Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Bajet untuk kesejahteraan rakyat - Zambry

IPOH 30 Okt. - Selaras dengan perkembangan semasa, prospek ekonomi negeri Perak tahun 2010 amat bergantung kepada keadaan ekonomi negara dan suasana ekonomi dunia.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika membentangkan Bajet Perak 2010 di sini Rabu lalu berkata, sehingga pertengahan tahun ini, nilai projek-projek pelaburan baru yang diluluskan adalah berjumlah RM608.66 juta di mana 57.8 peratus dicatatkan daripada pelaburan asing dan selebihnya merupakan pelaburan sektor domestik.
''Jumlah yang diluluskan ini adalah kira-kira 64.3 peratus jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh sama pada tahun 2008 bagi negeri Perak," katanya.
Menurut beliau, prospek ekonomi negeri tahun depan amat bergantung kepada keadaan ekonomi negara dan suasana ekonomi dunia.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan sekiranya arah aliran ini berterusan, suasana ekonomi dijangka akan semakin baik pada tahun 2010.
''Selaras dengan perkembangan tersebut, KDNK negeri bagi tahun 2010 dijangka akan berkembang sebanyak kira-kira 3.8 peratus," katanya.
Bagi merealisasikan hasrat terutama dalam usaha memastikan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terpelihara, bajet pertama yang dibentangkan oleh Zambry lebih tertumpu kepada aspek-aspek menjana pelaburan dan dalam masa sama menggunakan sumber yang ada untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
Berteraskan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, bajet 2010 mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri merealisasikan tranformasi yang meletakkan kepentingan rakyat di mercu keutamaan.
Dalam masa sama, gagasan Perak Amanjaya diharapkan mampu memacu matlamat dengan lebih menjurus ke arah kualiti kehidupan rakyat secara terancang.
''Untuk menyemarakkan pencapaian matlamat gagasan 1Malaysia, kerajaan negeri akan melaksanakan gagasan Perak Amanjaya melalui tujuh bidang hasil utama," katanya.
Tegas Zambry, bajet ini memberi penekanan kepada usaha-usaha menangani masalah yang dihadapi rakyat serta memastikan kesejahteraan dan perpaduan serta keselamatan rakyat sentiasa dipelihara.

Rumah Limas dijadikan Balai Polis Danga Bay



 

 JOHOR BAHRU 30 Okt. - Buat pertama kali di negara ini, sebuah balai polis baru yang istimewa akan beroperasi di dalam sebuah rumah tradisional iaitu Rumah Limas di Teluk Danga mulai esok.
Syarikat yang melaksanakan pembinaan balai itu, Danga Bay Sdn. Bhd. (DBSB) berkata, Rumah Limas merupakan pusat kebudayaan yang menampilkan lapan buah rumah iaitu bilangan daerah yang terdapat di negeri ini.
Balai polis itu akan menawarkan kemudahan unik kepada pengunjung menerusi suasana seperti rumah sendiri kerana pembinaannya menggunakan papan dan kayu.
"Balai Polis Danga Bay itu akan dikendalikan oleh seorang anggota berpangkat sarjan dan dua anggota sokongan bersama tiga anggota dari bit polis yang terdapat di sepanjang Teluk Danga.
"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyaksikan majlis penyerahan balai polis baru itu kepada Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff petang esok," kata kenyataan DBSB yang dikeluarkan hari ini.
Turut dijangka hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
DBSB berkata, sempena majlis itu, pihaknya akan menyerahkan sumbangan enam buah motosikal dan dua kenderaan 'buggy golf' untuk kegunaan anggota polis.
Pada masa yang sama, syarikat itu akan melakukan ujian percubaan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) secara keseluruhan dalam usaha meningkatkan tahap kawalan di Teluk Danga.
"Di bawah perancangan ini, sebanyak 100 unit CCTV akan dipasang di tempat yang strategik di kawasan ini.
"Sebagai bantuan kepada kehadiran polis, DBSB juga akan memiliki pasukan keselamatan sendiri seramai 100 yang terdiri daripada bekas anggota tentera dan bertugas sebagai pengawal peronda bermotosikal," tambah kenyataan itu.
Pembangunan pesat di kawasan Teluk Danga yang termasuk dalam kawasan pembangunan Iskandar Malaysia dijalankan oleh DBSB bersama Iskandar Waterfront Development Sdn. Bhd., dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor.
 

Neraka buat Abu Lahab, Ummu Jamil

PADA suatu masa di Kota Mekah, di satu kawasan yang dikenali Shafa yang tidak berapa jauh dari Kaabah, tinggal sepasang suami isteri di sebuah rumah yang sentiasa dihias cantik dan lebih mewah berbanding jiran-jirannya yang lain.
Namun rumah pasangan ini sentiasa tertutup pintu dan tingkapnya yang memberikan gambaran penghuninya mempunyai sifat dengki, tamak haloba, sombong dan egoistik.
Pasangan suami isteri itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil.
Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza, putra tokoh Quraisy yang disegani, Abdul Mutalib yang juga saudara tokoh-tokoh yang disegani di kalangan kaum itu iaitu Abdullah, Abu Talib dan Abbas.
Akan tetapi, Abu Lahab memiliki sifat yang tidak sama dengan saudara-saudaranya itu, baik dalam hal kesopanan, keberanian mahupun yang lain. Abu Lahab (perkataan Arab yang bermakna mempunyai kulit yang putih dan cerah) mungkin kebetulan boleh disamakan dengan perkataan Melayu kita 'lahab.'
Ini kerana Abu Lahab memang terkenal sikap rakus dan tamak dalam banyak hal. Perbuatan beliau yang dianggap paling melampaui batas apabila Abu Lahab dikatakan pernah mencuri emas-emas yang terdapat di Kaabah.
Isterinya, Ummu Jamil juga seorang yang ego, suka berdengki dan pelbagai perangai buruk yang lain. Sifat-sifat buruk itu sebagai menutup kekurangan yang ada pada dirinya, iaitu sebelah daripada matanya, buta.
Cacat pada matanya itu membuatkannya selalu merasa iri kepada sesiapa sahaja.
Sehinggalah pada suatu Subuh yang hening, Ummu Jamil hampir-hampir bergaduh dengan suaminya apabila tidur mereka terganggu dek satu suara yang melaung-laung dan memanggil orang ramai untuk berkumpul.
Abu Lahab begitu memarahi isterinya kerana dia masih mahu tidur dan pening kerana mabuk.
"Celaka aku keranamu wahai perempuan jahat!" kata Abu Lahab terhadap isterinya itu.
Lalu dibalas juga oleh Ummu Jamil dengan kata-kata yang kesat. "Aku pun celaka kerana kau wahai pemalas yang suka tidur! Demi kebenaran berhala, jika kamu tidak memberitahuku (siapa yang melaung-laungkan suara itu) nescaya tidak akan ku biarkan kamu tidur dengan tenang walau sekejap!" katanya.
Akhirnya Abu Lahab bingkas bangun dan mahu menyertai perhimpunan setelah beliau dapat mengenalpasti suara yang memanggil-manggil itu iaitu tidak lain tidak bukan anak saudaranya sendiri, Nabi Muhammad.
"Pasti itu Muhammad yang memanggil kita kerana ada suatu hal yang penting," kata Abu Lahab.
"Barangkali ada harta yang akan diberi olehnya kepada kita," sampuk Ummu Jamil.
Abu Lahab pun segera menyertai anak saudaranya yang ketika itu telah berada di atas Bukit Safa dan menyeru kepada seluruh yang hadir.
"Apakah kamu akan percaya seandainya ku katakan kepadamu bahawa seekor keldai telah keluar dari kaki bukit ini?" teriak Nabi Muhammad kepada semua yang hadir.
"Kamu tidak pernah mendustai kami, kami mempercayai kamu!" ujar mereka hampir serentak.
Lalu Nabi Muhammad pun berkata; "Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepadamu sebelum kamu menghadapi azab yang pedih!"
Abu Lahab yang mendengar kata-kata anak saudaranya itu terus pergi meninggalkan kaki Bukit Safa itu dengan marah-marah.
Abu Lahab sangat marah lalu berteriak dengan suara yang nyaring; "Celakalah kamu untuk selama-lamanya. Hanya untuk itukah kamu kumpulkan kami di sini?".
Daripada peristiwa inilah, Allah mengutuk Abu Lahab kerana sikapnya yang degil dan begitu memusuhi Islam dengan diturunkan-NYA surah al-Masaad (Bernyala-nyala), ayat 1 hingga 5, bermaksud: Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.
(Sesetengah riwayat mengatakan ayat itu diturunkan sebagai mengecam tindakan Ummu Jamil yang suka menyakiti Rasulullah di kemuncak penentangan pasangan suami isteri ini terhadap baginda)
Setibanya di rumah, Abu Lahab disambut oleh isterinya yang kehairanan melihat kepulangan suaminya itu.
"Celakalah kamu wahai perempuan! Mengapa aku harus lama di sana. Kalau yang aku dapat hanyalah si Muhammad yang hendak mengajak kita semua supaya menerima ajaran baru dia itu," jawab Abu Lahab.
Mereka suami isteri semakin tidak senang duduk dengan perkembangan Islam yang semakin diterima oleh masyarakat Arab Quraisy. Mereka menjadi semakin dengki namun tahukah anda apakah faktor sebenarnya yang menjadikan mereka begitu benci kepada Islam?
Adakah semata-mata kerana menyembah berhala itu satu ajaran yang sangat mulia dan mesti dipertahankan?
Kata Abu Lahab kepada Ummu Jamil: "Kini kita perlu sedar setelah melihat kenyataan yang terjadi. Bahayanya mengenai Islam semakin diterima ramai apabila tidak akan ada lagi utusan atau orang Arab yang akan datang untuk mempersembahkan korban mereka kepada berhala-berhala kita.
"Kita tidak akan mendapat manfaat dengan seruan (Islam) Muhammad itu. Bukankah demikian wahai Ummu Jamil?" kata Abu Lahab.
Ternyata merekalah yang selama ini berkongsi hasil daripada penyembahan dan segala macam objek yang dijadikan korban kepada berhala-berhala.
Bukan kerana mempertahankan agama nenek moyang seperti yang selalu mereka laung-laungkan.
Sejak itu mereka suami isteri sentiasa berusaha untuk menyekat perkembangan Islam secara lebih serius.
Ini termasuklah Abu Lahab akan mengekori anak saudaranya yang keluar untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan kemudian akan memburuk-burukkan Nabi di hadapan orang ramai dengan pelbagai kata yang menghina dan menyakitkan hati.
Sementara apa yang dilakukan oleh Ummu Jamil adalah lebih dahsyat lagi. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan di hadapan rumah dan sepanjang jalan yang sering dilalui oleh Nabi Muhammad.
Dikatakan tidak ada ruang sedikit pun di permukaan jalan tersebut kecuali semua penuh dengan duri yang pelbagai bentuk yang menyebabkan tanpa baginda sedari, baginda akan terpijak dan melukakan kakinya.
Maka itulah yang dilakukan oleh Ummu Jamil setiap hari kerana dia merasakan satu kebahagiaan dan kepuasan yang luar biasa setiap kali meletakkan duri-duri itu dan menyakiti anak saudaranya itu.
Untuk bertindak lebih jahat, dia kemudiannya melaksanakan satu lagi misi terhadap Rasulullah dan kali ini melibatkan hubungan kedua-dua buah keluarga.
Ummu Jamil segera menemui anaknya, Uthbah yang mengahwini anak perempuan Rasulullah yang bernama Ruqayyah dan seorang lagi anaknya, Mukhtab yang juga berkahwin dengan seorang lagi anak perempuan baginda yang bernama Ummu Kalsum.
Benar, Abu Lahab dan isterinya itu selama ini bukan sahaja mempunyai hubungan bapa saudara dan anak saudara dengan Nabi Muhammad malah mereka sebenarnya adalah berbesan.
Dek kerana bencinya Ummu Jamil terhadap besannya itu, beliau kemudiannya memaksa anak-anak lelakinya itu supaya menceraikan isteri masing-masing. Sehingga ke tahap itu sekali sehingga sanggup memutuskan hubungan yang suci semata-mata memenuhi nafsu syaitannya itu.
Pastinya Uthbah dan Mukhtab tidak dapat memenuhi kehendak ibu mereka yang melampau itu kerana selama ini mereka tidak menghadapi sebarang masalah dan bahagia dengan pasangan hidup masing-masing.
"Baiklah, jika itu keputusan kalian ibu akan pergi Kaabah dan akan bersumpah di hadapan berhala-berhala yang ada di situ, bahawa kamu semua bukan anak ibu lagi kerana kamu telah derhaka!" ancam Ummu Jamil.
Walaupun terkejut namun demi seorang ibu, mereka terus menemui bapa mertua, Nabi Muhammad.
Lalu melafazkan di hadapan baginda; "Mulai saat ini, kami menceraikan puteri-puteri anda yang kami kahwini selama ini dan mula menentang agama yang anda cuba sebarkan demi maruah berhala-berhala yang mulia!"
Rasulullah yang terkejut dengan tindakan menantu-menantu baginda itu tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdoa moga balasan yang setimpal ditimpakan terhadap keluarga Abu Lahab ini.
Ummu Jamil benar-benar bersorak kegembiraan atas tekanan demi tekanan yang beliau lakukan terhadap Rasulullah.
Namun semua itu masih tidak menghentikannya daripada terus menyakiti Rasulullah. Sehingga di akhir hayatnya, Ummu Jamil dalam usia lanjut akhirnya menemui ajal kerana keletihan menaburkan duri-duri di atas jalan bagi melukakan Nabi Muhammad itu.
Kisah Abu Lahab dan keluarganya ini merupakan kisah yang dikutip dari sebuah buku lama yang bertajuk Profil Di Balik Cadar - Kisah Wanita Dalam al Quran, karya Jabir Asy-syal (terbitan tahun 1986). Penulis memegang ijazah kedoktoran dalam Sastera Cum Laude dari Universiti Iskandariah Mesir, 1961
Walaupun pernah diceritakan mengenai kedua-dua mereka sebelum ini tetapi menerusi buku ini rasanya masih banyak mengenai Ummu Jamil dan Abu Lahab yang hendak dikongsi bersama.

Cabaran sebenar ASEAN

HARI ini Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mampu menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya maruah negara gajah putih yang tercalar akibat insiden di Pattaya April lalu dapat ditebus.
Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tiga hari pemimpin-pemimpin ASEAN dan enam rakan dialog mereka bertemu.
Baik mesyuarat di peringkat persediaan mahupun ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15, suasana di Cha-am, Hua Hin yang menempatkan Hotel Dusat Thani tenang. Kawalan ketat pasukan tentera dan polis serta langkah membuka laluan khas ASEAN ternyata berbaloi.
Lebih daripada itu, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang mempertemukan rakan dialog dari New Zealand dan Australia akhirnya dapat diterjemahkan dalam pertemuan yang ringkas tetapi bermakna.
Namun di sebalik kelancaran persidangan, ada kocakan kecil yang mengalih perhatian dunia terhadap agenda penting yang ingin diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN.
Kocakan peristiwa itu juga menguji sejauh mana semangat ASEAN ke arah solidariti dan uniti mampu disepakati kalangan anggotanya.
Apatah lagi isu panas ketika 'musim panas' di Chaam, Hua Hin yang menyusutkan nilai berita sidang kemuncak melibatkan pemimpin dan jiran kontroversi - Thaksin Shinawatra serta Kemboja.
Isu yang mendapat liputan meluas media tempatan dan asing menyebabkan Abhisit terpaksa membatalkan sidang akhbar semalam kerana telah menjangkakan soalan-soalan pemberita.
Mereka tidak berminat tentang pencapaian persidangan sebaliknya kemelut terbaru Abhisit dan Perdana Menteri Kemboja Hun Seng menjadi tumpuan pemberita terutamanya media asing yang menyifatkan sidang kemuncak kali ini sebagai 'sejuk'.
Hakikat yang mesti diterima tentang ASEAN dan 'isu rumah tangga' yang terbentang luas ialah ia ditelan oleh isu panas terbaru ini.
Di situ semangat ASEAN sebagai pertubuhan serantau yang berperanan memakmurkan setiap anggotanya boleh saja dipersoalkan. Seperti yang ditegaskan Abhisit, rakan sejawatannya Hun Seng memijak kaki ke Cha-am atas semangat ASEAN. Justeru mengeluarkan kenyataan yang boleh membunuh semangat itu bukanlah sesuatu yang bijak.
Ia bertentangan dengan kesepakatan ASEAN mahu membina komuniti sendiri yang saling berhubungan tanpa mengenal batas sempadan melalui pelbagai rangkaian kehidupan.
Sememangnya Hun Seng ada hak untuk membicarakan tentang rakan baiknya Thaksin. Begitu juga dengan Abhisit yang juga ada hak mempertahankan maruahnya sebagai tuan rumah sidang kemuncak apabila isu di luar agenda persidangan diperkatakan sedemikian rupa.
Namun menjadikan sidang kemuncak yang ditunggu-tunggu sejak April lalu sebagai platform adalah sangat tidak sesuai. Sememangnya diketahui juga ada isu yang belum selesai berkaitan pertikaian sempadan kawasan berhampiran Kuil Preah Vihear sejak abad ke-11, yang memanaskan 'iklim' hubungan Thailan-Kemboja.
Konflik seperti itu cukup untuk menggambarkan ada pertentangan antara perjuangan pertubuhan sepuluh negara anggota itu dengan 'kedegilan' segelintir anggotanya menyanggahi semangat ASEAN.
Apatah lagi dalam keadaan Thailand bertungkus lumus mahu membuktikan kemampuan mereka menjadi tuan rumah, isu Thaksin dan Kemboja mencacatkan tumpuan persidangan.
Pergolakan rumah tangga kedua-dua negara itu memberi gambaran seolah-olah ASEAN bukan keluarga bahagia yang bekerjasama menjaga kesejahteraan antara satu sama lain apatah lagi dalam satu majlis yang mempertemukan kesemua adik beradik bersama sepupu sepapat mereka.
Selepas 42 tahun ditubuhkan, itulah dilema ASEAN untuk bergerak sebagai badan yang dapat mewujudkan kemakmuran serantau dari pelbagai sudut - baik berupa menjaga perut penduduknya mahu pun memelihara kestabilan politik serantau.
ASEAN sememangnya telah berjaya dalam banyak hal. Kegawatan ekonomi serantau, bencana alam, pandemik, pendidikan, pelancongan, jaminan makanan dan perubahan iklim antara cabaran yang berjaya ditangani atas semangat ASEAN.
Namun di sebalik kejayaan itu, ada cabaran hebat lain menunggu badan itu.
Cabarannya adalah bagaimana badan itu dapat memainkan peranan menjernihkan kabut yang menyelubungi negara anggotanya. Ini kerana di samping mempunyai semangat ASEAN, ada satu lagi semangat yang mesti dijaga iaitu semangat tidak campur tangan hal ehwal dalam negara anggota.
Dalam kes 'Abhisit lwn Hun Seng' misalnya semangat ASEAN jelas tidak terpakai. Dalam hal ini Hun Seng menjaga semangat Kemboja mana Abhisit mempertahankan semangat tanah airnya.
Di mana kedudukan semangat ASEAN? Apa peranannya?
Sebab itu, apabila sidang kemuncak kali ini memuktamadkan penubuhan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), ada yang mencebik.
Kata mereka, apa guna ada suruhanjaya yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik jika ia tidak bertaring. Jika ia tidak boleh bertindak terhadap mana-mana negara anggota yang melanggar hak asasi manusia.
Di situ dilema ASEAN. Mahu ada semangatnya sendiri menuju kepada solidariti dan uniti tetapi dalam hal tertentu terikat dengan tali serta janji yang terpateri iaitu 'jangan campur urusan rumah tangga orang lain'.
Dan apabila induk atau ibu tidak ada peranan membetulkan kesalahan anak-anaknya maka akan tercetuslah rasa tidak puas hati. Akan terbentuk juga semangat mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan semangat yang mahu dipupuk.
Untuk itu peranan ASEAN kini mahu diperluaskan. Kejayaan yang dicapai serta dokumen tebal pelbagai perjanjian kerjasama termasuk dengan tiga rakan dialognya yang disepakati tidak cukup untuk menjadikan ASEAN pertubuhan yang relevan.
ASEAN mesti lebih berani. Kesungguhan untuk membina komuniti ASEAN dengan semangat serta jiwa yang tersendiri sedang rancak diusahakan. Apabila ada komuniti tunggal ASEAN yang sasarannya enam tahun lagi, maka semangat, tanggungjawab dan keprihatinan akan menjadi lebih padu. Di situ akan ada rasa hormat sekurang-kurangnya untuk tidak membuat onar di peringkat dalaman sehingga boleh menjejaskan semangat ASEAN itu sendiri.
ASEAN mesti proaktif membuktikan bahawa badan itu dihormati atas semangat yang telah dipersetujui bersama. Isu rumah tangga, serantau mahu pun antarabangsa mesti ditangani dengan bijak. Ia mesti diselesaikan atas semangat ASEAN sebelum badan ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan malah dihormati dunia.
Pertikaian di peringkat negara sememangnya menuntut campur tangan semangat ASEAN. Dalam kes hubungan Malaysia-Indonesia misalnya, kontroversi tarian Pendet diselesaikan atas semangat ASEAN dalam masa yang sama kedua-dua negara berusaha menghormati urusan rumah tangga masing-masing.
Bagaimanapun untuk berjaya ke peringkat itu tidak mudah. Ia menuntut kekuatan untuk membataskan keterujaan. Lantaran apabila terlalu teruja manusia sering terlupa sehingga secara sengaja mengetepikan rasa hormat dan semangat yang dipersetujui.
Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga, jika tersilap carik akan terlerai.

Solar Ranger1 sertai Cabaran Solar Sedunia 2009

KERETA solar unik buatan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Solar Ranger1 berlepas dari Rumah Parlimen Darwin, Australia bagi meneruskan perlumbaan kereta solar merentasi benua Australia sejauh lebih 3,000 kilometer semalam.
Solar Ranger1 adalah antara 32 kereta solar yang menyertai Cabaran Solar Sedunia 2009 dari Darwin di utara Australia dan berakhir di selatan Australia di Adelaide.
Seramai 15 anggota pasukan kereta solar tersebut termasuk lapan pelajar kolej kejuruteraan UNITEN tiba Darwin sejak 18 Oktober lepas bagi mengikuti cabaran perlumbaan kereta solar tersebut.
Perlumbaan diadakan secara serentak dengan perlumbaan Eco Challenge menampilkan kereta-kereta hibrid mesra alam, termasuk kereta berkuasa elektrik terlaju di dunia.
Cabaran solar itu turut disertai oleh pasukan dari 15 negara lain.


KERETA solar buatan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Solar Ranger1 berlepas dari Rumah Parlimen Darwin, Australia bagi perlumbaan merentasi benua Australia, semalam.

Potensi industri burung layang-layang gua

NDUSTRI burung layang-layang gua atau segelintir menyebutnya sebagai walet, kian popular kerana menjanjikan pulangan lumayan.
Industri ini menawarkan peluang perolehan berlipat ganda kepada pengusaha asalkan mereka menggunakan pendekatan yang betul.
Ramai masih keliru bagaimana rupa burung berkenaan tetapi mereka yang lama terlibat dalam industri ini menggambarkan fizikalnya sebagai burung yang sifatnya tidak suka bertenggek.
Spesies burung ini dikatakan banyak terdapat di Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia.
Justeru kerana nilainya, ramai berminat untuk mengusahakan sarang burung ini jumlahnya pengusaha semakin bertambah.
Nilai sarang burung layang-layang gua ini sangat tinggi.
Sarang putih burung ini yang belum dibersihkan boleh dijual antara RM3,000 dan RM25,000 sekilogram.
Sarang burung itu dihasilkan menerusi rembesan cecair daripada kelenjar tepi kelenjar air liurnya.
Cecair yang dihasilkan bukan daripada air liur yang mungkin dianggap kotor. Kajian menunjukkan sarang burung tersebut mengandungi asid amino (unit asas protein) yang tinggi.
Meskipun penghasilan sarang burung yang amat bernilai ini dapat menawarkan peluang perniagaan, tetapi tidak ramai yang sanggup melibatkan diri kerana masalah kos yang tinggi dan tidak cukup pengetahuan.
Satu lagi masalahnya ialah pengurusan dan pemasaran sarang burung yang perlu diberi perhatian.
Burung tersebut memerlukan perhatian yang sangat teliti dan tempat bersarang yang sangat spesifik bersesuaian dengan cara hidup burung itu sendiri.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dianggarkan terdapat lebih daripada 30,000 buah rumah sarang burung layang-layang gua di seluruh Semenanjung Malaysia setakat ini.
Bagaimanapun tidak semua rumah burung yang telah dibina ini didiami oleh burung layang-layang gua ini.
Pembinaannya perlu mempunyai ciri-ciri tertentu yang boleh menarik minat burung layang-layang tersebut untuk masuk dan bersarang di dalamnya.
Antara faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan burung layang-layang adalah faktor persekitaran luaran (makrohabitat) dan persekitaran dalaman (mikrohabitat).
Antara faktor persekitaran luaran (makrohabitat) termasuklah kawasan rumah burung, punca air seperti sungai dan sebagainya, kehadiran pemangsa seperti burung hantu, helang dan sebagainya.
Faktor dalaman pula termasuk (mikrohabitat) melibatkan suhu, kelembapan udara, keamatan cahaya, struktur pembinaan rumah burung dan sebagainya.
Kedua-dua faktor ini amat penting selain dari lokasi pembinaan rumah burung itu sendiri dalam menentukan kejayaan sesebuah rumah burung.
Berdasarkan kepada minat orang ramai yang semakin mendalam itu, Perhilitan menganjurkan bengkel ketiga mengenai burung layang-layang gua bermula hari ini.
Bengkel tersebut merupakan lanjutan daripada program kesedaran awam yang telah dijalankan sebelum ini.
Sehingga kini, sebanyak 16 program kesedaran awam telah dijalankan sejak 2008 hingga Jun lalu, manakala satu bengkel telah dijalankan pada tahun lepas.
Hasil daripada program dan bengkel tersebut, seramai 2,000 peserta telah mengikuti program anjuran Perhilitan dan 10 peratus atau 200 orang peserta telah menceburi bidang ini dengan membina rumah burung.
Sehubungan itu, Perhilitan mahu supaya jumlah tersebut meningkat dari semasa ke semasa dengan pendedahan yang diberikan melalui bengkel seperti itu.
Tujuan bengkel diadakan bertujuan membincangkan permasalahan yang berbangkit dalam bidang yang diceburi ini terutamanya dari aspek pengurusan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengatasi masalah berkaitan.
Ini kerana, sehingga kini, tiada satu pendekatan penyelesaian yang standard diwujudkan kerana isu yang berbeza-beza mengikut negeri, kawasan, habitat dan reka bentuk rumah burung itu sendiri.
Melalui bengkel ini, peserta khususnya pengusaha baru, didedahkan dengan pengurusan yang sistematik dan berkesan bagi menjamin kejayaan rumah burung mereka.
Melalui pendekatan ini, satu cara dan kaedah pengurusan akan diwujudkan untuk kepentingan bersama.
Perhilitan pada masa sama, sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat kepada orang ramai yang berminat dalam memulakan perusahaan sarang burung layang-layang ini di samping menjadikan ia sebagai satu bidang perindustrian yang sah di sisi undang-undang.
Bengkel seperti itu juga boleh dijadikan platform meningkatkan bilangan pengusaha bumiputera di samping memastikan setiap pengusaha dan rumah burung layang-layang gua mempunyai permit dan lesen yang sah di samping meningkatkan pertambahan populasi burung layang-layang gua di Semenanjung Malaysia khasnya.
Oleh yang demikian, bengkel ini merupakan satu platform untuk mengutara dan membincangkan permasalahan yang timbul dan berkongsi pendapat serta pengalaman untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Segala perbincangan akan direkodkan dan dibukukan untuk rujukan peserta.


Coklat untuk kesihatan






Koko bukan sahaja lazat dan berkhasiat malah baik untuk kesihatan kulit.







COKLAT boleh dikatakan tergolong dalam kategori makanan sihat. Ramai orang tahu bahawa coklat menghasilkan endorfin (protein) yang membuatkan kita lebih riang, ceria dan bersemangat.
Bagaimana pula dengan jantung? Penyelidikan terbaru membuktikan coklat adalah sumber anti-oksidan terbaik seperti wain merah.
Anti-oksidan dalam coklat dikenali sebagai phenol mampu mengelak kerosakan oksidasi lipoprotein rendah (LDL) dan perlahan-lahan mengurangkan kadar mendapan lemak dalam arteri juga radikal bebas.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail berkata, persepsi negatif terhadap coklat menghalang masyarakat menikmati kebaikan khasiat semula jadi coklat yang sebenarnya. "Secara purata rakyat Malaysia hanya mengambil 600 gram coklat setahun jika dibandingkan dengan penduduk Eropah dengan penggunaan koko perkapita sebanyak 1 hingga 6 kilogram setahun.
"Ini disebabkan salah tanggapan bahawa pemakanan coklat mengakibatkan kegemukan, sakit gigi, jerawat, kolesterol dan sebagainya," katanya.
Beliau berucap pada pelancaran program Inspirasi Koko Musim Keempat di Restoran Berputar Seri Angkasa, Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, pengacara program berkenaan, selebriti terkenal tanah air Serena Redzuawan yang kekal bersama rancangan terbitan TV2 itu sejak tahun 2006.
Program bersiri selama 13 minggu itu kali ini bertumpu kepada penyebaran maklumat mengenai keistimewaan peranan koko dalam kesejahteraan dan kesihatan manusia secara keseluruhannya.
Segmen terbahagi kepada Bicara Koko dan Info Koko, Sajian Koko, Fakta dan Mitos, Kreatif Koko dan Kuiz Inspirasi Koko.
Kata Serena, segmen tip dan petua makanan berkhasiat dapat menangkis rasa takut kepada produk berasaskan koko.
"Malah ia juga menunjukkan bagaimana untuk menggunakan koko dalam masakan dan menambah rasa serta khasiat dalam setiap hidangan," tambah beliau.
Pada majlis yang sama, Dr. Azhar melancarkan produk inovatif berasaskan koko iaitu Beautecoa yang merupakan rangkaian produk kosmetik dan penjagaan peribadi berkualiti tinggi keluaran LKM.
Produk kecantikan berasaskan koko ini mengandungi bahan-bahan terpilih dan gabungan kebaikan khasiat koko serta teknologi pemprosesan terkini untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan.
Koleksi produk kecantikan Beautecoa terdiri daripada;
lCocoa Body Scrub - Formulasi khas daripada mentega koko boleh melembutkan kulit dengan bantuan lenggai sekam koko sebagai ejen eksfoliasi (pengelupasan) dan menjana sel kulit baru.
lPelembap Cocoa Butter - Pelembap semula jadi yang melembut dan melindungi kulit serta melegakan iritasi kulit.
lGincu Cocoa Butter - Melembapkan bibir dan menahan lembapan bagi merawat bibir kering.
lBedak asas Cocoa-Based Cream-To-Powder - Mengandungi fungsi tambahan sebagai bahan antipenuaan yang sukar ditemui dan mempunyai tekstur berkrim.
lBalsam bibir berasaskan koko - Lemak semula jadi mentega koko melegakan bibir pecah, mudah diserap dan melembutkan bibir.
Menurut Dr. Azhar, serbuk koko mengandungi kompaun phenolic yang mampu mengeluarkan radikal bebas lalu memberikannya khasiat antioksidan.
"Ujian menunjukkan tannin dalam serbuk koko mampu mengelak pertumbuhan bakteria yang mengakibatkan kerosakan gigi.
"Di samping itu ia juga mempunyai ejen antibakteria terhadap micrococcus luteus dan S. aureus yang terdapat pada kulit manusia," jelasnya.
Sementara mentega koko cair pada 37 darjah Celsius ke atas dan beku pada suhu bilik. Kandungan lebih 35 peratus terdiri daripada asid oleik yang memberi kelembapan, 33 peratus asid stearic (penghadang lembapan) dan Vitamin E sebagai antioksidan.
Justeru mentega koko merupakan pelembap semula jadi yang bukan sahaja melembut dan melindungi kulit kering malah melegakan iritasi dan menghapuskan kedutan dan tanda penuaan.
Malah lemak mentega koko yang mempunyai ejen menenang dan memulih juga digunakan pada zaman Aztec purba sebagai produk penjagaan bibir untuk memulihkan bibir kering sehingga ke hari ini.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.koko.gov.my.

Teknologi lubang mikro beri keselesaan


DUNIA fesyen hari ini bukan sahaja tertumpu kepada sepasang baju yang dipakai malah kini ia meliputi pelbagai aksesori yang digayakan seseorang seperti tas tangan, rantai, subang, gelang dan tidak ketinggalan kasut.
Kasut yang berkualiti bukan sahaja memberi keyakinan kepada wanita dan lelaki untuk tampil lebih terurus malah ia turut memberi keselesaan apabila memakainya dalam tempoh masa yang panjang.
Pereka kasut yang semakin kreatif juga antara punca rekaan kasut tidak hanya tertumpu kepada kepelbagaian jenis, bentuk, saiz dan warna malah kini setiap rekaan pasti diadakan kajian terlebih dahulu bagi memastikan setiap kasut yang dihasilkan berpadanan dengan bentuk kaki si pemakai.
Hasilnya, walaupun kasut melekap lebih lapan jam, kaki tetap selesa tanpa berpeluh, tidak ketat atau longgar.
Koleksi Geox dari Itali juga antara jenama yang amat menitikberatkan ciri-ciri keselesaan baik bagi kaki wanita ataupun lelaki Asia.
Lantaran itu Geox percaya ketelitian tersebut merupakan cara terbaik menghasilkan kehalusan gaya untuk rangkaian produk terbaru mereka.
Himpunan musim luruh dan sejuk 2009/2010 dari Geox pastinya memberi kebebasan yang diperlukan gaya hidup sihat kerana selain mementingkan penampilan dan keselesaan, bentuknya begitu serasi dengan setiap kaki penggemarnya.
Menurut Pengasas dan Pengerusi Geox, Mario Moretti Polegato, koleksi kali ini lebih tertumpu kepada generasi muda dan pihaknya akan terus menerokai pasaran yang lebih luas untuk meningkatkan penerimaan setiap golongan masyarakat terutamanya untuk pasaran Asia.
''Untuk koleksi kali ini, ia bukan sahaja bertemakan 'seimbang, bermutu dan mempunyai kelas tersendiri', bahkan Geox juga tampil dengan teknologi terkini untuk terus menawan hati pengguna yang sedia ada dan pelanggan baru.
''Walaupun boleh dikatakan kami masih baru di pasaran Malaysia, kami akan terus memberi rekaan terbaik serta sesuai dengan kehendak pasaran dan cita rasa pengguna di negara ini,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

MARIO Moretti Polegato menunjukkan teknologi lubang mikro yang digunakan untuk koleksi musim luruh/sejuk 2009/2010.


Tambah beliau, Geox yang mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun 2006 kini mempunyai tiga buah kedai utama dan 12 kedai di dalam pusat membeli-belah.
Selain menampilkan koleksi kasut untuk wanita (52.8 peratus), Geox turut mempunyai koleksi untuk lelaki (42.9 peratus) dan kanak-kanak (5.3 peratus).
Mengulas lanjut mengenai produk keluaran Geox, menurut Polegato, selain diperbuat daripada kulit lembu yang berkualiti serta menampilkan reka bentuk yang ringkas, lembut dan halus, ia turut menampilkan koleksi kasut yang boleh 'bernafas'.
Mengetengahkan teknologi antarabangsa berasaskan kaki, Geox merupakan syarikat yang pertama memperkenalkan penggunaan lubang mikro pada kasut yang bertujuan untuk memberikan keselesaan, kesejukan dan kering sepanjang masa.
''Koleksi kasut yang ditampilkan bersesuaian untuk pemakaian sepanjang masa dan di mana juga.
''Teknologi yang digunakan bukan sahaja mampu membuatkan kaki 'bernafas' sepanjang masa malah ia juga mampu membuatkan kaki kering dan selesa.
''Jika boleh kami ingin mendahului inovasi dalam bidang ini dengan setiap pasang kasut Geox menerapkan teknologi keselesaan dan sokongan yang unik serta digabungkan dengan rekaan-rekaan baru yang segar dan bergaya untuk membuktikan bahawa gaya dan kesihatan kaki boleh mencipta keserasian,'' kata Polegato.
Lebih menarik lagi apabila setiap kasut wanita yang ditampilkan diserikan lagi dengan penambahan aksesori seperti buckle, ikatan tali, batu-batu berkilauan dan juga reben.
Bagi koleksi wanita, terdapat juga tumit rata dengan pelbagai warna yang menarik.

Perang boleh dihapuskan

TRAGEDI peperangan tidak pernah memberi sebarang keuntungan kepada kehidupan manusia sejagat. Apatah lagi dalam setiap perang yang berlaku dalam dunia moden sekarang ia dikaitkan dengan peranan kuasa-kuasa besar sama ada secara langsung atau pun di belakang tabir.
Jika dahulu peperangan yang berlaku hanya melibatkan di antara tentera sahaja tetapi kini skop serangan semakin meluas sehingga melibatkan kawasan bandar mahupun kampung. Yang menjadi mangsa adalah masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita mahupun orang tua.

Dalam wawancara dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berlangsung di pejabatnya di tingkat 86, Menara Berkembar Petronas bersama wartawan Mingguan Malaysia, WAN NORAZAH WAN CHIK dan HAFIZAHRIL HAMID beliau dengan lantang mengecam peperangan sebagai satu jenayah yang digunakan kuasa besar sebagai alasan untuk mewujudkan keamanan.

Beliau turut berharap melalui Persidangan dan Pameran Antarabangsa mengenai Jenayah Perang yang dianjurkan Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana (PGPF) selama empat hari mulai Rabu ini, ia dapat mendidik masyarakat dunia mengenai erti peperangan serta menanamkan sifat sukakan keamanan, kasih sayang dan belas kasihan.

Mingguan: Macam mana kita boleh mendedahkan jenayah perang kerana kuasa-kuasa besar sering memainkan peranan di belakang tabir?

Dr. Mahathir: Kalau kita lihat dahulu dalam soal perhambaan yang mengamalkan, mendagang serta mempunyai hamba yang ramai adalah mereka dari negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Tetapi apabila mereka memperolehi pendapat umum yang menolak perkara ini melalui suara dan undi mereka, maka kita boleh secara beransur-ansur menukar pemikiran.

punya cadangan adalah supaya sesiapa yang ingin jadi calon presiden, ahli Kongres atau ahli Parlimen di negara-negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan, mereka perlu berikrar tidak akan menggunakan peperangan untuk menyelesaikan sebarang pertelingkahan. Jika kita bagi sokongan kepada pemimpin seperti ini maka kita akan dapat Parlimen yang dipenuhi oleh mereka yang anti peperangan. Mereka ini juga boleh membuat undang-undang mencegah perang. Inilah yang berlaku ketika cubaan menghapuskan perhambaan. William Wilberforce, seorang ahli Parlimen Britain telah berusaha selama 20 tahun untuk menghentikan perdagangan hamba.

Namun akhirnya bukan sahaja perdagangan hamba dihentikan oleh kuasa besar dan peniaga besar tetapi hati kecil manusia beranggapan mempunyai hamba adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan oleh mereka yang bertamadun. Mungkin satu hari kita akan mendapati orang ramai yang akan menjadi mangsa bila ada peperangan, mereka akan jadi mangsa.

Dahulu perang hanya membabitkan tentera dengan tentera di lapangan perang. Namun sekarang seluruh negara adalah lapangan perang. Apabila tentera meletupkan bom mereka bukan memilih sama ada mangsa itu askar atau atau bukan askar. Semua jadi mangsa sama ada orang tua, muda, perempuan atau lelaki semua kena. Maka ia adalah atas kepentingan orang ramai bahawa perang perlu dihapuskan. Ini kerana yang akan jadi mangsa adalah orang ramai sama ada mereka ini penyokong kerajaan atau musuh semua kena.

Bagaimana dengan pandangan bahawa kebanyakan peperangan dilakukan untuk melariskan perdagangan senjata?

DR. MAHATHIR: Ini sudah menjadi satu masalah yang besar. Sebenarnya industri senjata merupakan penyumbang terbanyak kepada ekonomi sesebuah negara. Jika tidak ada industri senjata atau penyelidikan berjuta pekerja akan kehilangan kerja mereka dan juga para kapitalis akan kehilangan keuntungan mereka. Namun apabila kita menghasilkan senjata maka ia akan ditambah baik dan ia akan dihasilkan dalam skala yang besar. Ini seolah-olah menunjukkan semakin banyak senjata maka kita tidak akan kalah dalam perang.
Jadi apa yang akan dilakukan ialah berperang, membunuh manusia dan menguji senjata. Selepas itu mereka akan menghasilkan lebih banyak senjata baru. AS telah mula berpandangan tentang perang pada masa depan di angkasa lepas. Dan Presiden Ronald Reagan telah mengasaskan Star Wars. Mereka ini tidak ada pandangan lain selain berperang dan perang bagi mereka adalah penyumbang besar kepada ekonomi. Jika dihentikan industri ini tentulah akan memberikan masalah. Namun sebenarnya kita boleh atasi masalah itu seperti mengalihkan perbelanjaan untuk penyelidikan contohnya kajian untuk ubat penyakit AIDS ataupun H1N1.

Menyediakan ramuan bajet menjaga kesejahteraan rakyat

SELAMA dua jam Datuk Seri Najib Tun Razak berdiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan cadangan Bajet 2010.

Selaku Perdana Menteri, beliau tenang dan bersemangat mengemukakan bajet sulongnya sebagai Menteri Kewangan.

Bajet ini mempunyai makna yang cukup besar kerana inilah bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan ia juga menjadi pembuka tirai ke arah RMK-10 dan asas model ekonomi baru.

Dengan tema "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" Najib menyusun langkah dan strategi untuk negara menangani dan menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

Berdasarkan pengalaman lepas, kerajaan pusat di bawah teraju Barisan Nasional diyakini mampu membawa Malaysia menjadi negara pelaku perubahan dan pencipta penyelesaian dalam menghadapi cabaran getir ekonomi dunia.

Kita tidak boleh membiarkan ekonomi negara ditekan dan kesannya pasti akan dirasai oleh rakyat. Malah kita tidak mahu kekangan ini membantutkan harapan kita untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Dalam hal ini, kita setuju bahawa Malaysia perlu melakukan transformasi dan inovasi secara menyeluruh. Perkara yang menjadi agenda utama negara ini sedang dilaksanakan melalui gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Petunjuk Prestasi Utama, model ekonomi baru, PEMUDAH, PEMANDU dan Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

Syukur, hasil langkah-langkah proaktif kerajaan, kita dapat merasakan tanda-tanda pemulihan sekarang. Sebagai mana keyakinan Najib, begitu juga rakyat mengharapkan pada 2010 ekonomi global akan kembali pulih.

Dengan itu fokus Bajet 2010 yang mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian NKRA dapat dilaksanakan. Ketiga-tiga strategi Bajet 2010 wajar diberi perhatian khusus, terutama kaitannya dengan model ekonomi baru iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi; memastikan pembangunan holistik dan mapan; dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Kita yakin strategi-strategi itu bakal meningkatkan keupayaan sektor swasta kembali menjadi penjana utama ekonomi negara, menambah kekuatan modal insan dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira kaum.

Kita rasa bersyukur kerana ketika berdepan dengan cabaran global, kerajaan mampu untuk menguruskan ekonomi negara tanpa memberi tekanan kepada rakyat, ahli perniagaan dan pelabur.

Sesungguhnya beberapa strategi yang dibentangkan oleh Najib bertujuan menambah baik kedudukan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran di samping terus menjamin kesejahteraan rakyat.

Dengan pelepasan cukai, pemberian insentif, biasiswa dan dana bantuan, Bajet 2010 menyediakan satu persekitaran yang membolehkan rakyat dan ahli perniagaan mampu berkembang maju dan berdaya tahan dalam mengharungi cabaran mendatang.

Bajet 2010 sesungguhnya bukan semata-mata pengagihan peruntukan dan usaha mencari pendapatan negara, tetapi lebih penting lagi terkandung di dalamnya ramuan formula untuk menjaga kesejahteraan dan mendahulukan rakyat di bandar dan luar bandar. Malah ia juga memastikan pencapaian diutamakan agar ia bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia.

Hadiah Najib untuk rakyat

Sebagai sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat, segala sumpah janji dan khidmat diabdikan tidak lain tidak bukan, adalah untuk melihat kesejahteraan serta kemakmuran dinikmati semua pihak tanpa sebarang pengecualian

CUKAI


Pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000.

Pengurangan kadar cukai maksimum individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus.


Pelepasan cukai langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun pada 2010 hingga 2012.

KAKITANGAN AWAM


Bayaran khas RM500 kepada penjawat Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib kerajaan pada Disember ini.


Pinjaman pembelian komputer setiap tiga tahun berbanding lima tahun sekali sekarang.

RUMAH


74,000 unit rumah kos rendah disediakan untuk disewa kepada rakyat pada 2010.

KWSP


Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.


Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.


Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

KWSP


Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.


Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.


Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

PENDIDIKAN


Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar mendapat ijazah kelas pertama.


30 pelajar terbaik menerima Biasiswa Nasional di universiti tersohor.


Pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun.


Diskaun 50 peratus perkhidmatan kereta api jarak jauh kepada pelajar dengan kad diskaun pelajar 1Malaysia.

Bajet rakyat 1Malaysia

PEMBENTANGAN Bajet 2010 menjadi perhatian semua pihak kerana ia akan melihatkan dua aspek yang penting iaitu pertamanya ia merupakan pembentangan bajet yang pertama oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan keduanya ialah rakyat menantikan apakah agenda masa depan kerajaan yang bakal dilaksanakan seperti yang telah digariskan melalui gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.

Rakyat mahu lihat kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk menjayakan gagasan ini menjadi realiti dan bukan retorik ataupun slogan semata-mata.

Perkara ini cukup signifikan kerana pengurusan sumber ekonomi dan kewangan adalah elemen penting yang akan mencorakkan masa depan dan hala tuju sesebuah negara. Justeru, rakyat mendambakan pengurusan dan pengagihan sumber ekonomi yang seimbang, adil dan saksama dengan mengambil kira kepentingan semua golongan rakyat yang berkaitan.

Bagi rakyat biasa terutamanya golongan luar bandar, isu-isu kepenggunaan seperti kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang dilihat sebagai satu masalah yang besar yang ditambah dengan jumlah pendapatan yang rendah ataupun sederhana.

Soal pengangguran yang masih berada pada tahap yang membimbangkan juga terus membelenggu anak muda negara ini. Masih ramai graduan dan belia kita di luar bandar menghadapi kesukaran untuk memperoleh pekerjaan bagi meneruskan kehidupan harian mereka. Itu belum lagi isu perebutan pekerjaan antara warga tempatan dengan warga asing.

Senario ekonomi global masih tidak begitu memberangsangkan dan meyakinkan kita untuk menarik nafas yang lega walaupun pihak kerajaan melalui pelbagai agensi yang terlibat seperti Kementerian Kewangan dan Bank Negara cuba meyakinkan rakyat bahawa ekonomi kita semakin pulih dengan mengunjurkan sedikit pertumbuhan.

Hakikatnya masih ramai lagi rakyat kita yang belum pulih daripada tempias kegawatan ekonomi yang sedang melanda. Maka rakyat mengharapkan kerajaan akan membentangkan bajet yang boleh merangsang kembali ekonomi negara di samping memastikan perbelanjaan yang bakal dilaksanakan tidak membazirkan wang rakyat.

Bajet ini perlu memberi fokus dan keutamaan kepada kehendak dan keperluan rakyat terutamanya golongan luar bandar dan yang berpendapatan rendah serta sederhana. Kehendak semua kaum juga perlu dititikberatkan.

Memang sukar untuk memenuhi tuntutan semua pihak namun di sinilah kerajaan perlu memperlihatkan kebijaksanaan mereka dalam mengurus dan mengagih sumber ekonomi itu seadil yang mungkin dengan seimbang. Jika ia dapat dilaksanakan dengan bijak, maka rakyat pastinya akan memberikan sokongan yang kuat kepada semua usaha kerajaan yang akan bakal dibentangkan.

Kalau benar kerajaan ingin membuktikan bahawa slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan bukan satu retorik maka perkara-perkara asas sebeginilah wajar menjadi perhatian bajet kali ini agar di samping dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ia sekali gus dapat mengurangkan beban rakyat jelata.

Seterusnya sebagai usaha untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang menepati konsep 1Malaysia, kerajaan juga wajar memberi perhatian kepada program-program yang boleh memupuk semangat perpaduan dan kekitaan serta peningkatan semangat patriotik di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini. Aktiviti sebegini perlu dirancakkan perlaksanaannya dengan lebih terancang dan tersusun agar boleh merealisasikan konsep gagasan tersebut.

Justeru, besarlah harapan kita agar bajet kali ini akan menjadi Bajet 1Malaysia yang akan memberi ruang dan peluang kepada segenap lapisan rakyat negara ini berganding bahu, bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan dan menikmati bersama pertumbuhan dan kekayaan ekonomi negara ini.

Percayalah bahawa jika kita mampu mewujudkan keseimbangan dalam pengagihan kekayaan ekonomi secara sama rata maka pastinya ketirisan dalam soal perpaduan yang semakin merisaukan dewasa ini tidak akan berlaku sama sekali atau sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.

Meningkatkan kesedaran derma organ sebagai sedekah jariah

Pemansuhan PPSMI mungkin 2011

Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

"Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu.

"Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk memansuhkan PPSMI pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Nor, Muhyiddin menegaskan, keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

"Ini adalah keputusan yang muktamad. Jadi apa pun keadaan kita telah menyatakan kesediaan untuk tidak kembali kepada dasar lama iaitu meneruskan PPSMI.

"Segala persiapan telah mula dilakukan mulai sekarang dan saya beri jaminan walaupun PPSMI hanya akan dimansuhkan mulai 2012, insya-Allah ia akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh tersebut ditetapkan kerana kerajaan memerlukan masa untuk membuat semua persiapan sebelum MBMMBI dilaksanakan.

Jelasnya, persiapan itu penting kerana kerajaan telah belajar daripada pengalaman lalu apabila tempoh terlalu singkat iaitu hanya enam bulan sebelum melaksanakan PPSMI menyebabkan pelbagai masalah timbul.

"Dasar baru ini memerlukan kita menyediakan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru Bahasa Inggeris baru yang mahir," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) mengenai pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam keputusan kerajaan, Muhyiddin menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu memahami keputusan yang dibuat oleh kepimpinan sekarang.

Jelasnya, walaupun Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tetapi penentangan bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu keras.

Kurikulum perlu sesuai keperluan setempat

SATU perkara yang kita selalu abaikan apabila bercakap tentang kurikulum di Malaysia adalah mengenai kesesuaiannya untuk semua lapisan masyarakat. Maksud saya, keseragaman kurikulum di Malaysia adalah atas andaian bahawa semua masyarakat di Malaysia adalah homogenous. Positifnya keseragaman ini adalah ia dapat melicinkan usaha penilaian dan pengukuran di pelbagai tahap. Maka, peperiksaan berpusat termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi wadah pengukuran pencapaian semua lapisan masyarakat. Sebenarnya, kita sedar akan kewujudan perbezaan dalam lapisan masyarakat. Umpamanya masyarakat bandar memiliki sokongan pembelajaran yang tinggi termasuk kemudahan pusat tuisyen serta teknologi maklumat.

Ia berbeza dibandingkan dengan masyarakat luar bandar yang terkebelakang dari sudut itu.

Saya yakin bahawa penggubal kurikulum menyedari perbezaan seperti ini, namun keseragaman kurikulum difikirkan perlu demi mencapai matlamat satu negara bangsa.

Namun, di celah-celah perbahasan ini, ada sekelompok masyarakat yang sejak merdeka diperhatikan kurang mampu bersaing di peringkat kebangsaan iaitu kelompok pribumi. Kumpulan ini majoritinya tinggal di pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan beberapa bahagian di negeri lain.

Pengalaman sebagai guru mengajar murid berketurunan Jakun telah mendorong saya untuk mengutarakan idea ini kerana saya dapati mereka ini sebenarnya mempunyai prioriti yang berbeza.

Keperluan utama bagi kumpulan pribumi seperti ini adalah makanan. Seperti kata ahli psikologi Maslow bahawa setiap masyarakat bermula daripada keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal seterusnya kepada tahap kepuasan diri. Maka ilmu yang amat tinggi nilai kepada mereka adalah ilmu yang mampu mengubah nasib hidup mereka. Ini kerana tujuan pendidikan dalam erti kata mudah adalah untuk membangunkan masyarakat bertamadun.

Ketamadunan itu bermula daripada pembelajaran ilmu untuk diamalkan. Maka dalam konteks masyarakat pribumi, ilmu yang dipelajari hendaklah berupaya membangunkan mereka.

Sejarah pendidikan di Tanah Melayu era Inggeris mengajar kita bahawa kurikulum sekolah digubal dengan mengambil kira keperluan setempat.

Umpamanya, ilmu pendidikan yang diajar di Maktab Perguruan Sultan Idris pada zaman itu berkisar kepada kemahiran memasak, anyaman dan ilmu pertanian.

Biarpun ada sarjana Melayu yang melihatnya sebagai satu cara untuk menghalang kemajuan orang Melayu tetapi positifnya ia berupaya menjadikan pendidikan itu lebih hampir dengan masyarakat pada waktu itu.

Melihat kepada keadaan hari ini, para pelajar yang gagal dalam SPM dan berhasrat untuk meneruskan kehidupan di desa, mereka terpaksa mencari ilmu dan kemahiran lain demi survival.

Hanya sedikit ilmu yang dipelajari itu dapat digunakan untuk kehidupan desa seperti ilmu matematik dan bahasa. Ilmu lain yang dipelajari seolah-olah sukar untuk diaplikasi dalam kehidupan harian.

Idea kurikulum yang sejajar dengan keperluan setempat bukan suatu yang asing. Ia mempunyai kaitan rapat dengan ekonomi yang digerakkan oleh pasaran (market-driven). Di Jerman dan Perancis umpamanya, kursus kejuruteraan lebih menjurus kepada kemahiran serta praktikal berbanding teori. Lantaran itulah, kursus kejuruteraan yang dijalankan di negara terbabit lebih bercorak melahirkan juruteknologi berbanding jurutera. Respons kepada perubahan inilah yang melahirkan banyak kursus ijazah teknologi mula ditawarkan oleh banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Hujah-hujah ini adalah justifikasi kepada wajarnya aspek keperluan setempat diambil kira dalam menggubal kurikulum. Maka, saranan Timbalan Menteri Pelajaran agar penggubalan kurikulum khusus Orang Asli dan pribumi hendaklah turut mengambil kira aspek ini.

Saya yakin jika ia diambil kira, sekolah akan menjadi satu institusi ilmu yang hampir dengan masyarakat sekali gus memartabatkan guru sebagai profesional bukan sekadar di sekolah malah melewati sempadan itu.

Budaya peka cuaca boleh elak kemalangan

KEJADIAN kemalangan sebuah kereta yang merempuh enam buah motosikal yang sedang berteduh ketika hujan lebat di bawah jambatan di Putrajaya baru-baru ini seharusnya membuka mata dan minda pelbagai pihak.

Ternyata kejadian tidak diingini seperti ini tidak boleh dipandang remeh atau suratan takdir semata-mata. Menuding jari mencari salah siapa bukanlah penyelesaiannya. Berfikir dan bertindak untuk menangani masalah ini mungkin dapat menyelamatkan nyawa pada masa akan datang.

Pada hemat saya, merancang perjalanan adalah perkara yang paling penting sebelum kita memandu kereta, menunggang motosikal malah pejalan kaki juga harus merancang perjalanan mereka.

Merancang bermaksud bukan sahaja dari segi keadaan kenderaan, pemilihan jalan malah faktor cuaca juga harus diambil kira. Saya berpendapat, kita masih belum peka tentang cuaca di negara kita.

Apa yang saya cuba kongsikan adalah, kita tidak mengambil berat tentang faktor cuaca sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Walaupun kadangkala kita tidak mempunyai banyak pilihan, ternyata kepekaan kita terhadap cuaca masih rendah. Kita sedia maklum dengan keadaan iklim khatulistiwa di mana hujan dan panas sepanjang tahun tidak mengira masa. Tetapi kita langsung tidak menyediakan diri untuk perkara seperti ini.

Saya mengambil contoh di negara Jepun misalnya, ibu bapa di sana akan melihat ramalan kaji cuaca pada sebelah malam bagi menyediakan payung untuk anak mereka ke sekolah pada esoknya.

Sebab itu ada pepatah Melayu mengatakan 'sediakan payung sebelum hujan'. Pernahkah kita terfikir untuk menyediakan payung untuk anak kita ke sekolah kerana bimbang mereka akan dibasahi hujan ketika pulang pada keesokannya?

Inilah yang dinamakan pendidikan awal yang patut bermula di rumah. Walaupun informasi cuaca itu hanyalah ramalan semata-mata, tetapi saya percaya dengan teknologi yang ada sekarang. Jabatan Meterologi Malaysia sudah mampu menyediakan maklumat yang hampir tepat untuk kegunaan kita bersama. Malangnya itulah sikap kita, tidak mengambil berat tentang maklumat percuma yang disajikan setiap hari kepada kita.

Pihak media elektronik juga mampu memainkan peranan yang besar terhadap pembentukan budaya peka terhadap cuaca kepada rakyat Malaysia.

Apa yang saya lihat, informasi cuaca tidak lagi diberi penekanan yang sewajarnya. Jika dahulu ada penyampai khas untuk informasi ini, tetapi kini hanya sekadar informasi yang diiringi muzik yang menyedapkan telinga. Tiada siapa yang ingin ambil tahu, jika hujan maka basahlah. Baru kita tercari-cari di mana payung atau sibuk mencari pelindung.

Saya amat berharap media elektronik boleh mencontohi negara maju yang lain. Mereka bukan sengaja untuk mempopularkan slot ramalan kaji cuaca pada waktu berita perdana mereka. Sudah pasti ada tujuan yang lebih besar untuk itu, iaitu memupuk budaya merancang perjalanan pada hari yang berikutnya.

Marilah sama-sama kita suburkan budaya peka terhadap cuaca. Rasanya tidak rugi kalau kita mengambil sedikit masa pada waktu malam untuk menyediakan diri kita pada keesokannya.

Walaupun perkara ini nampak remeh mungkin kita dapat menghindarkan diri dari pelbagai musibah.

Jangan jadikan alasan 'kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya' membuatkan kita hanya berserah semata-mata.

Rancang dahulu baru tawakal. Insya-Allah dengan usaha kecil seperti ini dapat memberi kesan yang besar terhadap pelbagai perkara.

Perlunya didikan agama diberi keutamaan

KADANG-KADANG kita terfikir, adakah kita memberikan masa yang setimpal kepada pengajian agama jika dibandingkan dengan masa yang kita berikan kepada pelajaran biasa.

Misalnya enam tahun untuk sekolah rendah, ditambah dengan lima tahun sekolah menengah, dicampur dengan dua tahun tingkatan enam dan tiga atau empat tahun untuk ijazah sarjana muda, dua tahun untuk sarjana dan mungkin empat tahun untuk ijazah kedoktoran. Antara 21 hingga 23 tahun tempoh masa dikhaskan untuk sekolah dan universiti.

Sedikit sangat terdapat dalam 21 tahun itu dimasukkan pengajian agama kecuali kalau seseorang itu mencari sendiri guru yang boleh membimbing sehingga betul-betul memahami apa yang diperlukan untuk menjadi seorang insan yang beriman.

Masalahnya bermula dengan ibu bapa yang mungkin tidak mengambil berat tentang perlunya anak-anak mendapat pengajian agama yang lengkap bukan setakat pandai membaca al-Quran sahaja.

Kalau ada pun kelas sebelah petang untuk sekolah agama selalunya hanyalah setakat sekolah rendah sahaja.

Daripada keadaan dan suasana yang tidak memberikan keutamaan kepada pengajian agama yang betul inilah timbul bermacam-macam fahaman dan muncul pelbagai jenis orang seperti Ayah Pin dan Rasul Melayu yang mempunyai pengikut tapi baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa.

Mereka yang menjadi pengikut ini bukannya terdiri orang tidak berpelajaran tetapi mereka yang mempunyai ijazah dan sarjana. Misalnya sebelumnya al-Arqam diharamkan, ramai pengikutnya yang terdiri daripada golongan terpelajar yang sudah terpengaruh dengan pelbagai tuntutan ketuanya termasuk dikatakan dilantik oleh Nabi Muhammad.

Pernah juga terdengar penceramah daripada luar negara yang berceramah hanya untuk golongan ahli-ahli korporat dan mereka memberikan sumbangan berjuta ringgit kepada penceramah yang kononnya begitu mendalam ilmu agamanya.

Mudahnya orang kita terpengaruh disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang agama. Kebanyakannya asas keagamaan mereka begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang mampu mempengaruhi dengan ilmu songsang. Mereka yang menjadi pengikut ini tidak mempunyai ilmu untuk menangkis fahaman yang tidak betul.

Ekoran daripada sikap "tidak takut Tuhan" inilah berlaku macam-macam penyelewengan, penipuan, jenayah dan seribu satu macam kesongsangan tabiat yang dilakukan oleh orang yang berpelajaran tinggi. Ada juga yang mengaji tidak tamat, tetapi dengan sedikit ilmu menggunakannya untuk tujuan yang menyimpang.

Hari ini kita terbaca tentang "siang hari pakai tudung, malam jadi kupu-kupu malam" di kalangan pelajar kita yang tidak malu lagi menggadai tubuh mereka. Begitu juga kelab-kelab gay dan lesbian.

Kesemua ini adalah ketidakmampuan mereka untuk menangkis pengaruh Barat yang mereka baca dan saksikan melalui televisyen, internet, majalah dan surat khabar.

Desakan kehidupan juga menyebabkan ibu bapa tiada masa untuk mendidik anak-anak dalam bidang agama kerana kedua-duanya terpaksa bekerja untuk menampung keperluan kehidupan.

Ramai anak-anak yang ditinggalkan di rumah jagaan kanak-kanak atau dijaga oleh pembantu rumah yang kebanyakannya orang asing seperti rakyat Indonesia dan Filipina. Jarang sekali bagi mereka yang sedar perlunya ilmu agama membawa guru ke rumah atau menyuruh anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas agama.

Di sinilah jabatan-jabatan agama sama ada berbentuk kerajaan atau badan-badan bebas yang disahkan untuk mengambil tindakan daripada peringkat kampung, daerah, bandar dan negeri bagi memastikan pengajian agama ini diberikan suatu keutamaan sama seperti yang diberikan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi dan politik.

Tidak kurang juga masa yang terluang bagi ibu bapa ditumpukan kepada politik, baik di peringkat cawangan, bahagian. Kalau peringkat negeri, maka lagi kuranglah masa untuk anak-anak.

Ini juga boleh menimbulkan macam-macam perkara yang kurang sihat seperti rebutan kedudukan, jawatan, dengki mendengki walaupun mempunyai pelajaran tinggi. Ini dapat kita saksikan sedang berlaku hari ini.

Kalaulah ilmu agama yang betul dapat diberikan secara percuma dalam pelbagai bidang dan peringkat, misalnya yang ingin tahu pasal belajar perkara yang asas, yang ingin mendalam misalnya dalam bidang tasawuf boleh mengikuti bidangnya.

Kita sedia maklum memang ada ceramah agama lepas-lepas sembahyang di masjid-masjid tetapi ini tidak mencukupi kerana kadang-kadang mereka yang betul-betul berminat mencari guru boleh tersalah pilih.

Kita perlu ingat bahawa ilmu yang pertama dituntut untuk kita pelajari ialah ilmu mengenal diri sebelum kita mengenali Allah.

Mengiktiraf tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua.

Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.

Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.

Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.

Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.

Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia.

Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.

Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan.

Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya.

Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

1,000 sertai Walk-a-Mile

Lebih 1,000 orang menyertai acara Walk-a-Mile anjuran Yayasan Jantung Malaysia (YJM) sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2009 hari ini.
Acara yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat itu dianjurkan oleh Yayasan Jantung Malaysia (YJM) bersama Nesvita Omega Plus dan akhbar Mingguan Malaysia serta disokong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Majlis pelancaran acara berjalan kaki sejauh 2.1 kilometer itu disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Pengerusi YJM, Datuk Dr. J.S. Sambi berkata, objektif utama acara tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran umum terhadap penjagaan jantung dan menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan angin ahmar.
“Acara berkonsepkan bukan pertandingan ini mengajak orang ramai berjalan kaki sekurang-kurangnya satu kilometer sebagai satu usaha menggalakkan masyarakat negara ini menjadikan berjalan kaki sebagai salah satu aktiviti rutin bagi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Walk-a-Mile di Taman Tasik Permaisuri di sini.
Tambahnya, senaman harian seperti berjalan kaki jika dilakukan selama 30 minit, tiga kali seminggu di samping mengamalkan pemakanan seimbang akan menjadikan jantung lebih sihat.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Kesihatan DBKL, Dr. Zainol Ariffin Pawanchee; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Pengarah Urusan Nestle (M) Berhad, Peter R. Vogt dan Pengarah Perdagangan Carrefour, Laurent Piazza.

DR. Mahathir Mohamad menerima cenderamata daripada Mohd. Nasir Ali sambil diperhatikan oleh Dr. J.S. Sambi (kiri) dan Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali selepas menyempurnakan majlis pelancaran Walk-a-Mile di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, semalam.


Kempen Walk-a-Mile yang dianjurkan di sini merupakan acara kemuncak kempen tersebut yang mula membuka tirainya di Alor Setar, Kedah pada 25 April lalu dan diikuti Kuantan, Pahang pada 21 Jun dan Melaka pada 19 Julai serta di Taiping, Perak pada 15 Ogos.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui berkata, acara itu sangat baik dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap penjagaan jantung mereka.
Roshayat Ariffin, 25, berkata, acara itu sangat bagus selain berpeluang untuk berjumpa dan beramah mesra dengan bekas Perdana Menteri.
“Seronok dapat sertai acara ini dan diharap banyak lagi syarikat akan turut serta memeriahkan acara ini di samping dapat mempromosikan barangan mereka terutamanya yang berkaitan produk penjagaan kesihatan,” katanya.
Seorang pelajar dari India, Priyanka Shree, 19, berkata, acara itu sangat menarik di samping dapat melihat pelbagai ragam masyarakat di negara ini yang berbilang bangsa dan agama.
“Acara yang menarik kerana ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan penjagaan kesihatan mereka terutamanya kesihatan jantung,” katanya.
Lim Boon Kee, 48, pula berkata, dia sangat suka dengan aktiviti berfaedah seperti ini dan berharap aktiviti seperti itu akan diadakan lagi.
“Saya sering datang ke sini untuk bersenam pada hujung minggu dan acara yang diadakan hari ini memang seronok selain berpeluang untuk berjumpa dengan bekas Perdana Menteri,” katanya.

Pastikan pelajar selamat kembali ke Padang

MERUJUK kepada laporan bertajuk Fakulti Perubatan Universiti Andalas dibuka 15 Oktober (Utusan Malaysia, 7 Oktober 2009), saya berasa sangat terkejut apabila Prof. Dr. Eryati Darwin merangkap timbalan dekan Universiti Andalas memohon lebih 300 penuntut Malaysia melaporkan diri selewat-lewatnya 19 Oktober ini.

Saya berpendapat bahawa bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang pelajar untuk mengatasi situasi yang tegang apatah lagi sesudah ditimpa bencana gempa.

Gesaan Timbalan Dekan Universiti Andalas itu boleh dianggap sebagai tindakan tidak munasabah kerana pelajar-pelajar ini masih berada dalam keadaan trauma dan tertekan akibat kejadian yang berlaku.

Tindakan itu juga boleh dilihat sebagai kurang relevan kerana kemudahan asas dan juga infrastruktur kebanyakannya telah terjejas akibat bencana gempa bumi.

Pihak pentadbiran Universiti Andalas sepatutnya mengambil kira aspek kebersihan dan keselesaan pelajar-pelajar ini sebelum mereka dipanggil melaporkan diri. Adakah dengan menyediakan khemah untuk dijadikan tempat kuliah mampu membantu pelajar ini memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran? Bau busuk dan kerosakan harta benda sudah tentu memberi impak besar kepada tumpuan mereka terhadap pelajaran.

Menyentuh soal keselamatan pula, saya berpendapat, ia tidak seharusnya dipandang enteng oleh pihak pentadbiran universiti. Pihak pentadbiran sepatutnya memastikan kawasan universiti itu benar-benar bebas daripada sebarang ancaman gempa bumi sebelum universiti itu dibuka kepada orang ramai.

Memang ada benarnya pepatah Melayu, 'guruh tak berbunyi, malang tak berbau'. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, tindakan susulan seperti mendapatkan kelulusan daripada pakar bahawa kawasan tersebut selamat didiami akan sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada pelajar kita untuk pulang ke sana.

Saya juga bersetuju bahawa pelajar ini perlu menghabiskan kuliah mereka. Namun adakah dengan situasi yang tegang dan keadaan mereka yang trauma ini dapat menjamin bahawa mereka akan berjaya menghabiskan pengajian mereka?

Sekurang-kurangnya berilah sedikit masa untuk mereka 'berehat' daripada keadaan trauma.

Paling tidak, keselamatan dan keperluan asas di universiti itu dibaiki dan dijamin seratus peratus selamat untuk didiami.

Rumah kayu dan buluh penyerap gempa

Hotel Andalas merupakan antara bangunan yang dapat bertahan selepas bumi Padang digoncang gempa 7.6 skala richter pada 30 September lalu.

Ia menjadi tempat persinggahan para pemandu lori.

Hotel itu hanya mempunyai katil kayu yang dialas dengan tilam kekabu nipis dan sebuah kipas kecil. Bilik air pula disediakan di bahagian luar dan pada mulanya memang cukup menakut situasinya dan terasa kekok kerana terpaksa tinggal dalam suasana kotor, tetapi setelah masuk hari kelima, lumut yang hijau serta kehitaman pada lantai dan dinding bilik air juga seolah-olah tidak kelihatan lagi.

Penulis amati syiling dan dinding hotel berkenaan jika terdapat retakan, maklumkan gempa sebelum ini telah meranapkan terus beribu buah bangunan.

Ternyata tidak ada kesan retak langsung pada lantai, dinding mahupun syiling hotel murah itu.

Seperkara yang penulis sedar syiling hotel berkenaan dibuat daripada buluh yang dianyam, manakala dindingnya pula diperbuat daripada papan lapis yang nipis dan ringan.

Lantas penulis terfikir ketika membuat liputan gempa di Tasikmalaya kira- kira sebulan lalu juga mendapati rumah-rumah yang diperbuat daripada buluh dan kayu langsung tidak terjejas dalam bencana itu.

Begitu juga ketika membuat tinjauan di Pariaman, rumah yang diperbuat daripada batu ranap sama sekali, tetapi rumah diperbuat daripada kayu dan buluh masih tegak berdiri. Mungkin mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi gempa perlu memberi keutamaan kepada pembinaan rumah daripada buluh dan kayu daripada menggunakan simen dan bata yang terbukti tidak mampu bertahan goncangan gempa.

Bangunan yang diperbuat daripada batu walaupun disokong besi yang besar dan utuh tetap tidak dapat bertahan dengan bencana gempa. Bahkan batu-batan yang runtuh menyebabkan banyak mangsa terkorban dan cedera parah.

Berbeza dengan rumah yang lebih banyak menggunakan bahan kayu dan buluh, kerosakan adalah minimum bahkan kecederaan ditimpa kayu serta buluh juga tidak terlalu serius.

Penduduk Indonesia memang terkenal dengan kemahiran bertukang terutama dalam membina bangunan daripada kayu dan buluh, jadi kemahiran itu harus digunakan sepenuhnya.

Namun, satu kejadian lucu ketika menginap di hotel tersebut, ketika penulis dan rakan bersiap sedia untuk ke Pariaman pada pukul 5 pagi, tiba-tiba terdengar bunyi seperti sesuatu benda yang runtuh.

Pada mulanya penulis fikirkan gempa berlaku sekali lagi, tetapi rupa-rupa katil di bilik sebelah yang runtuh dan apabila ditanya kepada pihak hotel itu mereka memberitahu bilik itu didiami oleh pasangan homoseks.

Kita tidak sampai hati biarkan rakyat Indonesia menderita

TRAGEDI gempa yang mengorbankan lebih seribu nyawa di Sumatera Barat, Indonesia mengundang rasa simpati yang bukan sedikit. Simpati kerana satu demi satu bencana melanda negara tersebut.

Setiap kali bencana, ada nyawa terkorban. Ada harta musnah. Lebih meruntunkan jiwa, Indonesia yang terkial-kial untuk bangkit memulihkan ekonominya tersungkur lagi.
Masyarakat antarabangsa sememangnya bersimpati terhadap perkembangan menyedihkan itu.

Apatah lagi negara-negara jiran. Umpama cubit paha kanan, paha kiri terasa - rakyat Malaysia bingkas menghulurkan bantuan.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) segera 'terbang' menghulurkan kudrat secara sukarela. Manakala tabung-tabung khusus untuk membantu mangsa-mangsa gempa di Padang segera ditubuhkan.

Kesemuanya itu kerana ingin meringankan beban yang ditanggung penduduk di situ. Lantaran kemusnahan yang dialami mereka bukan sedikit. Penderitaan mental dan fizikal mangsa-mangsa gempa bumi itu amat ketara sehingga mampu merungkai kemarahan rakyat negara ini akibat insiden membakar Jalur Gemilang dan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap Malaysia.

Paparan mayat-mayat bergelimpangan, bangunan dan kediaman rosak teruk serta mangsa-mangsa yang terselamat tetapi cedera parah cukup untuk memahamkan rakyat Malaysia tentang semangat kejiranan.

Betapa pentingnya sesebuah negara itu memakmurkan jirannya kerana apabila tercetus bencana atau bahaya, jiran-jiran itulah paling hampir untuk disandarkan harapan.

Jiran-jiran itulah yang pertama datang menghulurkan bantuan.

Hakikatnya banyak yang perlu dipelajari daripada kejadian terbaru di Sumatera Barat, Indonesia. Betapa bencana gempa, taufan, tsunami datang tanpa amaran. Dan setiap kali ia datang, sesebuah negara itu tidak akan mampu menghadapinya bersendirian.

Sebab itu, seboleh-bolehnya jangan disakiti hati jiran. Khabarnya gara-gara isu tarian Pendet yang membawa kepada 'upacara membakar Jalur Gemilang' dan kononnya akan berlaku peperangan antara Malaysia-Indonesia, kesannya tabung gempa yang ditubuhkan sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Tabung untuk mangsa gempa di Tasekmalaya di Jawa Barat tidak begitu memberangsangkan.
Alasannya - rakyat Malaysia tersentuh hati. Mereka juga berkecil hati - akibatnya rasa perikemanusiaan, belas ihsan dan keprihatinan terhakis. Biar pun hanya segelintir rakyat Indonesia terlibat mencerca Malaysia, namun tindakan sedemikian mampu mencetuskan kemarahan - lebih daripada itu mengundang rasa benci sehingga mengikis semangat kejiranan.
Namun sehingga ke tahap mana dan di paras mana rakyat negara ini mampu menyimpan rasa marah dan tersinggung. Sebaik-baik mendengar dan menonton kesan bencana berskala 7.6 Richter itu, segala perasaan negatif itu mencair.

Segala rasa sakit hati diketepikan terutamanya apabila rakyat di sini turut merasa kesan gegaran gempa itu. Semangat tolong menolong dan rasa simpati yang melimpah ruah merobohkan sempadan perasaan marah sebelum ini.

Tragedi-tragedi seperti ini mesti dipelajari hikmahnya oleh rakyat di kedua-dua negara. Begitu juga di kalangan penduduk jiran-jiran yang lain. Jangan diundang rasa benci. Jauhkan kontroversi - paling penting pelihara semangat kejiranan serantau yang nilai serta harganya sangat tinggi.

Bagi rakyat Malaysia, teruskan semangat ingin membantu. Hulurkan sumbangan dengan ikhlas bagi meringankan mangsa-mangsa gempa bumi di Padang. NGO-NGO pula terus taburkan bakti di negara yang taburan budaya dan bahasanya amat setara dengan penduduk di sini.

Perlu diakui titik-titik peluh dan rasa keinsafan yang timbul ketika bantuan dihulurkan mengajar kita untuk menjadi lebih matang.

Lebih penting lagi keikhlasan mendidik rakyat negara ini untuk percaya bahawa ada harinya dan ada masanya, kita juga memerlukan bantuan negara jiran.

Untuk itu jagalah hati negara jiran. Apatah lagi jika jiran itu tidak pernah menyakiti hati penduduk di sana. Jika pun hati rakyat di sini sedikit terguris dengan gelagat 'kurang akal' penduduk di sana, maka anggaplah ia asam garam kehidupan dua negara berjiran.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa belakang parang jika selalu diasah menjadi tajam - hati manusia jika selalu disakiti manakala maruahnya tidak dihormati, kesannya lebih meruncing.

Dan jika ia dilakukan secara berterusan, tidak mustahil segala rasa simpati dan keinginan untuk menghulurkan bantuan akan lenyap perlahan-lahan.

Kaji semula kurikulum JPJ

HARI ini rata-rata masyarakat berbicara mengenai Ops Sikap Ke-20 yang melabuhkan tirainya Isnin lalu. Ramai menyuarakan mengenai keberkesanan operasi itu dan ada juga menyuarakan pendapat untuk menangani masalah ini. Jika dilihat dari satu sudut, ini adalah perkembangan yang baik.

Masyarakat Malaysia sebenarnya memang peka terhadap perkara ini. Ops Sikap Ke-20 merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah operasi itu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu dengan 261 kematian. Jumlah korban tertinggi sebelum ini sebanyak 285 orang daripada 253 kemalangan maut yang dicatatkan semasa Ops Sikap Ke-3, iaitu pada 13 Disember 2002.

Kini, banyak agensi yang berkenaan seolah-olah buntu mencari jalan penyelesaian. Hasil kajian oleh Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (MIROS) juga telah membuktikan tabiat memandu yang tidak sihat adalah faktor utama penyumbang kepada permasalahan ini.
Saya berpendapat, sudah tiba masanya kita kembali ke pangkal jalan. Bak kata pepatah, ‘Jika sudah sesat, pulang ke tempat asal di mana tempat bermulanya perjalanan itu’. Ramai menyuarakan tentang kurikulum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang patut diberi kajian terperinci.

Segalanya-galanya bermula di sini. Saya tidak melabel kurikulum yang sedia ada ini tidak boleh diguna pakai. Kurikulum ini jugalah yang telah melahirkan ramai pemandu berhemah di negara ini. Cuma ada segelintir yang rakus mengikut hawa nafsu, mementingkan diri sendiri dan menyusahkan pengguna yang lain.

Saya menyarankan sebahagian kurikulum ini dapat diperkenalkan di peringkat sekolah menengah iaitu di tingkatan empat. Mungkin tidak menjadi mata pelajaran SPM, tetapi mungkin menjadi mata pelajaran wajib lulus untuk ke tingkatan lima.

Ada yang berpendapat bukan semua yang berhajat mendapatkan lesen memandu, tetapi pengetahuan dan kesedaran jalan raya amat penting diterapkan kepada semua peringkat masyarakat. Jadi adalah relevan jika pembentukan tabiat memandu yang sihat dan kesedaran keselamatan jalan raya bermula di sekolah.

Saya juga berpendapat, remaja di usia 16 tahun adalah peringkat umur yang terbaik untuk membentuk mereka. Di ketika inilah mereka seakan-akan teruja untuk mengetahui lebih lanjut apa itu memandu. Jadikan kurikulum ini sebagai satu mata pelajaran yang menarik dan menimbulkan kesedaran secara automatik dalam diri pelajar. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan, pengetahuan ini adalah ‘kemahiran hidup’ yang patut diambil tahu oleh semua orang.
Selain daripada kurikulum semata-mata, penerapan daripada segi ko-kurikulum juga mungkin boleh diambil kira. Penubuhan kelab-kelab yang berorientasi ‘Keselamatan Jalan Raya’ juga dapat memupuk sikap yang baik di jalan raya.

Wujudkan kelab ini secara aktif dan mungkin mendapat suntikan idea daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya ia dapat dipopularkan di peringkat kebangsaan. Ini juga dapat mewujudkan situasi di mana kita patut rasa dihormati kerana kita mematuhi undang-undang jalan raya.

Semua agensi yang berkenaan mungkin dapat duduk semeja dengan Kementerian Pelajaran bagi menghasilkan formula kurikulum yang berkesan kepada pelajar. Ini juga membuka ruang pekerjaan kepada guru-guru sekolah memandu untuk memanfaatkan pengetahuan mereka.

Skop kerja mereka juga akan menjadi lebih luas dan tidak tertumpu untuk mendapatkan lesen kepada pelajar sekolah memandu mereka. Tidakkah perkara seperti ini dapat memartabatkan fungsi mereka dalam membentuk pemandu yang berhemah di jalan raya?

Sudah sampai masanya penerapan kurikulum JPJ didedah di peringkat sekolah.

Pendedahan ini memerlukan kerjasama oleh semua pihak. Harus diingat, ibu bapa juga patut menjadi tunjang kepada penerapan nilai-nilai murni di jalan raya. Insya-Allah, jika semua pihak merasakan diri mereka bertanggungjawab atas usaha murni ini, tidak mustahil masalah ini dapat dibendung suatu hari nanti.

tempat ketiga permainan catur & open house di rmh sy

Utk pngthuan anda sma,sy tlh brjaya mndpt tmpt ketiga dlm prmainan catur.
Ia diadakan smpna mjlis pntpn hari kokurikulum & rkn mda kecergasan 3.10.2009.

Selain itu, sy jga mmbuat open house utk rkn2 sekloh pada 3.10.2009(3.00-5.00 ptg).
Rmi yg dtg.

Utk mngcpkan tahniah kpd sy, silalah berbuat demikian di dalam shoutbox(chatting).
Itu saja.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

Arkib Blog

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket