IPOH 11 Feb. - Satu laluan terus tanpa tol Ipoh-Jelapang, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini terpaksa ditutup sementara untuk kegunaan lalu lintas ekoran mendapan tanah di tepi jalan itu.
Mendapan tanah itu menyebabkan wujudnya lubang selebar dua meter dan dalam tiga meter yang boleh membahayakan nyawa pengguna kenderaan.
Penutupan tersebut menyebabkan berlaku sedikit kesesakan lalu lintas ke arah utara, kira-kira 200 meter dari Jalan Tunku Abdul Rahman yang dulu dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar.
Seorang jurucakap syarikat Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) yang berada di tempat kejadian memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh seorang penunggang motosikal yang melalui laluan itu, pukul 1.10 petang ini.
''Kami mengambil tindakan segera menutup sebahagian laluan tersebut bagi mengelak berlakunya kemalangan," katanya.
Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melawat tempat kejadian menyatakan, pihaknya sedang menyiasat punca kejadian tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan