Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Masalah pendidikan di Malaysia

KITA bergaduh dalam semua aspek. Semua yang baik ditolak mentah- mentah kerana hanya datang daripada sekumpulan yang tidak bersefahaman dengan kita. Kadang-kadang saya amat kasihan melihat umat Islam.
Sampai bilakah kita harus begini? Bilakah mereka boleh duduk semeja untuk mencapai persetujuan bersama dalam perkara- perkara bersifat fundamental? Memang saya tidak nafikan kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi takkan dalam semua perkara. Sekurang-kurangnya kita boleh bersetuju dengan perkara-perkara asas. Sayangnya, dalam perkara asaspun bergaduh juga.
Sebagai umat Islam, kita berasa amat malang, kerana mereka yang tidak ada kena mengena dengan kalimah Allahpun tidak menyokong kita atau setidak-tidaknya bersikap neutral. Saya hanya mendengar kenyataan presiden MCA sahaja yang bersikap neutral, mahukan kita berhenti menuding jari kepada UMNO dalam isu ini. Namun, kenyataan beliau dikecam hebat dalam laman web dan kumpulan ultra kiasu. Beliau dikatakan cuba menagih simpati UMNO dan menutup masalah dalaman MCA.
Kumpulan ultra kiasu juga menentang habis-habisan UMNO dan umat Islam yang mahu mempertahankan kalimah Allah. Jika mereka ikhlas, sudah tentu kalangan mereka yang bukan Kristian yakni beragama Buddha-Taoism- Konfucius akan bertindak neutral, sebab mereka tidak menyembah Allah. Ini tidak, mereka secara terang menyokong penggunaan kalimah Allah kalangan Kristian, wal hal isu ini tiada kaitanpun dengan mereka. Inilah nasib UMNO selalu sendirian dalam mempertahankan Islam di dalam dan di luar Barisan Nasional. Tertanya-tanya saya bilakah masanya orang bukan Islam akan menyokong Melayu Islam. Adakah benar parti ultra kiasu ini menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS? Apakah umat Islam tidak sedar kadang kala mereka diperalatkan?
Saya dapat simpulkan di sini, maknanya, apa yang umat Islam lakukan, tetap akan dianggap salah disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Saya amat takut dengan gejala yang berlaku. Orang lain bertepuk tangan dan bersorak gembira melihat perpecahan dan kelemahan kita dan mungkin menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

Keragaman hidup

DALAM pergerakan alam sekitar, antara agenda penting ialah pemeliharaan biodiversiti. Maksud dalam agenda ini ialah untuk mengekalkan kepelbagaian spesies yang ada, seboleh mungkin.
Ada pihak menggunakan istilah kepelbagaian bio bagi merujuk biodiversiti, dengan mengambil istilah diversiti sebagai kepelbagaian. Di Indonesia, ada pihak menggunakan istilah keanekaragaman hayat. Cantik istilah ini. Keanekaragaman merujuk pada diversiti atau kepelbagaian. Hayat adalah bio. Tidakkah dahulu biologi di negara ini dikenali sebagai kajihayat?
Kesepakatan dalam pergerakan alam sekitar ialah kepelbagaian bio adalah suatu yang perlu bagi segala kehidupan termasuk manusia di muka bumi. Justeru, kepelbagaian spesies mesti dipertahankan semampu mungkin.
Adalah menjadi fitrah alam bahawa kehidupan berkembang dalam pelbagai bentuk dengan memunculkan banyak spesies yang kehadirannya berkait di antara satu sama lain. Rantai makanan yang bersilang-silang membolehkan semua spesies dapat hidup dan berkembang.
Tetapi dalam sesuatu spesies pula, juga terdapat kepelbagaian ragam cara hidup. Contoh jelas adalah manusia sendiri. Ia hanyalah satu spesies iaitu Homo sapiens sapiens. Tetapi ia muncul dalam pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum. Ada pula ciri-ciri lain bagi manusia yang merentas bangsa, kaum dan suku.
Bukan saja dari segi fizikal dengan setiap individu mempunyai ciri masing-masing. Sebab itu manusia muncul dengan kecenderungan dan minat yang pelbagai ragam. Akibatnya manusia mampu bersifat kreatif dan inovatif, mempunyai kepelbagaian buah fikiran dan melakukan kerja yang berbeza. Sifat inilah yang melahirkan budaya keusahawanan serta menggerakkan sistem pasaran bebas dan amalan demokrasi.
Oleh kerana pandangan manusia yang pelbagai ragam, maka sudah tentu dunia ini mempunyai banyak agama. Daripada agama konvensional kepada agama baru atau pemikiran kerohanian yang tidak terikat kepada mana-mana kepercayaan tradisi. Sementelah itu pula, banyak manusia langsung tidak mempercayai agama.
Dalam sesuatu agama juga, muncul pelbagai aliran dan mazhab. Otak manusia sememangnya begitu rupa. Ini adalah kepelbagaian intelek. Atau kepelbagaian kefahaman kerohanian.
Apa yang terbentuk dalam fikiran manusia juga dipengaruhi oleh bahasa. adanya pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum sememangnya ciri manusia yang muncul sebagai fitrah alam.
Tetapi begitu juga dengan bahasa. Terdapat pelbagai bahasa. Malah dalam bahasa-bahasa besar seperti Inggeris dan China yang dilihat begitu universal, tetapi di dalamnya terdapat perbezaaan. Antara dialek dan sebutan.

Senarai hitam pemandu bas 'pelesit'

SAYA tidak terkejut dengan hasil siasatan Utusan Malaysia seperti yang dilaporkan dalam akhbar ini, semalam mengenai perjalanan bas ekspres di waktu malam. Kajian itu mendapati 15 daripada 20 bas dipandu laju walaupun negara baru-baru ini digemparkan dengan kejadian yang mengerikan melibatkan bas ekspres dua tingkat di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ipoh. Sepuluh orang terkorban dalam kemalangan itu.
Memang tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku selepas kejadian tersebut, walaupun syarikat-syarikat bas mahu pun persatuan syarikat-syarikat bas dan pemandu-pemandu bas telah banyak membuat kenyataan ingin memperbaikinya. Pokoknya ialah tiada penguatkuasaan dan tindakan. Saya sangat bersetuju dengan dialog 'Senyum Kambing' di muka depan akhbar ini semalam.
Saya sebagai pengguna lebuh raya yang pulang ke selatan tanah air baru-baru ini melihat sendiri bagaimana sebuah bas ekspres dua tingkat tiba-tiba muncul di belakang kereta saya. Pada waktu itu saya memandu dalam kelajuan 120km/jam terpaksa memberi laluan kepada bas tersebut. Selepas itu bas tersebut jauh meninggalkan saya. Ini jelas menunjukkan bas tersebut dipandu melebihi had yang ditetapkan (bagi kenderaan perdagangan ialah 90km/jam).
Walaupun bas ekspres moden dua tingkat ini dilengkapi dengan enjin berkapasiti tinggi, ia mestilah terikat dengan had kelajuan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) iaitu 90km/jam.
Tetapi apa yang jelas saya perhatikan, bas dua tingkat ini dipandu seperti kereta dan ada yang berlumba dengan kereta persendirian. Inilah yang patut syarikat-syarikat bas buat pemerhatian. Janganlah diharapkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan sahaja. Tubuhkan unit 'Road Inspector' bagi memantau pemandu bas sendiri. Jangan diharap sangat kepada GPS kerana ia boleh dimanipulasi.
Syarikat-syarikat bas juga boleh bekerjasama dengan stesen minyak yang ada di lebuh raya bagi meletakkan 'Electronic Swipe Card' bagi pemandu bas mencatit kedudukan mereka. Syarikat bas perlu melabur bagi memberi keyakinan kepada penumpang.
Saya ingin memuji pemandu-pemandu lori yang memandu pada waktu malam. Mereka ini sentiasa memandu pada lorong kiri dan hanya mengikut lorong kanan apabila memotong. Jadi tidak hairan kenapa kita jarang mendengar kemalangan yang dahsyat melibatkan lori-lori.
Jika kita perhatikan, Prime Mover yang membawa 'container' 40 kaki, ketinggiannya lebih kurang sama dengan bas dua tingkat yang sedia ada. Tetapi kita jarang mendengar kemalangan yang melibatkan mereka. Jumlah lori ini saya rasa adalah lebih banyak daripada bas dua tingkat.
Justeru saya ingin cadangkan supaya LPKP mengarahkan syarikat-syarikat bas mengeluarkan 'kad aduan' yang diberi kepada semua penumpang bas semasa mereka membeli tiket. Kad aduan ini haruslah mempunyai butir-butir seperti perjalanan bas, nombor bas, tarikh, masa, tempat dan nama pemandu (harus dipamer dalam bas) dan jenis kesalahan seperti memandu laju/berbahaya.
Kad ini mestilah dihantar terus (dengan setem berbayar) kepada LPKP supaya ia boleh membuat tindakan susulan. Dengan cara ini pemandu akan lebih berhati-hati kerana tindakan mereka sentiasa diawasi oleh penumpang. Kita tidak boleh mengharap penumpang menegur pemandu secara langsung semasa dalam perjalanan kerana penumpang tidak pasti akan reaksi daripada pemandu. Jika kesalahan pemandu berulang mereka ini harus disenarai hitam dari memandu bas.

Semakin ramai takut naik bas

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Tabiat sebahagian pemandu bas ekspres yang suka memandu seperti ‘pelesit’ sehingga mencecah kelajuan 170 kilometer sejam (km/j) sedikit sebanyak telah menjejaskan industri pengangkutan awam.
Ibarat “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”, sesetengah pemandu bas ekspres merasakan mereka dihukum oleh masyarakat disebabkan kesalahan sebahagian pemandu yang tidak berdisiplin.
Begitu luahan rata-rata pemandu bas ekspres yang ditemui wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ketika melakukan tinjauan di Hentian Duta di sini baru-baru ini.
Tinjauan itu susulan laporan penyiasatan muka depan Utusan Malaysia Isnin lalu bertajuk ‘Jerat maut’ mengenai pemandu-pemandu bas ekspres ‘pelesit’ iaitu memandu terlalu laju dan berbahaya.
Siasatan susulan Unit Khas Utusan Malaysia selepas penyiaran laporan khas itu sehari kemudian mendapati pemandu-pemandu ‘pelesit’ terbabit tidak gentar atau takut sebaliknya memandu lebih laju.
Dalam siasatan bersama-sama penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua malam kemudian, menemui seorang pemandu bas yang memandu sepantas 170 km/j, seperti kelajuan dalam perlumbaan Formula One.
Pemandu bas ekspres, Johari Raman, 50, berkata, segelintir yang tidak berdisiplin ini telah merosakkan imej pemandu dan syarikat lain. “Mereka menyebabkan penumpang takut menaiki bas ekspres. Apabila penumpang kurang maka ia menjejaskan pendapatan kami kerana elaun perjalanan yang kurang,” katanya yang mempunyai pengalaman 20 tahun memandu bas.
Jelasnya, bagi mengatasi masalah pemandu tidak berdisiplin, majikannya menghantar pemandu-pemandu berkursus bagi memahami teknik pemanduan selamat dan pengendalian bas.
Jelasnya, bagi mengatasi masalah pemandu tidak berdisiplin, majikannya menghantar pemandu-pemandu berkursus bagi memahami teknik pemanduan selamat dan pengendalian bas.
Di samping itu, kata Johari, pemandu juga disediakan buku panduan pemanduan dan kad perjalanan bagi memastikan sentiasa peka dengan disiplin pada setiap perjalanan.
Seorang lagi pemandu, Baharom Abdul Rahman, 48, berkata, pengusaha sentiasa mengingatkan agar berhati-hati kerana sebarang kesilapan mengakibatkan nyawa melayang malah menutup ‘periuk nasi’ pemandu lain jika syarikat didenda.
“Pemandu harus sentiasa memikirkan tanggungjawab mereka kepada keluarga dan juga penumpang kerana ini adalah punca rezeki.
“Malah pemandu perlu sentiasa cergas supaya tidak leka, saya mengamalkan makan makanan ringan untuk menghilang mengantuk ketika memandu,” katanya yang memandu bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Elias Ariffin, 35, pula berkata, orang ramai harus berterima kasih atas jasa yang dicurahkan oleh pemandu bas ekspres.
“Jangan ketika ada kemalangan sahaja kami dipersalahkan, tapi ketika ribuan penumpang yang sampai ke kampung halaman dengan selamat kami langsung tidak diendahkan.
“Bagi yang tidak pernah memandu bas, mereka boleh kata macam-macam, hakikatnya tugas kami amat besar tanggungjawabnya dan amat memenatkan,” katanya.
 

Twitter, Voodo dan Haiti


TARIAN menyembah semangat adalah sebahagian dari ritual lazim yang diamalkan masyarakat Haiti.

KETIKA  penduduk Haiti ‘merangkak’ untuk bangkit daripada kemusnahan akibat gempa yang melanda negara itu 13 hari lalu, satu lagi gegaran dilaporkan berlaku. Dalam keadaan trauma, kejadian terbaru itu semestinya mengundang ketakutan yang bukan sedikit di kalangan penduduk di negara miskin itu.
Hakikatnya, gempa bumi yang melanda Haiti merupakan tragedi malang bagi dunia sebaik memasuki episod baru tahun 2010. Dalam kejadian tersebut dianggarkan lebih 200,000 orang terbunuh manakala 1.5 juta lagi hilang tempat tinggal.
Rata-rata mangsa bencana alam di situ bergantung kepada hasil pertanian, justeru kesengsaraan akibat musibah terburuk dalam tempoh 10 tahun itu sememangnya diketahui dunia.
Selepas hampir dua minggu kejadian gempa berukuran 7.0 pada skala Richter itu berlalu, kesan gempa semakin memburuk. Mangsa yang cedera meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan. Para doktor merayu untuk mendapatkan bantuan, manakala pencuri bertindak melibas satu sama lain dengan parang gara-gara berebut barang rampasan dari runtuhan bangunan.
Usaha untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap masih diteruskan. Namun dari hari ke hari keperluan ratusan ribu penduduk yang semakin meningkat masih tidak mampu dipenuhi.
Pakar bedah yang tidak menang tangan merayu untuk mendapatkan bekalan ubat bius, pisau bedah serta gergaji untuk memotong kaki atau tangan yang hancur.
Ribuan mangsa yang terselamat pula berasak-asak menaiki bas meninggalkan ibu negara. Di pusat bandar, mereka yang masih tinggal mengemis untuk mendapatkan keperluan asas.
Haiti yang sebelum ini mengalami masalah kekurangan sumber dan infrastruktur yang genting, terpaksa bangkit daripada kehancuran akibat kejadian gempa bumi antara paling dahsyat.
Sistem pendidikannya terjejas teruk setelah 50 peratus daripada sekolah di negara itu dan tiga universiti utamanya musnah
Kira-kira separuh daripada 15,000 sekolah rendah dan 1,500 sekolah menengah di Haiti musnah atau rosak dalam kejadian itu.
Program Makanan Sedunia (WFP) pula menjangka operasinya untuk memberi makanan kepada mangsa ditingkatkan daripada 67,000 orang kepada 97,000 orang.
Namun WFP memerlukan 100 juta bungkusan makanan yang sedia dimakan dalam tempoh 30 hari akan datang dan meminta sumbangan lebih banyak daripada seluruh dunia.
Seperkara yang menarik di sebalik peristiwa menyayat hati di Haiti adalah semangat dan usaha menghulurkan bantuan yang mendapat perhatian dari seluruh dunia. Paling ketara teknologi memainkan peranan penting dalam usaha untuk meredakan beban dan kesedihan penduduk di situ.
Teknologi
Jika sebelum ini usaha kemanusiaan hanya melibatkan antara negara dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kini masyarakat dunia tanpa mengira status dan kedudukan tidak lokek untuk turut serta.
Menerusi teknologi, masyarakat dunia lebih mudah untuk mendapatkan maklumat, berinteraksi serta berkongsi pandangan dan harapan.
Mesej kemanusiaan dilaungkan oleh pengguna-pengguna Internet menerusi laman web rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook bagi meraih simpati dan keprihatinan penduduk dunia dengan hanya menekan satu butang.
Selain gambar-gambar yang disiarkan di dalam ruangan Twitpic, topik-topik mengenai kejadian gempa di Haiti turut hangat dibicarakan termasuk pengguna laman web rangkaian sosial Facebook.
Langkah agresif turut disertai oleh selebriti lain seperti Oprah Winfrey, Paris Hilton, Ben Stiller, Lindsay Lohan dan Ryan Leslie.
Masing-masing menyampaikan mesej kemanusiaan melalui jaringan laman sosial Twitter milik mereka.
Dalam pada itu pasangan Brad Pitt dan Angelina Jolie merupakan antara selebriti terawal menyumbang derma sebanyak AS$1 juta (RM3.6 juta), selain Sandra Bullock dan Madonna (AS$250,000) bagi operasi bantuan perubatan organisasi tersebut.
Namun di sebalik semua kecanggihan teknologi, masyarakat Haiti masih terperangkap dengan kepercayaan lama yang sememangnya sinonim dengan cara hidup mereka iaitu voodo.
Voodo yang bermaksud roh ketuhanan dalam bahasa Ghana dan beberapa negara lain di Afrika sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kebanyakan penduduknya.
Lebih separuh daripada sembilan juta rakyat Haiti masih mengamalkan pelbagai cabang voodoo.
Terdapat mereka yang masih berpegang teguh dengan kepercayaan asal iaitu menganggap Nana Baluku sebagai tuhan pencipta, Mawu sebagai anak tuhan dan bertindak sebagai dewi bulan manakala Lisa sebagai dewi matahari.
Namun terdapat juga pengamal voodo yang mencampurkan kepercayaan mereka dengan Kristian Roman Katholik. Penjajahan barat mengakibatkan rakyatnya terpaksa bersembunyi mengamalkan agama mereka sehingga berpura-pura menganut Kristian.
Namun secara umumnya ramai di antara kita percaya voodo adalah sihir yang sering mengambil manusia dan haiwan sebagai korban untuk memuja semangat iblis dan mereka yang telah mati. Voodo yang tidak dinafikan kewujudannya telah menarik perhatian ramai orang untuk membuat kajian mengenainya.
Memandangkan Haiti merupakan antara negara pengamal voodo utama dunia, bencana yang menimpanya turut mengakibatkan perbalahan sesama mereka.
Contohnya kaedah mengkebumikan puluhan ribu mangsa gempa bumi dalam sejumlah kubur besar telah ditentang oleh ketua-ketua kepercayaan ilmu hitam voodoo yang membuat aduan kepada Presiden negara itu, Rene Preval.
Mereka bimbang pengkebumian secara tergesa-gesa tanpa mengikut upacara sepatutnya akan menyebabkan mayat-mayat itu hidup kembali dan mengancam penduduk.
Beberapa pegawai Haiti berkata, setakat ini sekurang-kurangnya 70,000 mayat telah ditanam di beberapa kubur besar di luar ibu negara berkenaan.
Menurut mereka, kaedah tersebut merupakan cara paling efisien bagi membuang banyak mayat yang reput selepas Haiti dilanda gempa bumi.
Ketua kepercayaan voodoo, Max Beauvoir bagaimanapun berkata, kaedah itu bertentangan dengan budaya masyarakat setempat.
Ia juga disifatkan sebagai tidak menghormati mayat.
Inilah antara beberapa rentetan mengenai negara malang yang tidak putus-putus ditimpa bencana.
Di sebalik kecanggihan teknologi yang kini menguasai dunia penduduk Haiti masih dibelenggu kepercayaan karut, perebutan kuasa dan pelbagai sifat ketamakan manusia. Masyarakat dunia semakin prihatin dengan masalah dan bencana yang melanda Haiti tetapi pengakhirannya rakyat sendiri yang perlu membuat perubahan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Perokok tegar tidak gerun

BAHAGIAN I laporan khas bertajuk ‘Kempen Berhenti Merokok Gagal’ yang disiarkan semalam mendapat banyak reaksi umum malah turut dijadikan isu untuk dikupas oleh orang ramai menerusi stesen televisyen dan radio sepanjang hari.
Keprihatinan pelbagai pihak dan khalayak itu adalah bukti bahawa rakyat memandang serius isu tersebut dan masih tertunggu-tunggu langkah paling berkesan dalam membasmi tabiat merokok di negara ini.
Sebenarnya, Kementerian Kesihatan bukan kehabisan idea dalam mendepani perokok-perokok tegar yang sangat sukar untuk meninggalkan tabiat tersebut.
Sebaliknya kerajaan telah melakukan pelbagai cara namun semuanya serba tidak menjadi gara-gara perokok sendiri tiada kesedaran tinggi untuk berhenti. Ini ditambah pula dengan jumlah perokok baru di kalangan remaja dan kanak-kanak yang semakin meningkat.
Bahagian II hari ini meliputi aspek lain termasuk satu lagi kegagalan, iaitu cetakan gambar-gambar penyakit kronik akibat merokok pada setiap kotak rokok yang tidak memberi apa-apa kesan kepada perokok.
Saya mengupas mengenai penggunaan gambar-gambar ngeri yang tidak menakutkan perokok itu dan juga reaksi tokok agama serta pakar psikologi berkaitan isu ini.

Malaysia syurga perompak?

APABILA orang Sepanyol, Mexico, Guatemala dan Costa Rica datang merompak di Malaysia maka ternyatalah bahawa di sebalik melimpahnya para pelancong asing yang meningkatkan pendapatan negara, meningkat juga ancaman terhadap rakyat.
Polis telah melakukan apa yang terdaya tetapi pihak kerajaan atau orang politik yang boleh mencegah perkara ini masih dengan ketamakan wang pelancong tanpa mempedulikan perasaan rakyat.
Tahniah kepada Menteri Pelancongan yang berjaya mempromosikan Malaysia sebagai 'Syurga Untuk Perompak'
Untuk menggalakkan pelancongan, kerajaan telah memberikan visa semasa ketibaan (VOA) kepada orang asing dan sejak itu berlakulah keliaran dalam kemasukan orang asing ke negara ini. Tujuannya hendak mencipta pencapaian yang baik ketibaan pelancong tanpa mempedulikan masalah keselamatan.
Sebelum ini pihak polis telah pun menyuarakan rasa 'ketidaksenangan' dengan kelonggaran yang diberikan oleh pihak Imigresen itu tetapi tidak ada pihak yang mengambil berat. Menteri Dalam Negeri juga tidak menghiraukannya.
Maka itu, perompak sekarang tidak sahaja dari Indonesia yang sudah menjadi lumrah tetapi rakyat dikejutkan oleh rompakan yang dilakukan oleh rakyat dari negara yang begitu jauh. Inilah kejayaan promosi pelancongan Malaysia.
Menurut berita akhbar pada 10 Januari 2010 tiga suspek warga dari Sepanyol, Mexico dan Guatemala telah ditangkap kerana dipercayai terlibat dengan rompakan kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang Kuala Terengganu yang menyebabkan kerugian RM1 juta, sebulan yang lalu. Perompak dari Costa Rica juga telah ditangkap di Gombak.
Tentunya ini menimbulkan prasangka rakyat terhadap kelemahan dalam pemantauan terhadap kemasukan orang asing oleh Jabatan Imigresen Malaysia yang telah pun mempunyai rekod penglibatan pegawai-pegawainya dalam kejadian rasuah tetapi jabatan ini pun tidak boleh dipersalahkan.
Akibatnya sekarang ditanggung oleh polis yang telah pun mempunyai bebanan yang cukup berat dengan pelbagai kerenah orang asing yang sudah sampai kepada peringkat mengacau isteri orang oleh 'Pak Hitam'.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti memikirkan bahawa jika negara ini sering mendapat publisiti buruk maka pelancong yang benar-benar hendak berehat di negara ini pun akan menjauhkan diri.
Menteri Dalam Negeri mestilah berunding dengan semua yang terlibat terutama pihak polis dan Imigresen untuk mencari jalan supaya imej negara sebagai 'Syurga Perompak' dapat dibersihkan segera.

Sistem pengangkutan darat terpantas




CRH kini menjadi kereta api peluru terpantas dengan kelajuan 350 km/j.




CHINA maju setapak lagi dalam sistem pengangkutan rel elektrik dengan pelancaran kereta api berkelajuan tinggi atau CRH yang kini merupakan kereta api peluru terpantas di dunia. Perkhidmatan kereta api Ekpres Harmony yang dilancarkan Disember lalu kini beroperasi dengan kelajuan 350 kilometer sejam (km/j) merentasi rel sepanjang 1,069 km, dari Guangzhou ke bandar Wuhan.
Dengan kelajuan itu, perjalanan dari selatan ke bahagian tengah negara itu yang sebelum ini memakan masa lapan jam berjaya disingkatkan kepada hanya tiga jam.
Rekod terbaru itu mengatasi kelajuan TGV, kereta api peluru Perancis yang memegang rekod terpantas sebelum ini (277 km/j), Shinkansen di Jepun (243 km/j) dan Eurostar yang menghubungkan London dengan Paris.
Walaupun beroperasi pada kelajuan 350 km/j, kelajuan maksimum CRH ketika ujian kepantasan yang dilakukan sebelum pelancarannya direkodkan pernah mencapai kepantasan 394 km/j.
CRH yang dibangunkan dengan kos melebihi AS$17 bilion (RM56.7 bilion) merangkumi pembinaan 42 jalur rel berkelajuan tinggi yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2012.
Ia dilengkapi teknologi termoden dengan kawalan keselamatan yang dapat menghentikan pergerakan keseluruhan gerabak dalam masa yang singkat sebaik sahaja sistem pemantauannya mengesan masalah.
Perjalanan dalam kabin CRH dijamin lebih selesa berbanding kereta api peluru generasi terdahulu tanpa bunyi geseran dan gegaran.
Malah, kehebatan kejuruteraan yang dibangunkan oleh syarikat Siemens, Bombardier dan Alstom itu juga menyediakan kualiti perkhidmatan yang setaraf dengan pengangkutan udara.
Dalam kabin seluas 3.6 meter itu, penumpang diberi kelegaan tempat duduk (saiz tempat duduk kereta) yang di bahagikan secara apitan berkembar dua dan tiga.
Selain kemudahan asas seperti tandas, televisyen dan pili air minuman percuma, penumpang juga dilayani petugas gerabak yang sedia untuk mengambil tempahan makanan dan minuman.
Menariknya, pelancaran sistem pengangkutan darat terpantas di dunia itu turut menyumbang kepada penurunan tambang pengangkutan udara di destinasi terbabit untuk bersaing dengan CRH.
CRH menawarkan harga tambang maksimum AS$115 (RM388) untuk perjalanan kelas pertama dan separuh harga bagi kelas ekonomi.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan Rel China, Wang Yongping berkata, pembinaan rel dengan 20 persinggahan di laluan Guangzhou-Wuhan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan wilayah negara itu secara lebih bersepadu.
"Untuk menampung lebih daripada satu bilion manusia, China bergantung kepada kereta api sebagai kaedah pengangkutan utama.
"Matlamat kerajaan adalah untuk menghubungkan setiap wilayah dengan tempoh perjalanan darat yang tidak melebihi lapan jam,'' ujarnya.
Tambah beliau, usaha 'mengecilkan' negara itu akan dipertingkatkan dengan memperluaskan rangkaian rel keretapi berkelajuan tinggi daripada 86,000 km yang ada sekarang kepada 120,000 km.
Sementara itu, kerajaan China turut mengumumkan pembinaan sistem kereta api berkelajuan tinggi yang akan menyingkatkan perjalanan Beijing ke Hong Kong daripada 23 jam kepada lapan jam.
Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi China bermula pada 2004 apabila Guangzhou dan Shenzen yang terletak di wilayah Guangdong dihubungkan dengan kereta api berkelajuan 160 km/j.
Sambutan menggalakkan terhadap sistem pengangkutan itu membawa kepada pelancaran satu lagi kereta api laju antara Tianjin dan Beijing yang dilancarkan pada temasya Sukan Olimpik tahun lalu.

Sama-sama fikirkan tersurat dan tersirat ekoran gempa bumi

port-au-prince iaitu ibu negara Haiti dilanda gegaran kuat akibat gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter, Rabu lalu.
Angka tepat belum diketahui tetapi dianggarkan lebih 100,000 penduduk pulau itu terkorban. Bangunan kediaman, pejabat, hospital termasuk istana Presiden ranap. Sistem bekalan air, elektrik dan komunikasi terganggu.
Jalan raya yang menghubungkan tempat mangsa gempa bumi rosak teruk, menyukarkan operasi bantuan dijalankan dengan pantas.
Ribuan mayat dan mangsa yang terperangkap masih dicari.
Bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa dan kerajaan Haiti, maka banyak bantuan antarabangsa diperlukan.
Walaupun Haiti jauh dari Malaysia, tetapi kita dapat memahami penderitaan dan kesedihan yang mereka alami melalui media massa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.
Rakyat Malaysia turut bersimpati dengan nasib penduduk Haiti yang kehilangan keluarga, sanak saudara dan tempat tinggal. Satu lagi takdir yang menguji umat manusia.
Walaupun kita berlainan agama dan bangsa, perasaan kemanusiaan pasti berdetik dalam hati untuk kita menghulurkan bantuan.
Mungkin ada kalangan penduduk Haiti tidak tahu Malaysia, tetapi itu bukan isu penting. Biarlah nama Malaysia tidak tercatat sebagai antara penyumbang terbesar kepada tabung bantuan pembangunan Haiti, sekurang-kurangnya kita menyumbang membantu insan yang amat memerlukannya.
Jumlah nilai wang bantuan tidak penting tetapi paling berharga ialah makna di sebalik sedikit pertolongan yang dihulurkan kepada mangsa. Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan kesengsaraan yang ditanggung.
Mulai hari ini, marilah kita semua rakyat Malaysia menyahut seruan supaya tampil menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh mangsa gempa bumi di Haiti.
Kita percaya, soal menghulurkan bantuan bukan suatu masalah kepada rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Biar sekecil mana sekalipun, kita lakukan atas dasar perikemanusiaan.
Bantuan terus kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Haiti ini adalah jauh lebih bermakna kerana yang diperlukan bukan lagi sekadar kata-kata simpati.
Hari ini kita membantu penduduk Haiti, mana tahu satu masa nanti mereka akan tersentuh membuat perkara yang sama semasa kita memerlukan pertolongan.
Tragedi menyayat hati di Haiti membuatkan kita berfikir, biarpun pelbagai teknologi canggih dicipta untuk mengesan petanda awal gempa bumi namun takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Itulah keagungan kuasa Tuhan tidak ada siapa yang mampu menghalangnya.
Kita tidak dapat meramal apatah lagi mengetahui dengan tepat bila gempa bumi akan berlaku. Memang ia bukan kerja manusia.
Baru-baru ini negara kita turut mengenang ulang tahun kelima tragedi tsunami pada 26 Disember 2004. Tetapi kesiapsiagaan penduduk Malaysia untuk menghadapi bencana alam rasanya masih pada tahap rendah.
Sesungguhnya banyak pengajaran bernilai daripada tragedi gempa bumi atau tsunami di negara jiran yang boleh kita perolehi termasuk perlunya kita bersedia menghadapi apa sahaja kejutan lebih besar selepas ini.
Sukar untuk dibayangkan bagaimana ratusan ribu nyawa manusia dan harta benda boleh musnah dalam sekelip mata.
Barangkali kita tidak menerima kejutan besar dalam bentuk bencana alam tetapi kejutan daripada sudut ekonomi, politik, keganasan dan alam sekitar yang lebih dahsyat kemusnahannya ke atas negara kita.
Perkara ini bukan mustahil dan tidak boleh berlaku. Terpulang kepada penduduk Malaysia sama ada mahu membiarkannya berlaku atau berusaha bersama-sama untuk menghalangnya.
Masalah utama rakyat Malaysia yang boleh direnungkan ialah tahap keprihatinan kita terhadap kualiti alam sekitar hingga mengakibatkan bumi menghadapi kecelaruan pada sifat hakikinya.
Kita jangan buat-buat lupa betapa banyak bencana yang kita hadapi dari semasa ke semasa seperti kejadian
 tanah runtuh adalah akibat kelalaian sikap kita.Sekali lagi, selepas berlaku sesuatu tragedi meragut nyawa manusia, kita suka melihat perkara yang tersiratdaripada yang tersurat. Selepas itu kita sendiri yang melupakannya. Sama-sama kita fikirkan.

Madu lebah tualang berpotensi jadi suplemen terapi kanser payu dara

Madu lebah tualang yang banyak terdapat di kawasan hutan simpan negara ini berpotensi menjadi suplemen dalam terapi kanser terutama kanser payu dara, kata Ketua Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof. Madya Dr. Nik Soriani Yaacob.
Katanya, kajian awal mendapati madu lebah dari pokok tualang yang tumbuh liar dalam hutan berpotensi menyekat penyuburan sel-sel kanser di samping membunuh sel-sel berbahaya itu daripada merebak.
"Namun begitu, penyelidikan ini masih di peringkat awal dan banyak kajian perlu dilakukan untuk memahami dengan lebih mendalam proses yang dirangsang oleh madu menyebabkan kematian sel-sel kanser tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk Aktiviti Anti Kanser Madu Lebah Tualang dalam seminar mengenai penggunaan madu lebah asli di sini hari ini.
Seramai 300 peserta hadir pada seminar dua hari itu bagi membincangkan antara lainnya mengenai khasiat madu lebah asli dalam bidang perubatan, cara mempopularkan penggunaan madu lebah dalam masyarakat dan menerokai pelbagai kegunaan madu lebah asli sebagai minuman dan makanan.
Program anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian itu di sini dirasmikan oleh Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz.
Menurut Dr. Nik Soriani, kajian menjurus kepada kaedah mengenal pasti sama ada madu dapat membunuh sel-sel kanser atau membantu mengurangkan penggunaan dos dadah atau radiasi yang diperlukan bagi membunuh sel-sel kanser.
"Kajian itu bagi mengenal pasti sama ada madu boleh menghalang atau mengurangkan pembentukan kanser memandangkan kajian sebelum ini mendapati madu mengandungi pelbagai komponen yang mempunyai aktiviti antioksidan, antiinflamatori dan antikanser," katanya.
Beliau berkata, penyelidikan juga menemui madu lebah tualang mempunyai pelbagai aktiviti antikanser dan kesan sitotoksik yang berlaku ke atas beberapa jenis sel kanser yang dikultur (ditumbuh) dalam makmal.
"Sel kanser yang dirawat dengan madu ini (tualang) menjalani proses apoptosis (kematian sel kanser) yang biasanya tidak berlaku pada sel-sel itu, tambahan lagi madu lebah tualang dapat meningkatkan rangsangan kematian sel-sel kanser payu dara oleh dadah tamoxifen," katanya.
Dr. Nik Soriani berkata, kesimpulannya, kajian ke atas sel-sel kanser dan tikus makmal mendapati madu lebah tualang mempunyai aktiviti antikanser yang dikultur menyebabkan kematian sel kanser, mengesan sel kanser, menyekat pertumbuhan sel kanser dan meningkatkan jumlah sel imun yang membunuh sel kanser.
Sementara itu, Dekan Penyelidikan Sains Klinikal USM, Prof. Dr. Nor Hayati Othman berkata, pihaknya menerima sumbangan 1.3 metrik tan madu lebah percuma daripada FAMA sejak kajian itu dijalankan bagi membolehkan kajian dibuat dengan berkesan terutama dalam penyakit kanser.
Beliau berkata, sumbangan berperingkat-peringkat sejak 2006 itu mendapati madu lebah tualang dianggap paling asli berbanding dengan madu lebah lain atau yang diimport dan memberi potensi dalam amalan harian.
"Madu tidak asli menyebabkan kesan sampingan yang berpanjangan dan perlu dihindari," kata Dr. Nor Hayati.

Simpang Tiga di Ipoh



ASAL restoran ini dari Perbaungan, kira-kira 40 kilometer dari Medan, Indonesia. Namanya diilham daripada nama lama tempat itu, Kota Simpang Tiga. Pak Salim, seorang usahawan gigih, mengambil keputusan membuka restoran berkenaan selepas ternakan ikan patinnya tidak berjaya dijual. Siapa sangka, akhirnya restoran ini menjadi antara yang paling popular di sana.
Atas sambutan yang diterima, tiga cawangan dibuka di Medan dan satu lagi di Jakarta.
Dan kini, atas cadangan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim yang terpikat dengan hidangannya ketika berkunjung ke sana atas urusan kerja, Restoran Simpang Tiga dibuka di bandar raya ini sejak Ogos lalu.
Diusahakan oleh beberapa usahawan muda tempatan, restoran ini boleh menempatkan hingga 600 pengunjung dalam satu masa dan pastinya pembukaannya sangat dinanti terutama kepada peminat hidangan nasi Padang.
Menurut pengurusnya, Mohd Effendy, Restoran Simpang Tiga menyediakan hidangan nasi Padang moden iaitu dengan menu tambahan ala masakan Cina seperti sotong goreng tepung, ikan masak tiga rasa dan beberapa hidangan laut yang lain.
Menu signatur nasi Padang seperti masak lemak pucuk ubi tumbuk (daunnya ditumbuk halus), gulai kepala ikan merah, gulai tunjang, dendeng, pepes ikan kembong, ikan talapia goreng (jika di Indonesia digunakan ikan gurame) dan banyak lagi semestinya tidak menghampakan.
Jangan dilupa, sambal ijo yang menjadi kegemaran untuk dicecah bersama ulam pucuk ubi atau enak juga dimakan bersama ayam kampung bumbu atau ikan goreng.
Bagi orang luar dari Ipoh, terutama dari Kuala Lumpur, pasti berpuas hati menjamu selera di sini kerana selain makanan enak, ‘poket juga tidak rabak.’
Pilihan minuman pula pelbagai dan yang paling istimewa adalah jus pelangi, jus tropika, jus durian belanda serta jus alpokat (avokado).
Dengan menu yang terdapat di sini, memang agak rambang mata juga tatkala ingin memilihnya. Apa lagi saat berada di kaunter makanan.
Akhir kata, bagi mereka yang mengunjungi Ipoh, jangan lupa singgah ke sini kerana pasti anda tidak kecewa dengan hidangan dan layanannya.

Bangunan tertinggi di dunia


BANGUNAN Taipei 101 yang hanya bertahan selama tiga tahun sebagai bangunan tertinggi di dunia.

SEBELUM pembinaan Menara Eiffel di Paris, kewujudan Piramid Giza sejak sekian lama telah memperlihatkan kecenderungan manusia dalam pembinaan struktur-struktur tinggi. Jika binaan tinggi pada zaman purba dicipta untuk mendekatkan diri dengan tuhan (dengan kepercayaan tuhan berada di langit), kini manusia menjadikan struktur yang sama sebagai lambang kuasa.
Burj Khalifa adalah contoh terbaik bagaimana ketinggian sesebuah bangunan menayangkan kuasa. Perasmiannya baru-baru ini membuka mata masyarakat dunia walaupun pembinaannya telah meletakkan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.
Mari kita lihat struktur-struktur (bangunan dan menara) tertinggi yang dianggap penting dalam tamadun dan sejarah seni bina manusia.
Selepas pembinaan Menara Eiffel dengan ketinggian 300 meter, struktur paling tinggi adalah Empire State Building yang berdiri setinggi 381 meter di tengah Kota New York, Amerika Syarikat (AS).
Bangunan yang melalui proses pembinaan daripada 1929 hingga 1931 bertahan sebagai bangunan tertinggi di dunia selama lebih 40 tahun.
Empire State Building diiktiraf oleh Persatuan Kejuruteraan Sivil Amerika sebagai salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Moden. Kini, bangunan ketiga tertinggi di AS itu telah jatuh ke tangga 15 tertinggi di dunia.
Pada 1998, dunia memandang ke arah Malaysia apabila bangunan tertinggi di dunia dibina secara berkembar dengan ketinggian 451 meter.
Dengan pencapaian itu Menara Berkembar Petronas memegang rekod bangunan tertinggi di dunia selama enam tahun sehinggalah diatasi oleh Taipei 101.
Bangunan yang dikagumi dengan seni bina menakjubkan dan jambatan udara bertingkat (di tingkat 41 dan 42) itu sehingga kini masih lagi kekal sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia.
Pada 2004, Taipei 101 atau dikenali sebagai Pusat Kewangan Taipei di Taiwan merampas gelaran tertinggi daripada Menara Berkembar Petronas dengan ketinggian 509 meter yang dimilikinya.
Pembinaan Taipei 101 memakan masa lima tahun dan dibina dengan keupayaan menahan gemba bumi dan taufan. Seperti namanya, bangunan yang diilhamkan daripada bentuk pokok buluh itu mempunyai 101 tingkat.
Taipei 101 kini berada di tangga kedua selepas takhta yang dipegang selama tiga tahun dirampas oleh Burj Khalifa, 4 Januari lalu.

Kemeriahan sambutan tahun baru


Jepun


TAHUN 2009 baru sahaja tiga hari melabuhkan tirainya. Pelbagai kenangan pahit manis yang dilalui sepanjang tahun lepas ditinggalkan untuk menyambut tahun baru yang diharapkan bakal membuka lebih banyak harapan dan kejayaan.
Sambutan tahun 2010 yang juga bermakna genap 10 tahun abad 2000 bermula tetap meriah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun dunia masih terhimpit dengan pelbagai masalah.
Dengan kebanyakan negara berdepan dengan kesuraman ekonomi yang belum dapat dipastikan bila akan pulih, kita juga terpaksa berhadapan dengan kemelut isu pemanasan global yang semakin serius.
Namun begitu yang pastinya semua ini tidak menghalang masyarakat dunia menyambut ketibaan tahun 2010 dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan.
Bagi penduduk di negara maju kemeriahan sambutan tahun baru pastinya tidak akan lengkap jika acara dan pesta yang serba meriah dilakukan bagi memuaskan kehendak mereka.
Dengan acara hiburan dan pelbagai pesta bunga api melingkari segenap ceruk bandar-bandar besar di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pastinya sambutan tahun baru dilihat sangat eksotik dan pelengkap kemeriahan.
Bagi negara kuasa besar dunia, AS yang meraikan pemilihan presiden pertama dari kalangan kulit hitam Barack Obama tahun lepas ia juga dianggap sebagai simbol kemenangan bagi mereka yang menentang perkauman.
Namun begitu sehingga kini masih belum jelas apakah AS mampu kembali bangkit sebagai sebuah negara yang sangat berpengaruh yang dihormati kawan dan lawan seperti sebelum-sebelumnya.
Akibat dari kebodohan George W. Bush memimpin menyebabkan AS hilang penghormatan dan semua kemelut ini terpaksa ditanggung oleh Obama.
Dalam ucapan tahun baru yang dikeluarkan laman web White House beliau berharap tahun baru ini akan memberi sinar yang lebih baik.
Ujarnya lagi walaupun kebanyakan penduduk negara itu berhadapan dengan keadaan sukar berikutan kemelut ekonomi yang melanda namun diharapkan negara itu mampu bangkit dan berhadapan dengan semua masalah yang mendatang.
Kemeriahan

Berlin


Di Eropah walaupun kebanyakan negara masih lagi diselubungi salji tebal namun ini tidak menghalang kemeriahan sambutan tahun baru berlangsung.
Di England kemeriahan pesta bunga api yang berlangsung di bandar London berhampiran rumah Parlimen sememangnya sesuatu yang dinantikan oleh penduduknya. Dianggarkan lebih 200,000 rakyatnya membanjiri kawasan sekitar London Eye bagi menyaksikan pesta bunga api.
Begitu juga di bandar-bandar lain di Eropah seperti Paris, Madrid dan Berlin yang mana kemeriahan lebih kurang sama dapat dilihat dan dirasai penduduknya. Pelbagai pesta, konsert dan pertunjukan bunga api berlangsung bagi meraikan sambutan tahun 2010.
Bagi negara-negara di Asia mereka juga tidak ketinggalan dalam meraikan sambutan tahun baru. Di Beijing dianggarkan lebih sejuta penduduknya berkumpul bagi menyaksikan pertunjukan bunga api dan konsert yang diadakan.
Kemeriahan yang sama turut dirasai hampir di seluruh bandar-bandar utama di Asia seperti Taiwan, Jakarta, Dubai dan Malaysia.
Kemelut ekonomi yang melanda dunia merupakan antara cabaran dan perkara utama yang perlu ditangani segera bagi kebanyakan negara.
Soal lain seperti pendidikan dan kebudayaan adalah penting untuk diseimbangkan tetapi apabila membabitkan perkara "periuk nasi" adalah perlu ia ditangani segera.
Berdasarkan pengamatan para penganalisis ekonomi, tahun 2010 masih belum menjanjikan sebarang pemulihan ekonomi yang nyata dan kita mungkin perlu berhadapan cabaran dan kekangan ekonomi yang lebih teruk.
Selain itu isu pemanasan global antara perkara yang perlu diberi perhatian khusus. Ini kerana ia membabitkan kelangsungan hidup manusia di dunia secara terus. Jika tidak ditangani segera maka manusia yang mencipta "kiamat" itu sendiri.

Dubai


Sesungguhnya kemeriahan sambutan tahun baru masih dirasai sehingga ke hari ini. Namun kita semua sedia maklum bahawa sambutan yang serba meriah ini hanyalah sesuatu yang sementara. Ini kerana realiti sebenar kehidupan kebanyakan kita masih lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah dan ragam yang perlu dilalui dalam meneruskan kehidupan seharian.
Pastinya tahun baru ini turut diraikan dengan pelbagai azam dan perubahan baru yang ingin dilaksanakan. Sama ada ia mampu dipenuhi atau tidak itu soal lain.
Namun asalkan kita sudah memasang niat untuk melakukan perubahan dan cuba sedaya upaya melakukannya itu sudah pun satu perkara yang mulia. Hanya yang esa sahaja yang mampu menentukan apakah segala perancangan yang dilakukan pada tahun ini akan mampu dipenuhi atau sebaliknya.

Bersama menggapai harapan 2010

ALHAMDULILLAH fajar 2010 telah menyingsing menandakan bertambahnya usia kita yang juga semakin mendekatkan kita dengan alam kubur. Namun demikian sudah pasti setiap daripada kita akan mempunyai perancangan dan strategi tersendiri untuk pastikan 2010 lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Sesungguhnya tahun 2009 telah banyak mencatatkan sejarah yang tersendiri, sama ada kisah suka mahupun duka. Marilah kita bermuhasabah sejenak meneliti sejarah 2009 untuk kita jadikan panduan dan iktibar agar kita terus menongkah arus perdana 2010 yang sudah pasti lebih hebat dan mencabar.
Kemalangan bas ekspres di Ipoh yang meragut 10 nyawa telah menimbulkan pelbagai ulasan dan pandangan yang semuanya menuding kepada kesilapan pemandu serta penggunaan bas bertingkat yang dikatakan tidak sesuai dengan sistem jalan raya di negara ini.
Namun tanpa kita sedar, faktor penggunaan penghadang besi juga menyumbang kepada kemalangan jiwa tersebut. Pada akal manusia, jika penghadang besi tersebut tidak tercabut dan menusuk masuk dalam bas, sudah pasti tiada nyawa yang hilang, Justeru, satu kajian teliti perlu dibuat apakah pemasangan besi tersebut sesuai atau sebaliknya.
Kemungkinan kedua yang juga boleh difikirkan adalah dengan menaikkan gaji pemandu bas agar pemandu tidak menjalankan kerja sampingan yang sudah pasti akan memberikan banyak waktu untuk mereka berehat, dan bukannya menamatkan perkhidmatan bas pada waktu malam.
Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah diselesaikan secara bijaksana oleh kerajaan setelah dibuat kajian terperinci di samping mengambil kira pandangan semua peringkat bukannya akur dengan demonstrasi jalanan yang kononnya mewakili suara rakyat. Inilah sebenarnya sebuah kerajaan yang mendahulukan aspirasi rakyat yang harus didahulukan.
Cuma kita masih tertanya-tanya, apakah setelah perjuangan memansuhkan PPSMI selesai bermakna perjuangan kita memartabatkan bahasa kebangsaan juga telah tamat? Apakah peranan kita kini dalam memastikan bahasa kita benar-benar dimartabatkan sebagaimana Perlembagaan negara?
Apakah pemimpin kita benar-benar meletakkan bahasa di tempat yang sepatutnya dan apakah media arus perdana telah mengambil kira peranan bahasa kita sebelum menyiarkan sebarang bahan untuk halwa telinga dan mata kita?
Isu penderhakaan kepada institusi raja telah mewarnai tahun 2009 yang amat memalukan bangsa dan agama kita yang maha suci. Mengapa kita sanggup menggadaikan maruah demi kepentingan politik sempit kita?
Mengapa kita sanggup mengikut alunan rentak mereka menanamkan benci kesumat kepada institusi diraja yang selama ini kita pertahankan? Apakah kita telah lupa bagaimana British menginjak-injak kepala Raja-raja Melayu dengan gagasan Malayan Union dulu?
Apakah kini kita sudah bersedia untuk merepublikkan negara ini kerana kita rasakan Raja-raja Melayu telah tidak layak dijadikan tempat kita bernaung?
Semoga dengan semangat Tahun 2010 ini, kita mampu bermuhasabah dengan mencari titik persamaan demi kelangsungan survival agama dan bangsa. Usahlah kita terus perdebatkan titik perbezaan di antara kita kerana ia tidak akan membuahkan apa-apa hasil yang menguntungkan masa depan anak cucu kita.
Memperbaharui iltizam suapaya kita tidak berterusan bercakaran sesama sendiri hanya kerana ingin mempertahankan ideologi serta agenda politik sempit yang sudah pasti tiada noktahnya.
Marilah kita terus memandang ke hadapan tanpa mempolitikkan semua kejadian yang berlaku dengan menyalahkan kerajaan tanpa kita insaf segalanya telah ditentukan oleh Allah SWT agar kita sentiasa bersyukur di atas apa sahaja yang dikurniakan-Nya di samping memperbaiki segala kelemahan kita selaku hamba-Nya.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket