Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Menghargai pekerja

Mulai 1991, kerajaan turut menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja secara tetap setiap tahun sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan pekerja kepada pembangunan negara.
Perhimpunan yang disertai pekerja sektor awam dan swasta juga bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak kerajaan, majikan dan pekerja.
Pada tahun ini, perhimpunan yang bertemakan 'Pekerja Merealisasi Transformasi Negara' akan diadakan pada 7 Mei di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sebagai penghormatan kepada golongan pekerja, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk menyampaikan amanat khas pada perhimpunan berkenaan.
Sebenarnya, keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap nasib golongan pekerja tidak boleh disangkal. Ini terbukti apabila kerajaan telah bersetuju menetapkan gaji minimum seperti yang dituntut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak lebih 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, golongan pekerja sudah tentu menantikan respons kerajaan terhadap beberapa tuntutan lain yang telah dibuat termasuk cadangan pekerja sektor swasta diberikan elaun sara hidup (COLA) RM300 sebulan berikutan kenaikan harga barangan.
Dalam pada itu, sambutan Hari Pekerja 2011 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan diadakan di Ipoh pada Ahad ini.
Satu lagi sambutan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan CUEPACS akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Mei.
Bagi penjawat awam mereka sudah pasti ternanti-nantikan apakah lagi berita baik yang akan diumumkan Najib sebagai respons terhadap permohonan CUEPACS sebelum ini.
Antaranya cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan daripada RM180 kepada RM300, jawatan Gred 1 hingga 16 dimansuhkan dan pekerjanya dinaik taraf ke Gred 17 dan diselaraskan kadar COLA kakitangan awam.
Walaupun bukan semua tuntutan berkenaan dapat dipenuhi berikutan kekangan kewangan kerajaan, ia tidak harus dijadikan alasan oleh pekerja untuk tidak bekerja kuat.
Pekerja sektor swasta dan awam sepatutnya terus meningkatkan lagi produktiviti masing-masing supaya matlamat untuk menjadikan Malaysia negara maju pada 2020 tercapai.

Apabila kena saman trafik, bermacam alasan diberi

PESALAH lalu lintas tahun 2010 bernasib baik kerana kerajaan telah melanjutkan tempoh pembayaran saman sehingga Mac lepas, ditambah dengan diskaun 50 peratus pula. Namun, masih ada yang tidak mengambil peluang keemasan ini. Banyak alasan yang diberi, termasuk sibuk dan tidak mempunyai duit yang mencukupi.

Undang-undang lalu lintas tetap sebuah undang-undang yang perlu kita patuhi. Kita pula sebagai manusia biasa, yang juga pengguna jalan raya, sama ada sebagai pemandu kenderaan ataupun pejalan kaki bukannya sempurna. Kita telah dan akan sering melanggar undang-undang lalu lintas.
Ada yang salah meletak kereta, melanggar had laju atau si pejalan kaki pula melakukan jay walking, tidak menyeberang jalan di tempat yang ditetapkan. Bayangkan jika tiada undang-undang lalu lintas untuk dipatuhi, maka porak-perandalah suasana di jalan raya.
Aku sendiri sebagai pemandu kereta tidak dapat mengelakkan diri daripada disaman polis trafik atau penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Aku pernah melakukan kesalahan meletakkan kereta di jalan bergarisan kuning, meletak kereta di tempat pejalan kaki dan sekali sekala memandu terlebih had laju.
Biasanya selepas dua hari kena saman, aku cepat-cepat membayar denda atau kompaun. Tiada siapa yang suka disaman. Saman yang paling tidak disukai pemandu kenderaan ialah saman ekor. Sebabnya, saman itu dikeluarkan sedangkan pesalah tidak tahu atau sedar masa dan tarikh kesalahan yang dilakukannya.
Membayar saman lambat atau cepat itu bergantung pada sikap seseorang itu. Aku memang bayar cepat walaupun membayar cepat tidak mendapat kemudahan diskaun. Ada yang suka tunggu. 'Untuk mendapat diskaun.'
Lain pula dengan kawanku, Liza. Dia ada banyak saman yang belum dibayar walaupun ada tawaran diskaun baru-baru ini. "Saman DBKL pun ada yang belum dibayar," kata Liza yang tidak puas hati kerana telah disaman oleh pihak DBKL.
Menurutnya, dia meletak keretanya di ruang pejalan kaki depan kedai yang telah pun ditutup. Saman itu dibuat atas kesalahan menghalang laluan pejalan kaki. Dia mendakwa nampak seorang lelaki memakai ketayap menelefon seolah-olah membuat aduan kepada pihak DBKL.
Liza memberi alasannya: "Aku tiada pilihan, aku terpaksa meletakkan kereta di situ sekejap. Aku hendak cepat untuk menghadiri kelas al-Quran di tempat yang berdekatan."
Terpulang kepada tuan punya diri. Sama ada rasa bersalah menyusahkan orang lain. Undang-undang dimaktubkan untuk kemudahan orang ramai. Tanya diri juga sama ada mahu bayar atau tidak. Kalau tidak mahu bayar, tunggu terima surat panggilan untuk hadir ke mahkamah pula.
Namun, golongan pemandu yang menyara hidup mereka di atas jalan raya, misalnya, pemandu bas, lori dan teksi itu, bagaimana pula? Jika ditanya hal saman-menyaman, pastinya mereka tergelak kerana bersikap sudah tak kisah. Soalnya, siapa yang bayar denda? Diri sendiri atau majikan?
Aku pernah menaiki sebuah teksi melalui sebatang jalan utama di ibu negara yang agak sesak. Pemandu teksi itu merungut-rungut apabila dia tidak dapat memintas kenderaan di hadapannya.
"Pemandu teksi ni nak cari makan atas jalan raya. Berilah ruang sikit," rungutnya. Hati kecilku berkata, "Siapa yang dengar rungutannya? Semua di dalam kereta masing-masing." Apabila sampai sahaja di persimpangan lampu isyarat, walaupun lampu sudah merah, dia terus pecut. Aku terdiam, tidak terkata apa-apa.
Aku telah paparkan sikap segolongan pengguna lalu lintas. Aku juga ingin membawa para pembaca merenungi prosiding Mahkamah DBKL yang menangani kes-kes trafik di ibu negara. Di situ dibicarakan kes kesalahan kecil yang kita sendiri pandang remeh sahaja.
Prosiding mahkamah itu dikendalikan oleh seorang majistret wanita. Aku pernah meliputi satu kes seorang penunggang motosikal yang didapati bersalah mengguna lorong khas untuk laluan bas.
Aku masih ingat dan tertarik dengan jawapan pemuda itu. Katanya, dia hendak cepat ke tempat kerja. Disebabkan jalan terlalu sesak, dia tidak dapat mencelah-celah kenderaan maka dia terpaksa 'mencuri' laluan bas.
Tanpa banyak soal, majistret memutuskan: "Denda RM100." Lelaki yang berusia 30-an itu menggaru-garu kepala sambil berkata: "Puan, saya minta tangguh bayar denda dalam tempoh sebulan, sebab saya akan kahwin."
Majistret mengangguk-angguk membenarkan dia 'berhutang' dahulu untuk membayar dendanya selepas berkahwin.
Di Mahkamah Trafik pula, seorang pemandu kereta yang mendakwa terlupa pakai tali pinggang. Dia cuma didenda RM30. Itulah undang-undang lalu lintas. Sesiapa sahaja yang meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga boleh menghalang lalu lintas maka kenderaannya akan ditunda dan dia terpaksa membayar saman.
Saman yang dianggap kebanyakan orang sebagai kerja yang menyusahkan diri sendiri.

Selamat menyambut keputeraan sultan Perak ke 83.............


Daulat Tuanku

MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI TAHNIAH
KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA.
PADUKA SERI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
IBNI ALMARHUM SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
SULTAN, YANG DI-PERTUAN DAN RAJA PEMERINTAH
NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-83
PADA 19 APRIL 2011
Sembah Takzim Daripada
Arif Anwar bin Lokmanol Hakim
wakil Bandar Baru Putra.

Hari Bumi, di manakah kita?

Pada 22 April ini, seluruh dunia akan menyambut Hari Bumi. Tema sambutan tahun ini adalah 'Berbilion Tindakan Hijau'.

Meneliti tema itu, apa yang dimahukan sambutan kali ini ialah kempen-kempen memulihara alam sekitar dijana oleh orang ramai yang boleh dilakukan dalam berbilion cara.
Di Malaysia, ada tiga program pemuliharaan alam sekitar untuk Hari Bumi 2011 iaitu Selamatkan Air Terjun, sementara Kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MeNGO) turut mengadakan Mengo Green Hunt 2011.
Selain itu, Four Starwood Hotels & Resorts di Langkawi akan mengadakan program menanam 1,000 pokok di Sungai Bukit Hantu.
Bagi saya, kebanyakan program yang diadakan itu hanyalah promosi perhubungan awam untuk selari dengan program yang dijayakan di seluruh dunia. Ia hanya program berkala dan tiada kelestarian dalam pemuliharaan alam sekitar secara berterusan.
Apabila program selesai dijalankan, tidak banyak pihak mahu berusaha untuk meneruskannya supaya dapat berkekalan dan betul-betul 'menjadi'.
Apa pun, saya tidak mahu komen banyak mengenai program yang dilakukan oleh pihak korporat kerana pada saya walaupun tidak berterusan tetapi mereka tetap melakukan sesuatu yang baik dan boleh dicontohi.
Apa yang ingin saya katakan ialah usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh individu yang tidak pernah diberikan promosi oleh media.
Mereka secara senyap melakukan pemuliharaan alam sekitar dengan usaha sendiri termasuk mengeluarkan kos sendiri.
Bagi saya, mereka ini yang sepatutnya dibantu kerana tidak ramai mahu melakukan usaha murni ini dengan perbelanjaan sendiri.
Usaha yang dilakukan tanpa mahu mempopularkan diri ini perlu diberi perhatian khusus supaya ia dapat diteruskan.
Yang peliknya, walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri, usaha murni ini dilakukan secara berterusan sehingga ada yang berjaya sampai kepada matlamatnya.
Jika mereka boleh berjaya, kenapa mereka yang mempunyai bajet tinggi dan pelbagai tajaan daripada pihak korporat tidak boleh berjaya.
Kenapa perlu dilakukan dalam masa singkat sahaja. Adakah hanya disebabkan mahu popular dalam masa singkat atau hanya mahu mendapatkan pelepasan cukai?
Jadi, sempena Hari Bumi 2011 ini, saya amat berharap bukan hanya korporat, individu juga boleh memulakan kempen pemuliharaan secara berterusan.
Lebih mudah, ia boleh dimulakan di rumah dengan menjalankan aktiviti kitar semula dengan mengasingkan bahan buangan secara teratur.Mampukah kita?

Banjir: Thailand rugi RM25 juta



Beberapa buah kenderaan termasuk kenderaan berat meredah banjir di sebatang jalan raya di wilayah Surat Thani di selatan Bangkok pada 30 Mac lalu. Selatan Thailand dilanda banjir teruk sejak dua minggu lalu mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta. - REUTERS


BANGKOK 8 April - Banjir selama dua minggu di wilayah selatan Thailand mengakibatkan industri pelancongan negara itu mengalami kerugian perolehan pendapatan berjumlah 2.5 bilion Baht (kira-kira RM250 juta).
Menurut Majlis Pelancongan Thailand, ketibaan pelancong telah merosot sehingga 30 peratus berikutan gangguan kepada perkhidmatan pengangkutan jalan, kereta api, penerbangan dan perkhidmatan feri.
Bagaimanapun, kesan jangka pendek itu tidak memberi kesan buruk kepada industri pelancongan secara keseluruhan dalam masa jangka panjang.
Empat wilayah masih dilanda banjir ialah Nakhon Si Thammarat, Phattalung, Surat Thani dan Trang, kata seorang jurucakap Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand hari ini.
Katanya keadaan banjir di enam lagi wilayah iaitu Phangnga, Narathiwat, Satun, Chumphon, Songkhla dan Krabi — sedang beransur pulih.
Lapangan Terbang Nakhon Si Thammarat, yang ditutup sementara sejak Isnin lalu, kini dibuka semula semalam manakala perkhidmatan keretapi arah selatan dari Bangkok berhenti di Stesen Chai Ya, Surat Thani.
Angka korban banjir telah mencecah 58 orang dengan wilayah Nakhon Si Thammarat mencatat 25 kematian, Surat Thani (12), Krabi (10), Phattalung (5), Chumphon (3), Trang (2) dan satu di Phangnga. - BERNAMA

Gempa terbaru Jepun ragut 4 nyawa

TOKYO 8 April - Gempa bumi sekuat 7.1 pada skala Richter yang menggegar Jepun malam tadi mengakibatkan sekurang- kurangnya empat maut, sementara lebih 100 yang lain cedera, lapor perkhidmatan kecemasan hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran melaporkan, seorang wanita berusia 63 tahun di wilayah Yamagata maut selepas mesin pernafasannya gagal berfungsi akibat gegaran tersebut.
Menurut laporan, dua lelaki warga emas masing-masing berumur 79 dan 85 maut turut terbunuh di wilayah Miyagi, lokasi yang terjejas teruk semasa gempa bumi 9.0 skala Richter pada 11 Mac lalu yang turut mencetuskan tsunami.
Stesen penyiar NHK melaporkan, lelaki berusia 79 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri selepas gegaran dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Jiji Press pula melaporkan, seorang lagi lelaki berusia 85 tahun turut mati akibat gempa bumi semalam, namun ia tidak menyatakan butiran lanjut.
Menurut agensi tersebut, sekurang-kurangnya 93 orang disahkan cedera sehingga pukul 8.30 pagi ini waktu Malaysia, sementara Jiji Press melaporkan kira-kira 140 orang cedera.
Syarikat pembekal elektrik tempatan, Tohoku-Electric Power melaporkan, sehingga tengah hari ini kira-kira 2.62 juta rumah masih mengalami masalah bekalan elektrik akibat gempa bumi semalam.
Agensi Meteorologi Jepun turut menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan lebih sejam selepas gempa bumi itu berlaku pada pukul 11.32 malam waktu tempatan itu (10.30 malam waktu Malaysia).
Gegaran terbaru itu turut mencetuskan panik di kalangan penduduk apabila orang ramai mula berbaris panjang di kedai-kedai serba guna bagi membeli bekalan makanan, minuman dan bateri. 

Pergolakan dunia semasa

PELBAGAI perkembangan berlaku seminggu dua ini dan penting untuk kita mengambil tahu. Pasaran saham New York dan London naik walaupun Libya, Syria dan Yemen bergelut dengan demonstrasi inginkan perubahan kepimpinan.
Libya sudah dikenakan zon larangan terbang dan pengeluar minyak ketujuh terbesar di dunia itu tidak akan dapat membekalkan dunia dengan dua peratus yang dibekalkannya selama hari ini.
NATO memimpin serangan ke atas tentera Gadaffi, walaupun kadangkala mereka tersalah sasaran dan pejuang anti-kerajaan menerima padahnya. Pada waktu yang sama, minyak juga naik ke paras AS$108 setong di pasaran New York, paras tertinggi sejak dua tahun lepas.
Kenaikan minyak dan emas mencecah paras AS$1,451 seauns di pasaran New York. Sekali imbas dilihat bahawa kekacauan di Timur Tengah tidak mendatangkan kesan buruk kepada pasaran saham dunia. Walaupun Obama berhadapan dengan kemungkinan ditutup perkhidmatan kerajaan Amerika Syarikat angkara tiada persetujuan dengan speaker yang terdiri daripada Republican tentang pemotongan AS$33 bilion daripada belanjawan negara tersebut, keadaan ekonomi di negara tersebut menunjukkan tanda-tanda pemulihan terutama sekali dari segi pengurangan pengangguran.
Laporan pendapatan syarikat juga menunjukkan rata-rata pemulihan korporat. Di rantau sebelah kita, berita terbaru ialah kemungkinan besar kerajaan Australia menolak pembelian Bursa Saham Australia oleh Bursa Saham Singapura. Penggabungan itu sekiranya berlaku akan mewujudkan bursa saham kedua terbesar di rantau Pasifik.
Sedikit sebanyak ini akan memberi kesan kepada bursa saham kita. Sudah sampailah masanya bursa saham kita berbuat sesuatu supaya kita dapat terus berdaya saing di rantau ini. Ini berlatarbelakangkan kemajuan dari semasa ke semasa bursa-bursa lain seperti Thailand dan Indonesia yang semakin hari semakin mengorak langkah yang jauh daripada kita.
Ura-ura menyenaraikan saham-saham daripada bursa-bursa di rantau ASEAN ini perlu dipercepatkan kerana entiti demikian hanya satu saja yang boleh wujud dan kalau ditubuhkan oleh orang lain, kita akan melepas lagi.
Tumpuan kepada pelabur runcit wajar dipertingkatkan kerana tiada siapa yang tahu kuasa pelabur runcit yang sebenarnya. Kalau kita memperkatakan tentang pelabur institusi, balik-balik kita bercakap tentang institusi-institusi yang sama sahaja seperti KWSP dan PNB. Kalau hendak dikirakan dari segi mutu syarikat yang tersenarai berbanding dengan bursa lain di rantau ini, kita memiliki lebih banyak syarikat yang bermutu tinggi daripada bursa-bursa lain, tetapi kenapa jumlah dagangan dan nilai dagangan orang lain lebih tinggi daripada kita.
Ini bererti faktor-faktor sokongan seperti kemudahan pembiayaan kewangan dan lain-lain faktor yang berkaitan dengan susah/senangnya melakukan urusan dagangan perlu dilihat dan dikaji. Pasaran adalah ibarat burung di dalam genggaman, kalau terlalu ketat burung akan mati, terlalu longgar burung akan terbang. Seorang broker yang telah berkecimpung dalam pasaran saham selama 20 tahun dan telah bersara mengatakan walaupun kita telah mencecah paras 1,500 mata di FBMKLCI tetapi dalam ‘real terms’ (kenaikan sebenar), kita belum mencapai paras 1990-an dahulu.
Kita perlu menaikkan minat pelabur runcit kita dan kembali kepada kedudukan pertama di rantau ASEAN seperti sebelum krisis 1998 dan dengan adanya kemajuan teknologi hari ini, kita tidak memerlukan banyak cawangan untuk syarikat broker kita. Kita hanya perlukan ‘kemudahan dalam urusan melalui teknologi’.
Dua perkara penting yang wajar kita beri perhatian ialah kedudukan mata wang kita dan nilai emas dari semasa ke semasa. Mata wang kita telah menunjukkan kenaikan sejak Januari 2011, berbanding dengan Dolar Amerika yang menunjukkan kenaikan daripada AS$1 sebanyak RM3.0640 pada 3 Januari 2011 kepada RM3.0255 untuk AS$1 pada 5 April 2011.
Bagi mata wang pound, mata wang kita jatuh daripada RM4.762 untuk satu pound pada 3 Januari 2011 kepada RM4.9466 untuk satu pound pada 5 April 2011 dan untuk Dolar Singapura pula kita juga jatuh daripada RM2.3839 untuk satu Dolar Singapura kepada RM2.4006 bagi satu Dolar Singapura untuk masa yang sama. Apa yang boleh kita rumuskan daripada angka-angka ini ialah kenaikan Ringgit dengan Dolar Amerika dan bukan lain-lain tempat. Ini disebabkan ekonomi Amerika sudah sampai ke tahap yang teruk dan baru hendak kembali pulih.
Bagi emas pula harga penutup pada 5 April 2011 ialah AS$1451.80 seauns dan setahun dulu ialah AS$1132.90 seauns, kenaikan sebanyak 28.15 peratus. Bagi kebanyakan orang ramai, mungkin harga ini terlalu tinggi tetapi di sinilah bursa saham kita perlu melihat ETF untuk emas diperdagangkan. ETF ialah Exchange Traded Fund atau Dana Dagangan Bursa seperti yang digunakan dengan saham indeks atau saham-saham pilihan. Dengan dagangan ETF ini, seseorang pelabur itu tidak perlu mengeluarkan harga satu auns tetapi satu par sepuluh daripada harga semasa.
Walau bagaimanapun jika pelabur ingin menyimpan emas secara nyata, bursa mestilah bersedia memberikannya. Pada masa ini, sesiapa yang berminat melabur dalam emas (bukan barangan kemas), ada bank-bank perdagangan yang jual beli emas dengan menggunakan buku simpanan.
Jadi, bagi mereka yang ada lebihan wang untuk dilaburkan, fikir-fikirkanlah yang mana satu wajar diberikan tumpuan. Satu lagi malapetaka yang melanda ekonomi ketiga terbesar dunia ialah tsunami dan gempa bumi berukuran 8.9 pada 11 Mac 2011 di Jepun dan kesan buruk selepas itu. Kesan utama yang banyak diperkatakan hari ini ialah loji nuklear yang bahan radioaktifnya telah dibuang ke Lautan Pasifik.
Pelbagai angka radiasi diberikan sehingga tujuh juta kali ganda paras selamat pernah dinyatakan. Apa yang berlaku di loji nuklear Jepun ini memberi pelbagai implikasi kepada negara-negara yang ingin mendirikan loji nuklear. Malahan ramai yang sudah memberhentikan operasi loji mereka, menunggu apa yang bakal berlaku di Fukushima tersebut dan bagi mereka yang bakal mendirikan loji nuklear, mengkaji semula keinginan tersebut.

Bubble Tree khemah VVIP

BUBBLE Tree bakal memenuhi permintaan orang ramai yang ingin merasai pengalaman tidur di bawah bintang dan terjaga sehingga matahari terbit.



Setelah penat, penggunaan rumah mudah alih (khemah) boleh diibaratkan sebagai aset paling penting untuk dijadikan sebagai tempat berteduh dan berehat.
Oleh itu, pemilihan khemah yang bersesuaian perlu diberi perhatian agar waktu pengembaraan tidak disia-siakan begitu sahaja.
Produk khemah pasang siap, Bubble Tree yang berharga sekitar RM29,700 hingga RM56,100 (bergantung kepada model) pastinya memberi keselesaan umpama anda sedang berada di dalam khemah lima bintang.
Ia diperbuat daripada bahan-bahan fabrik kalis air dan tidak perlu disambungkan kepada sebarang rangka tiang sokongan, selain amat sesuai digunakan di mana-mana lokasi tapak perkhemahan.
Istimewanya mengenai khemah ini, ia didatangkan dengan set sofa, katil, lampu elektrik dan kusyen mini yang mampu memberi pengalaman luar biasa ketika bermalam di bawah bintang-bintang.
Warna lutsinar yang diguna pada Bubble Tree membolehkan pengguna menikmati pemandangan 360 darjah waktu malam dan siang secara maksimum tanpa perlu keluar dari khemah berkenaan.
Ada juga model yang direka dengan lantai kayu dan secara khusus untuk kegunaan di pantai dan rimba.
Khemah Bubble Tree hanya perlu dipam dengan pengepam udara elektrik yang dibekalkan.
Pengepam udara itu juga didatangi dengan penuras udara yang menyebarkan udara segar.
Ia juga berfungsi mengekalkan tekanan udara dalam bentuk gelembung buih.
Pereka Bubble Tree yang berasal dari Perancis, Pierre Stephane Dumas berkata, khemah mewah Bubble Tree dihasilkan daripada konsep idea bola Zorbing.

Cemerlang akademik, insaniah



SEKUMPULAN pelajar meraikan kejayaan dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Langkah mengehadkan pengambilan 10 subjek membantu ke arah kejayaan pelajar. - Gambar hiasan



PERTAMA, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang memperoleh keputusan baru-baru ini. Kepada yang berjaya, teruskan kecemerlangan anda di peringkat seterusnya. Kepada yang kurang berjaya, ingat ini bukan noktah perjuangan anda. Teruskan dan gandakan usaha anda pada masa akan datang.
Dasar mengehadkan jumlah maksimum subjek yang boleh diambil oleh pelajar dalam SPM tahun lalu terbukti memberikan kesan positif terhadap keputusan SPM 2010 yang dianggap terbaik dalam tempoh empat tahun ini.
Dengan pelaksanaan dasar tersebut, pelajar boleh memberi perhatian sepenuhnya dalam subjek yang diambil kerana pelajar dikehendaki untuk mengambil hanya 10 subjek dan dibenarkan mengambil tidak lebih daripada dua subjek tambahan.
Selain itu, pelajar boleh mempelbagaikan strategi pembelajaran yang berkesan untuk subjek-subjek yang diambil. Selain dapat mengelakkan pelajar daripada belajar secara menghafal sesuatu konsep, hal ini juga memberi kesan positif kepada pelajar. Ini kerana ilmu yang mereka pelajari akan dikuasai untuk kesan jangka panjang dan seterusnya digunakan untuk peringkat yang lebih tinggi.
Contohnya subjek Matematik yang terkandung dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mengandungi tiga komponen utama iaitu Nombor, Bentuk dan Perkaitan. Strategi pembelajaran yang berkesan untuk satu komponen tidak sama dengan komponen yang lain.
Misalnya untuk komponen bentuk atau geometri, strategi pembelajaran berbentuk penyiasatan konjektur amat digalakkan untuk dilaksanakan kerana ia terbukti berkesan untuk meningkatkan kefahaman pelajar. Tambahan pula ia boleh dilaksanakan secara mudah dan berkesan dengan kehadiran pelbagai teknologi seperti perisian Geometer's Sketchpad (GSP) yang telah dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada semua sekolah menengah di Malaysia.
Secara tidak langsung, alat bantu mengajar dan makmal komputer yang disediakan oleh kementerian dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sekadar menjadi perhiasan di sekolah. Hal ini juga menyahut fokus kerajaan dalam sistem pendidikan negara iaitu melahirkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Saranan ini disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri pada Oktober tahun lalu.
Selain aspek pengukuhan dalam bidang akademik, dasar mengehadkan jumlah maksimum subjek yang boleh diambil pelajar dalam SPM juga memberi impak positif dalam aspek lain. Ia juga merupakan satu langkah yang wajar dalam usaha untuk mengubah sistem pendidikan negara kita pada hari ini yang lebih berorientasikan kepada peperiksaan.
Guru pula tidak perlu terkejar-kejar menghabiskan sukatan pelajaran untuk mempersiapkan pelajar menghadapi ujian dan peperiksaan. Melalui dasar ini juga, pelajar mempunyai masa untuk melibatkan diri secara aktif dalam kokurikulum. Walau secemerlang mana seseorang pelajar dalam bidang akademik, mereka akan menghadapi masalah untuk memasuki institusi pengajian tinggi sekiranya mereka tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum.
Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), penglibatan pelajar dalam kokurikulum bertujuan melahirkan pelajar yang bersifat holistik iaitu mereka bukan sahaja berjaya dalam aspek akademik tetapi juga mempunyai nilai-nilai insaniah.
Hal ini sekali lagi menyahut usaha kerajaan iaitu salah satu fokus yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan ialah aktiviti yang dapat melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia dalam usaha mengurangkan masalah sosial remaja yang semakin meruncing hari ini.
Jadi terbuktilah bahawa dasar mengehadkan pengambilan matapelajaran dalam SPM memberi impak yang besar bukan sahaja dari aspek keputusan peperiksaan, malah akan memberi impak positif kepada aspek-aspek lain.

Earth Hour, faham atau tidak?

RAMAI yang menyambut program Earth Hour 2011 minggu lepas dengan memadam lampu selama sejam sejak pukul 8.30 malam.
Malah bukan hanya orang perseorangan, program yang dimulakan di Sydney, Australia pada 2007 itu juga sudah mula menarik minta pihak korporat yang turut memadamkan lampu-lampu pada bangunan mereka.
Bukan hanya di Malaysia, program Earth Hour ini juga turut diadakan di seluruh dunia yang menyaksikan pelbagai monumen bersejarah turut menyertainya dengan memadamkan lampu.
Program yang dianjurkan oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) ini turut diselitkan dengan pelbagai program sampingan di beberapa lokasi untuk menunggu tempoh sejam itu berakhir.
Tidak terkecuali Malaysia di mana kali ini, WWF-Malaysia bersama-sama Sunway Pyramid yang menjadi lokasi rasmi bagi program Earth Hour 2011 di negara ini.
Ramai yang berseronok ketika program itu berlangsung. Malah pelbagai pertunjukan diadakan bagi mengelakkan pengunjung bosan.
Selain itu, pada program tersebut, WWF-Malaysia turut melancarkan ikrar Live Green: One switch at a time yang mahukan penduduk negara ini menjalani kehidupan yang lebih mapan.
Namun yang menjadi kekhuatiran penulis ialah, adakah mereka yang menyambut program itu tahu makna di sebalik ia diadakan?
Penulis khuatir, mereka yang menyambut program itu hanya ‘suka-suka’ dan selepas habis program, tiada apa-apa makna bagi mereka.
Mungkin bagi mereka, Earth Hour hanyalah pesta menutup suis lampu sahaja dan tidak memberi apa-apa maksud yang mendalam kenapa ia dilakukan.
Jadi kemungkinan, program itu tidak akan sampai kepada maksud kenapa ia dilakukan.
Cuba bayangkan jika dalam masa sejam itu, semua rumah, kilang, kompleks perniagaan dan 28.7 juta rakyat Malaysia bukan hanya menutup lampu, tetapi tidak menggunakan elektrik.
Ini akan menyebabkan kurangnya bekalan elektrik yang akan digunakan berbanding pada hari-hari biasa.
Jadi apa maksudnya. Pada penulis ia akan mengurangkan penggunaan bahan bakar atau tenaga yang digunakan untuk menjana bekalan elektrik yang akhirnya akan mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.
Jadi dalam diam kita sebenarnya membantu menyelamatkan bumi. Mengurangkan kerapuhan pada bumi dengan mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.
Itu baru sejam, bayangkan jika ia dilakukan setiap hari selama sejam atau mungkin lebih dari sejam.
Jika ia dapat dilakukan setiap hari, kita dalam diam sebenarnya berjaya menyelamatkan bumi daripada terus musnah.
Dan bagi mereka yang terus melakukan agenda ini tanpa menunggu Earth Hour, penulis ucapkan tahniah!

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket