Selamat datang

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Membongkar khasiat solat secara saintifik

Ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.

KEWAJIPAN bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj.

Begitu istimewa sekali ibadah solat sehingga Rasulullah SAW naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain.

Keistimewaan solat menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri.

Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik.

Kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dr. Fatimah berkata, kajian yang dijalankan buat masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh badan dan kolestrol.

Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga batin.

"Komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah.

"Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan kajian mengenai komposisi badan.

Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap komposisi badan.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan.

"Kami menjalankan kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya.
Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah.

Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna.

Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan.

"Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu," katanya.

Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri.

Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari.

Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.

Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat.

"Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.

Sujud

"Malah kita digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan kadar denyutan jantung paling rendah," katanya.
Ng Siew Chok yang menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap pergerakan manusia menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik.
Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma.

Kajian akan dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa tahiyat.

"Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi.

"Semasa solat, berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan seseorang berada dalam ketenangan," katanya.
Dalam kajian ini isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan kesan solat kepada isyarat otak.

Hasilnya, kata Siew Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.

Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan.
Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar.

"Dan biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan," katanya.

Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan.

Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan
kajian yang dilakukan merangkumi otot utama yang penting kepada kesihatan manusia.

Pergerakan relatif

Ibadah solat kata Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang.

"Selain ibadah, solat boleh dianggap sebagai senaman fizikal yang sederhana yang melibatkan pergerakan badan seperti berdiri, tunduk, duduk dan sujud.

"Sakit pinggang merupakan masalah yang biasa berlaku bagi golongan dewasa dan mereka yang bekerja," katanya yang menjalankan kajian otot dalam solat.

Terapi senaman melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit pinggang.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang.

"Pergerakan rukuk hampir sama dengan senaman 'selamat pagi' yang bukan saja dapat membantu regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang kaki," katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit pinggang.

Kajian yang dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam memulihkan dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang.

Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang.

Selain itu, pergerakan fizikal atau senaman sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki.

Solat fardu yang dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki.

Kajian yang dijalankan menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk.

Bagaimanapun banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut mengenai solat," katanya.

Peruntuh masjid peluk Islam

BERAPA ramai di antara kita masih mengingati tragedi ummah yang berlaku pada tahun 1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun itu, Masjid Babri di Ayodhya, India tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan apabila institusi suci umat Islam itu dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.

Seramai 150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat dihalang memusnahkan masjid itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara Hindu dan Muslim di India.

Salah seorang pelampau Hindu atau lebih tepat, dalang untuk meruntuh dan memusnahkan Masjid itu merupakan seorang pemuda yang bernama Shive Prasad berasal dari Faisabad, iaitu daerah di mana terletaknya masjid itu.

Prasad ialah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab 'suci' untuk mengetuai hampir 4,000 penduduk kampungnya, Kar Sevak bagi memastikan masjid itu akhirnya runtuh.

Tindakan melampau untuk meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang dengan baik oleh Prasad. Beliau memberi arahan dan latihan yang secukupnya kepada para pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu berjaya.

Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi menghormati perasaan penduduk Islam yang lain.

Sedangkan masjid itu merupakan salah sebuah masjid terbesar di negeri Uttar Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya seramai 31 juta orang.

Pada hari kejadian itu, Prasad tidak sahaja menceroboh masuk malah berjaya memanjat kubah besar masjid dan bersama pengikut-pengikut yang lain mereka berjaya menawan masjid itu. Kemudian bersorak gembira apabila mereka akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid tersebut.

Mereka melaung-laungkan perkataan "Ram! Ram!" sebagai tanda kemenangan kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan pelampau Hindu.
Prasad puas hati kerana berjaya mengembalikan hak penganut Hindu yang kononnya masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi memperingati tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.

Namun tujuh tahun selepas kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian runtuhan Masjid Babri itu, Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada Allah atas 'kejahatan' beliau terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau berpuasa dan menyesali sehingga mengalir air mata memohon Allah mengampuninya yang tergamak meruntuhkan rumah ibadat itu.

Kuasa Allah

Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.

Berita pengislaman pemuda itu disiarkan oleh Malayalam News keesokan harinya iaitu pada 7 Disember 1999 yang kemudiannya dipetik oleh Arab News Publications di Arab Saudi.
Berita itu amat mengejutkan apabila melihat sendiri latar belakang Prasad, terutama bapanya, Trigal Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana seluruh puak itu terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.

Menurut pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui perasaan bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada tangannya masjid itu akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan kedamaian berikutan beliau merasakan telah melakukan satu dosa yang amat besar.

Mungkin dengan keluar dari India, Prasad mengharap beliau tidak lagi diburu oleh perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari pekerjaan di Sharjah salah sebuah negara anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.

Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan seorang diri di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba beliau terdengar suara khatib dari sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu dengan jelas.

Prasad berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya pemuda ini apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai kewujudan-Nya selama ini.

Sejurus mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam satu perasaan yang tenang menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah telah tercabut satu beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu serabut.

Segala puji-pujian terhadap Allah yang akhirnya telah memberi hidayah dan membukakan hatinya walaupun dirinya telah melakukan kesalahan yang lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi dapat dimaafkan.

Namun berita Prasad memeluk Islam itu tidak sahaja menimbulkan kemarahan keluarga. Malah akibat tidak dapat menanggung malu, Prasad akhirnya dibuang oleh keluarganya sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula ke India, kalaupun dia pulang juga maka nyawanya akan terancam.

Berita pengislaman Prasad itu juga menyebabkan parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan Hindu yang menyokong tindakan beliau beliau meruntuhkan Masjid Babri turut marah dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa dan tempat.

Namun apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya terhadap Islam. Islam menjadikan beliau seorang manusia 'baru' yang dahagakan kebenaran sehinggakan dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya menghabiskan bacaan dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah beliau bersungguh-sungguh untuk khatam kitab suci itu.

Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.

"Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus sudah.

"Tetapi sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam di samping perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam dan saya mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya membina semula apa yang telah saya runtuhkan," ujarnya sayu

Peluang pembaca Utusan menang percutian di Genting Highlands

KUALA LUMPUR 30 Julai - Mahu bercuti secara percuma di Taman Tema Genting Highlands bersama teman dan keluarga? Jom turut serta peraduan bersama Utusan Malaysia.

Pembaca setia akhbar Utusan Malaysia berpeluang memenangi percutian bernilai RM200,000 di Taman Tema Genting dengan menyertai 'Peraduan Kumpul 20 Masthead' atau kepala akhbar bermula 4 Ogos hingga 10 September ini.

Peraduan kumpul dan menang itu terbuka kepada orang ramai terutama pembaca akhbar Utusan Malaysia yang ingin merebut peluang memenangi tiga kategori hadiah yang disediakan.
Bagi kategori Hadiah Bonanza, sebanyak 200 kad percutian bernilai RM300 setiap satu disediakan untuk pemenang bertuah.

Untuk kategori Hadiah Bonus pula, sebanyak 400 kad percutian bernilai RM100 setiap satu dan bagi kategori Hadiah Saguhati, 2,000 tiket percuma untuk pembaca bertuah turut disediakan.
Naib Presiden Pemasaran Genting, Chow Wei Heng berkata, Genting menyediakan tiga kategori hadiah bernilai RM200,000 itu bagi memberi peluang kepada pembaca setia Utusan Malaysia meneroka dan menikmati keseronokan berganda di Taman Tema Genting Highlands.

Beliau berkata, peserta yang berjaya memenangi kad percutian bernilai RM300 dan RM100 itu bukan sahaja boleh bersuka ria di taman tema malah ia boleh digunakan untuk penginapan, makan dan minum di semua hotel dan restoran milik Genting Highlands.

"Peraduan ini juga merupakan salah satu program Genting di bawah Program Perhubungan

Pelanggan yang bertujuan menarik dan mempromosikan Genting Highlands terutama untuk rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis penyerahan replika cek RM200,000 dan replika kad percutian bernilai RM300 dan RM100 di sini hari ini.

Cek tersebut disampaikan oleh Wei Heng kepada Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

Dalam pada itu, Wei Heng memberitahu, peserta yang berjaya memenangi kad percutian itu diberi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh pengumuman untuk menggunakannya.

Kata beliau, diharap dengan peraduan anjuran pihaknya dan Utusan itu akan menggalakkan lagi bilangan pelancong tempatan yang kini meningkat kepada 1.5 juta berbanding 1.35 juta tahun lalu.

Untuk menyertai peraduan menarik itu, pembaca dikehendaki mengumpul sebanyak 20
masthead berserta tarikh bagi tempoh keluaran bermula 4 Ogos hingga 10 September sahaja.

Pembaca perlu memotong keratan masthead serta lengkapkan borang penyertaan di dalam akhbar dan lekatkan semua keratan di atas kertas bersaiz A4.

Seterusnya peserta boleh menghantar atau poskan borang penyertaan yang lengkap itu ke alamat: Percutian Bersama Utusan Malaysia/Genting, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Unit Pengurusan Jenama Aras 7, Menara PGRM, No.8, Jalan Pudu Ulu, Cheras, 56100 Kuala Lumpur.

Akhbar Utusan Malaysia akan mengeluarkan borang penyertaan peraduan menerusi sebanyak 15 keluaran akhbar sahaja iaitu bermula 4 Ogos ini.

Tarikh tutup penyertaan pada 15 September 2009.

Bahasa rojak di televisyen Malaysia

SAYA kerap juga menonton berita bahasa Melayu televisyen Malaysia untuk mengikuti perkembangan ehwal semasa.

Namun saya dapati ada suatu keganjilan apabila kata-kata atau istilah khas dan terjemahan dituturkan. Misalnya, saya hairan mengapa apabila istilah-istilah atau kata nama khas disebut, ia tidak diterjemahkan sepenuhnya ke bahasa Melayu. Sebagai contoh apabila ia melibatkan angka, maka angka tersebut akan diucapkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya Airbus A380 disebut Airbus three-eight-zero, bukan Airbus tiga-lapan-kosong/sifar. Atau Flu H1N1 disebut Flu H-one-N-one, tidak pula Flu H-satu-N-satu. Ini setakat dua contoh sahaja, malah ada banyak lagi.

Yang menghairankan saya ialah apakah kaedah terjemahan bahasa yang digunakan editor/pengarang yang menetapkan kata-kata khas harus kekal disebut seperti dalam bahasa asalnya.

Jika itulah halnya, apakah tidak kita harus kekalkan sebutan White House atau Buckingham Palace dan tidak menyebutnya sebagai Rumah Putih atau Istana Buckingham?

Jika alasan tidak boleh ubah sebutan seperti dari sumber asal, apakah kita tidak juga sebut Mercedes Benz S200 dalam bahasa Jerman dan Toyota L200 dalam bahasa Jepun ketika mengucapkan angka-angka dalam kata-kata tersebut?

Saya rasa berita televisyen Malaysia boleh ambil iktibar dari media elektronik bahasa Melayu Singapura seperti radio dan tv yang menterjemahkan ungkapan-ungkapan yang saya contohkan di atas dalam bahasa Melayu ketika menyebutnya.

Mutu perkhidmatan pengangkutan wajar setimpal kenaikan tambang

Kenaikan harga tambang bagi semua pengangkutan awam di negara ini memang sudah dijangkakan. Desakan daripada pengusaha pengangkutan awam atas alasan kenaikan kos penyelenggaraan terpaksa diterima oleh semua pengguna walaupun ia amat membebankan.

Hanya warga emas yang diberi diskaun sebanyak 50 peratus ketika menggunakan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun kenaikan tambang bas sekolah pula dilihat sebagai satu beban kepada ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai ke sekolah. Walaupun pahit untuk ditelan, pengguna perkhidmatan awam terpaksa menerimanya.

Sewajarnya pada masa ini semua pengguna perkhidmatan awam memikirkan satu langkah terbaik bagi mengurangkan beban masing-masing, terutamanya dalam kegawatan ekonomi sekarang ini. Dengan kenaikan tambang bas dan teksi sudah tentu pengguna yang berpendapatan rendah akan lebih merasa terbeban walaupun kenaikan tambang ini tidak dapat dielakkan.

Diharap selepas kenaikan harga tambang ini, pengusaha perkhidmatan awam di negara ini perlulah mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka kerana selama ini ramai pengguna yang merungut dengan sikap sesetengah pemandu teksi.

Keuzuran sesebuah bas pula diharap dapat diperbaiki selepas ini tanpa menggunakan alasan yang sama iaitu kenaikan kos penyelenggaraan.

Di Sarawak misalnya, terdapat banyak bas awam yang uzur dan tidak diperbaiki sejak sekian lama. Keadaan bas yang uzur menyebabkan pengguna perkhidmatan bas awam di Sarawak sering beralih haluan kepada van sapu atau teksi sapu kerana perkhidmatan ini memberikan lebih keselesaan dan perkhidmatan yang baik. Ramai pengguna merungut kerana terpaksa menunggu berjam-jam untuk sesebuah bas tiba. Malah keadaan bas yang usang menimbulkan ketidakselesaan di kalangan pengguna.

Diharapkan juga Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan lebih banyak operasi bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam. Bas-bas yang sudah uzur pula harus diberi perhatian agar semua pengguna yang terpaksa membayar harga tambang yang mahal mendapat hak dan pembelaan yang sewajarnya.

Pengusaha perkhidmatan awam di negara ini perlu lebih kreatif dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan masing-masing. Janganlah asyik mendesak kerajaan untuk meningkatkan harga tambang tetapi mutu perkhidmatan sangat mengecewakan. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan semua perkhidmatan di negara ini berjalan dengan baik demi kemudahan dan keselesaan semua pihak.

Gerhana Matahari

GERHANA matahari dilihat di barat daya China pada jam 9.16 pagi, hari ini. Rakyat Asia berpeluang menyaksikan gerhana matahari terpanjang pada abad ke-21. -
Foto AP/Reuters

Cadangan mansuh UPSR

KUALA LUMPUR 18 Julai – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran.

Sebaliknya, UPSR menjadi medium persaingan murid-murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan kepada lima mata pelajaran.

Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim mencadangkan supaya UPSR yang tidak lagi relevan pada masa ini dimansuhkan.

“Sepatutnya murid-murid menumpukan kepada semua mata pelajaran termasuk Sejarah yang dianggap penting pada masa kini.

“Sebaliknya UPSR hanya menumpukan pada mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pemuda UMNO Bahagian Cheras 2009 di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Razali berkata, cadangan pemansuhan itu berikutan kebimbangannya berikutan isu generasi muda yang kurang pengetahuan dalam sejarah dan agama.

“Lihat saja dalam isu Chin Peng. Ramai generasi muda tidak faham mengenainya. Kita tidak mahu mereka membuat kesilapan dalam hidup mereka sekali gus kepada negara,” katanya.
Ditanya sama ada UPSR perlu digantikan dengan peperiksaan lain, katanya, beliau yakin Kementerian Pelajaran akan menentukan kaedah yang terbaik.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, kerajaan sepatutnya mengalihkan tumpuan murid-murid daripada terlalu mengejar tempat di sekolah berasrama penuh kepada mempelajari dan menguasai kesemua mata pelajaran.

Katanya, tidak semestinya sekolah berasrama penuh boleh melahirkan pelajar terbaik sebaliknya terdapat banyak sekolah biasa yang telah terbukti mampu mencatat pencapaian lebih cemerlang.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memilih pelajar terbaik dari setiap sekolah di seluruh negara untuk memasuki asrama penuh kerana kaedah itu lebih adil.

Dalam perkembangan lain, Razali meminta pakatan pembangkang supaya berhenti mengadakan bantahan berikutan kematian setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

Beliau berkata, pembangkang sengaja membuat kecoh bagi mengalihkan tumpuan rakyat terhadap siasatan bagi kes beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang didakwa menyalahgunakan peruntukan negeri yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Petaling.

“Saya tidak mengatakan kedua-dua kes itu mempunyai kaitan tetapi jangan kita lupa bahawa negara perlu menyelesaikan isu besar salah guna kuasa itu,” ujar beliau.

Cadangan mantapkan BI sebagai persediaan pelajar ke IPT

PENGUMUMAN kerajaan untuk memansuhkan PPSMI tidaklah sesuatu yang mengejutkan, berikutan tentangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Ia bukan satu keputusan mudah bagi kerajaan tetapi cukup besar untuk membuktikan bahawa kerajaan memang mendahulukan rakyat.

Oleh kerana pada masa yang sama, langkah-langkah untuk memperkasakan bahasa Inggeris juga telah dibentangkan, maka seperti yang dikatakan oleh Prof. Ungku Aziz, keputusan tersebut dapat memuaskan hati semua pihak. Satu pihak mahu bahasa Melayu dimartabatkan, dan satu pihak lagi mahu melihat peningkatan di dalam penguasaan bahasa Inggeris (BI).

Salah satu hujah yang selalu kedengaran bagi golongan yang mahu PPSMI ini diteruskan ialah masalah pelajar-pelajar daripada alam persekolahan ke peringkat universiti.

Kebanyakan daripada bahan-bahan rujukan masih lagi di dalam bahasa Inggeris bertahap tinggi dan agak sukar bagi pelajar-pelajar yang hanya berkelulusan MUET dan Bahasa Inggeris SPM, yang langsung tidak diiktiraf IPT tempatan, apatah lagi di luar negara.

Ini merupakan salah satu penyumbang kepada pencapaian pelajar-pelajar IPT kita yang 'sederhana', khususnya golongan Bumiputera, terutamanya di dalam bidang-bidang sains dan teknologi.

Jawapan kerajaan terhadap hujah di atas ialah dengan memantapkan Bahasa Inggeris (BI) itu sendiri di peringkat persekolahan, dengan menambahkan contact hours, bilangan guru serta pendedahan istilah sains dan teknologi. Di sini izinkan saya memberikan beberapa cadangan.

Tidak perlu bagi Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menterjemahkan segala-galanya ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah teknikal/saintifik "universal" perlu dikekalkan, atau setidak-tidaknya di masukkan juga di dalam buku-buku teks sebagai "nota kaki" bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan kelak.

Untuk memantapkan lagi penguasaan mana-mana subjek, pelajar-pelajar perlu mengaplikasikan apa yang telah diajar di sekolah, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja. Dalam kes penguasaan sesuatu bahasa, tidak ada cara yang lebih berkesan selain daripada menggunakannya. Memperkenalkan ujian lisan, persembahan-persembahan teater/drama, debat dan pidato sebagai cabang kurikulum, dari peringkat rendah secara berterusan dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa tersebut. Pengajaran secara 'monolog' yang berlebihan perlu dihentikan.

Soalan-soalan peperiksaan BI sama ada ujian bulanan, penggal, semester atau tahunan wajar merangkumi bidang sains dan teknologi, dan tidak tertumpu kepada nahu, sastera dan hal-ehwal semasa sahaja.

Ketika ini, hanya BI yang merupakan satu-satunya subjek di dalam peperiksaan SPM yang "tidak laku" untuk syarat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Pelajar-pelajar yang ingin ke luar negara perlu mengambil peperiksaan IELTS, manakala bagi yang mendapat tempat di IPT terpaksa mengambil MUET.

Sudah sampai masanya bagi Kementerian Pelajaran untuk menaikkan kembali status BI ke tahap yang setaraf dengan negara-negara membangun yang lain.

Akhir sekali, demi masa depan anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini, semua pihak perlu berhenti mempolitikkan soal-soal pendidikan, sebaliknya bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab untuk bersama-sama berganding bahu memperkasakan perkara yang sensitif ini.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran pula, diharap pada masa-masa akan datang dapat membuat pertimbangan dan persiapan secara menyeluruh lagi terperinci, sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang membabitkan kepentingan generasi akan datang, yang bakal menggalas amanah untuk mentadbir negara kita yang tercinta ini.

12 langkah mantapkan bahasa Inggeris

Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ia diluluskan Kabinet hari ini selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut langkah-langkah tersebut:

- Menambah seramai 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
- Menyediakan guru penolong BI gred DG41 bagi kelas besar melebihi 35 murid dalam tahun satu dan dua untuk meningkatkan masa perhubungan guru dan murid.
- Menambah waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.
- Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.
- Menambah waktu BI bagi tingkatan satu hingga lima daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.
- Peruntukan waktu BI bagi Malaysian University English Test (MUET) tingkatan enam ditambah daripada 320 minit kepada 400 minit seminggu.
- Waktu BI bagi matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam kepada enam jam seminggu.
- Program Sastera Kontemporari bahasa Inggeris Kanak-Kanak diperkenalkan kepada semua murid sekolah rendah tahap dua untuk mengukuhkan minat membaca dan memperkenalkan unsur-unsur sastera.
- Mewujudkan makmal bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa itu dengan berkesan.
- Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
- Pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
- Menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris.

PPSMI dimansuh 2012

Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.
Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.
Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails