Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Apabila tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak


TIDAK lama lagi bulan Ramadan menjelang dan diharapkan bulan yang penuh dengan keberkatan serta pengampunan ini menjadikan kita lebih mendekati Allah dan jauhkan diri daripada melakukan segala kemungkaran.

Pada bulan puasa ini jugalah umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia meraikan dengan penuh insaf dan memperbanyakkan amalan sunat dan sudah tentu amalan bersedekah dituntut sangat-sagat di bulan yang berakah ini.
Selalunya bulan puasa jugalah ada manusia yang tamak dan haloba cuba mengeksploitasikan dengan pelbagai cara dan kaedah menipu dan menindas sesama umat.
Antaranya ialah menaikkan harga barang keperluan harian seperti tepung dan kelapa, telur serta daging dan ada yang berniaga secara tidak jujur menjual makanan yang dikurangkan bahan seperti dalam kuih-muih dan lauk-pauk di pasar Ramadan dan ada yang tergamak menjualkan makanan yang sudah basi, dijual semula lebihan jualan yang tidak laku pada hari sebelumnya.
Dalam bulan Ramadan juga entah daripada mana datangnya peminta sedekah menadah mangkuk atau tempurung di kaki lima tempat orang lalu-lalang dan di tangga masjid terutama di ibu kota dan bandar besar yang lain dengan mengumpankan kanak-kanak dan wanita tua sebagai tarikan untuk mendapatkan simpati orang awam.
Diperhatikan mereka ini bukanlah orang tempatan tetapi berduyun- duyun diseludup masuk dari negara jiran. Mereka timbul apabila menjelangnya bulan Ramadan tetapi ghaib pula apabila menjelangnya hari raya.
Begitu juga mereka yang meraih simpati membawa surat akuan atau surat rasmi daripada Jabatan Agama Islam untuk meminta sedekah daripada orang ramai dan mereka ini bergerak selalunya di tempat awam serta pergi dari rumah ke rumah.
Menjadi tanda tanya bagaimana mereka ini boleh mendapat surat sokongan daripada Jabatan Agama Islam atau Jakim itu sendiri kerana mungkin surat tersebut adalah palsu kerana tidak mungkin jabatan agama menggalakkan umat Islam meminta sedekah kerana jabatan telah menyediakan wang zakat untuk diagihkan kepada semua fakir miskin setiap kali menjelangnya bulan Ramadan dan bulan Syawal.
Pada masa yang sama diharapkan rondaan lebih hebat lagi oleh pihak Penguat Kuasa Jabatan Agama dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan tiada ruang untuk mereka beragama Islam yang berhajat untuk melakukan maksiat dalam bulan Ramadan.
Begitu juga pemantauan dilakukan ke atas penyeludupan bunga api dan mercun yang mana seolah-olah tidak terkawal terutama dua minggu terakhir Ramadan yang mengganggu mereka yang sedang beribadah sepanjang malam.

Keruntuhan akhlak masyarakat untuk keuntungan lesen judi

RAMAI yang tertanya-tanya kenapa kerajaan menunggu masa yang lama untuk memuktamadkan isu mengenai pengeluaran lesen perjudian bagi menjalankan operasi pertaruhan sukan. Sedangkan dalam masa yang sama, pihak berkuasa saban hari membuat tangkapan terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti perjudian tersebut.

Kesungguhan pihak berkuasa itu nampaknya tidak selari dengan keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan sendiri mengenai isu yang sama. Jika sekiranya lesen perjudian untuk pertaruhan sukan itu dibenarkan, maka adakah pihak berkuasa masih perlu melakukan tangkapan? Jelas ada sesuatu yang tidak kena dalam isu ini yang perlu diselesaikan dengan segera. Kerugian bukan hanya ditanggung dari sudut moral dan sosial semata-mata apabila masyarakat kita semakin ramai menjadi tahi judi. Tetapi kerajaan sendiri menerima impak negatif yang sangat besar apabila gagal memberi kata putus kepada perkara yang menimbulkan polemik seperti ini. Dari sudut politik, ia sudah pun berjaya dimanipulasi oleh parti pembangkang untuk dijadikan modal menghentam kerajaan. Bagaimana sebuah negara Islam yang majoritinya penduduk Melayu beragama Islam boleh memberikan kebenaran dari sudut undang-undang kepada aktiviti haram seperti perjudian. Mungkin ramai yang menyangkal dengan dakwaan bahawa undang-undang itu adalah untuk orang bukan Islam. Tetapi yang menjadi persoalan ialah agama selain Islam sekali pun melarang penganutnya bertaruh nasib dalam perjudian seperti itu.
Maka baik bagi orang Melayu, Cina mahupun India, judi itu adalah amalan yang salah mengikut kepercayaan agama, budaya dan corak hidup masing-masing. Memang dari sudut ekonomi kerajaan akan mendapat keuntungan besar daripada pemberian lesen judi pertaruhan bola sepak. Tetapi keuntungan itu tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat kebanyakan kerana sumbernya yang sangat jelas haram. Sementelah apalah gunanya keuntungan berlipat kali ganda daripada hasil perjudian itu sekiranya kita terpaksa mempertaruhkan nilai-nilai mulia di kalangan masyarakat kita? Perdebatan sebegini mungkin dilihat sangat naif oleh sesetengah orang. Tetapi bagi mereka yang mengaku sebagai seorang yang beragama, sepatutnya berasa malu untuk terbabit dalam putaran ekonomi berasaskan perjudian.
Ada eloknya juga isu lesen perjudian bagi pertaruhan sukan ini dibangkitkan. Ia secara tidak langsung membuka mata pihak-pihak berkenaan terhadap kewajaran meneruskan pusat-pusat perjudian berlesen sedia ada. Ketika isu ini mendedahkan sekian banyak keruntuhan sosial yang disebabkan oleh aktiviti judi, maka wajarlah lesen perjudian sedia ada dikaji semula untuk tidak lagi diteruskan. Atau setidak-tidaknya kerajaan perlu mengawal aktiviti perjudian berlesen sedia ada supaya tidak menjadi barah di kalangan masyarakat. Memberikan lesen perjudian pertaruhan sukan akan membolehkan aktiviti itu dijalankan secara terbuka tanpa sekatan. Jika ini benar-benar berlaku, bayangkan betapa bahayanya generasi muda kita yang terdedah kepada salah laku moral seperti itu. Sepatutnya dalam hal ini, bukan isu perlu atau tidak lesen perjudian bagi pertaruhan sukan itu diluluskan.
Sebaliknya bagaimana kerajaan mahu membanteras amalan judi di kalangan masyarakat yang jelas merosakkan sistem sosial dan kekeluargaan kita. Adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah tahi judi ini dan melumpuhkan sepenuhnya jaringan aktiviti judi yang dilihat semakin berleluasa ketika ini. Dari sudut penguatkuasaan, pasukan keselamatan negara dilihat cukup berkemampuan untuk mencegah aktiviti perjudian haram itu. Buktinya saban hari bookie judi ditangkap di seluruh negara. Jika kerajaan bersungguh-sungguh dalam isu ini seperti mana dalam usaha memerangi jenayah rasuah, tidak mustahil hasrat melahirkan masyarakat yang bebas judi juga akan berjaya.

Mengambil tindakan ke atas kaki buli


BERITA kematian seorang pelajar, Mohamad Naim Mustaqim akibat didera di Maktab Tentera Sungai Besi tentu sekali mengejutkan.
Walau apa pun siasatan yang dilakukan, pelajar tersebut telah meninggal dunia dan mereka yang bertanggungjawab wajar dihukum. Amalan kuno yang dikenali ragging ini memang kerap berlaku di sekolah atau kolej berasrama. Begitu juga pergaduhan sesama pelajar. Apa yang boleh dikatakan daripada perkara ini adalah kecuaian pihak yang menjaga maktab, kolej atau sekolah berkenaan. Saya rasa ibu bapa pelajar tersebut bukan sahaja patut membuat laporan polis tetapi wajar mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak pentadbiran maktab tersebut termasuk pegawai-pegawai mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian tersebut. Tentera dikenali atas sifat disiplin mereka tetapi nampaknya sikap kurang disiplin telah menular ke dalam maktab tentera. Kalau tindakan undang-undang tidak diambil, perkara ini akan berlaku lagi. Pelajar-pelajar yang membuli pelajar yang meninggal dunia ini bukan saja patut dibuang tetapi dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka, walaupun mereka mungkin dianggap juvenil.
Saya ingat semasa saya memasuki Institut Teknologi Mara (ITM, sekarang UiTM), 40 tahun yang lalu, sudah ada amalan ragging di kolej atau asrama sekolah. Dahulu, semasa pelajar baru memasuki ITM, kami semuanya dibuli oleh pelajar senior. Kononnya, diadakan minggu orientasi tetapi seminggu itu adalah minggu mendera pelajar baru lelaki atau perempuan. Kami akan dikejutkan dari tidur pada pukul 3 pagi dan disuruh memakai seluar dalam sahaja untuk turun ke tingkat bawah tempat kediaman kami semasa itu di flat Seksyen 14, Petaling Jaya (PJ). Semasa itu, asrama pelajar ITM terletak di luar kampus dan kerana itu, pelajar perlu menyewa rumah atau flat di luar dan sekitar kawasan Petaling Jaya seperti Petaling Garden, Petaling Tin, Jalan Klang, Seksyen 17 PJ dan Seksyen 14, PJ. Sabun basuh kain akan ditabur di atas simen bangunan flat tersebut dan kami disuruh berenang atas sabun tersebut. Ia satu perbuatan yang menyeronokkan pelajar-pelajar senior. Maklumlah orang sedang sedap tidur dibangunkan dan disuruh berenang atas simen yang bersabun. Sesetengahnya tidak sedar lagi apa yang berlaku pada masa itu. Pelajar-pelajar senior masa itu bergaya semacam gangster.
Pada satu ketika, terdapat seorang pelajar dari Sarawak yang telah dibuli berlebihan oleh salah seorang ketua pelajar senior. Pelajar Sarawak tersebut telah berlari ke biliknya dan mengambil pedang panjang dari bawah katilnya serta mengejar ketua pelajar senior tersebut. Memang umur ketua pelajar senior itu panjang kerana jika tidak, sudah tentu dia hilang kepalanya pada malam tersebut.
Selain itu, pelajar senior juga menyumbat kepala kami ke dalam lubang tandas dan dengan megah mereka mengatakan itu adalah 'royal flush'. Saya melihat mereka ini berani kerana mereka ramai dan pelajar baru belum bersatu lagi pada masa itu.
Pelajar perempuan juga tidak ketinggalan dibuli oleh pelajar wanita senior. Mana-mana pelajar baru wanita yang cantik sikit akan teruk dibuli kononnya mereka menjadi ancaman kepada pelajar senior wanita dari segi berebutkan pelajar lelaki. Daripada apa yang diceritakan oleh pelajar wanita yang dibuli oleh pelajar wanita senior kepada saya, mereka juga digerakkan pada awal pagi dan disiram dengan air pancutan yang deras ke dalam alat sulit mereka.
Semua perbuatan itu kononnya untuk membuang sikap angkuh dan sombong pelajar yang baru masuk. Dari mana pemikiran itu mereka peroleh, kita tak tahulah kerana apa yang saya lihat, selepas beberapa tahun peristiwa tersebut, ketua 'ragger' lelaki pada masa itu sekarang berjalan pakai tongkat dan memakai pacemaker untuk jantungnya, manakala ketua pelajar wanita senior itu pula sakit teruk dan telah pun meninggal dunia. Pada saya, itulah balasan Allah SWT di atas perbuatan mereka. Pada saya juga, amalan sebegini memang patut dihentikan kerana tidak mendatangkan faedah, sebaliknya boleh mendatangkan mudarat seperti apa yang berlaku kepada Muhammad Naim.
Saya rasa, ibu bapa yang ada anak-anak mereka yang tinggal di asrama sekolah sekarang elok memantau anak-anak mereka kerana duduk di asrama ini, ada baik dan ada juga buruknya. Secara peribadi, saya tidak berasa menempatkan anak kita di asrama satu amalan yang baik. Anak perempuan saya semasa di Maktab Rendah Sains Mara di Taiping, Perak, beberapa tahun lalu selalu dipulau bersama kawan setianya kerana mereka kerap bercakap dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan pelajar di maktab tersebut bercakap dalam bahasa Melayu. Bayangkanlah, mereka dipulau kerana selalu bercakap dalam bahasa Inggeris. Inilah jenis sikap pelajar Melayu kita. Kalau seseorang pelajar tersebut tidak kuat semangat dan berani, mereka akan terpengaruh dengan kumpulan yang berfikiran picik dan jumud. Kumpulan yang begini memang wujud di asrama-asrama kita. Nasib baik bagi anak saya, dia memperoleh 'tali pinggang hitam' taekwando semasa di sekolah menengah dan sesiapa pelajar yang cuba mencari pasal dengan dia, memang menerima padahnya.
Saya menyarankan anak-anak kita diberikan latihan mempertahankan diri kerana bukan saja ini baik untuk mempertahankan diri mereka daripada perbuatan pelajar jahat dan kaki buli, malahan di sekolah menengah sendiri pun kita pernah terbaca cerita pelajar dibuli oleh beberapa orang. Selain daripada kebolehan untuk mempertahankan diri daripada pelbagai ancaman, latihan tersebut menyemai sifat disiplin dan keyakinan diri.
Para pelajar hari ini bukan lagi macam zaman dulu. Terlalu banyak pengaruh yang menjadi ikutan mereka. Media saja mengajar mereka macam-macam. Kalau panggung wayang ada sekatan bagi mereka di bawah umur 18 tahun dan tidak boleh menonton wayang berunsur ganas dan seks, mereka boleh menonton dengan membeli VCD dan DVD haram yang dijual berleluasa. Pergi saja ke mana-mana taman selera, tentu kita akan didatangi oleh mereka yang menjual bermacam jenis VCD secara haram ini, secara terang-terang.
Membimbing anak-anak pada zaman ini bukan satu perkara yang mudah. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil berat tentang apa yang berlaku terhadap anak-anak mereka. Jika boleh, periksa beg sekolah mereka kerana kita tidak tahu apa yang kita boleh jumpa di dalam beg sekolah mereka. Kalau anak-anak dipaksa memberikan duit kepada kaki buli, mereka kadang-kadang tidak berani mengadu kepada ibu bapa. Itu sebabnya walaupun anak-anak kita sudah mencapai umur 16 tahun sekalipun, kita perlu mengambil tahu apa yang berlaku dan apa kegiatan mereka.

Di mana mereka tinggal?


PIALA Dunia bukan sekadar perlawanan bola sepak biasa. Peluang melayakkan diri ke kejohanan paling berprestij itu adalah medan pertarungan yang menentukan maruah bangsa dan negara.


PIALA Dunia bukan sekadar perlawanan bola sepak biasa. Peluang melayakkan diri ke kejohanan paling berprestij itu adalah medan pertarungan yang menentukan maruah bangsa dan negara.
Di dalam 'peperangan' itu, setiap pemain adalah wira yang bermati-matian berusaha untuk menjulang pasukan mereka ke peringkat tertinggi.
Sebagai pemain profesional mereka bukan sahaja dijanjikan habuan yang tinggi jika meraih kejayaan bahkan sepanjang temasya itu berlangsung, pasukan sudahpun menerima pelbagai layanan 'kelas bangsawan'.
Sempena Piala Dunia 2010, WOW! berkongsi penginapan pasukan-pasukan bola sepak terkemuka dunia di Afrika Selatan. Sukan yang sudah cukup sinonim dengan gaya hidup mewah.
ENGLAND
MENJADI antara pasukan paling kaya dan bergaya dengan kompleks sukan yang dibina khas sempena kejohanan Piala Dunia 2010.
Kompleks Sukan Bafokeng yang terletak di Rustenburg dibina di atas tapak seluas 150 ekar dengan kos mencecah £20.4 juta (RM98 juta).
Kem sukan itu menempatkan bilik-bilik penginapan, pusat perubatan dan kemudahan sukan bernilai kira-kira £8 juta. Ia dilengkapi padang latihan, gimnasium, kolam renang, gelanggang tenis dan tidak ketinggalan juga padang golf.
Lokasi penginapan dan latihan di resort pada ketinggian 1,000 meter dari paras laut itu menempatkan vila pengurus pasukan, bilik penginapan pemain serta kakitangan pasukan yang dijaga rapi sepanjang masa.
Ketua Eksekutif Royal Bafokeng Sports, Georger Khunou berkata, kem sukan yang dilengkapi kemudahan dan keselesaan serba moden itu adalah hasil pelaburan paling mahal di antara 32 pasukan yang bertanding pada kejohanan kali ke-19 itu.
“Rekaan dan keselesaan penginapan yang menyamai vila mewah itu dibina mengikut perincian yang diminta pengurus pasukan.
“Jaminan keselamatan di resort sukan itu adalah rondaan pasukan polis berkuda yang berkawal 24 jam setiap hari,” katanya.
GHANA
PASUKAN Ghana memilih Penginapan Lembah Rhoode di luar Pretoria yang menampilkan landskap seperti 'tempat sendiri' sebagai kediaman dan tempat latihan sepanjang Piala Dunia 2010.
Resort sederhana mewah yang dibina di tepi sungai Pienaar berhampiran kawasan pergunungan Magaliesburg itu menyediakan penginapan yang jauh daripada kesibukan kota.
Ketenangan di dalam resort berkonsepkan kediaman tradisional masyarakat pemburu Afrika itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang luar rumah, pusat kecergasan, jakuzi dan sauna.
Tidak jauh dari Lembah Rhoode, tarikan seperti Taman Zoo Kebangsaan Afrika Selatan, Muzium Kesenian Pretoria, Rumah Kruger dan Taman Menlyn sedia menanti tetamu.
PERANCIS
WALAUPUN gagal melayakkan diri untuk mara ke peringkat lebih jauh, Perancis sebagai bekas juara dan antara pasukan kegemaran yang mendapat layanan diraja di resort peribadi paling mewah di Afrika Selatan.
Pezula Resort Hotel dan Spa di timur Knysna, Cape Town menempatkan 78 bilik vila yang setiap satunya dibina secara berasingan.
Sebagai tetamu kehormat, Pezula menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf lima bintang kepada pemain seperti gimnasium, spa, ruang istirehat, bilik persidangan dan bar.
Dari beranda, resort seluas 2,500 ekar itu menyajikan kehijauan padang golf 18 lubang dan pemandangan firus laut di lagon Knysna dan juga Lautan India.
Di luar waktu latihan, pemain boleh memilih pelbagai aktiviti seperti menunggang kuda, berkayak, mendaki dan bermain golf.
Pemain tengah pasukan itu, Alou Diarra berkata, padang bola resort yang dinaikkan taraf itu adalah antara medan latihan yang terbaik di negara itu.
“Pasukan kami cukup berbangga kerana berpeluang berlatih di sini. Ia semestinya menimbulkan rasa cemburu pasukan lain,” katanya.
AUSTRALIA
SELEPAS 10 hari menghabiskan masa berlibur di tengah bandar Sandton, pasukan Australia akhirnya beralih ke resort rimba di luar kota Johannesburg untuk memulakan latihan.
Resort Kloofzicht yang terletak di kawasan pergunungan Zwartkops itu merupakan sebahagian daripada kawasan hutan lindungan yang dipenuhi landskap alam semula jadi menarik.
Keistimewaan resort lima bintang milik kumpulan Guvon Hotel itu adalah 42 buah vila mengadap tasik yang mengalir keluar melalui Empangan Zwartkops.
Kawasan kering di sekeliling resort menjadi habitat kepada pelbagai spesies mamalia besar seperti kijang, rusa dan zirafah.
Keindahan Resort Kloofzicht disempurnakan lagi dengan pelbagai aktiviti yang boleh dicuba oleh pemain-pemain Australia seperti belon udara panas, meredah hutan, melihat burung dan pancing terbang.

TUNDUKKAN PERUNCIT YANG MEMBOIKOT


IKOT

SEBAGAI pengguna, seluruh rakyat negara ini yang mukalaf dan waras kena bersetuju dengan permintaan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPIM) supaya kerajaan tidak tunduk dengan desakan peruncit yang merancang memboikot barangan kawalan seperti gula, tepung, minyak masak dan gandum, bermula 16 Jun ini.
Bagi saya desakan boikot peruncit bukan sekadar boikot, sebaliknya bersifat mengugut dan mencabar peruntukan kuasa, kewibawaan, hemah, pretasi dan reputasi kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Justeru, kerajaan bukan sahaja tidak boleh tunduk kepada desakan, ugutan, cabaran dan hasrat/niat peruncit mahu bergaduh dengan kerajaan dalam kes barangan kawalan, sebaliknya, kerajaan khususnya KPDNKK dan agensi di bawahnya kena menundukkan peruncit pemboikot tanpa perlu kompromi.
Sudah sampai masanya kerajaan mengendalikan secara langsung pengimportan gula, tepung gandum, minyak masak dan pelbagai barangan keperluan lain dan melantik koperasi tentera (PERNAMA) sebagai pusat transit induk untuk disalurkan kepada koperasi RISDA, koperasi FELCRA, dan koperasi-koperasi lain.
Kenapa PERNAMA? Ini kerana PERNAMA adalah koperasi tentera yang pastinya mempunyai disiplin ketenteraan, di samping ada kemudahan yang boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut. Selain itu, koperasi desa boleh ditubuhkan bagi dijadikan pusat transit penjualan barangan keperluan di peringkat kampung.
Jika cara itu dipraktikkan, kewujudan peruncit itu sendiri menjadi tidak perlu dan tidak memberi sebarang guna serta fungsi kepada rakyat dan negara ini.

Formula tangani kemiskinan

KATA bijak pandai, yang perlu kita takutkan bukanlah kemiskinan tetapi ketidakmampuan berdiri di atas kaki sendiri.

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda, kemiskinan itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran. Ini kerana miskin akan mendorong seseorang melakukan apa sahaja.
Hakikatnya, tiada siapa yang mahu menjadi miskin. Malah, banyak agensi sama ada milik kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan semata-mata untuk membantu mereka yang miskin keluar dari kepompong kemiskinan.
Namun sering kali kita dengar, bantuan yang diberi 'hilang' begitu sahaja. Keluarga miskin yang dibantu itu tetap miskin.
Mungkin niat yang baik sahaja tanpa ada perancangan yang komprehensif dan sistematik tidak akan membawa sebarang erti.
Apa yang terlihat ialah pendekatan 'memberi ikan' dan bukannya 'kail' seperti dipraktikkan selama ini menyebabkan mereka lebih senang memilih untuk terus hidup dalam keadaan miskin.
Seperti negeri-negeri lain di Malaysia, Perak juga berdepan dengan masalah kemiskinan dalam kalangan rakyatnya.
Difahamkan, kira-kira 40 peratus atau 2.7 juta orang di negeri itu berada di dalam kategori berpendapatan terendah atau lebih tepat lagi kumpulan yang layak menerima zakat.
Atas dasar tanggungjawab, Perak cuba mencari formula tersendiri. Penubuhan Yayasan Budi Upaya (YBU) pada Oktober 2009 di bawah Akta Pemegang Amanah Ordinan 1952, antara harapan yang diletakkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu.
Menurut Ketua Eksekutif YBU, Khairul Azwan Harun, 34, misi YBU adalah mengubah kepercayaan bahawa dilahirkan dalam keluarga miskin tidak semestinya seseorang itu akan terus menjadi miskin selamanya.
''Mengikut konsep ini, YBU akan melaksanakan pendekatan jalinan jaringan yang lebih bersepadu. Kita mahu semua orang turut bertanggungjawab menjayakan hasrat ini," katanya.
Paling penting kata anak muda berjiwa besar ini lagi, matlamat YBU bukan hanya sekadar menghulurkan bantuan tetapi untuk melahirkan kumpulan individu daripada penerima zakat kepada pemberi zakat.
''Misi YBU agak berbeza kerana kami sedaya upaya membantu membina upaya golongan berpendapatan terendah sehingga mereka berjaya memperoleh pendapatan yang lestari.
''Walaupun mereka ini hidup dalam kemiskinan, namun masih memiliki kudrat untuk menghasilkan sesuatu," katanya penuh yakin.
Golongan berpendapatan terendah yang dimaksudkan Khairul Azwan merangkumi ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, miskin tegar, miskin mudah, anak yatim atau pelajar miskin serta usahawan-usahawan kecil yang bermasalah.
''Ada beberapa pendekatan akan kita laksanakan dalam usaha membantu mereka. Antaranya, memperkenalkan skim mikro kredit iaitu bantuan pinjaman seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun tetapi dalam formula yang baru," katanya lagi.
Bekas Pengarah AIM, Prof. Shukor Kassim yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia telah dilantik membentuk pendekatan skim mikro kredit. Di bawah skim ini, akan dilaksanakan program Iktisad Bina Upaya (IBU) iaitu peminjam tidak memerlukan sebarang cagaran atau penjamin bagi membolehkannya menerima pinjaman.
Buat permulaan, dana sebanyak RM4 juta diperuntukan kerajaan negeri bagi tujuan tersebut. Peserta yang layak akan menerima pinjaman tanpa faedah antara RM1,000 hingga RM20,000.
''Usaha membasmi kemiskinan bukan sekadar mengurangkan angka tetapi dalam masa sama kita mahu mengupayakan mereka supaya tidak lagi bergantung kepada bantuan kerajaan," katanya.
Dalam masa sama, YBU juga akan membantu murid-murid dan pelajar-pelajar miskin dari tahun lima hingga tingkatan lima menyertai program anak angkat kelolaannya.
Pengambilan pertama akan dilakukan bermula Julai ini di mana 100 orang yang terpilih bakal menjadi anak angkat Menteri Besar.
Jelas Khairul Azwan, langkah yang dirintis Zambry ini akan dikembangkan kepada organisasi atau sesiapa sahaja yang mahu mengambil anak angkat daripada kalangan keluarga miskin.
''YBU akan menjadi platform untuk menguruskan anak-anak angkat ini. Mereka hanya nyatakan sumbangan yang ingin dibuat dan kerja-kerja mengenal pasti dan sebagainya dilakukan YBU.
''Mungkin ibu atau bapa angkat ini boleh mengadakan pertemuan seminggu sekali atau sebagainya. Yang penting matlamat kita untuk memastikan anak-anak ini dibantu," katanya.
Perjuangan membasmi kemiskinan memerlukan keprihatinan semua pihak. Keprihatinan kita penting untuk sama-sama membina rakyat.
Menyedari kepentingan penglibatan semua pihak, YBU mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi sukarelawan menerusi penubuhan Skuad Ikon Bina Upaya (IBU) dalam usaha menyalurkan maklumat dan mengenal pasti mana-mana kumpulan sasaran.
''Peranan mereka ialah menjadi 'mata dan telinga' walau di mana sahaja mereka berada. Ini juga yang membezakan YBU dengan organisasi-organisasi kebajikan lain.
''Seperti yang disebutkan tadi, kita mahu semua orang terlibat dalam usaha ini. Jika kita rasa bertanggungjawab terhadap masyarakat, kita perlu menjadi antara sukarelawan ini," jelasnya sambil menegaskan sesiapa yang berminat boleh menghubungi talian 05-2555945 atau mendaftar di www.yayasanbinaupaya.com.
'Pemantauan' para sukarelawan terbabit penting supaya setiap program yang dijalankan atau bantuan yang diberikan bukan sahaja benar-benar sampai ke sasaran yang telah dikenal pasti tetapi juga mengukur sejauh mana berkesannya usaha bantuan yang dilakukan.
Ini selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) YBU iaitu bukan semata-mata menghabiskan peruntukan yang diberi, sebaliknya berupaya mengubah mereka yang miskin kepada kumpulan berpendapatan lestari.
''Dengan cara ini, mereka mampu membantu orang lain. Kita tidak mahu lagi melihat contohnya yang berniaga itu, cuma kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Era itu sudah berlalu," katanya sambil menegaskan pelbagai lagi program telah dirancang oleh YBU.
Apa pun, berbalik kepada asal, usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri Perak menerusi YBU tidak bermakna jika mereka yang miskin ini sendiri tidak mahu mengubah sikap dan hanya berserah kepada takdir semata-mata.

Makna Piala Dunia bagi rakyat Afrika


Bagaimanapun, benua itu menempatkan negara-negara yang paling berkonflik dan sarat dengan keganasan kerana perbezaan suku kaum, warna kulit, agama, dan taraf hidup. Sudan, Chad, Zimbabwe, Kenya, Congo, Rwanda, Somalia dan beberapa buah negara Afrika lain adalah contoh negara yang tidak sedikit pun akan mendapat keuntungan atau kelebihan daripada siri Piala Dunia kali ini.
Walaupun kejohanan berprestij itu dianjurkan di negara jiran mereka yang paling kaya iaitu Afrika Selatan, impak ekonomi terlalu jauh untuk melimpah ke negara-negara mundur tersebut.
Lebih malang, krisis kemanusiaan di negara-negara itu terutamanya di Darfur juga semakin dilupakan masyarakat dunia yang ghairah mengikuti perkembangan pasukan bola sepak pilihan masing-masing.
Afrika Selatan juga berjaya menangkis segala rasa kurang yakin banyak pihak ketika dipilih sebagai tuan rumah enam tahun lalu apabila membangunkan infrastruktur sukan yang dianggap tercanggih. Sebanyak 10 buah stadium baru dari Johannesburg sehinggalah ke Cape Town, sudah pun bersedia untuk menerima pemain bola sepak berprestij di dunia beraksi di situ. Sekurang-kurangnya RM15 bilion dilaburkan oleh Afrika Selatan sebagai persiapan penganjuran Piala Dunia kali ini.
Bagi Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, pelaburan itu adalah sesuatu yang berbaloi kerana ia bakal menjadi tarikan utama kepada pelabur asing selepas berakhirnya temasya tersebut. Malah, katanya, apa yang dapat disaksikan adalah satu semangat perpaduan luar biasa yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat negara itu. Semangat itu tidak lagi diperhatikan selepas bekas Presiden Nelson Mandela dibebaskan dari penjara pada 1990. Semangat itulah bagi Zuma menjadi pulangan yang lebih besar berbanding limpahan ekonomi yang dibawa oleh Piala Dunia.
Mandela merupakan ikon yang berjuang membebaskan Afrika Selatan daripada dasar aparteid yang menindas warga kulit hitam. Begitupun, usaha Mandela tidak sepenuhnya berjaya kerana Afrika Selatan ketika ini masih dibelenggu perbezaan warna kulit yang mana warga kulit putih yang minoriti menguasai sebahagian besar kekayaan negara. Rakyat Afrika Selatan yang berjumlah kira-kira 47 juta orang turut dipisahkan oleh garis etnik yang berbeza yang mana hanya etnik tertentu sahaja berada dalam kelompok masyarakat kelas atasan.
Bagi Zuma juga, kedatangan Piala Dunia di Afrika mampu membawa semangat yang pernah dibangkitkan oleh Mandela satu ketika dulu dan sukan bola sepak akan kembali menyatukan rakyat Afrika Selatan. ''Afrika Selatan bangkit tidak akan sama lagi selepas berakhirnya kejohanan Piala Dunia ini," katanya dengan penuh yakin. Namun, ada keraguan yang besar daripada kata-kata Zuma itu jika melihat kepada realiti kehidupan rakyat Afrika Selatan ketika ini.

Lantik pemborong khas elak terus berulang krisis gula


CADANGAN kerajaan untuk melantik pemborong khas bagi membekalkan gula kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) sebagai langkah mengatasi kekurangan bekalan untuk pengguna domestik amat dialu-alukan.

Menurut menteri berkenaan, saranan itu bagi mengelak PKS berebut bekalan gula dengan pengguna di pasar raya atau kedai runcit, yang merupakan salah satu punca berlakunya krisis gula dalam pasaran. Dengan pelaksanaan langkah itu nanti, PKS akan mendapat bekalan menerusi pemborong khas saja.
Langkah yang diambil kerajaan ini bukanlah bertujuan memberi monopoli kepada pemborong tertentu, ini kerana menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan menetapkan mekanisme terbaik untuk pengagihan gula berdasarkan kawasan yang akan ditetapkan kemudian.
Ketirisan pengagihan gula kepada pemborong inilah juga yang membawa kepada berlakunya kes-kes menyorok gula di mana sebahagian besarnya diseludup ke negara jiran.
Wujudnya situasi yang tidak elok di antara para pembekal yang sengaja menyembunyikan bekalan gula dengan memberi isyarat bahawa bekalan barangan tidak mencukupi, maka harga barangan tersebut diharapkan akan naik dengan sendirinya.
Ada ketikanya terdapatnya 'komplot' antara pengeluar dan pembekal gula sendiri bagi mencorakkan suasana yang boleh memaksa kenaikan harga barangan di pasaran.
Komplot kerjasama sebegini lebih berjaya dilakukan jika hanya ada beberapa pengeluar atau pembekal dalam pasaran. Oleh itu, besar kemungkinan kenaikan harga barang dan perkhidmatan disebabkan komplot ini yang bertujuan mengeksploitasi pengguna, kerana objektif utamanya adalah meraih keuntungan maksimum.
Rakyat kini bukanlah sekadar ingin mengetahui apakah sebenarnya terjadi di sebalik krisis kekurangan gula, tetapi perkara pokok yang paling penting adalah bagaimana kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dan memanipulasi perkara itu agar tidak langsung berulang kembali.
Strategi yang digunakan oleh pihak-pihak yang memonopoli barang keperluan ini menyebabkan rakyat menerima akibatnya. Dua strategi yang digunakan iaitu sorok dan seludup (2S) kadangkala dapat membuahkan hasil apabila kerajaan mula berlembut mengikut kehendak mereka. Strategi 2S inilah juga menyebabkan masalah kekurangan gula tidak pernah selesai sehingga kini.
Selain sorok di gudang-gudang, pihak yang tidak bertanggungjawab juga menyeludup ke negara jiran. Harga gula di negara jiran mencecah RM2.50 sekilogram, sedangkan harga gula di Malaysia yang dikawal oleh kerajaan berada pada RM1.45 sekilogram.
Bayangkan keuntungan yang bakal mereka peroleh melebihi RM1 sekilogram. Inilah yang sering dilakukan oleh penyeludup untuk meraih keuntungan besar, sedangkan gula itu disubsidikan oleh kerajaan Malaysia!
Strategi 2S ini sering digunakan menjelang musim perayaan terutamanya bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa kerana pihak berkenaan mengetahui pada masa itu, umat Islam di Malaysia mengambil jumlah gula yang lebih banyak berbanding bulan-bulan lain. Inilah sikap tamak pihak berkenaan.
Amalan perniagaan seperti ini amat menjengkelkan kerana pihak sebegini hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat.
Cuba bayangkan apakah yang akan terjadi kepada pengguna gula terutamanya peniaga-peniaga IKS. Sudah tentu perniagaan mereka akan terjejas teruk apabila tidak mampu membuat kuih-muih, teh tarik, dan pelbagai lauk pauk yang memerlukan gula sebagai sebahagian daripada bahan masakan. Dalam hal ini, siapakah yang patut dipersalahkan?
Tidak guna kerajaan memberi muka kepada mereka lagi kerana pihak sebegini tidak pernah kenal dek untung. Kerajaan seharusnya mengambil tindakan yang amat tegas ke atas mereka.
Sepatutnya, dalam membendung kekurangan gula dan senario kenaikan harga, semua pihak perlu bergandingan dengan pihak kerajaan bagi menanganinya.
Selain gula, pemantauan terhadap 255 jenis barang pengguna perlu dibuat secara berterusan dan menyeluruh, bukan saja ke atas peruncit malah pengilang dan pemborong yang boleh menipu dengan cara halus.
Ketegasan pasukan penguatkuasa bukan sahaja untuk memantau perbuatan menyorok dan menaikkan harga barang bagi memastikan pemborong degil ini dikenakan hukuman yang setimpal supaya mereka serik.
Nama-nama pemborong dan pembekal yang ingkar itu juga mesti dipamerkan kepada khalayak umum supaya timbul rasa malu dan takut untuk mengulangi kesilapan sama pada masa depan.
Trend menyorok bekalan keperluan utama pengguna dan menaikkan harga sesuka hati itu jelas menunjukkan bahawa peniaga tidak pernah takut, jauh sekali serik untuk mengulangi jenayah yang mereka lakukan itu.
Di samping mengharapkan ketegasan pihak berkuasa, pengguna juga perlu lebih bijak memainkan peranan untuk 'mengajar' pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Bangsa cerdik tapi dibenci dunia

Untung Sabut Timbul


PADA tahun 2004 ketika menyaksikan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang memberikan kemenangan George W. Bush, penulis ditanya oleh seorang Yahudi yang duduk sebelah dalam satu jamuan makan malam.
Dia bertanya mengapakah orang Malaysia yang berada jauh dari Palestin dan tidak pernah bermusuh dengan Yahudi tetapi amat benci pada Israel.
Penulis jawab bahawa rakyat Palestin telah dirampas tanah mereka dan dinafikan hak mereka sebagai negara berdaulat dan merdeka.
Dia berhujah kembali bahawa apa kena mengena rakyat Palestin dengan Malaysia yang duduk jauh dan tidak menjejaskan kehidupan dan keamanan rakyat negara ini.
Penulis berhujah kembali bahawa walaupun Palestin itu jauh dari segi geografi tetapi dekat di hati rakyat Malaysia. Jauh dan dekat sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain bukannya kerana kedudukan geografi tetapi kerana ikatan emosi yang lain.
Ikatan antara rakyat Palestin dengan Malaysia bukan hanya soal agama. Palestin sudah dianggap bangsa saudara kepada Malaysia, tidak kira anutan agama.
Selain daripada agama, lebih penting lagi ialah Palestin telah menjadi bangsa tertindas dan teraniaya. Rakyat Malaysia dalam semangat kemanusiaan tentunya menyebelahi Palestin.
Orang Amerika itu kemudian mengheret penulis untuk berdebat mengenai isu Palestin yang dikaitkan dengan perkauman anti-Yahudi.
Sebagai orang Melayu tentunya penulis menyebelahi Palestin. Tetapi sebagai peminat intelektual Barat, penulis menyatakan kekaguman terhadap orang Yahudi yang dapat menghasilkan banyak karya pemikiran hebat hingga mencorak tamadun dunia sejak dari dahulu lagi.
Tentunya berbeza dunia hari ini tanpa pemikiran-pemikiran Karl Marx, Sigmund Freud, Albert Einstein dan banyak lagi tokoh pelbagai bidang akademik, kesusasteraan sains dan malah perfileman.
Antara tokoh Yahudi yang penulis kagumi ialah Noam Chomsky, seorang ahli linguistik. Tetapi pemikiran politiknya yang menolak Zionisme, Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa perjuangan pembebasan Palestin adalah fahaman kemanusiaan, dan tidak berkaitan mengenai bangsa dan agama semata-mata.
sejarah dunia
Bangsa Yahudi walaupun bilangannya kecil tetapi berpengaruh besar dalam sejarah dunia. Mereka memberi sumbangan intelektual bukan saja kepada tamadun Barat tetapi juga Islam.
Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi muncul sebagai bangsa yang merampas dan menindas bangsa Palestin di atas fahaman Zionisme.
Bagi orang Melayu sejak dari dahulu, Baitulmakdis yang tidak ramai menjejakinya adalah hampir dalam jiwa bangsa. Seperti Mekah dan Madinah, Baitulmakdis juga dianggap bukan saja kota suci tetapi sebahagian daripada jiwa bangsa. Di rumah-rumah orang Melayu, antara gambar masjid yang sering digantung di dinding ialah Kubah Al-Sakhrah di Masjid Al-Aqsa.
Dalam hal ini, penulis teringat kepada seorang warga Palestin yang berhijrah ke sini dan berkahwin dengan rakyat Malaysia. Beliau menghadiahkan dua gambar Masjid Al-Aqsa yang besar dan cantik untuk digantung di dinding rumah penulis dan bapa penulis.
Generasi demi generasi orang Melayu akan diajar mengenai isu Palestin hinggakan mereka seolah-olah saudara sebangsa. Tidak hairanlah mengapa ada seorang bapa saudara penulis yang bernama Yasir. Mungkin datuk penulis menamakannya sempena Yasser Arafat.
Tetapi adiknya, Jamaluddin Elias yang merasa menjadi mangsa tahanan Israel apabila berlaku serangan ke atas kapal Mavi Marmara minggu lalu. Maka akhirnya kekejaman negara Zionis itu sampai juga kepada sanak saudara sendiri.
Beliau yang dijangka pulang pagi ini adalah rakan sepermainan penulis semasa kecil di kampung tetapi tidak selalu dapat bertemu dan berbicara dengannya.
Ternyata beliau berpengalaman luas dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan khususnya semasa tsunami Aceh dan gempa bumi yang berlaku ekoran daripadanya.
Dua minggu lalu, agak terkejut apabila menerima sms daripadanya bahawa beliau dipilih menyertai konvoi bantuan ke Gaza bagi mewakili Yayasan Amal Malaysia di mana beliau ialah Timbalan Pengerusinya. Apa yang boleh dilakukan hanyalah memanjatkan doa agar beliau selamat sambil memikirkan mengenai isterinya dan sepuluh orang anak-anaknya.
Hati hanya lega apabila kemudiannya diberitahu bahawa mereka telah sampai ke Jordan.
Di Jordan, penulis dapat menghubunginya melalui telefon dan beliau menceritakan pengalamannya di atas kapal Mavi Marmara ketika diserbu komando Israel. Betapa tiba-tiba angin kencang yang menolak ke tepi gas komando Israel yang dilemparkan ke atas dek kapal.
Jamaluddin juga menceritakan bagaimana wang RM50,000 untuk digunakan di Gaza yang diletakkan di tempat barang hilang apabila Mavi Marmara ditawan oleh komando Israel itu.
Pastinya apabila dia balik nanti, akan diceritakan kisahnya kepada rakyat Malaysia. Bukan dia saja tetapi juga semua rakyat Malaysia yang mengalami peristiwa mencemaskan di Laut Mediterranean itu.
Maka dapat dibayangkan juga banyak mereka yang terlibat dengan misi flotila itu kembali ke negara masing-masing dan menceritakan pengalaman mereka mengenai keganasan Israel. Bukan saja dari kalangan orang Islam tetapi bukan Islam.
Kalau dilihat taktik rejim Tel Aviv, mereka cenderong menjadikan Palestin sebagai isu agama. Perjuangan pembebasan Palestin digambarkan sebagai keganasan yang dikaitkan dengan agama.
Tetapi misi flotila bantuan untuk Gaza ini menyaksikan penglibatan rakyat dari banyak negara bukan Islam. Palestin telah menjadi bangsa semua manusia.
Dalam hal ini, Yahudi sebagai bangsa cerdik sepatutnya sedar bahawa Zionisme dan Israel tiada tempat dalam kamus kemanusiaan.

Israel bunuh kemanusiaan



WIRA-wira Malaysia yang dijangka selamat tiba hari ini.

ESOK genap seminggu kejadian serangan maut oleh komando Israel terhadap kapal Mavi Marmara yang mendahului enam kapal lain dalam perjalanan membawa pelbagai barangan bantuan untuk penduduk Genting Gaza yang dikepung sejak 2006.

Kejadian mengerikan itu yang didakwa mengakibatkan 19 aktivis terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera telah mencetuskan kemarahan penduduk dunia terhadap kekejaman rejim Zionis yang semakin tidak berperikemanusiaan.
Jika selama ini mereka yang terkorban hanya melibatkan penduduk Palestin yang sekian lama ditindas dan dinafikan hak mereka, kali ini kekejaman mereka semakin menggila dengan membunuh dan menyerang aktivis yang berasal dari pelbagai negara di seluruh dunia yang bersatu demi menyatakan ketidakadilan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.
Namun semua itu tidak langsung diambil kira oleh tentera Zionis yang sanggup membutakan hati dan perasaan mereka untuk melepaskan tembakan terhadap mereka yang tidak berdosa semata-mata mereka ini dilihat sebagai kelompok manusia yang berani menyuarakan keadilan untuk mereka yang tertindas.
Malah lebih keji lagi kelompok manusia berani yang terdiri dari lebih 600 orang dianggap pengganas dengan alasan mereka ini menyerang tentera mereka dengan pelbagai senjata yang sebenarnya tidak pasti kewujudannya.
Rejim Zionis merupakan kelompok manusia yang bijak mereka-reka cerita yang jika tidak dinilai sebaiknya akhirnya orang lain pula yang dilihat kejam dan salah. Apatah lagi dengan kawalan media oleh mereka akhirnya para pejuang ini pula dikatakan menyerang mereka dengan senjata tajam dan perlatan lain yang tidaklah sehebat senjata milik komando mereka.
Namun hakikatnya manusia bukan sebodoh yang disangka Israel. Maka kita boleh lihat sendiri bagaimana sepanjang minggu ini seluruh negara mahupun dunia bagaikan dicabar dengan kekejaman Israel yang terus biadab melancarkan kekejaman mereka.
Kali ini bukan terhadap rakyat Palestin tetapi terhadap segerombolan penduduk dunia yang cuba menyampaikan bantuan yang sangat diperlukan penduduk di Genting Gaza yang sekian lama dinafikan hak mereka sebagai rakyat asal yang dirampas tanah airnya.
Bongkak
Apa yang pasti perasaan bongkak yang melampau kerana beranggapan bangsa Yahudi sebagai bangsa terbaik mengakibatkan mereka hilang segala sifat sifat kemanusiaan yang dianugerahkan tuhan kepada manusia.
Akibat dari terlalu mementingkan diri dan sentiasa beranggapan manusia lain selain bangsa Yahudi sebagai lemah dan tidak berguna mengakibatkan bangsa itu terus menidakkan hak dan perasaan orang lain.
Maka alasan itulah yang digunakan mereka untuk menyerang dan membunuh rombongan flotila pembebasan yang membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.
Memang bukan semua orang Yahudi menerima apa yang dilakukan oleh bangsa mereka itu sebagai sesuatu yang dibenarkan, namun akibat dari terlalu terpengaruh dengan agenda pihak rejim Zionis kebanyakan mereka turut sama menghalalkan tindakan mereka yang langsung tidak boleh diterima oleh setiap manusia normal dan bermaruah.
Kesemua pejuang ini hanyalah manusia biasa yang insaf dan sedih dengan penindasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin yang menderita sejak sekian lama. Apa yang dilakukan rombongan itu bukan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan apatah lagi menyimpang dari semangat kebebasan dan hak asasi manusia yang selama ini diperjuangkan dengan begitu hebat oleh kelompok Barat.
Seluruh dunia tahu akan penderitaan dan penyiksaan yang berlaku terhadap Palestin dan bantuan yang dihulurkan untuk membantu mereka oleh rombongan flotila pembebasan ini cuma sekelumit usaha untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung mereka.
Namun akhirnya atas alasan yang sangat dangkal, mengarut dan langsung tidak boleh diterima akal serangan ini dihalalkan.
Atas alasan apa semua ini dibenarkan. Apakah mereka ini melanggar hak asasi manusia, apakah mereka menceroboh sempadan negara ataupun apakah mereka ini kumpulan pengganas. Bagi pihak Yahudi semua alasan boleh dicipta kerana mereka yang menyebar segala jenis fahaman dan kepercayaan yang kini seolah-olah wajib diikuti oleh manusia. Apakah tindakan mereka menyerang kapal tidak bertentangan dengan hak asasi manusia yang sering diuar-uarkan mereka.

Dituduh
Kenapa apabila melibatkan umat Islam walaupun ia atas nama bantuan kemanusiaan mereka akan dituduh dengan pelbagai pelbagai fitnah yang sangat berat sebelah. Lebih menyedihkan ramai daripada pihak yang cuba menyalurkan bantuan ini terdiri dari mereka yang bukan Islam malah terdapat mereka dari kalangan rakyat Yahudi.
Namun semua itu langsung tidak dihiraukan oleh pihak Israel malah tindakan mereka ini begitu berani seolah-olah mereka menggambarkan mereka sanggup melawan seluruh dunia sekalipun asalkan kepentingan mereka terus dipertahankan.
Mungkin mereka menilai usaha ini sebagai sesuatu yang tidak penting namun bagi penduduk Gaza mereka benar-benar mengharapkan bantuan sebegini sampai kepada mereka. Jika kita lihat realiti sebenar rakyat Gaza apakah mereka mampu untuk meneruskan kehidupan mereka secara normal jika seluruh kawasan sempadan mereka dikepung sejak 2006.
Malah hampir setiap minggu ada saja serangan yang dilancarkan oleh tentera udara Israel di kawasan mereka, sesuatu yang pasti tidak boleh ditentang mereka yang hanya mampu bertindak dengan peralatan yang kuno berbanding kecanggihan senjata Israel.
Namun apa yang pasti pembelaan untuk mereka yang terkorban pastinya tidak akan berlaku seperti yang diharapkan. Seperti biasa bantahan demi bantahan mahupun perarakan untuk menentang kekejaman rejim Zionis akan berakhir begitu saja tanpa sebarang penyudah yang nyata. Semua ini akan berlangsung umpama mencurah air ke daun keladi.
Apatah lagi dengan keupayaan terhad negara sekutunya Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang “ditarik hidungnya” oleh Israel pastinya semua episod ini akan berakhir begitu sahaja tanpa sebarang signifikan.
Mungkin kita berasa sudah kehabisan upaya untuk membantu rakyat Palestin yang begitu mendambakan kebebasan dan kehidupan yang lebih bermakna. Namun hakikatnya usaha kecil oleh flotila pembebasan Gaza ini mampu memberi impak yang lebih berkesan jika ia melibatkan jumlah kapal dan penduduk dunia yang lebih besar jumlahnya.
Bayangkan dengan ratusan kapal dan puluhan ribu penduduk dunia berpadu usaha dan tenaga mengajar kebongkakan Israel untuk menghantar bantuan secara aman, pastinya ruang penjara mereka tidak cukup untuk menempatkan semua mereka.
Mungkin mereka akan ditahan dan dihalau namun usaha berterusan tanpa perasaan takut dan mengalah pastinya mampu menggerunkan rejim Zionis untuk bertindak lebih ganas. Apa yang pasti PBB, AS dan semua sekutu Israel bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini kerana sudah nama pun sekutu.
Hanya dengan iltizam dan semangat yang tinggi seperti yang ditunjukkan oleh wira-wira kita termasuklah 12 rakyat Malaysia yang mungkin sampai hari ini perlu dijadikan landasan dan untuk mengajar Israel siapa sebenarnya syaitan bertopengkan manusia.

Tanpa subsidi tak jadi miskin



INILAH waktunya menuntut kita sebagai rakyat berkorban. Sudah terlalu lama kita dimanjakan dengan pelbagai subsidi. Dengan subsidi inilah kita sudah melakukan banyak pembaziran sehingga berbelanja pada yang tidak perlu.
Sementara Allah masih mengasihi kita dan menjadikan negara ini makmur, maka adalah baik bagi kita bermuhasabah - bagaimana kita mengurus kekayaan negara yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat negara ini sendiri.
Kemasukan pekerja asing ke negara ini perlu dikurang dan jika perlu, dihentikan. Pengaliran wang kita ke luar negara berjuta ringgit setiap bulan. Alangkah untungnya jika wang itu tidak dihantar keluar oleh pekerja asing.
Kalaulah subsidi kerajaan ini dikurang atau ditiadakan, maka manfaat paling besar ialah mengajar rakyat di negara ini bagaimana sepatutnya mengurus perbelanjaan. Jika waktu kemelesetan ekonomi kita boleh berjimat, maka mengapa tidak ketika subsidi dikurang atau ditiadakan.
Sebagai contoh, satu-satunya tindakan kerajaan yang tidak masuk akal ialah pemberian buku teks sekolah secara percuma. Apa rasionalnya? Tidak ada negara di dunia ini yang berbuat seperti Malaysia.
Pemberian buku teks percuma harus kembali pada matlamat asal untuk membantu golongan berpendapatan rendah termasuk anak guru-guru (tidak termasuk yang berstatus pegawai) sebagai satu pengiktirafan khidmat mereka.
Subsidi buku teks benar-benar telah menghilangkan tanggungjawab ibu bapa kerana mereka tidak lagi memikirkan perbelanjaan buku. Berapa ramai ibu bapa yang menyimpan wang yang tidak digunakan untuk membeli buku teks?
Cukuplah. Sesudah 53 tahun kita dimanjakan dengan subsidi, maka wajarlah kini nikmat kemerdekaan itu diberikan kepada negara ini semula yang memerlukan sokongan rakyat.
Alangkah besarnya sumbangan kita jika dapat menyelamatkan berbilion ringgit wang subsidi yang diberi oleh kerajaan. Wang ini boleh digunakan untuk pembangunan negara. Jangan pula dibazirkan untuk perkara yang tidak penting untuk rakyat.
Ketiadaan subsidi tidak akan menjadikan kita lebih miskin dan menderita. Kita harus bersyukur dengan nikmat yang ada. Yang penting bagaimana kita berbelanja dan kerajaan dapat mengawal harga barangan daripada naik. Itu saja.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket