Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Cemerlang melalui vokasional

SAYA menyokong penuh cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan pendidikan vokasional dimulakan dari awal. Ini kerana pelajar yang diberi pengajaran di sekolah mempunyai tahap penerimaan pembelajaran yang berbeza. Ada pelajar yang boleh mengikuti akademik dengan cemerlang dan ada pelajar yang tidak dapat mengikutinya.

Pelajar yang tidak dapat mengikuti pelajaran ini akan merasa tersisih dan merasakan diri mereka tidak diperlukan walaupun dalam diri pelajar-pelajar ini ada kebolehan lain yang perlu digilap dan disemai. Mereka mempunyai kemahiran tangan pemberian Allah yang amat berguna.
Kerana itulah saya amat menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran agar pendidikan vokasional dimulakan selepas sahaja pelajar tamat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Ini kerana pihak guru sudah tentu dapat melihat pencapaian pelajar mereka selama enam tahun di sekolah rendah, dan tahap pencapaian pelajar yang memerlukan mereka kepada pendidikan vokasional sudah dikenalpasti. Pelajar yang lemah dalam akademik perlu disarankan mengikuti pelajaran vokasional.
Minat pelajar ini akan bertambah kerana mereka tahu sekalipun tidak dapat mengikuti pelajaran akademik, tangan mereka boleh membuat sesuatu yang baik untuk masa depan masing-masing.
Pendidikan vokasional ini akan menjadikan pelajar yang tidak cemerlang akademik menumpukan kepada apa yang mereka minati. Memupuk minat pelajar seawal ini akan banyak memberi kesan positif, antaranya:
* Mengurangkan masalah disiplin pelajar yang tidak berminat dengan akademik.
* Membolehkan pelajar mendapat pengetahuan dan pengalaman pada usia muda.
* Membolehkan pelajar merekacipta benda baru.
* Menambahkan bilangan tenaga mahir negara yang berkualiti dan sesuai dengan perkembangan industri.
* Membantu menjadikan Malaysia negara maju dan produktif.
* Mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja dari negara luar.
Saya ingin mencadangkan kelas pendidikan vokasional dilaksanakan dalam tiga kategori, iaitu Kelas Vokasional Junior, Kelas Vokasional Senior dan Kelas Vokasional Lanjutan.
Kelas Vokasional Junior adalah untuk pendidikan yang diberi di awal tingkatan satu hingga ke tingkatan tiga dalam bentuk vokasional umum. Semua pelajar akan belajar semua bidang vokasional iaitu elektrik, mekanikal dan awam.
Pada peringkat ini, pelajar sudah dapat menilai minat sebenar mereka dalam bidang apa. Pelajar-pelajar ini juga perlu kerap dibawa melawat ke industri supaya mereka tahu hala tuju minat mereka.
Jadi apabila mereka berada di tingkatan empat, mereka telah mempunyai pelbagai kemahiran asas yang diperoleh dari tingkatan satu, dua dan tiga. Setelah mereka faham dengan diberi penerangan yang jelas oleh guru, apabila di tingkatan empat pelajar ini sudah boleh membuat pengkhususan bidang apa yang akan diceburi untuk masa depan. Di sini akan berlaku peningkatan pengetahuan dan kemahiran vokasional yang ketara apabila mereka membuat pengkhususan dalam tingkatan empat dan lima.
Kelas Vokasional Senior pula untuk pelajar tingkatan empat dan lima mengikuti pengkhususan yang mereka minat dengan penekanan 70 peratus secara praktikal dan 30 peratus teori berhubung kursus yang diikuti.
Kelas Vokasional Lanjutan pula untuk memberikan pendidikan lanjutan selama setahun kepada pelajar untuk menyediakan mereka memasuki alam pekerjaan. Apabila pelajar ini keluar dari sekolah vokasional, mereka perlu diberi pengiktirafan yang tinggi dengan sijil atau sijil lanjutan yang setaraf sijil politeknik atau diploma.
Saya melihat anak-anak saya yang belajar di sekolah menengah vokasional kini berjaya dalam bidang masing-masing. Ini kerana semasa di sekolah mereka mendapat pengetahuan dan kemahiran yang sebenar. Anak-anak saya juga dibawa melawat ke industri berkaitan semasa mereka berada di sekolah vokasional.
Oleh itu saya ingin mencadangkan agar ada industri atau syarikat-syarikat besar menjadikan sekolah-sekolah vokasional sebagai anak angkat dalam hubungan ‘menang-menang’. Ini membolehkan industri mengambil pelajar lepasan sekolah vokasional dan sekolah pula mendapat pengetahuan baru seiring dengan perubahan teknologi.
Saya berharap saranan Timbalan Perdana Menteri itu akan segera diambil perhatian sekali gus dipraktik oleh Kementerian Pelajaran agar kita menjadi negara maju dengan tenaga pakar yang dikeluarkan oleh sekolah vokasional kita sendiri.
Saya yakin kita boleh melakukannya kerana sekolah vokasional dengan guru-gurunya yang mempunyai pelbagai kemahiran banyak mengeluarkan modal insan yang pada mulanya tidak diperlukan di sekolah akademik/harian biasa. Keluaran sekolah vokasional inilah sekarang yang banyak membantu membangunkan negara.

DNA bukan faktor utama sabitan kes jenayah

ASID deoksiribonukleik (DNA) merupakan sebatian kimia kompleks mengandungi unsur karbon, hidrogen, oksigen dan fosforus di dalam nukleus setiap sel.

DNA boleh memberi maklumat perkembangan secara biologi dan kimia seseorang individu. Atas dasar itu, analisis atau ujian DNA bermaksud proses mengenal pasti profil atau identiti seseorang berdasarkan kaedah kajian makmal.
Setiap unit nukleus (nukleotida) dari sel yang dikaji biasanya mengandungi tiga molekul asas terdiri daripada gula deoksiribosa dan bes bernitrogen yang terangkai bersama kumpulan fosfat. Satu molekul pula boleh mengandungi antara empat hingga lima juta unit nukleotida.
Apa yang penting proses membuat profil (profiling) hasil uji kaji tisu badan, tulang dan rambut mangsa ini perlu mempunyai rujukan dengan individu yang mempunyai hubungan biologi dengan mangsa tersebut. Misalnya ibu, bapa, anak dan adik-beradik kandung.
Ini kerana di negara ini kita masih tidak mempunyai pangkalan data DNA untuk warganegara sepertimana di negara maju, misalnya di Amerika Syarikat. Oleh itu, langkah pelbagai pihak untuk menyokong usaha penubuhan pangkalan data tersebut amat dialu-alukan.
Tanpa bukti DNA, pihak berkuasa masih mempunyai teknik dan kaedah lain dalam proses pengumpulan bukti untuk memastikan sesuatu kes jenayah yang berlaku boleh memungkinkan individu tertentu disabitkan. Apa yang utama, pihak polis perlu mempunyai urutan rantaian bukti (chain of evidence) yang kukuh untuk mensabitkan sesuatu kes.
Profil DNA hanyalah satu cara yang bersifat saintifik bagi membantu penyiasatan dan menyokong pendakwaan oleh pihak Peguam Negara dengan nilai kukuh dan bukti yang sukar dipatahkan mahupun dilenturkan oleh barisan peguam bela.
Beberapa tahun lalu, terdapat satu kes di mana pihak peguam bela berjaya melepaskan orang kena tuduh (OKT) disebabkan wujud bukti melampau dan keraguan munasabah oleh pihak peguam bela walaupun DNA OKT dikesan pada tubuh mangsa. DNA hanya bersifat menyokong kes pendakwaan dan bukannya faktor penentu sabitan sesuatu kes berjaya dilakukan. Kes yang berlaku beberapa tahun lalu itu melibatkan satu OKT dituduh berada di tempat kejadian berdasarkan kesan air mani OKT ada dalam badan mangsa, namun kewujudan dua lagi DNA air mani menunjukkan ada kemungkinan dua orang lain menjadi pembunuh sebenar.
Walaupun peguam bela mempunyai himpunan hujah untuk memecahkan rantaian bukti yang dikemukakan, ia bukan perkara yang perlu digusarkan kerana keterangan yang menjurus kepada penemuan bukti dan barang milik mangsa lebih daripada cukup secara teknikalnya untuk mendapatkan sabitan yang sukar dileraikan.
Soal utama bukan siapa menjadi peguam bela, tetapi bagaimana mereka boleh mencabar bukti yang dipersembahkan oleh pihak pendakwaan dengan cara yang penuh teknikal dan hujah perundangan bersandarkan Akta Keterangan 1960 dan kes-kes terdahulu.
Kes bersabit DNA yang paling terkenal ialah kes liwat melibatkan seorang ahli politik yang membawa kepada bukti berupa tilam diusung ke mahkamah. Tilam tersebut didakwa sebagai bukti seperti dalam pertuduhan tersebut dilakukan.
Kesan tompok air mani lama beberapa individu di atas tilam tersebut menjadi bualan orang ramai kerana buat kali pertama dalam sejarah bukti DNA diuar-uarkan. Bukti DNA ini dihebohkan hingga menenggelamkan bukti lain yang turut menyokong kes pendakwaan.
Sewajarnya kita tidak membincangkan sesuatu di luar bidang kuasa kita sebagai pihak yang tidak melihat sesuatu fakta atau bukti dari pelbagai sudut pandangan dan pendekatan sebagaimana pihak polis, pihak pendakwaan dan peguam bela dalam sesuatu kes.
Demi prinsip Kedaulatan Undang-undang dalam Rukun Negara, setiap kes yang dibicarakan di mahkamah tidak boleh hanya bersandarkan bukti DNA dan spekulasi semata-mata.
Pendakwaan sudah pasti akan merangkumi semua aspek daripada sekecil-kecil fakta hingga kepada kesimpulan yang akan memastikan bukan semua pendakwaan memerlukan bukti DNA kerana undang-undang keterangan bukanlah setakat bukti tersebut. Kes-kes yang terdahulu telah membuktikannya.

Guna stevia ganti gula

Pokok stevia bukan sahaja boleh menggantikan gula malah lebih murah dan mudah.



Kerajaan disarankan agar menggantikan penggunaan gula sebagai pemanis dengan tumbuhan stevia yang mampu mengurangkan kadar penyakit diabetis di kalangan orang ramai.
Pengurus Besar C. T. Lang Development (M) Sdn. Bhd., Abdullah Mohamad berkata, penggunaan tumbuhan itu adalah satu cara yang terbaik untuk menangani masalah tersebut.
"Tumbuhan stevia yang mampu tumbuh subur di negara ini dapat menstabilkan kandungan gula dalam darah dan pada masa yang sama dapat menurunkan risiko menghidapi diabetis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan khasUtusan Malaysia kelmarin yang mengupas ketagihan rakyat negara ini yang tergamak meracuni diri mereka dengan racun yang bernama 'gula'.
Tabiat ini sekali gus menyumbang kepada kematian dan dilaporkan empat daripada lima pesakit diabetes di negara ini akan mati akibat penyakit jantung selain enam kejadian strok yang berlaku pada setiap jam.
Tambah Abdullah, berbanding gula, stevia adalah 30 kali ganda lebih manis dan harganya juga lebih murah.
"Di Jepun, kerajaannya menggunakan tumbuhan ini sebagai sumber kemanisan mereka, kenapa tidak di sini?
"Pada pendapat saya, penggunaan stevia menggantikan gula adalah satu langkah yang menguntungkan dan berkesan," ujarnya.
Tambahnya, sejak beberapa kilang memproses gula di Chuping, Perlis dan Padang Terap, Kedah ditutup, negara mengimport gula daripada India.
Jelasnya, aktiviti mengimport gula menyebabkan aliran keluar wang tinggi sekali gus merugikan negara.
"Justeru, saya turut menggalakkan orang ramai mengubah tabiat pemakanan melibatkan gula mereka kepada tumbuhan ini yang jelas lebih berfaedah kepada kesihatan mereka," ujarnya.

Kukuhkan perpaduan demi sebuah negara berdaulat

BUAT pertama kalinya dalam sejarah pembentukan negara Malaysia, tarikh 16 September dijadikan cuti umum bagi seluruh negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengisthiyarkan cuti umum itu pada tahun lalu berkata, Hari Malaysia akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengerat perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat dalam bidang sukan, sosiobudaya, dan kesenian bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia.
Cuti umum itu boleh digunakan untuk saling kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan beragama Islam yang masih menyambut Hari Raya Aidilfitri. Inilah masa paling sesuai dan mengambil keberkatan Syawal, rumah terbuka yang diadakan diharap dapat mengukuhkan perpaduan rakyat. Inilah juga masa paling sesuai untuk memahami perbezaan budaya sesama rakyat dalam menghayati sambutan hari bersejarah ini.
Lebih daripada itu, sambutan Hari Malaysia yang diraikan hari ini oleh seluruh rakyat dari Perlis hingga ke Sabah diharap dapat mengukuhkan perpaduan penduduk berbilang kaum. Uniknya negara Malaysia kerana ia memiliki penduduk yang berbeza warna kulit, keturunan, etnik, budaya, agama, bahasa ibunda dan bangsa yang mana selepas 53 tahun negara ini bebas daripada cengkaman penjajah Inggeris dan 47 tahun membentuk Malaysia, kita masih hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni.
Tidak ada perbalahan kaum yang berlaku lagi selepas tragedi 13 Mei 1969 dan setiap pemimpin kaum dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kedamaian yang dimiliki hari ini, walaupun ada kalanya, keharmonian itu dijentik sedikit oleh pemimpin-pemimpin yang cepat melatah dalam mendepani isu berkaitan perpaduan rakyat.
Apa yang kita harapkan, perhimpunan di bumi Sabah Negeri Di Bawah Bayu pada hari ini akan menjadi titik permulaan kepada semua pemimpin kaum dan setiap rakyat untuk bermuhasabah diri bahawa sebarang kerosakan pada jalinan perpaduan yang wujud sekarang hanya akan memberi kesan paling buruk dalam sejarah pembentukan Malaysia.
Adakah kita mahu kehidupan aman damai sekarang rosak dek kerana sikap segelintir pihak yang cuba menangguk di air keruh. Memang diakui bahawa suasana dalam negara sekarang agak membahang, bukan kerana perubahan cuaca global yang semakin meningkat, tetapi kerana sikap sesetengah pemimpin kaum yang gemar bermain api.
Justeru, peranan kita sebagai rakyat yang merdeka adalah berusaha dengan penuh bijaksana agar api permusuhan yang dimulakan oleh mereka yang hanya memikirkan diri sendiri sehingga membelakangkan kepentingan negara dapat dipadamkan dan dibenamkan terus ke dalam lumpur laut dalam.
Selain itu, beberapa insiden yang dilihat boleh menjejaskan silaturahim antara kaum yang berlaku sejak kebelakangan ini hendaklah dijadikan iktibar dan biarkanlah biduk berlalu agar kiambang dapat bertaut semula.
Apa yang penting adalah sepakat membawa berkat di mana kesepakatan dan jati diri yang utuh dan padu wajar ada pada diri setiap warga negara ini.
Tanpa toleransi, hormat menghormati dan saling memahami, maka segala apa yang kita miliki termasuk ekonomi yang mantap, pembangunan yang rancak dan keselamatan persekitaran dalam kehidupan yang serba mencabar hari ini akan runtuh menyembah bumi. Adakah kita mahu ia berlaku di negara bertuah ini? Tepuk dada, tanya selera. Salam 1Malaysia.

Hayati Syawal dengan semangat 1Malaysia

BULAN Syawal kembali menggamit umat Islam seluruh dunia setelah sebulan mengerjakan ibadat puasa. Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan meraikan kehadiran Syawal dengan penuh kesyukuran dan meriah. Lebih elok jika Syawal diraikan dalam suasana sederhana mengikut adat dan tradisi yang diwarisi sejak turun temurun.

Budaya bermaaf-maafan dan saling kunjung mengunjung adalah antara budaya dan amalan masyarakat kita setiap kali perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri.
Masyarakat kita sememangnya kaya dengan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni sebagai masyarakat Timur yang begitu mementingkan elemen kasih sayang dan saling hormat menghormati.
Justeru, sempena kehadiran Syawal ini, marilah kita bersama-sama mengambil peluang untuk merapatkan tali persaudaraan dan semangat permuafakatan sesama rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa atas semangat 1Malaysia.
Hal ini penting kerana sepanjang tahun ini sejak dari Januari lalu, kita telah disajikan dengan pelbagai peristiwa yang cuba mengganggu-gugat semangat perpaduan yang telah kita bina sejak mula merdeka.
Intipati Perlembagaan Negara sudah mula dipersoalkan. Begitu juga halnya dengan hak kaum Melayu dan Bumiputera serta Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh pengasas kemerdekaan negara kita.
Sudah ada juga pihak-pihak yang dengan lantang mempersoalkan perkara-perkara sensitif yang selama ini diperhalusi dan diselesaikan secara berhemah dalam suasana yang cukup harmoni dan kekitaan atas semangat perpaduan nasional.
Ternyata golongan itu semakin lupa semangat setiakawan yang selama ini menjadi teras kerjasama dan kejayaan kita dalam pelbagai aspek sehingga kita dikenali dan dihormati di seantero pelosok dunia. Ketamakan kuasa dan harta begitu mudah mengaburi dan melalaikan kumpulan ini yang turut mengambil kesempatan apabila cuba menjadi hero kaum-kaum tertentu dengan membangkitkan isu-isu yang sensitif.
Situasi seperti ini dilihat menjadi ancaman yang besar kepada jambatan perpaduan yang telah diasaskan dan dibina oleh nenek moyang kita. Malah, jambatan ini boleh dikatakan sudah mula mengalami sedikit keretakan akibat tindak-tanduk golongan yang tidak bertanggungjawab seperti ini.
Akibatnya, rakyat dilihat semakin risau dan resah mengenangkan nasib dan masa depan semangat perpaduan antara kaum di negara ini. Apakah peristiwa 13 Mei boleh berulang? Kenapa golongan ini tidak mahu belajar daripada sejarah pembentukan negara Malaysia yang kini menjadi tanah tumpah darah mereka juga? Itu adalah antara beberapa persoalan yang berlegar dalam pemikiran kita semua hari ini.
Ingat, apa yang ada dan kita nikmati pada hari ini bukanlah sesuatu yang diwarisi dari nenek moyang kita tetapi merupakan amanah yang dipinjam dari anak cucu kita yang mana bila tiba masanya, kita perlu menyerahkannya kembali kepada mereka. Soalnya, negara yang bagaimana pula yang hendak kita serahkan kepada anak cucu kita? Apa pula jaminan bahawa anak-anak kita akan terus mempertahankan jambatan perpaduan ini jika generasi yang ada pada hari ini tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di mana kita sendiri dilihat sudah memulakan kerja-kerja untuk meroboh dan meruntuhkannya?
Jangan kita lupa bahawa kita perlu bertanggungjawab dengan setiap tingkah laku dan tindakan kita pada hari ini agar ia tidak merosakkan dan menghancurkan masa depan anak-anak kita kelak. Justeru, saya merayu kepada semua warga Malaysia baik Melayu, Cina, India mahupun kaum-kaum lain, hentikanlah segala prasangka, propaganda dan tindakan yang boleh meruntuhkan jambatan perpaduan yang telah dibina.
Ambillah peluang kehadiran Syawal ini untuk merapatkan dan memperkasakan semula hubungan sesama kita, ketepikan segala persengketaan, perbezaan pendapat mahupun ideologi politik demi survival perpaduan masyarakat kita. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, inilah peluang terbaik untuk kita merobohkan tembok prasangka di antara kita.
Marilah kita hayati sedalam-dalamnya konsep 1Malaysia kerana ia boleh dijadikan panduan yang terbaik untuk kita memperkukuhkan kembali perpaduan kita.
Saya percaya penghayatan dan sambutan Syawal dalam semangat 1Malaysia dengan menyuburkan budaya rumah terbuka dan kunjung mengunjung serta bermaaf-maafan boleh menjernihkan semula keadaan yang agak tidak begitu menyenangkan kita pada ketika ini.
Berusahalah mencari persamaan dalam perbezaan yang ada di antara kita atas semangat 1Malaysia demi kelangsungan kemajuan dan pembangunan negara yang kita sayangi ini.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket