SEMPENA Hari Belia Negara 2011 esok, sekitar satu juta golongan muda dari seluruh negara bakal membanjiri Putrajaya di samping menyertai lebih 200 aktiviti yang diaturkan pelbagai pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dijangka akan merasmikan sambutan Hari Belia Negara tahun ini di Jalan Bukit Bintang pada hari sama bagi menandakan permulaaan sambutan di seluruh negara.
Menyebut tentang belia, mungkin ramai memikirkan hanya melibatkan remaja dan pelajar sekolah tetapi sebenarnya kumpulan ini melibatkan golongan berumur bawah 40 tahun yang merupakan kumpulan paling aktif dalam pelbagai gerakan, aktiviti dan program.
Golongan belia lebih dikenali dengan keterujaan dan semangat dalam melakukan sesuatu terutamanya di usia muda yang penuh dengan tenaga, emosi dan keghairahan.
Dari persatuan, pertubuhan, kumpulan, kesatuan, majlis dan bermacam bentuk gabungan untuk program dan agenda tertentu kebanyakan ahlinya terdiri daripada kumpulan belia.
Tanpa mengira bidang dan aliran, penyertaan belia dilihat sebagai satu kitaran penting dalam melatih dan menyediakan kumpulan pelapis kepada kepimpinan utama kelak, dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pentadbiran tertinggi organisasi dan negara.
Di kemuncak usia melakar aspirasi diri, detik-detik belia di dalam sesebuah pertubuhan atau persatuan amat penting dari titik mula penyertaan, peralihan jawatan, memimpin sehinggalah ke tahap mewariskan kepimpinan kepada generasi berikutnya.
Kitaran berangkai ini dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan kita bila golongan muda meningkat dewasa, matang dan berkaliber seterusnya melayakkan mereka memimpin dan menentukan arah tuju satu-satu generasi ke arah yang lebih baik atau sebaliknya, sama ada dalam kerjaya, gerakan agenda atau perjuangan.
Menjadi kebiasaan juga bagi kita mendengar rungutan pemimpin yang sudah 'lama' dan berusia kurang berkesan, lambat atau gagal menggerakkan kumpulan ahli yang dipimpinnya ke arah sasaran utama.
Sering dibangkitkan golongan belia sendiri, rungutan sedemikian biasanya membawa kepada peralihan kepimpinan baru dalam semua bentuk organisasi dengan harapan dapat melancar dan menggerakkan program dan aktiviti.
Persoalan bagi semua belia dan akar umbi hari ini, adakah peralihan kepimpinan kepada golongan lebih muda berjaya membawa perubahan dan penambahbaikan seperti yang diharap-harapkan?
Bagaimana pula jika pewaris 'takhta' gagal melangkaui pencapaian pemimpin sebelumnya sama ada akibat kurang pengalaman dan pengetahuan ataupun hasil sifat tamakkan jawatan semata-mata?
Bagi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim, 12.5 juta orang belia negara perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk turut serta dalam berkongsi kemahiran kepimpinan, keusahawanan dan teknikal melalui organisasi dan aktiviti berpersatuan.
"Kita dapat lihat ada perubahan dalam corak kepimpinan dan penerimaan generasi muda di mana sikap keterbukaan telah membawa belia terus dalam kepimpinan sesebuah organisasi.
"Pemimpin terdahulu memang diperakui kehebatan mereka tetapi golongan belia pelapis juga tidak lemah semangat untuk cuba memimpin," katanya.
Jelasnya, belia juga mahu mendokong transformasi negara termasuk dalam aspek konsep belia itu sendiri.
Tambahnya, MBM juga kini lebih terbuka melalui pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkan organisasi belia masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT).
"Pindaan itu memberi ruang warga kolej, maktab dan IPT menyertai dan menjadi pemimpin dalam organisasi belia.
"Ini juga satu transformasi kerana dahulu warga IPT tidak boleh terlibat seterusnya membuka peluang meningkatkan nilai tambah individu apabila mahasiswa beramai-ramai menyertai aktiviti belia," ujarnya.
Menurut Irmohizam, belia di luar bandar juga tidak ketinggalan kerana pertumbuhan aktiviti dan pertubuhan belia terus berlaku melalui ruang sedia ada walaupun terdapat kekangan kewangan.
"Belia luar bandar boleh menyertai aktiviti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau seumpamanya di taman dan kawasan perumahan.
"Ini boleh dianggap anjakan paradigma mentaliti belia yang mengatasi kekangan peruntukan tetapi tetap menjalankan aktiviti berfaedah," jelasnya.
Beliau menegaskan penyertaan belia di setiap peringkat sesebuah organisasi penting dalam mendidik mereka memahami dasar dan polisi negara.
Tambahnya, pemahaman dan pengetahuan itu akan membuka peluang untuk mereka mengubah situasi mengikut kesesuaian keadaan dan pandangan mereka kelak.
"Dari segi pendekatan pula, belia tidak begitu sukakan protokol dan ini telah diamati Perdana Menteri sendiri ketika mendekati para belia. Organisasi belia juga bukan seperti parti politik dan mempunyai cara pergerakannya sendiri.
"Kadang kala aktiviti belia juga kelihatan tidak relevan tapi itu cara mereka menonjolkan kreativiti serta inovasi dan kita perlu beri galakan," tegasnya.
Irmohizam berharap belia dapat terus meningkatkan sahsiah diri melalui penyertaan organisasi dan tidak tercicir dari arus pembangunan negara dalam konteks globalisasi.
"Pembabitan belia dalam aktiviti organisasi kini mengagumkan dan ini satu proses melatih dan menggalakkan aktiviti berkumpulan.
"Walaupun nampak peningkatan, mereka masih perlukan bantuan dan galakan. Mungkin kerajaan dapat beri pengecualian cukai untuk dana dan tajaan aktiviti agar menggalakkan sumbangan dari sektor swasta kelak," cadangnya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula berpendapat terlalu awal untuk menilai kesan peralihan kuasa kepada golongan belia berbanding kepimpinan terdahulu.
Namun, beliau merasakan beberapa perubahan sudah dapat dilihat termasuk dalam GPMS sendiri yang mempunyai visi dan misi yang jelas untuk kepimpinan mudanya.
"Perubahan dalam organisasi belia seperti GPMS dan MBM pasti diperhatikan semua pihak terutamanya 'abang-abang' kami yang menilai dan melihat kemampuan kami memimpin sebuah organisasi besar.
"Oleh itu, kami dan para belia lain akan guna segala upaya dalam diri untuk memartabatkan organisasi belia dan negara.
"Secara keseluruhan, semua pertubuhan belia sudah membuat perubahan tapi masih banyak ruang untuk kami terokai dan membuat penambahbaikan supaya setaraf dengan organisasi di negara lain," katanya.
Untuk itu, Jais menyarankan semua anggota organisasi belia terutamanya ahli GPMS sendiri supaya kembali kepada peranan mereka ketika era 1960-an dan 1970-an dahulu.
"Organisasi belia perlu menjadi pendesak kepada isu-isu yang mempunyai kepentingan umum dan masyarakat negara ini.
"Sesebuah organisasi juga hanya menjadi relevan melalui program dan perbincangan intelektual, bukan sekadar komen di dalam akhbar.
"Belia memegang peranan penting dan kerana itu perlu pintar dalam membuat saranan atau desakan agar dasar negara serta gagasan 1Malaysia boleh dijayakan," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan