Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Perjalanan 111 hari tawan puncak Kinabalu

HAK

ANTARA penemuan menarik Mohd. Noor Mat Amin semasa pendakian solo adalah air beku sehingga kelihatan seperti kepingan kaca.


TEPAT pada pukul 11.50 tengahari Selasa lalu, sejarah baru tercipta apabila Mohd. Noor Mat Amin berjaya menamat pendakian ke puncak Gunung Kinabalu untuk kali ke-111 dalam masa 111 hari.
Kejayaan pendaki solo itu melayakkan namanya diabadikan dalam Malaysia Book of Records sebagai pendaki pertama melakukan ekspedisi penuh berisiko dan berbahaya itu.
Sejurus menjejakkan kaki di Gerbang Timpohon, Taman Kinabalu, Kundasang, iaitu tempat permulaan dan penamat pendakian, Mohd. Noor mengucapkan syukur yang tidak terhingga.
Nadanya tenang tetapi gembira sambil mengucapkan rasa syukur: "Alhamdulillah, tiada perkataan mampu diucapkan dan syukur kerana dapat selesaikan misi ini dengan jayanya. Bagi saya ini bukan kekuatan saya tetapi rahmat Allah yang menjayakan misi ini."
Dengan kejayaan itu, bermakna Mohd. Noor perlu menyempurnakan satu lagi pendakian sebanyak 111 kaki menaiki anak-anak tangga Menara Kuala Lumpur, sebelum layak melakar nama dalam Guinness World of Records.
Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia itu dijangka mengambil masa lima bulan untuk disempurnakan.
Melalui 111 pendakian tanpa henti di Gunung Kinabalu, Mohd. Noor sebenarnya sudah melalui perjalanan sejauh 1,935.84 kilometer (km) melalui pelbagai bentuk rupa muka bumi, anak-anak tangga, cerun dan lembah yang berbahaya.
Perjalanan mendaki dan menurun yang dimulakan setiap hari dari Gerbang Timpohon itu secara puratanya mengambil masa lapan jam sehari membabitkan perjalanan sejauh 17.44 km.
Menurut jurugambar Utusan Malaysia itu, nilai positif yang perlu dicontohi melalui kejayaan fasa projek itu ialah semangat dan rasa tidak putus asa untuk berjaya.
Bukan aktiviti memanjat gunung atau mendaki anak tangga itu yang perlu dicontohi tetapi mesej sebenar iaitu tidak ada apa yang mustahil jika yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Kerja menakluk gunung itu bukan sahaja memerlukan kekuatan mental dan fizikal tetapi juga harus berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan, kabus, angin kencang dan ribut.
Ekspedisi ke puncak Kinabalu dengan ketinggian 4095.2 meter dari paras laut dan merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, harus menyusuri lembah, jurang dan gaung yang berbeza muka buminya.
Menceritakan pengalaman mendaki selama tiga bulan 20 hari itu, banyak pengalaman baru sama ada pahit atau manis menjadi kenangan Mohd. Noor yang mula jatuh hati dengan keunikan gunung tersebut.
Katanya, projek anjuran Kelab Rekreasi Kota dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu benar-benar menguji semangat dan kekuatan mental serta fizikalnya tetapi tetap tidak tunduk dengan cabaran tersebut.
Antara pendakian mencabar katanya, adalah pendakian ke-7 yang mana kabus tebal dengan jarak penglihatan tidak sampai lima meter dan keadaan itu menyukarkan perjalanan.
Selain itu kata Mohd. Noor, pada pendakian ke-15, hujan turun dengan lebat di sepanjang perjalanan sekali gus membuatkan kaki dan tangannya kebas akibat terlalu sejuk.
"Kesejukan itu sehingga mencecah lima darjah selsius, inilah cuaca paling sejuk pernah dialami sepanjang pendakian, namun saya berjaya juga menyempurnakan misi walaupun terpaksa ambil masa kira-kira 13 jam untuk menamatkan pendakian," ujarnya.
Kesejukan tersebut katanya, mengakibatkan lopak-lopak air tidak jauh dari puncak beku dan menjadi ais malah boleh dipegang seolah-olah kepingan kaca.
Melalui pendakian keesokannya pula kata Mohd. Noor, ujian lebih getir dilalui kerana bukan sekadar hujan biasa tetapi hujan lebat sehingga menghasilkan 'air terjun'.
Arus deras
Jelasnya, air terjun itu turun dari puncak hingga menyebabkan satu arus besar terbentuk dan menuruni trek pendakian dengan begitu deras. Misi tersebut terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Disangka tidak ada lagi cabaran tetapi pendaki solo negara berumur 43 tahun itu silap kerana sepanjang minggu berkenaan cuaca buruk melanda seolah-olah sengaja mengujinya.
"Pada pendakian ke-15 saya dan krew pendakian terpaksa turun dari puncak dalam keadaan merangkak kerana ribut kecil melanda sejurus tiba di puncak itu kira-kira pukul 5.10 petang.
"Kami terpaksa berbuat demikian untuk mengurangkan rintangan angin bagi mengelak badan masing-masing melayang," katanya yang ketika itu ditemani jurupandu, Maidin Sampot dan seorang penuntut UMS, Daniel Luhatngau.
Selepas sekian lama hasrat melakukan pendakian dua kali sehari tidak kesampaian disebabkan cuaca, Mohd. Noor berjaya berbuat demikian melalui pendakian ke-41 dan 42 pada 11 Februari lalu.
Pendakian ke-50 pula adalah hari yang istimewa kerana turut ditemani isteri, Rosmawati Mohd. dan anaknya, Muhammad Shahrulnizam serta Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon.
Insan-insan tersebut, katanya, begitu istimewa kerana menjadi pendokong utama dalam merealisasi projek tersebut apatah disambut isteri dan anak di puncak dalam keadaan cuaca baik.
Selain sejuk melampau, dia juga mengalami cuaca sebaliknya iaitu kepanasan sehingga 42 darjah selsius melalui pendakian ke-63 hingga mengakibatkan banyak pokok renek mati akibat kepanasan.
Keadaan itu juga ujarnya, membuatkan kolam takungan yang terletak berhampiran puncak kering kontang dan difahamkan situasi berkenaan pernah terjadi sekitar tahun 80-an.
"Pada pendakian ke-95 pula, angin selaju 60 km sejam melanda sebelum tiba di puncak dan keadaan saya waktu itu sakit di bahagian betis dan kaki akibat kesan pendakian berterusan," ujarnya.
Sebelum beberapa hari menamatkan misi itu, dia membuat kejutan akhir dengan melakukan tiga pendakian dalam masa dua hari iaitu pada Ahad dan Isnin lalu.
Pendakian itu adalah ekspedisi bagi kali ke-107, 108 dan 109 yang dilakukan untuk mengejar semula satu pendakian yang gagal dilakukan sebelum ini akibat cuaca buruk.
Saat paling tidak dapat dilupakannya sejurus menamatkan pendakian terakhir iaitu yang ke-111 kali, apabila disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Penolong Ketua Pengarang 1, Zaini Hassan.
Turut serta Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Madya Dr. Kassim Mansor.

Mesej pulihara hutan masih tidak diendahkan

KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berhubung aktiviti pencerobohan hutan dan pembalakan haram yang masih berleluasa pada bulan lepas jelas mencerminkan bahawa tahap kesedaran awam berhubung kepentingan menjaga khazanah hutan masih lagi berada pada tahap rendah.
Walaupun telah banyak penguatkuasaan dilakukan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti pembalakan haram, namun ia seolah-olah langsung tidak memberi petanda bahawa aktiviti tersebut akan berkurang. Sebaliknya, saban hari kita disogokkan dengan laporan berhubung aktiviti pencerobohan hutan termasuk pembalakan haram di dada-dada akhbar.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup pada pertengahan bulan lepas, ia cukup membimbangkan apabila 108 kes kesalahan hutan membabitkan pembalakan haram dalam hutan simpanan kekal di Semenanjung Malaysia telah direkodkan dalam tempoh empat tahun sejak 2007, manakala lapan kes lagi bagi tempoh tahun ini sehingga 10 Mac lalu.
Menurut beliau, seramai 144 orang yang terbabit dalam kegiatan pembalakan haram telah ditangkap dan 226 unit mesin serta jentera berat telah dirampas untuk tempoh 2006 hingga tahun lalu. Jumlah kutipan kompaun dan ganti rugi yang telah dikenakan kepada pesalah dan penceroboh hutan dalam tempoh berkenaan adalah sebanyak RM11.2 juta.
Melihat kepada situasi ini, siapa yang harus dipersalahkan. Bukan tiada usaha yang telah dilakukan oleh pihak berwajib, baik badan-badan kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan bagi mengatasi masalah ini. Malah, pelbagai kempen mencintai alam sekitar yang memberi tumpuan kepada semua peringkat usia telah dianjurkan dari semasa ke semasa.
Kebanyakan kempen berkenaan adalah bertujuan menyampaikan mesej berhubung kepentingan menjaga alam sekitar dan kepelbagaian sumber di dalamnya. Di samping itu, ia juga bermatlamat untuk menerapkan kesedaran secara berterusan kepada seluruh anggota masyarakat agar mereka tidak mudah alpa dan mengikut hawa nafsu dalam meneroka khazanah alam demi memenuhi tuntutan serta keuntungan duniawi semata-mata.
Namun, malangnya mesej-mesej yang disampaikan seolah-olah tidak diendahkan dan diambil peringatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang terus bertindak rakus terhadap hutan tanpa terbitnya rasa bersalah di dalam diri masing-masing. Bahkan, ia tidak ubah seperti 'mencurah air ke daun keladi' sahaja.
Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila sebahagian daripada mereka yang dicekup semasa aktiviti penguatkuasaan dijalankan adalah terdiri daripada pihak yang sama yang pernah disabitkan melakukan pencerobohan dan pembalakan haram. Ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak pernah serik walaupun telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa untuk kesalahan-kesalahan yang lepas.
Di sini timbul persoalan adakah hukuman berbentuk kompaun dan ganti rugi yang dikenakan ke atas kesalahan tersebut terlalu ringan sehinggakan ia tidak mampu memberi pengajaran kepada mereka. Jika jawapannya ya, mungkin kewajaran hukuman ke atas kesalahan menceroboh dan melakukan pembalakan haram perlu diperhalusi lagi agar ia benar-benar dapat memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat dan mampu menghentikan aktiviti tersebut.
Tindakan yang lebih keras dan tegas perlu diambil oleh pihak berwajib agar kemelut pencerobohan haram ke atas hutan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi. Dalam konteks ini, pihak berwajib juga tidak seharusnya berkompromi dengan pihak yang terbabit dengan pencerobohan hutan dan pembalakan haram kerana tindakan tersebut boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar.
Masalah ini perlu diberi perhatian yang serius agar kita tidak kehilangan warisan berharga yang telah terlalu banyak menabur jasa kepada kita di atas muka bumi ini. Jangan kerana sikap tamakkan wang ringgit oleh segelintir daripada kita, maka semua terpaksa menanggung azab sengsara dek bencana alam yang kian kerap berlaku lantaran keseimbangan alam yang telah digugat. Usah lagi ditambah derita yang kian sarat ditanggung alam, kerana ia kelak ternyata akan merugikan kita sendiri dan anak cucu kita juga akan turut terkesan lantaran sikap dan etika buruk kita terhadap alam.
Sudah tiba masanya setiap insan di atas muka bumi ini kembali merenung hakikat kejadian alam dan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini yang sentiasa diingatkan oleh Allah SWT untuk beretika baik terhadap alam dan seluruh makhluk yang lain. Justeru, amanah alam semesta yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT perlulah dipikul dengan sebaik mungkin agar kemaslahatan ummah akan terus terpelihara.
Alangkah sayangnya jika sisa-sisa hutan yang masih menghijau terus dinodai tanpa sekelumit rasa bersalah di dalam diri kita. Sedangkan kita sepatutnya mengurus dan mentadbirnya dengan sebaik mungkin agar tidak berlaku pembaziran dan eksploitasi berlebihan ke atas sumber-sumber tersebut.
Ini kerana, apabila ekosistem hutan dimusnahkan dengan rakus pastinya ia turut melenyapkan warisan dan kepelbagaian spesies lain yang ada di dalamnya. Apabila sebahagian spesies telah lenyap, ia akan memberi kesan yang lebih buruk lagi kerana secara lumrahnya setiap kejadian di atas muka bumi ini saling memerlukan dan berinteraksi antara satu sama lain bagi memastikan kitaran semula jadi terus seimbang.
Oleh yang demikian, hak-hak yang telah ditetapkan bagi setiap komponen alam perlulah dihormati dan dijaga sepenuhnya. Rasulullah SAW pernah bersabda (di dalam hadis riwayat Muslim) yang bermaksud: "Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan".
Justeru, jadilah pentadbir terbaik terhadap alam agar kehijauan dan keindahan alam terus terpelihara bagi membekalkan udara yang nyaman dan bersih kepada kita dan anak cucu kita. Sesungguhnya masa depan alam sekitar kita adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Jika baik perlakuan kita terhadap alam, maka selamatlah alam daripada sebarang bentuk kemusnahan.
Jadi sama-samalah bermuhasabah diri bahawa setiap kejadian di dalam alam semesta adalah sebagai petunjuk serta bukti keagungan dan kebesaran Allah SWT. Dalam konteks ini, al-Quran juga mengajar umat Islam agar sentiasa bersyukur dengan nikmat alam semesta dan menyedari bahawa ia dijadikan dengan begitu sempurna, seimbang dan harmonis untuk kelangsungan hidup seluruh makhluk.
Justeru, sebarang bentuk pencabulan atau kerosakan terhadap alam sangat dikeji oleh Allah SWT. Hal ini telah dijelaskan di dalam Firman-Nya (Surah ar-Rum, ayat 41) yang bermaksud: "Telah kelihatan kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)". Sama-samalah kita renungkan.

Etika mengguna kad kredit





Pengguna harus bijak menggunakan kad kredit agar tidak 'terperangkap' dengan beban hutan. - gambar hiasan




KAD kredit adalah antara produk institusi kewangan yang paling laris di pasaran. Kad kredit merujuk kepada sejenis kad yang ditawarkan oleh institusi kewangan seperti bank yang digunakan untuk mengganti penggunaan wang tunai.
Penggunaannya makin popular dan boleh dikatakan hampir setiap individu memiliki kad kredit. Sebabnya, ia memberikan kemudahan berbelanja tanpa perlu membawa wang tunai.
Secara mudahnya, kad kredit adalah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang kad membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.
Namun, pernahkah kita bertanya bagaimana kad ini berfungsi atau kita hanya tahu gunakannya sahaja! Pihak pengeluar kad kredit apabila menawarkan kad kredit kepada pelanggannya, menerusi kad tersebut seseorang pelanggan itu diberi talian kredit, dengan had maksimum yang boleh dicaj kepada kad tersebut yang disebut sebagai 'had kredit'.
Apabila kad berkenaan digunakan untuk sebarang perbelanjaan maka had kredit yang diberikan akan berkurangan. Apabila bayaran dibuat maka had tersebut akan kembali bertambah dan ini jika pemegang kad kredit membuat bayaran balik baki sepenuhnya.
Namun, pemegang kad kredit biasanya tidak berbuat demikian, mereka sebaliknya hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya. Daripada sudut etika penggunaan kad kredit, kaedah pembayaran ini tidak digalakkan.
Kad kredit jika digunakan mengikut kaedah yang betul memang satu kemudahan yang sangat memberi manfaat kepada masyarakat. Namun, jika sebaliknya ia mengundang padah seperti yang dilaporkan dalam www.kosmo.com.my/kosmo, di mana Bank Negara menjelaskan, jumlah hutang kredit tidak berbayar sehingga Mac tahun 2000 adalah RM5.7 bilion berbanding Mac 1998, sebanyak RM4.4 bilion.
Angka terkini mendedahkan sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai tunggakan hutang kad kredit berjumlah RM22.4 bilion. Ia satu peningkatan lebih 400 peratus dalam tempoh satu dekad, dengan jumlah kad kredit yang beredar di pasaran hari ini berjumlah 11 juta.
Fenomena ini sungguh membimbangkan di mana purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad kredit. Namun, hanya kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion berdasarkan statistik Oktober 2006.
Hutang tertunggak
Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis adalah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.
Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan sektor kredit yang sebelum ini terjejas teruk akibat dari kemurungan ekonomi dekad yang lalu, tetapi merancakkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi masyarakat.
Namun, seperti yang dinyatakan di atas, sedar ataupun tidak, gejala penggunaan kad kredit secara berleluasa tanpa pengawasan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak sihat kepada ekonomi dan moral individu serta masyarakat.
Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.
Langkah bijak yang perlu dilakukan oleh masyarakat dalam memilih untuk menggunakan kad kredit ialah dengan memilih kad-kad kredit secara Islam yang ditawarkan oleh perbankan Islam.
Ini kerana ia bukan sahaja menepati syariah malah tiada unsur-unsur menindas dan menganiaya.
Penggunaan kad kredit perlu berteraskan etika dan tatacara tertentu agar ia membawa kebaikan dan tidak membuka ruang kemudaratan kepada para pengguna kad kredit dan harta mereka.
Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa penggunaan kad kredit hanyalah untuk memberikan kemudahan kepada mereka ketika berurusniaga tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia membahayakan keselamatan pemiliknya di samping menyusahkan.
Dengan adanya kad kredit, mereka tidak perlu mengambil risiko mengeluarkan wang tunai dari bank dan pengguna tidak terbeban membawa wang tunai untuk membuat pembelian atau pembayaran.
Sayangnya, ada di kalangan masyarakat hari ini memiliki kad kredit bukan untuk kemudahan tetapi lebih kepada bermegah-megah. Bagi mereka, kad kredit melambangkan status sosial yang tinggi di mata masyarakat.
Keadaan ini tidak pelik kerana terdapat beberapa lokasi perniagaan seperti restoran dan hotel yang memberikan layanan istimewa kepada pemegang kad kredit kerana ia menonjolkan imej kemewahan.
Hasilnya, terbitlah sifat- sifat negatif yang lain seperti riak, sombong, angkuh, tamak dan iri hati.
Sifat berbangga-bangga sehingga menyebabkan angkuh dan sombong ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, Allah SWT merakamkan pesanan Luqman kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Luqman: 18)
Pendek kata, penggunaan kad kredit untuk dibangga-banggakan adalah jelas terpesong daripada tujuan asalnya. Sekiranya niat asal sudah tergelincir, maka tentunya penggunaannya pasti melanggar batasan yang sepatutnya.
Jika motif memiliki kad kredit adalah untuk berbangga-bangga, sudah pasti pengguna akan cenderung kepada membuat pembelian bukan disebabkan keperluan, tetapi untuk kepuasan dan menunjuk-nunjuk. Sehingga ada individu yang memiliki empat hingga lima kad kredit semata-mata bagi menggambarkan bahawa mereka adalah golongan elit dan berstatus tinggi.
Perlu diberi perhatian juga, penggunaan kad kredit hendaklah ketika keperluan yang amat sangat. Masyarakat boleh memiliki kad kredit untuk kemudahan terutamanya ketika berlaku kecemasan. Elak menggunakannya secara melampau dan melebihi had yang tidak sepatutnya.
Ini kerana, ia akan mewujudkan budaya suka berhutang yang amat tidak digalakkan oleh Islam kecuali bagi mereka yang benar-benar berhajat kepadanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (riwayat Muslim, 6/38)
Menggunakan kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank. Maka setiap kali kita menggunakannya, ia bererti kita menambah satu lagi liabiliti yang perlu dilunaskan.
Semuanya akan dipertanggungjawabkan sehingga kita dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak sekiranya gagal menunaikannya.
Justeru, masyarakat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pembelian melalui kad kredit. Gunakanlah sekadar keperluan sahaja dan jangan melampaui batasan yang sepatutnya.
Di samping itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengguna kad kredit adalah perbelanjaan tersebut tidak boleh melebihi kadar yang munasabah bagi kapasitinya untuk membayar semula.
Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.
Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya.
Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.
Jika wang sudah mencukupi, pengguna perlu terus membuat pembayaran. Ingat, setiap hutang wajib dibayar balik.
Sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Hindar menerima, perangi si pemberi rasuah

SEJAUH manakah kefahaman masyarakat mengenai perbuatan menawar atau memberi rasuah sebagai satu kesalahan jenayah yang serius? Jika disabitkan dengan kesalahan ini seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman yang berat termasuk dipenjara dan didenda.
Kebiasaannya, pendakwaan kes-kes rasuah yang dipaparkan oleh media massa lebih berkisar kepada individu-individu yang menerima rasuah. Kebanyakan penerima rasuah yang mendapat perhatian media massa terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang dikatakan mempunyai kuasa untuk mengambil atau tidak mengambil sesuatu tindakan yang mana ia memberi manfaat kepada si pemberi rasuah.
Terdapat juga pandangan dan teguran segelintir masyarakat bahawa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah semata-mata. Ada juga antaranya yang tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.
Bermula dari kewujudan Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan terkini Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, jelas memperuntukkan bahawa perbuatan memberi suapan rasuah merupakan suatu kesalahan yang serius di bawah undang-undang negara ini. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa perbuatan memberi atau menawarkan rasuah merupakan suatu kesalahan yang sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah:
"Seseorang melakukan kesalahan jika dia memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan hal ehwal prinsipalnya."
Jika disabitkan dengan kesalahan ini, seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Perbuatan memberikan rasuah ini juga merupakan kesalahan yang dipandang serius oleh agama. Ini dapat dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW: "Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah".
Rasuah tidak akan berlaku seandainya salah satu pihak sama ada pemberi atau penerima tidak merestuinya. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada pemberi. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada penerima. Rasuah akan berjaya dibanteras jika kedua-dua pihak pemberi atau penerima enggan melakukannya dan melaporkan apa-apa percubaan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa untuk tindakan.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tun Abdul Hamid Mohamad, dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Aspirasi SPRM menjelaskan: "Jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama sekali yang masing-masing mesti lakukan ialah menghindar diri daripada perbuatan rasuah. Caranya mudah dan semua orang tahu: "Jangan beri dan jangan terima rasuah".
Namun begitu, kajian ahli-ahli kriminologi Barat menjelaskan bahawa rasuah ini diibarat jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Dari 10 kes rasuah yang berlaku hanya satu sahaja dilaporkan. Ini kerana kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat-syarat yang ditetapkan bersama.
Rasuah sentiasa menjadi fokus kepada apa jua dasar dan strategi pembangunan negara ini. Sejak awal kemerdekaan sehinggalah ke hari ini, kita amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang berpandangan jauh dan menjadikan rasuah sebagai isu penting yang perlu diperangi.
Seawal kemerdekaan, kerajaan telah menubuhkan sebuah agensi penguatkuasaan khas membanteras rasuah iaitu Badan Pencegah Rasuah pada 1967. Agensi ini terus wujud dan berkembang sehinggalah ke hari ini yang telah dinaiktarafkan sebagai sebuah suruhanjaya.
Kerajaan juga sebenarnya telah melakukan pelbagai bentuk reformasi dan transformasi dalam perkhidmatan awam untuk mengubah sikap dan pandangan keseluruhan penjawat awam terhadap rasuah. Penubuhan Institut Integriti Malaysia, pengenalan Pelan Integriti Nasional, penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan yang kini telah digantikan dengan Jawatankuasa Keutuhan dan Tadbir Urus (JKTU) dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang membincangkan isu integriti dan rasuah di pelbagai peringkat kepimpinan, dari nasional hingga ke daerah, penubuhan pasukan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan yang terkini pelancaran Integrity-Pact Dalam Perolehan Kerajaan jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memerangi jenayah ini.
Usaha memerangi jenayah rasuah ini bukan mudah untuk diukur dan terhasil dalam sekelip mata. Menerusi pelbagai dasar dan pendekatan yang digunakan kerajaan dan SPRM, pegawai-pegawai kerajaan dilihat telah meningkatkan tahap integriti dan kebenciannya terhadap rasuah semakin tinggi.
Berasaskan perangkaan SPRM, bagi tempoh sepuluh tahun iaitu 2000 hingga Februari 2010, sejumlah 878 orang telah ditangkap atas kesalahan cuba menyogok penjawat awam. Secara puratanya seramai 88 orang ditangkap setiap tahun atas jenayah ini. Daripada jumlah 878 tangkapan tersebut, hampir 90 peratus melibatkan cubaan menyogok anggota penguat kuasa pelbagai agensi.
Cubaan menyogok ini pula mempunyai kaitan dengan usaha pemberi rasuah untuk mengelakkan diri dari dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan jenayah berat lain yang juga serius seperti dadah, penyeludupan, judi, pelacuran, pendatang asing, kesalahan jalan raya dan sebagainya.
Kes dua anggota polis Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmazi yang ditawarkan rasuah RM500,000 oleh penyeludup dadah yang membawa 978 kilogram syabu, dianggarkan bernilai RM280 juta wajar dijadikan iktibar dan teladan.
Atas kesedaran dan tahap integriti yang tinggi, kedua-dua anggota ini telah menolak tawaran rasuah tersebut dan seterusnya menangkap pengedar dadah tersebut.
Ini adalah antara contoh terbaik bagaimana penjawat awam pada hari ini mempunyai tahap integriti dan kesedaran yang cukup tinggi untuk menolak godaan pemberi rasuah.
Masyarakat secara umum dan penjawat awam yang bertugas di agensi-agensi penguatkuasaan khasnya harus melihat kesan yang mungkin terhasil dari tindakan melindungi perbuatan jenayah.
Mengambil contoh kes di atas, kita tidak dapat membayangkan betapa ramai anak muda akan terjerumus dengan penyalahgunaan dadah sekiranya syabu seberat 978 kilogram memasuki pasaran.
Ini secara tidak langsung mengakibatkan kadar jenayah seperti samseng jalanan, kegiatan ragut, pergaduhan kumpulan, pembunuhan yang berpunca daripada pengaruh syabu akan meningkat dan seterusnya memberi kesan kepada keharmonian serta keselamatan masyarakat.
Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada tahun 2010 ini, SPRM akan melancarkan kempen kesedaran secara besar-besaran kepada semua penjawat awam khasnya dan anggota masyarakat untuk menghentikan perbuatan menyogok penjawat awam.
Di pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen yang telah dirancang menerusi media massa.

Didik seks melalui media

KES pembuangan bayi merupakan masalah yang tiada noktah. Kita tidak boleh hanya menggeleng kepala dan menyumpah pelakunya.
Apakah yang boleh kita lakukan sekarang supaya tidak ada lagi bayi yang dibuang serta tiada kehamilan luar nikah? Tindakan kita dengan memberi pendidikan agama, nasihat, teguran, kritikan dan ulasan mungkin akan lambat untuk nampak keberhasilannya.
Masalah ini banyak melibatkan orang Melayu dan sedikit sekali kaum lain. Ini bukanlah bermakna kaum lain tidak melakukan hubungan luar nikah tetapi bagi kaum lain fikiran mereka mungkin lebih terbuka dalam menghadapi masalah ini.
Cuba kita ambil contoh sekiranya gadis Cina melakukan hubungan luar nikah dan disebabkan takut hamil mereka mungkin akan meminta nasihat daripada kawan, saudara atau keluarga. Nasihat yang diterima mungkin dapat menyelamatkan daripada proses kehamilan terjadi.
Sekiranya gadis Melayu melakukan hubungan luar nikah mereka pastinya tidak berani meminta nasihat daripada kawan dan keluarga disebabkan malu serta takut dimarahi.
Ini akan membuatkan mereka tidak mendapat apa-apa nasihat untuk mencegah kehamilan. Pada peringkat awal mereka akan terasa agak takut dan panik atau mungkin juga mereka tidak berbuat apa-apa dengan harapan kehamilan tidak terjadi. Proses ini berlaku berbulan dan apabila diketahui kehamilan berlaku ia sudah terlambat.
Saya cadangkan pihak-pihak tertentu seperti NGO atau kerajaan memulakan pendidikan pencegahan kehamilan melalui media massa seperti akhbar dan televisyen.
Anak-anak muda kita perlu dididik tentang penggunaan kondom dan pil pencegah kehamilan juga alat pencegah kehamilan seperti IUD dan di mana ia boleh didapati. Mereka juga perlu dididik tentang tanda-tanda kehamilan. Apa yang saya cadangkan di atas adalah seperti mana langkah pihak hospital menyediakan jarum suntikan kepada penagih dadah untuk mengelakkan HIV.
Ini bukanlah bermaksud kita menggalakkan pemuda kita menjadi penagih tetapi sekurang-kurangnya kita sudah cuba menjauhkan masalah yang lebih besar iaitu HIV.
Saya hargai langkah Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin untuk menyelamatkan bayi yang ditinggalkan. Saya juga cadangkan Pendidikan Pencegahan Kehamilan dimasukkan dalam kempen ini.
Elok juga diadakan talian khas supaya dapat dihubungi oleh mereka yang bermasalah ini untuk mendapatkan khidmat nasihat tanpa perlu mendedahkan identiti diri.
Bayi yang diselamatkan akan dapat terus hidup di bawah jagaan pihak tertentu atau sebagai anak angkat. Masalah yang timbul ialah apabila beliau telah dewasa dan mengetahui siapa dirinya. Ini akan menyebabkan kecelaruan dalam hidupnya dan beliau mungkin akan merasa rendah diri, memberontak atau pendendam.
Pada ketika ini beliau mungkin akan menjadi masalah pada keluarga angkatnya dan masyarakat. Jadi masalah pembuangan bayi tidak selesai dengan hanya kita menyelamatkan bayi ini dan membesarkannya.
Kita perlu fikirkan tindakan segera kerana sekiranya sehari kita lewat bertindak maka sembilan bulan lagi kita akan menerima lagi mayat bayi yang dibuang.
Seandainya hari ini kita mula memberikan pendidikan pencegahan kehamilan serta kaedah-kaedahnya saya pasti masalah ini akan berkurangan atau hilang terus selepas sembilan bulan akan datang.
Mungkin ada yang berpendapat cadangan ini akan mengundang masalah perzinaan pula. Bagi saya biarlah kita selesaikan masalah yang besar ini dulu kemudian kita cuba betulkan kembali punca masalah ini, mungkin dengan pendidikan agama dan penyerapan nilai ketakwaan dalam diri pelajar sekolah.
Saya akui pendapat saya di atas bukanlah cara penyelesaian yang terbaik dan banyak juga kesan yang tidak baik tetapi adalah diharapkan kaedah itu akan dapat menyekat masalah kehamilan luar nikah serta pembuangan bayi menjadi parah.
Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan cadangan saya, saya minta marilah kita bersama-sama mengeluarkan pendapat yang berdasarkan fakta dan kaedah yang lebih baik untuk mengurangkan dan menghapuskan masalah di atas dengan segera.
Semoga dengan cara ini kita tidak lagi akan berjumpa dengan mayat bayi didalam longkang, tong sampah, masjid atau surau.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket