Selamat datang

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Menawan Selat Inggeris



Dengan catatan masa 17 jam 37 minit, Abdul Malik Mydin menjadi rakyat Malaysia dan Asia Tenggara pertama berenang menyeberangi Selat Inggeris pada 2003.


BERBEKALKAN semangat Malaysia Boleh, ramai anak muda di negara ini berusaha mencipta rekod bukan sahaja untuk diri mereka sendiri bahkan mengharumkan nama negara di persada dunia.
Mungkin sebelum kejayaan merentasi Selat Inggeris pada tahun 2003, nama Abdul Malik Mydin (kini Datuk) tidak dikenali biarpun ketika itu beliau merupakan pelumba basikal yang mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia.
Tiada siapa menyangka anak muda yang mempunyai impian dianggap 'gila' oleh sesetengah pihak, akhirnya membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu mencipta nama.
Sekuat mana ombak menghempas pantai begitu juga semangat yang ditunjukkan oleh Abdul Malik dalam mengejar impian bukan sahaja untuk dirinya bahkan seluruh rakyat Malaysia.
Beliau muncul sebagai perenang Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang berjaya mengharungi Selat Inggeris dengan catatan masa 17 jam 37 minit biarpun dalam keadaan suhu yang mencecah 6 darjah celcius.
Misi dinamakan Cabaran Selat Inggeris 2003 itu, dinaungi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menjadi titik tolak dalam membakar semangat generasi muda untuk terus berjaya dalam apa juga bidang diceburi.
Setelah semuanya berakhir, kini Abdul Malik kembali semula kepada minat lamanya iaitu sukan berbasikal tetapi sebagai penganjur Kejohanan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) yang kini masuk siri kedua.
Walaupun tidak lagi berenang, semangat kesukanan dalam dirinya masih tidak dapat dipadamkan sementelah ia penting dalam membentuk jiwa dan peribadi seseorang.
Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan AZRAI MOHAMMAD bersama jurugambar, IZHAM JAAFAR dan MOHD. AZIM ABD. RAHMAN menyingkap kembali kisah anak muda kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini dalam misinya mengharungi antara selat tersibuk di dunia itu.
Kejayaan Abdul Malik turut menjadi inspirasi kepada anak muda Malaysia lain seperti Dr. Lennard Lee yang berjaya melakukannya pada 2004 manakala Zahra Masoumah Abdul Halim pula gagal dalam cubaan awalnya pada 2009.

Penawar denggi ditemui!!!!!!!!!! Vaksin dijangka berada di pasaran menjelang 2014

KUALA LUMPUR: Ancaman demam denggi yang dihidapi hampir 100 juta orang dan menyebabkan 22,000 kematian setiap tahun di seluruh dunia, dijangka akan berakhir berikutan penemuan vaksin untuk merawatnya.

Vaksin itu yang sudah menjalani ujian klinikal fasa terakhir membabitkan kira-kira 40,000 pesakit dari 10 negara di Asia dan Amerika Syarikat dijangka memasuki pasaran menjelang 2014 atau 2015.
Vaksin itu boleh membentuk antibodi bagi pesakit untuk melawan penyakitnya dengan menguatkan sistem imuniti badan melawan penyakit berkenaan yang dibawa nyamuk jenis Aedes Aegypti.
Pengarah Program bagi Penemuan Penyakit Berjangkit di Institut Perubatan Dune-NUS di Singapura yang juga bekas Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit di Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit di Amerika Syarikat, Profesor Duane Gubler, berkata syarikat Amerika Syarikat, Sanofi Pasteur dilesen untuk mengeluarkan vaksin itu.

Katanya, buat permulaan hanya 100,000 vaksin akan dikeluarkan setiap tahun.

"Vaksin ini dijangka dijual pada harga mahal di peringkat permulaan, sebelum berkurangan apabila banyak lagi vaksin baru ditemui dan diuji. Ketika ini beberapa vaksin masih diperingkat awal kajian dan dijangka memasuki pasaran dalam tempoh 10 tahun lagi.

"Vaksin itu sesuai digunakan ke atas kanak-kanak dan orang dewasa, malah ia boleh digunakan seawal umur 12 bulan diikuti program vaksinasi pada peringkat umur seterusnya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri bengkel mengenai 'Nyamuk Terubah Suai Secara Genetik' (GMM) di sini, semalam.
Turut menyampaikan kertas kertas kerja mengenai GMM ialah pakar penyelidikan GMM Brazil, Profesor Madya Margareth de Lara Capurro dan Pengarah Eksekutif Lembaga Penasihat Keselamatan dan Kesihatan Dunia di Geneva, Dr Ali Akbar Mohammadi.

Gubler berharap penemuan vaksin baru itu tidak dijadikan alasan oleh mana-mana pihak untuk berhenti menjalankan kajian pengawalan nyamuk, malah perlu melipatgandakan usaha memerangi nyamuk Aedes Aegypti yang menjadi punca demam denggi.

"Jika ditanya saya apakah kaedah yang paling berkesan bagi menangani denggi di Malaysia, saya tidak mempunyai jawapan yang spesifik, tetapi sesebuah negara tidak boleh bergantung hanya pada satu usaha saja.

"Malaysia perlu ada usaha sendiri membangunkan Program Pengawalan Penyakit Bersepadu yang khusus bagi menangani semua jenis wabak penyakit, termasuk dibawa nyamuk.

“Setiap wabak perlu dipantau sejak awal dan bukannya selepas penyakit berjangkit dan menyebabkan kematian. Setiap kes yang berlaku dalam komuniti perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Peristiwa Bukit kepong, 1950

Kepada Mat Sabu & pembaca blog ini, sila baca peristiwa Bukit Kepong,Johor. Ini membuktikan bahawa mereka adalah pejuang sebenar, bukannya pegawai British.

Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong adalah kejadian serangan komunis semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut, balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.
Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.
Dalam kejadian ini, 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban.

 

Permulaan

Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1948-1963). Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.[1]
Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:
  1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
  2. Keadaan balai polis yang terpencil
Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.
Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.
Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Serangan Komunis

Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan menurut kandungan buku "Memoir Abdullah C.D.", diketuai oleh Muhammad Indera, seorang Komunis Melayu yang memimpin 2 platun komunis Melayu[2], [3]. Menurut rancangan asal, Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu hanya sebagai amaran sahaja,[perlu rujukan] bagaimanapun serangan yang turut disertai Komisser Goh Peng Tun itu bertukar menjadi tragedi buruk. Pihak komunis mengepung balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 04.15 pagi. Apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat berduri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun dengan kekuatan anggota yang sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.[4]
Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk membantu. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Sten Gun turut dimusnahkan komunis.
Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstebel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.
Peta Serangan Balai Polis Bukit Kepong
Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.
Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.
14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

Bantuan dari perkampungan berdekatan

Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema kebeberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Kampung Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari stesen pokis Bukit Kepung. Mereka kekurangan senjata berbanding komunis yang menggunakan senjata automatik berbanding raifal dan senapang patah yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.
Disebabkan keadaan tidak seimbangan, Ali Mustafa mengarah pengawalnya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.
Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada 10am dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.

Selanjutnya

Keadaan balai yang hangus terbakar
Apabila pengawal kampung memasuki kampung Bukit Kepong, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Ketua kampung mengambil alih pentakbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapun mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk (Texans) berhadapan dengan cabaran yang hebat dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.

Mereka yang terselamat

Anggota Polis
  1. Konstabel 10533 Othman Yusoff (meninggal);
  2. Konstabel Marin 37 Abu Bakar Daud (meninggal);
  3. Konstabel Tambahan 3472 Ahmad Khalid (meninggal);
  4. Konstabel 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)
Ahli keluarga anggota
  1. Mariam Ibrahim - balu Konstabel Muhamad Jaafar
  2. Zainun Muhamad - anak perempuan Konstabel Muhamad Jaafar
  3. Abu Samah Muhammad - anak lelaki Konstabel Muhamad Jaafar
  4. Zaleha - anak perempuan Konstabel Muhamad Jaafar
  5. Jamilah - anak perempuan Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  6. Hussain - anak lelaki Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  7. Fatimah Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Konstabel Hassan Osman
  8. Pon Khalid - isteri Konstabel Marin Awang Ali
  9. Fatimah Tuani - isteri Konstabel Hamzah Ahmad
  10. Edmund Ross Williams Hunt - orang asli bertugas sebagai pemandu arah

Mereka yang gugur dalam pertempuran

Anggota Polis
  1. Sarjan 2493 Jamil Mohd Shah (KPB Bukit Kepong)
  2. Koperal 7068 Mohd Yassin Haji Wahab (T/KPB Bukit Kepong)
  3. Lans Koperal 7168 Jidin Omar
  4. Konstabel 9136 Hassan Osman
  5. Konstabel 3933 Hamzah Ahmad
  6. Konstabel 8600 Jaafar Hassan
  7. Konstabel 7493 Muhamad Jaafar
  8. Konstabel 5674 Abu Mohd Ali
  9. Konstabel 7862 Abu Kadir Jusoh
  10. Konstabel Marin 60 Ibrahim Adam
  11. Konstabel Marin 68 Awang Ali
  12. Konstabel Marin 181 Basiron Adam
  13. Konstabel Tambahan 3475 Mohd Top Lazim
  14. Konstabel Tambahan 3795 Jaafar Arshad
Polis Bantuan
  1. Ins. Kudarina Naknok
  2. AP 2130 Samad Yatim
  3. AP Mahmood Saat
  4. AP 1925 Ali Akop
  5. AP 2127 Othman Yahya
Keluarga Anggota
  1. Allahyarhammah Fatimah Yaaba - isteri kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  2. Hassan Abu Bakar - anak lelaki kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
  3. Allahyarhammah Saadiah - isteri kepada Konstabel Abu Mohd Ali
  4. Allahyarhammah Simah Abu - anak kepada Konstabel Abu Mohd Ali
Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
  1. AP Redzuan Alias
  2. Embong Lazim
  3. Mendiang Koh Ah Cheng

Kontroversi

Kenyataan mengenai Peristiwa Bukit Kepong

Pada 21 Ogos 2011 semasa satu ceramah di Gelugor, Pulau Pinang, Mohamad Sabu mengeluarkan satu kenyataan kontroversi dengan mengatakan kononnya Muhammad Indera dan 200 anggota tentera pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Peristiwa Bukit Kepong 1950 yang selayaknya digelar "wira negara" dan bukannya anggota polis yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan balai polis Bukit Kepong, dengan mendakwa kononnya kesemua anggota polis semasa penyembelihan tersebut sebagai "pegawai British" manakala askar PKM pula dianggap "wira negara sebenar" memandangkan mereka "menentang British".[5] Ceramah tersebut, yang videonya tersebar luas di laman YouTube, telah mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh Malaysia, memandangkan kenyataan tersebut dianggap sabagai satu penghinaan terhadap ahli keluarga mangsa yang terkorban,[6] di samping para pejuang kemerdekaan lain yang tiada kaitan dengan PKM seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn Jaafar.[7]
Walau bagaimanapun, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menafikan segala tuduhan tersebut serta mempertahankan kenyataan dan dakwaan Mohamad Sabu atas alasan sama

Tolak fahaman Mat Sabu

MARAH dan kecewa. Begitulah perasaan dikongsi para hadirin pada Forum Merdeka Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Kira-kira 500 orang termasuk bekas tentera dan polis memenuhi dewan bagi menghadiri forum anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Ia bertujuan menunjukkan kebencian mereka terhadap pengganas komunis dan perasaan kecewa dengan kenyataan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
Timbalan Presiden Pas itu dalam ceramah di Pulau Pinang baru-baru ini mengangkat Muhammad Indera (Mat Indera) yang mengetuai serangan pasukan Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950 sebagai wira negara.
Walaupun hujan lebat, ia tidak mematahkan semangat hadirin mendengar penjelasan ilmiah daripada mereka yang terlibat secara langsung dengan gerakan menghapuskan komunis dan bagi meluahkan kemarahan mereka ketika sesi dialog.
Forum yang bermula pukul 9 malam dibarisi oleh empat ahli panel iaitu bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Ab. Rahman.
Turut serta bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn; pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam serta Pengerusi Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar. Forum itu dipengerusikan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Zulkifli yang berkhidmat selama 37 tahun di dalam PDRM dan bertanggungjawab dalam risikan mengenai komunis menegaskan bahawa dakwaan Mat Sabu yang menyatakan Mat Indera ialah pejuang kemerdekaan adalah tidak berasas.
''Macam mana Mat Sabu berani kata Mat Indera ini bukan komunis, kenapa Mat Sabu pilih Mat Indera sebagai hero dalam peristiwa Bukit Kepong padahal dia tidak kenal siapa itu Mat Indera," katanya.
Penegasan itu memang tepat kerana ketika pengganas komunis membakar balai polis itu dan membunuh 25 anggota keselamatan dan kaum keluarga mereka, Mat Sabu baru berusia empat tahun.
Jelas Zulkifli, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pernah mengesahkan bahawa Mat Indera ialah panglima pemerintah komunis di Johor.
Kata beliau, perkara itu diceritakan oleh pemimpin komunis paling berpengaruh itu di hadapan para cendekiawan dalam sesi dialog di sebuah universiti di Canberra, Australia pada 22 dan 23 Februari 1999.
''Mat Indera pada masa itu dikenali sebagai panglima yang memerintah komunis di kawasan selatan dan utara Johor iaitu di Batu Pahat, Muar, Segamat, Tangkak dan seluruh Melaka,'' katanya.
Dalam pada itu, Jaafar yang juga anak pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar berkata, banyak peristiwa menyayat hati berlaku ketika komunis cuba menguasai negara ini selepas Jepun menyerah kalah.
Katanya, ramai orang Melayu termasuk mereka yang berpengaruh dalam masyarakat seperti imam, penghulu dan pegawai daerah telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis ketika itu.
Katanya, mereka dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditikam dengan tombak, dikurung di dalam sangkar babi kemudian dibunuh, ditinggalkan di dalam hutan sehingga meninggal dunia atau digantung dengan kepala ke bawah.
''Paling saya tidak boleh lupakan ialah apabila seorang ibu dan anak-anaknya dibakar hidup-hidup dalam sebuah rumah kerana enggan menyokong perjuangan komunis. Kesemua mereka ini ialah orang Melayu.
''Adakah layak komunis yang kejam seperti ini diangkat sebagai pejuang? Mereka bunuh orang kita, kaum kita tanpa belas kasihan,'' katanya yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn.
Sambil menyifatkan pemimpin Melayu yang mengagungkan komunis sebagai pengkhianat, Jaafar, 79, berkata, beliau ma sih boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia tidak mahu mengiktiraf jasa bapanya tetapi tidak sesekali memaafkan golongan yang mendewakan pengganas komunis.
Mengulas isu sama, Ramlah yang menyifatkan Mat Sabu sebagai buta sejarah berkata, apa yang diungkap pemimpin itu adalah satu penghinaan kepada anggota keselamatan yang mempertahankan negara.
''Mereka tidak rasa menjadi alat kepada British tetapi berjuang menentang komunis yang telah melakukan kekejaman," katanya yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Jelas beliau, tragedi Bukit Kepong adalah peristiwa yang menyedihkan dan ia merupakan antara enam balai polis yang diserang komunis.
''PKM pimpinan Mat Indera telah menyerang balai polis itu setelah membuat pemantauan selama beberapa hari dan mereka melakukan serangan mengejut," katanya.
Tambah beliau, pengganas komunis sama seperti pemimpin politik yang pandai bermain strategi untuk menarik orang Melayu menyertai gerakan menentang British ketika itu.
''Akhirnya ramai orang Melayu masuk ke hutan, ramai yang terpedaya sebab itu sertai komunis untuk menentang British. Kita mesti ingat ramai di kalangan mereka berpendidikan agama," ujarnya.
Sementara itu, Kamaruddin yang juga bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkata, sekiranya berlaku pertumpahan darah ekoran kenyataan kontroversi Mat Sabu, pemimpin kanan Pas dan parti itu perlu bertanggungjawab.
''Saya minta semua menentang dakwaan Mat Sabu ini. Komunis bukan saja menyerang, tetapi mereka seksa dan tebuk perut kerana mahu kita iktiraf mereka," katanya.
Pada akhir forum, Ibrahim yang membuat rumusan menyeru orang Melayu bersatu dalam memastikan Mat Sabu ditolak sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Mansuh ISA untuk rakyat, bukan pembangkang

DALAM suasana menghirup udara 48 tahun usia Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan beberapa perkara penting iaitu dua pemansuhan akta - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan mengikut peredaran masa.
Sementara, tiga lagi akta akan dibuat kajian semula secara komprehensif yang membabitkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Seksyen 27 dalam Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Pengumuman di luar jangkaan ini membangkitkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak yang menganggap angin pembaharuan yang ingin dilaksanakan ini sebagai drastik, berani dan tidak kurang juga menyifatkan ia sebagai radikal.
Apa pun reaksi yang diberikan pelbagai pihak, sudah tentu Perdana Menteri telah membuat kajian mengenai perkara ini sedalam-dalamnya dengan memberi keutamaan terhadap kepentingan, kehendak dan keselesaan rakyat selain mengambil kira relevannya undang-undang tersebut pada masa kini.
Semasa dalam ucapannya sulungnya ketika mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau berjanji akan mengkaji akta ISA secara komprehensif dan jelas sudah, beliau telah menunaikan janji tersebut
Najib juga sebelum ini pernah berkata, bahawa kerajaan tidak boleh lagi mengambil pendekatan ‘tahu segala-galanya’. Justeru, kerajaan memerlukan pandangan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan.
Dalam ISA, misalnya kajian terperinci mengenai pemansuhannya telah dilakukan selama dua tahun dengan mengkaji semua aspek, ia bukanlah satu keputusan yang dibuat secara drastik atau tergesa-gesa dan tidak juga tunduk kepada tuntutan pembangkang.
Jadi tidak perlulah pembangkang mendabik dada dengan pemansuhan ini, dengan menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar kepada mereka sehingga akhirnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan desakan mereka dan mendakwa itulah dia hasil daripada protes di jalanan.
Perlu ditegaskan, kerajaan hanya melakukannya untuk rakyat. Apa yang dirasakan baik dan betul untuk rakyat dan negara, maka perkara baik dan betul itulah yang akan dilaksanakannya.
Maka pemansuhan ISA ini perlu dilihat sebagai kejayaan rakyat keseluruhannya.
Bukan kejayaan pembangkang, yang tetap menganggap apa sahaja yang datang daripada kerajaan itu salah dan tidak betul, walaupun mereka dan keluarganya turut menikmati faedahnya.
Dan kepada rakyat atau mana-mana pihak yang gusar dengan langkah ini, tidak perlu panik dengan pemansuhan ISA dan Akta Buang Negeri ini.
Pemansuhan ini bukan bermakna kerajaan telah meletakkan aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara di tahap yang paling rendah.
Ini kerana dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan berkesan akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Kita belum tahu dan melihat, apa yang terkandung dalam undang-undang baru ini. Jadi tidak perlulah kita membuat spekulasi-spekulasi yang bukan-bukan mengenai kelonggaran kerajaan dalam aspek keselamatan negara ini.
Sudah tentu penambahbaikan akan dibuat supaya undang-undang mengenainya menjadi lebih baik, tegas dan berkesan daripada ISA dan pada masa sama mengambil kira dan memelihara hak asasi manusia.
Dan bagi pihak pembangkang, buatlah apa sahaja pun, semuanya pasti tidak betul. Jadi tidak hairanlah nanti, setelah kedua-dua undang-undang ini digubal, pembangkang akan tetap membuat bising dan tidak mustahil memuja pula ISA yang telah dimansuhkan.
Selain itu, bukti kerajaan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan juga jelas dilihat apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Kebenaran berhimpun akan diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan tetapi pada masa sama mengambil kira norma-norma antarabangsa.
Kita berharap dalam perkara ini, kerajaan bertindak lebih tegas terhadap penganjur dan peserta demonstrasi jalanan.
Pihak yang mencetuskan kekacauan dan menganggu urusan harian orang ramai ini, harus diberi pengajaran melalui peruntukan undang-undang yang lebih tegas, bukan dilepaskan begitu sahaja.
Kesimpulannya, dalam menyambut Hari Malaysia, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif awal dalam transformasi politik.
Diharap inisiatif yang berpandangan jauh ini akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa yang lama juga.

Akta baru imbangi kepentingan negara

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Penggubalan akta serta undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan semalam akan memberi fokus kepada usaha mencari keseimbangan antara kepentingan negara dan keselamatan rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penggubalan akta serta undang-undang tersebut juga akan mengambil kira pandangan pihak serta agensi yang berkaitan seperti polis dan tentera terlebih dahulu.
“Perubahan terhadap akta tersebut sebenarnya telah mula diperbincangkan oleh kementerian pada dua tahun lalu ketika Perdana Menteri mengumumkan pelan transformasi negara dan ia juga telah mengambil kira pandangan daripada pihak berkuasa seperti polis, tentera serta agensi yang terlibat dengan ISA.
“Akta baru yang digubal bagi menggantikannya akan mengambil kira peredaran zaman tetapi perubahan terhadapnya perlulah diimbangi dengan kepentingan terhadap keselamatan negara dan rakyat serta kepentingan suasana demokrasi semasa.
“Saya tahu ia agak mencabar kepada kami (kementerian) kerana banyak perkara perlu dilakukan tetapi ia juga merupakan perkembangan yang menggalakkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang diadakan serentak di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pemansuhan ISA seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ucapan khasnya sempena sambutan Hari Malaysia, semalam.
Dalam ucapannya, Najib mengumumkan pemansuhan terus ISA selain kajian komprehensif pihak kerajaan terhadap beberapa undang-undang lain antaranya Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Polis 1967.
Bagaimanapun, menurut Hishammuddin, proses menggubal undang-undang baru menggantikan ISA tidak akan mengambil masa yang lama kerana ia akan merujuk kepada undang-undang di negara lain sebagai contoh.
“Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, seperti Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia boleh dijadikan contoh untuk menggubal akta baru tersebut dalam usaha memerangi keganasan,” katanya.

Mansuh ISA dianggap wajar

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan melihatnya sebagai satu perubahan besar dalam undang-undang negara serta relevan dengan situasi keselamatan negara pada masa kini.
Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Mohd. Hanafiah Abdul Manap berkata, keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan akta itu adalah tepat dan semua pihak seharusnya menyokong keputusan itu.
"Keputusan itu adalah tindakan yang wajar...mungkin ia satu keputusan yang terbaik dengan menggantikan akta itu dengan akta lain dalam langkah menangani keselamatan dan keamanan negara pada masa kini.
"Jika kita teliti akta ISA itu pun lama digunakan bagi menangani kegiatan subversif di negara ini dan (pemansuhan) ini dilihat sesuai serta kena pada keadaannya..kerana sebelum ini pun ada pihak yang mempersoalkan ketidakwajaran akta ISA," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagi bekas Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Rosli Abdul Rahman, tindakan kerajaan menggubal dua undang-undang baru bagi menggantikan ISA adalah keputusan bersama dan polis hanya bertanggungjawab sebagai pasukan pelaksana.
Katanya, keputusan itu bukan hanya dibuat mengikut pandangan Perdana Menteri semata-mata tetapi juga hasil perbincangan dengan pakar perundangan.
"Jika akta baru yang digubal sesuai, ia akan terus digunapakai dan jika tidak mungkin kerajaan akan guna akta yang sebelum ini... kita sebagai rakyat harus memberi sokongan dan lihat keberkesanan akta itu dahulu sebelum membuat sebarang penilaian," katanya.
Najib dalam Perutusan Khas Hari Malaysia malam tadi mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Perdana Menteri berkata, undang-undang baru itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam berkata, pemansuhan akta ISA merupakan satu keputusan yang bukan sahaja mengejutkan rakyat negara ini malah masyarakat antarabangsa.
Katanya, langkah itu membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sememangnya mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada hak asasi manusia.
Subramaniam yang turut terlibat dalam perbincangan mengenai cadangan pemansuhan itu sejak dua tahun lepas berkata, pelbagai pihak harus yakin bahawa dua undang-undang baru yang akan digubal bagi mengantikan ISA dapat mengekang perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah.
"Sebarang keputusan kerajaan sudah pasti akan membawa Malaysia ke tahap kebebasan yang bertanggungjawab," katanya.
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, keputusan untuk memansuhkan ISA adalah satu langkah progresif dan boleh membantu meliberalisasikan negara.
"Sebenarnya, saya rasa akta itu (ISA) sudah ketinggalan zaman. Keadaan semasa ia digubal berbeza dengan keadaan kita sekarang...dan memang tepat masa ia dimansuhkan," katanya.
Menurut Lam Thye, tindakan berani kerajaan itu juga dapat mengelak ISA daripada terus dijadikan modal politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagi Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, pihaknya mengalu-alukan serta menyambut baik pemansuhan semua akta darurat yang baginya tidak lagi relevan.
"Namun Perkasa mengambil sikap untuk melihat undang-undang baru yang diperkenalkan...bagi Perkasa jangan akhirnya seperti pepatah keris makan tuan," kata Ibrahim.
Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu turut menganggap negara telah mempunyai banyak pemimpin selama ini, tetapi Najib membuktikan bahawa beliau pemimpin paling dekat dengan rakyat dan memahami kerisauan rakyat.
Katanya, ISA yang digunakan ketika ini tidak sama seperti keperluan zaman dahulu dan beliau mengalu-alukan keputusan itu. - BERNAMA

Selamat menyambut kemerdekaan negara ke 54 & hari malaysia ke 48

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-54 tahun & hari malaysia kepada semua warga Malaysia. Semoga kita terus berusaha membina masyarakat Malaysia yang berkesefahaman agar kita bukan sahaja merestui tetapi menyayangi kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang wujud di Malaysia yang menjadikan tanah air kita begitu istimewa di muka bumi ini.
Jangan lupa saksikan sambutan kemerdekaan negara di dataran merdeka bermula pukul 8, kalau
tidak silap di seluruh stesen tv.

Menguruskan seloka Mat Sabu


KALAU tidak dilayan kenyataan Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang mengherokan pengganas komunis, tentulah akan timbul dilema dalam hati.
Sebabnya, Mat Sabu bukannya orang bawah dalam sebuah parti politik. Dia Timbalan Presiden Pas - orang nombor dua selepas Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. (Meskipun ranking Pas meletakkannya orang nombor tiga parti yang dikepalai Mursyidul Amnya, Datuk Abdul Aziz Nik Mat yang mengetuai Majlis Syura parti itu).
Tetapi itulah gelagat yang ditunjukkan oleh Pas. Apabila ada segelintir pemimpin kanannya 'tersasar', masing-masing semuanya 'bersatu' mempertahankan apa sahaja ungkapan yang dikeluarkan individu terbabit.
Tidak kiralah sama ada ungkapan yang dikeluarkan amat mengguris hati dan perasaan orang Melayu yang dalam konteks ini tentunya anak-anak dan sanak saudara mangsa pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.
Dan kalau dilayan berjela-jela kenyataan menghina daripada Mat Sabu ini yang memperlecehkan pengorbanan anggota polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong, mungkin akan didakwa pula sesetengah pihak ia 'mempopularkan' si Mat Sabu ini. Dakwaan itu logik barangkali.
Tetapi dari sudut yang lain, kita tidak nampak sebenarnya apa sumbangan Mat Sabu. Nak dikira nama besar dalam politik tanah air, tidak pula ternampak kesannya. Sekelumit pun jauh sekali. Cuma tempoh hari dia menang pemilihan pucuk pimpinan Pas, yang disebut-sebut ramai 'keputusan luar jangkaan', maka sejak itu namanya muncul kembali. Dan kini menjadi 'besar kepala' dengan kenyataan komunisnya.
Bagi penganalisis politik, Dr. Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), pembangkang di Malaysia hidup atas isu. Kalau tidak ada isu, pembangkang akan dilihat sebagai parti yang mati. Inilah, kata Jeniri, strategi komunikasi yang dipilih oleh pembangkang dan ia kian bersemarak sejak 2005.
"Inilah pendekatan yang digunakan oleh Mat Sabu. Isu popular dan sensasi dipilihnya (mendewa-dewakan komunis)... wujudkan kontroversi walaupun ia tidak logik dan melanggar arus perdana," kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Barangkali boleh dipertimbangkan komen Dr. Jeniri ini jika dilihat lagi kontroversi baru yang 'cuba dicetuskan' Mat Sabu dalam forum membincangkan perjuangan Mat Indera di Kuala Lumpur kelmarin. Timbalan Presiden Pas ini yang memang terserlah gelagat lawaknya menimbulkan pula persoalan sama ada benar bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng seorang pengganas.
Lebih dari itu pula, kata Mat Sabu, jika diadakan referendum atau pungutan suara sejurus selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama sebaliknya orang lain.
Dan 'pandai' pula Mat Sabu ini dengan keletah ungkapan ringkasnya dalam forum itu: "Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku esok. Lu fikirlah sendiri," sambil disambut tepukan dan ketawa hadirin.
Bercakap mengenai sifat individu yang mirip Mat Sabu, Dr. Jeniri menyifatkan ada individu sepertinya umpama dalam 'jiwa kacau'. Dan Mat Sabu termasuk kalangan ahli politik yang hidup dengan 'memperkudakan isu'.
"Kalau tidak, dia tidak akan dikenali. Jadi, lagi lama isu itu dalam arus perdana lagi seronoklah, kian bergeleteklah dia asalkan matlamat menghalalkan cara," kata beliau.
Dr. Jeniri menarik perhatian mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008 yang mungkin dicetuskan oleh 'ungkapan-ungkapan isu separuh benar, beretorik seterusnya memperdayakan rakyat' sehingga membawa keputusan memihak pakatan pembangkang di beberapa negeri.
Apalagi dengan sikap segelintir orang yang memang gemar mendengar cerita kontroversi.
Keupayaan teknik retorik yang efektif dengan bahasa yang hebat boleh menyebabkan rakyat terperangkap.
Justeru amat penting bagi kerajaan yang telah menerima mandat rakyat yang sah untuk mengemukakan wacana-wacana tandingan (melawan balik ungkapan lawak Mat Sabu) dengan bersandarkan kepada fakta dan hakikat.
"Dan bukannya bersandarkan kepada imaginasi atau fakta separuh benar yang bertujuan untuk berpolitik dan merugikan bangsa, agama dan negara," kata beliau.
Dalam hal ini, Dr. Jeniri mempersoalkan pembangkang: "Ke mana hala tuju pembangkang di negara ini. Adakah nak membina masyarakat atau cuba menghancurkan apa yang sudah ada dan tidak peduli lagi dah dengan nawaitu dan politik pemikiran kotor."
Mengakui ungkapan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Sabu yang memilih pengganas komunis jadi hero membuatkannya menggeleng-gelengkan kepala, Dr. Jeniri menarik perhatian bahawa sebuah kerajaan mungkin boleh tumbang jika wujud persepsi atau tanggapan atas 'lawak yang mungkin ditanggap benar' seperti mana dicetuskan Mat Sabu.
"Memang agak bahaya jika tidak ada tangkisan fakta daripada ahli sejarawan, mungkin kita perlukan debat intelektual antara Mat Sabu dan ahli sejarawan dan bukannya antara orang politik dengan lawannya daripada parti lain.
"Sebab itu isu ini tidak akan selesai jika Mat Sabu berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO Pusat, Khairy Jamaluddin. Mat Sabu patut ajak ahli sejarawan berdebat dengannya tentang sumbangan Mat Indera dan bukannya mempelawa (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin)," katanya.
Dr. Jeniri seterusnya meminta Mat Sabu membaca semula sejarah tragedi Bukit Kepong atau setidak-tidaknya meminta anaknya memperdengarkannya di telinga. Memetik sebahagian sejarah pertempuran itu, kata Dr. Jeniri:
"Dalam detik terakhir pertempuran hebat disertai gerombolan 180 pengganas di balai polis yang diperbuat dari kayu di tebing Sungai Muar itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak polis terbakar hangus dalam berek kelamin.
Pada ketika itu hanya tiga orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka.
Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong di sebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.
"Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur ke dalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian.
"Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan Abu Bakar, anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup ke dalam api. Seramai 14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang."
Dan ungkapan kontroversi terbaru yang diuar-uarkan Mat Sabu dalam forum di Kuala Lumpur kelmarin barangkali sudah dijawab oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa satu program wacana pemikiran di Ayer Keroh, Melaka Rabu lalu.
"Biar dia (Mat Sabu) cakap banyak, baru kita tahu lubuk hati dia yang sebenar. Kalau dia tidak cakap, kita tak tahu siapa di belakang dia. Sekarang ini kita tahu, mereka sebenarnya adalah penyokong komunis dan pengganas.
"Sebab itu, saya ingat tak perlulah tangkap dia (Mat Sabu ini), beri dia cakap banyak-banyak supaya kita akan tahu jenis orang di belakangnya. Ini rakyat harus tahu kerana kalau tidak, mereka terus tertipu sepanjang masa," kata Dr. Mahathir.

Persengketaan dan kemarau Somalia akhirnya jadi bencana


HAMPIR seluruh rakyat Malaysia mengakui ada kesedihan yang menyelubungi emosi ketika Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Kesedihan kerana dua tragedi yang menyebabkan rakyat Malaysia terkorban, iaitu tragedi kemalangan maut yang berlaku sepanjang Ops Sikap 24.
Namun demikian, tragedi ini tidaklah meruntun emosi secara meluas berbanding gugurnya seorang wira negara ketika menyertai misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September 2011.
Noramfaizul Mohd Noor yang telah menyertai beberapa kali misi kemanusiaan melaksanakan tugasnya dengan baik sehingga rakan-rakan media yang bersamanya memuji sikap itu. Sesungguhnya Allahyarham Noramfaizul adalah ikon sebuah keberanian dan kesukarelawaan anak Malaysia yang akan dibanggakan oleh seluruh lapisan masyarakat.
Menariknya, beberapa komen yang turut digambarkan oleh rakan-rakan media yang menyertai misi itu mengenai apa yang berlaku di Somalia. Somalia berhadapan dengan konflik dan sengketa kaum sejak 20 tahun lalu. Sejak tahun 1991, bumi Somalia tidak pernah aman, sentiasa berkonflik dan ada kematian kerana terkena tembakan sama ada peluru sesat ataupun sasaran puak-puak yang bersengketa.
Beberapa bulan lalu, Somalia menjadi bertambah buruk apabila kemarau panjang telah menyebabkan enam buah wilayah telah diisytiharkan berada dalam zon maut.
Anggaran pihak tertentu adalah setiap hari ada kematian sehingga tiga ratus orang akibat kebuluran. Jika hujan tidak turun menjelang Oktober ini, lebih 3 juta rakyat Somalia akan berhadapan dengan krisis makanan yang lebih parah.
Gambaran sedemikian, sebagaimana dinilai oleh seorang anak watan yang telah mengungsi selama lebih 22 tahun ke negara asing mencari kehidupan yang lebih baik, Abdi Salam Hussein, 52, jelas membuktikan betapa tidak aman lagi kehidupan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat negara tersebut.
Beliau turut mengingati bahawa Mogadishu bukan lagi sebuah syurga, tetapi neraka dan bandar berhantu. Ini sesuai dengan gambaran Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:"Selain dari itu, tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang dahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)?
"Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikit pun. (Maksud al-Quran Surah Al-Mukmin ayat 82).
Peristiwa ini dapat memberi pelajaran dan pengajaran yang boleh rakyat Malaysia pelajari dari kesukaran hidup rakyat Somalia ialah demi mendapatkan sesuap nasi, mereka sanggup keluar dari kampung halaman berhari-hari dan mengharungi batas-batas kepedihan dan kelaparan.
Malah rumah dan apa yang dimiliki sebelumnya ditinggalkan kerana yang penting ialah perut mahu diisi, anak-anak sentiasa menangis kelaparan dan tidak sanggup lagi melihat kematian. Tragedi tersebut akan membuka mata hati dan fikiran orang yang berfikir kecuali mereka yang kering hatinya.
Kepedihan itu sepatutnya tidak beralun begitu panjang, kematian sebahagian besarnya mungkin boleh dikurangkan jika antara rakyat dan pemimpin bersatu iltizam untuk mengatasi apa sahaja masalah. Tetapi, kerana konflik kepentingan, sebahagian kumpulan rakyat atas nama perjuangan politik sanggup menyiksa rakan-rakan senegaranya dengan tidak membenarkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan tiba.
Sikap sedemikian adalah satu petunjuk bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dalam dirinya sendiri.
Sejak kejatuhan kerajaan pimpinan Mohammed Siad Bare pada tahun 1991, Somalia tidak pernah lekang daripada perebutan kuasa di mana beberapa suku kaum saling bertindak balas sesama mereka. Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 251.
Laporan wartawan Malaysia turut memberikan kita gambaran betapa sukarnya menjalani hidup di Somalia sehingga penduduknya tidak mempunyai wang untuk membeli kain kafan.
Mereka yang mati sebahagian besarnya terpaksa dibungkus dengan kotak sebelum dikebumikan. Inilah realiti kehidupan yang tidak sanggup kita alami di Malaysia.
Realiti ini tentunya tidak sampai ke peringkat yang paling menyayat hati jika kita sentiasa mengingatkan diri kita agar hidup dalam suasana saling persefahaman dan bersatu padu.
Pendedahan media mengenai apa yang berlaku di Somalia jelas menggambarkan satu suasana yang amat menakutkan, setelah bersengketa negara porak peranda dan kemarau pun tiba. Betapa siksanya kalau setiap hari bergelumang dengan konflik dan peperangan ini.
Kepada Noramfaizul sebenarnya telah membuka banyak pengajaran kepada rakyat Malaysia mengenai erti keamanan dan kasih sayang, maka sewajarnya kita sedekahkah al-Fatihah kepadanya.
Jika tragedi tidak menimpa Noramfaizul, mungkin ramai di antara kita kurang memberikan perhatian kepada kebuluran yang berlaku di Somalia, dan bagaimana siksanya hidup dalam kemelut kepentingan kuasa.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails