Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Pendaki Solo impi rekod dunia



KEGAGALAN cubaan pertama mendaki tangga Menara Kuala Lumpur selama 24 jam tanpa henti pada tahun lalu tidak melunturkan semangat pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin untuk terus mencuba.
Misi Pendakian Tangga Berketinggian Menegak Dalam 24 Jam bakal dilakukan sekali lagi pada 16 April ini di menara kelima tertinggi di dunia itu.
Sekiranya berjaya, Mohd Noor akan melakarkan nama di dalam Guinness World of Records.
Beliau yang merupakan jurugambar Utusan Malaysia kini sibuk melakukan latihan intensif sebagai persediaan untuk memecahkan rekod dengan melakukan 70 kali pendakian melalui 2,058 anak tangga sejauh 19,400 meter.
Pada masa ini, rekod Guinness World of Records dipegang oleh pendaki Switzerland, Klurt Hess yang mendaki dan menuruni tangga Menara Esterli, Switzerland setinggi 45 meter sebanyak 413 kali sejauh 18,585 meter pada 2007.
Mohd Noor terus menjalani latihan intensif setiap masa di Bukit Broga, Semenyih, tangga Batu Caves, dan juga di tangga pangsapuri setinggi 10 tingkat di Bandar Baru Bangi.
Sementara itu, Mohd. Noor juga akan melakukan pendakian sebagai latihan di Bukit Besar dan Gunung Tebu di Terengganu awal Februari ini.
Selain itu, beliau bercadang untuk melakukan latihan di Gunung Kinabalu, Sabah, Gunung Raya di Langkawi, Kedah, dan juga tangga menara Alor Setar.
Latihan secara intensif itu bertujuan menguatkan fizikal dan mental sebagai persediaan menghadapi pendakian yang amat mencabar pada bulan April itu nanti.
Di samping itu, bagi menyemarakkan lagi semangat sehingga cabaran itu bermula April ini, program Semarak Misi Rekod Dunia yang membabitkan golongan belia khususnya pelajar universiti dianjurkan.
"Program itu dilakukan serentak ketika saya menjalani latihan bagi memberi perangsang kepada golongan belia untuk turut sama mencipta rekod pada masa akan datang dan seterusnya menyemarakkan lagi cabaran rekod dunia yang saya lakukan April nanti," kata Mohd Noor.
Pada dasarnya, lima buah universiti tempatan, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih untuk menjayakan kempen Semarak Misi Rekod Dunia yang bermula bulan depan.
Sehingga kini, ramai kumpulan belia yang terdiri pelajar universiti telah menyemarakkan Semarak Misi rekod Dunia yang diadakan di Bukit Broga sejak minggu lalu yang membabitkan kumpulan pelajar daripada UITM, UKM, UPM, MSU dan beberapa kumpulan daripada syarikat korporat.
"Walaupun masih kekurangan dana, saya yakin akan memperolehi penajaan dan sumbangan daripada pihak korporat dan agensi kerajaan melalui aktiviti sampingan yang bakal dibuat sepanjang pendakian itu.
"Pada dasarnya, terdapat beberapa agensi dan korporat telah menunjukkan minat untuk menjayakan 'misi rekod dunia' yang dilakukan bertujuan memartabatkan nama Malaysia di persada dunia itu," katanya.
Sebelum ini Mohd. Noor telah berjaya mencipta rekod dengan melakukan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari bermula 31 Disember 2009 dan berakhir 9 Mei lalu.
Rekod pendakian beliau terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo Tanpa Henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).

Fotografi: Kuasai dengan mudah

Minggu depan WOW! akan berkongsi panduan menggunakan fungsi asas pada kamera untuk gambar lebih baik.

DUNIA fotografi sering digambarkan sebagai kemahiran yang rumit ekoran kepelbagaian alat yang digunakan dan juga kaedah pembelajaran melalui kursus-kursus yang mahal.
Persepsi itu mungkin benar bagi yang mahu berkecimpung secara serius . Namun bagi mereka yang sekadar ingin merakam gambar yang lebih menarik untuk ditatap, ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilakukan.
Bagaimanapun seperti apa juga bidang, fotografi menuntut pemahaman teknik dan kaedah tertentu. Dengan kecanggihan dunia digital sekarang, seni itu tidak memerlukan pengorbanan masa dan wang ringgit.
Dengan memahami fungsi-fungsi asas pada kamera dan mengingati beberapa kaedah mudah, gambar kenangan ketika majlis perkahwinan, hari jadi dan melancong kini boleh diabadikan dengan cara lebih menarik.
Kedudukan subjek
Kedudukan subjek di dalam bingkai atau disebut 'komposisi' merupakan satu daripada perkara paling penting yang perlu difahami. Ia menentukan penyampaian mesej dan jalan cerita pada setiap gambar.
Cara paling mudah untuk memahami konsep komposisi adalah dengan mengaktifkan fungsi garisan menegak dan melintang atau grid yang ada di dalam menu kamera kompak dan DSLR.
Garisan sembilan kotak yang dinamakan rule of thirds ini berfungsi sebagai panduan kedudukan subjek di dalam gambar. Dengan menempatkan subjek di antara titik-titik persimpangan, gambar akan menyampaikan cerita dengan cara yang lebih mudah difahami.
Perhatikan kedudukan lelaki di dalam gambar di bawah yang 'berat' ke sebelah kanan. Jika subjek diletak di tengah-tengah bingkai, ia akan kelihatan membosankan dan menyebabkan subjek terlalu kecil (jauh) di dalam gambar.
Peraturan ini walaupun bukan sesuatu yang wajib dipatuhi tetapi boleh dijadikan rujukan untuk mendapatkan kedudukan subjek yang seimbang dengan latar belakangnya.
Fahami pencahayaan
Secara teori ataupun teknikal, faktor pencahayaan memainkan peranan penting di dalam penghasilan setiap gambar. Oleh itu, memahami keadaan, arah dan jumlah cahaya di sekeliling memberi kesan yang ketara pada gambar.
Salah satu teknik untuk mendapatkan pencahayaan yang baik adalah dengan memanfaatkan kesan terang dan gelap (bayang). Misalnya, dengan meletakkan seseorang di tepi lubang tingkap yang ditembusi cahaya, kita boleh merakam gambar potret yang lebih dramatik.
Selain membantu, pencahayaan juga boleh memberikan cabaran. Misalnya, merakam gambar rakan bertentangan dengan sumber cahaya boleh menyebabkan subjek kelihatan gelap.
Bagi mengatasi masalah itu, rakaman seharusnya dilakukan dari arah di mana kamera membelakangi pancaran cahaya. Jika tiada pilihan, rakaman bertentangan dengan cahaya boleh diatasi dengan penggunaan flash.
Bagaimanapun, elakkan penggunaan flash ketika mengambil gambar objek berkilat seperti kaca dan besi kerana pantulan cahaya menghasilkan tompok putih yang mencacatkan gambar.
Untuk mendapatkan cahaya terbaik, jurugambar biasanya memilih dua waktu untuk merakam gambar iaitu pada awal pagi atau lewat petang. Contoh terbaik ketika matahari terbit dan terbenam.
Penentuan arah
Selain konsep komposisi yang amat berkait rapat dengan keseimbangan gambar, memasukkan arah pergerakan dan haluan subjek adalah satu lagi cara untuk menyempurnakan komposisi dan menghidupkan gambar.
Dengan cara itu, gambar memaparkan pergerakan subjek dari titik A ke titik B sekali gus memberi gambaran tentang apa yang sedang berlaku.
Pergerakan kenderaan di lebuh raya dan aliran air di sungai misalnya tidak akan lengkap tanpa memasukkan arah dan laluan ke mana ia bergerak.
Kesederhanaan
Sebelum ‘menggubah’ gambar yang diinginkan, fikirkan sejenak apa yang ingin dirakamkan.
Memasukkan terlalu banyak perkara di dalam satu gambar tidak dapat menceritakan segalanya, sebaliknya menjadikan gambar tiada fokus.
Contohnya, merakam gambar ahli keluarga dengan latar belakang bangunan universiti cukup untuk menyampaikan keceriaan di sebuah majlis konvokesyen berbanding rakaman di tengah-tengah khalayak ramai.
Namun kesederhanaan tidak bermaksud kita kekal sepanjang masa dengan cara ringkas yang mungkin membosankan.
Mempelbagaikan perspektif rakaman dari arah unik serta berbeza seperti dari bawah dan atas dapat menjadikan subjek lebih menonjol.

PPSMI tetap dimansuh 2012 - Puad

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pendirian itu adalah muktamad dan tiada apa lagi yang perlu diperbincangkan mengenai perkara tersebut.
Kata beliau, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana keputusan tersebut telah dipersetujui oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan negara melalui banyak perbincangan sebelum ini.
"Kita telah banyak berbincang dan menjalankan kajian sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI berkuat kuasa 2012.
"Jadi sepatutnya tidak timbul lagi isu-isu mengenainya. Kementerian tetap dengan keputusan bahawa PPSMI akan dimansuhkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) supaya PPSMI dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.
Perkara tersebut dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Mohamad Amir Harun di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
PPSMI diperkenalkan pada 2003 bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar menerusi mata pelajaran sains dan matematik.
Bagaimanapun pada 2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu berkuat kuasa pada 2012, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan.
Menurut Puad, beliau faham tindakan Page itu adalah bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid serta pelajar sekolah.
Bagaimanapun, katanya, kementerian telah memutuskan bahawa PPSMI bukanlah langkah terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu sebaliknya akan memberi lebih tekanan kepada pelajar.
"Langkah terbaik ialah memberi penekanan kepada pengajaran serta pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris itu sendiri bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut dan kami memberi perhatian yang serius kepada perkara tersebut,'' jelas Puad lagi.

Kereta wajib ada beg udara 2012

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan memandang serius kadar kemalangan jalan raya sekarang terutama yang membabitkan kematian akibat tiada peralatan keselamatan yang cukup pada kenderaan awam.
Katanya, walaupun tidak ada penguatkuasaan yang dibuat berhubung peraturan itu, ia perlu dilaksanakan untuk memastikan keselamatan setiap pemandu dan penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya lebih terjamin.
“Kita telah melakukan kajian bersama termasuk dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan terbukti beg udara merupakan aksesori keselamatan yang paling penting,’’ katanya kepada pemberita pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran MCA Rantau Panjang di sini hari ini.
Peraturan baru itu bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan pacuan empat roda.

46,506 mohon ke tingkatan empat SBP

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kementerian Pelajaran menerima 46,506 permohonan untuk kemasukan ke tingkatan empat sekolah berasrama penuh (SBP) bagi tahun ini berbanding hanya 5,300 tempat yang ditawarkan.

Menurut kenyataan oleh kementerian itu hari ini, semakan mengenai keputusan pemilihan dan penempatan pelajar boleh dilakukan dengan melayari laman web www.moe.gov.my bermula hari ini.
"Bagi pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh membuat rayuan menggunakan e-rayuan," jelas kenyataan itu.
Tempoh rayuan ialah selama 14 hari mulai hari ini sehingga 2 Februari ini.
Pelajar yang terpilih akan mendaftar di SBP yang berkenaan pada 7 Februari ini.

Jihad mengangkat martabat tulisan jawi

Kehadiran tulisan yang berasal dari tulisan Arab ini amat bermakna kerana selain menjadi salah satu warisan dunia Melayu yang bersejarah, ia juga sekaligus mengubah senario bangsa Melayu dalam pelbagai aspek sama ada agama mahupun budaya.
Peri pentingnya tulisan jawi ini terbukti apabila ia pernah menjadi tulisan rasmi bagi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penjajahan British. Perjanjian-perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris juga menggunakan tulisan jawi.
Pendek kata, sejarah merakamkan bahawa tulisan ini pernah memainkan peranan penting dalam masyarakat apabila digunakan sebagai perantara dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.
Tetapi kini, semua itu menjadi sisa-sisa kenangan yang manis untuk diingat. Tulisan kebanggaan bangsa Melayu suatu waktu dahulu, kini semakin terpinggir di bumi Melayu sendiri. Satu-satunya ‘warisan’ tulisan jawi yang masih kekal hingga ke hari ini ialah akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan.
Sehubungan itu, kita bukan sahaja perlu memulihkan tulisan warisan orang Melayu ini, malah mengangkat semula martabatnya ke satu tahap yang sewajarnya dengan apa cara sekalipun, sesuai dengan keagungan dan ketinggian ‘darjatnya’ suatu waktu dahulu.
Dalam usaha ini, kita perlu berani bertindak, tidak takut untuk berubah dan sedia mengambil sebarang risiko. Ini penting kerana tulisan jawi adalah sebahagian daripada cara hidup kita, cara kita berbudaya dan skrip agama kita.
Kita menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah yang mengajak orang Melayu mempertahankan tulisan jawi supaya terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa.
Antara titah baginda yang perlu menjadi ingatan semua orang Melayu adalah, ‘meski setinggi mana mencecah awan, akar bangsanya biarlah mencecah bumi di tanah air warisan bangsa, tahu menghargai khazanah bangsanya, dan tidak merelakan warisan bangsanya dihina atau dicerca’.
Titah baginda itu perlu dijadikan azimat untuk kita semua kembali berjuang memperkukuh dan mempertahankan warisan bangsa itu daripada pupus. Jadikan ia sebagai antara perjuangan besar orang Melayu pada masa ini dan masa depan.
Tibalah masanya untuk kita segera bertindak mempertahankan tulisan zaman berzaman itu, kerana ia bukan setakat menjadi tulisan warisan bangsa, tetapi turut melambangkan kekuatan jati diri kita sebagai orang Melayu.
Jika perlu membuat perubahan kepada dasar pendidikan negara, lakukan segera ketika kuasa politik masih ada. Jawi perlu diletakkan sebagai satu pengajian yang tinggi tahapnya, bukan setakat tempelan sahaja.
Pengajian jawi perlu diangkat darjatnya di sekolah. Ia perlu menjadi kurikulum wajib. Para pelajar perlu diuji tahap penguasaan jawi dalam siri-siri peperiksaan besar.
Kita juga perlu memperluaskan penggunaan tulisan jawi dalam pelbagai urusan. Tidak cukup sekadar diletakkan di kepala-kepala surat kementerian-kementerian sahaja, tetapi perlu diwajibkan di papan-papan tanda jalan dan bangunan.
Tugas mempertahan dan mengangkat martabat tulisan jawi ini bukan mudah. Ia memerlukan komitmen semua pihak. Tetapi jika ia dijadikan satu ‘jihad’ orang Melayu, kita percaya tulisan jawi ini akan berjaya diangkat ke tempat yang lebih tinggi.
Hendak seribu daya!

Melancong ke angkasa lepas 2013

MOSCOW 14 Jan. - Rusia akan mula menjual tiket perjalanan bernilai berjuta-juta dolar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 2013, selepas rancangan itu tertangguh selama empat tahun, lapor firma yang menganjurkan pelancongan berbayar tersebut semalam.

Syarikat Space Adventures yang beribu pejabat di Virginia tidak menjual sebarang tiket ke angkasa lepas sejak pengasas Cirque du Soleil dan jutawan Guy Laliberte merasai pengalaman graviti sifar tersebut pada Oktober 2009.
Jurucakap syarikat itu, Sergey Kostenko berkata, pihaknya akan menawarkan tiga perjalanan 10 hari setiap tahun ke ISS menaiki kapal angkasa Soyuz mengikut perjanjian dengan agensi angkasa lepas Rusia, Roskosmos dan pengeluar Soyuz, Energia.
Rusia bakal menambah bilangan penerbangan ke orbit daripada empat ke lima setahun pada 2013 bagi tujuan pelancongan angkasa lepas menerusi Soyuz yang boleh memuatkan tiga penumpang pada satu-satu masa untuk memaksimumkan penggunaan pesawat tersebut.
Sementara Laliberte tidak pernah mendedahkan jumlah yang dibayar bagi mengikuti perjalanan ke angkasa lepas, Kostenko berkata, pelanggan mungkin perlu membayar lebih AS$35 juta (RM110 juta) bagi pelancongan ke orbit seperti yang pernah dibayar jutawan perisian Amerika Syarikat (AS), Charles Simonyi pada 2007.
Katanya, Space Adventures juga telah mempunyai senarai nama pelanggan yang bakal mengikuti pengalaman hebat tersebut walaupun harga yang ditawarkan amat tinggi.
Selepas Laliberte merasai pengalaman graviti sifar itu, Soyuz hanya digunakan oleh angkasawan termasuk dari AS yang menjalankan misi ke angkasa lepas berikutan rancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang mahu menamatkan khidmat program kapal angkasanya yang berusia 30 tahun, tahun ini.
NASA minggu ini berkata, pihaknya mahu menempah 12 kerusi tambahan Soyuz bagi mengangkut angkasawannya pergi dan balik ke ISS pada 2014-2016 dengan setiap kerusi dilapor berharga sekurang-kurangnya AS$55.8 juta (RM175 juta).
Agensi angkasa lepas AS itu tahun lalu menandatangani satu urus janji bernilai AS$335 juta (RM1.05 bilion) dengan Rusia bagi membeli enam kerusi Soyuz pada 2013 ketika ia bersedia mengakhiri program kapal angkasanya ekoran kos operasi yang tinggi dan untuk menumpukan perhatian kepada misi ke planet Marikh dan astreoid.
Kerajaan AS juga sedang giat membangunkan projek industri penerbangan angkasa lepas komersial dan berhasrat untuk bekerjasama dengan dua firma AS, Space Exploration Technologies dan Orbital Sciences Corp. bagi penghantaran kargo ke ISS. - REUTERS

Interlok papar fakta sejarah, tidak menyentuh sensitiviti kaum

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Novel Interlok sepatutnya dibaca dengan kejujuran intelektual kerana apa yang dipaparkan menerusinya adalah fakta sejarah dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga budayawan, Datuk A. Aziz Deraman berkata, novel itu mengangkat tema perpaduan dan Interlok sendiri bermaksud jalinan ke arah keharmonian dalam masyarakat.
''Sekiranya Interlok itu dibaca dan benar-benar difahami, kita akan menyedari bahawa ia memaparkan kebenaran dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini serta perjalanan ke arah membina negara bangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik buku berjudul Interlokkarya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia tingkatan lima bermula tahun ini.
Bagaimanapun, novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan bersikap perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), kelmarin.
Sambil melahirkan rasa terkejut dengan sikap dan pandangan sesetengah pihak terhadap novel itu sehingga ada yang sanggup membakarnya, A. Aziz menasihatkan supaya bukuInterlok dibaca dengan jujur dan tidak dipengaruhi dengan emosi.
Katanya lagi, tindakan membakar novel itu juga tidak sesuai dari sudut keprihatinan masyarakat terhadap ilmu dan pengetahuan.
Justeru tambah beliau, buku itu tidak boleh dilihat dari perspektif perkauman sehingga boleh menimbulkan pertikaian kerana rujukan yang digunakan pengarangnya adalah berdasarkan hakikat sebenar.
''Mengenali Abdullah sebagai seorang penulis, beliau akan merujuk kepada fakta sejarah dalam berkarya seperti mana ketika menghasilkan novel Imam," kata beliau.

Tindakan bakar Interlok dikutuk

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Kementerian Pelajaran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membakar novel Interlok oleh kira-kira 100 penduduk di Klang, semalam.

Timbalan menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut menganggap dua wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang turut menyertai demonstrasi itu sebagai kebudak-budakan.
''Mereka yang terlibat dalam perbuatan itu cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada penulis tersebut sedangkan penulis berkenaan menulis dengan semangat patriotik, jujur dan ikhlas bagi menyampaikan mesej penting bagaimana hubungan kepelbagaian kaum mampu menjadi satu bangsa negara.
''Saya yakin, mereka yang mengambil tindakan tersebut tidak membaca novel itu malah cuba dipolitikkan walaupun novel tersebut mempunyai unsur pendidikan yang begitu besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, kementerian akan bertemu dengan penulis novelInterlok, Abdullah Hussain untuk mendengar sendiri penjelasan daripada Sasterawan Negara itu berhubung penulisannya yang dikatakan menyentuh sensitiviti masyarakat India negara ini, hari ini.
Katanya, kementerian mengambil jalan rasional dalam membuat keputusan untuk meneruskan atau menarik balik penggunaan novel itu sebagai buku teks Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima sekolah menengah mulai tahun ini.
''Setakat ini, kementerian masih meneruskan penggunaan buku itu, cuma kita akan bertemu dengan penulis novel berkenaan mengenai perkara ini, esok.
''Sebelum ini anggota panel yang memilih novel itu sebagai buku teks telah menyatakan bahawa novel tersebut tidak ada unsur-unsur menghina kaum,'' katanya.
Apa yang pasti, jelas beliau, apa sahaja keputusan yang akan dibuat tidak bergantung pada tekanan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, kementerian akan berusaha menyelesaikan isu tersebut dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
''Ini kerana, perlu diingatkan bahawa ada pihak lain yang tidak berpuas hati dan tersinggung dengan cara isu ini dipersoalkan.
''Saya berharap semua pihak bersabar agar isu ini dapat ditangani dengan baik,'' katanya.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan bantahan kerana muka surat 211 dan 220 novel itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyentuh perasaan sesetengah kaum.

Bakar Interlok biadab, kurang ajar - Gapena

Perbuatan membakar novel Interlok oleh kira-kira 100 penduduk berketurunan India di Klang semalam boleh dianggap satu perbuatan biadab, kurang ajar dan tidak bertamadun.

Ketua Media Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Borhan Md. Zan berkata, perbuatan membakar novel itu adalah perbuatan tidak waras dan tidak menghormati Sasterawan Negara.

''Mereka sepatutnya menghormati kepelbagaian kaum di negara ini,'' katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas perbuatan membakar novel Interlok untuk mendesak kerajaan agar mengharamkan novel tersebut dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima di sekolah.
Mereka turut membakar salinan gambar penulis novel itu, Sasterawan Negara Abdullah Hussain.
Borhan berkata, kerajaan tidak harus tunduk pada desakan seperti itu dan menentang sebarang usaha untuk menilai semula novel berkenaan termasuk mengubah perkataan tertentu.
''Gapena amat sedih dan mengecam kedangkalan fikiran mereka yang mengikut emosi dan berkepentingan politik itu.
''Istilah kasta paria yang digunakan dalam novel ini adalah mengikut fakta sejarah dan sememangnya wujud di India, oleh itu mereka tidak harus mempertikaikannya,'' katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman berkata, perbuatan tersebut merupakan satu tindakan tidak menghargai khazanah negara kerana ia karya Sasterawan Negara bukannya penulis biasa.
''Novel Interlok pernah dijadikan buku teks pada 1970-an dan digunakan selama 10 tahun. Jadi kenapa pada ketika itu masyarakat India boleh terima dan tidak mengambil tindakan tidak matang seperti membakar novel itu?
''Adakah masyarakat India sekarang ini semakin tidak matang atau bertindak atas isu-isu lain pada ketika kerajaan mahu memperjuangkan gagasan 1Malaysia,'' katanya.
Sementara itu, Pengarah Media Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Md. Salleh Yaapar berkata, pihak yang mempertikaikan keunggulan novel tersebut adalah berasaskan pada tanggapan yang tidak betul dan 'memperajakan' emosi atau kepentingan politik peribadi semata-mata.
''Isu ini sepatutnya tidak timbul kerana sesiapa yang membaca novel ini dari awal hingga akhir adalah memaparkan kisah nyata pada zaman itu yang mana mampu menjadi satu bahan bacaan untuk anak-anak bangsa Malaysia memahami sejarah mereka melalui karya sastera.
''Dengan karya itu kita dapat tahu asal usul kita sebagai satu wahana untuk konsep 1Malaysia,'' katanya.
Ketua Penerangan, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim mengingatkan pelbagai pihak agar melihat novel Interlok dari sudut yang positif dan tidak terlalu emosional.
Menurutnya, apa yang dimuatkan dalam novel itu adalah fakta sejarah yang tidak boleh diubah justeru semua pihak harus menerimanya.

Stesen baru ke selatan

Pengguna yang ingin mengggunakan terminal tersebut untuk pelbagai urusan termasuk balik kampung atau menjemput sanak-saudara serta sahabat-handai juga tidak perlu merentasi kesesakan jalan raya sebagaimana pengalaman menggunakan Hentian Puduraya.
Lebih menarik lagi, TBS-BTS bakal mempertemukan tiga perkhidmatan pengangkutan awam iaitu transit aliran ringan (LRT), Express Rail Links (ERL) dan komuter. Di situ segala-gala bersatu - pengguna mempunyai banyak pilihan untuk ke TBS-BTS tanpa perlu memikirkan soal kesesakan jalan raya.
Begitu juga bagi pengguna yang tiba di terminal tersebut mempunyai banyak pilihan untuk meneruskan langkah sama ada menggunakan bas, teksi, LRT, ERL dan komuter. Namakan apa saja pengangkutan yang mahu digunakan, semuanya tersedia di TBS-BTS.
Jika mahu memandu kenderaan sendiri, anda tidak perlu risau tentang tempat letak kereta kerana sebanyak 1,000 ruang parkir kereta disediakan di situ.
Bagi wanita, jika Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengorak langkah menyediakan koc khas wanita, di TBS-BTS keistimewaan untuk kaum Hawa juga disediakan. Parkir khas untuk wanita pasti menjanjikan keselesaan serta jaminan keselamatan kepada kaum wanita terutama yang memandu ke situ lewat malam.
Terminal enam tingkat itu dilengkapi 55 platform bas untuk 1,000 bas keluar masuk, 150 ruang bagi teksi termasuk untuk perjalanan jauh dan 1,800 tempat duduk dalam terminal yang dilengkapi pendingin hawa.
Semestinya segala kemudahan itu bagi membolehkan TBS-BTS berfungsi sebagai hab bagi semua perkhidmatan bas ekspres ke selatan yang mampu menampung 45,000 pengguna sehari.
Faktor lokasi dan jauh dari kesesakan menjadikan TBS-BTS sebagai satu lagi bukti komitmen kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi keselesaan rakyat melaksanakan pelbagai urusan.
Untuk bergerak ke zon selatan menggunakan perkhidmatan bas kini bukan lagi satu masalah lantaran terminal yang mula dibina dua tahun lalu dengan kos RM570 juta itu menyediakan segala-galanya di bawah satu bumbung.
Kecanggihan terminal yang dikendalikan Maju Terminal Management and Services (TMAS) itu akan menyaksikan pelbagai kemudahan lain yang tidak terdapat di hentian bas terdahulu, ada di TBS-BTS.
Sebagai usaha memulihara alam sekitar, landskap TBS-BTS akan dihijaukan dengan penanaman 10,000 tumbuh-tumbuhan. Lebih menarik lagi Sistem Hampagas Berpusat akan digunakan di situ bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terpelihara.
Dibina di kawasan seluas 19.6 hektar, terdapat kaunter khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam dan kemudahan pembelian dan penempahan tiket secara online 'e-ticketing' melalui www.tbsbts.com.my.
Tiket
Penjualan tiket menggunakan skrin disediakan di hadapan kaunter dan terdapat mikrofon di dalam kaunter supaya penumpang dapat mendengar dengan jelas maklumat yang disampaikan pihak pengurusan.
Selain 19 kaunter tiket yang disediakan, penumpang yang tidak mahu menunggu lama atau beratur panjang untuk membeli tiket, terdapat juga enam mesin kiosk untuk membeli tiket secara tunai atau 'touch n go'.
Pasti selepas ini tidak akan timbul lagi masalah ulat tiket yang berkeliaran mencari mangsa berikutan pelbagai kemudahan untuk membeli tiket yang turut ditawarkan secara dalam talian tanpa memerlukan pengguna datang ke kaunter. Kemudahan canggih dan moden itu sekali gus mengurangkan kadar jenayah di terminal bas yang sebelum ini menjadi destinasi tumpuan ulat tiket, penyeluk saku dan penipu mengaut keuntungan.
Selain itu, sistem siaran informasi pengunjung (PIDS) seperti jadual pelepasan bas disediakan di setiap tingkat manakala balai ketibaan dan pelepasan di tingkat bawah dikhususkan untuk penumpang sahaja.
Restoran dan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) juga disediakan selain bilik rehat VIP, surau, tandas, tempat menukar lampin bayi serta perkhidmatan WiFi.
Kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) turut menjadi keutamaan termasuk lantai penunjuk arah, kaunter perkhidmatan dan tiket yang direndahkan, tandas, lif, laluan jalan istimewa serta petak letak kereta khas untuk mereka.
Seruan kerajaan supaya rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam semestinya disahut oleh para pengguna yang mahu merasai sendiri kecanggihan TBS dan melihat sejauh mana ia dapat memenuhi keperluan mereka.
Yang pasti, beroperasinya TBS-BTS umpama serampang dua mata - memudahkan pergerakan ke selatan dan pada masa yang sama mengurangkan kesesakan lalu-lintas di ibu kota yang kini semakin merimaskan.
Siapnya TBS-BTS mengajak warga kota mengintai pula apa progres Terminal Bersepadu Timur di Gombak yang dijangka siap tahun ini bagi menguruskan perjalanan bas ke pantai timur.
TBT Gombak juga menyediakan infrastruktur mencukupi bagi memastikan kelancaran lalu lintas, dengan penyediaan 300 tempat letak kereta, kemudahan ‘Park n Ride’, 124 unit ‘bus bay’, 60 tempat letak teksi dan integrasi bersepadu dengan perkhidmatan rel seperti LRT.
Pembangunan TBT Gombak dilaksanakan di kawasan seluas 13.2 hektar dijangka siap secara berperingkat dengan Fasa 1A mula beroperasi selewat-lewatnya suku ketiga 2011.
Bas-bas ke utara pula akan terus beroperasi di Hentian Sementara Bukit Jalil dan Hentian Duta. Cadangan pembinaan Terminal Bersepadu Utara di Sungai Buloh yang akan disepadukan dengan aliran baru MRT. Bagaimanapun TBU dijangka mengambil masa empat atau lima tahun lagi untuk disiapkan.

Ucapan tahun baru & PMR


Saya mengucapkan selamat tahun baru kepada seluruh warga Malaysia.............
Tanamkan azam baru & jadikan peristiwa 2010 sebagai perangsang atau pengajaran kpd kita utk negara termasuk diri kita..........
Selamat bersekolah kpd semua pelajar terutama pelajar Tahun 1 yg baru masuk ke alam persekolahan...
Jangan menangis & belajar bersungguh-sungguh utk ibu bapa anda.......
Saya tahun ini menduduki PMR 2011.......
Mungkin saya kadangkala saja post blog, Insya-Allah ada masa boleh.........
Doakan saya semoga sy dpt straight A PMR 2011, dapat asrama atau dpt masuk ke sekolah PERMATApintar Negara..........

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket