Selamat datang

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

bantahan terhadap INNOCENCE OF MUSLIMS


KETIKA bantahan dan tunjuk perasaan terhadap filem yang menghina Islam serta Nabi Muhammad, Innocence of Muslims, di negara lain begitu ganas sehingga mengorbankan nyawa, bantahan oleh penganut Islam di negara ini lebih tertib dan lebih terkawal.

Ini jelas dilihat daripada perhimpunan di dua buah lokasi di ibu negara semalam yang lebih merupakan perhimpunan aman. Namun ini bukan bermakna Malaysia dan umat Islam di negara ini bersikap lembut dalam menghadapi isu filem berkenaan, juga isu penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad dalam sebuah majalah Perancis.

Kehadiran 10,000 orang menyertai perhimpunan semalam membuktikan keutuhan dan perpaduan umat Islam negara ini dalam menyampaikan mesej jelas bahawa kita tidak bertolak ansur dengan perbuatan biadab menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.

Apa yang membanggakan, kesepakatan terserlah dalam bantahan ini apabila umat Islam sekalipun berlainan fahaman politik, serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), bersama-sama turun padang meluahkan bantahan.

Pergerakan Pemuda UMNO serta beberapa NGO mengadakan perhimpunan di Masjid Kampung Baru, sementara Pemuda Pas mengadakan perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.

Kesepakatan ini begitu signifikan kerana dalam mempertahankan kesucian Islam tidak harus ada benteng politik.

Diharapkan dalam apa juga isu lain yang menggugat Islam, UMNO dan Pas akan terus bersatu dan berjuang bersama dalam satu suara.

ribuan umat islam protes - berita



Sebahagian daripada kira-kira 300 peserta berarak membantah penerbitan filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad di Kuching, Sarawak, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Ribuan umat Islam seluruh negara hari ini mengenepikan perbezaan fahaman politik untuk bergabung suara dengan berhimpun bagi mengutuk keras penerbitan filem anti-Islam, Innocence of Muslims di Amerika Syarikat (AS) dan penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad SAW di Perancis.

Dalam protes aman yang dianjurkan serentak iaitu selepas solat Jumaat di seluruh negara hari ini, para peserta perhimpunan aman itu antaranya melaungkan seruan Allahuakbar serta meminta masyarakat dunia menghormati agama lain termasuk Islam.

Di ibu negara, kira-kira 10,000 peserta perhimpunan bantahan itu diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru anjuran Pergerakan Pemuda UMNO serta di hadapan Kedutaan AS, anjuran Dewan Pemuda Pas.

Selamat Hari Malaysia - Antara Hari Kemerdekaan dengan Hari Malaysia


RAMAI di kalangan anak muda yang sedikit terkeliru di antara Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ramai yang tidak sedarkan kewujudan Hari Malaysia kerana apabila dilontarkan tarikh keramat itu ramai yang akan memberikan jawapan 31 Ogos.

Tidak adil untuk kita sekadar membebankan kekeliruan itu di atas bahu mereka semata-mata tanpa kita memikirkan apakah kita telah mengambil pendekatan yang cukup untuk menyedarkan mereka tentang kewujudan tarikh Hari Malaysia.

Benar, kita menyediakan segala bentuk kemudahan dan kemodenan untuk dinikmati oleh mereka dan generasi akan datang tetapi khuatir yang disediakan itu akan menyebabkan mereka menjadi lalai kepada sejarah. Sama ada suka atau tidak, hakikat yang harus kita terima bahawa sejarah menjadikan Malaysia sesempurna ini hasil pengemblengan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Jika diimbas kembali kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos lalu, renung-renungkanlah sama ada kita mampu menarik anak-anak muda ini untuk merenung kembali setiap titisan peluh yang dititiskan oleh generasi terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan atau kita sekadar mampu membuatkan mereka menjeritkan perkataan merdeka dan membulatkan mata mereka merenung setiap percikan bunga api di angkasa pada detik 12 tengah malam.

Kerisauan ini dirasakan apabila saban hari berbanding tahun sebelumnya, kemeriahan rakyat terutamanya anak muda dalam meraikan hari kemerdekaan semakin dingin. Lihatlah di sekeliling anda apakah masih ada lagi bendera-bendera yang digantungkan atau dikibarkan di kereta-kereta mahu pun premis-premis? Jika ada pun sekadar menghiasi yang kebanyakannya adalah kenderaan rasmi dan premis kerajaan.

Teringat pula kepada kata-kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan(KPKK), Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa menyambut apa jua acara sambutan yang berkisar kepada sejarah Malaysia tidak boleh hanya dinilai kepada bilangan yang hadir dan bilangan yang mengibarkan bendera semata-mata tetapi jauh daripada itu adalah melahirkan jiwa yang penuh kecintaan kepada negara.

Tentunya kata-kata yang lahir daripada seorang Menteri apatah lagi daripada orang berpengalaman luas haruslah difikirkan secara bersama pendekatan bagaimanakah yang harus diambil untuk memberikan rasa cinta itu kepada anak-anak muda.

Walaupun sehebat itu dan sebenderang angkasa yang kita warnakan pada detik 12 malam 31 Ogos pun kita masih tertanya-tanya apakah anak muda benar-benar menjiwai rasa cinta kepada negara inikan pula berhubung Hari Malaysia yang mungkin masih samar-samar pengertiannya di jiwa mereka.

Kita tidak mahu kekeliruan berhubung Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang semakin bersawang di minda anak muda diburukkan lagi oleh mereka yang berkepentingan dalam politik.

Pelbagai dakyah palsu dilontarkan mereka kepada anak-anak muda di Sabah khususnya semata-mata mahu menyemai rasa benci mereka kepada kerajaan. Minda anak muda di Sabah dan Sarawak terus disogokkan dengan dakwaan bahawa kerajaan sekarang meminggirkan dan tidak membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak.

Hujah yang agak dangkal yang mereka gunakan itu dikhuatiri akan ditelan mentah-mentah oleh anak muda biarpun hakikatnya Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan mahupun dianaktirikan.

Lihat sahaja barisan Jemaah Menteri dalam pentadbiran kerajaan. Sejak dari dahulu sehinggalah ke detik hari ini, anak-anak Sabah dan Sarawak tidak pernah dikecualikan daripada memegang jawatan Jemaah Menteri.

Kemudahan di Malaysia diselaraskan di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Hospital kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Justeru, bagaimana boleh kita menerima bahawa Sabah dan Sarawak dianak tiri dan dipinggirkan?

Ramai anak-anak muda Sabah dan Sarawak yang berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik di negeri kelahiran mereka sendiri dan tidak kurang juga ada di kalangan anak muda daripada tanah Semenanjung yang berhijrah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari rezeki.

Begitu juga jawatan penting di peringkat Persekutuan, Sabah dan Sarawak yang diisikan oleh rakyat dari kedua-dua negeri itu. Semangat integrasi nasional segala-galanya berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang rasa buruk sangka di antara anak Semenanjung dengan anak Sabah dan Sarawak.

Kebersamaan inilah yang sememangnya diidam-idamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila memperkenalkan Gagasan 1Malaysia ketika mengambil alih tampuk pemerintahan. Biarpun sebenarnya perjuangan menyatukan seluruh rakyat Malaysia bukanlah perkara baru tetapi Perdana Menteri tampaknya sentiasa berwaspada kepada sebarang tindakan yang sengaja mahu memecah-belahkan rakyat Malaysia.

Mengenai kecelaruan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, adalah diharapkan kerajaan mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menerangkan fakta sebenar perihal peristiwa itu secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan KPKK.

Hanya dengan fakta yang benar akan dapat melahirkan rasa kecintaan yang mendalam kepada negara dan dapat menjadi benteng kepada sebarang asakan daripada mereka yang ingin melihat kehancuran negara demi kuasa.

Semoga detik 16 September akan menjadi sepenting detik 31 Ogos di dalam kalendar tahunan Malaysia. Kita mahu kepentingan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menjadi seperti aur dengan tebing dan cubit peha kanan, peha kiri turut terasa sakitnya.

Di bawah kibaran Jalur Gemilang, ayuh kita mengorak langkah bersama untuk menuju ke arah yang cemerlang. Sesungguhnya tidak ada yang mustahil untuk kita gapai sekiranya kita bersatu dan dengan semangat Malaysia Boleh, Pandelela Rinong telah menzahirkan bahawa kita sebenarnya hidup dalam rumpun 1 Malaysia. Selamat Hari Malaysia. Semoga kita dapat hidup dengan aman dan bahagia dengan tidak mencetuskan perkauman yang boleh mengganggu keamanan negara.

'Islamophobia' masuki fasa lebih keras


ULANG tahun ke-11 tragedi runtuhnya Menara Berkembar WTC di New York membangkitkan kemarahan antarabangsa yang meluas apabila empat rakyat Amerika Syarikat (AS), termasuk dutanya terbunuh ditembak dan dibom oleh ribuan perusuh yang membantah promosi filem menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW di Benghazi, Libya.

Ekoran tragedi berdarah itu, Presiden AS, Barack Obama mengarahkan kawalan ketat di semua bangunan kedutaannya di seluruh dunia manakala beberapa pihak keselamatan mula mengaitkannya dengan balas dendam al-Qaeda di atas kematian salah seorang pemimpin kanan di Yemen awal minggu lalu.

Walau apa pun kecaman diberikan, AS sebenarnya perlu mengkaji semula konsep kebebasan bersuara yang diberikan kepada rakyatnya. Ekoran penerbitan filem Innocence of Muslims sepanjang dua jam dan mula dipromosikan menerusi YouTube dengan durasi kurang dua minit, membangkitkan kemarahan rakyat Libya dan Mesir.

Kemarahan itu dijangka akan cepat merebak ke beberapa buah negara Islam kerana penghinaan ke atas agama dan Nabi Muhammad SAW menjadi senjata provokasi Yahudi untuk membolehkan tindakan keras dilakukan termasuk mencetuskan suasana huru-hara dan membolehkan AS melakukan serangan balas yang lebih dahsyat.

Gambaran buruk Barat terhadap Islam, Nabi Muhammad SAW, al-Quran dan umat Islam memiliki sejarah panjang - sepanjang sejarah hubungan Islam dan Barat (Kristian).

Pada masa-masa tertentu gambaran negatif tersebut sengaja digerakkan sebagai usaha membela diri atau menutup kelemahan, meningkatkan citra agama Kristian dan Yahudi serta bangsa Barat di hadapan umat Islam. Dan yang amat menyakitkan hati, mereka secara agresif menyerang keyakinan agama umat Islam.

Promosi filem itu dilakukan oleh seorang pelampau Kristian keturunan Mesir, Morris Sadek dan dihasilkan oleh Sam Bacile, keturunan Yahudi Israel. Kedua-dua mereka merupakan rakyat AS dan tinggal di California. Filem tersebut dihasilkan menerusi dana yang dikeluarkan oleh 100 orang Yahudi AS berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) dan dihasilkan dalam tempoh tiga bulan.

Filem tersebut diterbitkan dengan tujuan memprovokasi masyarakat antarabangsa mengenai peribadi Nabi Muhammad SAW sebagai kasanova dan Islam adalah 'barah'.

Jika AS melakukan serangan ke atas Libya bagi mencari siapakah pembunuh rakyatnya dalam insiden tersebut, bermakna lengkaplah andaian mengenai tabiat sebenar kuasa besar itu yang sengaja membiarkan rakyatnya mati terlebih dahulu. Kematian itu akan digunakan untuk menyerang dan memusnahkan sesebuah negara sebagaimana dilakukan oleh George Bush untuk menyerang Iraq pada tahun 2003.

Secara psikologinya, manusia sanggup melakukan apa sahaja atas nama agama. Manusia sanggup membunuh kerana agamanya dihina dan dikecam. Agama menjadi kepercayaan yang paling suci, maka kesucian itulah yang wajib dipertahankan.

Apabila AS bertindak memburu pembunuh dutanya atau mereka yang merusuh di kedutaannya sehingga menyebabkan kematian dan kerosakan menerusi Akta Patriot, ia tidak akan menyelesaikan masalah secara lebih berkesan.

Di sebalik kekacauan agama itu terdapat suatu manifestasi ideologi politik secara halus yang sengaja dilakukan oleh kelompok Yahudi. Ini termasuklah penerbitan filem yang mencetuskan kemarahan rakyat Libya dan Mesir.

Di sebalik kesemua serangan ganas tentera AS di seluruh dunia, terpahat peranan Yahudi mencorakkan dasar luar White House. Pembunuhan duta ke Libya dan tiga orang kakitangan keselamatan di Beghazi pada malam 11 September 2012 itu adalah kemuncak daripada provokasi baharu Amerika Syarikat untuk menjajah Libya setelah berjaya membantu para pemberontak hampir setahun bertarung menjatuhkan Muammar Gaddafi, yang sangat tidak disenangi oleh Israel dan pelampau Yahudi.

Israel sedar mereka tidak berjaya mempengaruhi kestabilan politik di Asia Barat dan atas kesukaran itulah pelampau Yahudi berusaha dengan cara membangkitkan kemarahan masyarakat Islam dengan terus membiayai dan menganjurkan apa sahaja tindakan memburuk-burukkan Islam.

Tujuannya jelas, bila kepentingan AS terbabit, maka mudahlah White House membuat keputusan menyerang ataupun menggunakan kekerasan dan ketenteraan bagi menghancurkan kerajaan yang sah.

Libya masih belum pulih sepenuhnya. AS sebenarnya menanggung aib yang besar kerana para perusuh itu sebenarnya menggunakan senjata yang pernah dibekalkan kepada mereka ketika menentang Muammar. Tetapi pada malam ulang tahun ke-11 Tragedi 911 digunakan untuk membakar, merusuh dan membunuh di bangunan kedutaannya di Libya.

Selagi AS tidak mampu memperbetulkan persepsi buruk terhadap Islam yang berlegar dalam pemikiran rakyatnya, maka selagi itulah perburuan untuk membunuh "pengganas dan pelampau" yang menyerang kepentingannya tidak akan berakhir.

Memperingati tragedi al-Aqsa


PENYOKONG Hamas mengibarkan bendera negara Palestin dan kain rentang bergambar masjid al-Aqsa pada perhimpunan aman yang diadakan di Bandar Gaza, baru-baru ini.

Perhimpunan tersebut diadakan bersempena memperingati 43 tahun kejadian pembakaran tempat ketiga mulia bagi umat Islam itu iaitu Masjid al-Aqsa.

Masjid al-Aqsa merupakan salah satu daripada tempat suci yang disebutkan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam dan ia kini di bawah pemerhatian tentera Yahudi. 

Formula kekalkan kemerdekaan negara


KEMERIAHAN Syawal masih lagi terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah semangat 1Malaysia.

Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza.

Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.

Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.

Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa disedari.

Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.

Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.

Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.

Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan.

Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.

Untuk itu, semua individu yang cinta kepada negara haruslah berjuang meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti.

Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.

Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan.

Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas kepentingan kendiri.

Benderaku oh Benderaku…


DI AMERIKA SYARIKAT, sejahat-jahat mana sekali pun manusia itu yang disumbat ke dalam penjara paling ketat kawalannya, bendera adalah panji-panji yang akan mereka hormati. Jangan sesiapa menghina bendera itu, nahas dia! Sejahat-jahat samseng atau banduan di negara itu bendera mereka amat dihormati.

Tiada mana-mana pembangkang di negara Uncle Sam itu yang sanggup meminta bendera negara itu ditukar atau dicela dan dipijak-pijak. Jika ia berlaku orang itu pastinya tidak akan selamat dari segi undang-undang dan manusia.

Ketaatan kepada bendera, sama tarafnya seperti mentaati bangsa dan negara. Semasa peperangan, bendera mereka adalah panji-panji terakhir yang dipegang sehingga ke titisan darah terakhir.

Di KL atau di bandar-bandar besar Malaysia, atau di kawasan sempadan negara, tiang bendera gergasi harus dibina bagi mengibarkan Jalur Gemilang. Ia adalah simbol patriotisme. Ia adalah simbol kenegaraan. Sesiapa yang melihat kibaran itu pasti akan naik semangat.

Mengapa tiada tiang gergasi untuk mengibarkan Jalur Gemilang dibina di sepanjang Selat Tebrau atau di tepi Tambak Johor, atau di atas Bukit Timbalan, Johor Bahru yang menghadap ke arah Pulau Temasik? Jangan salahkan rakyat jika generasi kita tidak hormatkan bendera sendiri, kerana pemerintah sendiri tidak sensitif untuk mengibarkannya.

Mengapa juga tidak diarahkan bangunan-bangunan korporat yang tinggi di KL, misalnya mengibarkan bendera gergasi di atas puncak bangunan masing-masing?

Kita akan pasti berbangga melihat kibaran Jalur Gemilang di setiap penjuru skyline, pencakar langit KL.

Rakyat Turki terlalu megah dengan bendera mereka. Mereka juga terlalu megah dengan tanah air mereka. Walaupun Perlembagaannya sekular, mereka kini secara perlahan-lahan sudah mengenali Islam dan mengamalkannya. Tiada revolusi dilancarkan untuk menjatuhkan kerajaan sekular yang ada. Semuanya melalui pilihan raya. Mereka tidak sukakan persengketaan yang boleh menghancurkan negara. Sejarah pahit manis mereka terlalu panjang dan matlamat mereka kini ialah ke arah kesejahteraan.

Turki ialah satu-satunya negara contoh yang boleh diikuti dari segi kemajuannya. Mungkin ada hikmah juga apabila negara itu diambil alih oleh Kamal Attarturk selepas kejatuhan era Othmaniah dulu. Jika tidak mungkin Turki akan terus mundur seperti negara-negara Islam yang lain.

Malaysia seperti juga Turki ialah sebuah negara yang cukup beruntung. Syiar Islam di Malaysia berkembang pesat. Malaysia ialah pendokong industri kewangan Islam. Orang Melayu Malaysia juga dikenali sebagai orang Islam yang terlalu Islamik. Semuanya ada di sini. Semuanya cukup makan. Banyak negara yang mencemburui Malaysia. Negara-negara jiran juga mencemburui Malaysia. Sepatutnya mereka yang mencontohi bendera Malaysia, bukan sebaliknya.

Kita tidak pasti idea siapa yang mereka bendera baru Malaysia itu dengan menciplak bendera Singapura dan Indonesia. Tiada lagi jalur yang menggambarkan negeri-negeri di Malaysia. Apakah itu tanda awal Malaysia mahu direpublikkan seperti Indonesia dan Singapura? Jika Malaysia menjadi republik, maka tiada lagilah Raja Berperlembagaan. Simbol kemelayuan itu akan dikuburkan. Adakah itu hasratnya?

Atau mungkin juga bunga-bunga kebencian terhadap bendera kita telah diterapkan oleh para pemimpin politik sendiri. Ingat lagi pada Hari Malaysia September 2011? ADUN DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan mahu Jalur Gemilang ditukar dengan bendera baru jika mereka memerintah kelak.

Dia enggan mengibarkan bendera kebangsaan sempena hari itu, sebaliknya mengedarkan bendera DAP di kawasan pilihan rayanya.

Sebenarnya, banyak pihak yang mengidamkan kemakmuran Malaysia. Berjuta-juta rakyat Indonesia sedang mencari makan di Malaysia. Difahamkan ramai rakyat Indonesia yang tinggal di negara ini atau yang mendapat taraf penduduk tetap negara ini tidak mencintai negara ini. Mereka hanyalah pendatang ekonomi yang mahu mencari rezeki. Ironinya ramai juga yang menyokong pembangkang.



Singapura pula, walaupun sebuah negara maju juga terlalu cemburukan Malaysia.

Mereka juga terlalu mengidamkan Malaysia. Jika Malaysia boleh dikuasai, maka legalah hati mereka. Amanlah Singapura. Jika pembangkang dapat menguasai Malaysia, ia sudah cukup baik bagi Singapura merasa aman secara strategik. Itu bukan rahsia lagi. Semua orang tahu mengenainya.

Namun, orang Malaysia masih tidak sedar itu semua. Orang-orang Melayu kini terlalu keliru dengan hasutan pembangkang yang sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.

Kita amat kasihan melihat segelintir rakyat Malaysia, terutamanya Melayu yang celaru dan keliru itu. Fikiran mereka bercelaru tiada tujuan. Amarah dan benci kesumat terhadap perkara-perkara kecil dan peribadi terlalu menguasai diri, sehinggakan apa yang berada di depan mata mahu dihilangkan.

Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kini tuntutan-tuntutan yang tidak dipenuhi dijadikan ancaman untuk menukar kerajaan, waima tiket saman parking sekali pun!

Melihatkan wanita-wanita bertudung ketawa mengilai melihat rakan-rakan mereka memijak gambar Perdana Menteri dan isterinya, kita tergamam. Melihatkan segelintir anak-anak muda mengangkat bendera lain, yang diberi nama Sang Saka Malaya, seakan-akan bendera Indonesia, Sang Saka Merah Putih, mengingatkan kita apakah unsur-unsur subversif (tempatan dan asing) sudah mulai meresapi dan menguasai generasi kita?

Mungkinkah mereka terlalu berani berbuat demikian kerana Malaysia kini sudah terlalu terbuka. Tiada lagi ISA, tiada lagi EO (Ordinan Darurat), Akta Hasutan dan lain-lain. Malah kita juga belum melihat akta yang menggantikan ISA dilaksanakan? Malaysia kini sebenarnya terlalu baik dan tolerans.

Itu pasal perkara yang tidak terfikir di fikiran kita sebelum ini, kini sedang berlaku.

Apakah Malaysia kini sudah terlalu demokratik, terlalu bebas? Tapi persoalannya siapa yang peduli?

Adakah pihak tertentu di Amerika Syarikat, yang turut membiayai NGO pembangkang di Malaysia, termasuk Suaram dan portal-portal media anti kerajaan atas nama kebebasan bersuara, peduli? Apakah Singapura dan Indonesia juga peduli?

Malaysia tanah air tercinta ini, sepatutnya ditentukan oleh kita sendiri, bukan mereka!




Dikata negara paling biadab? Betulkah?

Allahamduillah!!!!!! Maka berakhirlah exam pertengahan semester 2.

READER's Digest sekali lagi meletakkan kita sebagai negara yang penduduknya paling biadab di dunia. Enam tahun lalu kita diletakkan oleh majalah berkenaan di tangga ke-33. Kali ini pun masih di tangga yang sama daripada 34 negara yang disenaraikan.

Bagi sesetengah daripada kita, kajian dan penyelidikan daripada majalah ataupun agensi dalam dan luar negara, kita selalunya mengambil sikap tidak ambil pusing kerana menganggap ia satu penyelidikan yang dibuat secara rambang dan tidak menyeluruh, maka kita tidak percaya dan sangsi dengan hasil kajian itu.

Bagaimanapun ada asas juga untuk melihat apa hasilnya, lebih-lebih lagi penemuan kajian berkenaan sememangnya 'dekat' dengan kita.

Kebiadapan itu dinilai melalui kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun di negara ini berpunca daripada sikap biadab di jalan raya.

Selain itu, rakyat kita merokok di zonlarangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang, lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan "terima kasih" dan meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak kereta begitu sahaja dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum penumpang keluar.

Memang banyak kebenarannya. Apa yang disenaraikan memang sering berlaku di depan mata kita dan sudah tentu sebagai rakyat Malaysia kita boleh menyenaraikan lebih banyak lagi perbuatan yang boleh dimasukkan dalam kategori biadab yang seolah-olah sudah menjadi 'makan dan minum' sebahagian daripada orang kita.

Kita semua sudah pasti melalui keadaan di mana apabila berbaris panjang untuk membayar barangan di kedai runcit atau pasar raya atau mendapatkan perkhidmatan, ada yang dengan muka selamba memotong masuk barisan tanpa rasa bersalah. Bagi yang bekerja di kaunter pembayaran pula akan menunjukkan 'muka ketat' apabila pembeli tidak ada wang kecil, seolah-olah pembeli telah melakukan 'dosa besar' kerana tidak membayar dengan wang kecil. Membiarkan kereta lain beratur panjang di stesen minyak menunggu kita mengisi petrol, sementara kita masih di dalam kedai stesen minyak seperti 'makan angin' membeli belah makanan ringan sambil berborak-borak di telefon bimbit, melintas jalan sesuka hati dengan menggunakan 'kuasa tangan', membuang sampah merata-rata termasuk dari kenderaan ketika memandu, menggunakan telefon bimbit di kawasan-kawasan yang dilarang seperti dalam bank dan banyak lagi.

Dan sudah pastinya kebiadapan yang dimaksudkan itu akan lebih terserlah apabila melayari laman-laman sosial di alam maya. Kita boleh membaca ayat-ayat yang digunakan apabila membuat komen mengenai sesuatu isu terutamanya apabila ia membabitkan hal-hal politik. Dan tidak kurang pula dalam satu-satu isu yang tiada kaitan dengan isu politik pun, akhirnya dikaitkan dengan politik dan berlakulah pergaduhan siber.

Yang peliknya, orang kita boleh menghabiskan masa yang lama melayari laman sosial ini untuk bercakap hal-hal politik, tidak mengira waktu, entah masa bila mereka melakukan kerja-kerja 'hakiki' mereka.

Tahap pendidikan seseorang itu juga tidak membataskan diri untuk turut memberikan komen-komen biadab yang langsung tidak mencerminkan dari universiti atau pusat pengajian tinggi mana seseorang itu belajar.

Bagi saya apabila terlalu banyak politiking, semua perkara hendak dikaitkan dengan politik, membuatkan semua benda yang dibuat ada saja tidak kena dan dipandang tidak betul, akhirnya berbalah sesama kita, yang sudah pasti tidak membawa sebarang keuntungan selain mencari musuh. Ada yang hilang kawan, saudara-mara dan isteri! semuanya sebab terlalu banyak politiking.

Sikap biadab ini juga ditunjukkan oleh segelintir anak muda kita dalam himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada malam ambang merdeka yang lalu, yang bertindak memijak gambar pemimpin negara dan melondehkan seluar untuk menayangkan punggung dan mahu menukar bendera negara Jalur Gemilang dengan bendera baru. Ini belum lagi kita masukkan aksi-aksi biadab dalam demonstrasi-demonstrasi sebelum ini.

Dan kalau kita langsung tidak menganggap perlakuan sebegini sebagai biadab atau melampau, tentu ada yang sesuatu yang tidak kena dengan kita.

Jadi apabila negara ini diletakkan dalam kategori rakyatnya paling biadab walaupun bukan di tangga juara, kita sewajarnya melihat sendiri apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukan terus mengatakan bahawa Reader's Digest itu tidak cukup 'digest' dalam membuat kajiannya.

Adakah sebilangan dari kita mahu berterusan bersikap biadab dan mahu yang lain turut hidup dalam masyarakat yang dipenuhi oleh perlakuan biadab?

Kita sendiri amat takut dan malu apabila anak-anak kita dikata tidak tahu adab dan biadab. Jadi, sebenarnya ia bermula dari kita sendiri. Sewajarnyalah kitalah yang memberi contoh yang baik-baik kepada mereka. Dan mereka mengikut.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails