Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Awas nombor +603-58855100

AWAS jika anda menerima panggilan daripada nombor +603-58855100 yang mendakwa dari Maybank Shah Alam bagi menawarkan kad kredit percuma.

Semakan dibuat menerusi carian Google dengan menaip nombor itu mendapati terdapat banyak aduan yang telah dibuat pengguna.
Seorang pengguna memberitahu pemanggil mendakwa kakitangan Perkhidmatan Pelanggan Maybank tetapi pihak bank itu ketika dihubungi memaklumkan panggilan yang asli akan tertera perkataan ‘private number’ atau nombor 1-300-886688 pada skrin telefon.
Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya tidak memberikan apa-apa maklumat seperti nombor kad pengenalan, akaun bank dan kad kredit kepada pemanggil berkenaan.

Gempa bumi di Myanmar, 75 dilapor maut


Sebuah rumah ranap dalam gempa bumi di Tarlay, timur Myanmar, semalam. Sekurang-kurangnya 75 maut, manakala 111 lagi cedera dalam bencana gempa berukuran 6.8 pada skala Richter itu. - REUTERS


YANGON 25 Mac - Sekurang-kurangnya 75 orang maut apabila satu gempa bumi kuat menggegarkan timur Myanmar malam tadi, dengan angka korban dijangka meningkat apabila laporan diterima dari kawasan-kawasan terpencil yang masih terputus hubungan.
Gegaran dirasai sejauh Bangkok, hampir 800 kilometer dari pusat gempa di kawasan pergunungan Myanmar, serta Hanoi di Vietnam dan beberapa bahagian China apabila gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter itu berlaku pada 8.25 malam tadi (9.55 malam waktu Malaysia).
Pegawai Myanmar berkata, 74 orang terbunuh dan 111 lagi cedera di lima kawasan berdekatan pusat gempa, manakala lebih 240 bangunan runtuh.
"Kami masih cuba masuk ke kawasan terpencil, dengan tentera, polis dan pihak berkuasa tempatan berusaha untuk mencari mangsa yang cedera di kawasan bencana, tetapi jalan masih ditutup," katanya.
Di seberang sempadan, pihak berkuasa Thailand berkata, seorang wanita berusia 52 tahun maut di daerah Mae Sai ditimpa dinding rumahnya yang roboh.
Utara Thailand turut digegarkan dengan gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter pada 7 pagi ini (8 pagi waktu Malaysia), tetapi pihak berkuasa melaporkan tiada kerosakan besar berlaku.
Penduduk yang ketakutan di wilayah itu keluar rumah dan bangunan tinggi bergoyang, manakala hospital dan sekolah dikosongkan, semasa gempa bumi malam tadi.
Di Yangon, pengarah badan kebajikan World Vision bagi Myanmar, Chris Herink berkata, kerosakan infrastruktur yang besar tidak berlaku di kawasan Kengtung dan Tachileik yang terjejas, walaupun bangunan retak dan bekalan air terputus di sesetengah tempat.
"Namun paling membimbangkan ialah kawasan luar bandar kerana saya khuatir, maklumat tidak menggembirakan akan diterima dari sana sepanjang hari ini," katanya.
Gempa bumi itu berpusat 90 kilometer ke utara Chiang Rai dan 235 kilometer ke timur timur laut Chiang Mai, destinasi popular pelancong di Thailand. - AFP

Motivasi pelajar kurang cemerlang

DI sebalik kegembiraan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambut kejayaan, kita sering terlupa sebelah sisi lain iaitu mereka yang kurang cemerlang dan merosot keputusannya.

Apakah sudah tiada esok dan harapan buat mereka? Saya sendiri pernah mengalami nasib yang sama dan saya pernah mengasingkan diri kerana malu.
Oleh itu, saya mencadangkan agar mereka yang kurang cemerlang dalam SPM, diberi kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya dan cemerlang dalam SPM juga perlu mendekati golongan ini untuk memberi semangat dan bukan hanya bergaul sesama mereka sahaja.
Ahli keluarga dan saudara mara pelajar cemerlang juga tidak harus mencemuh mereka. Pelajar terbabit perlu disedarkan bahawa kegagalan dalam sesuatu hal adalah proses kehidupan dan bukan berakhirnya satu kehidupan.
Bantulah mereka untuk bangkit semula daripada kegagalan dan percayalah ada hikmah dan rahmat di sebaliknya kerana mereka ialah golongan yang ‘terpilih’ dan amat ‘bertuah sekali.’ Ingatlah pesanan daripada Christopher Columbus: ‘‘Anda tidak perlu malu kerana gagal’’.

Kakak sepupu saya dapat 6A 1B 3C DALAM SPM................

Kesan bencana alam kepada ekonomi negara

BENCANA alam memberi kesan kepada ekonomi negara sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang dan kesannya sukar diukur dengan tepat kerana ia bukan hanya melibatkan nilai mata wang tetapi ia juga merangkumi persepsi dan emosi mereka yang terlibat dan juga yang melihat.

Adalah sukar untuk menilai kesan bencana alam terhadap faktor nilai yang terjejas dalam jangka masa panjang kerana akan wujud pemulihan yang bertentangan dengan kesan kerugian yang berlaku.
Sebagai contoh, tanaman yang musnah mungkin bernilai RM1 juta tetapi dengan RM1 juta tidak mungkin dapat membayar kerugian tersebut.
Petani mungkin menanam semula di kawasan bencana tersebut maka nilai tersebut sudah terbayar, tetapi jika petani tidak menanam di kawasan itu, maka nilai kerugian akan meningkat.
Oleh itu kesan bencana alam kepada ekonomi adalah sukar dinilai dan mungkin juga mustahil untuk dinilai dengan ukuran mata wang. Mungkin pada masa akan datang satu jadual pengiraan yang sesuai boleh dibangunkan bagi menilai semua bentuk kerugian yang dialami oleh negara kesan dari bencana alam.
Mungkin pada masa ini kita hanya mempunyai nilai dari ukuran mata wang sahaja, mungkin pada masa akan datang kita juga boleh mengukur kerugian dari aspek emosi dan persepsi manusia yang terlibat dan yang melihat.
Supaya nanti, kerugian sebenar dapat dinilai dan seterusnya nilai tersebut dapat memberi kita maklumat yang menyeluruh dan keputusan yang sepatutnya dapat dibuat bagi menampung kerugian tersebut.
Mungkin dalam keadaan yang lain, maklumat tersebut berguna kepada kerajaan untuk menyediakan peruntukan dan kemudahan yang bersesuaian bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam pada masa akan datang.
Maklumat itu penting supaya kerajaan tidak berasa selesa dengan jumlah kerugian yang mungkin kecil berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar. Tetapi mungkin dalam jangka masa panjang ia boleh melumpuhkan ekonomi negara jika kerajaan tidak memperuntukkan sejumlah dana yang berpatutan bagi tujuan kecemasan seperti bencana alam dan lain-lain kecemasan pada masa akan datang.
Dalam keadaan sekarang yang mana bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, kemampuan membina semula ekonomi dalam masa yang singkat selepas bencana adalah sangat penting bagi memasti kelestarian ekonomi tidak terjejas.
Kemampuan untuk bangun semula selepas rebah dilanda bencana alam akan memberi kita satu kelebihan dalam persaingan ekonomi yang semakin mencabar.
Kita sudah melihat Acheh rebah dibadai tsunami, kita juga sudah melihat Pakistan hanyut dilanda banjir dan kesannya juga telah kita rasai dengan kenaikan harga barangan yang diimport dari negara-negara ini.
Namun begitu, kita juga melihat Jepun bangun dengan pantas selepas gempa bumi di Kobe dan tidak terjejas dengan banyaknya gempa bumi atau tsunami yang melanda negara mereka sepanjang tahun. Ekonomi mereka tidak terjejas sama sekali dengan bencana alam, pengeluaran dan pengeksportan tidak terjejas dengan perkara yang sama, bahkan bencana alam telah menjadikan mereka lebih tabah, kreatif dan berinovasi.
Kerajaan perlu melihat dan belajar bagaimana Jepun menguruskan kesan bencana alam kepada ekonomi, sosial dan emosi yang mereka hadapi sepanjang tahun. Bencana alam yang berlaku di negara matahari terbit itu sudah tidak menjadi kudis kepada ekonominya dan mencalar reputasinya di mata dunia.

Mestikah mempunyai loji nuklear untuk maju?

JEPUN adalah "rakan strategi" Amerika Syarikat (AS) paling setia di Asia sama seperti Jerman di Eropah. Mereka tertunduk kepada AS kerana bantuan Marshall Plan yang memulihkan dan membangunkan semula negara-negara itu oleh tangan yang menghancurkan mereka dalam Perang Dunia Kedua.
Bencana tsunami yang menimpa Jepun yang sedang berada dalam keadaan ekonomi yang lemah dibandingkan dengan China, tentunya telah menjejaskan lagi kekuatannya sebagai negara harapan AS dari segi keselamatan ekonomi dan pertahanan.
Jepun tidak dibenarkan membina senjata berat tetapi diizinkan oleh AS untuk mempunyai loji nuklear.
Suatu hal yang menarik bahawa bencana tsunami yang paling dahsyat menimpa Jepun dalam keadaan Asia Barat dan Afrika Utara digugat oleh revolusi rakyat yang diharapkan oleh AS akan meningkatkan taraf demokrasi sesuai dengan konsep globalisasinya.
Revolusi rakyat yang bermula di Tunisia telah menjalar ke Mesir, Yemen, Bahrain dan dalam keadaan terhalang di Libya. Tidak jelas 'tangan' AS dalam kebangkitan rakyat yang menuntut peletakan jawatan Presiden yang telah menjadi "Raja" dan Raja-raja yang menjadi Maharaja di dunia Arab.
Malah dalam kebangkitan ini, AS nampaknya tidak menjadi sasaran serangan rakyat. Tidak ada poster, pemidang atau pun jeritan slogan anti AS dalam tunjuk-tunjuk perasaan yang diadakan.
Persaudaraan Islam di Mesir (Ikhwan Muslimin) dan Al-Qaeda juga bijak tidak mahu terperangkap dalam permainan AS yang mahu kelihatan "orang baik" ketika kebangkitan rakyat ini.
Adalah mustahil untuk menolak sama sekali ada tangan di sebalik suatu kebangkitan teratur yang berlaku hampir serentak. Apakah tidak ada pihak yang mengkoordinasikan?
Yang jelas menjadi korban dalam kebangkitan ini ialah orang Islam. Mereka bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri untuk kepentingan demokrasi ala-AS. AS tidak mahu Presiden menjadi raja dan pemerintahan beraja terus kekal di Asia Barat.
Apakah kebangkitan ini tidak akan berlaku di Arab Saudi dan apakah Mekah akan kekal di bawah penguasaan Saudi?
Di Libya, rakyat yang berperang dengan Muammar Gaddafi adalah rakyat yang tidak terlatih dalam ketenteraan dan mudah untuk dibunuh oleh tentera Gaddafi. Orang ramai menonton di TV bagaimana penentang Gaddafi menembak ke arah tentera pemerintah seperti mainan perang sahaja.
AS jelas memihak kepada rakyat Libya dan memperalatkan mereka untuk menentang Gaddafi tetapi Barat juga takut kepada Gaddafi seperti mereka takut kepada Korea Utara.
Keadaan yang berlaku ini tidak dapat diimbangi oleh kuasa manusia tetapi oleh hanya kuasa Allah yang tidak diduga.
Kematian di Jepun adalah lebih besar daripada kematian dalam kebangkitan revolusi di Asia Barat. Ancaman nuklear ciptaan manusia tiba-tiba menjadi ancaman yang lebih besar kepada orang Jepun setelah tsunami. AS telah mempersenjatai mereka untuk membunuh diri sendiri.
Dalam keadaan ini, Republik Rakyat China pula kelihatan lebih mantap menapak sebagai kuasa besar ekonomi dunia ketika Jepun kini menghadapi kelumpuhan jentera ekonominya akibat tsunami. China akan bergerak lebih cepat lagi mencapai matlamatnya.
Mala petaka yang berlaku di Jepun ini harus menyedarkan Malaysia yang 'melulu' untuk meniru sistem dan strategi pembangunan ekonomi Barat. Jika mahu maju maka kita mesti mempunyai loji nuklear? Apakah ini masih benar pada pandangan para saintis dan pakar pembangunan Malaysia.
Sangat wajar bagi Malaysia untuk berfikir semula secara serius apakah wajar baginya untuk terus berkempen meyakinkan rakyat bahawa ia perlu mempunyai loji nuklear jika mahu menjadi negara maju atau mahu mencapai Wawasan 2020? Apakah kita tidak boleh membangun mengikut acuan sendiri tanpa loji nuklear?
Pembangunan Jepun yang begitu mengagumkan dunia berakhir dengan manusia seluruh dunia mengagumi kuasa Allah, meletakkan jutaan manusia Jepun dalam kemusnahan, kecemasan, ketakutan, kesengsaraan dan penderitaan yang belum diketahui penghujungnya.
Tidak seperti Acheh sebaik-baik sahaja dilanda tsunami, CNN terus menghebahkan beratus ribu orang telah terbunuh. Tetapi CNN cuba memperkecilkan jumlah kematian sebaik-baik sahaja tsunami melanda Jepun, dikatakan hanya beratus orang sahaja yang mati. Tidak dapat diterima oleh logik akal tetapi akhirnya CNN tidak dapat menyembunyikan keadaan sebenar. Harta benda dan manusia yang lenyap bersama tsunami di Jepun adalah lebih besar dari segi nilai materialisme Barat.
Sekalipun keruntuhan negara hamba setianya akan dapat diatasi tetapi moral dan semangat AS telah terjejas dan amat memedihkannya.
Belajarlah daripada petunjuk Allah sebelum rakyat atau generasi masa depan negara ini menjadi mangsa kegelojohan menghambat pembangunan yang tidak mementingkan nilai-nilai kemanusiaan.

Jepun dilanda gempa kuat

TOKYO 11 Mac – Tsunami yang sangat ganas setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan melanda Jepun, meragut beribu-ribu nyawa penduduk ketika ia menghentam bot, kereta dan kediaman manakala kebakaran meletus tanpa kawalan.

Amaran tsunami dikeluarkan ke seluruh Pasifik, sehingga sejauh Amerika Selatan, Kanada, Alaska dan seluruh pantai barat Amerika Syarikat.
Menurut polis Jepun, dianggarkan antara 200 hingga 300 mayat ditemui di kawasan perairan Sendai, bandar paling dekat dengan pusat gempa bumi.
Polis berkata, setakat ini 88 orang disahkan terbunuh dan 359 orang masih dilaporkan hilang.
Angka kematian dijangka terus meningkat berdasarkan skala bencana alam berkenaan. Orang ramai diberi amaran untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
Siaran televisyen turut memaparkan kebakaran dan kepulan asap hitam sekitar bangunan di Odaiba, pinggir bandar Tokyo dan perkhidmatan kereta api laju ke arah utara terpaksa dihentikan.
Rakaman televisyen turut menunjukkan bot, kereta dan trak terapung di atas air selepas tsunami kecil melanda bandar Kamaichi yang terletak di utara Jepun.
Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan berkata, kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat.
“Gempa bumi ini mengakibatkan kemusnahan besar di bahagian utara Jepun. Kerajaan akan menjalankan semua usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat dan meminimumkan kerosakan,” katanya pada satu sidang media khas.
Agensi berita Kyodo melaporkan, beberapa kebakaran turut berlaku di bandar Sendai, yang menyaksikan ombak besar menghanyutkan kenderaan di landasan lapangan terbang.
Di wilayah Wakayama, 20,000 penduduk diarahkan berpindah selepas amaran tsunami dikeluarkan dan beberapa gegaran susulan melanda.
Menurut wartawan Reuters, Mariko Katsumura, penumpang kereta api bawah tanah menjerit dan memegang tangan penumpang lain. Gegaran yang terlalu kuat membuatkan mereka sukar untuk berdiri.
Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebelum ini mengesahkan gempa bumi tersebut berlaku kira-kira 130 kilometer di timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.
Pasaran saham Tokyo turut mengalami kerugian selepas gempa bumi itu diumumkan. Menurut bank pusat, mereka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kewangan kembali stabil. – Agensi

Minyak, harga barang makanan dan inflasi

Kenaikan harga minyak ketika dunia masih bergelut dengan pemulihan ekonomi dilihat bakal membantutkan usaha pertumbuhan.
Pada waktu yang sama, dunia juga berdepan dengan harga barang makanan yang melambung sama ada disebabkan bekalan berkurangan dari negara pengeluar ekoran cuaca buruk yang melanda beberapa negara atau suatu fenomena yang ada kaitannya dengan usaha untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang melanda kebanyakan negara selama ini.
Inflasi menjadi satu kebimbangan banyak negara dan ini menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan membendung inflasi daripada bermaharajalela. Langkah yang diambil mungkin mengugat usaha untuk pulih sepenuhnya. Kita melihat bukan sahaja harga barang makanan yang melonjak tetapi juga harga komoditi seperti arang batu, besi dan logam.
Walaupun pergolakan di Timur Tengah tidak banyak mendatangkan impak, selain daripada Libya, ketidakstabilan di rantau tersebut jika merebak bakal menimbulkan masalah. Pada masa ini, dunia kewangan di Amerika dan Eropah dilihat tidak banyak tergugat dengan perkembangan tersebut.
Bagi kita, peringatan bahawa minyak tidak akan dinaikkan buat sementara waktu adalah sesuatu yang menenangkan tetapi kenaikan harga barang makanan menimbulkan keresahan.
Kedudukan kita sebagai pengimport barang makanan yang besar, kira-kira RM11 bilion setahun bermakna kita turut mengimport inflasi yang datang sekali dengan barang-barang makanan yang kita import itu.
Tidak mungkin setiap barang makanan dapat dikawal harganya kerana dasar bebas pasaran yang kita amalkan. Justeru, tekanan kepada kos sara hidup rakyat biasa tidak dapat dielakkan.
Apa yang mungkin dapat dilakukan adalah cuba mempelbagaikan sumber pemerolehan barang-barang makanan ini supaya mendapat kos pengimportan yang terbaik sekali. Pilihan ini mungkin juga terhad disebabkan sesuatu jenis barang tersebut mungkin tidak dapat diperoleh di negara lain.
Dalam usaha kita mengekalkan pertumbuhan sekurang-kurangnya enam peratus selama 10 tahun akan datang, sebarang lonjakan harga barangan asas seperti bahan binaan akan mengugat pertumbuhan.
Pengguna akan dibelenggu dengan kenaikan inflasi menyebabkan pendapatan yang boleh dibelanjakan berkurangan atau dengan erti kata lain, dengan jumlah wang yang sama, barang yang boleh dibeli akan berkurangan. Perbelanjaan pengguna merupakan salah satu penyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.
Walau apa pun perkembangan yang berlaku di peringkat global pada masa ini, tanda-tanda pemulihan ekonomi di negara-negara yang dilanda kemelesetan seperti Amerika Syarikat dan Eropah (selain daripada yang memerlukan bantuan) memberikan keyakinan keseluruhan bahawa dunia sudah mula keluar dari kemelut ekonomi dahulu.
Pendapatan syarikat menunjukkan peningkatan keseluruhannya dan institusi kewangan yang diberi suntikan dahulu mampu menunjukkan keuntungan yang memuaskan.
Malangnya keperluan politik dalam bentuk pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau mengalihkan tumpuan kita sejenak daripada persoalan pembangunan ekonomi kepada isu-isu politik dan seperti biasa retorik yang ditimbulkan perlu juga ditangani.
Mungkin satu ‘checklist’ tentang isu-isu yang lazimnya dibangkitkan semasa pilihan raya oleh pihak pembangkang wajar dikumpulkan supaya dapat dijadikan sempadan.

Asas transformasi negara


Sistem pendidikan negara perlu mampu melahirkan generasi yang seimbang keilmuan dan akhlaknya. - Gambar hiasan


MALAYSIA dengan matlamat mencapai Negara Maju berpandukan Wawasan 2020 memerlukan satu pendekatan transformasi bagi mencapai cita-cita tersebut. Perlembagaan Negara dan Rukun Negara seharusnya menjadi landasan bagi mencapai cita-cita perpaduan.
1Malaysia sewajarnya difahami dalam konteks integrasi kaum yang bersifat majmuk di Malaysia.
Asas perubahan harus bermula dengan dasar dan pendekatan pendidikan yang mengambil semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah membangun insan seimbang dan harmoni.
Asas falsafah itu amat penting bagi membangunkan Malaysia dalam acuan sendiri. Fokus terhadap usaha ini harus menumpu kepada pembangunan modal insan berkualiti.
Orientasi pendidikan seharusnya bertitik tolak ke arah pembangunan potensi yang maju, berdaya saing dan cekap.
Ia tidak harus memberi tumpuan kepada subjek-subjek sains dan teknologi semata-mata.
Sebabnya, asas kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kualiti manusia yang memahami sejarah, budaya dan tradisi yang terbina supaya sesuatu yang baik pada masa yang lalu dijadikan sandaran rujukan.
Ini supaya wujud suatu kesinambungan yang lebih seimbang.
Kesinambungan ini perlu bagi negara seperti Malaysia kerana ia adalah mata rantai menghubungkan sejarah silam sebagai asas pembangunan kemajuan hari ini.
Tidak mungkin kemajuan yang dicapai hari ini tidak didukung oleh semangat kemerdekaan yang menjadikan Perlembagaan negara sebagai asas rujukan.
Melupakan sejarah jatuh bangun negara adalah ibarat melupakan bagaimana asas kompromi pelbagai kaum yang di capai.
Ini menjadi sesuatu yang amat penting kerana bila zaman berubah asas-asas terhadap tiang seri negara tetap teguh dan utuh.
Sejak hampir 54 tahun kita merdeka, asas yang didukung adalah merujuk kepada peruntukan penting kepada perlembagaan negara sebagai pedoman undang-undang dan juga penggubalan dasar-dasar utama.
Dasar agama, bahasa, Hak Istimewa Orang Melayu, Kanun Tanah Negara, Kedudukan Raja-Raja adalah inti penting yang disepakati. Ia bagi mewujudkan keseimbangan dalam pengekalan hal-hal utama orang-orang Melayu dan Bumiputera di samping memberi ruang orang bukan Melayu mencapai kejayaan dalam ekonomi, pendidikan dan kebebasan beragama.
Perlembagaan cuba memberi asas yang adil dan saksama terhadap masyarakat pribumi dan juga imigran.
Latar yang dibina adalah atas rasa tolak ansur yang tinggi di kalangan masyarakat pribumi dan beberapa asas untuk memelihara masyarakat pribumi memberikan tunjangan terhadap sifat masyarakat yang majmuk.
Nilai dan Etika
Lahirnya Rukunegara adalah natijah konflik kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Amat penting Rukunegara dihayati kerana tanpa asas tersebut, masyarakat Malaysia tidak akan belajar dari kesilapan silam untuk membina hari depan yang lebih maju dan bermakna.
Pergolakan semasa yang berlaku di rantau Arab misalnya, harus dijadikan iktibar dan dorongan untuk sentiasa menyemangati Rukunegara yang memberikan landasan supaya keluhuran undang-undang dipatuhi dan sumber undang-undang terpancar dalam perbuatan.
Maksud perpaduan negara yang lebih bermakna tidak sekadar sorak sorai di pentas tarian.
Tetapi ia terasas dengan binaan rasa percaya yang tinggi antara satu sama lain.
Terutama di kalangan kaum-kaum dengan latar belakang bahasa, budaya, dan agama yang berlainan.
Tradisi Baba Nyonya di Melaka adalah contoh terbaik bagaimana orang Cina yang mendatangi Tanah Melayu ratusan tahun lalu melakukan proses penyesuaian atau asimilasi dengan masyarakat setempat.
Lalu lahir satu sinergi budaya yang menarik dan memberikan asas perpaduan yang bermakna di negara ini.
Begitu juga dengan tradisi Chetti India di Melaka, menjadikan proses pertembungan tradisi dan budaya terhasil dengan cukup baik.
Oleh itu, memahami perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan hak istimewa orang-orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagi bahasa kebangsaan dan Raja Berperlembagaan penting supaya faktor sejarah sentiasa menjadi rujukan generasi muda semua kaum.
Pendidikan di Malaysia hari ini harus melalui proses transformasi yang terancang untuk mencapai cita-cita negara maju.
Orientasi peperiksaan semata-mata tidak seharusnya menjadi agenda utama dalam pendidikan.
Kegiatan kokurikulum dan kokurikular harus diperkasakan supaya proses pembentukan diri dan pasukan dapat disuburkan di kalangan pelajar dan mahasiswa.
Ia supaya sistem pendidikan kita tidak hanya melahirkan insan robotik semata-mata tetapi teknologi tinggi harus diseimbangkan dengan sentuhan keinsanan (high-touch) supaya kemajuan yang bakal dibina memiliki etika dan adab yang tinggi.
Pendidikan yang beretika yang berasaskan nilai-nilai sejagat harus disuburkan dalam sistem pendidikan kita. Kepimpinan negara hari ini dan masa depan memerlukan kepimpinan yang berilmu, memiliki daya strategik yang tinggi di samping pekerti teladan yang baik.
Oleh itu, kurikulum yang dibina harus memberikan fokus yang seimbang terhadap kekuatan kognitif, afektif (spitritual) dan psikomotor. Pendidikan negara yang berorientasikan pendekatan transformasi sewajarnya menjadikan nilai dan etika sebagai landasan.
Masyarakat Malaysia amat kaya dengan sejarah tamadun dan budaya yang berasaskan agama, falsafah dan tradisi yang unggul.
Sari pati yang baik dan tidak bercanggah harus mampu diadunkan supaya setiap warganegara memahami asas-asas etika dan budaya lain secara sihat dan memberi sumbangan terhadap keharmonian masyarakat di Malaysia.
Binaan rasa percaya sebagai asas perhubungan hanya boleh berlaku sekiranya nilai-nilai amanah adil, telus, dan tulus dijadikan nilai-nilai bersama yang penting. Ia amat relevan dalam mengurus kepimpinan, politik, ekonomi, pendidikan dan budaya supaya kesan penghayatan menjadi puncak yang perlu dicapai dan dipertahankan.
Tanpa nilai-nilai ini, warga Malaysia terutamanya para remaja akan berfikir dalam batas kaum dan agamanya tanpa memiliki daya tolak ansur atau toleransi yang tinggi terhadap perbezaan yang terdapat.
Pendidikan berasaskan nilai dan etika inilah yang dapat memberikan jawapan terhadap perasaan saling hormat menghormati antara kaum dan wujudnya semangat saling membantu secara jujur terhadap yang lain.
Jangka panjangnya kita mengharapkan warga Malaysia yang maju dalam ekonomi dapat menghulurkan bantuan, modal, keahlian dan kepakarannya kepada kaum lain supaya rasa kepercayaan yang tinggi sentiasa menjadi landasan kerjasama antara kaum.
Hal yang sama dalam berlaku bidang pendidikan dan kerja-kerja pembangunan kemasyarakatan.
Justeru, penglibatan semua pihak amat dituntut kerana jika terdapat suatu kaum melakukan dominasi pada kaum lain, ia boleh menyebabkan wujudnya konflik yang menimbulkan ketidakstabilan negara.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket