![]() |
Usaha dan perlaksanaan yang tepat adalah tunggak yang boleh menghasilkan kejayaan dalam setiap rancangan. - Gambar hiasan |
Ramai juga yang bertanya apa azam 2010, adakah sudah tercapai azam 2009 atau adakah azam kali adalah untuk tidak membuat sebarang azam.
Hakikatnya, azam tahun baru hanyalah cebisan semangat untuk menyambung apa yang tidak kesampaian pada tahun-tahun sebelumnya. Tetapi bukan bermakna azam tahun baru hanya untuk mereka yang gagal menyempurnakan cita-cita tahun lepas.
Malah dalam banyak ketika, orang yang berjaya lebih kuat azamnya berbanding mereka yang kurang berjaya. Kejayaan yang dicapai menjadikan seseorang itu menguatkan azam untuk melipat gandakan usaha supaya kelak menjadi lebih berjaya.
Ia selaras dengan fitrah manusia yang tidak pernah berasa puas dengan pencapaian diri dan ingin mengecapi kejayaan yang lebih hebat.
Menurut pensyarah kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Saedah A.Ghani, azam tahun baru sebenarnya perjanjian pada diri sendiri sempena kemunculan tahun baru.
Malah perjanjian tersebut sebenarnya ditentukan oleh diri sendiri bagi mencapai kesempurnaan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan.
''Tahun baru harus dianggap sebagai detik perubahan dengan semangat yang baru yang mampu memberi keyakinan kepada kita untuk menempah kejayaan ke arah yang baik,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tegasnya lagi, ajaran Islam sentiasa mementingkan umatnya supaya berusaha menuju kebaikan dan kejayaan.
''Keadaan ini hanya mampu dicapai jika ada perancangan dan pengetahuan mengenai apa yang hendak dilakukan,'' terangnya bersungguh
Katanya lagi, sebagai manusia yang normal kita tidak harus berada ditakuk lama dan berpuas hati dengan apa jua yang telah dilakukan.
''Kita mesti mempunyai matlamat berusaha mengubah kepada lebih baik, jika hari ini kita tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam bermakna kita mempersia-siakan peluang hidup pada hari semalam,'' katanya.
Malah terangnya lagi, setiap matlamat yang kita impikan perlulah disulami dengan dengan perancangan yang betul bagi mencapai matlamat tersebut.
''Kekuatan dan kemampuan perlu dibina pada tahap maksimum. Pengukuhan pula hendaklah disertai dengan semangat yang jitu.
''Usaha dan perlaksanaan yang tepat adalah tunggak yang boleh menghasilkan kejayaan hidup,'' ujarnya yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kaunseling.
Katanya lagi, setiap perancangan pula perlu meliputi usaha yang berterusan dan juga matlamat untuk berjaya.
''Tepatlah kalau kita katakan, azam tahun baru itu adalah perancangan diri sendiri. Sejauh mana kita menginginkan sesuatu untuk tahun itu, sejauh itulah ia akan mendorong semangat dan tindakan kita.
''Sebab itu azam tahun baru adalah fasa terbaik untuk kita menilai dan bermuhasabah diri. Jika azam pada diri sendiri pun tidak mampu untuk kita capai, bagaimana pula dengan harapan yang diletakkan oleh orang lain pada diri kita?,'' tegasnya serius.
Justeru itu katanya, azam baru nanti janganlah pula hanya untuk kepentingan dan keinginan sendiri. Selitkan juga janji kita untuk semua watak yang kita pegang dalam kehidupan ini, baik di dunia mahupun di akhirat.
Sementara itu, pensyarah Jabatan pengajian Melayu, Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Noraniza Mohd. Noor, pula memberitahu, azam tahun baru adalah masa depan boleh diramal.
Namun akuinya, setiap perancangan memerlukan matlamat yang tepat.
''Perkara ini penting kerana setiap perkara yang kita ingin lakukan setiap hari merupakan sesuatu yang memerlukan perancangan dan arah tujuan yang jelas.
"Sekiranya merujuk kepada sejarah penghijrahan Rasulullah SAW sendiri pun, baginda telah membuat perancangan yang amat rapi dalam peristiwa penghijrahan Rassulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah," katanya.
Daripada sejarah Hijrah ini menunjukkan bahawa perancangan dan strategi merupakan sesuatu yang dapat menentukan sama ada tujuan yang ingin dilihat berjaya dengan cemerlang atau 'hanya hangat-hangat tahi ayam'.
Tegasnya lagi, selain daripada perancangan, tingkah laku yang berterusan juga membawa kepada kejayaan dalam perbuatan yang kita lakukan.
Selain itu, beliau yang bertugas sebagai kaunselor juga memberitahu, azam yang dibuat dan dicetuskan itu juga, perlu sentiasa di segarkan dari semasa ke semasa dengan diikuti oleh tindakan yang terbaik .
''Yakinkan diri bahawa setiap hari adalah perlu disambut dengan sambutan tahun baru serta azam yang teguh.
''Pelan tindakan inilah yang memerlukan kepada satu jadual dan gerak kerja yang direkod setiap hari, itulah yang dinamakan 'catatan harian peribadi','' tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan