ramal kematian?
|
|
KEMATIAN adalah satu perkara yang pasti. Tidak akan ada seorang pun yang mampu mengelak kematian walau sehebat dan sekaya mana individu itu di muka bumi. Mungkin ada yang mengaku boleh meramalkan peristiwa yang akan berlaku di masa depan termasuk kematian, namun kewibawaannya tetap dipertikaikan.
Tapi bagaimana pula apabila seekor kucing boleh meramalkan kematian. Mungkin pelik. Tetapi itulah yang didakwa oleh seorang profesor perubatan di Brown University, Amerika Syarikat (AS), Dr. David Dosa.
Kucing yang diberi nama Oscar itu dianggap sebagai "malaikat maut berkaki empat" kerana dikatakan mempunyai keupayaan meramalkan kematian.
Di peringkat awal Dosa agak skeptikal apabila diberitahu keistimewaan Oscar. Namun setelah membuat pemerhatian selama lima tahun, segala-galanya berubah.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau dan rakan-rakan yang terlibat dalam pemerhatian itu mendapati sebanyak 50 kematian telah diramal oleh Oscar dan ia terbukti benar.
Kisah mengenai keupayaan luar biasa Oscar sememangnya sangat jarang berlaku dan mungkin ramai yang menganggap ia satu misteri yang menakutkan. Malah "deria keenam" yang dimiliki Oscar pastinya akan mengundang pelbagai spekulasi yang mampu menimbulkan keterujaan atau ketakutan di kalangan masyarakat.
Kucing berkenaan dikatakan akan berguling-guling untuk rapat dan tidur bersama pesakit beberapa ketika sebelum kematiannya menjelma.
Oscar telah dijadikan kucing angkat sejak dari kecil oleh Pusat Kejururawatan dan Pemulihan Steere House di Prividence, Rhode Island. Ia kemudiannya dilatih untuk menjadi kucing terapi. Pusat Steere House merupakan sebuah tempat jagaan untuk pesakit demensia dan mereka yang mengalami pelbagai penyakit di peringkat kritikal.
"Setakat ini pesakit yang dirapati oleh Oscar akan pergi buat selama-lamanya," kata Dosa.
Contoh
Beliau mengambil contoh di mana pegawai kesihatan di situ telah meramalkan seorang pesakit yang sedang tenat mungkin akan mati akibat penyakit yang dialaminya. Bagaimanapun Oscar enggan merapati pesakit itu sebaliknya pergi kepada pesakit lain. Ramalan Oscar terbukti benar dan insiden itu telah mengejutkan semua staf di pusat berkenaan.
Setakat ini tiada penjelasan saintifik yang mampu menghurai tentang keupayaan Oscar meramal kematian. Namun Dosa beranggapan apa yang berlaku adalah kerana keupayaan Oscar bertindak balas atau menghidu bau atau keadaan yang di luar batasan dan keupayaan manusia.
Dosa yang mendedahkan perkara ini buat kali pertama pada 2007 kini telah melancarkan sebuah buku tentang kejadian ini yang bertajuk "Mengenali Oscar, Seekor kucing biasa dengan keupayaan luar biasa".
Namun bukan niatnya untuk menakut-nakutkan orang ramai tentang keupayaan Oscar meramal kematian. Buku itu lebih kepada menceritakan keupayaan Oscar dan kisah yang berlaku serta membantu orang ramai berhadapan dengan orang tersayang yang mengidap penyakit kritikal.
" Banyak yang boleh diceritakan tentang Oscar namun lebih banyak yang boleh diberitahu tentang hubungan kemanusiaan ketika ahli keluarga mereka berhadapan dengan saat-saat akhir kematian insan yang dikasihi.
" Mungkin buku ini lebih menarik kerana kisah mengenai Oscar di dalamnya tetapi tidak ramai yang tahu tentang rumah pemulihan dan membuang persepsi tentang pusat ini yang dikatakan sebagai persinggahan terakhir sebelum mati," katanya.
Namun sehingga kini Oscar tetap seperti kucing lain walaupun mempunyai keupayaan tersendiri. Tidak ada apa yang mengubah sifat semulajadinya walaupun perhatian terhadapnya semakin memuncak.
Oscar tetap menghabiskan kebanyakan masanya dengan memerhati ke luar tingkap tanpa sebarang perasaan walaupun kini menjadi lebih jinak.
"Pertama kali saya bertemunya, Oscar menggigit saya namun ia menjadi lebih mesra sekarang dan kami telah berpindah ke tempat yang lebih baik.
"Saya tidak fikir Oscar sebagai binatang unik tetapi ia berada di sebuah tempat yang unik. Haiwan selalunya berkeupayaan untuk melihat dan merasa perkara yang kita tidak boleh ketahui.
"Mungkin kita perlu terima anjing yang berupaya mengesan kanser atau ikan mengesan gempa bumi. Mereka lebih tahu dari kita tentang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak pasti," kata Dosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan