Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Tak ada nilai Islam langsung di kalangan rakyat Malaysia......

PERISTIWA yang berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari Rabu 23 Februari 2011, menandakan ketandusan nilai di kalangan penduduk Malaysia yang diagungkan sebagai negara Islam yang terkenal di dunia.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya merasa malu di atas tindakan tidak berakhlak sebahagian kecil rakyat Malaysia dalam peristiwa tersebut. Nampak seolah-olah orang Malaysia tak cukup makan lebih serius lagi daripada negeri ketiga yang mengalami kemiskinan tegar sepanjang tahun.
Sepatutnya sebagai seorang yang berperikemanusiaan, tentulah kita beri pertolongan dahulu kepada orang yang memerlukan pertolongan, bukannya merebut harta kepunyaan orang yang haram dimakan. Bayangkan, kalau perkara seperti itu berlaku kepada kita atau keluarga kita dan tiada siapa yang menolong kita. Apa perasaan kita pada masa itu? Memakan harta orang tanpa izin hukumnya haram. Memakan makanan yang haram ganjarannya neraka.
Antara sebab tidak mendapat pendidikan al-Quran ialah kerana hati kita gelap. Hati gelap kerana makan minum yang haram dan tidak menunaikan solat. Jika yang solat pun turut juga melakukan kemungkaran dan dosa-dosa besar, termasuk mengambil harta haram dan memakannya, ialah kerana solatnya tidak diterima sebab tidak sah. Solat tidak sah sebab cara melakukannya tidak kena, bacaannya tidak betul atau wuduknya tidak sah. Bacaan dan cara solat tidak kena dan tidak sah ialah kerana ada perasaan sombong di dalam diri sehingga tidak mahu belajar secara formal daripada guru-guru yang muktabar.

SIKAP ANEH PEMANDU MALAYSIA

TERPEGUN sebentar apabila menatap akhbar yang melaporkan sikap segelintir warga pemandu di lebuh raya berebut mencuri beras yang tumpah akibat kemalangan.

Ada rasa hairan, jelik dan hampir tidak percaya itulah sikap yang ditunjukkan oleh warga kita yang ratanya terkenal sebagai pemurah, peramah, sopan santun dan suka membantu.
Seperti ada yang tidak kena, kerana sebelum ini turut dilaporkan bahawa perkara yang sama berlaku apabila sebuah pacuan empat roda yang membawa syiling kemalangan maka gempar pemandu di lebuh raya mengutip syiling berkenaan yang diibaratkan seperti rezeki jatuh dari langit. Insiden terbaru lebih menyayat hati apabila pemandu dan kelindan yang parah dibiarkan malah mengakibatkan seorang daripadanya maut.
Melalui pengamatan, terdapat dua perkara yang mungkin menyebabkan situasi ini berlaku. Yang pertama mungkin sikap pemandu kenderaan berat di lebuh raya negara ini memang menjengkelkan. Keganasan corak pemanduan mereka mengundang rasa benci pemandu lain yang melihat sikap mereka seperti samseng jalanan.
Senario kedua, ramai pengguna lebuh raya di negara kita terdiri daripada pelbagai golongan terutama di peringkat bawahan dan pertengahan. Mereka sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang yang kebelakangan ini melampaui jangkaan akal dan amat terdesak mengurangkan kadar perbelanjaan isi rumah yang sentiasa meningkat.
Kepada kumpulan ini, apa sahaja sumber tanpa mengira halal haram dan makruh sekiranya terbuka akan dipergunakan sepenuhnya tanpa ragu-ragu lagi demi kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai pengetahuan bahawa semua barangan berkenaan sudah diinsuranskan dan sudah tentu pemilik dan pemandu berkaitan akan dibayar ganti ruginya oleh pihak yang menginsuranskannya.
Selebih dari itu, tanggung jawab sosial, tata susila, etika dan budi pekerti mulia nampaknya bukan lagi sesuatu yang dititik beratkan dan dimasukkan dalam agenda nasional kita. Malah subjek yang pernah diajar di sekolah rendah pada satu ketika dahulu sudahpun dimansuhkan.
Bolehkah kita menuding jari kepada para pelakonnya sahaja sedangkan para pengarah terlepas dari menanggung akibat. Lantas kita jangan pula nanti pura-pura lupa bahawa tentu masih ada perkara-perkara yang lebih dahsyat akan keluar selepas ini selepas melihat pembuangan bayi, pengabaian ibu bapa dan warga emas malah sikap brutal yang keterlaluan kumpulan orang muda di negara ini melewati format budaya timur yang kita agungkan satu ketika dahulu.
Sudah sampai masanya, para pembuat dasar, para pemimpin dan pakar psikologi untuk tampil duduk semeja bagi merumus satu formula dan agenda menyeluruh yang bukan sahaja berkaitan kemalangan jalan raya tetapi merangkumi sikap jelek masyarakat negara ini yang kelihatannya terlebih aksi sehingga hilang jati diri.

Pesta kaut beras di lebuh raya!!

Gelagat orang ramai yang mengaut dan memunggah beras yang tumpah daripada sebuah treler yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim semalam. 


KUALA KUBU BHARU - Jika bulan lepas ada pesta kutip duit syiling di Seremban, semalam pula ada pesta kaut beras di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim di sini.
Pesta kaut beras pada pukul 9.15 pagi itu berlaku apabila beratus-ratus kilogram beras daripada sebuah treler membawa muatan beras tumpah apabila kenderaan berat itu merempuh sebuah lori membawa muatan pasir.
Akibat perlanggaran itu juga, kelindan treler membawa beras maut manakala pemandunya cedera parah.
Mangsa yang terkorban Hanafi Mohd. Daud, 19, manakala mangsa yang cedera, Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22.
Muatan pasir dalam lori itu juga tumpah. Pemandu dan kelindan lori pasir itu tidak cedera.
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Ismail Ibrahim berkata, sebelum kejadian itu, dua buah kenderaan itu dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan untuk untuk menghantar muatan masing-masing.

Memelihara khazanah laut agar tidak terancam

Tubuh agamnya yang berukuran lebih kurang 12 meter dengan berat antara empat hingga lima tan terjelepok di atas celahan batu. Itulah dia, seekor ikan paus malang yang tidak bernyawa lagi. Kejadian ikan paus terdampar di negara ini sebenarnya bukanlah asing. Berdasarkan sejarah Jabatan Perikanan, ikan paus pertama yang direkodkan terdampar di Malaysia adalah pada tahun 1892 di pesisir pantai, 29 kilometer ke arah selatan bandar Melaka.
Selain itu, rekod Utusan Malaysia menunjukkan lebih 12 ekor paus dijumpai di pesisir pantai negara ini sejak tahun 1999 dan ia didapati semakin bertambah saban tahun. Lebih membimbangkan, hampir kesemua mamalia yang dikesan terdampar itu, jarang-jarang ditemui hidup.
Bagi kes Pulau Sayak, pada hakikatnya tiada siapa yang tahu kenapa dan sebab paus yang dipercayai spesies Bryde itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati.
Malah, penduduk bingung kenapa paus berkenaan 'mendarat' di kawasan yang tidak pernah ditemui mereka sebelum ini. Mulalah timbul pelbagai andaian termasuklah dikatakan petunjuk tsunami bakal berlaku semula. Pada tahun 2004, tidak jauh dari tempat itulah kesan bencana tsunami dirasai di Malaysia. Mungkin kepada penduduk di kawasan tersebut, ia satu perkara ganjil kerana tidak pernah melihat kelibat paus mundar-mandir di kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut berkenaan.
Sungguhpun begitu, insiden malang itu memberikan signifikan tersendiri. Ini kerana, tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa hidupan laut diancam kepupusan yang semakin serius sejak akhir-akhir ini. Barangkali kedatangan haiwan ini juga sebagai peringatan buat kita, manusia yang terus-terusan lupa akan tanggungjawab memelihara khazanah alam.
Ikan paus, sama ada spesies BrydeFin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.
Jika diamati secara menyeluruh, ancaman kepupusan tersebut merupakan perkara yang perlu diberi perhatian khusus dan sewajarnya, memandangkan ia telah lama berlaku dan masih lagi berterusan sehingga saat ini.
Salah satu faktor kepupusan beberapa spesies ikan ataupun khazanah laut itu adalah ketidakseimbangan antara tekanan daripada kegiatan manusia dan industri perikanan serta keupayaan alam sekitar menjana sumber aslinya.
Selain itu, sesetengah haiwan laut mempunyai kepentingan nilai ekonomi dan ini dieksploitasi dengan pelbagai cara. Antaranya, daging dijadikan makanan eksotik manakala cengkerang ataupun bahagian lainnya dijadikan perhiasan.
Ada juga teori mengatakan, penggunaan alat sonar oleh nelayan dan kapal dagang boleh merosakkan gegendang telinga ikan besar seperti paus yang menyebabkan ia hilang imbangan. Keadaan ini seterusnya menyebabkan mamalia tidak bertenaga melawan arus dan akhirnya cedera atau mati dihanyut ombak laut.
Tambah buruk lagi, sikap manusia sendiri yang menjadikan laut sebagai tempat membuang pelbagai jenis sampah sarap. Tidak hairanlah, masalah tersebut mungkin ada kaitan dengan kematian ikan paus di Pulau Sayak, baru-baru ini.
Benda asing seperti plastik, botol minuman dan gumpalan tali dipercayai menyebabkan usus ikan tersumbat dan sakit sehingga mengakibatkannya tidak berdaya untuk berenang ke habitat asal.
Apapun, kita tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal ini. Perkara yang penting ialah satu pemahaman yang lebih ketara mengenai spesies terancam perlu dihebahkan kepada umum dari semasa ke semasa. Pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan agensi pelaksanaan undang-undang seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Alam Sekitar juga perlu peka dengan apa yang berlaku di sekitar kawasan pesisir pantai.
Di samping itu, institut penyelidikan ekosistem marin tempatan boleh mengambil inisiatif membiak atau menghasilkan benih-benih spesies ikan terancam. Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan beberapa negara yang mendokong khazanah marin seperti Jepun dan Kanada, berjaya melakukannya.
Pada masa sama, nelayan atau mereka yang mendiami kawasan pantai, harus sedar akan tanggungjawab memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar.
Sekiranya usaha berterusan tidak dilakukan, tidak mustahil dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang, khazanah laut sekitar negara ini akan pupus. Justeru, jangan biarkan suatu hari nanti, generasi akan datang hanya mengenali paus, penyu, dugong dan ikan yu melalui internet atau majalah. Jika benar-benar berlaku, ia suatu yang amat malang.

Pokok kabung perlu ‘dipujuk’


Pokok Kabung perlu dipanjat untuk mengambil manisan kabung.

Gula kabung sememangnya tidak asing bagi orang Melayu terutama yang tinggal di pedalaman untuk digunakan dalam kuih-muih.
Kegunaan gula kabung dilihat amat penting terutama ketika menyediakan juadah berbuka puasa, kenduri dan hari raya.
Antara kuih-muih yang lazim dicampur dengan gula kabung adalah dodol, kuih koci, lepat, nasi manis dan pengat.
Pokok kabung iaitu sejenis pokok palma yang berasal dari Indonesia atau dikenali juga sebagai pokok enau atau nama botaninya, Arenga Pinnata agak berbeza dengan spesies palma yang lain.
Perbezaan pokok daripada keluarga Arecaceae itu adalah semakin batangnya meninggi dan matang, tandan bunga serta buahnya pula kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.
Malah, apabila tandan yang tumbuh di batang itu semakin hampir ke tanah, ia menandakan pokok kabung berkenaan akan mati.
Ini berbeza dengan spesies palma lain iaitu pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggiannya.
Mengikut kepercayaan, pokok kabung dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandannya sepadan dengan ‘pujukan’ yang diberikan oleh pengusaha.
Bagi pengusaha nira kabung, konotasi ‘pujukan’ bermaksud dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu dari arah atas dan bawah masing-masing sebanyak dua kali.
Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan yang boleh mengeluarkan cairan itu.
Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira seperti tandan bunga jantan.
Secara saintifiknya, tujuan mengetuk batang tandan itu adalah untuk melonggarkan rongga saluran aliran nira berkenaan.
Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, ia perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kekotoran di bahagian kelopaknya.
Pengusaha nira akan menghiris bahagian hujung tandan yang dicantas itu pada waktu pagi dan petang sehingga aliran niranya deras dan masuk ke dalam tabung buluh yang dipasang.
Menurut kajian, gula kabung boleh menggantikan gula biasa kerana bahan itu tidak mengandungi glukosa dan sesuai untuk kesihatan terutama di kalangan penghidap kencing manis.
Maseriah Talib, 50, dari Kampung Peruang, Benta, merupakan antara pengusaha gula kabung kecil-kecilan yang sering mendapat tempahan orang ramai, di samping menjalankan perniagaan di pekan sehari berdekatan.
Menurutnya, kerja memasak nira atau manisan itu dalam kawah di bangsal belakang rumahnya sehingga menjadi pekat sebelum diisi ke dalam acuan daun mengkuang untuk dikeraskan mengambil masa selama lima minit.
Berbekalkan kemahiran membuat gula kabung sejak usia muda lagi, dia menjelaskan, keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.
Katanya, kerja membuat gula kabung bermula apabila nira daripada tandan dibawa pulang ke rumahnya untuk diproses.
Kebiasaannya, jelas Maseriah, tiga tabung buluh berukuran 1.5 meter boleh menghasilkan sebanyak 13 buku gula kabung setiap hari.
Sejurus sampai di rumah, katanya, manisan itu dimasak sehingga pekat dan berwarna coklat kemerahan sebelum dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang.
“Saya menjual antara RM4.50 hingga RM5 sebuku mengikut saiz dan kualiti kepada pelanggan yang datang ke rumah dan juga menerusi tempahan daripada peniaga di bandar Benta dan Raub.
“Biasanya, pada Ramadan, gula kabung mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai yang membuat persiapan bagi juadah berbuka puasa dan untuk jualan di bazar Ramadan,” katanya.
Malah, menurut Maseriah, gula kabung boleh melonjak sehingga RM7 sebuku jika mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan orang Melayu.
Menerusi jualan gula kabung, jelasnya, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM1,300 sebulan untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan anak.
Dalam pada itu, Maseriah berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana banyak membantu membiayai perusahaan gula kabungnya dengan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina bangsal dan peralatan memproses gula itu.
Katanya, beberapa stesen televisyen tempatan dan luar negara juga pernah membuat dokumentari, selain menerima lawatan pelancong asing untuk melihat lebih dekat perusahaan gula kabung secara tradisional.
Gula kabung, menurutnya, bukan sahaja dicampur untuk menyedapkan masakan kuih-muih malah sering dijadikan buah tangan atau cenderamata kepada pembesar pada majlis tertentu di daerah Lipis.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha di Kampung Peruang, Mustafa Yunus, 56, memberitahu, perusahaan gula kabung mampu memperoleh pendapatan lumayan untuk menyara kehidupan keluarga dan persekolahan anak-anak.
“Kerja ini memerlukan ketekunan dan kesabaran bermula daripada mengambil nira, memasak menjadi gula kabung sehinggalah ia dijual ke pekan sehari,” katanya.
Mustafa memberitahu, setiap hari sebanyak 20 hingga 40 buku gula kabung dihasilkan bergantung kepada jumlah air nira yang berjaya dikumpul.
Tambahnya, permintaan terhadap gula kabung terus meningkat terutama ketika Ramadan kerana ia bahan penting untuk membuat inti atau manisan kuih, selain buahnya boleh dijadikan halwa untuk digunakan sebagai campuran dalam minuman.

klip video-16 Bangunan tertinggi di dunia(bukan KLCC ye tertinggi di dunia)

Laluan terus tanpa tol Ipoh-Jelapang ditutup sementara ekoran mendapan tanah

DUA petugas syarikat Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) meninjau mendapan tanah yang berlaku di laluan terus tanpa tol Ipoh-Jelapang di Ipoh, semalam.


IPOH 11 Feb. - Satu laluan terus tanpa tol Ipoh-Jelapang, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini terpaksa ditutup sementara untuk kegunaan lalu lintas ekoran mendapan tanah di tepi jalan itu.
Mendapan tanah itu menyebabkan wujudnya lubang selebar dua meter dan dalam tiga meter yang boleh membahayakan nyawa pengguna kenderaan.
Penutupan tersebut menyebabkan berlaku sedikit kesesakan lalu lintas ke arah utara, kira-kira 200 meter dari Jalan Tunku Abdul Rahman yang dulu dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar.
Seorang jurucakap syarikat Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) yang berada di tempat kejadian memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh seorang penunggang motosikal yang melalui laluan itu, pukul 1.10 petang ini.
''Kami mengambil tindakan segera menutup sebahagian laluan tersebut bagi mengelak berlakunya kemalangan," katanya.
Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melawat tempat kejadian menyatakan, pihaknya sedang menyiasat punca kejadian tersebut.

Logo halal: Rakyat makin rimas bilakah nak selesai?

SYABAS terhadap laporan khas Utusan Malaysia semalam mengenai isu logo halal.

Saya sendiri telah banyak kali menulis persoalan makanan halal dalam negara yang tidak berkesudahan ini dalam kolum saya.
Kita berbangga sebagai sebuah negara Islam dan hendak pula menjadi hab makanan halal untuk dunia.
Hendak jadi hab macam mana kalau soal tanda halal pun tidak dapat ditangani sehingga hari ini! Kenapakah kita orang Islam sampai sekarang pun tidak dapat dihindarkan daripada perasaan was-was terhadap makanan atau ramuan makanan yang dijual di merata tempat? Bagaimana tidaknya kalau pelbagai pasar raya berterusan menjual barangan itu tanpa mempunyai tanda logo yang diiktiraf?
Khabarnya tanda logo halal ini boleh dibeli dengan mudah di gerai-gerai hatta di pasar raya pun. Kenapa tidak ada tindakan terhadap mereka ini? Kenapa pihak-pihak yang tidak ditauliahkan mengeluarkan tanda logo halal ini masih berleluasa dan terus digunakan oleh pengeluar makanan tanpa sebarang sekatan? Tanpa sebarang tindakan?
Apakah Jabatan Agama kita ini ataupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan begitu tidak bermaya sekali hinggakan terdapat banyak kedai makan mempamerkan tanda logo halal yang tidak diiktiraf ini? Apa sebenarnya yang telah dijalankan pihak berkuasa untuk memastikan tidak lagi wujud perasaan was-was dalam kalangan orang Islam dalam negara ini yang dibanggakan sebagai sebuah negara Islam?

Benarkan lorong kecemasan pada musim cuti

DARIPADA pemahaman saya, lorong kecemasan di sepanjang lebuh raya seharusnya digunakan untuk hal-hal kecemasan sahaja.

Kita sedia maklum pada musim-musim cuti semua lebuh raya akan mengalami kesesakan luar biasa.
Semasa menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dari utara ke Kuala Lumpur pada cuti Tahun Baru Cina baru- baru ini, saya telah terperangkap dalam kesesakan sepanjang 30 kilometer iaitu dari Taiping hingga kawasan rehat Sungai Perak.
Bagaimanapun keadaan kesesakan itu masih boleh diterima memandangkan jumlah kenderaan yang berada di lebuh raya pada waktu itu berkali ganda berbanding waktu biasa, tetapi yang tidak boleh diterima ialah sikap segelintir pemandu-pemandu yang menggunakan lorong kecemasan.
Sudahlah kita tertekan dengan keadaan kesesakan, ditambah pula dengan sikap kurang ajar pemandu-pemandu berkenaan yang memotong barisan.
Pihak berkuasa pula tidak mampu berbuat apa-apa atau mengambil tindakan mungkin disebabkan jumlah kenderaan yang terlalu banyak.
Sehubungan dengan itu, saya berpendapat sekiranya pihak PLUS atau pihak berkuasa tidak mampu untuk memantau atau mengawal serta mengambil tindakan terhadap pemandu yang menggunakan lorong kecemasan, adalah lebih baik penggunaannya lorong kecemasan dibenarkan saja semasa musim cuti perayaan.
Ini lebih memudahkan dan tidak menyakitkan hati pemandu lain yang patuh kepada undang-undang.

Syukuri kestabilan, kemakmuran dikecapi rakyat Malaysia

KINI, situasi yang sukar bukan sahaja dihadapi oleh rakyat Mesir tetapi juga berpuluh-puluh ribu warga asing yang terperangkap dalam krisis politik negara itu.

Perhimpunan bantahan di bandar-bandar utama negara itu mengakibatkan keadaan semakin kacau-bilau.
Kerajaan Mesir pimpinan Presiden Hosni Mubarak bagaikan tidak mampu lagi menguatkuasakan peraturan dan undang-undang.
Dalam keadaan huru-hara inilah pencuri dan penjenayah lain mengambil kesempatan untuk merampas segala harta dari tempat awam.
Ketiadaan penguat kuasa undang-undang juga adalah kesempatan bagi mereka membalas dendam. Sekarang ramai yang berusaha meninggalkan Mesir.
Hidup dalam keadaan tidak menentu di Mesir sekarang amat memeritkan.
Kerajaan kita sudah mengambil tindakan udara dan darat untuk membawa keluar kesemua pelajar dan rakyat kita dari bumi tamadun Firaun itu.
Pengalaman lebih 11,000 pelajar kita yang akan pulang dari negara bergolak itu mungkindapat menceritakan betapa bertuahnya hidup di Malaysia.
Kekacauan yang melanda Mesir kerana mahu menggulingkan pemerintahan Mubarak menimbulkan ketidaktentuan terhadap rakyat dan ekonomi negara itu.
Apa yang sedang berlaku di Mesir harus kita ambil sebagai iktibar. Ini kerana, tidak mustahil kejadian yang sama boleh berlaku di negara kita.
Sebab itu kita harus bersyukur dan dimohon lindungan Tuhan agar tragedi seumpama itu tidak berlaku di Malaysia.
Bayangkan jika negara kita terjerumus dalam gelora rusuhan dan pergaduhan antara kaum lontaran hasutan pihak tertentu dari dalam dan luar negara.
Tiada siapa yang beruntung, sebaliknya negara kita memerlukan lebih banyak masa untuk proses memulihkan hubungan kaum dan membangunkan ekonomi semula.
Masalah politik tidak wajar diselesaikan melalui rusuhan dan demonstrasi jalanan.
Insaflah bahawa kestabilan dan kemakmuran hidup yang kita kecapi di negara ini jangan digadaikan. Peristiwa rusuhan di Mesir dan negara-negara lain sebelum ini patut menguatkan keazaman kita rakyat Malaysia untuk mengeratkan hubungan antara kaum.
Selain perpaduan antara kaum, kepimpinan atau kerajaan juga adalah faktor penting dalam menjamin kestabilan negara. Kita harus bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir undang-undang dan sosio-ekonomi negara dengan teratur.
Kita percaya gandingan sokongan rakyat dan kerajaan mampu mengekalkan kedaulatan dan maruah negara ini.
Kita tidak perlu mencontohi Mesir atau negara yang menggulingkan kerajaan secara demonstrasi jalanan kerana kita ada sistem untuk memilih pemimpin dan kerajaan.
Sistem pilihan raya adalah cara yang terbaik jika kita ingin mengubah kepimpinan negara. Adalah menjadi tradisi kita melakukan peralihan kuasa berjalan dengan baik dan lancar tanpa kekerasan. Syukurlah kestabilan negara kita.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket