Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Cabar kerajaan negeri pembangkang turunkan harga barangan

INGATAN supaya rakyat bersedia menghadapi penarikan subsidi bagi bahan api dan tarif elektrik telah dinyatakan oleh pemimpin kerajaan. Ini selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan pergantungan subsidi negara.

Rabu lalu, Kabinet memutuskan untuk menangguhkan kenaikan harga bahan api. Tindakan itu bukan kerana bimbangkan reaksi dan kemarahan pengguna tetapi kerajaan memahami masalah yang bakal ditanggung oleh rakyat.
Bukan sekali kerajaan membatalkan hasrat mengurangkan subsidi yang bermakna akan berlaku kenaikan harga terhadap barangan tertentu tetapi sudah banyak kali terutama produk bahan api.
Tetapi seperti biasa, modal ‘harga petrol naik lagi’ dimanipulasi pembangkang untuk membakar emosi rakyat.
Sejak dua minggu lalu, kita dapat lihat bagaimana pembangkang mengeksploitasi isu kenaikan harga minyak RON95 walaupun ia belum lagi diputuskan oleh kerajaan.
Nampak sangat pembangkang hanya pandai mengeksploitasi isu itu serta harga barangan di pasaran, tetapi mereka sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengatasi masalah itu.
Apabila kerajaan tidak menaikkan harga tiga bahan api – RON95, diesel dan LPG, pihak pembangkang jadi terkedu kerana ramalan mereka salah belaka.
Oleh kerana dalam kepala pembangkang hanya tahu hendak menang sahaja, maka dialihkan pemikiran rakyat kononnya keputusan kerajaan tidak menaikkan harga bahan api itu kerana bimbang rakyat akan bertindak terhadap kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diadakan tidak lama lagi.
Paling melucukan apabila dikatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) takut kepada pembangkang.
Bab untuk mengalihkan perhatian rakyat memang menjadi kepakaran pembangkang dengan menjadikan isu harga barang sebagai modal politik.
Mereka sudah bersiap sedia dengan beratus ribu alasan. Pada mereka, BN tidak boleh kelihatan betul dan benar di mata dan fikiran rakyat.
Contohnya, strategi berkesan pembangkang dengan menakut-nakutkan rakyat mengenai kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang boleh melonjakkan harga barangan. Tempias akhirnya pembangkang dapat memburuk-burukkan kerajaan dengan memesongkan pelbagai fakta. Mereka sengaja mereka-reka pelbagai andaian untuk mengelirukan rakyat.
Tindakan pembangkang itu menampakkan kejahilan mereka. Sedangkan pembangkang sebenarnya tahu apa yang berlaku sekarang sehingga menyebabkan harga bahan api dunia meningkat.
Mengenai harga minyak naik atau tidak, ia bukan isu tetapi ada modal politik untuk hentam kerajaan BN. Soal kerajaan akan menurunkan, menaikkan atau mengekalkan harga bahan api, akan ada sahaja alasan untuk ‘tibai’ kerajaan.
Kalau direnung dengan mendalam, seolah-olah kesusahan dan keperitan rakyat yang dinanti-nantikan kerana inilah peluang untuk kenakan kerajaan.
Kerajaan banyak berkorban dan terpaksa menanggung kos tidak nampak kerana mengekalkan subsidi daripada mengambil tindakan tidak popular menaikkan harga bahan api baru-baru ini.
Pemimpin pembangkang selalu mempertikai keputusan kerajaan terutama mengenai harga barangan. Apa kata rakyat mencabar kerajaan pimpinan parti pembangkang di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan supaya menurunkan harga barang di negeri masing-masing sebagai lambang dan bukti bahawa mereka benar-benar bijak dan prihatin terhadap rakyat.
Kita ingin lihat – setelah diberi peluang dan amanah menerajui kerajaan negeri, turunkan harga barangan di negeri yang diperintah. Janganlah sekadar pandai berkata-kata sahaja.
Cuba mereka beli sendiri barangan keperluan pengguna dan kemudian jual kepada rakyat negeri masing-masing pada harga yang lebih murah.
Kalau pembangkang tidak mampu melakukannya, selepas ini jangan lagi cuba menjuarai isu kenaikan harga barang.

Penjualan asid perlu dikawal

Mutakhir ini kes jenayah melibatkan dan membimbangkan khalayak. Penyalahgunaan asid oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atas pelbagai tujuan dan motif jenayah ini dilihat semakin hari semakin bertambah.
Mengikut statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 23 laporan telah diterima melibatkan jenayah simbahan asid di Lembah Klang. Itu belum lagi kes seumpama ini di tempat lain di seluruh negara.
Agak memeranjatkan apabila para penjenayah ini menukar modus operandi mereka dengan menjadikan asid sebagai senjata baru. Walaupun penggunaan asid dalam melakukan jenayah bukanlah suatu perkara baru tetapi peningkatannya secara mendadak, terutamanya di Lembah Klang, dalam tempoh masa yang singkat ini cukup merisaukan dan mencetuskan rasa ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Kejadian ini sebenarnya menimbulkan dua persoalan utama yang perlu kita rungkaikan bersama iaitu apa yang menyebabkan penjenayah beralih kepada asid dan bagaimana pula mereka dengan mudah memiliki asid?
Penulis yakin bahawa kedua-dua persoalan ini menjurus ke arah jawapan yang sama dan saling berkait. Kita percaya mereka beralih kepada penggunaan asid kerana mudah memperolehnya tanpa sebarang masalah dan sekatan daripada mana-mana pihak.
Justeru dalam hal ini kita sangat bersetuju dan menyokong cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahukan satu peraturan baru digubal bagi memastikan asid tidak dijual sewenang-wenangnya bagi mengelak bahan ini disalahgunakan oleh penjenayah.
Ternyata selama ini kita terlepas pandang ketirisan dalam aspek undang-undang berkaitan penjualan, penyimpanan dan penggunaan asid yang menyebabkan para penjenayah mengambil kesempatan dan menjadikannya sebagai senjata mereka.
Situasi ini menyebabkan keselamatan orang ramai sentiasa berada dalam risiko yang tinggi di mana terdedah kepada simbahan asid oleh mana-mana pihak yang memilikinya dengan mudah.
Bayangkan setiap hari apabila berada di luar rumah kita dibayangi rasa takut menjadi mangsa simbahan asid yang seterusnya.
Kita berharap sangat PDRM memberkas penjenayah ini dengan segera. Kita juga memohon agar semua pihak yang berkaitan menyahut cadangan dan hasrat Shahrizat dengan berganding bahu bekerjasama memperketatkan undang-undang penjualan, penyimpanan dan penggunaan asid di negara kita.
Sementara kita berharap agar cadangan itu dapat direalisasikan, kita memohon kepada para peniaga dan penjual yang mempunyai lesen penjualan asid ini lebih bertanggungjawab.
Jangan menjual asid kepada mana-mana individu sewenang-wenangnya agar ia tidak disalahgunakan kelak. Kita tidak mahu isteri mahupun anak kita menjadi mangsa yang seterusnya.

Makan berlebihan, tidak bersenam punca obes

KUALA LUMPUR 15 Mei – Memiliki berat 110 kilogram (kg) dengan ketinggian 160 sentimeter (sm) menjadikan U. Alvinderpal, 13, mengalami masalah obesiti sehingga dia kelihatan pasif berbanding rakan sebayanya.

Latar belakang keluarga yang mempunyai susuk tubuh besar turut mempengaruhi Alvinderpal mempunyai saiz badan sebegitu.
Tambahan pula, dia seorang yang tidak memilih makanan dan tidak gemar melakukan aktiviti fizikal seperti bermain bola ataupun berbasikal.
“Saya makan apa saja tanpa mengira masa. Di waktu lapang, saya lebih gemar bermain permainan video atau menonton televisyen berbanding melakukan aktiviti fizikal,” katanya yang memiliki indeks jisim badan (BMI) 43 ketika di temui di sini baru-baru ini.
Jelas ibunya, Jaswant Kaur, satu-satunya aktiviti fizikal yang digemari anak bongsunya itu adalah berenang tetapi aktiviti yang berupaya membakar lebih 400 kalori dalam tempoh sejam itu jarang dilakukan Alvinderpal kerana dia menghidap asma.
“Sejak menghidap asma ketika di sekolah rendah, Alvinderpal semakin tidak berminat melibatkan diri dalam sebarang kegiatan sukan, baik di rumah mahupun sekolah. Saya pernah belikan Alvinderpal basikal namun sehingga hari ini, dia tidak pernah menunjukkan minat untuk menunggangnya,” katanya.
Seawal pagi, Alvinderpal akan mengambil minuman milo ais sebagai sarapan sebelum pergi ke sekolah dengan dihantar oleh ibunya.
Setiap hari, dia diberikan belanja RM6 untuk mengisi perut. Ketika waktu rehat, Alvinderpal gemar mengambil makanan seperti roti berbanding nasi mahupun mi. Jika dia berasa lapar, nasi ayam akan menjadi menu pilihannya.
Biarpun hanya mengambil masa 15 minit untuk berjalan kaki dari sekolah pulang ke rumah, Alvinderpal tetap menaiki teksi kerana tidak tahan dengan cuaca panas.
Ketika berada di rumah pula, Alvinderpal lebih gemar menikmati nasi campur yang mengandungi ayam atau ikan berlaukkan kari tanpa mengambil sebarang sajian sayur-sayuran.
Menurut Jaswant, jika tidak mengambil nasi putih bersama lauk-pauk sebagai sajian malam, anaknya itu lebih gemar makan di gerai dengan memilih menu bergoreng seperti nasi goreng dan mi goreng atau menikmati makanan segera.
“Dia seorang yang mudah terasa lapar. Sekiranya terasa lapar, dia akan memasak mi segera walaupun jam sudah menunjukkan 12 malam. “Sebagai ibu, saya pernah menasihatkan dia untuk mengubah tabiat pemakanan dan gaya hidupnya tetapi diabaikan begitu sahaja,” katanya.

25 peratus pelajar obes pada 2020?

Satu perempat atau 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah obesiti atau kegemukan pada 2020 yang juga berisiko mempunyai penyakit.
Anggaran tersebut berdasarkan trend peningkatan satu peratus obesiti pelajar setiap tahun yang peratusannya didapati terus meningkat.
Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman menjelaskan, anggaran itu berdasarkan kajian pada 2007 yang mendapati hampir 12 daripada 100 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami obesiti berbanding hanya dua orang dikesan 10 tahun sebelumnya.
“Maka itu tidak mustahil jika tidak ditangani segera, pada 2020 sejumlah 25 daripada 100 pelajar atau satu perempat daripada mereka akan mengalami masalah itu.
“Jika diperincikan lagi, ini bermakna 10 pelajar dalam kelas yang mengandungi 40 orang adalah pelajar gemuk yang tidak aktif dan berisiko berpenyakit,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Pada masa ini terdapat lebih 5.24 juta pelajar sekolah rendah dan menengah.
Ridzoni berkata, walaupun selepas pelbagai pendedahan dan usaha dilakukan kerajaan, gejala obesiti atau kegemukan di kalangan remaja khususnya pelajar sekolah masih gagal diatasi.
“Oleh sebab itu, kantin berperanan sebagai tempat membentuk pemikiran pelajar berkaitan pemakanan seimbang sekali gus boleh mempengaruhi ibu bapa di rumah.
“Seandainya pengusaha kantin sekolah mampu menyediakan hidangan yang mengandungi sayur-sayuran dalam setiap menu, budaya pemakanan sihat secara praktikal dapat dibentuk dan menggalakkan para pelajar membawa amalan tersebut ke rumah,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi menangani peningkatan masalah tersebut dengan mencadangkan larangan 15 jenis makanan 'tidak sihat' dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah.
Turut dicadangkan ialah supaya indeks jisim badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.
Mengambil pengalaman beliau ketika berada di Jepun, Ridzoni berkata, pakar nutrisi dan pengusaha kantin sekolah akan bekerjasama dalam memastikan hidangan dijual adalah sihat.
Tambah Ridzoni, pelajar memerlukan kalori sebanyak 1,500 hingga 2,200 dalam sehari bergantung pada aktiviti harian yang dilakukan dan pihak berkaitan seharusnya peka dengan jumlah kalori yang sepatutnya diambil.

Selamat Hari Guru

Saya mengucapkan selamat hari guru kpd En Khairul, En Jamaluddin, Cikgu Adlina, guru-guru sekolah saya & semua guru di Malaysia. Hargailah jasa guru kita yang banyak berkorban & mengajar segala curah ilmu kpd kita. Tanpa mereka, mustahil untuk berjaya. Untuk membaca artikel hari guru, sila ke laman blog saya satu lagi:

Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

Ucapan Hari guru khas untuk:
1.En Khairul Anuar b.Mohamed
2.En Jamaluddin b.Basri
3.Pn Adlina bt.Mohamed Ali
*Dianggap ibarat ibu bapa kandung sendiri…………..
4.Guru-guru yang mengajar saya.
5.Guru-guru SMKBBP
6.Semua guru di Malaysia
Selamat hari Guru……………..

Pemimpin muda pelapis negara

SEMPENA Hari Belia Negara 2011 esok, sekitar satu juta golongan muda dari seluruh negara bakal membanjiri Putrajaya di samping menyertai lebih 200 aktiviti yang diaturkan pelbagai pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dijangka akan merasmikan sambutan Hari Belia Negara tahun ini di Jalan Bukit Bintang pada hari sama bagi menandakan permulaaan sambutan di seluruh negara.
Menyebut tentang belia, mungkin ramai memikirkan hanya melibatkan remaja dan pelajar sekolah tetapi sebenarnya kumpulan ini melibatkan golongan berumur bawah 40 tahun yang merupakan kumpulan paling aktif dalam pelbagai gerakan, aktiviti dan program.
Golongan belia lebih dikenali dengan keterujaan dan semangat dalam melakukan sesuatu terutamanya di usia muda yang penuh dengan tenaga, emosi dan keghairahan.
Dari persatuan, pertubuhan, kumpulan, kesatuan, majlis dan bermacam bentuk gabungan untuk program dan agenda tertentu kebanyakan ahlinya terdiri daripada kumpulan belia.
Tanpa mengira bidang dan aliran, penyertaan belia dilihat sebagai satu kitaran penting dalam melatih dan menyediakan kumpulan pelapis kepada kepimpinan utama kelak, dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pentadbiran tertinggi organisasi dan negara.
Di kemuncak usia melakar aspirasi diri, detik-detik belia di dalam sesebuah pertubuhan atau persatuan amat penting dari titik mula penyertaan, peralihan jawatan, memimpin sehinggalah ke tahap mewariskan kepimpinan kepada generasi berikutnya.
Kitaran berangkai ini dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan kita bila golongan muda meningkat dewasa, matang dan berkaliber seterusnya melayakkan mereka memimpin dan menentukan arah tuju satu-satu generasi ke arah yang lebih baik atau sebaliknya, sama ada dalam kerjaya, gerakan agenda atau perjuangan.
Menjadi kebiasaan juga bagi kita mendengar rungutan pemimpin yang sudah 'lama' dan berusia kurang berkesan, lambat atau gagal menggerakkan kumpulan ahli yang dipimpinnya ke arah sasaran utama.
Sering dibangkitkan golongan belia sendiri, rungutan sedemikian biasanya membawa kepada peralihan kepimpinan baru dalam semua bentuk organisasi dengan harapan dapat melancar dan menggerakkan program dan aktiviti.
Persoalan bagi semua belia dan akar umbi hari ini, adakah peralihan kepimpinan kepada golongan lebih muda berjaya membawa perubahan dan penambahbaikan seperti yang diharap-harapkan?
Bagaimana pula jika pewaris 'takhta' gagal melangkaui pencapaian pemimpin sebelumnya sama ada akibat kurang pengalaman dan pengetahuan ataupun hasil sifat tamakkan jawatan semata-mata?
Bagi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim, 12.5 juta orang belia negara perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk turut serta dalam berkongsi kemahiran kepimpinan, keusahawanan dan teknikal melalui organisasi dan aktiviti berpersatuan.
"Kita dapat lihat ada perubahan dalam corak kepimpinan dan penerimaan generasi muda di mana sikap keterbukaan telah membawa belia terus dalam kepimpinan sesebuah organisasi.
"Pemimpin terdahulu memang diperakui kehebatan mereka tetapi golongan belia pelapis juga tidak lemah semangat untuk cuba memimpin," katanya.
Jelasnya, belia juga mahu mendokong transformasi negara termasuk dalam aspek konsep belia itu sendiri.
Tambahnya, MBM juga kini lebih terbuka melalui pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkan organisasi belia masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT).
"Pindaan itu memberi ruang warga kolej, maktab dan IPT menyertai dan menjadi pemimpin dalam organisasi belia.
"Ini juga satu transformasi kerana dahulu warga IPT tidak boleh terlibat seterusnya membuka peluang meningkatkan nilai tambah individu apabila mahasiswa beramai-ramai menyertai aktiviti belia," ujarnya.
Menurut Irmohizam, belia di luar bandar juga tidak ketinggalan kerana pertumbuhan aktiviti dan pertubuhan belia terus berlaku melalui ruang sedia ada walaupun terdapat kekangan kewangan.
"Belia luar bandar boleh menyertai aktiviti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau seumpamanya di taman dan kawasan perumahan.
"Ini boleh dianggap anjakan paradigma mentaliti belia yang mengatasi kekangan peruntukan tetapi tetap menjalankan aktiviti berfaedah," jelasnya.
Beliau menegaskan penyertaan belia di setiap peringkat sesebuah organisasi penting dalam mendidik mereka memahami dasar dan polisi negara.
Tambahnya, pemahaman dan pengetahuan itu akan membuka peluang untuk mereka mengubah situasi mengikut kesesuaian keadaan dan pandangan mereka kelak.
"Dari segi pendekatan pula, belia tidak begitu sukakan protokol dan ini telah diamati Perdana Menteri sendiri ketika mendekati para belia. Organisasi belia juga bukan seperti parti politik dan mempunyai cara pergerakannya sendiri.
"Kadang kala aktiviti belia juga kelihatan tidak relevan tapi itu cara mereka menonjolkan kreativiti serta inovasi dan kita perlu beri galakan," tegasnya.
Irmohizam berharap belia dapat terus meningkatkan sahsiah diri melalui penyertaan organisasi dan tidak tercicir dari arus pembangunan negara dalam konteks globalisasi.
"Pembabitan belia dalam aktiviti organisasi kini mengagumkan dan ini satu proses melatih dan menggalakkan aktiviti berkumpulan.
"Walaupun nampak peningkatan, mereka masih perlukan bantuan dan galakan. Mungkin kerajaan dapat beri pengecualian cukai untuk dana dan tajaan aktiviti agar menggalakkan sumbangan dari sektor swasta kelak," cadangnya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula berpendapat terlalu awal untuk menilai kesan peralihan kuasa kepada golongan belia berbanding kepimpinan terdahulu.
Namun, beliau merasakan beberapa perubahan sudah dapat dilihat termasuk dalam GPMS sendiri yang mempunyai visi dan misi yang jelas untuk kepimpinan mudanya.
"Perubahan dalam organisasi belia seperti GPMS dan MBM pasti diperhatikan semua pihak terutamanya 'abang-abang' kami yang menilai dan melihat kemampuan kami memimpin sebuah organisasi besar.
"Oleh itu, kami dan para belia lain akan guna segala upaya dalam diri untuk memartabatkan organisasi belia dan negara.
"Secara keseluruhan, semua pertubuhan belia sudah membuat perubahan tapi masih banyak ruang untuk kami terokai dan membuat penambahbaikan supaya setaraf dengan organisasi di negara lain," katanya.
Untuk itu, Jais menyarankan semua anggota organisasi belia terutamanya ahli GPMS sendiri supaya kembali kepada peranan mereka ketika era 1960-an dan 1970-an dahulu.
"Organisasi belia perlu menjadi pendesak kepada isu-isu yang mempunyai kepentingan umum dan masyarakat negara ini.
"Sesebuah organisasi juga hanya menjadi relevan melalui program dan perbincangan intelektual, bukan sekadar komen di dalam akhbar.
"Belia memegang peranan penting dan kerana itu perlu pintar dalam membuat saranan atau desakan agar dasar negara serta gagasan 1Malaysia boleh dijayakan," tegasnya.

Peranan guru jana transformasi pendidikan

PERANAN guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.
Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.
"Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya.
Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.
"Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.
"Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S).
"Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau.
Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.
"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar.
"Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya.
Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama.
"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.
"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.
"Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau.
Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.
"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya.
Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya
"Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan.
"Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya.
Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.
Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.
"Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.
"Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

Selamat Hari Ibu


Selamat Hari Ibu 8 Mei 2011 - Assalamualaikum, ini saya,Arif Anwar,penulis blog ucapkan selamat hari ibu kepada ibu penulis,Risharmi bt.Sahar yang tersayang dan seluruh ibu di dunia ini.

Doa Untuk Ibu
Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.

Hadiah Untuk Ibu

Ha!! kepada sesiapa yang bercadang untuk memberikan hadiah-hadiah menarik kepada ibu mereka ! Ini saya senaraikan website yang best untuk kalian layari..

  1. Tips: 10 terbaik hadiah Hari Ibu
  2. Haziq Hadiah Ibu Percutian Di Bali
  3. Hadiah Anak Kepada Ibu Mereka
Hargailah pengorbanan ibu anda yang lebih berjasa & berbaktilah mereka selagi ibu masih hidup.
Jangan derhaka kepada mereka!!!!!!!!!!!
p/s- Untuk baca artikel hari ibu, sila ke laman blog saya satu lagi:

Obesiti: Di manakah peranan ibu bapa?

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan menyediakan generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang.
Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam.
Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri penting menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat diamalkan secara tradisi menjadi ikutan.
Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya pelbagai masalah yang menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak disedari. Lihat saja, berapa ramai antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat penyakit pembunuh secara senyap?
Berapa ramai pula sekarang anak-anak telah pun mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan paling malang lagi di bangku sekolah telah mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes?
Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang yang menjaga anak-anak sejak darkecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan oleh ibu bapa.
Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan.
Pada umur awal tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai selera yang berlebihan terhadap sesuatu makanan.
Mungkin disebabkan faktor ini, ibu bapa memanjakan anak-anak dengan memberi segala jenis makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang diperlukan.
Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes. Walaupun berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara berlebihan namun faktor ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak.
Namun, kita boleh melihat corak pemakanan anak-anak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mempunyai amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak mengikut acuan tersebut.
Dalam pada masa sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera lain juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
Namun begitu, ia tidak menjadi satu-satunya punca kepada permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini dipersalahkan sedangkan pokok pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika makanan seperti nasi lemak mudah didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti disebabkan kekerapan pengambilannya.
Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga.
Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan persekitaran menjadi contoh utama dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan tidak cukup seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan kolesterol. Kewujudan dan mudahnya membeli snek dan minuman manis melalui "vendor machine" di sekolah juga menyebabkan anak-anak cenderung mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan rapuh atau "junk food" yang menjadi kesukaan kanak-kanak.
Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak.
Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang mantap.
Ibu bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara sukar. Bukan setakat diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada diri sendiri.
Barulah ia mempunyai sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak yang sihat dan generasi tidak obes.
Kesimpulannya, kita perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat kegemukan generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat.
Sejajar dengan saranan dalam surah Isra' ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga..."

Hari Pekerja

Saya mengucapkan selamat hari pekerja kepada pekerja-pekerja di seluruh Malaysia. Jasa anda semua amat saya hargai............... Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh.............

Untuk membaca artikel mengenai 'Bekerja Satu Ibadah', sila ke laman blog saya satu lagi:
http://agamapenyelamatku.blogspot.com/2011/05/hari-pekerja-bekerja-adalah-ibadah.html

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket