AKIBAT kemiskinan kanak-kanak ini terpaksa bekerja mengutip kotak dan barangan plastik untuk sesuap nasi.
TAHUN lepas kita dikejutkan dengan keupayaan filem Slumdog Millionaire menggondol lapan anugerah di Anugerah Academy termasuklah filem terbaik dan pengarah terbaik. Filem tersebut benar-benar memberi impak besar kepada dunia perfileman serta kebanyakan penduduk dunia kerana ia membuktikan keupayaan bakat Asia menonjol di Hollywood.
Selain itu ia turut merubah pandangan bahawa filem membabitkan India tidak semestinya hanya melibatkan tarian dan nyanyian saja.
Namun dari sudut lain pula ini sebenarnya mendedahkan realiti yang berlaku dalam kehidupan majoriti rakyatnya. Realitinya kemiskinan dan kemelaratan adalah satu perkara yang amat sinonim dengan kehidupan penduduknya. Namun begitu di mana-mana sudut dunia orang ramai semakin galak menyatakan tentang kebangkitan negara India sebagai sebuah kuasa ekonomi baru dunia. Perkara itu memang benar dan kita boleh lihat sendiri perubahan yang telah berlaku di sana berbanding 15 atau 20 tahun lepas.
Di India sahaja 57 rakyatnya tersenarai dalam golongan bilionair yang juga senarai paling ramai di Asia. Dua orang warganya iaitu Mukesh Ambani yang menguasai Reliance Industries dan Lakshmi Mittal, pemilik antara syarikat besi terbesar dunia Arcelor Mittal menduduki tempat ketujuh dan kelapan dalam senarai manusia terkaya dunia.
Malah dijangkakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang rakyat India akan meminggirkan warga AS dalam senarai 10 orang terkaya dunia. Pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan di India kini antara yang tertinggi pada kadar sembilan peratus setahun dengan 350 juta rakyatnya tergolong dalam kelompok masyarakat kelas menengah.
Semua kekayaan ini adalah hasil dari dasar liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada sekitar tahun 90-an.
Namun selepas peningkatan ekonomi yang memuncak ditambah pula dengan jumlah bilionair teramai di Asia masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup masih lagi di takuk lama. Kebuluran, taraf hidup yang rendah, masalah sosial yang meruncing, tahap kesihatan yang sangat menyedihkan merupakan antara masalah lama yang masih dihadapi warganya.
Hakikatnya lebih dua pertiga daripada lebih 1.2 bilion penduduknya adalah miskin.
mengemis
Kemiskinan dan hidup melarat masih menjadi satu pemandangan biasa dalam kehidupan jutaan rakyatnya. Kehidupan anak gelandangan yang terpaksa mengemis kepada setiap orang yang lalu lalang adalah satu perkara biasa. Setiap hari apabila malam semakin lewat maka golongan pengemis juga bertebaran memenuhi kawasan seperti di bawah jambatan dan tepi-tepi jalan untuk mencari tempat melelapkan mata sementara menunggu hari kembali cerah keesokannya.
Itulah hakikat kehidupan sebenar yang menghantui penduduknya. Semua ini di sebalik kekayaan yang semakin melimpah ruah, kehidupan rakyat miskinnya tidak pernah berubah. Yang bertambah hanyalah kekayaan yang dimiliki oleh golongan kaya. Namun si miskin tetap dengan kehidupan melarat mereka. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang malah ada kalangan mereka yang tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan. Masalah ini bertambah teruk dengan pertambahan penduduk yang tidak dibendung.
Berdasarkan standard Bank Dunia, taraf kemiskinan diukur jika pendapatan yang diperolehi adalah kurang dari AS$2 (RM7.20) sehari.
Malah berdasarkan anggaran kerajaan pada 2007 seramai 220.1 juta penduduknya hidup melarat akibat hidup di bawah paras kemiskinan.
Seramai 21.1 peratus dari keseluruhan penduduknya di kampung manakala 15 peratus penduduk bandarnya pula hidup dalam kesempitan dan kemiskinan melampau.
Menambahkan lagi kekusutan, pembahagian kekayaan antara negeri-negeri juga tidak sama rata. Negeri seperti Delhi dan Punjab mempunyai jumlah populasi kemiskinan yang sangat kurang berbanding negeri-negeri seperti Bihar dan Orissa. Lebih 50 peratus rakyat di negeri ini hidup di bawah paras kemiskinan.
Jumlah kemiskinan juga adalah sangat berbeza antara penduduk di luar dan dalam bandar.
bergantung
Masalah kemiskinan di India banyak disumbangkan oleh penduduk di luar bandar akibat terlalu bergantung kepada sumber pertanian. Maka faktor cuaca seperti kekurangan hujan dan sebagainya sangat mempengaruhi kehidupan harian mereka.
Maka tidak menghairankan lebih 150,000 petani di India membunuh diri dalam tempoh satu dekad lepas akibat dihimpit kemiskinan.
Namun masalah utama kemiskinan mereka pastinya kerana kedudukan kasta yang memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ini kerana akibat berasal dari kasta rendah maka tidak menghairankan kebanyakan mereka tidak menikmati kemudahan awam seperti hospital dan sekolah.
Akibat dari kemiskinan yang melampau di kawasan luar bandar maka kebanyakan mereka ini mencuba untuk mencari kehidupan yang lebih baik dengan berhijrah ke bandar.
Biarpun India kini menduduki tempat keempat ekonomi terbesar dunia dari sudut kuasa beli dan ke-12 terbesar bagi pertukaran mata wang, ternyata reformasi ekonomi di negara itu gagal melimpahkan manfaatnya kepada penduduk terutama di luar bandar.
Maka kita boleh lihat penghijrahan rakyat India ke negara-negara lain telah menjadi amalan berterusan sejak dahulu. Malah ia berterusan sehingga ke hari ini. Oleh itu adalah perkara biasa untuk melihat wajah-wajah keturunan India walau di mana pun kita berada.
Menyedari hakikat ini adalah penting untuk kita mensyukuri semua nikmat dan kekayaan yang terdapat di negara ini walaupun mungkin tidak semewah yang dikaut oleh golongan billionair di India. Namun yang pasti nikmat ini dikongsi bersama secara adil dan saksama oleh semua kaum tanpa perlu ada sebarang prasangka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan