Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

ucapan ramadhan

Saya mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat islam di dunia. Moga-moga puasa kita diterima & diampuni oleh Allah SWT. Puasalah seluruh anggota badan. Insya-Allah,kita dapat keberkatan puasa kita.

Merancang pengisian Ramadan

CUBA kembalikan ingatan kita pada hari-hari terakhir Ramadan lalu. Bawakan diri kita pada saat itu. Bayangkan diri kita berada dalam suasana hari-hari terakhir Ramadan tersebut.Ingatkah betapa hiba dan sayunya perasaan kita kerana Ramadan bakal pergi? Bagi yang benar-benar menghayati bulan mulia itu, terasa betapa Ramadan cepat berlalu. Terasa begitu banyak yang tidak sempat dilakukan. Terasa betapa banyak peluang membersihkan diri dan mendapat pahala dari Allah SWT, yang tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Akibatnya, ramai di antara kita berharap dapat bertemu semula dengan Ramadan. Kita berharap dipanjangkan umur untuk mengecap nikmat keberkatan Ramadan yang akan datang. Kita berazam, jika peluang itu diberikan, kita akan menggunakannya sebaik mungkin. Kita akan mengisinya dengan perkara mulia. Kita akan mengambil pengajaran dari ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam ini.
Itulah azam kita pada Ramadan lalu dan kini dengan izin-Nya, Ramadan itu datang lagi. Jadi, bersediakah kita melaksanakan azam yang kita pahatkan itu? Pastinya, perkara pertama yang harus dilakukan umat Islam adalah mensyukuri kedatangan bulan ini. Kita bersyukur kerana masih berpeluang bertemu Ramadan agar dapat menikmati keberkatan dan kemuliaan yang terkandung dalam bulan tersebut.
Seterusnya, adalah juga wajar bagi kita untuk mula merancang pengisian tertentu sempena bulan Ramadan. Namun, mungkin ada yang bertanya, kenapa perlu merancang? Kenapa kita tidak boleh melakukan seperti biasa dilakukan di bulan itu? Mungkinkah kita hanya melakukan apa sahaja yang orang lain lakukan? Bukankah itu lebih mudah?
Secara luarannya, sememangnya kita boleh membuat apa sahaja yang orang lain buat. Maknanya, kita lalui Ramadan itu dengan pengisian tertentu berdasarkan apa yang biasa dibuat. Namun, untuk memaksimumkan manfaat bulan tersebut sewajarnya kita mempunyai rancangan sendiri. Melaluinya, ibadat-ibadat yang ingin dilakukan dapat dijalani secara tersusun dan dilihat apa yang perlu ditambah atau diperbaiki.
Manfaat perancangan ini bukan sahaja dari sudut ibadat tetapi sebagai manusia yang serba lemah dan banyak terikat dengan hal-hal keduniaan, perancangan ini dapat menyeimbangkan manfaat duniawi dan akhirat. Sekurang-kurangnya, dengan perancangan itu, kita sudah dapat melihat tanggungjawab duniawi yang perlu dilaksanakan dan dalam masa sama, dapat juga melihat aspek-aspek peningkatan kerohanian yang ingin dijayakan. Tanpa perancangan, mungkin kesibukan melaksanakan tanggungjawab keduniaan akan menghakis kesungguhan mengejar keberkatan bulan Ramadan.
Apakah pula pengisian yang perlu ada dalam senarai semakan "Rancangan Memaksimumkan Manfaat Ramadan" itu? Isi kandungan perancangan itu sewajarnya meliputi perkara-perkara seperti menjalani puasa dengan sebaik mungkin, lebih banyak membaca al-Quran, memahami isi kandungannya, banyak berzikir, meningkatkan kualiti solat wajib dan kuantiti solat sunat, rajin bersolat malam, rajin bersedekah, menunaikan zakat, lebih banyak melakukan ibadah bersama keluarga, banyakkan bertaubat, beriktikaf di masjid dan sebagainya.
Selain, pengisian penting di atas, pengisian lain yang tidak kurang pentingnya ialah bersederhana dalam soal makan, menjaga mulut dari perkataan sia-sia, elakkan membazir, banyakkan membaca bahan bacaan yang baik, rajin membantu orang lain, bersangka baik sesama manusia, memerhati dan merenung alam dengan niat mensyukuri nikmat Ilahi, berusaha menjaga hak makhluk Allah SWT lain, muhasabah diri dan lain-lainnya.
Setelah menyenaraikan semua yang dirancang, satu keperluan lain perlu ada ialah keazaman untuk mengikuti rancangan yang telah dibuat. Ini amat penting kerana perancangan tanpa ada tindakan hanyalah sia-sia.
Apa yang lebih merugikan, manfaat yang cuba dicapai akan berlalu begitu saja. Maka, jadilah kita tergolong dalam kalangan orang yang rugi seperti sabda Rasulullah SAW: "Sungguh rugilah seseorang yang menyambut Ramadan kemudian melepaskannya, sedang dosa-dosanya belum diampuni" (HR Tirmidzi). Bukan sahaja kerugian tetapi kita sebenarnya menzalimi diri kerana peluang memperbaiki diri sudah di tangan tetapi dilepaskan begitu sahaja.
Dalam perancangan ini, sewajarnya kita memikirkan bukan sahaja manfaat untuk diri sendiri tetapi melibatkan manfaat yang boleh diberikan kepada orang lain.
Misalnya, dalam soal beribadat, yang wajib mahupun sunat, jangan lupa melakukan secara bersama dengan ahli keluarga mahupun rakan-rakan rapat.
Adalah lebih mulia kita mencapai sesuatu yang baik secara bersama, apatah lagi jika kebersamaan itu melibatkan ahli keluarga mahupun rakan-rakan atau saudara-mara yang rapat.
Diharapkan, semoga dengan perancangan yang dibuat, kita lebih bersemangat untuk melangkahkan kaki ke bulan Ramadan. Dalam masa sama, semoga dengan perancangan itu, kita bakal meninggalkan Ramadan dengan jiwa, minda dan tingkahlaku yang kekal mulia dan terdidik. Akhir kata, Selamat menyambut Ramadan!

Ramadan dan tazkirah politik

RAMADAN kali ini dijangka disambut pada 1 Ogos. Pada tarikh itu seluruh umat Islam akan mula menjalani ibadat puasa dan ketika itu masjid, surau dan madrasah menjadi tumpuan untuk menggandakan ibadat termasuk mengerjakan solat jemaah sunat tarawih.Ketika masjid menjadi tumpuan, ada pihak turut menggunakan peluang itu mengadakan tazkirah politik dengan mengambil beberapa potong ayat al-Quran bagi menyelitkan mesej bersesuaian dengan kehendak mereka. Suasana ibadat diselangselikan dengan kupasan politik, termasuk mengasak minda jemaah dengan pelbagai sedutan sinis sehingga mengelirukan umum.
Seharusnya bulan penuh keberkatan ini, tidak diadunkan dengan kepentingan politik. Seharusnya, bulan yang digandakan dengan kelebihan pahala beribadat tidak dikotori dengan pengembangan ideologi dan kepentingan peribadi pemimpin meskipun atas alasan bertemu kariah.
Puasa sepanjang Ramadan sebagai latihan mempersiapkan diri untuk memahami bahawa pembersihan jiwa dan rohani adalah hakikat kehidupan. Pembersihan ini akan membangunkan rasa kasih sayang, kesabaran, murah hati, ikhlas, bercakap benar, mengawal tingkah laku dan kata-kata.
Secara dalaman, berpuasa ini dapat melatih jiwa yang tenang dan menghargai orang lain, termasuk golongan miskin. Pemaparan pelbagai bentuk kesusahan, kegetiran hidup golongan yang kurang bernasib baik mampu menggerakkan jiwa simpati orang Islam untuk meyakini diri sendiri, syukur dengan rezeki diperoleh dan menghindari sikap tamak haloba.
Sepanjang Ramadan juga gangguan dalam bentuk tarikan negatif seperti dengki khianat dan rasa riak diri dapat dikekang kerana anasir yang menggoda seakan dirantaikan aktivitinya. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada kejahatan, pembohongan dan khianat akan berlaku.
Nafsu lapar manusia akan mudah terpengaruh dengan lambakan makanan di pasar Ramadan. Ketika inilah sikap tidak boleh mengawal nafsu menyebabkan sebahagian besar umat Islam berbelanja lebih. Mereka berhabis, berhutang dan mempertontonkan lagak dengan pakaian serba baru, peralatan rumah,kuih-muih beraneka sehingga menyebabkan peniaga memasangi tarikan melariskan barangan mereka.
Dari aspek kesihatan, berpuasa merehatkan alat pengisar semulajadi dalam tubuh daripada memproses makanan sebagaimana dialaminya pada bulan lain. Dengan berpuasa selama 12 jam setiap hari, proses pencernaan berhenti seketika untuk berehat. Dengan mengamalkan ibadat puasa, organ dalam tubuh mempunyai masa menjadi lebih teratur dan berkesan untuk melakukan tindakan pencernaan.
Ramadan juga dikatakan berbentuk syahrul ibadah (bulan ibadah), nilai ibadat yang sangat tinggi. Bulan syahrul fath pula bermakna bulan kemenangan, iaitu berjaya mengekang nafsu dan -keinginan tertentu.
Sebagai bulan petunjuk, wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW telah membawa obor agama yang sukar untuk dipertikaikan. Sebagai "Syahrul Huda" (bulan petunjuk), sebagai kalam Allah, al-Quran bukan sahaja terpelihara sebagai bahan simpanan. Al-Quran menjadi petunjuk dari era kehidupan dan berinteraksi dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Pada bulan Ramadan, disebabkan banyak dosa akan dihapuskan oleh Allah SWT, dosa antara manusia dengan Sang Pencipta, bulan ini turut dikenali sebagai "Syahrul Ghufran" (bulan penuh pengampunan). Pada bulan ini, dipermudahkan pintu pengampunan dan pembebasan dari api neraka.
Al-Quran diturunkan pada Ramadan juga sebagai isyarat bahawa kita dianjurkan lebih banyak membaca dan mempelajarinya dengan harapan mendapat petunjuk. Pada bulan ini orang yang berpuasa telah menyiapkan wadah hatinya yang sudah disucikan melalui puasa untuk menerima petunjuk Ilahi. Kerana itu, setiap ayat yang diturunkan mempunyai nuzulnya. Antara tujuan nuzul al-Quran ialah:
1. Membersihkan akal dan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan Tuhan.
2. Mengajarkan kemanusiaan yang adil dan beradab yakni umat manusia seharusnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas kekhalifahan.
3. Untuk menciptakan persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kehidupan dunia dan akhirat, ilmu, iman, dan rasio, kebenaran, keperibadian manusia, kesatuan kemerdekaan, sosial, politik dan ekonomi, dan kesemuanya berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.
4. Mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara melalui musyawarah.
5. Membasmi kemiskinan material dan spiritual, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup, serta pemerasaan manusia atas manusia, dalam bidang sosial, ekonomi politik dan agama.
6. Memadukan kebenaran dan keadilan dengan rahmat dan kasih sayang dengan menjadikan keadilan sosial sebagai landasan kehidupan masyarakat.
7. Memberi jalan tengah antara falsafah monopoli kapitalisme dengan falsafah kolektif komunisme, menciptakan ummatan wasathan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
8. Menekankan peranan ilmu dan teknologi, bagi menciptakan satu peradaban yang sesuai dengan jati diri manusia, dengan panduan Nur Ilahi.
Dari hakikat inilah umat Islam harus kembali menghayati al-Quran. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 bermaksud, "Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? "Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati sentiasa tertutup untuknya.
Hati yang tertutup inilah yang dinyatakan dalam al-Quran surah Al-Araf ayat 179 yang bermaksud:": Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat".

Malapetaka mercun!

AKIBAT kecuaian ketika menguji mercun di luar tempat dikhaskan, kilang haram Bright Sparkles di Sungai Buloh, Selangor ini meletup dan terbakar membunuh 23 orang dan mencederakan lebih 83 orang pada 7 Mei 1991. - PUSAT MAKLUMAT UTUSAN

JIKA sebutir mercun yang bersaiz sebesar jari kelengkeng boleh memutuskan tangan, bayangkan kemusnahan yang boleh dibuat oleh serbuk belerang yang beratus-ratus kilogram.
Letupan yang berlaku di kilang bunga api dan mercun, Bright Sparkles Sdn. Bhd. pada 7 Mei 1991, boleh diibaratkan seperti ‘medan perang’ yang diledakkan oleh ‘bom atom besar’.
Dalam sekelip mata, Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor tiba-tiba muncul di peta dunia apabila tragedi kebakaran kilang itu mendapat liputan besar-besaran pihak media antarabangsa.
Difahamkan, letupan itu berpunca daripada kelalaian pihak kilang yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas.
Tidak cukup dengan itu, satu per satu kisah yang terselindung di sebalik tragedi itu turut terbongkar. Paling mengejutkan, kilang itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978.
Bertitik-tolak daripada itu, sekali gus mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti mercun termasuk sempena perayaan walaupun sebelum ini ia dibenarkan.
Setakat 13 Mei tahun tersebut, seramai 23 orang dilaporkan maut berserta 83 yang lain cedera. Salah seorang yang rentung adalah ahli kimia, ‘Mr. Hong Kong’ atau Mr. Long Tai Heng, yang merupakan pengurus di kilang itu.
Apa yang pasti, anggota bomba turut menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi menyelamat kerana khuatir letupan akan berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang tersebut.
Hari ini walaupun setelah 20 tahun berlalu dan seluruh kawasan sekitar telah membangun dengan kewujudan kilang-kilang baru, namun kesan emosinya ‘masih berbekas’ kepada mangsa dan anggota keselamatan yang terlibat secara langsung dalam kejadian ngeri itu.

Kebenaran PDRM tolak tohmahan Bersih terserlah jua akhirnya

HARI ini, genap dua minggu pertubuhan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan demonstrasi di ibu negara dengan alasan menuntut kerajaan Barisan Nasional bersikap lebih telus dalam pilihan raya.
Tidak perlulah diulangi betapa degilnya kumpulan tidak berdaftar ini yang terus ingin mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu walaupun sudah berulang kali diberi amaran oleh pihak polis sebelum tibanya tarikh 9 Julai itu.
Dalam Facebook dan laman-laman web serta blog-blog propembangkang, Bersih 2.0 tetap berdegil mengajak penduduk Malaysia untuk sama-sama berhimpun dan memakai baju kuning sambil menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan.
Pihak berkuasa pula sudah mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perhimpunan ini.
Namun, Bersih 2.0 tetap berlangsung, meskipun sasaran asal mereka menarik 300,000 penyokong gagal – hanya kira-kira 10,000 yang dimanipulasi, itu pun setelah disogok barang kali.
Selepas perhimpunan haram itu berakhir (dengan penangkapan lebih 1,000 orang penunjuk perasaan), sepanjang dua minggu ini, penyokong Bersih 2.0 seperti sudah bersiap sedia dengan skrip menuduh pihak polis bertindak kejam terhadap peserta perhimpunan itu.
Akhirnya pada Khamis lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang selama ini tidak mahu mengikut rentak penyokong Bersih mengajak bercakaran dalam media, terpaksa menunjukkan bukti rakaman yang dibuat pada perhimpunan itu, sekali gus menutup mulut pengkritik-pengkritik mereka selama ini bahawa kononnya polis bertindak kejam dan zalim.
Tayangan rakaman video selama 1 jam 30 minit itu membuktikan polis tidak bertindak memulakan provokasi terhadap penunjuk perasaan yang menyertai Bersih 2.0, sebaliknya tercetusnya kekecohan itu adalah berpunca daripada provokasi peserta perhimpunan itu sendiri (yang dirancang) untuk mencemarkan imej PDRM.
Sebaliknya, portal-portal pembangkang yang sebelum ini menyiarkan tayangan video palsu serta diubah suai seolah-olah PDRM dilihat kejam menangani demonstrasi ini.
Banyak bukti yang ditunjukkan oleh polis, antaranya tohmahan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa motosikalnya dilanggar oleh kenderaan polis, langkah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang mengajak penunjuk perasaan berlari ke arah polis selain kejadian tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin.
Apabila PDRM menayang rakaman video ini, maka ia jelas sekali menangkis siaran video palsu mereka yang selama ini dibuat hanya dengan satu tujuan, iaitu menunjukkan bahawa polis kejam.
Apa agenda mereka menyiarkan rakaman yang diubah suai ini? Semuanya dirancang bagi memastikan masyarakat tidak lagi percaya kepada kewibawaan pasukan keselamatan itu. Polis akan dituduh kejam sehingga imej mereka dipandang rendah dan itulah yang sebenarnya mereka mahu.
Sebuah portal propembangkang yang selama ini begitu kuat menyokong perhimpunan Bersih 2.0, menyiarkan tajuk laporan tayangan video oleh PDRM ini seperti berikut: “9 Julai: Video ‘layanan baik’ polis ditayangkan” – dengan mempunyai makna tersirat.
Namun, walau apa pun tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap PDRM, kebenaran akhirnya akan muncul jua. Helah mereka selama ini untuk mencari kesalahan polis, akhirnya terbongkar.
Malah, sejak beberapa hari sebelum polis menayangkan video, kepalsuan pihak tidak bertanggungjawab ini sudah terserlah.
Mereka memanipulasikan kematian seorang pemandu teksi, Allahyarham Baharudin Ahmad dalam laman blog kononnya akibat ditembak gas pemedih mata oleh polis. Sanggup juga mereka ‘mengupah’ seorang pelakon, Shuhardi Md. Isa untuk menjadi Allahyarham, walhal lelaki ini adalah antara pencetus provokasi yang dikenal pasti antara yang merancang untuk mengajak polis menahan mereka.
Agak-agaknya apa lagi hujah kumpulan tidak berdaftar itu selepas ini. Selepas gagal menarik jumlah peserta seperti yang diharapkan, mereka merancang mahu menganjurkan lagi perhimpunan Bersih, dan menjadikan setiap hari Sabtu untuk memakai baju kuning.
Kita harap PDRM tidak terikut-ikut dengan rentak kumpulan ini yang sebenarnya cuba menangguk di air keruh dan menguji kesabaran pasukan itu. Jangan terpedaya dengan helah mereka kerana kita tahu polis lebih arif untuk mengenal taktik dan helah yang cuba dilakukan pihak tidak bertamadun ini.
Di sebalik segala tuduhan yang dilemparkan, pasukan polis dilihat masih mengekalkan semangat perikemanusiaan apabila memberi layanan yang baik terhadap semua tahanan pada 9 Julai lalu.
Cuba kita bayangkan di negara Barat, pasukan penguat kuasa tidak akan memberi peluang kepada mana-mana perusuh yang cuba menimbulkan kekacauan kerana itulah tugas polis, mengawal keamanan tetapi dalam konteks Bersih 2.0, masih ada pihak yang tidak bersyukur dengan kebaikan PDRM.
Kepada rakyat Malaysia, sedarlah bahawa PDRM sebenarnya bukan seperti yang digambarkan oleh laman portal propembangkang dan blog-blog antikerajaan. Mereka masih ada maruah.
Bagi penunjuk perasaan baru-baru ini atau pada masa akan datang, ini mungkin amaran yang boleh diberikan kepada mereka, jangan sampai polis bertindak seperti pasukan penguat kuasa di negara luar yang kita sedia maklum lebih ganas.

Pelancong asing trauma gara-gara perhimpunan Bersih

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kekecohan yang berlaku akibat perhimpunan haram Bersih di sekitar ibu kota hari ini meninggalkan trauma yang mendalam terhadap pelancong asing yang mengunjungi negara ini.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, rata-rata pelancong asing yang ditemui menyatakan kekecewaan terhadap tindakan penganjur perhimpunan itu yang mengancam keselamatan mereka dan menimbulkan keresahan di kalangan anggota keluarga di negara asal.
Pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Max Heinritz, 22, berkata, dia kesal dengan penganjuran perhimpunan itu kerana ia telah menyebabkan keadaan anarki (porak peranda) berlaku di negara yang seindah Malaysia.
"Malaysia selalunya dibayangkan sebagai negara yang stabil dan aman.., namun perhimpunan haram ini telah mengubah persepsi itu," katanya.
Rakannya, Raja Kancharla, 22, pula berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang berjaya mengawal keadaan huru-hara daripada bertukar lebih buruk.
"Saya berasa selamat dengan kehadiran polis. Ketangkasan mereka dalam mengawal keadaan melegakan kami berdua.
"Perhimpunan ini tidak seharusnya berlaku di negara seaman Malaysia," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pelancong dari AS, Justin Slappy, 24, beranggapan, pihak yang menganjur perhimpunan haram tersebut hanya mahu menggambarkan negara ini kucar-kacir untuk kepentingan mereka.
"Saya yakin jika pihak ini terus diberi muka, maka rosaklah kestabilan di negara ini kerana agenda mereka hanya mahu menggulingkan kerajaan," tambahnya.
Pelancong dari New Zealand yang hanya mahu dikenali sebagai David, 48, bersyukur kerana perhimpunan itu tidak merebak seperti di Mesir dan Libya.
"Saya ingatkan ia akan bertukar ganas seperti di negara Asia Barat, namun kerajaan di negara ini jauh lebih bersedia untuk mengelakkan kemungkinan itu," ujar beliau.

Terima kasih rakyat dan polis

Rancangan perhimpunan haram Bersih semalam untuk menarik sokongan sehingga 300,000 orang, tidak kesampaian.
Tidak lebih 10,000 orang menyertai perhimpunan itu berdasarkan maklumat polis, agensi-agensi berkaitan dan pemerhati bebas.
Saya mendapat tahu, penganjur Bersih dan pemimpin pembangkang termasuk Anwar Ibrahim kecewa. Mereka telah membuat persiapan luar biasa sejak dua bulan lalu tetapi kehadiran tidak menepati jangkaan.
Ia mesej jelas betapa senario di Malaysia bukanlah seperti di Mesir, Tunisia, Libya dan Syria seperti yang cuba diperlihatkan oleh Bersih.
Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada majoriti rakyat Malaysia kerana menolak Bersih, yang diketahui mempunyai agenda dan muslihat kotor.
Ini merupakan kemenangan awal kepada rakyat yang percayakan penentuan di peti undi, bukannya melalui demonstrasi haram.
Sudah tentu ucapan terima kasih yang amat istimewa ditujukan kepada pasukan polis yang bekerja keras menjamin keselamatan. Meskipun menghadapi provokasi luar biasa dan dicerca oleh penyokong Bersih, para anggota polis tetap bersabar. Malah polis memberi layanan baik termasuk makan minum dalam khemah khas ala kenduri kahwin kepada semua yang ditahan.
Saya juga tabik kepada polis kita kerana bertindak tegas menahan lebih 1,400 orang termasuk para pemimpin pembangkang, penganjur Bersih dan juga pemimpin Patriot yang menentang perhimpunan itu.
Sehingga ruangan ini ditulis, keadaan terkawal dengan baik biarpun banyak sekatan jalan terpaksa dilakukan bagi menjaga ketenteraman awam. Lebih-lebih lagi polis telah menemui senjata dan bom dalam beberapa pemeriksaan sebelum ini. Kelmarin, ada pendedahan terdapat rancangan jahat untuk menembak peserta demonstrasi haram dan kemudian menuduh ia angkara polis.
Dengan semua langkah yang diambil, syukur tiada huru-hara. Kemungkinan Kuala Lumpur dikenakan darurat dengan melibatkan peranan tentera juga dapat dielakkan.
Sekali lagi Allah telah selamatkan bumi Malaysia daripada konspirasi golongan durjana. Alhamdulillah.

Pelakon terhebat
Dengan izin Allah, hujan lebat di ibu negara petang semalam, merencatkan perancangan Bersih. Sebelum hujan pun, sebenarnya tidak ramai yang tampil. Golongan muda tidaklah seramai yang disasarkan. Kaum paling ramai seperti dijangka adalah Melayu, itupun majoritinya adalah penyokong Pas. Paling kurang adalah Cina, hanya beberapa kerat. DAP lebih bijak dalam membuat percaturan dan nampak jelas Pas dipergunakan.
Namun saya lega kerana bilangan ahli dan penyokong Pas tidaklah besar kerana masih ramai yang tidak mahu terperangkap dengan agenda Anwar Ibrahim, DAP dan Pengerusi Bersih S. Ambiga. Kepada kelompok Pas yang berkenaan, tahniah kerana mereka mengambil keputusan yang bijak dan tidak rela diperkudakan oleh anasir anti Islam.
Saya melihat ini juga sebagai kegagalan Timbalan Presiden Pas yang baru, Mohamad Sabu yang juga timbalan kepada Ambiga. Cubaan beliau membakar semangat ahli-ahli Pas kononnya menyertai perhimpunan itu menyamai angkatan tentera Rasulullah, tidak memberi kesan.
Apa pun saya berharap pihak berkuasa tidak ambil mudah. Bersih tetap menjadi ancaman keselamatan. Maka sekretariat Bersih terutama Ambiga mesti disiasat habis-habisan. Ini meliputi sumbangan dana asing yang melimpah masuk. Itu juga merupakan antara sebab mengapa beliau tetap berdegil dan tidak mahu membatalkan perhimpunan haram. Selepas dibebaskan semalam, Ambiga mendakwa perhimpunan itu berjaya.
Pada saya memang berjaya dari segi mengakibatkan kesusahan kepada orang ramai terutama kesesakan teruk jalan, menjejaskan ekonomi, menghalang rutin harian mencari rezeki dan melumpuhkan aktiviti pelancongan. Perbuatan beliau dan Anwar ternyata sabotaj kepada negara sama kesannya dengan serangan pengganas.
Sepatutnya rakyat Malaysia yang terjejas menyaman mereka di mahkamah. Anwar pula tidak akan berputus asa walaupun perhimpunan haram semalam gagal memberi impak sebagaimana di Dataran Tahrir, Kaherah. Isu skandal video seks melibatkan beliau menjadikan perhimpunan haram itu nampak kotor bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Namun waspadalah. Selagi tidak berlaku anarki untuk mengalihkan perhatian daripada skandal video seks dan perbicaraan kes liwat bermula Rabu ini, selagi itu Anwar tidak akan berhenti.
Orang yang sangat terdesak untuk menyelamatkan masa depan politik, boleh melakukan apa sahaja. Aksi itu berlaku lagi semalam. Anwar bukanlah berminat sangat mahu menyuarakan soal menuntut pilihan raya bersih. Dia lebih menghasut untuk menumbangkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan sebagaimana pernah dilakukannya. Tidak menghairankan laungan reformasi berkumandang semalam dengan berselindung atas nama Bersih.
Dalam insiden berasingan, beliau menggambarkan dirinya cedera teruk terkena tembakan gas pemedih mata. Kerana asap lehernya berbalut. Tujuan sebenar adalah bagi mendapat simpati dan perhatian media antarabangsa. Secepat kilat gambar itu dikirimkan oleh banyak agensi asing. Tidak mengejutkan. Dulu pun beliau pernah berbohong dengan menuduh kerajaan meracunnya menggunakan arsenik. Meminjam kata-kata Senator Ezam Mohd. Noor dan S. Nallakaruppan, Anwar adalah ‘pelakon’ terhebat.

Isyarat yang salah
Di Malaysia, kalau mahu mendapat perhatian istimewa rancanglah mengadakan perhimpunan haram. Biarpun rancangan itu berniat kotor, mengancam keselamatan negara dan memudaratkan rakyat, ia boleh dikompromi.
Itulah yang berlaku kepada penganjur perhimpunan Bersih. Pengerusinya, S. Ambiga mendapat ‘pengiktirafan’ sehingga dibenarkan mengadap ke Istana Negara.
Apa yang berlaku itu mengelirukan orang ramai kerana Bersih telah diisytiharkan pertubuhan haram. Banyak NGO yang tertib, bertanggungjawab, banyak jasa dan menjunjung Perlembagaan negara, terkedu. Belum tentu mereka berpeluang dengan mudah untuk diterima mengadap.
Membenarkan Ambiga ke Istana Negara ketika beliau terus keras kepala mahu mengadakan perhimpunan haram, adalah isyarat yang salah kepada rakyat.
Saya berpendapat tiada sesiapa seharusnya mengheret Istana Negara dalam situasi seperti itu. Lebih banyak negatif daripada positif.
Ia akan menjadi duluan (precedent) tidak sesuai dalam konteks politik di Malaysia yang cukup kompleks. Jika dibenarkan, selepas ini, banyak pihak mohon mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memenuhi hajat biarpun hanya mewakili kelompok kecil atau minoriti rakyat.
Selain itu, jika isu yang dibawa kepada Seri Paduka tidak selesai, ia akan mendedahkan raja kepada kritikan dan boleh menjejaskan imej institusi raja yang semua pihak perlu junjung. Keikhlasan dan keterbukaan Seri Paduka termasuk untuk membantu meredakan ketegangan akhirnya akan disalahertikan.
Pendekatan terbaik dalam mengurus keselamatan dan ketenteraman awam, ialah dengan menyerahkan kepada pihak polis sepenuhnya. Sejak era darurat pertama lagi, telah terbukti polis kita tegas, cekap dan berpengalaman menangani apa sahaja krisis. Awang sedikitpun tidak pernah ragu.

Najib dan Anwar...
Semasa Anwar Ibrahim mencaturkan perhimpunan haram Bersih dari suite sebuah hotel mewah sebelum berarak tanpa permit di jalanan, Perdana Menteri, Najib Tun Razak pula sibuk dengan agenda kerjanya. Semalam, Perdana Menteri menyempurnakan dua acara penting di Putrajaya sebelum menghadiri dua lagi majlis di Terengganu.
saya lihat Najib seperti biasa, tenang dan sedikitpun tidak melatah. Ketua pembangkang itu pula entah ke mana hilang seri wajah - makin keruh. Sedangkan air muka Najib, selalunya jernih di sebalik banyak bebanan dan tekanan tugas.
Begitulah pembawaan Perdana Menteri, yang tidak mudah terperangkap dengan percaturan dan provokasi Anwar. Lalu saya teringatkan filem Kungfu Panda 2 ketika menonton wayang bersama anak-anak, baru-baru ini. Moral daripada filem itu, ketenangan dalaman (inner peace) menjadi senjata untuk menang dalam apa sahaja persaingan. Dalam diam, Najib sudah lama berpegang kepada formula itu.

Perhimpunan haram Bersih: Dari jalanan ke stadium

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan haram mereka di stadium berbanding di jalan-jalan raya sebelum ini mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan penulis blog minggu ini. Ada yang bersetuju dengan keputusan tersebut tetapi tidak kurang juga menganggap ia satu kesilapan.
Bagaimana pun, Kunta Kinte dalam blog MyKMU (www.mykmu.net) berpendapat, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membenarkan perhimpunan Bersih diadakan di dalam stadium tetapi dengan bersyarat itu merupakan tindakan demokrasi terindah seperti mana kejayaan beliau mengatasi pemberontakan Al-Maunah tanpa membabitkan pertumpahan darah.
Katanya, memberikan tempat berhimpun di dalam stadium kepada Bersih sekali gus akan mematikan langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya yang cuba menimbulkan kekacauan ketika perhimpunan 9 Julai ini berlangsung bagi menyelamatkan dirinya daripada kes mahkamah.
"Ia juga memberi jalan tengah kepada (Datuk) S. Ambiga agar mempunyai pilihan selain membawa kumpulannya ke jalanan. Dalam keadaan tersebut Ambiga tidak lagi boleh (memberi alasan) mengatakan beliau tiada pilihan kecuali membawa penyokongnya ke jalan raya kerana tiada pentas lain.
"Dengan memberi kebenaran berhimpun di stadium ia bukan sahaja menyuburkan imej demokrasi negara di peringkat antarabangsa tetapi juga menghalang sekiranya ada niat jahat Anwar untuk melakukan kekecohan di Kuala Lumpur Sabtu ini," katanya.
Penulis Azli Shukri (azlishukri.blogspot.com) pula berkata, persetujuan kerajaan membenarkan perhimpunan haram Bersih diadakan di dalam stadium merupakan tamparan hebat kepada pakatan pembangkang terutama Anwar kerana tiada siapa menyangka pada saat-saat akhir, Najib dapat "menjinakkan" Ambiga.
Katanya, persetujuan Ambiga untuk menerima cadangan Najib telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penyokong pakatan pembangkang kerana mereka sebenarnya mahu menunjukkan pengaruh dan kuasa politik apabila berjaya membawa rakyat turun di jalanan tetapi malang ia tidak berlaku.
Katanya, dengan cara ini para penyokong Bersih akan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu mereka yang sedia berhimpun di dalam stadium dan kumpulan yang enggan berbuat demikian kerana mahu membuat kekecohan di jalanan manakala jumlah mereka yang mahu berhimpun di stadium juga akan merosot.
"Imej Najib semakin positif di mata dunia dan rakyat jelata. Jelaslah Najib masih menjunjung tinggi kebebasan bersuara dan amalan demokrasi di negara ini, sehingga lidah Anwar menjadi kelu tidak terkata. Pendekatan Najib yang bertolak ansur dengan penganjur Bersih menyerlahkan lagi keperibadian beliau sebagai pemimpin untuk semua kaum di negara ini," katanya.
Sementara itu, blog Musram Rakun (musramrakunman.blogspot.com) pula membidas Ambiga yang dianggap sebagai pengamal undang-undang tetapi beliau sendiri memijak undang-undang tersebut manakala kerajaan pula dianggap berlembut terhadap bekas Presiden Majlis Peguam tersebut.
"Apabila rakyat sendiri bertindak melalui laporan-laporan polis, yang kini mencecah ribuan laporan, barulah kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri bertindak 2 Julai lalu. Ibarat meniup belon, kerajaan membiarkan belon ditiup dan berkembang baru nak dipecahkan. Membiarkan api kecil menjadi besar dan merebak, baru nak dipadamkan.
"Bagi Ambiga, besi telah panas memerah, jika api dihentikan maka perlu masa untuk memanaskannya semula. Tiada pilihan, melainkan meneruskan acah mereka, mengacah dan mengacah, sehingga kerajaan kewalahan dan kedodoran," katanya.
Blog Satu Melayu (sa-melayu.blogspot.com) pula berkata, penganjur Bersih jelas sengaja mahu mencabar kerajaan dan pihak berkuasa apabila tetap mahu mengadakan perhimpunan haram itu, walaupun selepas Ambiga menghadap Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memusnahkan harapan rakyat yang mahu ia dibatalkan.
"Justeru, gangguan awal keselesaan hidup rakyat terutamanya mereka yang tinggal di Kuala Lumpur seperti sekatan jalan raya, terpaksa diteruskan tanpa diketahui bila akan berakhir.
"Rakyat akan menerima akibat buruknya apabila penganjur Bersih memang 'nak cari gaduh' dengan terus berkeras mahu mengadakan perhimpunan haram di Stadium Merdeka dengan alasan itu adalah janji Perdana Menteri," katanya.
Bagi Reme Ahmad (remgold.blogspot.com) pula, walaupun niat gabungan itu adalah bersih tetapi kerana wujudnya agenda politik yang dikawal oleh Anwar dan Mohamad Sabu (Timbalan Presiden Pas), maka adalah wajar jika perhimpunan Bersih diadakan di tempat yang lebih selamat seperti di dalam stadium.
"Saya harap kamu tidak argue (membantah) dengan berkata: "Kami ada hak nak demo". Saya setuju benar. Tapi apa pula hak orang yang mahu jalan raya bebas dari jam (sesak) pada Sabtu ni? Para pekedai yang tunggu customer (pelanggan) beribu-ribu? Anak saya dan rakannya perlu ke bandar KL (Kuala Lumpur) Sabtu pagi ini sebab nak ke pejabat sebuah agensi kerana dipanggil... haribulannya ditetapkan dulu lagi. Macam mana mereka nak masuk KL ni?
"Kenapa kamu ada hak tapi saya tak ada hak? Kenapa hak kamu lebih besar daripada hak saya?" kata penulis yang berasal dari Singapura ini.
Dalam pada itu, blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) pula menuduh Yang di-Pertuan Agong telah dijadikan alat oleh UMNO dan BN apabila mengeluarkan titah melarang rakyat daripada melakukan perhimpunan haram di jalanan.
"Memang kita kecewa, sebab Agong sudah dijadikan alat kepada UMNO dan BN bagi memperkecilkan Bersih. Sedih kerana institusi istana juga sudah dijadikan 'perkakas' UMNO dan BN. Dah tak ada jalan lain? Sampai guna Agong bagi mencapai matlamat politik sendiri? Nampaknya, UMNO dan BN sudah betul-betul tertekan. Bab benarkan Agong campur tangan ini sudah kes berat. Ini sudah kes melampau," katanya.
Bagaimanapun, katanya, Pas akur dengan titah baginda kerana bimbang ia akan menimbulkan masalah kelak jika pada pilihan raya akan datang Pas kembali merampas Terengganu.
"Kalau ingkar, masa kita nak perintah Terengganu nanti tak jadi masalah ke? Wahid Endut sudah teringin jadi MB. Kalau bertekak dengan Tuanku, masalah pula nanti. Pas kena buat keputusan yang tepat dan tidak terburu-buru. Pandangan Tuanku ini bukan mainan. Ini suatu kenyataan yang sangat membawa makna.
"Kalau Ambiga yang ingkar dengan perintah Tuanku mungkin orang boleh terima. Namun, Pas kalau ingkar dengan perintah Tuanku - akan ada implikasi kepada undi Melayu," katanya.

Buku lakaran kuatkan memori

KARYA terbaru Yusof Ghani lebih kepada landskap visual berbanding dengan siri ulasan sosial dalam karya sebelum ini.


BUKU lakaran (sketch book) yang merupakan sebuah buku lukisan kosong boleh diibaratkan sebagai peralatan paling asas buat pelukis selain pensel, pewarna dan berus lukisan.
Sebelum menghasilkan sebuah lukisan, kebanyakan pelukis menggunakan buku tersebut untuk melakar apa yang ingin dilukis terlebih dahulu.
Kemudian hasil lakaran tersebut akan digunakan sebagai panduan pelukis itu sendiri.
Buku itu juga sebenarnya banyak membantu pelukis-pelukis untuk memantapkan lagi kebolehan melukis atau mewarna.
Bagaimanapun, pada hari ini ia jarang digunakan lebih-lebih lagi setelah pelbagai teknologi dicipta untuk memudahkan pelukis-pelukis mendapatkan bahan rujukan.
Contohnya seperti penggunaan kamera digital. Pelukis zaman kini lebih banyak menggunakan gambar yang diambil untuk merekodkan tarikh, rujukan atau panduan untuk lakaran dan kegunaan lain.
Bagi pelukis tersohor, Yusof Ghani, buku lakaran merupakan peralatan penting yang digunakan setiap kali melakar gambar-gambar yang ingin dihasilkan.
Beliau berkata, berbanding dulu, kebanyakan pelukis pada zaman ini menggunakan kamera digital untuk merakamkan gambar-gambar yang ingin dilukis.
Bagaimanapun, kaedah moden itu tidak digemari beliau, sebaliknya lebih berbangga untuk menggunakan kaedah lama, melakar dalam buku lakaran.
“Buku lakaran banyak membantu saya untuk menyimpan memori yang saya lihat. Malah dengan kaedah melakar, memori dan kemahiran saya semakin bertambah baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kerja terbarunya yang bertajuk Taman di Galeri Seni Puncak baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Datuk Mohd. Yusof Ahmad, kolektor seni dan penggiat seni visual tempatan bagi memeriahkan majlis tersebut.
Seperti yang diketahui ramai, Yusof banyak menghasilkan karya-karya bertemakan isu-isu sosial dan alam sekitar.
Pengalaman selama 30 tahun sebagai seorang artis membolehkannya menghasilkan karya-karya agung seperti dalam siri Tari, Topeng, Wayang, Segerak, Biring dan Wajah.
Manakala siri lukisan Hijau dan Ombak pula, lebih memberikan tumpuan terhadap isu-isu berkaitan dengan sifat dan persekitaran.
Dalam siri terbarunya (Taman), landskap visual menjadi isi utama, berbanding dengan ulasan sosial dalam siri sebelum ini (Hijau dan Ombak).
Taman juga mencerminkan penerokaan terhadap kepercayaan kuat seniman itu terhadap keperluan penerokaan perjalanan seninya.
Kerja seni dalam siri Taman itu juga dihasilkan oleh Yusof berdasarkan pengalaman peribadinya ketika mengembara ke tiga taman bandar raya utama di Amerika Syarikat dan Eropah baru-baru ini.
Dalam pengembaraannya selama empat bulan itu, Yusof mengambil peluang untuk melawat Central Park di New York, Hyde Park di London dan St. Denis di Paris.
Ketika berada di sana, beliau memerhatikan detik-detik dan mengkaji struktur warna yang terdapat pada ketiga-tiga taman tersebut yang kemudiannya dijelaskan dalam siri terbarunya itu.
Kesemua karya Taman kaya dengan lapisan warna-warni yang memenuhi segenap ruangan atmosfera dalam lukisan itu yang menjelaskan babak-babak ketika musim sejuk serta pemilihan warna menjadi gambaran kepada bandar-bandar tersebut dengan gabungan berunsur misteri dan mistik pada musim itu.
Yusof menggunakan gaya ekspresif dengan strok berus yang menghasilkan suasana spontan dalam lukisan.
Selain itu, beliau juga menggunakan teknik warna bercampur dan warna tulen tidak bercampur untuk mendapatkan kesan khas pada pencahayaan.
“Saya banyak mengembara dan tengok dunia luar. Peluang melihat apa yang berlaku membuatkan saya suka menghasilkan sesuatu yang bersifat universal seperti isu-isu semasa yang lebih global.
“Sebab itu saya ke taman-taman tersebut dan berdasarkan apa yang saya lihat dengan suasana sayup ketika musim sejuk memberikan sumber inspirasi untuk saya melakar dan apabila saya pulang ke Malaysia, idea untuk menghasilkan tema ini datang dengan sendirinya.
“Kehidupan ini umpama roda. Ada kalanya kita bersedih dan gembira tetapi perasaan itulah yang saya ingin pamerkan dalam kerja terbaru ini selain cuba untuk terokai tingkah laku manusia berdasarkan seni yang merupakan bahasa universal,” jelasnya.

Sheikh Muszaphar teruja jadi bapa

Pasangan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Halina Mohd. Yunos gembira menunggu kelahiran cahaya mata pertama mereka.



SEJAK dulu lagi Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor merupakan seorang yang begitu penyayang dengan kanak-kanak. Selepas pulang dari program angkasawan negara, beliau telah terlibat dengan pelbagai ceramah dan kebanyakannya membabitkan kanak-kanak.
Ini sedikit sebanyak menjadikan beliau begitu teruja lebih-lebih lagi apabila isteri tercinta, Dr. Halina Mohd. Yunos disahkan mengandung.
"Patutnya saya kahwin awal lagi kerana seronok hendak bergelar bapa tapi terikat dengan kontrak. Cuma tahun lalu iaitu pada tarikh 10.10.10 berpeluang mendirikan rumah tangga.
"Apa pun saya bersyukur kerana tidak perlu menunggu lama kerana isteri disahkan hamil tidak lama selepas berkahwin.
"Memang saya sangat teruja sampai tidak tahu bagaimana hendak mengekspresikan perasaan tersebut
"Sebagai persediaan buat masa ini saya dan isteri banyak mendapatkan panduan keibubapaan menerusi pembacaan," kata angkasawan negara itu yang ditemui pada majlis kempen CellSafe International di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr. Sheikh Muszaphar tidak menafikan, walaupun mereka berdua cukup teruja tetapi agak cemas sebab tidak tahu selok belok bergelar ibu bapa.
"Apa pun kami mengharapkan yang terbaik dan kami beruntung sebab semua ahli keluarga ada serta bersedia membantu.
"Mungkin selepas bersalin Dr. Halina akan berpantang di rumah kami dan ahli keluarga dari kedua belah pihak akan datang menemaninya.
"Sepanjang mengandung, isteri saya tidak menghadapi banyak masalah, malah mengidam apa-apa pun. Semua jenis makanan dia boleh makan, makanan saya pun dia makan, sekarang ini saya berfikir macam mana nak kuruskan dia semula," ujarnya sambil berseloroh.
Sementara itu, Dr. Halina yang kelihatan segar sepanjang temu bual tersebut, tidak menafikan ada perasaan takut untuk bersalin.
Namun beliau tidak mahu terlalu memikirkannya dan berusaha melakukan persediaan yang terbaik.
Baginya, pengalaman mengandung anak sulung setakat ini agak mudah dan berjalan lancar.
"Suami saya memang sangat membantu sepanjang tempoh kehamilan.
"Alhamdulillah ini satu kehamilan yang sangat menyenangkan saya setakat ini. Saya tidak mengalami alahan dari tiga semester pertama kandungan hinggalah hari ini," katanya yang dijangka bersalin pada pertengahan Julai ini.
Sebagai persediaan, Dr. Halina memperdengarkan bayi dalam kandungannya bacaan ayat suci al-Quran, selain mempraktikkan bacaan surah-surah yang disarankan untuk mendapatkan anak yang bijak.
"Kami juga telah mula menyiap bilik bayi. Dekorasinya telah kami sediakan semuanya bertema angkasa, tetapi setakat ini kami tidak memperuntukkan warna tertentu.
"Kami juga seronok membeli-belah barangan bayi secara online dan seperkara lagi yang termasuk dalam senarai persediaan kami ialah dengan mendaftar bayi kami untuk bank sel stem.
Bantu promosi sel stem
"Sebagai doktor, kami berdua memang tahu tentang kebaikan tabung sel stem yang mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah penyakit.
"Di Malaysia hanya lebih kurang dua peratus rakyat sahaja yang mengetahui tentang kebaikan sel stem, pengetahuan tersebut belum cukup tersebar.
"Ia sebenarnya ibarat penyelamat nyawa kerana kita tidak akan tahu apa penyakit yang bakal anak kita alami.
"Penyakit seperti leukemia, limfoma dan banyak lagi boleh dirawat jika kita menyimpan sel stem anak sejak dilahir," katanya.
Bagi pasangan tersebut dengan menyertai bank sel stem ibarat hadiah paling istimewa bagi bayi mereka.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Cellsafe, Lau Kin Wai berkata, sel stem merujuk kepada amalan sains di mana darah yang diambil dari tali pusat bayi baru lahir disimpan dalam suhu paling rendah yang dirujuk sebagai penyimpanan cryogenic.
Darah tali pusat dari bayi yang baru lahir kaya dengan sel stem yang boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit.
Menurutnya, ibu bapa di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Taiwan sudah melaksanakan tabungan sel stem ini secara serius dan apabila berhadapan dengan penyakit mereka sudah mempunyai penawarnya.
"Kami juga ingin memberitahu rakyat Malaysia bahawa makmal kami menawarkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi namun mampu untuk rakyat Malaysia," jelasnya yang ditemui pada majlis yang sama.
Pada majlis yang sama, satu laman web keibubapaan terbaru Parenthood.My turut dilancar. Laman web ini merupakan salah satu forum laman sosial yang memberikan peluang kepada bakal-bakal ibu bapa untuk berkongsi pengalaman dan mendapat sokongan.

Azabnya apabila amah cabut lari

Pengaruh rakan-rakan senegara dikenal pasti sebagai antara punca pembantu rumah lari. - Gambar hiasa


SEPANJANG tahun lalu sahaja 18,716 orang pembantu rumah telah melarikan dari rumah majikan. Walaupun kes pembantu rumah lari bukan perkara baru, angka ini membuktikan bahawa ia sebenarnya jauh lebih tinggi daripada apa yang disangkakan.
Angka yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, menunjukkan daripada jumlah tersebut seramai 17,205 orang atau 92.3 peratus adalah dari Indonesia.
Biarpun pendedahan tersebut menerima respons agak skeptikal dari pihak kedutaan Indonesia yang mahu kementerian menampilkan bukti lebih kukuh, hakikatnya hanya pihak majikan yang mengetahui kerenah sebenar pembantu-pembantu rumah warga asing itu.
Memang sukar untuk digambarkan azab ditanggung majikan yang secara tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan kes pembantu rumah cabut lari.
Hendak kata tidak bagi makan, pakai dan rehat, semuanya sudah dipenuhi. Tetapi semua itu gagal memberi jaminan pembantu rumah akan setia berkhidmat sehingga cukup tempoh yang ditetapkan.
Memang apa yang selalu terpampang di media tentang kes pembantu rumah didera, tetapi kenyataannya majikan turut 'didera' perasaan oleh pembantu rumah mereka.
Mana tidaknya, semua yang hendak dilakukan dalam rumah perlu disuruh dan diajar berkali-kali. Ini pasti membebankan majikan yang juga perlu keluar bekerja.
Itu belum lagi kes pembantu rumah yang malas, suka melepak dengan kawan-kawan sekerja di taman permainan, bergayut di telefon, menonton televisyen dan juga tidur sehingga melupakan tanggungjawab kerja.
Kebanyakan majikan akui enggan menggunakan kuasa untuk memarahi pembantu rumah kerana bimbang ahli keluarga khususnya yang mempunyai anak-anak kecil atau ibu tua mungkin didera semasa ketiadaan mereka.
Lebih perit lagi apabila majikan mendapat pembantu rumah yang panjang tangan di mana duit atau barang berharga yang diletakkan sembarangan pasti akan hilang sekelip mata.
Bagaimanapun semua perangai buruk pembantu rumah itu harus diterima bak ditelan mati emak diluah mati bapak oleh kebanyakan majikan kerana begitu terdesak memerlukan bantuan golongan itu.
Tambahan pula belanja yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan seorang pembantu rumah baru pula mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000. Itu belum diambil kira gaji RM400 hingga RM500 dan sebulan selain keperluan makanan, pakaian dan juga barangan peribadi mereka.

Rangsang industri kreatif negara


Festival-festival kesenian yang kerap diadakan di ibu negara juga merangsang industri kreatif negara. - gambar hiasan


HAKIKAT bahawa industri kreatif boleh menjadi satu daripada teras ekonomi negara mula diterima rakyat, terutamanya mereka yang memiliki bakat dan potensi kreatif untuk melakukan perubahan besar.
Menerusi pengiktirafan kerajaan bahawa industri kreatif boleh menjana pendapatan dan peluang kerja berserta dengan galakkan dan rangsangannya, terdapat kemunculan dan kebangkitan pelbagai aktiviti dalam bidang itu.
Ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan, menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah merumuskan 11 strategi di bawah Dasar Industri Kreatif Negara untuk menjadikan industri ini lebih selaras, tersusun dan dinamik.
Dianggarkan industri kreatif menyumbang kira-kira 1.27 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara pada 2008 dan objektifnya ialah untuk meningkatkan lagi sumbangan itu. Kebanyakan negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat mencatatkan sumbangan lebih tinggi terhadap PNK iaitu masing-masing 4.5 peratus dan 6.0 peratus.
Tidak banyak tumpuan diberikan sebelum ini mungkin kerana industri itu kurang dikenali dan potensi besarnya daripada segi ekonomi masih kabur. Tetapi kini keadaan adalah jauh berbeza berikutan langkah kerajaan mengambil perhatian akan potensinya selepas melihat pendirian proaktif yang diambil oleh negara-negara lain.
Ambil pembikinan filem, misalnya. Berikutan keputusan kerajaan memberikan status yang sama rata bagi insentif cukai kepada semua filem terbitan tempatan, sama ada dalam Bahasa Malaysia, Cina atau Tamil, asalkan 51 peratus hak milik filem itu dimiliki rakyat Malaysia dan 50 peratus diterbitkan atau dirakamkan di dalam negara, terdapat peningkatan dalam pembikinan filem di dalam negara.
Idea di sini adalah bukan sekadar membuat filem semata-mata hanya untuk mengeluarkan filem atau untuk memenuhi impian seseorang, tetapi ia mengenai menerbitkan filem buatan Malaysia yang mencapai tahap box-office, bukan hanya di dalam negara tetapi juga di luar negara.
Pendek kata, memerlukan perubahan cara berfikir dan inisiatif mengenai bagaimana menjadikan filem dan dokumentari buatan Malaysia boleh menarik penonton, sama ada menerusi kerjasama dengan pihak asing dan seumpamanya.
Beberapa langkah telah digerakkan berikutan gesaan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tidak jemu-jemu menggalakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian, kepada agensi-agensi di bawah kementeriannya. "Perlu berinovatif dan berfikir di luar kebiasaan", merupakan ungkapan yang sinonim dengan dirinya.
Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas), telah bekerjasama dengan National Geographic Channels International (NGCI) untuk menerbitkan beberapa dokumentari pada durasi 60 minit mengenai pelbagai tokoh dan pembangunan di Malaysia.
Ini termasuk Becoming a KingSMART TunnelFight Masters: SilatAmong the Great Apes with Michelle Yeoh dan A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak yang memaparkan hasil kerja penerbit berbakat Malaysia.
Hakikat bahawa dokumentari berkenaan telah dihasilkan dengan jayanya membuktikan gabungan bakat-bakat dan kisah unik di Malaysia, suatu hakikat yang diakui oleh Naib Presiden Jualan Kandungan National Geographic Channel, Germaine Deagan.
Perkataan ajaib di sini ialah kreativiti. Mesejnya amat mudah: bagaimana untuk menceritakan kisah yang baik dengan bijak dan mampu menawan hati penonton.
Berikutan kejayaan Finas itu, agensi lain di bawah KPKK seperti Filem Negara (FNM) dan malahan RTM telah diminta menerbitkan dokumentari berkualiti tinggi yang boleh dieksport. Zaman sudah berlalu di mana dokumentari diterbitkan hanya untuk penonton tempatan.
Malahan Aswara atau Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, agensi di bawah KPKK, mengambil inisiatif untuk menjadi institusi pendidikan tempatan yang pertama menubuhkan fakulti khusus untuk penerbitan filem animasi, kata Rektornya, Datuk Dr. Mohamed Najib Dawa. Pengambilan pertama sebanyak 20 pelajar bagi kursus diploma tiga tahun itu bermula pada 18 Julai.
Keputusan Aswara itu konsisten dengan misi untuk mengeluarkan graduan yang diperlukan pasaran, kata Mohamed Najib, yang bangga bahawa 95 peratus graduan Aswara mendapat kerja sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Dan untuk menunjukkan betapa seriusnya Aswara dalam memastikan di manakah kedudukan pelajarnya apabila mereka tamat belajar nanti, ia baru-baru ini telah menjemput Raman Hui, pakar animasi popular yang terbabit dalam pembikinan filem animasi seperti Shrek danKungfu Panda bagi bengkel sehari.
Jika diperhatikan, tidak berlakunya kekurangan bakat dalam pelbagai bidang di negara ini. Ramai penyanyi Malaysia seperti Gary Chaw dan Ah Niu telah mencipta nama di Hong Kong, Taiwan dan China.
Baru-baru ini, Wan Muhammad Hazzim Wan Muhammad Zulkifli, 17, dari SMK Datuk Dol di Melaka mengalahkan ramai pelukis antarabangsa dalam pertandingan kerja seni untuk muka depan album Irisdescent kumpulan rock Linkin Park, yang lagunya telah dijadikan lagu tema filem Transformers: Dark Side of the Moon.
Baru-baru ini pelbagai komen muncul di media dan Internet membahaskan mengenai peruntukan dana kerajaan untuk membantu industri kreatif selepas Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), tersalah petik jumlah yang dibelanjakan bagi sambutan "Hari Seniman", majlis yang dikhususkan untuk artis tempatan.
Kurang daripada RM100,000 dibelanjakan bagi majlis itu, kata Modzaki Din, Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara di KPKK, bukannya RM100 juta seperti dinyatakan.
Untuk rekod, 97 permohonan bagi pinjaman berjumlah RM99.95 juta di bawah Tabung Industri Kreatif telah diluluskan setakat ini untuk membantu industri kreatif menjalankan aktiviti seperti penerbitan filem, animasi dan muzik, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK Datuk Ab. Ghaffar A. Thambi.
Sebanyak 60 permohonan bagi pinjaman RM88.4 juta di bawah tabung yang sama sedang dinilai.
Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, tabung itu ialah untuk membantu mereka dalam industri itu supaya produk dan perkhidmatan mereka dapat ditambah baik dan dieksport untuk menjana pendapatan kepada negara.
Tetapi tidak semua artis yang berjaya memerlukan bantuan kerajaan. Kalangan yang benar-benar kreatif tidak mempunyai mentaliti subsidi. Contoh terbaik ialah penyanyi kelahiran Miri, Zee Avi yang turut dikenali sebagai KokoKaina.
Penyanyi itu yang nama sebenarnya ialah Izyan Alirahman telah memanfaatkan sepenuhnya saluran You Tube untuk menjadi penyanyi popular di Amerika Syarikat dan Jepun. Dengan sudah memiliki satu album yang mendapat sambutan hangat, beliau bakal mengeluarkan satu lagi album bulan depan.
Seorang lagi penyanyi muda yang merupakan lulusan UiTM, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, juga memanfaatkan Internet untuk mendapatkan sokongan peminatnya. Dan dengan berbekalkan personaliti menarik dan fasih berbahasa Inggeris, beliau berjaya mendapatkan tajaan daripada beberapa syarikat besar seperti Canon, DiGi dan Malaysia Airlines untuk membiayai impiannya mengembangkan bakat nyanyiannya di luar negara.
Tiada batasan atau kekangan bagi golongan ini. Mereka tahu bahawa bakat dan kreativiti mereka mampu membawa mereka untuk menggapai impian mereka tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan. Bakat seperti inilah yang amat diperlukan oleh negara.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa senario kreatif tempatan, khususnya dalam kebudayaan dan kesenian, telah menyaksikan peningkatan aktiviti pada masa ini.
Tidak perlu pergi jauh untuk melihat impaknya. Festival KL yang sedang berlangsung mengetengahkan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan di venue seperti Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara sehingga akhir bulan ini, satu lagi bukti kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan industri kreatif. - BERNAMA

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket