pandangan dan keputusannya.
Pemimpin sedemikian sebenarnya telah lupa bahawa menjadi pemimpin adalah tanggungjawab. Prinsip tanggungjawab ini meliputi membantu menyelesaikan masalah rakyat dan meletakkan kekudusan niat mencari keredhaan Allah SWT.
Pemimpin tersebut tidak sombong, sentiasa merendahkan diri dan berkorban kepada rakyat. Ini tidak berlaku dalam sesetengah pemimpin yang menampakkan dirinya yang warak, kerana kewarakan itulah menjadikan dirinya terperangkap dalam kata-kata, manis sebelum dapat kuasa, setelah berkuasa memupuk budaya sempit, jumud dan keterlaluan sehingga semuanya buruk kecualilah dirinya sendiri.
Semuanya salah dan mengundang kecelakaan kecualilah menerima kesehaluan makna dengan corak politik, kuasa yang ada dipertahankan selagi hayat dikandung badan, manakala orang lain sudah lama mendesak agar berundur, kerana kewarakan itu tidak mampu menepis kegagalannya mengurus masalah rakyat.
Inilah wajah pemimpin yang seharusnya ditolak, kerana kewarakannya tidak boleh menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik, kewarakan digunakan sebagai kriteria mengekalkan kuasa dan menjerut emosi beragama.
Nilai-nilai agama diperdagangkan sehingga melahirkan tingkah politik dan kecurangan, rakyat menjadi semakin jumud dan tidak berani berubah.
Kalau hanya warak menjadi pilihan, kenapa Allah SWT tidak memilih malaikat untuk menjadi khalifah?

Kedudukan pingat sukan sea terkini





Kedudukan pingat akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

Sukan SEA edisi ke 26 kini berlangsung di Palembang, Indonesia.
Sumber lagi terkini : seag2011.com


Pingat Malaysia

16 Nov 2011

25. Pandalela Rinong, akuatik (10m platform)
24. Yeoh Ken Nee, akuatik (3m papan anjal)
23. Sam Chong dan Thor Chuan Leong, snuker


15 Nov 2011

22. Kevin Yeap Soon Choy, renang (400m gaya bebas)
21. Khoo Chai Lin, renang (800m gaya bebas)
20. Bryan Nickson, akuatik (10m platform)
19. Roslinda, olahraga (lompat bergalah)
18. Noraseela Mohd. Khalid, olahraga (400m lari berpagar)
17. Cheng Chu Sian, memanah
16. Nur Suryani Mohamed Taibi, menembak (10m air rifle)
15. Siow Yi Ting, renang (100 meter kuak dada)
14. Cheong Jun Heong (3m papan anjal)
13. Kuartet 4x400 meter lelaki


14 Nov 2011

12. Lee Hup Wei, olahraga (lompat tinggi)
11. Yeoh Ken Nee dan Bryan Nickson, akuatik (3m papan anjal)
10. Leong Mun Yee dan Traisy Vivien, akuatik (10m platform)


13 Nov 2011

9. Teagarajan, karate-do (kumite)
8. Yamini Gopalasamy, karate-do (kumite)
7. Joshua Koh, lawan pedang
6. Loganesha Rao, karate-do (kumite)
5. Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee, akuatik (3m papan anjal)
4. Shaharudin Jamaludin, karate-do (kumite)
3. Lo Choon Sieng, olahraga (lumba jalan kaki 20km)


12 Nov 2011

2. Tan Song Hwa, olahraga (tukul besi)
1. Nur Suryani Mohammed Taibi, menembak

Empat maut, 5 parah dalam tragedi





SLIM RIVER 11 Nov. – Empat maut manakala 36 lagi cedera termasuk lima parah dalam nahas ngeri yang menjadi tragedi menyayat hati apabila sebuah bas membawa 39 penumpang terbalik sebelum dirempuh sebuah treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Behrang, Perak hari ini.
Dalam kemalangan pukul 4.20 pagi itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sederhana, beberapa meter dari tempat kejadian lalu terbalik di bahu jalan.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sebuah treler yang sarat dengan muatan guni pasir merempuh bas berkenaan dari arah belakang ketika kebanyakan mangsa sedang merangkak keluar menyelamatkan diri.
Nahas berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah untuk bercuti di Genting Highlands, kira-kira 87 kilometer dari tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, keempat-empat mangsa maut akibat dirempuh ketika cuba menyelamatkan pelajar yang tersepit selepas bas berkenaan terbalik.
“Bas tersebut yang membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru serta seorang pemandu kedua, hilang kawalan lalu terbalik sebelum dirempuh oleh treler berkenaan.
“Bagaimanapun, kita masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya, di sini hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan insiden itu berpunca akibat kecuaian.
Mereka yang terbunuh ialah seorang guru, Siti Hajar Mohamad, 33, serta dua pelajarnya, Khairul Anwar Azhan dan Maysarra Zaidi, kedua-duanya berusia 15 tahun.
Tragedi menyayat hati itu turut mengorbankan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad yang kebetulan berhenti di tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan pelajar yang tersepit sejurus bas tersebut terbalik.
Difahamkan, Basarah, 45, sebelum itu dalam perjalanan bersama sebuah lagi bas persiaran membawa rombongan ahli Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Kedah ke program Titian Ilmu di Tanjung Karang, Selangor.
Mayat Maysarra dijumpai pada pukul 10.45 pagi dalam timbunan pasir ketika pasukan penyelamat sedang mencari kaki seorang lagi mangsa yang terputus dalam nahas itu.
Md. Tahir memberitahu, Siti Hajar meninggal dunia di Hospital Slim River, di sini, manakala tiga yang lain maut di tempat kejadian dan dua guru serta tiga pelajar yang parah dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kelima-lima mereka kini dilaporkan kritikal ekoran kecederaan serius termasuk patah anggota badan.
Beliau berkata, pemandu bas yang berusia 25 tahun serta pemandu treler kini ditahan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua kenderaan dibawa ke Balai Polis Slim River untuk siasatan dan kita minta saksi atau orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil memberi keterangan,” ujarnya.

Optimis terima pemansuhan PPSMI

Dua tahun lalu kerajaan telah mengumumkan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan kerajaan konsisten memansuhkan PPSMI.Pengajaran bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit dalam bahasa Malaysia akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 2016 untuk sekolah rendah, manakala untuk sekolah menengah pada 2021.
Langkah tersebut dibuat kerajaan setelah mendapati kajian menunjukkan sebahagian besar sekolah tidak melaksanakan sepenuhnya PPSMI, sebaliknya menggunakan dwi bahasa bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit.
Kajian juga mendapati ramai pelajar mengambil masa yang lama untuk memahami konsep-konsep asas kedua-dua mata pelajaran itu. PPSMI juga gagal membantu tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Satu dasar baru diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan PPSMI iaitu dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Dasar baru itu diyakini akan memberi keupayaan kepada pelajar menguasai kedua-dua bahasa terbabit dengan baik. Anak-anak kita kelak bukan sahaja akan berbangga dengan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tetapi mereka juga akan mampu menguasai bahasa Inggeris.
Untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, kerajaan akan menyediakan guru-guru terlatih dan berkualiti, termasuk guru-guru yang diambil dari luar negara bagi mengajar bahasa Inggeris secara berkesan. Mata pelajaran itu akan diajar melalui kaedah pembelajaran yang lebih efektif dan interaktif.
Melalui dasar baru itu kita sebenarnya telah mengembalikan semula kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan sekolah menengah, selari dengan apa yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
Selain itu, kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi serta alat menyatukan rakyat kembali didaulatkan.
Malangnya, masih ada segelintir pihak yang masih mempertikaikan pemansuhan PPSMI. Mereka adalah kelompok yang memiliki 'watak tertawan' terhadap bahasa Inggeris. Golongan terbabit terlalu mengagungkan bahasa Inggeris dan mendesak kerajaan mengekalkan PPSMI. Permintaan mereka itu tidak perlu dilayan. Dalam melaksanakan sesuatu dasar yang berkepentingan nasional, kerajaan mestilah mempunyai iltizam dan pendirian yang kukuh.
Pendirian kerajaan yang kukuh akan membolehkan penjawat-penjawat awam melaksanakan tugas dengan penuh yakin dan wibawa. Pihak yang mempertikaikannya sepatutnya belajar menghormati keputusan kerajaan itu kerana ia memiliki nilai dan kepentingan nasional.
Lagipun, keputusan memansuhkan PPSMI telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan juga majoriti ahli Parlimen. Malah, sebelum kerajaan memutuskannya, empat mesyuarat meja bulat telah diadakan pada tahun 2008.
Mesyuarat ini membabitkan hampir semua pihak termasuk pendidik, pengetua, guru besar, pelajar, kesatuan guru, pemimpin persatuan, kesatuan guru, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), pensyarah universiti, persatuan mahasiswa, pemimpin pertubuhan belia, wakil sekolah swasta, penggiat seni, aktivis masyarakat, tokoh masyarakat, tokoh korporat, wakil media massa dan pemimpin politik.
Majoriti mereka yang terbabit dalam mesyuarat meja bulat itu bersetuju agar kedua-dua mata pelajaran itu diajar menggunakan Bahasa Malaysia. Ia adalah suara majoriti yang harus disokong dan dihormati.
Kesimpulannya, kita patut bersikap optimis terhadap dasar memperkukuhkan kembali Bahasa Malaysia dalam sistem pendidikan negara. Selain kemampuannya sebagai bahasa ilmu, ia jua dapat menjayakan gagasan 1Malaysia yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan nasional.

Ucapan hari raya korban & nasihat

Assalamualaikum wbt....Saya mengucapkan selamat hari raya aidiladha kepada semua umat Islam di dunia. Nasihat saya ialah:

1.Kepada sesiapa yang melakukan sembelihan korban, lakukannya dengan penuh ikhlas, sempurna      & mengikut etika penyembelihan, nanti haiwan yang disembelih itu akan membela kita di hari kiamat nanti.
2.Lakukanlah solat sunat Aidiladha kerana hanya dua kali saja terdapat 2 solat sunat perayaan umat Islam.
3.Kepada yang menunaikan haji, sempurnakanlah & perbanyakan doa di Padang Arafah supaya segala doa kita terus dimustajabkan oleh Allah swt tanpa perantaraan.
4.Manakala kepada yang tidak menunaikan haji, digalakkan berpuasa pada hari Arafah(9 zulhijjah) kerana kita akan diampunkan dosa setahun lalu & akan dijabat tangan oleh Malaikat di Padang Mahsyar nanti.

Budaya merendahkan kemanusiaan

KETIKA umat Islam seluruh dunia sedang bersiap sedia mengamati perjalanan sanak saudara mengerjakan haji, rakyat Malaysia gempar dengan program yang disokong oleh lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan Seksualiti Merdeka di Kuala Lumpur sepanjang dua minggu sebaik sahaja bermula November.Maka ramai yang marah, kerana November pada tahun ini adalah bulan umat Islam melaksanakan tanggungjawab kemuncak dalam kehidupannya sebagai seorang muslim yang beriman. Mereka mengharapkan ibadat itu akan mengampun segala dosa lalu, tetapi segelintir mereka yang terbabit dalam program tersebut mengumpul dosa yang paling dilaknat Islam.
Sememangnya semua agama amat memandang keji kepada perlakuan sedemikian kerana ia mencemar kehidupan dan merendahkan martabat seorang manusia yang berakal dalam bingkai tamadun keinsanan.
Golongan yang menyanjung dan mengamalkan perlakuan songsang - lesbian, biseksual, gay, dan trangender (LBGT)- sejak permulaan sejarah lagi menerima kutukan yang maha dahsyat.
Dalam Islam, kisah kemusnahan pengikut Nabi Luth a.s. adalah disebabkan kegilaan mereka bersenggama sesama jenis, sedangkan secara alami Allah SWT menciptakan manusia sebagai lelaki dan wanita.
Mereka hidup secara berpasangan dan berkongsi perasaan, naluri seks dan tanggungjawab atas sifatnya saling memerlukan dan sayang menyayangi.
Kemusnahan sebuah tamadun tinggi pada waktu sebelum agama Kristian muncul turut membuktikan bahawa amalan senggama songsang oleh penduduk Pompei masih tidak menakutkan pengamal LBGT.
Rupa-rupanya pengamal pada masa kini amat kuat bersandarkan kepada prinsip kebebasan semulajadi tanpa mengambil kira kebebasan itu sebenar sebuah ilusi yang menakutkan, budaya yang merendahkan kemanusiaan itu sendiri. Berlawanan dengan hasrat seseorang yang bertandang ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah yang difardukan kepada setiap orang Islam yang berkeupayaan dan mampu. Meskipun menunaikan haji itu fardu, ia tidak wajib kepada mereka yang kurang mampu, termasuk mereka yang tidak siuman.
Menjelang wukuf di Arafah, membawa satu manifestasi yang paling puncak dalam perjalanan untuk menyucikan diri dari segala dosa silam kerana pada malam itu, ia menjadi petanda sah seseorang yang mengerjakan haji mampu melengkapkan ibadah tersebut. Bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukannya, perkiraan sah haji tidak dapat dikira.
Dalam situasi itu, setiap muslim dikira bukan berdasarkan kedudukan dan latar belakang keturunannya. Semua orang Islam berada dalam kesatuan iktikad, semangat, roh dan kerohanian untuk menumpukan seluruh jiwanya meningkatkan pengabadian diri kepada Allah SWT.
Perjalanan mengerjakan haji berlaku dalam suasana kekentalan semangat, kekuatan keyakinan dan keteguhan iman kerana tersilap tingkah akan menyebabkan peluang beribadat akan berkurangan manakala kelurusan iktikad diuji dengan pelbagai dugaan.
Dalam situasi penuh keikhlasan itulah kita dapat merasai mengerjakan haji itu bukanlah memeritkan. Pengabadian diri sewaktu mengerjakan haji merupakan kisah begitu menarik kerana ia turut memberikan kita sebuah nilai kekudusan diri, kerendahan hati dan keinsafan bahawa jiwa yang diberikan peluang untuk hidup sebenarnya bukanlah hak mutlak seseorang, kesemuanya hak mutlak Allah SWT yang menciptakan manusia sebagai makhluk terbaik, paling sempurna.
Atas sifat kesempurnaan itulah manusia diberikan kebebasan berfikir dan bertindak dengan syarat kebebasan terhad itu tidak disalahgunakan untuk melanggar kebebasan orang lain. Kerana kebebasan itu ada hadnya, maka manusia mencipta pula ruang bersama dalam situasi 'saling rela' dan 'bukan dipaksa' atau 'terpaksa' sehingga merubah perspektif, kebebasan mestilah disusuli dengan kerelaan.
Maka kerelaan itulah yang mengikat kumpulan yang sudah lupa diri dan celaru identiti untuk mendesak sebarang bentuk sekatan, sama ada dalam bentuk moral, peraturan atau undang-undang agar mereka diberikan peluang secara lebih berperikemanusiaan.
Mereka mendesak agar kebebasan untuk memilih cara hidup ditentukan menurut semangat kesukarelaan walaupun melanggar etika dan peraturan. Peraturan yang menjadi batu penghalang perlu dipinda kerana tuntutan golongan itu semakin kuat dan jika peraturan menyekat budaya yang diinginkan itu, mereka menilainya sebagai zalim, tiadakebebasan dan tidak berperikemanusiaan.
Itulah gambaran yang sedang bermain dalam fikiran pengamal LBGT, maka ada sebuah perbincangan untuk mencari penyelesaian mendesak pindaan undang-undang yang bakal mereka hasilkan sebagai pendirian bebas atas nama kebebasan bersuara dan menentukan hidup.
Bagi pengamal LBGT, tingkah mereka bukanlah suatu kesalahan yang fatal, kerana itu adalah pilihan yang wajar atas kehendak naluri serakah yang tidak sepatutnya tunduk kepada sebarang bentuk peraturan, kecualilah melanggar prinsip kerelaan yang dimeterai antara mereka.
Persoalan hidup dikandung adat, budaya dibingkaikan moral, tingkahlaku bersalutkan agama bukanlah sesuatu yang wajib dipraktikkan, kesemuanya akan menyebabkan manusia berada dalam situasi terkongkong. Mereka hanya meneruskan kehidupan dalam ruang keluarga yang kosong dan kontang nilai kekeluargaan.
Inilah natijah sebenar daripada sebuah kehidupan beradab, kehidupan berlaku secara alami dan disusuli dengan bingkai agama. Keseronokan dan nikmat hidup akan berada di puncak apabila dapat mewariskan zuriat, dan dari zuriat itulah kelangsungan generasi manusia akan berterusan manakala lingkaran adat dan susila menjadi pagar kemanusiaan yang terindah.
Ia menjadi lebih indah apabila kesempurnaan keluarga dan kesejahteraan kehidupan tercapai. Lebih manis, apabila ketenangan jiwa dicapai melalui pengabadian diri kepada Sang Pencipta, dan kerana itulah setiap mereka yang berdikit menyimpan biaya untuk mengerjakan haji, terasa puncak kehidupan tercapai apabila dapat mengerjakan haji dengan sempurna.
Ia sama sekali bertentangan dengan mereka yang memuja bayangan maut, kerana Allah SWT akan tetap melaknat mereka setelah terus berdegil tidak mahu mengakui sifat semulajadi dirinya, tidak ada lelaki setengah masak dan wanita separuh sikap, bercelaru dan keliru.
Ketika ibadat haji mula dirintis lebih 3,600 tahun lalu, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya, Nabi Ismail a.s. membangunkan semula Kaabah dan mewartakan kewajipan mengerjakan haji.
Tetapi, ketika manusia mula berusaha mengubah kaedah berbudaya dalam posisi songsang, Allah SWT memberikan peringatan keras bahawa akan berlaku kerosakan dan keruntuhan akhlak, manusia berada dalam kesesatan dan ditimpa malapetaka.
Allah SWT menetapkan prinsip-prinsip Haji sebagai
(1) pengakuan keesaan Allah SWT dan menolak semua perbuatan atau keyakinan bertentangan dengan pengakuan tersebut sebagai syirik,
(2) membina keyakinan bahawa akan adanya balasan Allah SWT dalam kehidupan, dan
(3) memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang bersifat sejagat.
Allah SWT juga menetapkan prinsip perlakuan LBGT sebagai golongan yang rosak keimanan. Mereka inilah golongan yang akan dicampakkan ke neraka dan kehidupannya terus dihina.
Mereka hidup dalam kekaburan matlamat, serba salah dan mengaibkan diri sendiri.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket