Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Selama ini pendidikan apa namanya?

AKHIR-AKHIR ini bertubi-tubi Kementerian Pelajaran diasak dan disarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum sekolah, kononnya untuk memberi pengetahuan kepada pelajar tentang bahayanya mengandung anak luar nikah dan mengamalkan seks sebelum berkahwin. Lebih penting adalah untuk mengawal gejala buang bayi yang menjadi-jadi sekarang ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil turut mengulangi gesaan supaya Kementerian Pelajaran bertindak segera memulakan pendidikan seks itu manakala kementerian tersebut pula masih menimbangkan dan menunggu maklum balas daripada pihak-pihak yang lain.
Tetapi apakah benar pendidikan seks tidak diajar di sekolah-sekolah selama ini? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh para pendesak ini?
Selama ini apakah jenis pendidikan yang diterapkan dalam matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam mengenai seks? Bukankah itu adalah satu cabang pendidikan seks?
Dalam matapelajaran Sains dan Sains Kesihatan di sekolah telah ada topik-topik tentang alat-alat kelamin lelaki dan perempuan. Para pelajar telah melihat dan melukis dan membuat lakaran serta nota tentang perkara itu.
Mereka telah diajar bagaimana alat-alat kelamin itu berfungsi dan apa hasilnya jika persenyawaan berlaku antara sperma lelaki dan telur dari benih perempuan. Para pelajar telah mempelajari mengenai kitaran haid dan keberkesanan sperma lelaki.
Mereka juga telah didedahkan mengenai proses mengandung dan proses kelahiran melalui matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam. Malah dalam Pendidikan Islam telah diajar tentang halal dan haramnya perhubungan intim di luar nikah dan telah diajar juga tentang status anak yang lahir di luar nikah.
Jadi apa namanya pendidikan yang disebutkan itu? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh Shahrizat itu? Adakah beliau dan pihak-pihak lain yang mendesak ini mahu para pelajar didedahkan dengan kaedah melakukan seks secara selamat ataupun bagaimana mengelak diri dari mengandung? Atau mereka mahu diajar tentang kaedah memakai kondom dan ubat mencegah kehamilan?

Lulusan STPM, SPM perlu terokai kursus mencabar

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 telah diumumkan.
Seiring itu, institusi pendidikan awam dan swasta mula berlumba-lumba mengiklankan kursus masing-masing, dari peringkat sijil hinggalah ijazah.
Keadaan sekarang tidak seperti 15 tahun lalu. Ketika itu hanya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang membuat pengiklanan, sementara hanya beberapa buah sahaja Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang baru tumbuh mempamerkan keistimewaan masing-masing.
Namun kini bukan sahaja IPTS yang galak mempelawa pelajar lepasan SPM atau STPM memilih pusat pengajian mereka, tetapi IPTA juga memainkan peranan berlipat ganda dengan tujuan untuk menambah bilangan pelajarnya.
Keadaan ini tidak mengambil kira pelbagai karnival pendidikan, ekspo pendidikan dan beberapa acara lain sebagai promosi memperkenalkan program masing-masing serta sebagai platform kepada sesiapa sahaja, termasuk pelajar asing, mendapatkan maklumat kursus yang ditawarkan.
Ini menunjukkan Malaysia semakin aktif untuk menjadikan negara sebagai hab pendidikan serantau dan sekali gus membuka banyak peluang sosioekonomi tempatan.
Namun di sebalik keghairahan ini dilihat satu impak negatif akan muncul jika kita terlepas pandang mengenainya. Apakah kesemua kursus yang ditawarkan menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak?
Apakah masih ada graduan yang bekerja nanti di luar kelayakan ijazah bidang mereka? Peratus golongan menganggur semakin tinggi atau sebaliknya? Adakah keperluan permintaan pekerjaan tersebut melebihi penawaran yang ada atau sebaliknya?
Persoalan-persoalan ini tidak mudah diketepikan kerana banyak kursus yang sama ditawarkan oleh semua IPT. Sebagai contoh, apabila kerajaan mengatakan negara kekurangan jururawat berdaftar, pelbagai kolej muncul untuk menawarkan kursus kejururawatan.
Dahulu kita lihat kursus Teknologi Maklumat menjadi sebutan ramai. Kursus lain dipandang sepi dan bukan menjadi daya penarik lagi. Akibatnya banyak kursus tidak dikembangkan dengan alasan tidak mendapat permintaan tinggi. Namun adakah ini suatu akibat atau hakikat, apabila pengangguran mungkin berlaku kepada graduan dalam bidang tersebut pada masa akan datang?
Sudah tiba masanya pelajar sendiri mempelajari, mengkaji, mendapatkan pandangan serta meneroka lebih jauh masalah ini. Memilih kursus yang glamor, senang dipelajari atau mudah untuk mendapat tajaan biasiswa atau pinjaman, sepatutnya diketepi awal-awal lagi.
Terokai bidang baru yang lebih mencabar dengan peluang pekerjaan yang tinggi serta lebih professional. Dengan erti kata lain, menceburi sektor pekerjaan yang sukar mendapat pekerja. Sebagai contoh bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Egronomic merupakan bidang yang wajar dipilih kerana peluang kerjaya ini luas tetapi masih belum dikuasai oleh ramai orang terutama golongan muda.
Prospek kerjaya ini bukan hanya setakat diploma atau ijazah tetapi layak memperoleh sijil NIOSH atau buku hijau (green book) setelah mempunyai tiga tahun pengalaman bekerja.
Manakala peluang pekerjaan pula, bukan sahaja dalam industri pembinaan, pembuatan atau minyak dan gas, tetapi sebenarnya merangkumi keperluan semua industri iaitu tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Terokailah dunia kerjaya yang lebih mencabar dan berlainan supaya masa depan anda lebih terjamin.

Mengurus warga asing

IN MOHD. ZAIN

Kehadiran warga asing di Kuala Lumpur pada cuti umum menggambarkan seolah-olah ibu negara bukan milik Malaysia. - gambar hiasan


USAHA Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menganjurkan Makmal Pengurusan Warga Asing yang diumumkan baru-baru ini wajar dipuji dan dihargai. Isu warga asing ini tidak boleh lagi dipandang sebagai 'isu rantingan' dan tidak penting.
Hakikatnya, hampir setiap hari kita mendengar dan melihat sendiri aduan banyak pihak agar isu ini diselesaikan secara tuntas dan berkesan.
Mata masyarakat menjadi 'pedih dan sakit' apabila melihat lambakan pekerja asing, terutamanya di musim cuti di tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur. KLCC, boleh dikatakan menjadi 'kota global' dalam sekelip mata di waktu cuti umum.
Nyatanya, risau dan khuatir masyarakat ini mempunyai asas yang kukuh. Apakah dengan jumlah mereka seramai ini - kesemuanya melalui jalan 'sahih' dan hadir secara halal? Apakah kehadiran yang seramai ini tidak mendatangkan ancaman - baik secara ekonomikal mahupun 'keselamatan' dalam erti kata sebenarnya?
Saat kita menerima bahawa jenayah rentas sempadan (trans-national crime) adalah isu yang penting; kita tidak boleh mengambil mudah dengan jumlah dan angka kehadiran yang sebesar ini.
Waima negara maju sekalipun masih mempunyai niat menjaga 'tembok' daripada kehadiran warga asing yang terlalu besar. Sekitar Februari 2009, Kerajaan Britain yang ada dikritik hebat kerana angka 'warga asing' yang boleh mendatangkan risau dan khuatir di kalangan rakyat.
Bermula dengan angka 'sebenar' yang dikeluarkan 'Office of National Statistics' (ONS) sekitar 2009 yang menyebut kehilangan pekerjaan di kalangan warga Britain yang berjumlah 250,000; angka warga asing yang digajikan di Britain pada tahun yang sama meningkat sebanyak 200,000 orang! Terdapat korelasi yang sangat nyata mengenai 'takat' seriusnya kedudukan ini. Pastinya rakyat negara tersebut tidak senang dengan 'angka' itu.
Kritik rakyat Britain ada asasnya. Ironi, kerana pada tempoh yang tidak lama sebelum itu, slogan 'Bristish jobs for British workers' didendangkan oleh kerajaan. Fakta ONS tidak sama sekali membenarkan niat dasar yang dikemukakan. Jurang 'polisi dan tindakan' inilah yang menyebabkan kerajaan dikritik hebat oleh rakyat. Walaupun cuba memberi alasan bahawa penduduk Britain semakin 'tua' dan memerlukan warga asing bagi proses pembangunan.
Ini membawa makna bahawa 'kebergantungan' kepada warga asing adalah fenomena global di mana sahaja. Soal warga kita sendiri yang terlalu memilih bidang pekerjaan dan sebagainya juga tidak boleh dipandang sepi. Itulah hakikatnya, maka kita saban hari dilayani oleh 'pekerja global', baik di kedai mamak biasa mahupun kopitiam (halal dan haram). Ada ketika, darah kita mendidih kerana 'pekerja global' ini sering salah mengambil pesanan.
Tindakan yang diambil KDN adalah bertepatan dengan masa dan keadaan. Isu warga asing tidak boleh lagi menjadi masalah KDN sebagai Kementerian yang tunggal. Banyak perkara dan prosedur; mungkin tidak pun berada di bawah bidang kuasa KDN. Lebih daripada itu, 'daerah tugasan kementerian' berbeza mengikut industri. Ini membuktikan dengan lebih nyata bahawa wujud keperluan untuk melakukan proses 'sinergi' dalam membuat keputusan dan rangka dasar.
Kalau warga asing yang terlibat di dalam sektor perladangan, ia dikawal selia oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Kementerian Sumber Manusia menjaga sektor perkhidmatan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengurus sektor perkilangan. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menjaga sektor pendidikan. Kementerian Pelancongan menjaga sektor dan aktiviti pelancongan dan KDN sendiri menjaga sektor keselamatan. Maka dengan 'daerah tugas' yang sedemikian merata; proses 'sinergi', baik data mahupun perancangan strategik menjadi sangat sukar, namun tidak mustahil.
Mewujudkan 'makmal' perbincangan yang boleh berbincang secara menyeluruh mengenai pengurusan warga asing, khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah sangat bertepatan dan wajar. Kita tidak boleh lagi mengambil sikap meletakkan masalah di bawah 'permaidani' dan membiarkan sahaja suasana menjadi semakin buruk, tanpa sebarang usaha campur tangan dasar dan strategi' yang tepat.
Apa yang perlu ditekankan oleh makmal tersebut adalah soal 'pemusatan data' dan perancangan yang lebih strategik. Di dalam syarikat-syarikat multinasional, elemen forecasting (anggaran) keperluan adalah menjadi sangat penting. Ini boleh meletakkan sebarang strategi untuk berada di landasan yang tepat dan betul.
Mungkin makmal tersebut dapat belajar sedikit bagaimana Petronas mengurus tenaga pakar di kalangan syarikat minyak dunia di tanah air. Walaupun di dalam outfit yang sangat kecil, wujudnya 'Pengurusan Sumber Manusia dan Malaysianisasi' di dalam Petronas; telah memberikan sedikit 'kekuatan' untuk Petronas menentukan 'jumlah warga asing' yang perlu digunakan di dalam syarikat-syarikat yang terbabit.
Kerajaan tidak boleh lagi mengambil sikap mudah tunduk dengan tekanan ekonomi yang kadangkala bukannya real dan bersifat sebenar. Disebabkan itulah juga, usaha untuk menawarkan pekerjaan yang tetap dan baik kepada anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam dalam sektor keselamatan adalah permulaan yang baik.
Ya, mungkin kesannya belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik; namun sekurang-kurangnya langkah sedang diambil. Soal pengurusan warga asing ini tidak boleh secara totalnya diletakkan di dalam neraca 'untung rugi sektor swasta' semata-mata.
Kita perlu mempunyai landasan pemikiran yang betul - kehadiran mereka yang tanpa izin boleh mendatangkan impak dan kesan yang nyata. Ini termasuklah 'kenyataan' bahawa kita berbelanja hampir RM171 juta untuk perbelanjaan banduan warga asing. Ini merangkumi 81,396 banduan dan 408,979 tahanan warga asing di 13 depot seluruh negara.
Angka ini amat memeranjatkan. Jika dilakukan conversion, kita mungkin boleh membina 10 buah sekolah berharga 15 juta di seluruh negara! Ataupun menyediakan bajet yang lebih kepada usaha pemerkasaan sukan di sekolah-sekolah anak kita.
Dalam suasana persaingan ekonomi global yang semakin mencengkam, kita tidak boleh lagi mengambil 'kos sampingan' yang sebesar ini. Harus dipertegaskan bahawa masalah sebenar kita adalah PATI. Warga asing yang berada di sini di atas soal merit - dan sesungguhnya menyumbang kepada pembangunan akan sentiasa dihargai.
Sebagai rakyat, tindakan pro aktif untuk mengadakan makmal warga asing yang akan memberikan fokus kepada prosedur kemasukan, perundangan, sistem pemantauan dan penguatkuasaan. Jika langkah pembetulan dapat dijayakan kepada empat perkara ini, kita mungkin dapat mengurus warga asing dengan lebih baik dan berkesan.
Rakyat perlu diberikan keyakinan bahawa peruntukan ratusan juta untuk menjaga banduan dan PATI perlukan 'campur tangan dasar' yang menyeluruh. Jabatan Imigresen Malaysia yang mengadakan hampir 7,100 operasi sepanjang tahun 2009 - menghasilkan hampir 50,000 tangkapan!
Gelombang rakyat harus sama digerakkan untuk memberi maklumat di atas kehadiran warga asing yang melampau di taman, kampung, jalan dan daerah masing-masing. Perkara ini sudah menjadi masalah nasional; dan ia perlu ditangani dengan selayaknya.
Mengurus dan mengawal kehadiran PATI bukan dilakukan atas dasar xenophobic tanpa asas - tapi lebih kepada soal kepentingan negara secara keseluruhannya. Malaysia tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang mahu sama-sama membangun negara ini. Namun, ia mesti dilakukan melalui landasan hukum dan perundangan yang betul.

Berbanggalah dengan tulisan jawi

MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika melancarkan wajah baru akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan meminta Kementerian Pelajaran memperluaskan aktiviti penulisan jawi di sekolah-sekolah bagi meningkatkan dan membudayakan penggunaan tulisan itu.
Walaupun Kementerian Pelajaran sudah melaksanakan program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain yang dikenali sebagai j-QAF di sekolah-sekolah, namun usaha menjalankan aktiviti bagi membudayakan tulisan jawi di kalangan pelajar masih perlu ditingkatkan.
Sebagai seni warisan bangsa Melayu dan mempunyai sejarah tersendiri, tulisan jawi boleh dipaparkan di mana-mana saja. Justeru, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu menghormati tulisan jawi yang menjadi warisan tamadun Melayu sejak abad ke-12.
Langkah menggemilangkan kembali tulisan jawi perlu dibuat agar ia tidak terus terkubur. Tambahan pula, majoriti generasi muda hari ini tidak dapat menguasai tulisan jawi, malah ada yang tidak ambil peduli mengenai tulisan tersebut.
Alangkah baiknya jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat menambah baik usaha-usaha memartabatkan tulisan jawi dengan menubuhkan satu majlis tindakan bagi mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan jawi. Ia boleh diselenggarakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sekretariatnya.
Majlis tindakan seperti itu cukup penting bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak untuk menyusun satu pelan tindakan jangka panjang demi mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan jawi khusus untuk semua kaum.
Apa yang kita lihat sekarang adalah kemahiran 3M iaitu Membaca, Menulis dan Memahami tulisan jawi terus terhakis dari generasi ke generasi. Jika senario itu berterusan, lambat laun tulisan jawi mungkin terkubur dan hanya dikenali dalam lipatan sejarah.
Tulisan jawi mengalami proses 'dikuburkan' kerana masyarakat menganggap ia kurang nilai-nilai komersial walaupun dahulu ia adalah tulisan rasmi dalam segala urusan. Senario yang sama juga bakal terjadi kepada bahasa Melayu jika tiada tindakan konkrit diambil.
Penerbitan Utusan Melayu dalam edisi jawi wajar dimanfaatkan sepenuhnya di sekolah sebagai medium pembelajaran. Pendekatan lebih kreatif perlu digunakan bagi menimbulkan minat generasi muda. Teknologi terkini boleh dimanfaatkan seperti mewujudkan CD interaktif dan laman web dalam tulisan jawi.
Tulisan jawi juga perlu diperluaskan kepada mata pelajaran khusus dan tidak semata-mata dimasukkan ke dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Pertandingan-pertandingan mengasah bakat serta kemahiran yang ada hubungkait dengan tulisan jawi perlu diperluaskan dan diangkat sebagai pertandingan berprestij di peringkat negara dan nusantara.
Anggapan bahawa tulisan jawi adalah semata-mata tulisan untuk unsur-unsur keagamaan mesti dihapuskan. Ini kerana tulisan jawi dahulu telah digunakan dengan meluas oleh semua kaum.
Sehingga kini, masih terdapat bangsa India dan Cina yang berkemahiran membaca dan menulis dalam tulisan jawi.
Selain itu, media cetak seperti suratkhabar utama negara juga wajar mewujudkan satu muka penuh berita-berita yang ditulis dalam tulisan jawi secara tetap atau berkala.

Membangunkan minda, jiwa rakyat

SEJAK kebelakangan ini, terdapat banyak kes penderaan dilaporkan dalam media cetak dan elektronik, khususnya penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak. Penderaan yang dilakukan terhadap mereka merupakan perlakuan yang amat ganas kerana terdapat kejadian membawa kematian.
Walaupun peristiwa-peristiwa seperti itu mengundang banyak reaksi marah dan kesal di kalangan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam, namun nyawa yang hilang tidak akan hidup kembali. Semuanya sudah terlambat kerana ia sudah berlaku tanpa disangka. Apa yang diharapkan adalah semoga perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan. Inilah harapan semua rakyat Malaysia. Tetapi apakah jaminan peristiwa seperti itu tidak akan berlaku lagi?
Memang amat sukar untuk memberi jaminan bahawa ia tidak mungkin berlaku lagi. Ini kerana kita berhadapan dengan individu yang bernama manusia yang memiliki fitrah kejadian yang amat kompleks. Setiap individu memang ada naluri atau kecenderungan untuk bertingkah laku ganas atau menjadi ganas. Tahap kecenderungan itu akan menjadi lebih tinggi, lebih-lebih lagi jika individu terbabit mempunyai personaliti panas baran, selain pengaruh bahan terlarang.
Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan kes penderaan yang berlaku itu dilakukan oleh mereka yang majoritinya bersifat panas baran. Tingkah laku ganas itu pula boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam pelbagai peringkat umur dan ia boleh bermula seawal usia kanak-kanak. Namun perlu difahami bahawa setiap individu tidak sama tahap kecenderungan untuk bertukar menjadi ganas.
Kecenderungan untuk menjadi ganas berbeza di antara individu kerana pelbagai faktor dan keadaan. Mereka boleh menjadi ganas kerana ciri-ciri personaliti atau kerana provokasi yang bersifat konfrantatif. Perasaan geram dan marah juga boleh menjadi sebab mereka bertindak ganas. Malah rasa cemas dan takut turut menyumbang kepada seseorang untuk bertindak ganas. Perasaan kecewa yang kronik juga mampu membangkitkan naluri ganas seseorang. Ada juga beberapa kejadian di mana sesetengah individu bertukar menjadi ganas kerana kesan perubahan cuaca yang keterlaluan, dan ia telah dibahaskan oleh beberapa kajian dan eksperimen. Malah tidak dinafikan juga kesan tekanan yang kronik turut mampu mengubah individu menjadi seorang yang ganas dan hilang pertimbangan akal yang waras. Semua keadaan itu mampu membangkitkan naluri ganas seseorang.
Apabila seseorang bertukar menjadi ganas, ia akan turut menjejaskan pengaruh akal yang sihat dan waras. Dalam situasi seperti itu, mereka lebih dikuasai oleh tindak balas badan yang menuntut pemikiran dan aturan fizikal agar lebih menjurus untuk beradaptasi dengan tuntutan naluri ganas dalam tempoh beberapa ketika. Oleh itu, dalam tempoh sebegini, terdapat di kalangan mereka yang dilihat seperti orang yang kerasukan dan hilang pertimbangan akal yang waras, tidak sedar diri atau kurang siuman untuk beberapa minit. Keadaan itu berlaku kerana inilah fitrah reaksi ganas. Untuk beberapa ketika, ia akan mengehadkan pemikiran rasional seseorang agar lebih terfokus dalam mendepani objek yang mencetuskan sifat ganas itu bagi meningkatkan keupayaan otak dan fizikal agar lebih bersedia dan berani berdepan dengan situasi itu secara lebih efisien.
Dalam situasi sebegini, seseorang itu akan terus dikuasai oleh naluri ganas dengan kawalan dan pengaruh kewarasan yang amat minimum. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi apabila sifat ganas telah mengehadkan pemikiran rasional seperti membawa kepada tingkah laku agresif, kekasaran dan kekerasan fizikal. Malah, tidak mustahil ia turut mengundang kepada pelbagai kejadian berunsur jenayah seperti buli, pergaduhan, penderaan, dan pembunuhan.
Situasi itu menggambarkan bahawa punca kepada permasalahan adalah daripada diri individu terbabit, di mana mereka gagal mengendalikan sikap dan emosi sendiri tatkala dihimpit suasana atau perasaan tegang dan cemas. Jawapan yang terbaik setakat ini adalah mereka perlu mengendalikan sikap dan pemikiran sendiri secara lebih positif dan proaktif apabila berada dalam suasana tegang yang mendorong kemungkinan tercetus naluri dan tingkah laku ganas dalam diri mereka. Atau dalam erti kata lain, mereka perlu menguasai kemahiran untuk mengendalikan sikap dan emosi yang negatif supaya ia menjadi lebih terkawal pada setiap masa.
Berusaha untuk memiliki kemahiran seperti itu bukan sesuatu yang sukar atau terlalu mahal jika dibandingkan dengan tragedi berdarah dan menyayat hati yang sering berlaku kesan daripada kegagalan mengendalikan sikap buruk dan emosi negatif yang tidak terkawal. Memandangkan Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang aman dan maju serta dihuni oleh rakyat berbilang agama dan budaya berteraskan nilai-nilai murni, ia akan menjadi mustahil jika rakyat masih mengamalkan sikap ganas dan kasar sesama mereka. Oleh itu, satu usaha teguh perlu diperkenalkan kepada masyarakat dalam usaha mendidik mereka memiliki kemahiran-kemahiran seperti teknik pengurusan sifat marah, pengendalian sikap baran, langkah-langkah mendepani suasana cemas dan tertekan serta sebagainya.
Walaupun ia kedengaran amat mudah, namun kemahiran seperti itu tidak harus dipandang ringan kerana banyak kesan buruk yang mengekorinya akibat sikap sambil lewa sehingga ke tahap nyawa melayang. Malah bukan sesuatu yang tidak proaktif jika dicadangkan agar kemahiran dan teknik seperti itu dikendalikan penganjurannya di peringkat persekutuan di bawah kementerian tertentu. Ini kerana sebahagian besar permasalahan yang wujud adalah kurangnya usaha proaktif di peringkat pemerintah untuk mendidik atau menyedarkan rakyat agar menguasai kemahiran seperti itu.
Kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, kemahiran ini telah diajar di peringkat sekolah menengah dan universiti serta di peringkat komuniti dan terbukti dapat mendidik rakyatnya memiliki tahap kawalan diri yang baik dalam masyarakat.

Guna jalan raya perlu ilmu

SUDAH kerap kali diperkatakan mengenai kadar kemalangan jalan raya yang berlaku di kalangan pengguna pengangkutan awam, khususnya bas. Boleh dikatakan faktor berikut menjadi punca utama berlakunya kemalangan. Antaranya ialah:
n Sikap pemandu
Cadangan: Wujudkan sekolah latihan pemanduan yang profesional dengan pemberian sijil atau diploma. Sekolah/Institut Pemandu Kenderaan Awam (IPKA) boleh diwujudkan melalui sumbangan persatuan pemandu bas dan pemilik bas. Modul latihan, kriteria pemilihan dibincangkan bersama agensi berkaitan.
Kebaikan: Lahirkan pemandu bas berdisiplin, beretika dan bertanggungjawab. Dapat wujudkan skim gaji yang seragam. Dapat wujudkan peluang pekerjaan di kalangan siswazah atau lepasan sekolah.
n Penyenggaraan bas.
Cuba guna pakai kaedah yang dilaksana oleh MAS atau AirAsia. Setiap bas sebelum berlepas dari tempat perhentian diperiksa keadaan fizikalnya iaitu tayar, brek, lampu isyarat dan lain-lain.
Kebaikan: Wujud peluang pekerjaan kepada juruteknik penyenggara bas, lori dan lain-lain.
n Lampu di kawasan selekoh lebuh raya dan tanda awas jalan licin.
Pasangkan lampu jalan jenis solar di kawasan selekoh lebuh raya berbahaya atau di kawasan kerap berlaku kemalangan. Tanda awas jalan licin seperti di Bukit Beruntung yang kerap berlaku kemalangan selepas waktu hujan.
n Pertolongan kecemasan
Jadikan salah satu daripada kursus elektif (dua jam kredit) di universiti atau sekolah kepada pelajar, supaya dapat digunakan ketika terdesak atau untuk membantu mangsa kemalangan.
Fikir-fikirkanlah demi memajukan bangsa dan warganegara Malaysia!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Air paip, air botol plastik mana yang selamat?

SAYA menyokong kenyataan sebuah akhbar tempatan supaya kita mengatakan tidak kepada botol minuman plastik dan bekas makanan polisterin.
Penggunaan plastik untuk membungkus makanan dan minuman semakin popular kerana kelebihan yang ada padanya seperti tahan lama, teguh dan mudah digunakan. Tidak hairanlah jika kita banyak bergantung kepada plastik sebagai satu bahan wajib dalam proses pembungkusan makanan dan minuman. Lebih-lebih lagi pada musim panas ini, kita sering membeli minuman di dalam botol plastik.
Kita tidak menyedari bahaya botol plastik serta komponen-komponen kimia yang terkandung di dalamnya. Walaupun banyak maklumat disebarkan oleh pihak berwajib mengenai kesan bahan kimia yang hadir akibat tindak balas makanan dan minuman dalam bahan pembungkusan tersebut namun disebabkan terlalu bergantung kepada plastik membuatkan sesetengah pihak khususnya pengusaha makanan terpaksa mengabaikan kesannya dengan harapan agar bahan yang digunakan selamat dan terjamin.
Oleh itu, semua bahan kimia yang hendak digunakan untuk menghasilkan plastik pembungkus dan botol plastik secara amnya perlu mendapat pengesahan daripada pihak berwajib sebelum boleh digunakan. Kebenaran untuk menggunakan hanya dapat diperoleh sekiranya bahan kimia yang hendak digunakan ini telah disahkan sebagai selamat dan digunakan pada kadar yang telah ditetapkan. Paling penting, bahan kimia dan kadar penggunaannya tidak akan mengakibatkan kanser kepada pengguna.
Sebagai langkah keselamatan, pihak berwajib menggalakkan kita menggunakan air paip yang dimasak sebagai minuman dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja. Air paip ini lebih selamat dan terjamin untuk digunakan. Akan tetapi apa yang menjadi persoalan adakah air paip di Malaysia berada di tahap selamat digunakan. Persoalan ini timbul apabila air paip di negara kita menghadapi pelbagai masalah seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami masalah paip berkarat. Masalah seperti ini harus diselesaikan segera supaya pengguna yakin air paip yang disalurkan selamat digunakan dan terjamin kebersihannya.
Oleh yang demikian, sebagai pengguna kita haruslah yakin bahawa semua air paip yang disalurkan oleh badan kerajaan dan juga syarikat pengendali air adalah bersih dan selamat diminum tanpa rawatan selanjutnya. Orang ramai tidak perlu ragu-ragu terhadap mutu air paip sehingga menyebabkan pengguna menggunakan cara lain bagi menentukan air paip itu selamat.
Pengguna juga perlu sedar bahawa penggunaan botol plastik tidak selamat digunakan dan hanya akan mengundang penyakit berbahaya seperti kanser. Pihak pengeluar air kepada orang awam sentiasa berusaha memastikan air yang dibekalkan selamat dan berkualiti.

Sokong wajib BM kepada pelajar asing

SAYA menyokong penuh ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 pelajar asing di institusi pengajian tinggi di negara ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Ketetapan itu sebenarnya merupakan pengisian dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan sendiri sebagai susulan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan tiga subjek wajib untuk diikuti oleh pelajar asing iaitu Bahasa Melayu, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Moral. Bahkan dasar mewajibkan penguasaan bahasa kebangsaan negara tuan rumah seumpama itu telah menjadi amalan sejagat di negara lain yang menerima pelajar dari luar negara sejak lama dahulu.
Kejayaan dasar itu di negara ini telah dilaksanakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak lebih 20 tahun sehingga memungkinkan pelajar dari luar negara di universiti itu dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat setempat, serta dapat menghayati budaya di negara ini.
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar asing sebenarnya telah pun disiapkan, pada waktu itu oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan bantuan pakar-pakar bahasa, semasa hal ehwal pengajian tinggi masih di bawah Kementerian Pendidikan.
Pihak pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi diharapkan dapat membuat langkah susulan dengan segera untuk melaksanakan ketetapan yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu. Ini merupakan salah satu langkah yang praktis dan mulia untuk memperdanakan bahasa Melayu di kalangan warga dunia, kerana pelajar yang pulang ke negara masing-masing pasti dapat menjadi sumber pengembangan bahasa Melayu di negara masing-masing.
Dengan terdapatnya 130 buah institusi pengajian tinggi di 45 buah negara sedunia yang mengajar Pengajian Melayu, langkah kerajaan Malaysia memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar dari luar negara yang belajar di negara ini pasti dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu dengan lebih cepat dan meluas.

Mengekang jenayah siber

JENAYAH siber kini berlaku pada setiap 0.25 saat dengan setiap seorang daripada lima pengguna Internet berisiko menjadi mangsanya. Tempat paling mudah bagi jenayah siber berlaku adalah melalui laman-laman web sosial.

Biarpun banyak kejadian jenayah siber dilaporkan di media, tidak ramai yang memberikan perhatian untuk mengambil langkah berjaga-jaga daripada menjadi mangsa jenayah siber. Ini mungkin kerana sebahagian besar pengguna Internet berpendapat individu di alam siber tidak dapat melihat mereka secara fizikal.
Ketua Bisnes bagi rantau Asia Selatan Norton, Effendy Ibrahim berkata, antara salah satu cara yang mendedahkan pengguna menjadi mangsa jenayah siber adalah keghairahan untuk mendapatkan seramai mungkin rakan di laman web sosial Facebook sehingga mencecah beribu-ribu orang.
''Namun jika dihitung kawan sebenar kita di alam nyata, kita mungkin tidak mempunyai kawan seramai itu. Kita mungkin hanya mempunyai beberapa puluh rakan sahaja yang sering kita jumpa.
''Oleh itu, jika seseorang individu itu bukanlah rakan kita dalam dunia realiti, kenapa perlu kita berkawan dengannya di alam maya," katanya sambil menambah teknik jenayah siber kini lebih banyak menggunakan nilai-nilai kemanusiaan.
Effendy berkata demikian ketika pelancaran aplikasi keselamatan terbaru Norton untuk komputer peribadi, iPad dan iPhone iaitu Norton 360 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah beliau, contohnya ketika gempa bumi melanda Haiti pada Januari lalu banyak laman web yang meminta derma dan sumbangan kepada penduduk berkenaan muncul di Internet.
''Namun sebahagian besar daripada laman web yang mendakwa mengumpul sumbangan untuk penduduk Haiti adalah palsu. Ini kerana apabila seseorang pengguna Internet itu bersetuju untuk memberikan sumbangan mereka akan dimaklumkan bahawa mereka tidak dilindungi dan perlu memuat turun beberapa perkara bagi tujuan keselamatan. Tindakan memuat turun aplikasi tertentu berkemungkinan mengakibatkan identiti pengguna Internet berkenaan dicuri atau sebagainya," katanya.
Effendy turut memberikan contoh satu kes yang berlaku di Indonesia baru-baru ini di mana seorang gadis berkawan dengan seorang yang tidak beliau kenali di alam nyata melalui laman web sosial Facebook.
''Satu hari gadis berkenaan menerima mesej daripada rakan Facebook berkenaan bahawa beliau sedang sakit dan meminta gadis tersebut melawatnya. Bagaimanapun, apabila gadis berkenaan bertemu dengan rakan Facebook tersebut, beliau nyaris diperkosa.
"Kes berkenaan masih disiasat pihak berkuasa Indonesia," jelasnya.
Sementara itu, Ketua MyCERT dan Cyber999 Help Centre, Adli Abdul Wahid ketika ditemui pada majlis yang sama berkata, berdasarkan kes-kes penipuan melalui Internet yang pernah berlaku di negara ini, sebahagian besar daripada e-mel yang dihantar kepada mangsa adalah dalam Bahasa Inggeris.
''Justeru besar kemungkinan penjenayahnya beroperasi di luar negara dan akaun tempatan yang digunakan hanyalah sebagai akaun transit semata-mata.
''Trend juga menunjukkan operasi penipuan berkenaan berhenti apabila cuti-cuti umum seperti cuti Hari Krismas, Tahun Baru dan Hari Raya Aidilfitri," katanya.
CyberSecurity Malaysia adalah pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengendalikan Pusat Bantuan Cyber999 bagi membanteras jenayah siber.
Perkhidmatan Pusat Bantuan Cyber999 diwujudkan pada Julai lalu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai serangan siber. Bagi tahun ini, sehingga akhir bulan lalu, lebih 700 aduan diterima oleh pusat bantuan tersebut.
Sepanjang tahun lalu, CyberSecurity menerima sejumlah 3,564 kes laporan dengan 1,022 atau satu pertiga merupakan kes penipuan dan pemalsuan.
Jelas Adli, pengguna Internet yang curiga dengan sebarang e-mel yang diterima boleh memaklumkannya kepada Pusat Bantuan Cyber999 dengan melayari laman web www.cybersecurity.my
Mengulas laporan mengenai kes penipuan oleh 'rakan Internet' yang sering menjadikan wanita di negara ini sebagai mangsa, beliau percaya jumlah kes berkenaan adalah lebih tinggi dan ada mangsa yang tidak tampil membuat laporan.
Sebelum ini, Cybersecurity Malaysia pernah mengingatkan pengguna Internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel daripada institusi bank yang meminta pengguna mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.
E-mel berkenaan meminta pengguna mengemaskini butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai kaji selidik yang menawarkan ganjaran RM200.
Sementara itu, Ketua Perbankan Virtual Maybank, Choong Wai Hong berkata, sungguhpun kes penipuan perbankan Internet masih rendah di negara ini iaitu 0.003 peratus, namun kesedaran mengenai jenayah siber perlu ditingkatkan sepanjang masa.
''Sebanyak 72 peratus daripada kes penipuan melalui Internet yang berlaku melibatkan pelanggan yang memberikan maklumat peribadi mereka secara sedar kepada pihak ketiga," jelasnya.
Wai Hoong menambah, ada masanya mangsa menyedari mereka ditipu selepas setahun atau dua tahun mereka menerima e-mel atau mesej pesanan ringkas (SMS) yang meminta mereka mengaktifkan akaun.
''Siasatan mendapati, dua tahun dulu pengguna berkenaan pernah mengaktifkan akaunnya selepas menerima SMS tertentu. Namun pada waktu itu, wang di dalam akaunnya tidak banyak. Apabila penjenayah mendapati jumlah wang yang banyak dimasukkan ke dalam akaun pengguna seperti bayaran bonus dan sebagainya, maka mereka dengan mudah boleh mencuri wang tersebut," katanya.

Remaja, rempit dan filem

 


REMPIT menjadi profesion remaja Melayu yang paling diingati apabila diwirakan dalam beberapa filem tempatan. Rempit yang disekutukan dengan remaja malas, buang masa, jahat dan bakal menjadi perompak apabila dewasa menjadi sangat dekat dengan remaja Melayu. Ini disebabkan profesion itu dimonopoli oleh remaja Melayu dan dipopularkan pula oleh penerbit filem yang juga menyasarkan kepada remaja Melayu.
Mat rempit hanya watak Melayu yang hebat dalam filem. Keburukan mat rempit telah diselimutkan kebaikan melampau semata-mata untuk dijadikan wira remaja Melayu. Filem-filem begini menyoroti secara dangkal sisi putih Mat Rempit dengan menuangkan pewangi palsu untuk membuang busuknya.
Adakah kisah-kisah melarat dan mudarat mat rempit boleh dikelaskan sebagai filem remaja yang kita mahu lahirkan? Adakah filem-filem begini boleh menjadi cermin untuk menelaah sosialisasi remaja masa kini? Sebenarnya kisah-kisah mat rempit bukanlah suatu yang berupaya mengangkat idealisme remaja. Mat rempit tidak ada idealisme tetapi dipaksa untuk menjadi wira.
Filem-filem ini memalsukan idealisme remaja Melayu di luar kepompong sempit pembuat filem. Remaja Melayu tidak perlu menjadi mat rempit untuk hebat. Kepalsuan ini tidak lebih daripada memberikan persepsi bahawa mat rempit pun berjaya dalam hidup. Kisah begini hanya diangkat dan ditampal menjadi gambar-gambar yang bergerak.
Kita hanya boleh berbangga apabila realiti kehidupan yang penuh keburukan itu melangsungkan jangka hayat filem tempatan. Kalangan produser atau pengarah kerap memberi alasan bahawa sasaran filem mereka adalah remaja. Kata mereka lagi, remaja yang menghidupkan industri filem di negara ini. Tanpa remaja, filem Melayu telah lama hilang. Tanggapan itu ada benarnya. Tetapi remaja tidak menonton semua filem Melayu, lebih-lebih lagi yang menuntut sedikit keterlibatan minda.
Filem remaja tidak boleh dipinggirkan. Disebabkan remaja yang menentukan pasaran filem dan filem yang menjadi teman dalam dunia keremajaan, maka filem yang menjurus dunia remaja menuntut kesungguhan. Malangnya banyak filem yang mengambil mudah tentang remaja. Banyak yang menyuluh kehidupan dan alam remaja daripada sudut pandangan yang nipis.
Filem-filem kita tentang kehidupan mat rempit terputus jauh. Rebel Without A Cause (1955) arahan Nicholas Ray yang menampilkan pelakon remaja, James Dean dan Natalie Wood adalah filem remaja yang pertama dan titik mula di mana filem cuba menyusuri kehidupan dan obsesi remaja yang cukup unik. Keunikan dan obsesi itu hilang apabila filem kita mengangkat mat rempit dengan sudut pandangan yang kosong.
Rebel Without A Cause dan James Dean secara mendadak muncul sebagai idola remaja di serata dunia. Gaya dan fesyen James Dean merebak dengan pantas selepas Rebel Without A Cause sekalipun filem itu dianggap sebagai ganas oleh banyak pengkritik.
Sebuah lagi filem remaja yang menarik adalah American Graffifi (1973) arahan George Lucas. Lucas pernah berkata bahawa filem itu tidak lebih sebuah nostalgianya melayari keremajaan di Amerika. Tetapi pada masa yang sama, dia membawa filem itu menyusuri impian dan tuntutan remaja di Amerika Syarikat pada dekad 70-an.
   

Dunia semakin tidak selamat?


GEMPA bumi di Turki telah meninggalkan trauma yang mendalam kepada penduduknya.

BELUM sempat Haiti pulih sepenuhnya dari kejadian gempa bumi yang melanda negara itu pada 12 Januari lalu, dunia dikejutkan lagi dengan beberapa kejadian gempa bumi yang mengorbankan ratusan nyawa. Dalam tempoh tidak sampai 10 hari, sekurang-kurangnya dua kejadian gempa bumi besar menggegarkan Chile dan Turki. Manakala beberapa negara seperti Taiwan, Filipina malah Malaysia juga terkena tempias gempa bumi namun tidaklah sampai mengancam nyawa. Terbaru kejadian gempa bumi melanda perkampungan Basyurt di pedalaman wilayah Elazig kira-kira 550 kilometer di timur Ankara, Turki. Setakat ini hampir 60 orang dilaporkan terbunuh. Kawasan yang paling terjejas teruk adalah perkampungan Okcular yang didiami etnik Kurdis.
Pusat seismologi Kandilli melaporkan gempa bumi sekuat 6 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 4.32 pagi (pukul 10.32 pagi semalam waktu Malaysia) pada Isnin lepas.
Setakat ini sahaja, lebih 100 gempa susulan berukuran sehingga 5.5 pada skala Richter menggegarkan kawasan itu.
Turki pernah digegar dua gempa kuat di kawasan padat penduduk di barat laut negara itu pada Ogos dan November 1999 yang mengorbankan kira-kira 20,000 orang.
Pada hari yang sama, gempa bumi dengan kekuatan 5.1 pada skala Richter turut berlaku di Taiwan namun tiada laporan kerosakan atau kecederaan dilaporkan. Gempa itu berlaku pukul 5.26 petang di tenggara bandar Chiayi.
Namun malapetaka yang lebih besar melanda Chile pada 27 Februari lalu yang mana lebih 800 orang terbunuh akibat gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter pada pukul 3.34 pagi (2.43 petang semalam waktu Malaysia). Kejadian itu juga telah mencetuskan ombak tsunami yang meredah Lautan Pasifik dan melanda Jepun sehari kemudian.
Kejadian gempa itu menyebabkan 1.5 juta rumah dan bangunan rosak atau ranap selain talian elektrik dan sistem komunikasi terputus.
Chile juga turut dilanda 115 gegaran susulan berukuran antara 4.9 hingga 6.9 pada skala Richter.
Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gegaran paling kuat berukuran 6.1 pada skala Richter pada kedalaman 35 kilometer kira-kira 63 kilometer ke utara bandar Talca.
Gempa bumi paling teruk yang pernah melanda Chile adalah pada Mei 1960 berukuran 9.5 pada skala Richter dan mengorbankan sehingga 5,700 penduduk.
Lebih malang lagi ombak setinggi lebih dua meter menghempas pantai Chile selepas gempa itu dan lebih 300 mayat ditemui di kampung nelayan Constitucion akibat tsunami.
Data rasmi daripada pakar Amerika Syarikat (AS) di Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii menunjukkan, ombak tsunami terbesar setinggi 2.6 meter, tetapi walau apa pun saiznya, kemusnahan jelas kelihatan di kawasan pantai.
Selain itu kira-kira 50 negara dan wilayah di kawasan sepanjang dari New Zealand hingga ke Jepun mengeluarkan amaran tsunami bagi menghadapi ombak raksasa itu. Tsunami kemudiannya bergerak meredah Lautan Pasifik, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di kepulauan terpencil Robinson Crusoe. Pulau tersebut yang merupakan sebahagian daripada gugusan pulau Juan Fernandez, berada 700 kilometer dari tanah besar Chile di tengah Lautan Pasifik.
Jepun turut dilanda ombak tsunami setinggi 1.45 meter namun kerana tindakan pantas kerajaannya mengarahkan sekurang-kurangnya 320,000 penduduknya berpindah dari kawasan pantai berjaya mengawal keadaan. Tsunami setinggi 1.45 meter membanjiri pelabuhan perikanan Otsuchi di pantai utara Jepun, manakala gelombang lebih kecil turut mengenai pulau Minamitori, 1,950 kilometer ke selatan Tokyo. Tiada kematian dilaporkan sehingga kini.
Akibat dari kejadian gempa bumi dan tsunami itu beberapa gempa turut melanda beberapa negara lain.

Malang
Satu gempa bumi sederhana berukuran 6.2 pada skala Richter jauh di banjaran gunung Hindu Kush menggegarkan beberapa bahagian di Pakistan dan Afghanistan sehari selepas kejadian sama melanda Chile. Bagaimanapun lokasi gempa yang terletak di kawasan pedalaman menyelamatkan kedua-dua negara daripada mengalami kemusnahan besar.
Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter juga berlaku di wilayah Filipina kira-kira 161 kilometer ke tenggara Davao sehari sebelum kejadian di Chile berlaku.
Kejadian sama juga berlaku di Malaysia apabila satu gempa bumi lemah berskala 3.1 pada skala Richter berlaku di Lahad Datu, Sabah pada hari yang sama. Beberapa hari sebelum itu satu gempa bumi lemah berskala 3.0 pada skala Richter berlaku di Keningau, Sabah. Bagaimanapun kesemua kejadian itu tidak mendatangkan sebarang musibah atau mencetuskan ancaman tsunami.
Berikutan semua kejadian ini timbul andaian apakah tahun ini merupakan tahun malang bagi dunia . Ini kerana dalam tempoh dua bulan pelbagai bencana termasuk gempa bumi berlaku silih ganti. Lebih membimbangkan apakah dunia kini bukan lagi tempat yang selamat untuk didiami.
Walaupun secara teorinya mungkin pergerakan yang berlaku jauh di bawah bumi menjadi punca gempa, namun ia masih tetap satu misteri yang belum dapat dirungkai sepenuhnya.
Secara umumnya setiap kali gempa bumi melebihi 7.0 pada skala Richter berlaku, kejadian gempa yang berukuran lebih kurang sama akan turut meladna kawasan lain di dunia dalam tempoh beberapa hari atau minggu. Gempa bumi di Chile misalnya disusuli gempa bumi yang hampir sama di Turki. Malah dikatakan gempa di Chile adalah turutan gempa di Haiti walaupun ia berlaku dalam tempoh yang agak lewat.
Adakah pergerakan besar-besaran di bawah laut di pusat gempa dalam kejadian pertama memberi tekanan kepada kawasan yang terletak ribuan kilometer dari tempat kejadian?
Teori yang diumpamakan seperti susunan domino itu seterusnya memberi kesan besar terhadap pergerakan bawah tanah kerana terlalu banyak tenaga yang dikeluarkan di satu-satu kawasan yang berlaku gempa bumi.
Sehingga kini beberapa gempa susulan berlaku di beberapa negara termasuklah di Sabah. Malah lebih banyak gempa berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku di seluruh dunia selepas tragedi yang melanda Haiti. Gempa susulan dikatakan umpama melaraskan semula sistem bumi memandangkan bumi itu sendiri adalah organisma hidup yang melalui satu proses perubahan fizikal semulajadi setiap kali gempa bumi berlaku. Tenaga secara besar-besaran dikeluarkan setiap kali berlaku gempa bumi, letupan gunung berapi atau tsunami.
Namun begitu, di sebalik semua kejadian gempa sejak satu abad lepas tidak terdapat sebarang kenaikan penambahan tenaga secara melampau contohnya sehingga boleh memusnahkan sama sekali keseluruhan negara Chile. Pada dasarnya jumlah yang terkorban semakin ramai adalah dari faktor pertambahan manusia di dunia itu sendiri.
Sebagai contoh di Haiti jumlah penduduknya pada 1960 hanyalah seramai 3.87 juta orang. Namun ia meningkat kepada 9.84 juta pada 2008. Oleh sebab itu jumlah yang terkorban dalam bencana terbaru pastinya melebihi sebelumnya. Apatah lagi kawasan yang dilanda gempa merupakan tempat yang padat dengan penduduk maka jumlah korban dan kemusnahan pastinya lebih besar.
Selain itu juga timbul persoalan apakah benar jumlah gempa bumi lebih banyak berlaku berbanding sebelum ini. Jawapannya tidak. Kemajuan teknologi membolehkan gempa bumi dikesan lebih banyak dan lebih awal. Dari hanya 350 stesen pengesan gempa pada 1931 kini terdapat lebih 1,000 stesen berkenaan di seluruh dunia.
Selain itu kecanggihan teknologi telekomunikasi juga membantu menyebarluaskan berita mengenai kejadian gempa . Ini sekali gus meningkatkan kesedaran dan pemahaman manusia tentang pentingnya mencari jalan keluar ketika gempa untuk mengelak kesan yang lebih teruk.
Secara faktanya kejadian gempa bumi tidak meningkat lebih banyak berbanding sebelumnya. Gempa-gempa susulan di beberapa bahagian dunia menyebabkan kejadian gempa dilihat lebih banyak berbanding sebelumnya.
Berdasarkan rekod USGS sejak 1900, ramalan yang dikeluarkan adalah konsisten iaitu tidak melebihi 17 gempa bumi besar dan satu gempa bumi raksasa akan berlaku setiap tahun. Gempa bumi besar adalah sekitar 7.0 hingga 7.9 pada skala Richter manakala gempa bumi raksasa adalah pada 8.0 dan ke atas.
Sejak 1990 jumlah tersebut adalah konsisten dengan gempa bumi paling banyak berlaku pada 2009 iaitu sebanyak 16 kali. Namun begitu yang pasti walau secanggih mana pun teknologi tiada siapapun mampu meramal bila dan dimana gempa bumi akan berlaku. Manusia haruslah menerima kenyataan bahawa semua itu terletak kepada kekuasaan yang Maha Esa jua akhirnya.

Dera, rogol, bunuh bukti nilai kemanusiaan menyusut

DERA, rogol dan bunuh. Siri jenayah itu bukan baru. Ia telah mewarna-hitamkan dunia sejak bumi tercipta. Keamanan dunia dicacatkan dengan jenayah-jenayah seperti itu. Nilai kemanusiaan juga semakin menyusut dek kerana peningkatan kes dera, rogol dan bunuh.
Kita tidak bercakap tentang jenayah perang. Lantaran perang sememangnya tidak membezakan mangsanya. Baik yang tua mahupun muda, apatah lagi kanak-kanak tanpa mengenal jantina menjadi mangsa kebutaan perang.
Yang mengundang kepekaan adalah jenayah dera, rogol dan bunuh yang memilih kanak-kanak sebagai mangsa. Insan cilik yang sepatutnya membesar dalam persekitaran selamat dan bebas menjelajah dunia mereka, kini semakin dinafikan hak untuk menikmati itu semua.
Siapa yang mahu disalahkan dalam hal ini? Mahu undang-undang, pelbagai akta berkenaan kanak-kanak telah digubal. Mahu peruntukan? Berpuluh juta ringgit telah dibelanjakan untuk melengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak.
Jadi, di mana silapnya apabila kes penderaan kanak-kanak sehingga menamatkan riwayat hidup mereka berlaku umpama air lalu. Tidak berhenti dan ada saja catatan nama baru. Kita masih ingat kes S. Balasundram yang didera kejam sehingga matanya terpejam rapat meninggalkan dunia dalam keadaan amat menyayat hati. Memang diakui kes tersebut membuka mata semua orang. Akta pelindungan kanak-kanak juga digubal rentetan daripada kes itu.
Namun selepas 20 tahun akta tersebut digunapakai, kes penderaan dan jenayah terhadap kanak-kanak masih berlaku. Sememangnya manusia bukan malaikat yang mampu mengelak semua dosa dan noda. Namun apabila telah disediakan alat untuk mencegah maka sepatutnya ada penurunan dalam catatan kes jenayah terhadap kanak-kanak. Ataupun sekurang-kurangnya catatan angka jenayah kategori itu umpama mendaki gunung - perlahan dan sedikit, ada masanya berhenti.
Lebih membimbangkan apabila dunia tanpa sempadan menyebabkan peningkatan manusia kurang waras. Sasaran mereka juga kanak-kanak. Kejadian amuk kelmarin mencederakan tiga kanak-kanak di Tadika Sinario Muar, Johor. Lantas timbul persoalan, tidak selamatkah lagi dunia untuk kanak-kanak menginjakkan kaki, berlari dan seterusnya membesar membentuk generasi prihatin.
Hakikatnya, undang-undang sahaja tidak mampu membantu. Undang-undang hanya terpakai selepas kejadian. Ketika jenazah kanak-kanak tidak berdosa diturunkan ke liang lahad, barulah undang-undang dikuatkuasakan. Ketika itu, baru saksi mahu berkata-kata. Dan ketika itu, usaha memburu si penjenayah (kebiasaannya dikenali dan rapat dengan keluarga mangsa) mula dijalankan. Dan selepas mayat mereput di dalam perut bumi, barulah hukuman dijatuhkan terhadap pesalah. Dalam kes Nurin Jazlin Jazimin, sehingga kini undang-undang tidak dapat menjejaki pembunuhnya.
Lebih pelik lagi apabila undang-undang yang membawa sekali hukuman tidak mampu menjadi pengajaran. Biar dijatuhi hukuman sebat, dipenjara seumur hidup tetapi tidak mampu meredakan ketagihan melakukan jenayah.
Sebab itu dalam setiap aspek kehidupan, undang-undang hanya pelengkap. Lebih penting elemen yang membentuk masyarakat itu sebenarnya menjadi pendorong kepada turun dan naiknya kadar jenayah. Soal selamat atau tidak persekitaran untuk kanak-kanak, bergantung kepada kepekaan kita semua.
Masyarakat tidak lagi boleh terus memekakkan telinga dan membisu terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Jaga tepi kain kita dan jaga juga tepi kain orang. Jaga tepi kain orang bukan untuk merosakkan orang itu, sebaliknya jika ternampak carik atau kotor pada kain tersebut, maka boleh ditegur. Boleh segera diperbetulkan mana yang silap dan bukannya selepas terlambat dan ada nyawa yang melayang, barulah kita mahu berkongsi air mata dan derita.
Tiada yang kurang tentang usaha membendung jenayah kanak-kanak di negara ini. Segala-galanya telah tersedia. Yang kurang adalah sikap tidak peduli masyarakat dan rasa tidak peka penjaga (ibu bapa, pengasuh) terhadap hak kanak-kanak. Mereka dilahirkan bukan untuk didera jauh sekali disepak terajang sehingga membawa maut. Tubuh kecil itu bukan untuk diliwat atau dirogol. Mereka ada hak, cuma tidak boleh bersuara untuk menuntutnya. Justeru, berikan hak mereka untuk hidup di dunia ini. Sikap dan keprihatinan kita adalah jawapannya.

Ejen 'nakal' punca amah kerap lari dari rumah majikan

APABILA seorang pembantu rumah dari negara asing lari dari rumah majikan di Malaysia, tidak ramai menyedari bahawa ia sebenarnya telah menjadi masalah dua buah negara.
Secara ringkas, apabila seorang pembantu rumah lari dari rumah majikan dan bekerja dengan majikan lain, dia sebenarnya telah melanggar peraturan imigresen.
Apabila diadakan pemeriksaan dan ditangkap, dia akan dikenakan hukuman sewajarnya atau diusir ke negara asal, contohnya kalau berasal dari Indonesia akan diusir pulang melalui pintu masuk yang ditetapkan.
Apabila pulang ke tanah airnya, pembantu rumah itu akan mengadu kepada kerajaan dan badan bukan kerajaan bahawa dia telah dianiaya sehingga hasratnya untuk bekerja di Malaysia berakhir dengan merengkok di pusat tahanan dan diusir.
Sedangkan dia sebenarnya telah menjual tanah atau meminjam wang daripada tetangga serta saudara mara semata-mata untuk ke negara Malaysia bagi mencari pekerjaan.
Akhirnya masalah pembantu rumah itu menjadi masalah kepada hubungan dua buah negara yang akhirnya jika tidak ditangani dengan baik boleh menjejaskan hubungan dua hala.
Semua masalah itu memang mempunyai punca. Pekerja berkenaan sebenarnya menjadi mangsa, begitu juga dengan majikan di Malaysia, turut menerima nasib yang sama.
Punca kepada semua masalah itu adalah ejen yang tamak dan penipu. Ejen-ejen yang menguruskan pekerja asing itu biasanya mengenakan bayaran tinggi dengan pelbagai alasan yang diragui.
Contohnya, ejen di Indonesia mengenakan bayaran sebanyak RM4,200, manakala ejen di Malaysia mengenakan bayaran sebanyak RM1,900 yang keseluruhan bayaran yang harus ditanggung majikan untuk mendapatkan seorang pembantu rumah adalah sebanyak RM6,100.
Kadangkala jumlah bayaran itu boleh meningkat dengan pelbagai alasan. Majikan pula akan memotong gaji pembantu rumah bagi menyerap kos berkenaan, mungkin potongan gaji sehingga sembilan bulan.
Ini bermakna pembantu rumah yang berharap untuk mencari pendapatan dan kehidupan yang lebih baik terpaksa bekerja tanpa gaji untuk tempoh sembilan bulan.
Itu pastinya jauh daripada apa yang diharapkan oleh pembantu rumah berkenaan dan akhirnya dia memutuskan untuk lari daripada majikan serta mencari pekerjaan lain.
Bagi majikan pula, mereka telah membelanjakan wang yang banyak, tetapi mereka kehilangan pekerja dan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar sekali lagi untuk mendapatkan pekerja baru. Sudah tentu ia memberi tekanan dari segi kewangan, emosi dan mental.
Bagi ejen, perkara itu lebih menguntungkan mereka kerana wang akan terus masuk ke dalam poket mereka tanpa mempedulikan masalah yang harus ditanggung oleh orang lain.
Sebenarnya bayaran yang dikenakan oleh ejen itu boleh dikurangkan lagi. Sebagai contoh, ejen mendakwa telah melatih pekerja selama 21 hari untuk bekerja sebagai pembantu rumah sebelum dihantar ke Malaysia.
Bayaran yang dikenakan adalah termasuk latihan tersebut, kos penginapan dan belanja makan pekerja berkenaan yang ditanggung sepanjang tempoh latihan.
Bagaimanapun, latihan yang didakwa diberikan oleh ejen itu masih boleh diragukan kerana hakikatnya pembantu rumah yang dihantar ke Malaysia memang tidak terlatih.
Sehinggakan ada di kalangan mereka langsung tidak pandai melakukan tugas asas seperti menggosok baju, memasak nasi dan mencuci baju menggunakan peralatan elektrik.
Sikap ejen-ejen nakal itulah yang menjadi masalah, sedangkan mereka sebenarnya mengambil untung di atas kesusahan orang lain. Tanpa pembantu rumah dan majikan di Malaysia, ejen-ejen tersebut tidak akan wujud.
Mereka wujud hanya untuk membantu memudahkan urusan sahaja dan bukannya untuk mengaut 'untung di atas angin' sebanyak mungkin.
Jika kerajaan membuka urusan membawa pekerja asing kepada sesiapa sahaja, pasti semua ejen tersebut akan 'gulung tikar'.
Dengan hanya meletakkan tiga buah komputer di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta contohnya dan diuruskan oleh tiga orang pegawai bagi melayani permintaan pembantu rumah melalui Internet, ia sudah cukup untuk menyebabkan ejen-ejen tersebut berkubur.
Oleh itu, ejen-ejen berkenaan harus berfikir untuk berubah supaya mereka tidak menjadi dinasour di dalam sistem yang telah pesat berkembang, sehingga mereka menjadi tidak lagi relevan.
Mereka diwujudkan demi membantu kesejahteraan pekerja, majikan dan akhirnya demi kesejahteraan hubungan dua hala dan bukan merosakkan citra tersebut.

Kasihanilah guru di pedalaman

DUNIA pendidikan memang tidak lepas daripada pelbagai isu sama ada membabitkan para guru atau para pelajar. Sekarang ini heboh pula tentang isu guru enggan bertugas di luar bandar hingga memaksa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran untuk mewajibkan guru bertugas di luar bandar untuk sekurang-kurang tiga hingga lima tahun.
Saya adalah seorang guru. Bertugas di pedalaman selama hampir sepuluh tahun. Bertugas di pedalaman adalah suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Pengalaman selama hampir sepuluh tahun mematangkan kerjaya saya sebagai seorang guru. Namun yang menjadi isu sekarang ini apabila ada kalangan lepasan maktab enggan bertugas atau dihantar ke luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak dan Sabah kerana momokan kawan-kawan seperjuangan yang mengatakan bahawa di Sarawak dan Sabah ini keadaannya sangat perit.
Ada yang mengambil jalan pintas dengan segera mendirikan rumahtangga di akhir semester pengajian mereka di institut penguruan dengan harapan mereka tidak akan dihantar ke kawasan pedalaman. Ada yang terpaksa memikirkan berpuluh-puluh alasan untuk tidak ke kawasan seperti ini kerana bimbang tidak mampu untuk hidup di kawasan pedalaman.
Saya tidak menyalahkan bakal-bakal guru ini kerana ada asasnya kebimbangan mereka. Ini kerana bertugas di luar bandar atau pedalaman memerlukan mental dan fizikal yang tinggi. Kita perlu berkorban segalanya jika berada di luar bandar. Ketiadaan kemudahan asas adalah satu kenyataan yang perlu ditelan ketika melangkah ke kawasan ini. Hanya berbekalkan generator dan air sungai guru perlu segera menyesuaikan diri. Ada sekolah yang tidak mempunyai kemudahan telefon atau jaringan komunikasi. Saya sendiri pernah mengalaminya. Hendak menelefon keluarga pun terpaksa menggunakan telefon atur atau terpaksa memanjat apa sahaja asalkan dapat menghubungi keluarga. Begitu besar pengorbanan guru di luar bandar.
Tambahan pula, ada kawasan tidak mempunyai kemudahan klinik. Kalau demam pun terpaksa berbekalkan ubat yang dibeli di farmasi. Kalau hendak ke klinik akan memakan masa. Kecuali keadaan kesihatan yang serius maka terpaksa juga menggagahkan diri ke bandar untuk mendapatkan rawatan.
Ada kalangan kami yang ke bandar tetapi tidak mempunyai tempat tinggal. Terpaksa pula kami bermalam di hotel atau rumah tumpangan. Tidak mengira keselamatan diri, guru-guru perempuan yang tidak mempunyai saudara-mara di bandar terpaksa tinggal di hotel terutamanya apabila menghadiri kursus di bandar kerana pihak jabatan tidak menyediakan tempat tinggal. Apatah lagi sekarang ini adalah zaman penjimatan di mana setiap kursus perlu dilakukan di premis pendidikan sendiri. Terpaksalah guru-guru luar bandar mencari alternatif untuk menjimatkan perbelanjaan daripada duduk di hotel selama berhari-hari.
Apa yang membimbangkan adalah sistem pengangkutan di luar bandar. Terpaksa naik perahu hingga berjam-jam lamanya. Apa yang lebih memeritkan, saya dan kawan-kawan terpaksa memberanikan diri menahan mana-mana kenderaan yang lalu lalang untuk ke bandar. Tidak mengira akan keselamatan diri, kami menumpang sesiapa sahaja yang sudi membawa kami ke bandar. Begitulah peritnya hidup seorang guru di luar bandar.
Namun, kami sangat terharu apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500-RM1500 untuk guru-guru yang berkhidmat di luar bandar. Akan tetapi, kami merasa dipinggirkan apabila kami terpaksa berjuang pula untuk mendapatkan insentif tersebut kerana sekolah kami mudah dihubungi menurut pandangan pegawai yang melakukan pemantauan. Kami sangat kecewa pada masa tersebut memandangkan sekolah kami tidak mempunyai bekalan elektrik, perlu menaiki perahu, menggunakan jalan tanah merah malah tiada kemudahan telefon. Paling menambahkan beban, elaun perumahan kami ditarikbalik memandangkan kami tinggal di kuarters sekolah walaupun kuarters tersebut sangat daif dan usang! Sudah jatuh, ditimba tangga pula.
Biarpun demikian, kami sangat berbesar hati apabila kerajaan memberikan elaun balik kampung kepada kami memandangkan harga tambang untuk pulang ke kampung bernilai sebulan gaji!
Cadangan kerajaan untuk mewajibkan guru bertugas di luar bandar bagi tempoh 3-5 tahun adalah cadangan yang cukup baik namun pihak kementerian perlulah memastikan guru tersebut dapat berpindah ke negeri asal setelah tamat tempoh berkenaan. Jangan jadi seperti saya! Saya tidak kisah berkhidmat di luar bandar tetapi untuk tempoh selama sepuluh tahun ia memang memeritkan. Sepuluh tahun berkhidmat di sekolah yang sama begitu menekankan.
Apabila saya memohon ke bandar, pelbagai alasan dikemukakan oleh pihak jabatan kepada saya. Oleh sebab itu, ramai bakal guru yang enggan ke luar bandar kerana bimbang akan terkandas di sana selama berpuluh tahun. Ada rakan sejawat saya yang pernah bertugas di luar bandar selama lima belas tahun barulah pihak jabatan buka mata untuk memindahkan mereka. Itupun setelah mereka bertikam lidah dengan pihak berkenaan. Alasan yang selalu diberikan oleh pihak berkenaan adalah tiada kekosongan di tempat yang diminta.
Selepas ini, saya berharap agar urusan perpindahan guru diuruskan dengan lebih sistematik oleh pihak yang terlibat. Sebagai guru, kami tidak kisah untuk berkhidmat di mana-mana sahaja kerana sudah termaktub dalam ikrar kami sebelum menjadi guru. Akan tetapi, kebajikan kami perlu juga dijaga khususnya guru-guru di luar bandar.
Hasrat kerajaan untuk menambah insentif kepada guru-guru di luar bandar sangat dialu-alukan agar lebih ramai guru berminat untuk ke luar bandar. Pemberian elaun hidup susah adalah satu contoh terbaik yang amat menggembirakan kami di luar bandar. Cadangan saya agar setiap sekolah dibekalkan dengan bot laju atau van siap dengan pemandu bagi kemudahan guru-guru untuk berulang-alik ke bandar tanpa sebarang masalah. Dan diharapkan generator yang ada di sekolah dapat membekalkan bekalan elektrik 24 jam tanpa sebarang masalah. Kadang-kadang ada sekolah yang mempunyai generator tetapi tidak boleh digunakan kerana rosak atau tiada bekalan minyak. Kasihanilah guru-guru di luar bandar.

Mencari jawapan di sebalik gejala seksual

SEKS dan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Begitu juga seks dan haiwan. Namun seks haiwan tiada garis panduan. Sebab itu seks melampau dikaitkan dengan nafsu kebinatangan. Tetapi dalam dunia moden, sering dipaparkan naluri seks manusia lebih binatang dari haiwan.
Itu realiti dunia siber. Di mana seks sejenis menjadi halal. Itu mungkin tidak berlaku dalam dunia haiwan. Haiwan akur pada tabie, maka kitaran seks haiwan mengikut putaran tabie, tiada yang di luar tabie.
Nafsu haiwan tidak berkembang. Tiada juga halal atau haram. Haiwan tidak belajar daripada manusia tentang kegilaan seks.. Selalunya manusia yang meniru perilaku seks haiwan. Ini kerana perilaku haiwan terbatas dek kekosongan fikiran. Manakala manusia menggunakan kelebihan akal dan fikiran untuk mencuba sesuatu yang di luar jangkauan. Maka terciptalah perilaku songsang yang menyanggah putaran alam.
Itu perbezaan dan persamaan antara naluri seks manusia dengan haiwan.
Mungkin disebabkan naluri seks manusia yang semakin tidak terbimbing maka timbul cadangan supaya pendidikan seks diperkenalkan di sekolah. Maknanya, seks mesti dididik. Jika tidak dididik dikhuatiri seks semulajadi akan menyimpang sehingga menjadi punca runtuhnya masyarakat. Apabila masyarakat runtuh maka akan huru-haralah dunia. Yang haram dihalalkan di sisi undang-undang, manakala yang songsang dijadikan resam.
Tetapi sejauh mana relevannya pendidikan seks di sekolah dengan kawalan kewarasan manusia dalam mendepani kemaruk seks? Mampukah pendidikan berlawan dengan aliran deras dunia tanpa sempadan yang membawa masuk segala porno dan idea gila tentang seks biar pun di ceruk pedalaman sekali pun?
Adakah trend seks bebas, jenayah pembuangan bayi, seks sesama jenis dan seks terlampau dapat dibendung menerusi pendidikan seks secara formal di sekolah?
Atau pendidikan seks mesti dilangsungkan secara tidak rasmi - oleh ibu bapa di rumah atau menerusi bimbingan agama. Kemudian digabung pula dengan peringatan serta pendidikan secara tidak langsung menerusi subjek tertentu seperti pendidikan agama, moral, sains, kesihatan, biologi, sains rumahtangga dan kemahiran hidup.
Terbukti berkesan
Pendekatan konvensional (tanpa slot khas atau matapelajaran khas seks) terbukti berkesan puluhan tahun lalu. Bukan tiada langsung jenayah berkaitan seks berlaku pada zaman nenek moyang kita. Ada, tetapi parasnya amat minimum. Kegilaannya tidak sampai ke tahap menamatkan nyawa tidak berdosa di dalam longkang atau tong sampah. Atau dibakar supaya jejak dan susur galur si pembuat dosa tidak dapat dikesan.
Peringkat pertama pendidikan seks bermula di tangan ibu bapa. Dahulu ibu bapa tegas mengingatkan anak-anak tentang apa yang tidak boleh dan apa yang boleh dilakukan. Sejak kecil anak-anak diingatkan supaya menjaga kehormatan. Jangan dibenar sesiapa menyentuh kehormatan diri hatta keluarga terdekat.
Anak-anak tidak dibenar keluar malam kecuali untuk mengaji, belajar agama atau menghadiri tusiyen. Itu pun dengan penuh kebimbangan. Bukan seperti zaman sekarang, tuisyen menjadi 'senjata' utama untuk melepaskan diri dari pandangan ibu bapa. Manakala pendidikan seks di sekolah diajar secara tidak rasmi kebanyakannya menerusi subjek agama. Ustaz mengajar tentang halal dan haram. Para pelajar diberi tunjuk ajar tentang akil dan baligh yang membawa perubahan fizikal lelaki dan wanita.
Mereka membimbing tentang perlunya mandi hadas, apabila didatangi haid atau mengalami mimpi. Istilah-istilah seperti persetubuhan disentuh sejak usia tujuh tahun. Paling penting semua nilai yang boleh menjadi benteng pertahanan diri daripada terjebak dalam 'jenayah' seks atau jenayah-jenayah lain ditekankan secara tidak lansung di rumah dan di sekolah. Ingatan tentang dosa dan pahala memagari keterujaan untuk mengetahui lebih banyak tentang seks..
Selepas nikah
Biar pun tidak diajar mengenai seks selamat atau penggunaan alat pencegah kehamilan, namun sering ditekankan, seks hanya boleh berlangsung selepas nikah. Terbukti ajaran dan pendekatan yang berlangsung sejak turun temurun itu sedang galak digunapakai di Barat. Anak-anak muda diingatkan tentang seks selamat. Salah satu elemen dalam seks selamat adalah seks selepas berkahwin. Kepercayaan itu semakin mendapat tempat lantaran menyedari bahawa pendidikan seks di sekolah bukan jawapan kepada pelbagai masalah akibat seks yang semakin membimbangkan dunia.
Sebab itu dalam dunia moden, kesedaran mengenai akibat seks tidak terkawal seperti dijangkiti penyakit kelamin, AIDS dan krisis moral bukan menuntut satu jawapan. Kesemua gejala itu tidak boleh ditangani hanya dengan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.
Tanggungjawabnya besar. Ibu bapa, guru- guru, masyarakat dan individu itu sendiri. Jika ibu bapa memainkan peranan tetapi guru-guru memandang lewa, maka kesedaran tidak akan mampu dipupuk. Jika ibu bapa dan guru-guru melaksanakan fungsi masing-masing tetapi masyarakat tidak peduli, tidak ada gunanya. Manakala jika ketiga-tiga pihak berjaya dalam peranan masing-masing tetapi pengaruh dunia tanpa sempadan gagal dibentengi oleh individu, maknanya kita kena kembali kepada asas kehidupan - menjadikan agama sebagai panduan. Lantaran di situ jawapan yang sebenar.
Menjauhi seks terlarang yang membawa kepada pelbagai penyakit masyarakat dalam dunia serba canggih sememangnya tidak mudah. Ia tidak semudah anak kecil penulis menghafal perkara yang membatalkan air sembahyang antaranya 'keluar sesuatu dari qubul dan dubur'. Apabila ditanya maksud dua perkataan, lancar dia menjelaskan - jalan belakang dan depan.
Lantaran pada usia itu dia tidak tahu mana satu jalan yang halal dan haram. Tanggungjawab ibu bapa dan guru memberi kefahaman lanjut. Selebihnya terpulang kepada bentuk masyarakat dia membesar kelak. Manakala pendidikan seks di sekolah bukan jalan penyelesaian.

Kebebasan individu asas tamadun moden

Orang Melayu moden menikmati kebebasan individu yang besar. Mereka bebas untuk menjalankan kehidupan masing-masing. Untuk memilih cara hidup bagaimana adalah terpulang pada individu masing-masing, mengikut cita rasa sendiri.
Mereka bebas untuk mempercayai apa saja dan memiliki pendapat tentang apa jua. Kebebasan inilah yang dapat dinikmati dalam sebuah negara demokrasi dan liberal seperti Malaysia. Mereka juga bebas untuk memilih pekerjaan mereka. Hendak belajar ilmu apa yang diminati. Bebas memilih pasangan mereka. Warganegara Malaysia bebas melakukannya dan hak mereka ini dijamin oleh undang-undang dan perlembagaan negara.
Tetapi masyarakat dan mereka yang berkuasa melakukan banyak perkara untuk mengongkong kebebasan ini atas nama kebaikan umum atau keharmonian bermasyarakat. Jadi siapa yang kuat dan berpengaruh akan dapat menggubal peraturan dan undang-undang menurut cita rasa pihak mereka, sementara yang lemah tidak ada jalan lain, hanya menuruti. Konsep menghormati kebebasan individu tidak begitu dibanggakan di Malaysia, sebaliknya penekanan selalu dibuat mengenai kepentingan masyarakat, bangsa dan negara.
Tidakkah yang akan bahagia di mana atas nama merekalah peraturan dan undang-undang itu dibuat adalah individu-individu? Masyarakat, bangsa dan negara hanyalah konsep dalam minda, tetapi yang hakiki adalah individu setiap seseorang, yang menempuh segala penderitaan atau menikmati kebahagiaan sepanjang hidup mereka masing-masing.
Nikmat kebebasan individu ini hanya dikecapi oleh penduduk Malaysia selepas Perang Dunia Kedua. Pada zaman feudal, sebelum kedatangan pemikiran Barat, orang Melayu yang bilangannya jauh sedikit berbanding sekarang adalah menjadi rakyat kepada raja masing-masing. Umumnya orang Melayu tinggal di kampung-kampung, sama ada di pesisiran pantai atau di tebing sungai. Bercucuk tanam dengan bersawah atau ke laut mencari ikan.
Begitulah dunia mereka turun-temurun tanpa kesedaran mengenai sebarang tamadun yang mengubah dunia. Mereka merupakan rakyat kepada penghulu masing-masing yang memberi taat setia sepenuhnya kepada raja yang memerintah kampung-kampung itu. Apabila raja memerlukan orang untuk berperang, maka anak-anak muda di kampung-kampung ini akan dikerah untuk mempertahankan negara dan takhta raja.
Hidup
Hidup orang Melayu kebanyakannya adalah seperti itu. Tidak ada kebebasan individu kerana semua peraturan dan masa depan hidup masing-masing telah ditentukan oleh masyarakat. Ada antaranya yang cuba keluar dari kampung untuk merantau. Ada yang menjadi saudagar. Ada pula yang berjaya merapatkan diri dengan istana dan berkhidmat di sana. Tetapi tentunya orang seperti ini amat segelintir sekali. Ada pula yang terpaksa menjadi hamba kerana hutang atau menjadi tawanan pertempuran. Begitulah hidup orang Melayu zaman feudal.
Apabila penjajah datang keadaan berubah, Portugis merosakkan perdagangan orang Melayu di Nusantara. Belanda menyusup masuk dan menakluki kekuasaan di Jawa dan Sumatera. Inggeris berjaya menguasai istana Raja-raja Melayu. Hidup orang Melayu tidak banyak mengalami kemajuan. Kongkongan masyarakat kampung menguasai mereka dan membenam sebarang kebebasan individu.
Ada antara mereka belajar agama di sekolah-sekolah pondok yang sedikit sebanyak membebaskan minda mereka. Tetapi cara hidup beragam tradisional tentunya menyekat sebarang kebebasan individu.
Menjelang Perang Dunia Kedua, ada segelintir orang Melayu diberi pelajaran oleh penjajah untuk kepentingan imperial mereka. Kesedaran mula meresap dan timbullah gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mahu memerdekakan orang Melayu. Bukan saja memerdekakan negara tetapi tidak kurang penting membebaskan minda, serta individu diberikan kebebasan untuk memilih cara hidup masing-masing.
Jepun datang dalam Perang Dunia Kedua dengan menjanjikan kemerdekaan daripada penjajahan Barat. Perkesemakmuran Asia Timur Raya adalah untuk menjadikan Asia untuk orang Asia. KMM teruja dengan fahaman ini dan memihak kepada Jepun untuk menyingkirkan Britain dari Tanah Melayu,
Tapi Jepun ketika itu, seperti Jerman dan Itali adalah negara fasis yang empayarnya bertujuan untuk memperhambakan bangsa-bangsa lain bagi berkhidmat untuk Maharaja Jepun yang dianggap Tuhan. Orang Jepun sendiri tidak ada kebebasan individu, mereka semua adalah hamba kepada maharaja mereka.
Ternyata pemerintahan Jepun mendatangkan kesengsaraan dan penderitaan yang amat sangat kepada penduduk Malaya. Semuanya terkongkong di bawah pedang Samurai.
Apabila Jepun kalah, Britain kembali dengan gagasan Malayan Union. Tujuannya adalah untuk menjadikan Tanah Melayu tanah jajahan Britain. Tidak ada kemerdekaan, hanya penjajahan yang berterusan. kebebasan individu hanya dalam kerangka sebagai tanah jajahan British menurut undang-undang mereka.
Pada masa yang sama komunis pula mewujudkan sebuah negara yang mengongkong kebebasan individu. Tetapi British menentang komunis bukanlah kerana perkara ini tetapi atas sebab menjaga kepentingan ekonomi mereka.
Malayan Union ditentang oleh orang Melayu kerana ia memansuhkan kedaulatan orang Melayu terhadap tanah air mereka. Dengan mengambil kira ancaman komunis dan tuntutan orang Melayu, Britain mendapatkan jalan tengah dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.
Perlembagaan baru itu pertama kali membawa orang Melayu ke dalam dunia moden, meninggalkan feudalisme dan kolonialisme. Kebebasan individu diiktiraf untuk warga kepada sebuah negara liberal dan demokratik.
Ini kerana asas tamadun moden ialah kebebasan individu untuk menentukan cara hidupnya.

Salahkah paus pembunuh


Detik-detik terakhir Brancheau bersama Tilikum.


NAMANYA sahaja mampu mengerikan mereka yang tidak mengenalinya. Namun hakikatnya ikan paus pembunuh bukanlah seganas namanya. Ia merupakan haiwan paling besar dalam keluarga ikan lumba-lumba. Paus pembunuh merupakan haiwan yang jinak dan bijak.
Aksi, telatah dan kebijaksanaan ikan paus di kolam pertunjukan mampu menghiburkan para penonton. Haiwan ini terbahagi kepada beberapa jenis. kebanyakan spesies ini menjadikan beberapa jenis ikan kecil sebagai makanan utama.
Namun terdapat paus pembunuh yang makan daging haiwan laut seperti singa laut, anjing laut, walrus malah ikan paus yang lebih besar. Ikan paus pembunuh mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain.
Malah kebanyakan ikan ini terdiri daripada kelompok keluarga yang besar dan bergerak seiring. Ikan paus ini merupakan haiwan yang mempunyai hubungan keluarga yang paling kuat di antara semua haiwan di dunia. Kecanggihan hubungan sosial dan komunikasi suara mereka telah digambarkan oleh para penyelidik sebagai manifestasi budaya yang mengkagumkan.
Namun insiden seekor paus pembunuh menyambar seorang jurulatih dari platform di tepi kolam pertunjukan dengan mulutnya sebelum melibas wanita malang itu di dalam air pada 24 Februari lalu amat menggemparkan Kejadian yang menyebabkan wanita itu menemui ajal disaksikan para pengunjung.
Kejadian berlaku di Taman Marin Sea World Adventure Park di Orlando Florida Amerika Syarikat. Mangsa, Dawn Brancheau, merupakan antara jurulatih paling berpengalaman di taman tersebut. Beliau mati akibat lemas dan trauma yang teruk.
Berikutan insiden itu, para pengunjung yang cemas segera diarahkan keluar daripada kawasan kejadian dan taman marin itu ditutup.
Ketua jurulatih haiwan SeaWorld, Chuck Tompkins berkata, Brancheau sedang menggosok-gosok badan paus yang dinamakan Tilikum selepas satu pertunjukan apabila haiwan seberat 5,500 kilogram itu secara tiba-tiba menyambar rambutnya dan menariknya ke dalam air.
Disebabkan saiz paus itu yang besar dan kejadian sebelum ini, jurulatih lain tidak dibenarkan bersama Tilikum sehingga pihak taman tersebut menyiapkan laporan mengenai punca kejadian. Hanya 12 daripada 29 jurulatih di taman itu dibenarkan melatih mamalia tersebut.
Bagaimanapun pertunjukan membabitkan Tilikum dan rakan-rakannya kembali dibuka, empat hari selepas kejadian.
pertunjukan
Ribuan penonton menyaksikan paus-paus itu menunjuk kebolehan dengan berenang mengelilingi kolam dan menyembur air ke arah penonton. Walaupun hujan namun ia tidak menjejaskan pertunjukan tersebut malah dianggarkan seramai 2,200 penonton hadir.
Pertunjukan berkenaan turut menayangkan foto dan rakaman video tentang Brancheau sepanjang menjadi jurulatih di situ yang membuatkan rakan-rakannya di SeaWorld menitiskan air mata.
Namun yang pasti pertunjukan hari itu berbeza dari hari-hari sebelumnya bukan sahaja kerana kehilangan Brancheau tetapi sifat berhati-hati yang ditunjukkan oleh pelatih-pelatih yang lain.
Sebelum itu Presiden SeaWorld Parks and Entertainment, Jim Atchison menyatakan Tilikum akan tetap menjadi sebahagian daripada pertunjukan kerana paus pembunuh itu adalah daya tarikan utama di situ.
Tilikum, mamalia berkulit licin, berwarna putih-hitam sepanjang 6.2 meter dan paling besar yang terdapat di situ hingga kini telah menyebabkan dua kematian jurulatih di taman tersebut.
Ketika ini timbul pertanyaan perlukah siasatan kejadian tersebut dilakukan. Ada yang berpandangan ia hanya membuang masa kerana manusia hakikatnya telah bertindak membunuh ribuan malah jutaan haiwan. Nasib haiwan juga tidak pernah dipedulikan tetapi apabila seekor haiwan membunuh seorang manusia maka ia digambarkan sebagai kejam.
Sememangnya tiada siapa menyangka Tilikum akan bertindak ganas pada hari kejadian. Malah rakaman video terakhir menunjukkan Tilikum sangat mesra dan tenang ketika Brancheau bermain dan menyiram badannya. Paus pembunuh dianggap buah hati para pengunjung yang teruja dengan aksi yang dipertontonkan.
Tilikum turut menunjukkan keletah manjanya ketika Brancheau menyuapkan berdozen ikan ke dalam mulutnya yang luas ternganga hingga menampakkan barisan giginya yang tajam. Namun tiada siapa tahu apa dalam fikiran Tilikum sehingga bertindak ganas terhadap pelatih yang paling rapat dengannya.
memahami
Bagi Brancheau, beliau telah menanam cita-citanya untuk menjadi pelatih mamalia laut sejak berusia sembilan tahun. Dan pada usia 40 tahun beliau menjadi mangsa haiwan yang paling disayanginya.
Ironinya kita mungkin melihat dan memahami haiwan sebegini berdasarkan pemerhatian semasa melihat pertunjukan yang diadakan. Mungkin juga apabila semakin rapat hubungan antara manusia dan haiwan, akhirnya kita terfikir bahawa haiwan bertindak dan berfikir seperti manusia.
Namun hakikatnya haiwan ini telah dilatih untuk memahami dan melakukan arahan yang telah ditetapkan walaupun kelihatannya seolah-olah kita memahami tingkah laku dan pemikirannya. Akhirnya paus-paus itu dilihat sebagai satu lagi objek yang dilatih demi memenuhi kehendak manusia yang pelbagai.
Mengenali Tilikum yang telah ditangkap di Atlantik Utara pada 1983 ketika hanya berusia dua tahun apakah manusia benar-benar memahami keinginan dan kelakuannya. Apatah lagi haiwan paus pembunuh merupakan kelompok haiwan yang sangat rapat dengan ahli keluarganya namun akhirnya terpisah jauh dan terpaksa tinggal bersama "keluarga baru" yang berbeza spesies .
Sememangnya diketahui haiwan ini merupakan perenang hebat yang mampu memburu dan mengembara pada jarak jauh tapi akhirnya tinggal di dalam kolam yang jaraknya terlalu pendek dan hanya mengandungi 3.2 juta gelen air. Pastinya keadaan ini boleh diumpamakan sebagai penjara yang hanya menyeksakan Tilikum yang semakin dimamah usia.
Ada pihak berpandangan bahawa paus pembunuh mendapat kehidupan yang lebih baik di situ berbanding di laut. Namun pemikiran dangkal sebegini pastinya berlandaskan pandangan seorang manusia yang tidak memahami hakikat sebenar rutin dan jiwa seekor haiwan yang bebas meneroka lautan yang luas terbentang.
Apatah lagi manusia itu sendiri yang harus merasa bersalah kerana menganggap haiwan ini sebagai penting hanya sekadar bahan hiburan untuk dipertontonkan.
Pastinya haiwan ini tidak sesuai untuk menjadi bahan pertunjukan semata-mata kerana seperti manusia habitat semulajadinya juga merupakan tempat terbaik untuk haiwan itu meneruskan kehidupan.
Jika kita sendiri berada di tempat paus itu, tidak hairan manusia akan memberontak dan bertindak di luar batasan. Maka tidak menghairankan jika Tilikum bertindak ganas sekadar mahu menunjukkan protes. Lebih malang lagi pihak pengurusan Taman Marin SeaWorld Adventure Park masih mahu terus mengekalkan Tilikum dan bukan melepaskannya.
Akhirnya kita sendiri terlupa dalam kita terlalu sibuk untuk memahami kejadian lain, kita menjadi tamak dan mementingkan diri sendiri. Malah menganggap hanya kita sahaja yang betul walaupun tabii telah menunjukkan sebaliknya. Hakikatnya manusia perlu lebih memahami diri mereka sendiri barulah kita lebih faham erti sebenar sebuah kehidupan.

Rakyat perlu didekati untuk kejayaan sukan

FILEM Invictus lakonan Morgan Freeman dan Matt Damon mengisahkan Nelson Mandela yang baru dilantik menjadi Presiden cuba menyatukan penduduk Afrika Selatan yang berpecah-belah akibat dasar Aparteid dengan menjadikan sukan ragbi sebagai sumber penyatuan.
Filem itu mampu memberi inspirasi dan semangat kepada pemimpin dan penggiat sukan di negara ini agar menghayati perjalanan pasukan ragbi kebangsaan Afrika Selatan yang menjuarai kejohanan ragbi dunia, seterusnya menyatukan negara yang longgar perpaduan akibat sengketa berpuluh tahun lamanya.
Tidak salah rasanya untuk kita yang masih tercari-cari formula bagi menyatukan rakyat melalui sukan yang menjadi idola kita iaitu badminton, bola sepak dan sepak takraw. Mencari di sini bukan bermakna mencari kala diperlukan untuk menjual tiket kejohanan atau kempen pilihan raya.
Mengambil iktibar daripada filem Hollywood itu, kita perlu kembali mempopularkan sukan seperti badminton, bola sepak dan sepak takraw yang semakin hari semakin nazak akibat persaingan sukan dunia yang semakin hebat.
Pemimpin dan penggiat sukan perlu bergerak jauh dari rumah persatuan untuk kembali menyemarakkan sukan dengan membawa jaguh-jaguh kita ke pangkuan masyarakat yang selama ini hanya melihat Lee Chong Wei, Rashid Sidek, Misbun Sidek, Ko Kien Keat, Tan Boon Hong, Wong Pei Ty dan lain-lain di kaca televisyen sahaja.
Begitu juga jaguh sukan sepak takraw negara yang hanya kita tahu bercuti ke Australia pada tahun lalu, tetapi tidak dapat dikenali orang kampung sendiri.
Bagi sukan bola sepak, perjalanan ke Slovakia dilihat jauh daripada sokongan peminat negara ini yang langsung tidak kenal siapa mereka. Apa kata kita bawa mereka pulang ke pangkuan masyarakat untuk mengambil semangat peminat-peminat tempatan yang cintakan sukan tersebut dan begitu teringin melihat sendiri para pemain yang bakal mewakili negara ke persada pentas antarabangsa.
Mungkin ramai anak sekolah seronok untuk bersalaman dengan mereka yang bakal dipertaruhkan untuk menaikkan nama negara. Formula mengambil inspirasi daripada rakyat itu juga boleh dipakai oleh pemimpin untuk mendekati rakyat yang tidak menyokong mereka semasa pilihan raya lalu.
Memang diakui kita masih tercari-cari formula untuk menaikkan sukan dan menyatukan bangsa mahupun rakyat. Kita juga tahu bahawa untuk menyelesaikan masalah, kita tidak boleh menggunakan suara atau seminar semata-mata bagi menyedarkan dan menaikkan semangat atlet mahupun rakyat.
Kita perlu mendekati rakyat yang merupakan pelanggan kita dalam politik mahupun sukan. Sebagai pemain bola sepak, jika telah bertemu masyarakat, maka kita perlu ingat pada masa kita memerah keringat, ia adalah keringat yang diresapi semangat peminat sukan seluruh negara.
Skil, stamina dan pengalaman semuanya kita ada, tetapi apa yang kurangnya adalah semangat rakyat negara ini yang kita dekati dalam kempen mencari inspirasi sebagaimana tema kisah di dalam filem Invictus.
Piala Thomas sudah tinggal kurang tiga bulan, sasaran menjadi juara mampu dijelmakan jika formula ini diguna pakai. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai peminat badminton mampu menjadi penaung program tersebut.
Bayangkan harapan 100 peratus rakyat yang juga peminat sukan keramat itu, mungkinkah skuad badminton boleh melupakan sejenak kejohanan dunia untuk balik kampung berjumpa peminat yang amat meminati mereka dan meminta mereka mendoakan kejayaan yang kita kecapi kali terakhir pada 1992.
Mungkin semangat ingin berjaya boleh dimulakan di kampung kelahiran juara Piala Thomas anak-anak Allahyarham Datuk Sidek di Kanchong Darat, Banting. Di situ, monumen bulu tangkis di halaman rumah keluarga Sidek seakan-akan bungkam menanti perwira badminton dunia datang menemui orang kampung bagi meraih semangat 1Malaysia Boleh.

Cemari sungai, meracun diri

SETIAP kali membincangkan keadaan sungai di negara kita, isu pencemaran seakan-akan sinonim dengannya. Warna air sungai yang seakan-akan 'teh tarik' menjadi senario nasional kerana boleh dikatakan semua sungai utama di negara ini sudah tercemar.
'Tukang cemar' bukan orang lain tetapi masyarakat sendiri akibat terlalu rakus mengejar keuntungan segera. Sebut sahaja aktiviti seperti pembalakan, pertanian, perindustrian dan sebagainya, semuanya menjadikan sungai sebagai 'tong sampah'.
Bukannya kita tidak tahu sungai merupakan sumber penting untuk kehidupan. Semua menerima hakikat itu! Namun, ramai yang sengaja tutup mata atau buat tak tahu apabila mengaut keuntungan segera daripada apa yang dilakukan sedangkan ia memberi implikasi buruk kepada persekitaran termasuk sungai.
Lebih menyedihkan kini, ada sungai yang telah digolongkan sebagai sungai mati. Maknanya tidak ada satu hidupan mampu hidup di dalamnya. Bukan sahaja warna air seperti teh tarik, malah ada sungai yang warna airnya sudah bertukar kepada hitam legam macam kopi 'o'.
Tindakan golongan yang mencemarkan sungai ini sebenarnya 'meracuni' diri, manusia lain serta hidupan yang bergantung kepada air. Sungai yang kotor menyebabkan sumber air yang diperoleh juga 'kotor' walaupun ia dirawat sebelum disalurkan kepada orang ramai.
Apabila air sungai kotor, syarikat air yang merawat dan membekalkan kepada orang ramai terpaksa menggunakan peralatan dan teknologi terbaik, pastinya memerlukan kos tinggi.
Secara teori ekonomi mudahnya, yang akan menyerap kos tersebut ialah pengguna dan orang ramai. Tapi apabila kadar bayaran air dinaikkan, semua bising. Ada yang kata kerajaan tidak adil, tidak prihatin dalam keadaan ekonomi meleset dan tidak kurang juga yang minta kenaikan itu ditangguh.
Ketika negara khususnya Johor yang kini berdepan cuaca kering, air di sungai-sungai kian susut. Malah sudah ada yang melepasi paras kritikal seperti yang dicatatkan di Empangan Sembrong Timur dan Empangan Congok, Bekok. Natijahnya, ramai yang 'tersiksa' kerana terpaksa dikenakan catuan air.
Catuan oleh Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH) itu membuatkan orang ramai pening kepala kerana ia menjejaskan operasi mereka. Walaupun lori tangki SAJH sedang membekalkan air, namun deruan air yang mencurah dari paip rumah 'amat dirindui' mereka.
Cuba tanya kepada mereka yang mengalami pengalaman dikenakan catuan, semuanya berharap tidak melaluinya lagi walaupun dalam tempoh beberapa jam. Ini kerana semua aktiviti terjejas, ada yang tidak mandi, sukar memasak atau terpaksa beli air botol di kedai jika ada tetamu yang datang.
Lebih menyiksakan apabila jika pada masa itu perut meragam dan sering ke 'bilik kecil'. Pasti semua sukar dilakukan! Isu yang timbul bukan sahaja kekurangan bekalan air, namun air yang ada di sungai-sungai di negeri ini semakin tercemar.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani mendedahkan, salah satu punca pencemaran itu adalah penggunaan baja kimia dalam sektor pertanian. Ramai yang mengetahui, Johor merupakan negeri yang banyak 'dihiasi' ladang kelapa sawit dan penggunaan baja kimia nyata kian memberi kesan kepada persekitaran.
Jelas kini, sudah sampai masanya para petani dan peladang beralih kepada penggunaan baja organik yang diyakini tidak mencemarkan alam sekitar.

Memupuk budaya reka cipta


ZULFADZLI HARON MENCUBA SALAH SATU LITAR YANG DIPASANG OLEH PESERTA.

BAYANGKAN apa akan jadi kepada dunia ini jika tidak ada budaya reka cipta. Apa akan jadi jika manusia bernama Thomas Edison tidak berfikir untuk menghasilkan mentol. Tentu dunia kita gelap gelita. Kita tentu masih berjalan kaki atau berkereta lembu jika Henry Ford tidak memerah otaknya mencipta kereta. Begitu juga dengan sistem perhubungan. Telefon bimbit yang ada dalam genggaman kita hari ini yang kita guna untuk bermacam-macam tujuan sebenarnya adalah evolusi ciptaan Alexander Graham Bell.
Semua alat-alat penting yang ada dalam hidup kita hari ini terhasil daripada kreativiti dan budaya reka cipta yang terdapat di kalangan nama-nama besar yang ciptaan mereka telah mengubah dunia.
Seperti biasa ia bermula dengan idea kecil yang dikembangkan sehingga menjadi sesuatu yang penting dalam hidup kita.
Dalam dunia moden atau siber sekarang ini nama Bill Gates tentu cukup mempersonakan.
Bukan sebab dia seorang bilionaire tetapi perisian komputer ciptaannya telah mengubah cara dunia berkongsi maklumat dan berkomunikasi.
Namun kita lebih suka menjadi pengguna daripada pencipta. Budaya reka cipta di kalangan rakyat negara ini masih rendah.
Namun ia perlu dipupuk supaya satu hari nanti Malaysia juga mampu melahirkan pencipta tersohor dunia.
Atas kesedaran untuk mempromosikan kreativiti dan budaya reka cipta di kalangan rakyat tempatan dan kerajaan turut mengumumkan Malaysia Inovatif 2010 bertemakan Meraikan Kreativiti bagi memberi penekanan kepada bidang reka cipta atau inovasi juga merupakan tumpuan negara bagi menjayakan rencana Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.
Bagi menyahut seruan tersebut, Utusan Malaysia menerusi sisipan MEGA dengan kerjasama syarikat Zull Design Autotronic telah menganjurkan Bengkel Rakan Inovasi di Sekolah Menengah Teknik Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Maklamatnya ialah memupuk budaya kreativiti dan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai reka cipta. Bengkel sehari tersebut mendapat sambutan menggalakkan dari seluruh negara.
Menurut Pengarah Urusan Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron, reka cipta merupakan cetusan idea dalam menghasilkan sesuatu yang dapat dimanfaatkan oleh manusia.
"Reka cipta atau inovasi bukanlah sesuatu yang boleh pelajari sebaliknya ia merupakan kreativiti seseorang dalam memikirkan jalan penyelesaian yang sering dihadapi dalam aktiviti kehidupan.
"Untuk menjadi seorang pereka cipta yang baik kita tidak perlu memikirkan sesuatu yang besar, kompleks dan canggih.
"Cukup sekadar menghasilkan perlatan yang ringkas untuk kegunaan seharian kita.
"Bermula daripada idea dan ciptaan yang kecil itu ia dikembangkan sehingga kepada ciptaan yang tidak diduga oleh manusia," katanya dalam ucapan pembukaan bengkel tersebut.
Peserta yang terdiri daripada segenap lapisan usia dan kaum menunjukkan minat yang mendalam.
Ada yang sanggup datang dari luar Selangor semata-mata mahu menyertainya.
Bengkel tersebut dimulakan dengan sesi ceramah bagaimana menjadi seorang yang berfikiran kreatif dan bagaimana mereka yang berfikiran kreatif belajar.
Para peserta didedahkan dengan pelbagai perkara berkenaan inovasi sehinggalah kepada alatan elektronik mudah.
Dalam sesi berkenaan Pengarah Latihan Zull Design Autotronic, Zulfadzli Haron turut mendedahkan teknik serta rahsia mudah untuk menjadi seorang pereka cipta yang berjaya walaupun dengan hanya menggunakan beberapa jenis suis.
Katanya, dalam mana-mana peralatan elektronik mahupun peralatan yang ingin dicipta suis merupakan 'ibu' kepada segalanya rekaan tersebut.
"Ini kerana, melalui suis pelbagai jenis rekaan dapat dicipta jika seseorang itu benar-benar kreatif dan memahami konsep penggunaannya," ujarnya.
Pada sesi praktikal pertama, para peserta didedahkan bagaimana menghidupkan peralatan dengan hanya menggunakan sentuhan lembut.
Berbekalkan pelbagai jenis suis dan alatan elektronik yang mudah seperti 'relay', mentol dan penggera, peserta dikehendaki menyediakan sebuah litar asas yang lengkap bagi memudahkan pemahaman mereka terhadap konsep yang didedahkan.
Para peserta dibimbing untuk menghidupkan peralatan melalui suara, cahaya, air, pergerakan badan, pergerakan objek dan gegaran di mana ia mampu menjana idea setiap peserta untuk memikirkan ciptaan melaluinya.
Melalui pendedahan asas tersebut, para peserta mendapat idea untuk mencipta sesuatu yang lebih menarik dan juga mungkin luar biasa.
Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Ghazaly Haraon berkata, jika bengkel sedemikian dapat diadakan dengan lebih kerap ia mampu menghasilkan individu yang benar-benar kreatif dalam menghasilkan rekaan yang berguna kepada masyarakat.
Apatah lagi jika para pelajar di setiap sekolah di negara ini didedahkan dengan pelbagai pekara berkenaan inovasi pada peringkat awal.
Katanya, pihak sekolah juga turut menganjurkan beberapa pertandingan reka cipta di peringkat sekolah dan zon.
"Menerusi program begini sudah pasti minat dalam diri setiap pelajar yang menyertainya akan berkembang.
"Kita di peringkat sekolah juga amat bersetuju jika seni reka cipta ini dijadikan sebagai budaya sekali gus dapat menjauhkan para pelajar daripada gejala negatif yang begitu teruk hari ini," jelasnya.
Destinasi program Bengkel Rakan Inovasi tersebut kini dijadualkan akan meneruskan program tersebut di Seremban selepas Kajang dan dijangka akan terus diadakan di seluruh negara.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

Arkib Blog

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket