Selamat datang

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Tingkatkan ciri keselamatan elak kemalangan di jalan raya

SAYA amat dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan bas Sani Express yang meragut 10 nyawa di Lebuh Raya Plus berdekatan Ipoh baru-baru ini. Saya juga kasihan dengan syarikat pengangkutan bas tersebut bersama dengan pemandunya yang menjadi kecaman masyarakat. Tiada siapa yang mahu tragedi ini terjadi.
Bagi mangsa yang meninggal dunia, mungkin mereka adalah ibu bapa yang masih perlu membimbing anak-anak, atau yang ingin menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi, malah ada juga yang sudah tamat universiti dan akan mula bekerja tidak lama lagi. Ada juga yang baru bekerja dan akan menjejak kaki ke alam perkahwinan serta ada yang sudah bersara dan akan menggunakan sisa hidup bagi kebajikan diri.
Bagi yang menerima kecaman pula seperti pengusaha bas, akan menghadapi banyak kerugian setelah sekian lama menaikkan nama syarikat dengan menambah bas-bas serta ciri-ciri keselamatan dengan melabur jutaan ringgit.
Pemandu yang melakukan kemalangan tersebut juga berkemungkinan kehilangan segalanya, termasuk dikenakan hukuman kelak dan mungkin diberhentikan kerja dan tidak dapat menyara anak-anak dan isteri, malah mungkin menyara ibu bapa yang sakit atau tua.
Persoalan ini saya lontarkan kepada semua bukan untuk bersimpati dengan mana-mana pihak yang salah atau tidak salah. Persoalan di sini adalah apa yang patut kita buat. Ramai daripada kita akan berkata kemalangan akibat cuai dan memandu kenderaan dengan laju. Jika kemalangan tiada meragut nyawa, mungkin perkara ini akan senyap begitu sahaja.
Sehubungan itu saya ingin mencadangkan ciri-ciri keselamatan tambahan kepada pengusaha bas ekspres. Selain tambahan kepada sistem GPS dan sistem mengehadkan kelajuan bas, minta diwajibkan ada pemandu gantian yang sentiasa mengawasi pergerakan pemandu pertama, dan tidak mengadakan pemandu kedua yang hanya tidur.
Selain itu mewajibkan pemandu bas memakai alat pendengaran penggera apabila tertidur dan mewajibkan semua penumpang memakai tali pinggang keledar.
Guard rail atau penghadang jalan berbesi hendaklah dinaikkan taraf keselamatannya selain mengkaji kedudukan pokok-pokok besar serta signboard berbesi. Sambungan kepada guard rail yang hanya menggunakan screw patut dinaikkan taraf piawaian keselamatannya. Diminta sambungan dibuat seperti di litar pertandingan permotoran di mana guard rail tiada penyambungan tetapi kosnya terlalu tinggi.
Saya sarankan ia dibuat selang seli dengan jarak lebih panjang dan menggunakan kimpalan keluli yang kuat bagi mengelakkan ia patah atau terkopak jika berlaku kemalangan. Fungsi guard rail sewajarnya meminimumkan impak kemalangan dan bukannya sebagai pembunuh dengan menusuk tubuh kenderaan dan penumpang. Nisbah kematian di negara kita banyak menjurus kepada penghadang jalan besi seperti ini.
Nisbah kemalangan membabitkan pokok dan signboard besi juga terlalu tinggi di negara kita. Pokok-pokok yang begitu dekat dengan jalan raya, terutama di jalan Persekutuan, haruslah dipindahkan.
Jika perlu diadakan lilitan high impact rubberise kepada pokok-pokok setinggi enam kaki bagi meminimumkan kadar kematian jika berlaku kemalangan melanggar pokok. Kaedah ini juga boleh digunakan di semua signboard besi di laluan persekutuan mahu pun di laluan lebuh raya.

Jangan beri muka rakyat Malaysia guna pasport asing

DALAM Perlembagaan ada dua cara menyebabkan seseorang itu boleh hilang kewarganegaraan atau kerakyatannya.
Bahagian 3 Perlembagaan (Bab 3) iaitu Perkara 24 menyatakan bahawa kerakyatan akan dilucutkan sekiranya seseorang mendapat kerakyatan daripada negara lain. Dalam Perkara 25 pula menyebut bahawa kerakyatan akan dilucutkan sekiranya terbukti seseorang tidak setia kepada negara.
Dalam perkara ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman telah memberi amaran kepada rakyat Malaysia yang memiliki atau menggunakan pasport negara lain untuk keluar negara, mereka boleh dilucutkan status kerakyatan.
Pasport antarabangsa Malaysia adalah bukti kerakyatan pemegang buku berwarna merah itu. Jika seseorang mengaku rakyat Malaysia, dia tidak sekali-kali mencampakkan pasport itu dan diganti dengan buku kecil berwarna lain.
Sekiranya dia menggunakan pasport berwarna lain selain warna merah, sah dia bukan rakyat Malaysia lagi.
Biar apa pun muslihat seseorang rakyat Malaysia memiliki atau mengguna pasport negara lain, dia boleh dikategorikan orang yang tidak setia kepada Malaysia. Jadi, jika benar perkara ini terjadi, Jabatan Imigresen dan Kerajaan Malaysia perlu melucutkan status kerakyatan individu berkenaan.
Mengapa kita perlu memberi muka kepada golongan yang sesuka hati menggunakan dua pasport. Malaysia tidak memberi keistimewaan kepada orang yang kesetiaannya kepada negara boleh diragui. Dan bukan dasar Malaysia membenarkan rakyatnya memiliki dua kewarganegaraan.
Sudah tentu orang yang menggunakan pasport asing ada agenda tersembunyi untuk keluar masuk ke negara lain.
Kes-kes melibatkan penggunaan pasport asing bukan baru di negara kita. Kalau tidak bagaimana beberapa individu tertentu termasuk orang politik yang dikehendaki oleh polis boleh bolos dari sempadan negara ini.
Kesalahan memiliki dua pasport ini belum ditambah dengan jenayah pemalsuan pasport untuk tujuan pemerdagangan dan penyeludupan manusia di negara kita.
Adalah penting segala isu penggunaan pasport asing apatah lagi melibatkan orang yang dikehendaki polis Malaysia hendaklah diselesaikan seberapa segera.
Janganlah dilengah-lengahkan usaha mencari dan menahan individu yang dikehendaki itu. Mereka perlu menjalani perbicaraan di mahkamah bagi menyelesaikan kes saman daripada pihak pelantif.
Sudah banyak kes orang kena tuduh bukan sahaja tertangguh malah mereka sendiri menghilangkan diri apabila gagal dikesan setelah melarikan diri ke luar negara.
Kerajaan perlu bertindak terhadap individu yang melarikan diri ke luar negara melalui saluran yang bertentangan dengan undang-undang imigresen Malaysia. Cari mereka sampai ke lubang cacing agar tindakan berani dan serius daripada Kerajaan Malaysia dapat memberi isyarat kepada individu lain yang cuba lari daripada undang-undang Malaysia. Sudah terlalu lama dasar berlembut dilaksanakan.
Oleh itu jika mereka tidak ditemui, guballah undang-undang yang mana kerajaan boleh melucutkan status kerakyatan individu yang telah melarikan diri daripada pihak polis dan mahkamah di Malaysia. Sesungguhnya mereka bukan rakyat yang setia maka mereka tidak berhak menjadi rakyat Malaysia.

Cabaran menghadapi tahun 2010

TIRAI 2009 bakal dilabuhkan dalam sedikit masa lagi. Pelbagai coretan suka duka, isu-isu hangat, kontroversi dan kejadian yang berlaku dalam tahun ini banyak memberi pengajaran bermakna dan pengalaman berharga kepada kita semua dalam mengharungi cabaran yang mendatang.
Setiap akhir tahun dan permulaan tahun baru setiap orang daripada kita akan menetapkan keazaman masing-masing untuk dilaksanakan pada tahun baru nanti. Tetapi elok juga kita bermuhasabah dan merenung tentang apa yang telah berlaku.
Sebelum tirai 2009 dilabuhkan kita dikejutkan dengan satu demi satu kemalangan maut. Selepas lima kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres pastinya kita tertanya-tanya apakah tindakan drastik yang akan dilakukan oleh pihak yang berwajib?
Sekali lagi kita berhadapan dengan masalah 'sikap' pemandu yang cuai mengakibatkan nyawa penumpang melayang. Dalam melangkah tahun 2010, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa-masa akan datang semua pihak terutama pemandu bas perlu ada rasa 'tanggungjawab' dalam diri kerana ditangan mereka bergantung berpuluh-puluh nyawa, sedikit kecuaian akan menyebabkan banyak nyawa terkorban.
Isu politik sememangnya sentiasa mewarnai persada isu-isu yang berlaku di Malaysia. Walaupun 'tsunami politik' yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dalam proses pemulihan tetapi kesannya masih dirasakan. Pihak pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan juga tidak terlepas daripada menghadapi isu-isu yang mencabar kredibiliti mereka.
Satu perkara yang perlu diingati oleh semua pemimpin kerajaan bahawa rakyat sedang memerhatikan dan menilai apa yang berlaku. Jangan sampai apa yang disifatkan silent protest pada PRU 12 berulang pada PRU 13.
Walaupun kata-kata keramat 'perubahan' diungkapkan beratus kali, ini adalah masanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa perubahan yang dicanangkan bukanlah satu retorik. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri wajar dicontohi dan diikuti oleh semua pihak.
Semoga tahun 2010 akan membuka satu lembaran baru dalam kamus 1Malaysia. Amanat dan pesanan Perdana Menteri agar UMNO menjadi parti juara rakyat dan pemimpin menjadi 'jaguh' rakyat perlu dihayati dan direalisasikan oleh semua Yang Berhormat!
Kesungguhan kerajaan untuk memartabatkan institusi pendidikan diterjemahkan dengan peruntukan lebih RM30 bilion dalam bajet 2010. Salah satu usaha memperkasakan bidang pendidikan ialah dengan memperkenalkan Standard Guru Malaysia (SGM) yang menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.
pendapat Begitu juga Institusi Pengajian Tinggi (IPT), ramai yang memberikan pendapat dan berpandangan bahawa IPT perlu overhaul. Ternyata usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas menunjukkan komitmen untuk melakukan perubahan paradigma IPT Malaysia. Ini jelas berlandaskan lapan agenda dan strategi yang direncanakan selaras dengan RMK-10 KPT. Agenda-agenda tersebut adalah Agenda 1: Menonjol Potensi Setiap Rakyat Malaysia, Agenda 2: Pelaburan Dalam Sains dan Teknologi,Agenda 3: Malaysia Sebagai Pusat kepada Perkembangan Pengetahuan dan Inovasi, Agenda 4: Institusi Penyelidikan dan Autonomi, Agenda 5: Memperkasa Ijazah Kedoktoran dan Pasca Doktoral, Agenda 6: Konsortium, iaitu melalui Konsortium Projek Penyelidikan Berimpak Tinggi Bersepadu, Agenda 7: Generasi Muda iaitu agenda yang menjurus kepada pembangunan generasi muda Malaysia dan Agenda ke- 8: Universiti dan Model Alternatif Kewangan iaitu cadangan agar setiap universiti memikirkan pembiayaan untuk prasarana secara kreatif dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.
Melalui agenda-agenda tersebut dan usaha-usaha yang berterusan oleh KPT pastinya IPT di Malaysia akan melalui satu proses transformasi yang bakal melonjakkan IPT Malaysia di peringkat global dan pastinya cabaran ini akan lebih dirasai apabila melangkah tahun 2010 nanti.
bermaharajalelaIsu berkaitan sosial seolah-olah tidak ada kesudahannya, namun usaha gigih jabatan dan pihak berkuasa perlu diberi pujian walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Isu 'mat' dan 'minah' rempit masih lagi berleluasa. 'Mat rempit' sudah semakin bermaharajalela di jalan raya, mereka bukan sahaja memperjudikan nyawa mereka dengan aksi-aksi yang merbahaya tetapi sudah semakin berani merempuh pihak berkuasa seperti polis trafik dan JPJ yang mengakibatkan kecederaan parah.
Bagai kaduk naik junjung, begitulah diibaratkan dengan jenayah ragut, walaupun pelbagai pihak memberikan pelbagai saranan untuk mengenakan hukuman yang berat terhadap pesalah jenayah ragut namun dalam masa yang sama peragut semakin bermaharajalela sehingga sanggup 'membunuh' mangsa.
Ternyata tahun 2009 memberikan cabaran yang besar bagi pihak kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat dan mengatasi kejadian-kejadian tersebut agar tidak berulang pada tahun-tahun yang mendatang selaras dengan rakyat didahulukan.
Tahun 2010 merupakan tahun yang mencabar untuk pihak kerajaan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah sebanyak 20 peratus seperti yang tercatat dalam NKRA, namun usaha tersebut tidak harus diletakkan di bahu pihak kerajaan semata-mata, semua pihak termasuk NGO, ibu bapa dan masyarakat perlu lebih berani dan komited untuk membantu kerajaan.
Namun hakikat yang perlu kita telan terdapat segelintir warga kita yang terperangkap dengan cinta warga asing yang akhirnya mereka dijadikan alat untuk mengedar dadah atau dipanggil 'Keldai dadah'.
Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 2006 sahaja, seramai 31 rakyat Malaysia dengan empat daripadanya adalah wanita ditahan di luar negara berkaitan kesalahan mengedar dadah. Seramai sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara atas kesalahan yang sama bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2008.
Walaupun ramai yang telah merana namun masih ramai yang terperangkap, begitu juga dengan isu cinta 'jejaka Lombok', 'Pak Arab' dan terkini penangan cinta 'Pak hitam'. Isu ini merupakan masalah yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana ia melibatkan persoalan moral gadis-gadis Malaysia daripada mudah diperdaya oleh jejaka-jejaka asing tersebut.
Semoga tahun 2010 nanti menjadi titik permulaan satu anjakan perubahan yang 'holistik' sama ada dari segi politik, pendidikan, sosial, dan lain-lain lagi. 'Belajarlah' daripada kesilapan dan pengalaman lalu dan jadikannya satu pengajaran agar kita tidak saling menuding jari antara satu sama lain hingga hilang pertimbangan rasional sebaliknya bermuafakat dalam suasana tenang mencari penyelesaian agar musibah yang berlaku dihadapi dengan satu keinsafan, rasa rendah diri dan reda atas ujian yang diberi oleh Allah SWT.
Dalam apa jua tindakan, semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang perlu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat menjadi keutamaan. Rakyat kini semakin bijak dan mereka sedang menilai prestasi wakil-wakil rakyat mereka dan penilaian akan diterjemahkan dalam PRU 13 nanti.
Bukan isu besar atau kecil yang menjadi persoalan tetapi rakyat sedang menilai bagaimana kemelut dan isu yang berlaku diselesaikan. Jika semakin lama isu atau kemelut dibiarkan berlanjutan, mungkin populariti akan bertambah tetapi 'majoriti' belum tentu bertambah! Sama-samalah kita renungkan!

Semarak azam tahun baru


Usaha dan perlaksanaan yang tepat adalah tunggak yang boleh menghasilkan kejayaan dalam setiap rancangan. - Gambar hiasan

Tahun 2009 bakal melabuhkan tirainya bagi memberi laluan kedatangan 2010. Selain daripada umur yang semakin meningkat, ramai daripada kita ketika ini mungkin mula mencongak semula apakah perubahan atau kejayaan yang telah dicapai sepanjang tahun. Kalau ada azam yang sudah terlaksana, Alhamdulillah. Kita bersyukur. Namun jangan hanya bersyukur, perlu juga difikirkan bagaimana kejayaan itu boleh diulangi.
Ramai juga yang bertanya apa azam 2010, adakah sudah tercapai azam 2009 atau adakah azam kali adalah untuk tidak membuat sebarang azam.
Hakikatnya, azam tahun baru hanyalah cebisan semangat untuk menyambung apa yang tidak kesampaian pada tahun-tahun sebelumnya. Tetapi bukan bermakna azam tahun baru hanya untuk mereka yang gagal menyempurnakan cita-cita tahun lepas.
Malah dalam banyak ketika, orang yang berjaya lebih kuat azamnya berbanding mereka yang kurang berjaya. Kejayaan yang dicapai menjadikan seseorang itu menguatkan azam untuk melipat gandakan usaha supaya kelak menjadi lebih berjaya.
Ia selaras dengan fitrah manusia yang tidak pernah berasa puas dengan pencapaian diri dan ingin mengecapi kejayaan yang lebih hebat.
Menurut pensyarah kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Saedah A.Ghani, azam tahun baru sebenarnya perjanjian pada diri sendiri sempena kemunculan tahun baru.
Malah perjanjian tersebut sebenarnya ditentukan oleh diri sendiri bagi mencapai kesempurnaan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan.
''Tahun baru harus dianggap sebagai detik perubahan dengan semangat yang baru yang mampu memberi keyakinan kepada kita untuk menempah kejayaan ke arah yang baik,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tegasnya lagi, ajaran Islam sentiasa mementingkan umatnya supaya berusaha menuju kebaikan dan kejayaan.
''Keadaan ini hanya mampu dicapai jika ada perancangan dan pengetahuan mengenai apa yang hendak dilakukan,'' terangnya bersungguh
Katanya lagi, sebagai manusia yang normal kita tidak harus berada ditakuk lama dan berpuas hati dengan apa jua yang telah dilakukan.
''Kita mesti mempunyai matlamat berusaha mengubah kepada lebih baik, jika hari ini kita tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam bermakna kita mempersia-siakan peluang hidup pada hari semalam,'' katanya.
Malah terangnya lagi, setiap matlamat yang kita impikan perlulah disulami dengan dengan perancangan yang betul bagi mencapai matlamat tersebut.
''Kekuatan dan kemampuan perlu dibina pada tahap maksimum. Pengukuhan pula hendaklah disertai dengan semangat yang jitu.
''Usaha dan perlaksanaan yang tepat adalah tunggak yang boleh menghasilkan kejayaan hidup,'' ujarnya yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kaunseling.
Katanya lagi, setiap perancangan pula perlu meliputi usaha yang berterusan dan juga matlamat untuk berjaya.
''Tepatlah kalau kita katakan, azam tahun baru itu adalah perancangan diri sendiri. Sejauh mana kita menginginkan sesuatu untuk tahun itu, sejauh itulah ia akan mendorong semangat dan tindakan kita.
''Sebab itu azam tahun baru adalah fasa terbaik untuk kita menilai dan bermuhasabah diri. Jika azam pada diri sendiri pun tidak mampu untuk kita capai, bagaimana pula dengan harapan yang diletakkan oleh orang lain pada diri kita?,'' tegasnya serius.
Justeru itu katanya, azam baru nanti janganlah pula hanya untuk kepentingan dan keinginan sendiri. Selitkan juga janji kita untuk semua watak yang kita pegang dalam kehidupan ini, baik di dunia mahupun di akhirat.
Sementara itu, pensyarah Jabatan pengajian Melayu, Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Noraniza Mohd. Noor, pula memberitahu, azam tahun baru adalah masa depan boleh diramal.
Namun akuinya, setiap perancangan memerlukan matlamat yang tepat.
''Perkara ini penting kerana setiap perkara yang kita ingin lakukan setiap hari merupakan sesuatu yang memerlukan perancangan dan arah tujuan yang jelas.
"Sekiranya merujuk kepada sejarah penghijrahan Rasulullah SAW sendiri pun, baginda telah membuat perancangan yang amat rapi dalam peristiwa penghijrahan Rassulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah," katanya.
Daripada sejarah Hijrah ini menunjukkan bahawa perancangan dan strategi merupakan sesuatu yang dapat menentukan sama ada tujuan yang ingin dilihat berjaya dengan cemerlang atau 'hanya hangat-hangat tahi ayam'.
Tegasnya lagi, selain daripada perancangan, tingkah laku yang berterusan juga membawa kepada kejayaan dalam perbuatan yang kita lakukan.
Selain itu, beliau yang bertugas sebagai kaunselor juga memberitahu, azam yang dibuat dan dicetuskan itu juga, perlu sentiasa di segarkan dari semasa ke semasa dengan diikuti oleh tindakan yang terbaik .
''Yakinkan diri bahawa setiap hari adalah perlu disambut dengan sambutan tahun baru serta azam yang teguh.
''Pelan tindakan inilah yang memerlukan kepada satu jadual dan gerak kerja yang direkod setiap hari, itulah yang dinamakan 'catatan harian peribadi','' tegasnya.

‘Laluan terus’ yang berbahaya

SAYA ingin memberi pendapat berhubung kemalangan bas ekspres dua tingkat milik Sani Ekspres yang mengorbankan 10 nyawa di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ipoh, tempoh hari.
Umum mengetahui, laluan terus PLUS dari Ipoh Selatan hingga ke Jelapang, yang dibina bagi memudahkan pemanduan terus dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, merupakan laluan yang belum pun berusia setahun.
Laluan baru itu didapati boleh mengundang bahaya kepada pengguna jika berlaku kes kecemasan seperti kerosakan kenderaan atau kemalangan.
Ini kerana ruang laluan yang terhad. Hakikatnya laluan tersebut mempunyai banyak kekurangan yang mengundang bahaya.
Laluan tersebut membelah kawasan pinggir gunung batu kapur dengan panorama mengasyikan, beralun dan menggabungkan kombinasi jajaran lama iaitu Lebuh Raya Ipoh Changkat-Jering yang sempit, yang dibuka pada tahun 1984, dan jajaran Ipoh-Tanjong Malim yang lebih lebar yang dibuka pada tahun 1994.
Namun ia kini merupakan laluan paling berbahaya sepanjang lebuh raya terutama pada waktu malam.
Kekurangan paling membahayakan adalah ketiadaan lampu jalan di sepanjang ‘terusan kenderaan’ tersebut.
Sebagai pemandu yang memang memahami situasi pemanduan ‘mengekori lampu merah’ yang diamalkan kebanyakan pemandu yang memandu waktu malam, perbuatan yang mengundang bahaya ini tidak akan berlaku di Lembah Klang yang mana laluan lebuh rayanya terang benderang di waktu malam.
Begitu juga pemandu dari utara atau dari selatan yang menggunakan Lebuhraya Utara Selatan.
Tanyalah mereka benarkah rasa mengantuk mereka akan hilang sebaik sahaja memasuki zon lebuh raya berlampu di Lembah Klang? Sudah tentu limpahan lampu yang menerangi laluan akan juga ‘mencerahkan’ mata mereka.
Bayangkan pula keadaan di laluan terus Lebuhraya Utara Selatan yang mempunyai kelebaran terhad, tanpa laluan keluar sepanjang hampir 14 kilometer.
Ia umpama sebuah terowong yang tidak diterangi.
Lampu limpah persimpangan bertingkat hanya terdapat di empat kawasan dan laluan terus tersebut masih tidak mempunyai pencahayaan yang mencukupi.
Seharusnya pihak PLUS menyediakan lampu jalan bagi menerangi ‘terusan berbahaya’ tersebut, di samping pemasangan alatan keselamatan mencegah kemalangan akibat hilang tumpuan atau penglihatan terhad kerana hujan misalnya.
Antara yang boleh dipasang ialah pemantul cahaya di garisan tepi yang berkelip di sepanjang laluan terus tersebut.
Ini penting dan ia merupakan tanggungjawab bersama pihak PLUS, yang seolah-olah terlepas dari tudingan jari apabila berlaku kemalangan.
PLUS seharusnya memainkan peranan mereka kerana selama ini tanggungjawab sosial mereka dalam menyediakan kemudahan dikira agak cemerlang.
Namun, ada yang kurang di laluan baru tersebut yang wajar diambil tindakan.

Kaji kelayakan pemandu

SAYA terpanggil untuk memberi pandangan peribadi saya, setelah menyaksikan dengan perasaan hiba, kemalangan maut yang mengorbankan 10 nyawa di Perak awal pagi Sabtu lalu.
Seringkali apabila berlaku kemalangan maut melibatkan bas penumpang, kita dihidangkan dengan fakta kegagalan pemandu bertindak rasional apabila berhadapan dengan situasi semasa (mengantuk atau letih ataupun kegagalan teknikal kenderaan). Apakah yang menyebabkan mereka lemah dalam membuat pertimbangan?
Secara logiknya kita boleh mengesahkan mereka (pemandu bas) kurang pendidikan akademi. Apakah tahap kelayakan akademik yang diperlukan untuk menjadi pemandu bas? Kalau ada pun SPM mungkin ditahap layak dapat sijil sahaja!
Kadang kala apabila kita berhadapan dengan keadaan kritikal, satu tindakan 'radikal' mungkin dapat membantu. Saya mencadangkan dikaji semula tahap kelayakan akademik bagi pemandu kenderaan yang melibatkan penumpang.
Cadangan untuk mengenakan hukuman yang sama ke atas pemilik syarikat bas seperti mana yang dikenakan ke atas pemandu yang terlibat juga patut diberi perhatian.
Selain itu, saya juga ingin memberi satu lagi cadangan radikal, kita tempatkan di setiap 1 kilometer laluan lebuh raya dan jalan-jalan yang sering berlaku kemalangan dengan billboard berwarna gambar-gambar kemalangan maut.
Bukan gambar kenderaan tetapi gambar mangsa tanpa suntingan untuk tatapan pemandu Malaysia. Jika gambar mangsa dalam negara mungkin menyebabkan terguris perasaan keluarga mangsa, jadi mungkin gambar mangsa luar negara dapat membantu. Sanggupkah lagi mereka memecut?

Kaji semula bas dua tingkat

Negara kita sekali lagi digemparkan dengan kemalangan bas yang mengorbankan sepuluh nyawa dan mencederakan beberapa yang lain. Kemalangan ini bukan melibatkan bas biasa, tapi bas ekspres dua tingkat. Takziah buat keluarga mangsa yang terkorban.
Sebagai salah seorang pengguna perkhidmatan bas ekspres, saya melihat kewujudan bas dua tingkat ini sebenarnya ada kekurangan, antaranya;
1.Bas dua tingkat memang mudah terbalik. Semakin tinggi bas, semakin mudah terbalik lebih-lebih lagi apabila dipandu dengan laju.
2.Berbeza seperti di London, keadaan jalan di sana tidak seperti di negara kita, ditambah dengan bentuk muka bumi Malaysia yang berbukit-bukau membuatkan jalan bersimpang siur.
3.Kebanyakan kawasan di Lebuh Raya Utara-Selatan merupakan kawasan angin lintang, keadaan ini memudahkan bas yang tinggi terbalik.
4.Spesifikasi bas dua tingkat membuatkan kedudukan penumpang di bahagian bawah lebih rendah (separas pembahagi jalan) yang boleh mendatangkan kecederaan serius atau membawa maut sekiranya ia bergesel atau terbabas.
Pada hemat saya, mungkin perkhidmatan bas dua tingkat boleh digunakan di kawasan-kawasan pusat bandar bagi tujuan pelancongan dan sebagainya, namun untuk perjalanan jarak jauh, ia dirasakan merbahaya dan kurang selamat.
Walaupun faktor kecuaian pemandu adalah penyebab utama kemalangan, namun perkara-perkara yang dinyatakan di atas mungkin perlu diambil kira.
Saya menyarankan kepada pihak bertanggungjawab agar penggunaan bas dua tingkat ini dikaji semula sebelum lebih ramai penumpang terkorban.

Reka bentuk bas dua tingkat tidak sesuai?

PADA awal pagi 27 Disember 2009, kita semua dikejutkan dengan kemalangan ngeri bas ekspres milik Sani Ekspres. 10 nyawa terkorban dalam kemalangan itu.
Hampir semua media menyiarkan mengenai mutu kualiti pengangkutan kenderaan awam negara kita di lebuh raya. Antara faktor yang dipertikaikan, reputasi bas, rekod pemandu, had laju dan juga sikap pemandu.
Namun begitu tiada yang ingin menyuarakan punca lain, mungkin kerana perasaan geram, marah dan muak akan kemalangan bas ekspres ini yang sering kali berpunca daripada pemandu. Hampir semua menyalahkan pemandu yang menjadi punca kemalangan kerana terlelap.
Tidak saya nafikan kesilapan manusia adalah punca utama kemalangan ini dan juga kemalangan bas yang lain. Namun begitu, jika kita semua imbas kembali bahawa bas berkenaan tidak terbalik mahupun merempuh kenderaan lain. Bas berkenaan cuma melanggar penghadang jalan sehingga merobek sebelah kiri bas dan menyebabkan 10 nyawa terkorban.
Apa yang saya lihat di sini, penghadang jalan di kawasan kejadian berfungsi dengan baik menghalang kemalangan yang lebih ngeri. Namun begitu kematian dapat dielakkan jika bas berkenaan adalah bukan bas dua tingkat.
Semua mangsa adalah penumpang di tingkat bawah bas. Jika kita lihat susunan tempat duduk penumpang di sebelah bawah adalah pada ketinggian yang sangat rendah, tidak keterlaluan saya katakan sama rendah dengan kedudukan kerusi kereta.
Jika bas ini adalah seperti bas normal (bukan dua tingkat), ruang bahagian bawah adalah tempat menyimpan barang dan beg, jika kemalangan serupa berlaku, hanya bahagian barang dan beg sahaja akan terlibat.
Struktur dinding bagi bas juga tidaklah sekuat dinding kereta yang direka untuk menerima hentaman dari sisi.
Pada penilaian awal saya, punca utama kematian mereka adalah kerana reka bentuk bas berkenaan. Pihak Sani Ekspres juga telah memaklumkan kelajuan dan keadaan bas adalah pada tahap yang selamat. Kelajuan telah dikunci, bas juga diselenggarakan dengan baik.
Oleh itu saya berharap, pasukan penyiasat punca kemalangan ini kelak, dapat mengambil kira pendapat saya dalam hal ini.
Pihak berwajib juga harus mempertimbangkan semula sama ada penggunaan bas dua tingkat ini adalah praktikal ataupun tidak.

Lahirkan pemandu utamakan ciri-ciri keselamatan

BEBERAPA kemalangan maut yang berlaku beberapa hari lalu memberikan satu mesej yang jelas iaitu usaha-usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita masih gagal.
Terbaru ialah kemalangan bas ekspres yang meragut sepuluh nyawa di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan. Kemudian, nahas jalan raya meragut empat nyawa di Kilometer 6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, Tangkak, Johor.
Minggu lepas, tiga orang maut apabila sebuah lori melanggar dan mengheret sebuah kereta di Jitra, Kedah. Faktor kecuaian sama ada terlelap atau kerosakan brek menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan maut yang mengerikan.
Prasarana pengangkutan yang moden, kempen-kempen serta peraturan dan undang-undang sedia ada tidak banyak membantu mengurangkan nahas jalan raya.
Sudah jenuh pandangan serta idea diberikan oleh berbagai pihak. Apabila berlaku kemalangan maut, kita mula menuding jari mencari kesalahan. Sewajarnyalah semua agensi yang berkaitan berusaha meningkatkan keberkesanan fungsi masing-masing.
Umumnya, semua pihak bersetuju bahawa disiplin dan sikap para pengguna jalan raya adalah antara faktor yang penting yang menyumbang kepada kemalangan maut.
Biarpun begitu, tidak banyak yang telah dan sedang dilakukan untuk membentuk generasi pengguna jalan raya yang berhemah. Diakui bahawa usaha-usaha pembentukan disiplin dan sikap di kalangan pengguna jalan raya bukannya sesuatu yang mudah.
Disiplin yang tinggi dan sikap yang betul di kalangan pengguna jalan raya perlu dipupuk dan dibentuk sebelum seseorang itu memiliki lesen memandu lagi. Maknanya usaha-usaha bagi membentuk disiplin dan sikap seperti bertimbangrasa, mematuhi undang-undang jalan raya, budaya penyelenggaraan kenderaan dan menghormati pengguna-pengguna lain perlu dijalankan seawal mungkin iaitu di peringkat kanak-kanak dan remaja lagi.
Sesuai dengan sifat kanak-kanak dan remaja yang lebih mudah dibentuk dari segi sikap, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan secara serius bagaimana aspek-aspek keselamatan jalan raya dapat dipupuk di kalangan generasi muda.
Adalah diharapkan dalam tempoh 10 atau 20 tahun dari sekarang, kita dapat melahirkan pemandu sama ada kenderaan persendirian, penumpang dan perdagangan yang membudayakan soal keselamatan.
Usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya perlu dilihat secara menyeluruh dan jangka panjang. Isu ini tidak semestinya dibincangkan bila berlaku kemalangan yang meragut banyak nyawa. Ia perlu dianggap isu nasional yang memerlukan tindakan yang berbentuk jangka panjang.
Usaha diperlukan agar aspek keselamatan jalan raya dapat dimasukkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di sekolah.
Pihak sekolah tidak perlu rasa terbeban dengan saranan agar sekolah turut memainkan peranan untuk mendidik pelajar-pelajar tentang aspek keselamatan jalan raya.
Mendidik pelajar-pelajar untuk menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin adalah merupakan sebahagian daripada peranan yang boleh dimainkan dengan berkesan oleh guru dan ibu bapa.
Kementerian Pelajaran dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya perlu merangka mata pelajaran yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya yang wajib untuk semua pelajar. Mata pelajaran tersebut pula perlu mempunyai kesinambungan agar sikap dan disiplin yang cuba dipupuk kekal selamanya.
Adalah lebih mudah mengubah sikap dan membentuk disiplin remaja dan kanak-kanak berbanding dengan pengguna jalan raya dewasa. Kekangan dari segi masa tidak sepatutnya membantutkan usaha-usaha pihak sekolah ke arah melahirkan generasi pelapis yang ditanam dengan sikap dan disiplin yang tinggi dari segi keselamatan jalan raya.
Seperti guru, ibu bapa juga berada pada kedudukan yang baik untuk mempengaruhi sikap dan disiplin anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tegas mendidik anak-anak untuk menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin.
Jika ibu bapa dapat menjalankan tanggungjawab untuk menerap langkah-langkah pencegahan awal seperti menasihati dan memberi tunjuk ajar dari segi pemakaian tali pinggang keledar, memakai topi keledar, budaya menyelenggara kenderaan, memandu mengikut had laju, tidak memotong kenderaan lain dengan sewenang-wenangnya, menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak semasa memandu dan tidak membenarkan anak-anak memandu tanpa lesen, nescaya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.
Beberapa kajian yang dijalankan telah membuktikan bahawa hubungan rapat yang diwujudkan oleh ibu bapa dengan anak-anak mereka dalam konteks pembentukan sikap dan disiplin sebagai pemandu dapat mengurangkan tingkah laku pemanduan yang negatif dan juga mengurangkan jumlah saman serta kemalangan.

Azam alam sekitar, ekonomi 2010

TIRAI 2009 sudah hampir akan berlabuh. Tiga hari lagi, semua negara dan penduduk dunia akan menempuh tahun baru dengan azam dan tekad baru untuk membina masa depan dunia yang lebih baik.
Sepanjang setahun ini, pelbagai peristiwa telah berlaku mewarnai tahun 2009, bermula dengan peristiwa serangan besar-besaran tentera zionis Israel ke atas bumi Gaza pada 27 Disember 2008 yang berlarutan selama 22 hari kemudian.
Sejumlah lebih 1,400 penduduk Palestin, termasuk lebih 400 kanak-kanak terkorban dalam operasi ketenteraan zionis Israel di wilayah Palestin itu.
Sejak itu, pelbagai peristiwa besar berlaku silih berganti daripada bencana alam sehingga kepada peristiwa kehidupan dan kemanusiaan yang akan terpahat dalam lipatan sejarah.
Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark yang berlangsung dari 7 hingga 18 Disember lalu, boleh dianggap sebagai peristiwa besar dunia yang menjadi penutup tirai 2009.
Walaupun, persidangan itu gagal mencapai matlamat konkrit untuk mengambil tindakan ke arah menangani isu pemanasan global tetapi sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin dunia telah mencapai komitmen politik yang jitu untuk berusaha bersungguh-sungguh menangani gejala pelepasan gas rumah hijau yang kini mengancam dunia.
Persidangan di Copenhagen itu telah berjaya membuka mata semua pemimpin dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) tentang seriusnya ancaman yang sedang dihadapi oleh bumi akibat pemanasan global.
Copenhagen telah berjaya membawa AS dan China, dua buah negara yang paling banyak menyumbang kepada pemanasan global untuk bertolak ansur dalam isu-isu penting berhubung tindakan-tindakan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau terutama mengenai isu ketelusan maklumat dan data serta komitmen AS untuk menyumbang dana bagi membiayai program mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di negara-negara membangun.
Penyertaan dan komitmen AS pada persidangan perubahan iklim di Copenhagen itu merupakan isyarat yang positif ke arah usaha dunia bagi menyelamatkan bumi daripada mengalami mala petaka akibat pemanasan global setelah AS bertindak memulaukan Persidangan mengenai Bumi di Rio, dan menolak menyertai Protokol Kyoto 1997.
Isu mengenai iklim dunia merupakan topik yang sangat penting ketika ini, setelah dunia mula mengalami kesan daripada perubahan iklim.
Banyak bencana alam seperti taufan Ketsana dan Parma di Filipina yang membawa banjir besar berlaku pada tahun ini yang meragut beribu-ribu nyawa berpunca daripada perubahan iklim, selain ancaman glasier cair dan bongkah ais di Antartika dan Artik pecah mencetuskan kebimbangan akan menyumbang kepada peningkatan paras air laut.
Tahun 2010 diharap akan membawa sinar baru bagi dunia dengan azam baru ke arah mengambil tindakan serius bagi menangani isu alam sekitar, pemanasan global dan perubahan iklim.
2010 juga diharap akan membawa kemakmuran ekonomi setelah dunia masih dibelenggu kemelesetan ekonomi global, selain membawa perdamaian di bumi Palestin.
   

Kurangkan gula kerana kesedaran, bukan disebabkan harga

CADANGAN pelbagai pihak supaya kerajaan menarik balik subsidi gula dalam usaha mengurangkan kadar pengambilannya telah membawa kepada perbincangan hangat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagaimanapun memutuskan bahawa subsidi gula kekal sehingga ke suatu masa yang akan ditentukan kemudian.
Saban tahun, sebahagian peruntukan kerajaan digunakan untuk subsidi pelbagai bahan makanan. Kira-kira RM2 bilion setahun diperuntukkan bagi subsidi makanan harian seperti gula, roti dan tepung gandum.
Ia untuk mengurangkan bebanan rakyat. Daripada jumlah tersebut, RM720 juta setahun digunakan untuk menanggung kos subsidi gula bagi mengekalkan harga gula bertapis pada paras RM1.45 sekilogram. Tanpa subsidi, harga gula akan mencecah sehingga RM2.60.
Penangguhan penghapusan subsidi gula sememangnya memberi khabar gembira.
Manakan tidaknya, menurut Datuk Ismail Sabri Yaakob, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memberi subsidi gula kepada rakyatnya.
Seharusnya sebagai rakyat kita bersyukur dengan status ini namun sebagai tanda kesyukuran, ia tidak seharusnya diterjemahkan dengan cara digunakan tanpa had.
Mungkin pepatah "kerana mulut badan binasa" juga boleh digunakan pakai dalam konteks gula. Namun ia bukan bermaksud agar berhati-hati dengan apa yang diucapkan tetapi "apa yang disuapkan ke mulut juga wajar diberi perhatian".
Gula diperlukan dalam pelbagai jenis bahan makanan dan minuman. Ada antara kita yang mengambilnya secara tanpa had dan ada juga bersukat demi menjaga kesihatan.
Itulah juga alasan yang diberikan sewaktu cadangan ingin menghapuskan subsidi gula iaitu bagi mengawal pengambilan gula dalam kalangan masyarakat di samping mengurangkan bebanan subsidi kerajaan.
Diabetes bukan sahaja disebabkan oleh gula tetapi juga oleh faktor lain seperti kegemukan dan kurang bersenam. Pengambilan gizi makanan tidak seimbang serta faktor genetik boleh mengundang penyakit.
Begitu juga dengan gula, pengambilan berlebihan bukan sahaja menyebabkan diabetes, tetapi boleh menjurus kepada penyakit lain seperti karies gigi dan obesiti.
Semua penyakit ini merupakan kitaran awal untuk mendapat penyakit berkaitan kardiovaskular seperti penyakit jantung, hiperkolesterol dan darah tinggi.
Ingatlah jika "semut pun boleh mati kerana gula", apatah lagi manusia yang menggunakannya tanpa sikap cermat dan berhemat.
Walau apa pun alasan dan asas perkiraan, penjagaan kesihatan seseorang sewajarnya ditentukan oleh kesedaran mereka sendiri.
Mengamalkan cara hidup yang sihat, pengambilan makanan mengikut piramid makanan, melakukan aktiviti seperti beriadah yang mengeluarkan peluh dan menenangkan fikiran boleh membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit.
Penggunaan senjata harga mungkin boleh mengurangkan sedikit bilangannya namun seperti komoditi lain, harga tidak boleh diharapkan untuk mengurangkan penggunaan. Apa pun yang dimakan atau dibuat, semuanya hendaklah dalam kadar sederhana. Begitu jugalah dengan pengambilan gula.
Jika tanpa kesedaran, bagaimana tinggi harga gula sekalipun, penggunaannya akan tetap sama atau tidak lebih banyak, sebagaimana yang dilihat pada rokok. Saban tahun harganya naik, saban tahun jugalah naiknya jumlah perokok.

Mengapa sekejam ini?




Belum pun kematian Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin dua tahun lalu luput daripada ingatan masyarakat – hari ini seorang lagi kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pembunuhan kejam. Mayatnya dengan kesan leher dijerut ditemui di ibu negara kira-kira pukul 11.30 pagi ini.
Lebih sadis lagi, mayat kanak-kanak malang tersebut ditemui terapung dipercayai dicampak dalam kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney di Jalan Semarak di sini.
Mangsa berumur dalam lingkungan 11 hingga 13 tahun dipercayai dirogol. Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kanak-kanak itu yang berkulit gelap mempunyai ketinggian kira-kira 1.2 meter.
Ketika ditemui, kata beliau, mangsa hanya memakai baju tidur tanpa seluar dalam.
Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati, leher mangsa telah dijerut ketat dengan sehelai kain.
“Mayat kanak-kanak itu dipercayai dicampak ke kolam tersebut dalam tempoh 24 jam lalu. Selain kain itu, kita tidak menemui objek lain yang boleh dikaitkan dengan pembunuhannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak malang itu yang ditemui oleh tiga pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikeluarkan dengan bantuan skuad penyelamat pihak berkuasa tempatan itu.
Menurut Zakaria, identiti mangsa masih belum diketahui dan polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tambahnya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis akan memperincikan siasatan selepas laporan bedah siasat diterima.
Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang kehilangan anak perempuan supaya segera menghubungi balai polis berdekatan.

Bumi terus berdepan ancaman

Copenhagen menjadi tumpuan dunia dari 7 hingga 18 Disember lalu apabila Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan di ibu negara Denmark ini.
Bandar raya ini dijangka melakar sejarah apabila satu keputusan penting dibuat berhubung tindakan menyelamatkan bumi daripada ancaman pemanasan global. Namun malangnya ia berakhir dengan kegagalan. Tiada sebarang perjanjian dimeterai dan tiada deklarasi dikeluarkan.
Walaupun pada saat-saat akhir, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berjaya mendapatkan sokongan China, India, Brazil dan Afrika Selatan, terhadap cadangan-cadangannya, setelah tetapi ia tidak cukup untuk menarik sokongan semua negara bagi menandatangani perjanjian yang konkrit.
Beberapa negara membangun terutamanya Venezuela, Cuba, Sudan dan Bolivia menentang cadangan AS itu dan menyifatkannya sebagai tidak dapat diterima kerana ia tidak menetapkan sasaran spesifik jumlah pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Namun walaupun gagal mencipta sejarah, sekurang-kurangnya Copenhagen berjaya membuka mata tentang bahaya perubahan iklim kepada bumi dan kehidupan manusia.
Ia juga dilihat menjadi forum penting bagi negara-negara di dunia bergerak ke depan, setelah AS kini tidak lagi memulaukan usaha untuk menangani masalah perubahan iklim berbanding sebelum ini, setelah ia enggan menandatangani Protokol Kyoto 1997.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut menghadiri persidangan itu juga tidak meletakkan harapan tinggi bahawa dunia akan mencapai satu perjanjian teguh. Tetapi kata beliau, sekurang-kurangnya persidangan itu berjaya mencapai satu komitmen politik, terutama negara maju dan penyumbang terbesar karbon.
Najib yakin Copenhagen akan menjadi batu loncatan bagi mengadakan perbincangan susulan ke arah mengadakan satu perjanjian yang konkrit, setelah Protokol Kyoto dijangka tamat pada 2012.
Jerman pada akhir persidangan itu mengumumkan untuk mengadakan satu lagi sidang kemuncak dalam tempoh enam bulan bagi merangka teks perjanjian berkenaan.
Perubahan iklim tercetus akibat fenomena pemanasan global secara berterusan berikutan pelepasan gas rumah hijau ke udara ekoran aktiviti pembangunan dan ekonomi terutama oleh negara-negara maju.
Akibat perubahan iklim ini, bumi berhadapan dengan ancaman peningkatan paras air laut, kemarau, banjir, taufan, kebakaran hutan, glasier yang cepat mencair, bungkah ais di Artik dan Antartika pecah, sistem ekologi terganggu dan spesies binatang serta tumbuh-tumbuhan musnah.
Jika fenomena ini tidak ditangani segera negara-negara pulau seperti Maldives dan Botswana serta bandar-bandar di pinggir pantai seperti Venice akan tenggelam dan negara seperti Nepal akan ditimbus glasier yang runtuh dari Pergunungan Himalaya.
Pada masa inipun sudah kerap berlaku kebakaran hutan di Eropah, AS dan Australia dan bencana alam ini pasti akan menjejaskan ekonomi banyak negara di dunia.
Isu pemanasan global menjadi perbincangan hangat sejak lebih tiga dekad lalu, tetapi hanya selepas Sidang Kemuncak Bumi di Rio dan Protokol Kyoto pada 1997, barulah isu itu mendapat perhatian serius dunia.
Bagaimanapun, setakat ini tidak ada satu tindakan serius dan tegas diambil untuk menanganinya. Kebanyakannya sekadar kenyataan dan janji-janji di atas kertas.
Perbincangan demi perbincangan diadakan termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Bali dua tahun lalu. Tetapi kebanyakan negara, terutama yang bertaraf maju enggan memberi komitmen.
Sehubungan itu, persidangan di Copenhagen ini dianggap sebagai persimpangan penting bagi membuat keputusan secara kolektif untuk menyusun tindakan berkesan ke arah membendung gejala itu.
Sebenarnya, kegagalan di Copenhagen ini sudah mula dirasai sejak awal lagi semasa mesyuarat peringkat perunding, pegawai dan menteri setelah berlaku perbalahan dan perbezaan pandangan yang begitu ketara di kalangan perwakilan.
Walaupun cuaca di luar sangat sejuk, tetapi suasana dalam dewan di Bella Centre tempat berlangsungnya persidangan itu terasa begitu 'panas' dengan perwakilan 'berperang' membahaskan isu pemanasan global.
Pada hari pertama pemimpin dan ketua-ketua kerajaan mula menyampaikan ucapan bagi menyatakan pendirian negara masingmasing, suhu di luar dewan mula mencecah di bawah paras negatif 5 darjah Celsius dengan salji turun memenuhi jalan-jalan raya.
'Bahang' panas perbincangan boleh dirasai ke seluruh dunia apabila penduduk mengadakan demonstrasi menuntut para pemimpin memberi komitmen untuk menjayakan persidangan itu.
Di Copenhagen sendiri lebih 20,000 penduduk berarak dan berkumpul di Bella Centre bagi menuntut komitmen pemimpin-pemimpin dunia untuk menyelamat bumi daripada kegawatan pemanasan global.
Perdana Menteri sendiri terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Copenhagen menuju ke hotel penginapan di Hotel First St Pitri pada 16 Disember berikutan tunjuk perasaan di bandar raya ini.
Kemuncak persidangan ini bermula pada 17 Disember apabila 120 pemimpin dunia termasuk Obama dan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd yang pada mula dijadual tidak akan menghadiri persidangan itu mula berucap menyampaikan pendirian negara.
Ketika ini AS masih mengungguli rekod sebagai penyumbang gas rumah hijau terbesar di dunia diikuti China, negara membangun yang sedang berkembang pesat.
Obama ketika berdiri di podium telah mengumumkan kesediaan AS untuk menyumbangkan sebanyak AS$10 bilion setahun sehingga 2012 dan sebanyak AS$100 bilion setahun selepas tempoh itu sehingga 2020 bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Bagaimanapun Obama berkata, bantuan itu hanya diberikan sekiranya negara-negara membangun bersedia melaksanakan pelan tindakan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, mengamalkan ketelusan bagi membolehkan laporan dan data berhubung tindakan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka diteliti serta menyediakan bantuan kewangan untuk tujuan tersebut.
Jika sebelum ini AS enggan menandatangani Protokol Kyoto kerana keengganan China bersikap telus berhubung laporan, maklumat dan data tetapi pada persidangan Copenhagen ini, pendirian China berhubung perkara itu agak berlembut sedikit.
Perdana Menteri China, Wen Jia Bao yang berucap selepas Obama kelihatan bertolak ansur soal ketelusan apabila bersetuju melaksanakan tindakan tanpa sebarang syarat, asalkan ia tidak mengugat kedaulatannya.
Sehingga akhir persidangan itu, negara-negara maju juga masih gagal menetapkan jumlah sebenar dana yang perlu mereka sumbang bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, terutama bantuan dana dalam jangka panjang selepas Protokol Kyoto tamat pada 2012.
Sementara itu, negara-negara membangun memutuskan bahawa mereka tidak akan menandatangani sebarang perjanjian sekiranya mereka tidak diberi bantuan kewangan yang mencukupi dan bantuan pemindahan teknologi daripada negara-negara maju.
Negara miskin pula menuduh negara maju cuba menghancurkan Protokol Kyoto.
Pada peringkat awal, terdapat dua cadangan dikemukakan iaitu pertama, supaya Protokol Kyoto dilanjutkan dengan negara maju bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Satu lagi cadangan ialah mewujudkan perjanjian baru yang melibatkan negara-negara miskin dan AS yang tidak menandatangani Protokol Kyoto.
China dan India mencadangkan supaya negara maju menyumbangkan sebanyak 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau iaitu sekitar AS$200 bilion.
Soal mengenai bagaimana dana itu akan diagihkan serta tentang perlunya sebuah badan khas ditubuhkan untuk menguruskan penyaluran dana itu turut menghangatkan persidangan.
Masalah lain yang menjadi pertikaian ialah mengenai sasaran berhubung kadar peningkatan suhu dunia. Negara miskin mencadangkan supaya perjanjian menetapkan kadar peningkatan suhu kepada 1.5 darjah Celsius manakala negara maju mahu kadar peningkatan suhu 2 darjah Celsius.
Satu lagi input yang menjadi pertikaian ialah mengekalkan sasaran kawasan hutan di negara-negara membangun sebanyak 50 peratus menjelang 2020.
Di bawah Protokol Kyoto, negara maju dikehendaki mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 5.2 peratus setahun dalam tempoh pertama sehingga 2012.
Sejak empat tahun lalu, perbincangan telah diadakan bagi menetapkan kadar baru pengurangan gas rumah hijau untuk negara maju bagi tempoh empat tahun kedua selepas 2012. Negara maju seperti Jepun, Australia dan beberapa negara lain mencadangkan supaya perjanjian baru diadakan menggantikan Protokol Kyoto dengan memasukkan AS yang tidak menganggotainya.
Tindakan negara maju tidak mahu meneruskan Protokol Kyoto telah menimbulkan kemarahan negara membangun ketika perbincangan untuk memutuskan kadar pengurangan pelepasan gas bagi negara-negara maju untuk tempoh selepas 2012.
Menurut Kesatuan Negara-negara Pulau agregat sasaran nasional bagi negara maju hanyalah pengurangan antara 13 peratus hingga 19 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2020 berbanding 1990.
Jumlah ini jauh lebih rendah daripada sasaran 40 peratus yang dituntut oleh negara membangun merujuk kepada kajian saintifik.
China, India, Brazil dan Afrika Selatan menolak draf yang disediakan oleh Denmark yang mencadangkan separuh daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau ditanggung oleh negara membangun menjelang 2050 dengan menjadikan 2020 sebagai tarikh permulaan bagi menyekat suhu dunia naik melebihi dua darjah Celsius.
China, India dan negara-negara membangun lain menentang sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 50 peratus menjelang 2050, kerana bimbang pembangunan negara mereka akan terjejas.
Panel antara kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menyatakan bahawa negara-negara maju perlu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau antara 25 hingga 40 peratus di bawah paras 1990 menjelang 2020 dan antara 80 hingga 95 peratus di bawah paras 1990 menjelang 2050 jika mahu mengekalkan suhu di bawah kadar yang boleh mengancam alam sekitar, ekologi dan manusia.
Saintis pula berkata, negara-negara maju perlu menetapkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam masa terdekat antara 25 peratus hingga 40 peratus dari paras 1990 bagi memastikan permulaan yang baik untuk mengurangkan kesan perubahan iklim seperti peningkatan paras air laut dan kemusnahan banyak spesis binatang dan tumbuh-tumbuhan.
Satu panel saintis PBB berkata, sebarang peningkatan suhu melebihi 2 darjah Celsius akan membawa peningkatan paras air laut yang boleh mengancam negara-negara pulau dan bandar-bandar berdekatan pantai.

Kemelut kecelaruan iklim dunia

KETEGASAN ibu bapa menyuruh anaknya tekun belajar demi masa depan memberikan inspirasi untuk mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin negara dan dunia agar terus tekun melakukan usaha sedaya mungkin untuk mencari jalan menguruskan biosfera dengan baik sekali gus mengurangkan pemanasan global.
Sebagaimana kebanyakan anak-anak kita yang kini 'menangis tidak berlagu' kerana enggan patuh cakap ibu bapa, begitu juga peringatan kita kepada pemimpin agar jangan menyesal jika kecelaruan iklim dunia semakin menjadi-jadi suatu hari nanti ekoran daripada sikap ketidaksungguhan mereka mengatasi pemanasan global hari ini.
Pemanasan global sebagai menifesto parti
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkaitan tamatnya pemberian AP untuk kereta import dan francais kereta import masing-masing pada 2015 dan 2020 secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan Malaysia semakin mengakui kemelut ketandusan minyak yang berasaskan fosil.
Ulasan seiring dengan Belanjawan 2010 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak adalah signal positif kerajaan Barisan Nasional terhadap tekanan dunia ke atas isu pemanasan global.
Saya berpendapat, sudah sampai masanya, perjuangan mengatasi isu pemanasan global ini dijadikan manifesto perjuangan politik parti dan tidak boleh dianggap sebagai isu mikro semasa sahaja.
Kita mesti sedar bahawa usaha memulihkan kembali dunia yang semakin uzur ini semakin mendapat perhatia. Sementara itu, dan sikap pemimpin-pemimpin dunia juga sentiasa dipantau serta sering mendapat kritikan sinikal rakyat dunia yang memerhati.
Kritikan sinikal terhadap AS dan China
Baru-baru ini laman sesawang NGO pencinta alam sekitar, Greenpeace mentertawakan telatah World's Big Brother, Amerika Syarikat (AS) yang asalnya berkemampuan menaja penjelajahan manusia pertama ke bulan. Kini terbukti AS gagal dalam mempertahankan manusia yang telah kesekian lama hidup di bumi.
Dalam rencana minggu lalu, saya juga menyentuh hanya AS sahaja yang masih belum menandatangani Protokol Kyoto manakala China pula tidak terdaya untuk mengawal pembangunan industri konvensional yang menjadi punca kenaikan indeks pencemaran udara sehingga dicemuh hebat oleh negara-negara jiran.
Namun, kita terpaksa mengakui bahawa proses evolusi kepada industri berasaskan teknologi hijau memerlukan kos tanggungan yang lebih berbanding teknologi konvensional. Apatah lagi industri teknologi hijau masih di peringkat awal dan mempunyai permintaan tinggi dalam senario tekanan dunia sekeliling yang melampau.
Malangnya lagi, desakan dari NGO-NGO antarabangsa agar negara-negara membuat perubahan untuk mengatasi pemanasan global ini berlaku di tengah-tengah krisis ekonomi dunia yang dahsyat. Sehingga menjadikan pemimpin-pemimpin dunia sekadar menabur janji-janji manis yang sebenarnya tidak termampu dilaksanakan oleh mereka.
Statistik media antarabangsa menunjukkan pemimpin-pemimpin Liga Eropah mendahului senarai dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon dioksida dengan mencatatkan 25 hingga 30 peratus. Sementara Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama (empat bulan berkhidmat) dan Presiden AS, Barack Obama (11 bulan berkhidmat) masing-masing mencatatkan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 25 dan 17 peratus.
Seribu satu hikmah
Jika kita renungkan dari perspektif berbeza, terdapat seribu satu hikmah di sebalik tekanan ekoran dari isu-isu krisis ekonomi dunia, ketandusan minyak dunia dan pemanasan global.
Dengan model baru dalam menguruskan bio-sfera yang lebih baik, dunia kita akan terdedah dengan pembukaan ekonomi baru yang berasaskan teknologi hijau.
Bayangkan umat manusia kini diberi peluang untuk hidup dalam dunia penuh futuristik. Sebagaimana kita kagum dengan ciptaan ketuhar gelombang mikro pada awal 1990-an, kita pasti akan teruja dengan pelbagai produk teknologi hijau masa depan.
Kenderaan harian yang kita gunakan tidak lagi menjadi punca pencemaran udara kerana ia adalah kenderaan elektrik yang mempunyai kos efisyen tinggi kerana tidak lagi menggunakan bahan bakar fosil. Pada masa yang sama peperangan perebutan wilayah untuk menakluki telaga minyak seperti yang berlaku di antara Kuwait-Iraq pada 2 Ogos 1990 juga dapat dielakkan.
Bangunan pejabat pula berkonsepkan bangunan hijau yang disiapsiagakan dengan material mesra alam serta konsep pengudaraan semulajadi serta sistem elektrik solar. Selain itu, rumah kita bakal dilengkapi dengan mesin-mesin penulenan udara, penstabil ion untuk mengurang kesan elekrostatik, pendingin udara yang tidak menghasilkan karbon dioksida dan banyak lagi.
Berdasarkan keuntungan yang diraih ekoran perubahan teknologi masa depan inilah, saya merasakan ramai masih beranggapan isu kecelaruan iklim dunia ini adalah propoganda ekonomi kapitalis dalam menyelesaikan krisis ekonomi dunia.
Sama ada bersetuju atau tidak, bak kata pepatah Inggeris: "whether you see the glass of water half empy or half full."
Sebagai salah seorang khalifah Allah di muka bumi, kita sekurang-kurangnya sudah mulai peka dan sudah mula melakukan sesuatu untuk merawat dunia yang semakin uzur. Secara kebetulan, keputusan dan tindakan kita itu membuat kita terdedah kepada pengalaman hidup baru yang sekali gus menyediakan jalan keluar dari kemelut krisis ekonomi dunia yang kian menjunam.

Komunis hanya tinggal sejarah

KEPUTUSAN telahpun diumumkan bahawa Chin Peng tidak akan dibenarkan balik ke negara ini. Seperti telah diakui pelbagai peristiwa masa lampau tidak boleh diubah lagi. Yang diwarisi hanya belajar dari sejarah segala yang telah berlaku dan yang ditulis.
Antaranya dalam masa Darurat ialah rundingan-rundingan di Baling, Kedah pada 28 dan 29 Disember 1955. Berperanan penting ialah Tuanku Abdul Rahman, Ketua Menteri, David Marshall, Ketua Menteri Singapura dan Tun Tan Cheng Lock, Presiden MCA. Bagi pihak Parti Komunis Malaya pula ialah Chin Peng, Rashid Maidin dan Chen Tian.
Maka berkatalah Tunku pada peringkat permulaan: "Saya tidak datang ke mari sebagai jurucakap Kerajaan British, saya juga bukan boneka penjajah". Chin Peng kemudian membalas: "Kami sedar bahawa anda bukan jurucakap kerajaan British, bukan boneka kerajaan British. Kerana itulah kami datang untuk menemui anda walaupun menyambung nyawa".
Dalam perbincangan selanjutnya, Tunku dan David Marshall menegaskan antara lainnya mengenai 7 juta rakyat Malaya dan Singapura manakala yang komunis hanya 3,000 orang saja. Oleh itu kepentingan 7 juta rakyat mestilah diutamakan.
Pada satu peringkat lain pula Tunku menyebut mengenai peranan penting Raja-raja Melayu: "Majoriti penduduk negara ini ialah orang Melayu dan mereka mengiktiraf raja-raja sebagai ketua agama dan adat negeri-negeri mereka".
Chin Peng juga bertanya apakah kerajaan British menjamin kemerdekaan penuh bagi Malaya, Tunku menjawab: "Jika saya tidak mencapai kemerdekaan penuh, parti saya akan menendang saya keluar, perhimpunan agung UMNO telah meluluskan resolusi untuk kemerdekaan pada 31 Ogos 1957".
Bersabit tuntutan supaya Parti Komunis Malaya diakui secara rasmi, Tunku menjawab: "Tidak di negara-negara berlakunya perjuangan di antara komunis dan nasionalis, mereka terpaksa membela bagi negara. Korea umpamanya, dibahagi dua. Demikian juga Vietnam. Kita tidak boleh membelah-bagi Malaya menjadi kawasan komunis Malaya dan Malaya yang bukan komunis. Akan berlakulah perang berlarutan".
Tunku akhirnya menyatakan harapan bahawa segala yang telah dibincang akan dipertimbang sebaik-baiknya. Yang penting sekali ialah keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. "Saya harap anda dalam keadaan selesa adanya. Beritahu saya jika anda perlu apa jua sebelum saya beredar".
David Marshall mencelah: "Saya fikir mereka hendak kipas Chin Peng segera menjawab: "Kami tak mahu apa-apa, kami tak mahu kipas. Soalnya bagaimana kami nak balik". Tunku menjawab: "Seperti mana anda datang. Anda akan diiringi". Chin Peng menjawab: "That is all." Perundingan tamat pada 12.48 tengah hari kedua. Demikian catatan rasmi. Akhbar Observer di London pada 14 Jun 1998, menyiarkan laporan Neal Ascherson, bekas askar di Malaysia mengenai pertemuan dengan Chin Peng di London sebagai tamu rancangan khas BBC London.
Ascherson menyebut mengenai tentera Chin Peng membunuh 1,860 orang askar, tetapi 6,700 komunis tewas. Kira-kira 2,500 orang awam juga menjadi korban. Akhbar Sun di Malaysia menyiarkan pada 6 Ogos 2005, rencana khas berjudul Why Chin Peng failed in Malaya oleh Datuk Seri Yuet Leng, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, antara lain kerana tidak menjelaskan niat untuk menwujudkan Republik Komunis Malaya (Communist Republic of Malaya).
Di samping itu ialah Victor Purcell, bekas pegawai kanan British di Malaysia menulis mengenai 95 peratus anggota Parti Komunis ialah warga China. Itu juga pendapat Lucian W. Pye dalam Guerilla Comumunism in Malaya (Princeton University Pres) bahawa orang-orang Melayu bersikap dingin terhadap pujukan-pujukan bahan komunis. Antara peristiwa dalam masa darurat ialah serangan ke atas balai Polis Bukit Kepong, 35 batu dari Muar oleh 200 anggota komunis pada 23 Februari 1950. Serangan bermula pada 4.30 pagi hingga hampir lima jam. Seramai 25 orang mati termasuk 14 anggota polis dan polis khas, isteri dua anggota polis dan tiga kanak-kanak.
Segalanya berakhir 1 Disember 1989 di Haadyai, Thailand dengan perjanjian damai ditandatangani oleh wakil-wakil Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya, termasuk Chin Peng dan Rashid Maidin.
Seperti disebut oleh Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein, Ketua Angkatan Tentera Malaysia, pihak komunis gagal mendapat sokongan rakyat. Ideologi komunis tidak menarik sokongan rakyat, terutama orang Melayu beragama Islam yang bertentangan dengan fahaman komunis yang anti agama. Di samping itu pujukan terhadap masyarakat Cina pun tidak mendapat sokongan memadai.

PKM masih terus berjuang

Saya mengingati upacara menandatangani perjanjian damai antara PKM (Parti Komunis Malaya) dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 sebagai suatu peristiwa bersejarah yang melucukan bagi penamatan suatu perjuangan yang cuba digambarkan sebagai patriotik tetapi tidak sedemikian pada pandangan kebanyakan rakyat.
Apabila upacara penandatanganan itu bermula berpuluh jurugambar akhbar yang mahu menangkap peristiwa bersejarah itu telah melindungi semua tetamu di kerusi barisan depan dan beberapa orang di antara mereka yang ingin mendapat sudut yang lebih baik telah menaiki pasu-pasu bunga dan menyebabkan mereka jatuh tergolek disana-sini bila pasu tempat mereka berpijak pecah menjadikan suasana hingar-bingar dengan bunyi pecahan dan ketawa.
Saya yang meliputi peristiwa itu bersama ramai lagi wartawan tidak dapat menahan ketawa menyaksikan kejadian ini yang sewajarnya berlaku dalam suasana penuh hormat dan takzim tetapi mungkin ini sesuai dengan perasaan rakyat diseluruh negara yang tidak menerima ini sebagai suatu upacara bermaruah dan terhormat kerana hakikat sebenarnya adalah penyerahan diri secara beramai anggota PKM bersama dengan keruntuhan komunisme di seluruh dunia.
Kira kira sembilan tahun sebelum penandatanganan perjanjian itu Pengerusi PKM, Musa Ahmad telahpun secara sulit menyerah diri kepada kerajaan Malaysia kerana beliau berpendapat tidak perlu perjuangan diteruskan. Ini kerana kerajaan Malaysia yang merdeka telah membawa banyak perubahan kepada kehidupan rakyat.
Beliau menyatakan demikian dalam suatu interviu eksklusif dengan wartawan Utusan Malaysia, Chamil Wariya beberapa tahun selepas beliau kembali ke tanah air dalam tahun 1980.
Shamsiah Fakeh, anggota Regimen ke-10 PKM dalam memoirnya menyebut Musa telah menyerah diri kepada kerajaan Malaysia dan kepulangannya ke tanah air secara rahsia adalah menerusi Hong Kong dengan diaturkan oleh wakil Malaysia di sana.
Shamsiah yang ketika itu berada di China juga berniat untuk berbuat demikian tetapi berpendapat bahawa tidak ada sebab untuk "menyerah diri" kerana dia tidak bermusuh dengan kerajaan Barisan Nasional.
Bagaimanapun ketika revolusi besar kebudayaan China, Shamsiah telah dipecat daripada PKM, ditahan dan dihukum kerja keras.
Shamsiah tidak menceritakan sebabnya pada hal sebelum itu dia telah pun ditugaskan ke Indonesia untuk menyertai Liga Pembebasan Nasional Malaya yang ditubuhkan oleh PKI (Parti Komunis Indonesia) bagi menyokong Konfrontasi terhadap Malaysia. Setelah Suharto berjaya mematahkan percubaan komunis untuk mengambilalih kuasa di Indonesia, Shamsiah ditahan dua tahun sebelum diizinkan kembali ke China pada 1967.
Dalam memoirnya, Shamsiah menyatakan bahawa ketika dia di tahan di China pada tahun 1968 , Setiausaha Agung PKM, Chin Peng berada di situ selaku Ketua Delegasi Jawatankuasa Pusat parti itu.
Chin Peng telah pulang ke China sejak Jun 1961 untuk menjalankan arahan dan memberikan bantuan kepada PKM sejajar dengan strategi politik dan ketenteraan Beijing.
Shamsiah mencatit beliau dihadapkan ke Dewan Mahkamah PKM dengan "Tangan kami diikat, ditempeleng, dipaksa membongkok dan mengaku salah. Tukang pukulnya ialah Barisan Pemuda PKM iaitu Liga Pemuda Parti Komunis Malaya."
"Ini semua berlaku di hadapan Chin Ping" katanya.
Abdullah C.D yang mengantikan Musa sebagai Pengerusi PKM dan juga seorang lagi pemimpin penting PKM Rashid Maidin tidak pernah menyatakan simpati atau mengutuk penyeksaan terhadap Shamsiah, sebaliknya menampakkan comradeship mereka dengan Chin Peng. Mereka menghina dan mencela Musa dan Shamsiah.
perjuangan
Musa dan isterinya Zainab disifatkan sebagai pengkhianat kepada perjuangan revolusi PKM.
Wartawan Utusan Normala Hamzah dan rakannya Rosli Azmi yang mengujungi Rashid Maidin di Yaha, salah sebuah perkampongan bekas bekas gerila PKM di sempadan Thai Malaysia pada tahun 2001, telah diberitahu oleh Rashid "Sekiranya Shamsiah dan suaminya datang ke rumah saya dan masuk dari pintu depan, saya akan keluar dari pintu belakang." Adalah tidak jelas mengapa mereka juga meanggap Shamsiah sebagai orang yang tidak diingini.
Sementara itu Mokhtar Mahmod Baginda yang menjadi "ejen rahsia" kerajaan yang disebutkan dalam rencana saya minggu lalu memberitahu bahawa apabila beliau memaklumkan kepada kakaknya Siti Norkiah, anggota Regimen ke-10 tentang kematian adiknya Zainab isteri kepada Musa pada awal tahun 1990 , beliau tidak mengambil berat, sebaliknya menunjukkan sikap acuh tak acuh.
Abdullah C.D yang menyertai PKM bersama Musa dan Wahi Anuar sejak tahun 1948 untuk menentang British telah pun menampakkan prasangka buruk terhadap Musa dan Wahi dari awal perjuangan. Ini kerana Musa banyak kali melarikan diri daripada bertempur dengan tentera musuh (Maksudnya tentera dan polis Malaya).
Dalam bukunya Perang Anti British dan Perdamaian, Abdullah C.D banyak menyebutkan Wahi dan Musa berkomplot, temberang, berbohong di dalam beberapa pertempuran.
Beliau menyebutkan peristiwa pertempuran di Padang Piul Pahang di mana Wahi dan Musa tidak mengarahkan kawan-kawan melakukan penentangan sebaliknya dengan gopoh gapah memerintah supaya kawan-kawan berundur apabila mendengar musuh melaungkan "Jangan tembak, orang sendiri".
Dalam bukunya juga jelas menunjukkan bahawa Abdullah C.D. adalah orang paling gigih untuk menentang dan membunuh tentera kerajaan sebelum dan selepas merdeka. Selepas merdeka beliau membuat penyusunan semula Regimen ke-10 dan memindahkannya ke Sukhirin di sempadan Thai-Malaysia pada tahun 1977 untuk mengatur strategi baru dan menambah anggota baru.
Walaupun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China telah diwujudkan pada tahun 1974 tetapi republik itu masih terus memberikan bantuan kepada PKM.
Tunku Abdul Rahman melihat penerusan perjuangan PKM selepas merdeka adalah bertujuan untuk menggantikan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dengan penjajahan China
Maka itu, walaupun pada mulanya Tunku tidak mahu menerima penyertaan Singapura dalam Malaysia kerana populasi orang Cina yang besar tetapi akhirnya beliau melihat bahaya komunis lebih besar dengan potensi Singapura menjadi pangkalan seperti Cuba kepada Amerika Syarikat bagi menggugat Malaysia dari selatan.
Ini disebutkan oleh seorang wartawan Singapura Anthony Oei bukunya What If There Had Been No Lee Kuan Yew.
Buku The Communist Party Of Malaya The Inside Story yang ditulis oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (Operasi) SACP Aloysius Chin jelas menunjukan PKM bersifat perkauman China berasaskan kepada Chin Peng memberitahu suatu mesyuarat jawatankuasa Pusat PKM di Beijing pada akhir 1963 bahawa sokongan PKM kepada Konfrontasi Indonesia hanya sebagai "janji mulut" sahaja (lip service) kepada Parti Komunis Indonesia (PKI) dan juga kerana menghormati permintaan Menteri Luar Indonesia Subandrio yang juga anggota PKI.
"Sebenarnya PKM tidak setuju dengan kempen Ganyang Malaysia yang dianjurkan oleh Indonesia kerana kejayaannya akan membawa kepada kemungkinan meningkat pengaruh PKI di Malaya dan besar kemungkinan PKM (yang di kuasai oleh kaum Cina) akan dikuasai oleh PKI (muka 115).
Buku ini juga menyebut PKM masa itu berkeyakinan masalah kurang sokongan dari orang Melayu dan India adalah sementara yang kelak akan dapat diatasi dengan bertambahnya populasi orang Cina di Malaya yang akan meluaskan lagi sokongan kepada PKM.
kelahiran
Keyakinan ini berasaskan kepada kepada fakta bahawa kadar kelahiran di kalangan orang Cina lebih tinggi dari orang Melayu pada masa itu. Malah, dengan bersatunya Malaya dan Singapura maka dalam jangka masa tertentu orang Cina akan mengambil tempat orang Melayu sebagai bangsa yang dominan dan ini akan menghasilkan bertambah meluasnya pengaruh PKM ( Aloysius Chin muka 67)".
Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew juga takut dengan pelampau Cina yang menjadi tulang belakang kekuatan PKM di Singapura. Fakta inilah mendorongkan Kuan Yew melumpuhkan pusat pengembangan kebudayaan China yang berasaskan kepada Bahasa China di Singapura.
Beliu menghapuskan semua sekolah China dengan menukarkannya kepada bahasa pengantar Inggeris dan beliau juga memaksa Universiti Nanyang yang merupakan simbol kepada bahasa, kebudayaan dan pelajaran China bergabung dengan Universiti Nasional Singapura yang menggunakan Bahasa Inggeris.
Walaupun tindakannya ini menghadapi tentangan dari pelajar Universiti Nanyang dan Kolej Ngee Ann dalam tahun 1966 tetapi Kuan Yew bertegas untuk tidak membenarkan sesiapa juga mengeksploitasi isu bahasa Cina menjadi isu politik dan ini mematikan percubaan untuk mengangkat taraf bahasa China (lihat From Third World to First memoir of Lee Kuan Yew bab Many Tongue, One Language)
Persetujuan Tunku untuk menerima penyertaan Singapura dalam Malaysia adalah didorongkan untuk menyelamatkan Singapura dari jatuh ke tangan komunis dan apabila Singapura disingkirkan dari Malaysia, Tunku tidak lagi mempunyai kebimbangan ini kerana Singapura telah pun berada di tangan yang selamat. Hingga hari ini Singapura langsung tidak memberikan "muka" kepada bekas PKM untuk menjijak bumi Singapura.
Sementara Malaysia heboh dengan kontroversi sokongan dan bantahan untuk kepulangan semula Setiausaha Agung PKM Chin Peng tetapi ramai yang tidak tahu bahawa Kuan Yew sehingga kini tidak membenarkan seorang anggota PKM yang pernah menjadi pembantu khasnya yang diketahui ramai sebagai anak emasnya untuk masuk ke Singapura bagi menemui keluarganya.
Beliau ialah Chan Sun Wing bekas wartawan Sin Pao ( sebuah akhbar Cina di Singapura yang telah ditutup) yang telah lari dari tangkapan polis ke Indonesia pada tahun 1963 dan kemudiannya menyertai perjuangan PKM di hutan sempadan Malaysia Thailand.
Setelah penandatanganan Perjanjian Perdamaian PKM dengan Malaysia dan Thailand, Sun Wing menetap di Ban Lang, sebuah perkampongan bekas anggota PKM di sempadan Malaysia Thai. Dia masih mempunyai seorang adik lelaki dan tiga perempuan di Singapura yang hanya dapat ditemuinya di Johor Baharu. Sun Wing yang sudah berusia lebih 70 tahun masih tidak dibenarkan masuk ke Singapura.
Ramai lagi bekas gerila PKM yang berkampong di tiga buah kampung yang dikhaskan untuk mereka disempadan Malaysia Thailand iaitu di Betong, Sikhirin dan Yaha.
Penandatanganan perjanjian damai ini telah dimudahkan sekalipun cuba dipersukarkan dengan berbagai tuntutan yang mustahil untuk di setujui oleh kerajaan Malaysia. Dengan kebijaksanaan Ketua Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia masa itu Tan Sri Rahim Noor yang dapat memenuhi keegoan PKM dalam soal pengiktirafan terhadap perjuangan bersenjata mereka untuk kemerdekaan negara.
Dalam hal ini, Tan Sri Rahim berkata" biarlah ahli sejarah memberikan penilaiannnya,pihak kerajaan tidak akan menghalang.
Maka itu sekarang selain dari Chin Peng, pemimpin pemimpin Melayu Regimen ke-10 PKM iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D. Abu Samah, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik telah menulis memoir masing masing untuk menjadi bahan bagi hukuman sejarah
Ini adalah perjuangan PKM yang belum selesai.

Apabila Facebook menjadi fenomena dunia

AFILA dan Azira, masing-masingnya berusia 23 dan 20 tahun mungkin gelihati bila mendapati 'akhirnya' pak usu mereka menyertai laman sosial interaktif, Facebook pada April lalu iaitu pada tahun kelima kewujudan Facebook. Ini kerana hanya beberapa minggu sebelum itu, bapa saudara mereka ini 'sibuk menasihati' mereka supaya berhati-hati di alam maya dan tidak mendedahkan identiti diri.
Faktor kedua mendorong penulis menyertai Facebook ialah kerana 'dipujuk-paksa' oleh rakan yang enggan menghantar gambar kami di Phuket menggunakan e-mel, sebaliknya meminta mengambilnya dari akaun Facebook miliknya.
Maka penulis pun membuka akaun Facebook. Dan jika anda pun baru menyertai Facebook dalam waktu yang bersamaan dengannya, ketahuilah kita membentuk 350 juta pengguna Facebook di seluruh dunia sekarang ini.
Angka luar biasa besar itu yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pada 1 Disember lalu, tidaklah memeranjatkan kerana minat untuk memiliki akaun Facebook sudah menjadi fenomena di mana-mana.
Meskipun mendapat saingan daripada beberapa rangkaian sosial lain seperti Friendster dan Twitter, sekurang-kurangnya di Malaysia Facebook kekal teratas sebagai pilihan utama.
Menurut mashable.com, Facebook mencatat sekurang-kurangnya 500,000 pengguna setiap hari. Ini kerana untuk menjadi pengguna adalah cukup mudah dan percuma.
Banyak juga kelebihan yang boleh diperoleh daripada Facebook seperti menemukan kembali rakan-rakan sekolah yang berdekad lamanya terpisah, menyambung persahabatan dan membuat kawan baru, walaupun penulis menolak beberapa permintaan bila mendapati mereka lahir sebelum 1991.
Bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa Facebook hanyalah satu daripada bentuk permainan Internet yang melekakan, ia kini diguna secara meluas untuk tujuan komersial bagi sektor perniagaan dan platform propaganda bagi entiti politik untuk sampai ke sasaran audiens.
Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan akaun Facebook baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama media.
media
Kebelakangan ini, media-media arus perdana Barat tidak teragak-agak memetik kenyataan seseorang individu atau selebriti dalam Facebook sebagai bahan berita. Bulan lalu, bekas calon Naib Presiden AS, Sarah Palin menulis dalam akaun Facebook kepada sejuta 'rakan-rakannya', membidas penggunaan gambarnya yang berseluar pendek di muka depan sebuah majalah. Jelas, Palin tidak memerlukan agensi perhubungan awam lagi.
Pada Rabu lalu, Facebook melaksanakan kawalan tambahan bagi privasi atau 'bebas dari gangguan atau perhatian awam'. Pengguna Facebook tentu perasan kepada soalan mengenai penetapan arahan pada kerahsiaan butir-butir peribadi yang terpampang semasa membukanya minggu ini.
Kawalan tambahan itu terpaksa dilakukan oleh Facebook setelah menerima banyak kritikan mengatakan syarikat itu tidak cukup sensitif terhadap privasi pengguna. Usaha Facebook sebelum ini menerusi inisiatif Beacon turut dikritik, apabila pengguna mendapati mereka secara tidak semena-mena menjadi 'orang penghubung' bagi servis atau laman-laman web dalam Facebook yang kerap mereka sertai.
Kawalan tambahan ini memberikan pengguna alat yang mudah tetapi lebih berkuasa untuk mengehadkan perluasan maklumat peribadi mereka. Paling signifikan dalam penambahbaikan itu ialah keupayaan untuk mengehadkan sesiapa untuk melihat tulisan atau gambar atau video yang disiarkan oleh pengguna di dalam rangkaian termasuk. Maknanya, tiada lagi sesiapa yang tidak berkenaan (terutama pengiklan) daripada menyalahgunakan maklumat peribadi pengguna.
Dalam konteks ini, sesetengah pejuang privasi berkata, senarai rakan-rakan ini sama sensitif dengan maklumat peribadi kerana dengan meninjau pada senarai rakan-rakan yang dikenali itu pun boleh mendedahkan maklumat sulit.
Mengapa Facebook melakukan perubahan ini? Jawapannya mudah. Ia adalah atas nama perniagaan semata-mata dan elemen utama perniagaan Internet ialah menarik lebih banyak trafik dan mencipta dagangan daripada sekurang-kurangnya satu maklumat yang didedahkan oleh pengguna.
Satu lagi tarikan dalam Facebook ialah permainannya seperti FarmVille - yang secara umumnya begitu mudah dimainkan tanpa perlu banyak berfikir, asalkan rajin 'bercucuk tanam' atau realitinya, menekan tetikus berjam-jam.
Menurut Daniel Lyons menerusi artikelnya dalam Newsweek, permainan FarmVille walaupun mengasyikkan, ia sebenarnya meletakkan pengguna dalam keadaan 'dipergunakan' secara tidak langsung oleh kelompok yang diistilahkan sebagai Scammers.
Facebook meraih keuntungan dengan menjual ruang iklan, sesetengahnya kepada scammers," katanya.

Kecewa dengan bandar baru kita

HARI Kebangsaan dirayakan di peringkat nasional pada 31 Ogos. Tetapi Malaysia adalah sebuah negara persekutuan di mana entiti kedaulatan hakiki terletak di negeri-negeri.
Kedaulatan negeri lebih-lebih lagi dengan adanya raja-raja Melayu membolehkan wujudnya Persekutuan Malaysia. Tetapi apakah 'hari kebangsaan' bagi negeri lebih-lebih lagi ia merupakan entiti hakiki? Jawapannya ialah Hari Keputeraan Raja-raja bagi negeri-negeri yang ada raja dan Hari Ulang Tahun Kelahiran Yang Dipertua Negeri bagi negeri yang ketua negeri ialah Yang Dipertua Negeri atau Gabenor.
Maka 'hari kebangsaan' bagi negeri Selangor ialah Jumaat lalu apabila negeri penting itu menyambut Hari Keputeraan Sultan Sharafudin Idris Shah yang ke-64. Daulat Tuanku!
Sesungguhnya Selangor Darul Ehsan adalah negeri istimewa di Malaysia. Kedudukan geografinya di tengah-tengah Tanah Melayu akhirnya menjadikannya pusat kepada Malaysia.
Sememangnya tamadun awal di Tanah Melayu berkisar di Perak, semasa zaman pra-sejarah, dan kemudian di Kedah, pada era Hindu, serta akhirnya muncul kesultanan Melayu paling utama di Melaka, tetapi pusat kuasa berubah apabila menjelang dunia menjadi moden.
Pada awal penjajahan, Portugis dan Belanda tetap menjadikan Melaka sebagai pusat kuasa. Tetapi kedatangan Inggeris mengubah keadaannya. Pada mulanya ia mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat sebelum berpindah ke Singapura.
Walaupun Inggeris mula masuk Tanah Melayu melalui Perak dengan perlombongan bijih timah di Taiping, yang kemudian merebak ke Lembah Kinta, Kuala Lumpur dan Seremban tetapi pusat kuasa ditetapkan di Singapura.
Kemunculan Selangor sebagai negeri penting di Tanah Melayu bermula dengan pihak British mahu mengukuhkan kedudukannya dalam eksploitasinya ke atas bijih timah. Bandar-bandar berpusat kepada bijih timah ditubuhkan iaitu Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Kuala Lipis. Bandar-bandar ini kemudian dihubungkan dengan laluan keretapi, yang dipanjangkan ke Butterworth, Port Weld, Port Swettenham, Port Dickson dan Singapura bagi memudahkan mereka membawa keluar bijih timah untuk diangkut pulang ke Britain.
Bagi memudahkan pentadbiran eksploitasi bumi Melayu ini, maka penjajah British menyatukan empat negeri timah, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang dalam gagasan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS). Raja-raja Melayu masih berdaulat dan mempunyai kuasa ke atas agama Islam dan adat istiadat Melayu, tetapi yang lain, politik, ekonomi, pertahanan adalah semua berada di tangan Pesuruhjaya Tinggi British yang bermastautin di Carcossa, Kuala Lumpur.
FMS yang mana Selangor menjadi negeri pusatnya merupakan teras kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia kemudiannya.
Sebaik saja Tanah Melayu diisyitharkan merdeka dengan ibu negeri Selangor iaitu Kuala Lumpur menjadi ibu negara Malaya, maka bermulalah pengaliran otak-otak Melayu dari Singapura ke Selangor. Daripada para karyawan seperti P. Ramlee hinggalah kepada pegawai-pegawai kerajaan, ahli akademik dan wartawan. Universiti Malaya, Radio Malaya dan Utusan Melayu adalah antara institusi yang berpindah dari Singapura ke Selangor.
Negeri ini berkembang pesat. Walaupun ia kemudian melepaskan Kuala Lumpur dan Prang Besar (kini Putrajaya) untuk dijadikan Wilayah Persekutuan, tetapi penghijrahan dari seluruh negara terus menjadikan Selangor dinamik dan menjadi negeri paling penting.
Tanah-tanah lombong di Selangor telah berubah menjadi tapak-tapak hartanah yang bernilai tinggi. Selayang, Ampang, Pandan, Cheras, Ulu Langat, Bangi, Semenyih, Kajang, Serdang, Puchong, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Sungai Buluh, Damansara terus berkembang pesat dan padat.
Malangnya bandar-bandar baru ini juga menampakkan bahawa perancangan bagi pembangunan tempat perniagaan dan kediaman tidak dibuat dengan memuaskan.
Kesesakan lalu lintas cuba diatasi dengan pembinaan lebih banyak lebuh raya. Tetapi pengangkutan awam jauh daripada memuaskan.
Tumpuan adalah kepada membina lebuh raya daripada keretapi laju ringan. Akibatnya komuter sesak pada waktu pagi. Contohnya kalau dahulu penduduk Puncak Alam boleh meletak kenderaan mereka di stesen keretapi Kuang untuk berulang alik pergi kerja ke Kuala Lumpur, tetapi kini apabila perkhidmatan itu dipanjangkan hingga ke Kuala Kubu Bharu, komuter pon penuh maka tidak ada jalan lain daripada menggunakan kereta sendiri yang sudah tentu sangkut dalam kesesakan lalu lintas.
Rumah-rumah dibina dengan jalan depan yang sempit. Di manakah perancangan bandar ini? Apakah peranan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan keselesaan penduduk pada 10, 20 dan 30 tahun akan datang. Hinggakan penduduk Taman Seri Gombak umpamanya menggelar kawasan perumahan mereka sebagai Taman Seri Sempit.
Apabila dibina kondominium pula, seolah-olah tidak diambil kira langsung di mana mereka mahu meletakkan kenderaan. Lihatlah kereta bersusun lapis di tepi jalan di Kota Damansara pada waktu malam.
Sementara bandar-bandar baru yang sepatutnya belajar daripada pengalaman tempat-tempat lama tetap melakukan kesilapan serupa. Di banyak kawasan baru Puchong umpamanya, bukan saja sukar hendak meletak kenderaan tetapi juga untuk bergerak lalu pun dirasakan hanya menambah stres.
Ini belum dikira pembinaan di lereng bukit. Bukan saja di Bukit Antarabangsa yang terkenal tetapi juga di kawasan seperti Ulu Langat dan Cheras.
Tentulah yang merancang dan membina semua bandar-bandar baru yang indah dan unit dijual dengan mahal adalah dari kalangan profesional. Baik di pihak kerajaan, mahupun swasta, ariktek, juru ukur bahan, jurutera, pakar runding dan pereka bentuk bangunan dan jalan adalah dari kalangan profesional. Begitu juga pemaju dan kontraktor adalah kesemuanya dari kalangan hebat. Tetapi mengapakah hasilnya mengecewakan?

Pembalasan buat pembunuh Palestin


Gambar terbaru sharon yang terlantar di hospital akibat angin ahmar.

PENDERITAAN penduduk Palestin sememangnya satu tragedi bagi umat Islam. Sebut sahaja sebarang bentuk penganiayaan dan penderitaan yang tidak dilalui mereka. Sehingga kini masih belum terdapat sebarang pembelaan yang nyata terhadap nasib Palestin. Sejak bermulanya sejarah kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin pada 14 Mei 1948, pelbagai alasan dan fitnah ditebarkan untuk menafikan kekejaman yang telah dilakukan.
Pelbagai perang, konflik dan perjanjian damai telah berlalu namun ia gagal merobek keegoan Israel untuk menilai kembali kekejaman dan pertumpahan darah yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Namun yang hak pasti akan tertulis dan kekejaman yang dilakukan manusia akan dibalas tuhan walaupun ketika masih hidup.
Itulah nasib yang dialami oleh bekas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon.
Beliau yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari bulan Mac 2001 hingga April 2006 namun kemudian tidak mampu untuk melaksanakan tugas-tugasnya selepas jatuh sakit akibat menderita angin ahmar pada 4 Januari 2006.


Pada awalnya beliau berada dalam koma sebelum mampu membuka mata. Namun sejak dari itu dirinya tidak ubah seperti mayat hidup. Ini kerana dirinya kini sedar tetapi menderita lumpuh sepenuhnya melainkan matanya sahaja yang masih terbuka. Dari sudut perubatan keadaannya dipanggil "vegetatif persisten" iaitu lumpuh sepenuhnya walaupun tidak koma.
Hanya matanya yang terbuka dan boleh memberi isyarat namun tidak boleh menggerakkan badan.
Menurut sumber yang diperoleh dari sebuah media Israel, keadaan terkini Sharon yang juga digelar "Sang pembunuh rakyat Palestin" boleh diibaratkan seperti bangkai bernyawa.
Menurut sebuah akhbar Israel, "Hume Israel" keadaan kesihatan Sharon kini masih menderita angin ahmar dan terbaring di hospital selama lebih dari empat tahun.
Sharon yang ketika ini menjangkau usia 81 tahun telah dirawat di Hospital Syaiba tidak jauh dari kota Tel Aviv. Beliau diberitakan terbaring dalam keadaan kedua mata terus terbuka. Para perawat yang menjaganya kemudian menempatkan Sharon di depan televisyen yang menayangkan filem-filem panorama alam dan pelbagai jenis haiwan terutama lembu.
Akhbar itu mendakwa bahawa keluarga Sharon masih tidak berputus asa dan kerap menjenguk dan berinteraksi dengannya. Ini seolah-olah mengisyaratkan bahawa Sharon masih hidup dan mampu sembuh seperti sebelumnya. Seorang anggota keluarganya kerap membacakan akhbar harian di sisinya sambil memberitahu dan menggambarkan perkembangan ladang lembu yang dimilikinya di daerah selatan Israel. Di samping itu beliau turut dibacakan beberapa buku dan diperdengarkan muzik-muzik klasik.
dipulihkan
Walaupun menderita sakit yang tidak boleh dipulihkan namun beliau tetap diberikan penjagaan rapi oleh keluarganya.
Diberitakan seorang lelaki telah ditugaskan khas untuk mencukur janggutnya. Malah dikatakan Sharon sering memberikan isyarat mencukur janggutnya dengan terketar-ketar menggerakkan jarinya kepada lelaki berkenaan .
Doktor yang merawat beliau Solomo Segev memberitahu, keadaan dan kesihatan Sharon yang hanya terbaring di atas katil di hospital sejak beberapa tahun lalu sukar diramal. Sehingga kini Sharon masih hidup kerana degupan jantung dan tekanan darahnya masih bergerak seperti manusia normal.
Malangnya keadaannya ini adalah sama seperti kali pertama dirinya dimasukkan ke hospital pada empat tahun lalu.
Ketika ditanya lebih lanjut sampai bila keadaan Sharon akan terus begini, Segev memberitahu tiada sebarang jaminan beliau akan sembuh.
"Kalau dikaji dari purata usia ahli keluarga Sharon, ibu dan neneknya mati sekitar usia 90 tahun.
"Oleh itu Sharon dijangka akan tetap dengan keadaannya sekarang mungkin sehingga usianya lebih 90 tahun nanti," kata Segev.
Beliau kemudiannya ditanya apakah peluang bagi Sharon untuk sembuh dari koma. Segev menjawab, "Sharon bukan manusia biasa, ada pesakit lain yang berada dalam keadaan koma lebih lama dari Sharon, namun pesakit-pesakit itu masih dalam usia muda.
"Pesakit seumur Sharon biasanya tidak bertahan lama, apatah lagi jika mereka mampu bertahan hingga empat tahun. Kalau itu terjadi, tentu ia dilihat diluar kewajaran," katanya.
Walau apa pun jawapan yang diberikan oleh doktor yang merawatnya namun hakikatnya penderitaan yang ditanggungnya adalah pembalasan tuhan kepadanya. Kekejaman yang dilakukan ketika muda sebagai anggota tentera hinggalah menjawat jawatan tertinggi dalam Kabinet Israel adalah tindakan yang diluar batas kemanusiaan.
Maka penderitaan yang ditanggungnya kini hanyalah sekelumit dari ribuan kematian dan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin. Namun sekurangnya-kurangnya beliau telah merasai sendiri pedihnya seksaan tuhan di dunia sebelum menerima seksaan di akhirat kelak.




Jaminan untuk galak orang awam bantu cegah jenayah

JENAYAH ragut terus berlaku. Pelbagai masalah dan musibah terhasil akibat jenayah ini. Ia bukan sekadar menyebabkan kehilangan barang berharga milik mangsa tetapi ada kalanya ia turut menyebabkan kehilangan nyawa.
Beberapa hari lalu, jenayah ragut menyebabkan kematian seorang lelaki. Kurang dua minggu lalu seorang warga emas berusia 66 tahun maut setelah terjatuh dari motosikal akibat diragut di Alor Setar, Kedah.
Maknanya sesiapa sahaja dan di mana juga mereka berada di negara ini, mahu tidak mahu akan terdedah kepada kemungkinan menjadi mangsa ragut.
Pernah berlaku kes orang awam mahu membantu mangsa ragut mati ditikam peragut, sampai sekarang penjenayah itu masih bebas.
Sementara dalam kejadian di sebuah kampung di Pendek, Kota Bharu, Kelantan, peragut berjaya diberkas dan dibelasah teruk oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis. Seorang daripada peragut itu menemui ajal.
Orang yang menyebabkan kematian peragut berkenaan diburu dan akan didakwa. Jika sabit kesalahan, mungkin dikenakan hukuman mati mandatori.
Melihat kepada episod ragut ini, rata-rata berakhir dengan orang ramai menjadi mangsa. Mereka kehilangan harta, cedera malah nyawa.
Namun sebaliknya, orang ramai juga boleh menjadi ‘mangsa’ perundangan apabila orang yang meragut dicederakan apatah lagi kalau mati.
Justeru tidak hairanlah kalau orang awam tidak mahu membantu, apatah lagi peduli tentang kelakuan jenayah kerana banyak padah daripada faedah yang akan diterima.
Antara padahnya ialah boleh terdedah kepada tindakan balas penjenayah dan keduanya jika penjenayah cedera atau mati walaupun tanpa disengajakan, penjara dan tali gantung menanti mereka.
Bila keadaan yang lebih ‘berpihak’ kepada pelaku jenayah begitu, siapa yang patut dipersalahkan?
Polis juga terikat dengan peraturan dan perundangan dalam menjalankan tugas.
Polis bukan sahaja tidak boleh menembak penjenayah sewenang-wenangnya, malah mengacukan pistol pun kalau tidak kena gayanya boleh menyebabkan mereka boleh kehilangan jawatan.
Walaupun sah yang ditembak adalah penjenayah yang paling dikehendaki dan sangat membahayakan orang awam, kewajaran tindakan polis akan dipersoalkan.
Malah ada anggota penjenayah menggunakan peguam ternama dan hebat untuk mendakwa pihak polis. Apa yang dilakukan oleh pihak polis seperti tidak pernah ada yang betul kepada mereka.
Terlalu gelojoh menggunakan tembakan dijadikan alasan untuk mendakwa polis yang melepaskan tembakan bagi membasmi jenayah. Tetapi apabila anggota polis ditembak, kecekapan polis pula ditimbulkan. Seolaholah kecederaan atau kematian anggota polis oleh angkara penjenayah seperti tidak bermakna.
Sudah sampai masanya undang-undang dipinda bagi membolehkan keterlibatan orang awam dalam pembasmian jenayah dikebalkan daripada dikenakan sebarang hukuman.
Ia supaya orang awam akan melihat sumbangan mereka dalam pembasmian jenayah terutama jenayah ragut akan banyak memberi faedah dari padah.

Mangsa gempa di Padang bina semula semangat


Dua remaja menagih simpati orang ramai bagi menghulurkan sumbangan setelah kehilangan pendapatan akibat gempa bumi yang menggoncang Padang pada 30 September lalu. - BERNAMA

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu yang dapat menggambarkan keadaan masyarakat di Padang, Indonesia selepas dilanda gempa 30 September lalu. Kesedihan masih jelas di wajah mereka yang kehilangan orang tersayang dan terpaksa tinggal di khemah-khemah sementara di Kampung Melalak - antara kawasan yang terjejas dengan kejadian itu.
Bagi seorang mangsa, Ajek Najan, menyaksikan enam anaknya berusia 4 hingga 9 tahun tertimbus di depan mata, hampir membunuh semangatnya untuk hidup.
Tidak dapat diungkapkan perasaannya apabila anak-anak tempat bermanja dan mencurahkan kasih sayang, maut semasa bencana itu. Ajek, 45, kehilangan empat anak lelaki dan dua perempuan.
"Tiada apa lagi di dalam hidup saya, rumah pun ranap. Anak-anak mati, suami pula cedera," katanya kepada Bernama yang berkunjung ke sana, baru-baru ini.
Ketika menceritakan saat menghadapi bencana alam itu, Ajek berkata, dia ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertani dan suaminya berada di rumah bersama enam anak mereka.
"Suami saya mungkin juga menjadi korban jika kami tidak melihat tangannya yang terkapai-kapai minta tolong di celah-celah runtuhan batu,'' katanya.
Baginya kehidupan kini lebih sukar kerana terpaksa membinanya semula tanpa bantuan suami yang masih belum mampu bekerja.
Gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter menggoncang Padang pada 5.16 petang 30 September, berpusat di Kilometer 57, barat laut Pariaman, disusuli gempa bumi kedua 6.2 skala Richter pada 5.38 petang berpusat di Kilometer 22 ke barat laut Pariaman.
Kerajaan Indonesia mengesahkan anggaran 1.2 juta penduduk daripada 250,000 keluarga terjejas akibat gempa itu apabila kehilangan tempat tinggal dan punca pendapatan. Bencana itu menyebabkan kematian 1,115 orang, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.
Ajek berkongsi tinggal di khemah itu bersama 20 lagi keluarga sambil mengharapkan kerajaan membantu membina semula rumah mereka dan dalam pada itu menantikan bantuan wang, makanan dan pakaian.
Kunjungan rombongan seperti kami dari Malaysia memang dinanti-nantikan Ajek dan penghuni khemah bagi mendapatkan bantuan sekurang-kurangnya keperluan harian.
Penulis menyertai rombongan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diketuai Naib Cancelor Prof. Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed, ke Padang dalam lawatan kerja misi bantuan kemanusiaan untuk menyampaikan sumbangan wang, barang dan pakaian kepada mangsa gempa bumi ini.
"Walaupun bantuan kemanusiaan yang diberi tidak semewah mana, kami mahu mereka tahu bahawa Malaysia turut berkongsi kesedihan mereka kerana asalnya kita serumpun.
"Hanya sempadan memisahkan kita tetapi budaya, bangsa dan agama masih sama," kata Dr. Zainai.
UMK membawa bantuan bernilai RM30,000 hasil kutipan sumbangan pelajar dan petugas UMK serta orang ramai.
Seorang lagi mangsa gempa bumi itu Syiud John, 25; berkata, bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan kepadanya kerana beliau tahu dengan pertolongan itu dapatlah beliau secara perlahan membina semula kehidupan.
"Masih banyak lagi yang perlu kami lakukan. Perjalanan masih jauh tetapi semangat kami semakin hari semakin pulih dengan bantuan seumpama ini yang menunjukkan Malaysia prihatin," ujar Syiud.
Penulis mendapati walaupun bantuan untuk mereka dilihat sudah banyak, sebenarnya ia belum mencukupi kerana ramai daripada kalangan mangsa semakin daif akibat bencana alam itu.
Dalam hal ini bantuan yang mereka perlukan bukan hanya wang dan makanan, tetapi juga sokongan moral dan kata-kata semangat untuk cekal hidup.
Dr. Zainai dan rombongan UMK yang disertai 10 orang pensyarah dan pelajar turut melawat anak yatim di Pati Asuhan Aisyiyah di Kampung Birik-Birik, Pariaman.
Beliau berkata, lawatan itu bertujuan meninjau keadaan di samping mengenal pasti jenis sumbangan dan bantuan lanjut untuk diberikan kepada masyarakat di kawasan terbabit di bawah program bantuan kemanusiaan UMK yang akan dilancarkan nanti.
"Kami mempunyai program untuk membantu mereka melalui beberapa aktiviti yang akan dijalankan selepas ini.
"Antaranya, pelajar kami akan ditempatkan bersama dengan masyarakat di sini untuk beberapa hari bagi melaksanakan program yang dirancang," katanya.
Beliau berkata walaupun jumlah bantuan UMK boleh dianggap kecil, namun diharapkan dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.
"Bantuan yang disediakan ialah sumbangan petugas, pelajar UMK, syarikat dan individu kepada tabung bantuan kemanusian yang ditubuhkan UMK," katanya. -

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

Arkib Blog

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails