Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Terengganu jadi pilihan, NS mantap





KUALA LUMPUR – Terengganu menjadi pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final di Stadium Shah Alam hari ini.
Namun, pengalaman beraksi pada perlawanan akhir serta dibarisi pemain berpengalaman, menjadikan harapan Negeri Sembilan tidak boleh diketepikan.
Itu ramalan jurulatih bola sepak negara menjelang aksi kemuncak bola sepak negara hari ini.
Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, pasukannya mempunyai rangkaian pemain terbaik untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas kali terakhir pada 2001 ketika menewaskan Perak 2-1.
Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah pula lebih selesa jika pasukannya dilabel sebagai underdog.
Sebaliknya, dia menganggap Terengganu sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final hari ini, berdasarkan prestasi skuad Penyu musim ini.
Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia, Azraai berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan muncul naib juara Liga Super membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang lebih konsisten.
Ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof pula menyifatkan kehadiran bekas rakan sepasukannya di Terengganu ketika memenangi Piala Malaysia 2001, Hairuddin Omar, serta beberapa lagi pemain berpengalaman menjadikan Negeri Sembilan pasukan yang perlu dihormati.
Ketua pasukan Negeri Sembilan, Shukor Adan berkata, pengalamannya yang pernah beraksi pada pentas akhir bukan kelebihan.
“Bermain buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan akhir Piala Malaysia saya tidak fikir bukan satu kelebihan buat kami.
“Tiap kali perlawanan akhir, ia adalah satu pentas yang berbeza buat setiap pemain, perasaan gementar itu sentiasa ada sebelum melangkah ke dalam padang.
“Tambahan berdepan Terengganu yang semakin konsisten dan mempunyai barisan serangan paling berbisa, perlawanan esok (hari ini) bukan satu perlawanan yang mudah buat Negeri Sembilan,” katanya.

Mangsa dibuli di laman sosial




Remaja dan kanak-kanak menghabiskan purata 19 jam masa menghadap Internet.


PENGALAMAN mangsa buli di alam siber ini diceritakan sendiri oleh seorang pelajar tingkatan empat, Asraf (bukan nama sebenar) yang kini belajar di sebuah sekolah menengah di Selangor.
Asraf memberitahu, biasanya perbuatan buli itu dilakukan oleh sekumpulan pelajar yang biasanya menggunakan laman sosial seperti Facebook (FB) untuk membuli rakan dan juga guru.
Melalui perbuatan tersebut, kumpulan pelajar terbabit akan menceroboh laman sosial rakan-rakan dan guru mereka dengan meletakkan pelbagai status dan komen yang memalukan.
Dalam kes Asraf, pada pandangan rakan-rakan dan saudara mara dia melayari laman sosial itu sepanjang masa. Ini berdasarkan statusnya yang dikemas kini hampir setiap minit.
Tetapi realitinya, Asraf langsung tidak melayari Internet pada hari berkenaan. Malah rumahnya juga tidak ada kemudahan Internet. Dia juga tidak mengunjungi kafe siber. Kalau pergi pun akan ditemani bapa dan ibunya. Telefon bimbitnya pula tidak ada capaian Internet.
Maknanya, Asraf telah menjadi mangsa buli di Internet oleh rakan-rakan sekolahnya.
‘‘Sukar untuk meneka siapa yang terlibat kerana mereka ini bergerak dalam kumpulan. Mereka menggunakan kafe siber untuk melakukan kerja-kerja menggodam FB saya,’’ katanya.
Kata Asraf, ada rakannya mengalami nasib yang lebih teruk lagi apabila gambar dan profil dalam FB ditukar.
Katanya, perbuatan itu memang memalukan, tetapi mangsa hanya berdiam diri kerana bimbang akan dibuli lebih teruk.
Jelas Asraf, guru kelasnya juga turut menjadi mangsa hingga terpaksa menukar kata laluan ke akuan FB.
Namun, ia masih gagal untuk menghalang kumpulan pelajar nakal terbabit daripada terus menceroboh ke akaun guru tersebut.
‘‘Yang peliknya setiap kali guru saya menukar kata laluan baru di akaun FB mereka ia berjaya dikesan oleh kumpulan pelajar ini.
‘‘Pelajar-pelajar ini begitu bijak dalam menceroboh kata laluan di FB sesiapa sahaja yang mereka kehendaki,” katanya.
Atas pengalaman itu, Asraf memberitahu dia tidak lagi berminat melayari laman sosial itu kerana bimbang diperhatikan oleh kumpulan itu yang menunggu masa untuk membuli.
Cerita Asraf itu merupakan salah satu daripada beribu-ribu jenayah siber yang menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa.
Daya tarikan Internet memang kuat sehingga menjadi kegilaan bukan saja pada kanak-kanak bahkan orang dewasa.
Disebabkan ketagihan kepada Internet terutama pada laman-laman sosial seperti FB, Fanpage, blog dan sebagainya menyebabkan mereka terdedah kepada kejadian buli siber.
Laporan Keluarga Norton Online 2010 menunjukkan kanak-kanak di Malaysia telah menghabiskan secara purata 19 jam seminggu di Internet.
Tetapi ibu bapa hanya beranggapan anak-anak mereka menggunakan Internet selama 11 jam seminggu.
Laporan tersebut juga mendapati hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa yang dicapai dan dilayari oleh anak-anak mereka di Internet.
Peluang untuk melayari Internet juga tidak terhad dengan penggunaan komputer meja atau riba sahaja.
Kemunculan komputer yang lebih kecil dan senang dipegang seperti tablet, iPad dan telefon bimbit memudahkan capaian anak-anak kepada Internet.
Ia diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa yang begitu mudah menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka melayari dunia siber tanpa sebarang panduan dan pengawasan.
Kajian yang sama menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak di Malaysia pernah terdedah kepada pengalaman negatif menerusi penggunaan dalam talian.
Ketua Perhubungan Korporat Telekomunikasi Digi, Zaiton Idrus berkata, senario itu sebenarnya memberikan kesan negatif terhadap emosi mereka.
‘‘Sekalipun ingin membelikan telefon bimbit atau iPad untuk anak-anak, ibu bapa perlu mengingatkan mereka supaya berhati-hati ketika melayari Internet untuk mengelak sebarang masalah,’’ katanya.
Beliau berkata, hanya ibu bapa sahaja yang dapat memberikan panduan dan bimbingan supaya anak-anak dapat melayari Internet dengan beretika.
‘‘Ibu bapa perlu ingat bahawa memberikan peluang anak melayari Internet juga umpama membenarkan mereka bermain di padang permainan di mana perlu ada panduan keselamatan,’’ katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Cara Mengurus Anak Celik Digital sempena seminar Perlindungan Untuk Kanak-Kanak di Online (Child Online Protection) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Zaiton, panduan dan bimbingan itu dapat membantu mereka supaya tidak terjebak dengan perkara negatif di dunia siber termasuk membuli pengguna yang yang lain.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu memperuntukkan masa memeriksa dari semasa ke semasa setiap kenalan anak mereka menerusi laman web sosial seperti FB dan sebagainya.
‘‘Kawalan ini tanggungjawab ibu bapa supaya anak masing-masing tidak dipengaruhi oleh rakan siber dan pelbagai anasir jahat yang lain,’’ katanya.
Jelasnya, Digi sebagai syarikat telekomunikasi di negara ini turut bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan pelanggan daripada terjebak dengan sebarang jenayah siber.
‘‘Antaranya ‘Perlindungan Keluarga McAfee’ merupakan perisian keselamatan Internet dibina untuk memberi kuasa kepada ibu bapa untuk menjaga, mengetahui bahawa mereka ini akan selamat kerana belajar dan meneroka di dunia siber,’’ katanya.
Katanya, teknologi canggih perisian tapisan menghalang kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai seperti video yang tidak sesuai dan sebagainya.
‘‘Jika ibu bapa selalu sibuk mereka akan maklumkan melalui emel mengenai apa-apa akses kepada laman web tidak sesuai yang telah dilayari oleh anak-anak,’’ katanya.
Sementara itu Pengasas dan Pengarah Eksekutif, Persatuan Kebajikan Generasi Gemilang (Generasi Gemilang), Daniel Tan Kok Keat berkata, ikatan kekeluargaan yang rapat merupakan kaedah terbaik supaya kanak-kanak sebagai generasi akan datang selamat ketika melayari Internet.
‘‘Ibu bapa adalah guru terbaik yang boleh mengajar anak-anak supaya mematuhi panduan yang berasaskan kepada prinsip dan nilai di dalam sesebuah kehidupan itu ketika melayari Internet,’’ katanya.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa mesti sedia maklum laman web yang sesuai untuk dilayari oleh anak-anak atau sebaliknya.
‘‘Anak-anak juga dari semasa ke semasa perlu diingat berhati-hati dalam melayari Internet supaya tidak terjerumus ke laman web yang tidak wajar di dalam usia mereka,’’ katanya dalam kertas kerja bertajuk Realiti Dunia Siber di Malaysia.
Daniel berkata, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya dapat melayari alam siber secara positif.
‘‘Mereka perlu diingatkan supaya bertanggungjawab bukan sahaja untuk menjaga keselamatan diri sendiri malah juga keluarga dan juga rakan-rakan,’’ katanya.

Kenderaan teknologi hijau

\


Kerjasama bersama syarikat pengeluar kereta elektrik berkuasa tinggi seperti Tesla Motor Incorporation ini menunjukan komitmen Panasonic dalam membangunkan teknologi hijau.


TEKNOLOGI pembuatan kenderaan kini menjurus kepada peralihan daripada bahan api berasaskan fosil kepada yang lebih mesra alam. Ia sejajar dengan kesedaran mengenai perlunya teknologi hijau dikembangkan.
Selain kereta hibrid yang menggabungkan dua sumber bahan api yang kini mula diminati dan berkembang pantas di negara ini, pengeluar kereta juga beralih kepada penggunaan elektrik sepenuhnya sebagai ganti petroleum.
Teknologi tersebut lebih mesra alam, menjimatkan penggunaan bahan api fosil dan paling penting membantu mengurangkan pelepasan gas karbon yang menjadi penyebab utama kesan rumah hijau.
Dua jenama pengeluar kereta terbesar dunia iaitu Honda dan Toyota misalnya, masing -masing telah mengkomersialkan kenderaan berteknologi hibrid tersebut iaitu Toyota Prius dan Honda Insight.
Berbeza dengan kedua-dua syarikat terbabit, Perusahan Otomobil Nasional (Proton) melangkah lebih ke hadapan dengan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (Electric Vehicle atau EV).
Menurut Ketua Jurutera Integrasi Kenderaan Proton, Muhammad Zulfadzli Che Mustafar, teknologi tersebut telah dibangunkan sejak 2004.
"Tujuan kita melibatkan diri (kajian dan pengembangan) adalah untuk menembusi pasaran kereta di negara-negara luar yang biasanya dimonopoli oleh syarikat-syarikat pembuat kenderaan yang lebih besar.
"Kita juga tidak boleh lagi tertumpu kepada teknologi enjin kereta yang ada kini berikutan harga bahan api semakin meningkat selain mencemarkan alam sekitar," ujarnya.
Beliau ditemui pada Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Proton, Panasonic yang merupakan sebuah syarikat gergasi turut menerapkan penggunaan teknologi dalam pembangunan produknya.
Antara penglibatan Panasonic dalam pembangunan kereta elektrik ialah dari Tesla Motor Incorporation sebagai pembekal utama bateri untuk kegunaan kereta Sport elektrik berkuasa tinggi syarikat tersebut.
Ia merupakan komitmen syarikat berkenaan dalam menghasilkan teknologi hijau yang lebih cekap, berkesan serta mesra.
Selain kereta, Panasonic juga menampilkan konsep inovasi hidup hijau dan inovasi perniagaan hijau dengan memanfaatkan Tenaga Panasonic untuk Econation.
Panasonic turut memperkenalkan empat tonggak dalam mencapai sasaran mereka iaitu mencipta, menyimpan, menjimat, dan mengurus tenaga di pameran IGEM tersebut.
Menurut Pengarah Urusan Panasonic Malaysia (M), Jeff Lee, setiap produk Panasonic tertakluk kepada tonggak berkenaan yang mana menekankan komitmen syarikat terhadap penjagaan alam sekitar.
"Bersandarkan pameran produk yang seiring dengan hala tuju baru perniagaan kami, kami berharap matlamat untuk memberi kesedaran tentang penyelesaian tenaga secara menyeluruh kepada orang ramai.
"Malah, Panasonic juga turut merintis perniagaan B2B (Business to Business) dan B2G, (Business to Goverment) yang dilihat mampu direalisasikan melalui pameran ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran penyertaan Panasonic dalam pameran IGEM 2011 itu.
Penglibatan Panasonic dalam pameran IGEM 2011 menunjukkan syarikat tersebut serius dalam menggalakkan inovasi hijau di Malaysia.
Malah, dalam pameran terbaru itu juga, Panasonic turut tidak mengehadkan pameran kepada produk semata-mata. Tetapi turut menumpukan perhatian kepada perniagaan baru dan konsep hidup hijau seperti Sistem Alam Sekitar Panasonic.
Usaha syarikat itu untuk memacu revolusi hijau berkembang bukan hanya melalui produk tetapi menerusi kempen Econation yang dilancarkan baru-baru ini.
Malah menurut Pengurus Pemasaran dan Pembangunan untuk Penyelesaian Mesra Alam dan Tenaga, Panasonic Malaysia (M), Tan Chee Tan, bakal rakan kongsi perniagaan dan badan kerajaan tidak perlu melihat jauh untuk mencari penyelesaian tenaga.
"Penyelesaian tenaga menyeluruh Panasonic produk mesra alam memberikan B2B, B2G dan B2C (Business to Company).
"Secara mudahnya, Panasonic turut memberikan pilihan perniagaan bagi mereka untuk semua perkara yang diperlukan dalam melaksanakan sesebuah projek," ujarnya.
Pada pameran tersebut, para pelawat dapat melihat contoh-contoh idea dan teknologi penyelesaian yang mesra alam yang diaplikasikan secara meluas oleh Panasonic.
Antaranya seperti Penyelesaian Penciptaan dan Penyimpanan Tenaga dengan Panel Suria terkini, Sel Bahan Api dan Sistem Penyimpanan Bateri Lithium Ion dan Rangkaian Pencahayaan LED dan Eco Lighting Panasonic.
Seterusnya Penyaman Udara Eco Navi dan Inverter; Penyaman Udara Aliran Penyejukbekuan Boleh Ubah (VRF); Sistem Penyelesaian Dapur; Penyelesaian Menyeluruh Kedai Runcit dan Penyelesaian Bangunan Panahome.

Himpun bukan seperti Bersih

Hasrat kira-kira 1,000 NGO Islam di seluruh negara yang akan berhimpun di perkarangan letak kereta Stadium Shah Alam pada hari ini, Sabtu 22 Oktober pada pukul 2 petang telah menerima pelbagai maklum balas yang pelbagai. Ada yang menyokong dan sudah tentu ada juga yang menentang.
Malah ada yang menyamakannya dengan perhimpunan Bersih yang pernah diadakan sebelum ini. Inilah yang sebenarnya cuba dijelaskan supaya perspektif yang betul dapat diterangkan kepada khalayak dan seluruh rakyat di negara ini agar tidak menimbulkan salah tanggap atau kegusaran yang tidak berasas.
Oleh itu wajarlah objektif perhimpunan berkenaan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tanggapan dibuat dengan cara sembrono hingga ia menenggelamkan tujuan sebenar ia diadakan. Matlamatnya adalah:
* Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.
* Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
* Memberitahu rakyat perlunya persoalan akidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
* Menyerlahkan Institusi Raja yang menjadi payung bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
* Menzahirkan kekuatan akidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
* Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwah agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
Malah dalam pelbagai blog sudah pun diuar-uarkan bagaimana pihak kerajaan seolah-olah bersekongkol dan menuding jari pada pihak UMNO yang kononnya menjadi peneraju dalam program ini sehingga ia mendapat permit kelulusan daripada pihak berkuasa tidak seperti mana yang dialami oleh penganjur Bersih.
Tidak kurang juga yang seolah-oleh mengugut kepada pihak pakatan pembangkang supaya tidak menyertai Himpunan ini supaya tidak dicop menyebelahi Barisan Nasional (BN) dalam isu kepentingan ummah.
Ternyata, budaya baru yang ingin diperkenalkan kepada rakyat negara ini terutamanya golongan muda seolah-olah mereka wajib menyanggah establishment. Di mana apa sahaja gerak kerja yang positif untuk membantu pihak berkuasa mewujudkan persefahaman, kerjasama merentas sempadan bangsa dan agama seringkali disamakan dengan menyokong parti pemerintah meskipun ia tidak langsung berkaitan dengan isu politik.
Perkara lain yang perlu ditekankan di sini bahawa, program himpunan sejuta umat ini sebenarnya bukan direncanakan untuk menukar atau meminta apa-apa perkara yang sudah ditetapkan di dalam Perlembagaan negara.
Ia sekadar memohon supaya semua kaum dan penganut agama lain di negara ini mematuhi, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Terutamanya kepada agama Islam yang merupakan agama rasmi negara yang sudah diberikan hak-hak serta keistimewaan tertentu.
Tidak ada negara lain di dunia ini yang begitu prihatin dalam menjamin kebebasan beragama bagi penduduk minoriti mereka seperti mana yang dinikmati oleh rakyat negara ini. Ia bukan hanya sekadar kata-kata manis tetapi boleh dilihat melalui data, fakta dan gambaran fizikal yang terserlah di hadapan mata kita sekiranya kita mahu berlapang dada dan tidak prejudis.
Saban tahun, himpunan penganut Hindu terbesar di dunia sempena Thaipusam di Batu Caves melebihi angka jutaan orang dan tercatat di dalam Buku Rekod Guinness yang terbesar di dunia. Itu belum lagi patung yang tertingginya kalau dibandingkan dengan jumlah penduduk India yang hanya kira-kira 2 juta sahaja daripada 29 juta penduduk negara ini.
Ratusan gereja, kuil dan pelbagai rumah ibadat lain yang dibina di seluruh negara yang jika dikira melebihi jumlahnya daripada jumlah masjid bagi umat Islam negara ini. Itu pun tidak pernah menjadi kecaman atau halangan daripada kerajaan dan umat Islam negara ini dan sudah tentu ia berbeza di negara lain yang umat Islam menjadi penduduk minoritinya.
Oleh itu, adalah sudah kena pada masa dan ketikanya bagi seluruh umat Islam dan juga para penganut agama lain di negara ini yang cintakan keamanan dan kesejahteraan serta yang tahu bersyukur di atas segala yang kita nikmati selama ini bersatu dalam program ini bagi mengukuhkan soladiriti yang sudah mula goyah akibat permainan kasar pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tidak banyak yang diinginkan oleh umat Islam di negara ini kepada para penganut agama lain. Hanya persefahaman, tahu batas, dan menghormati antara satu sama lain. Sekiranya permintaan sekecil itu pun tidak dihormati maka bermakna mereka ini bukanlah rakyat yang tahu diuntung dan sudah pun melanggar prinsip asas yang sudah dipersetujui serta dipegang bersama selama ini.
Sekiranya susu yang diberikan selama ini dibalas dengan tuba, kebaikan dan kesabaran umat Islam di negara ini mahu dicuba maka sebarang tindak balas yang akan diterima tidak boleh dikatakan sebagai satu penindasan lagi. Itulah mesej yang ingin disampaikan dengan jelas tanpa berselindung lagi.
Islam bukan dimiliki oleh orang Melayu semata-mata, ia adalah milik orang India, Cina dan sebagainya. Kerana itu, menuduh Himpunan Sejuta Umat sebagai bersifat perkauman adalah tidak benar dan bersifat dangkal. Sebab itu dalam perhimpunan itu kelak wakil-wakil dari umat Islam seluruh dunia termasuk dari negara Balkan yang pernah mengalami isu yang sama turut dijemput mengambil bahagian dan berkongsi pengalaman mereka.
Apalah lagi yang perlu dilakukan oleh umat Islam di negara ini bagi menunjukkan kepada orang lain betapa bertolak ansurnya mereka selama ini. Tidak cukupkah lagi dengan segala macam hinaan, cercaan, caci maki malah perlanggaran hak dan sebagainya yang saban waktu diterima lantas kemudiannya dibuat permohonan maaf di atas media dengan sebaris kata-kata permohonan maaf kerana tidak sengaja.
Cukuplah, sudah sampai masanya kita menegakkan yang hak dan menyatakan pendirian supaya kelangsungan kerja-kerja keji dan terkutuk ini harus dihentikan dan negara boleh fokus kepada isu-isu lain untuk kemakmuran bersama.
Selagi kita tidak dihormati apalah yang boleh kita harap daripada orang lain. Kalau teman satu selimut sudah menjadi gunting dalam lipatan, tindakan perlu dilaksanakan. Anggaplah Himpunan Sejuta Umat ini sebagai hanya satu titik permulaan bagi menemukan titik-titik persefahaman dan memperkukuhkan ikatan.

Pendekatan Najib-Susilo merungkai kemelut Malaysia-Indonesia


PERTEMUAN empat mata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Lombok, Indonesia sempena rundingan tahunan kali kelapan – amat bermakna kepada hubungan Malaysia dan Indonesia.
Di Lombok, kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu termasuk soal penarikan balik moratorium penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dan isu sempadan daratan dan sempadan maritim yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.
Pertemuan di Lombok itu juga dilihat tepat pada masanya ketika segelintir rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di depan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berikutan dakwaan pencerobohan tanah di Kalimantan Barat, yang realitinya tidak berlaku.
Atas nama hubungan saudara serumpun, Susilo mengingatkan seluruh rakyat Indonesia agar tidak bertindak melampau dalam meluahkan rasa tidak senang menerusi aksi demonstrasi sehingga melukai hati negara jiran, Malaysia.
Berdasarkan kenyataan Susilo itu, kita berharap masa depan hubungan Malaysia-Indonesia akan bertambah erat. Kita berasa ada jaminan bahawa hubungan Malaysia Indonesia tidak mudah diganggu gugat pada masa hadapan.
Sejak isu Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan terlepas daripada tangan Indonesia, apa sahaja isu melibatkan soal hubungan kedua-dua negara, akan ada demonstrasi mengutuk Malaysia.
Ternyata Najib dan Susilo memahami masa depan hubungan kedua-dua negara memerlukan kematangan pemimpinnya.
Mereka sedar bahawa hubungan Indonesia dan Malaysia memiliki cakupan yang luas, yang semuanya berkaitan dengan kepentingan nasional dan kepentingan rakyat kedua-dua negara serumpun.
Bagi Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara dan melanjutkan tali persaudaraan yang panjang ini.
Kita perlu ingat, ada kira-kira dua juta rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia. Ini adalah jumlah tenaga kerja yang terbesar di luar Indonesia. Tentu saja kehadiran pekerja Indonesia di Malaysia membawa keuntungan bersama.
Jumlah pelancong Malaysia ke sana juga ramai – pada 2009 kita adalah ketiga terbesar dengan jumlah 1.18 juta orang daripada 6.3 juta pelancong yang berkunjung ke Indonesia.
Malah kira-kira 13,000 pelajar dan mahasiswa Indonesia belajar di Malaysia, dan 6,000 mahasiswa kita pula belajar di Indonesia. Ini merupakan aset bangsa yang harus terus dibina bersama, dan juga modal insan untuk masa hadapan. Hal ini menunjukkan bahawa hubungan sosioekonomi Indonesia–Malaysia sungguh kuat.
Tidak dinafikan hubungan Indonesia dan Malaysia adalah tiang utama dalam keluarga besar ASEAN. Selama empat dekad ASEAN dapat tumbuh dengan pesat antara lain kerana kukuhnya hubungan bilateral Malaysia-Indonesia.
Namun, hubungan istimewa ini juga sangat kompleks. Hubungan ini tidak dapat lari daripada masalah. Seolah-olah ada semacam dalil diplomasi – semakin dekat dan erat hubungan kedua-dua negara, semakin banyak masalah yang dihadapi.
Selain masalah pekerja dengan izin dan tanpa izin Indonesia, kita juga kerap menjumpai masalah yang terkait dengan perbatasan atau sempadan kedua-dua negara. Masalah ini perlu ditangani dengan serius oleh kedua-dua belah pihak.
Menyedari kepentingan bersama ini, pendekatan Perdana Menteri dan Presiden Indonesia yang sering berkomunikasi secara langsung, di samping berunding dalam mesyuarat tahunan, kita dapat lihat kesan isu-isu bilateral dapat dikelola dan dicarikan jalan penyelesaiannya dengan baik.
Pemimpin dan rakyat kedua-dua negara kena belajar daripada pengalaman ini, bahawa jalan penyelesaian yang paling tepat untuk mencegah dan mengatasi insiden-insiden yang menggugat hubungan Malaysia-Indonesia adalah dengan segera berunding dan bukan ikut emosi. 

Demonstrasi: Cabaran besar menguji keakraban Indonesia, Malaysia



Antara ragam demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan yang dilakukan anggota kumpulan Forum Betawi Rempug (FBR) pada Rabu lalu.


APA lagi salah Malaysia sehingga ada pihak berkepentingan di negara jiran kita, Indonesia memilih untuk mengecam, menghina dan memperlekehkan kedaulatan kita?
Tidakkah terdetik perasaan di dalam hati mereka rasa malu atau bersalah dengan berteriak, menjerit serta berdemonstrasi di jalanan dengan mendakwa satu demi satu kesilapan yang tidak dilakukan oleh Malaysia?
Ada benarnya, tidak semua di kalangan lebih 230 juta rakyat Indonesia yang memiliki sentimen kurang senang dengan tetangga paling akrab dengan mereka.
Jumlah yang tidak senang dengan kejayaan Malaysia mungkin terlalu kecil jumlah peratusannya jika dibandingkan dengan populasi republik itu.
Sudah lama kita bersaudara. Bahkan, ramai di kalangan rakyat Indonesia berkahwin dengan rakyat Malaysia. Begitu juga sebaliknya.
Hubungan ekonomi dan politik antara dua negara itu juga terlalu kukuh. Indonesia adalah teman paling dekat dengan Malaysia. Itu realitinya.
Dalam pada itu, yang kurang senang dengan hubungan luar biasa ini tentunya emosi mereka dijentik dengan provokasi pihak ketiga.
Entah apa yang mencetuskan rasa cemburu yang tidak berkesudahan itu.
Tetapi, apakah itu menghalalkan mereka untuk terus mengambil tindakan kurang manis dengan mencetuskan suasana kurang elok di kalangan rakyatnya?
Kita sendiri selama ini mengaku bersaudara. Rakyat Indonesia dan Malaysia berbangga dengan perkongsian budaya serumpun. Adat hidup berjiran, kecil hati dan salah faham sering terjadi.
Dalam konteks ini, kita sedia maklum kalau ada sekalipun perselisihan pendapat, bukankah lebih manis salah faham itu diselesaikan secara diplomasi di meja rundingan?
Lagi pun hubungan kerajaan kedua-dua negara sangat akrab dan utuh yang seharusnya tidak dicemari dengan anasir-anasir jahat. Bukankah, jalan perdamaian sentiasa terbuka seperti mana yang telah diamalkan sejak sekian lama oleh kerajaan kedua-dua negara?
Kerana marah, mereka memilih melontar batu dan melemparkan kayu ke arah bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.
Tidak cukup itu, imej Malaysia dicemari dengan bahasa-bahasa kesat yang dilemparkan oleh penunjuk perasaan.
Itukah nilai peradaban bangsa Timur yang selama ini kita bangga-banggakan?
Wahai jiranku Indonesia. Tiada siapa yang memperoleh keuntungan daripada demonstrasi jalanan sehingga wilayah kedaulatan kami dicemari dengan tindakan tunjuk perasaan.
Lihat saja contoh terbaru demonstrasi yang anda lakukan di Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Rasuna Said, Jakarta pada hari Rabu dan Khamis lalu.
Dua kumpulan pertubuhan bukan kerajaan, Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP) mendabik dada berteriak di bawah terik matahari semata-mata kerana mahu memburukkan Malaysia.
Anda berkumpul di situ meluahkan kemarahan kononnya kami (Malaysia) mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.
Seperti yang kita sedia maklum, dakwaan ini dibuat oleh Naib Ketua Komisi 1, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B. Hasanuddin kononnya, Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu.
Rakyat Malaysia terkejut dengan dakwaan itu.
Begitu juga dengan pemerintah kami yang tertanya-tanya apa motif pendakwaan berkenaan dibuat terhadap kami yang tidak tahu apa-apa mengenai hal itu.
Mujur ada beberapa menteri kabinet Indonesia yang segera tampil menyangkal dakwaan tidak berasas itu.
Menteri Koordinasi Politik, Undang-Undang dan Hubungan Keselamatan, Djoko Suyanto bersama-sama dengan Menteri Luar, Marty Natalegawa, Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan, Purnomo Yusgiantoro tampil mempertahankan Malaysia
"Tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada tahun 1891, 1915 dan 1928," jelas Marty Natalegawa menemplak dakwaan tidak berasas itu.
Tidakkah itu sudah cukup menterjemahkan bahawa dakwaan terbaru yang mereka lemparkan kepada Malaysia tidak benar?
Kepada mereka yang bijaksana tentunya dapat merumuskan bahawa dakwaan sedemikian hanya akan membuatkan si penuduh itu saling tidak ubah seperti menepuk air dalam dulang, terpercik kena muka sendiri.
Percayalah, seandainya berlaku perubahan sempadan tanpa sengaja atau dibuat oleh individu-individu tertentu, ia boleh ditangani secara diplomasi.
Bukankah, Malaysia dan Indonesia memiliki pasukan peninjau yang sedia bekerjasama turun ke kawasan berkenaan untuk menetapkan batu perbatasan itu?
Sesungguhnya, seluruh rakyat Indonesia khususnya dan Malaysia umumnya yang waras akal fikiran mereka tidak akan memilih pertengkaran di jalanan untuk menyelesaikan masalah.
Hanya mereka yang dangkal dan mahu melihat persengketaan sahaja yang rela berbuat demikian.
Sesebuah negara akan lemah jika bangsanya memilih untuk bersengketa. Kemajuan juga akan mudah terbantut jika sebarang keputusan dibuat bersandarkan pada emosi bukan berteraskan pertimbangan yang rasional.
Justeru, hal inilah yang sering menjadi ujian dan cabaran buat Indonesia dan Malaysia.
Selama berdekad-dekad kemesraan dan keakraban dua sahabat terjalin. Tentunya amat rugi jika nilai persahabatan yang murni itu dicemari dengan insiden demonstrasi serta tuduhan palsu.
Cukup-cukuplah salah faham dibawa ke jalanan.

ucapan terima kasih kepada perdana menteri untuk bajet 2012

SAYA turut bersyukur dengan pembentangan Bajet 2012 kerana bagi saya, ia menjurus kepada dua asas penting – keadilan sosial dan usaha menangani kos hidup rakyat.
Atas asas tersebut rakyat sudah tentu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bajet yang buat pertama kalinya menyaksikan tebaran manfaatnya amat menyeluruh.
Daripada anak-anak sekolah, belia, suri rumah, kakitangan awam, nelayan, petani sehinggalah pemandu teksi; orang kampung dan orang bandar; peneroka Felda dan penghuni kampung tradisional serta rumah panjang, semuanya memperoleh limpah rahmat.
Tebarannya yang cukup luas menyaksikan tiada yang tercicir daripada menikmati faedah bajet kali ini. Ia bajet yang tiada seumpamanya sebelum ini!
Ternyata, kepimpinan Perdana Menteri bukan setakat memperkenalkan gagasan 1Malaysia, tetapi pembentangan bajet semalam membuktikan proses transformasi konsep tersebut telah terlaksana.
Justeru, bagi saya, semua peringkat rakyat mendapat perhatian pada Bajet 2012. Kesemua itu dapat diterjemahkan kerana kerajaan BN secara berterusan mewarisi tanggungjawab memastikan kesejahteraan semua rakyat. Penerusan agenda negara itu tidak pernah padam, malah kandungan Bajet 2012 membuktikan penekanan terus diberikan dalam menjayakan agenda tersebut tanpa mengetepikan realiti dunia.
Saya juga rasa bersyukur kerana keluarga saya akan mendapat RM 500 untuk golongan berpendapatan bawah RM 3000, dapat RM 100 selaku pelajar sekolah menengah & dimansuhkan yuran sekolah. Oleh itu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberikan kemudahan kepada pelajar seperti saya. Inilah manfaat bajet ini, bajet rakyat.

Teks Bajet 2012,Transformasi Kesejahteraan RAkyat

Kepada yang tidak dapat ikuti siaran langsung Bajet 2012, boleh baca teks perdana menteri di bawah. Jangan tidak baca!!!!!!!!!!

Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.
MUQADDIMAH
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim.
Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara 1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991 sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga 2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung langkah menuju negara maju berpendapatan tinggi.
Seperti mana semua mengetahui, saya telah memulakan pentadbiran ini dengan menggariskan falsafah pemandu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekali gus demokrasi yang berfungsi.
Selain itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan segala-galanya, kerajaan akan memetakan lagi beberapa program transformasi sektoral. Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini akan berpayung pada Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020.
Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang enam kali ganda kepada RM29 bilion pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia.
Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada RM21.2 bilion dalam tempoh 6 bulan pertama 2011 berbanding RM12.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2010. Pada tahun 2012, pelaburan swasta dijangka berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik.
Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan perbankan negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8 peratus, jauh melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian antarabangsa. Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat RM414.5 bilion pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada RM28,725 pada tahun 2011 berbanding RM26,175 pada tahun 2010.
Berikutan pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar sederhana, tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang bergolak, pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011 mencatat 4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh separuh kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang lebih rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 dianggar berkembang 5 hingga 5.5 peratus.
Bagi tahun 2012 pula, prospek ekonomi global dijangka lebih mencabar. Tabung Kewangan Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia kepada 4 peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8 peratus. Ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah serta perdagangan dunia yang lebih perlahan. Perkembangan global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.
Mengambil kira faktor ini, kerajaan akan menyusun strategi merancakkan aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan awam, serta penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat 15.9 peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).
Penggunaan swasta diunjur meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala sektor pembinaan meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2012
Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Di bawah peruntukan mengurus, RM52 bilion adalah bagi Emolumen dan RM30.5 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM96.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM1.1 bilion disediakan untuk Pembelian Aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.
Bagi peruntukan pembangunan pula, RM29.8 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM13.6 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM1.4 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion, berbanding RM183.4 bilion pada tahun 2011. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.
Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok baru, menaik taraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaik taraf infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini berjumlah RM6 bilion akan dilaksanakan.
FOKUS BAJET 2012
Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang bertemakan "DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA" dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA:
MELIGAT PELABURAN
Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di bawah RMK10, kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian; perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan; serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.
Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak RM98.4 bilion, RM49.2 bilion bagi tahun 2012 dan RM49.2 bilion lagi bagi tahun 2013.
Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Serentak itu, untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus diamalkan bagi projek baru bernilai RM50 juta ke atas.
Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:
Projek landasan kereta api berkembar Gemas - Johor Bahru; Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor - Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Barat Banting - Taiping, Lebuhraya Segamat - Tangkak dan Lebuhraya Central Spine serta pembinaan Jalan Kota Marudu - Ranau; dan Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 bilion di bawah Dana Mudahcara perkongsian awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point bagi membantu sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai strategik kepada negara. Daripada jumlah ini, RM18 bilion untuk kegunaan projek berimpak tinggi manakala RM2 bilion untuk projek melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion di bawah dana ini dan dijangka RM300 juta akan digunakan oleh usahawan Bumiputera.
Bagi tahun 2012, kerajaan akan memperuntukkan RM978 juta untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara; projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.
Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau ini.
Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.
Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan
Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.
Seperti dibentang dalam Bajet 2011, kerajaan bersetuju untuk membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;
Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.
Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat sejak sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara. Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.
Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu produk kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun 2008 telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka dan beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur meneroka peluang pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana permulaan patuh syariah berjumlah RM200 juta. Dana ini akan memberi pinjaman secara pemadanan dengan jumlah maksimum RM20 juta.
Insya-Allah, kerajaan bercadang untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global. Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia.
Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan Felda. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima "durian runtuh" yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan.
Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.
Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua.
Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana RM100 juta. Skim ini menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak RM10 juta untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis.
Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong pembangunan industri francais tempatan, kerajaan mencadangkan fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara.
Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian pembangunan negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada pemegang francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013.
Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya menarik seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan RM56 bilion. Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi menarik khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula.
Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan RM420 juta. Antara inisiatif yang akan diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.
FOKUS KEDUA:
MENGUNGGULI MODAL
INSAN, MENCERNA KREATIVITI
DAN MENCETUS INOVASI
Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai komersial.
Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan RM100 juta seperti berikut:
Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO;
Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;
Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;
Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima: Memastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan RM30 juta akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia;
Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan
Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.
Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah RM500 juta pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.
Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.
Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju berpendapatan tinggi, kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif.
Sektor pendidikan akan diperuntukkan RM50.2 bilion bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Sebagai tambahan, peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut, RM500 juta kepada Sekolah Kebangsaan, RM100 juta disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM100 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM100 juta Sekolah Mubaligh, RM100 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara.
Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful.
Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta.
Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang. Oleh itu, kerajaan mencadangkan sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan diberi galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun;
Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan
Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.
Kerajaan berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali sekolah swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan.
Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah tersebut.
Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi potongan cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua tempat-tempat ibadat yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang singkat.
Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini, kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:
Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship;
Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan
Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.
FOKUS KETIGA:
PROGRAM TRANSFORMASI
LUAR BANDAR
Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap program transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat. Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah seperti berikut:
Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak;
Kedua: Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah RM100 juta akan disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi pengecualian duti setem; dan
Ketiga: Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak RM110 juta. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan RM140 juta yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.
Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara lebih komprehensif, peruntukan RM5 bilion akan disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Perhubungan Desa membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada 1.76 juta penduduk bandar. Di samping itu, 2.1 memperluas liputan bekalan air bersih 200,000 ribu rumah serta 1.1 lagi elektrik 39 buah rumah, khususnya di Sabah Sarawak.
Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Infrastrukur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM500 juta lagi demi melangsungkan terus usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek retikulasi ke Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah segera, telah membekalkan 20,000 tangki menggunakan kaedah tadahan hujan, untuk penduduk Sarawak, terutama rumah panjang melibatkan perbelanjaan RM52 juta.
Kemudahan ini memberi faedah hampir 100 penduduk. Bagi tahun 2012, program akan dipanjangkan pula negeri dengan peruntukan RM50 juta. Di kawasan Felda pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di sesetengah kawasan Felda, terutamanya di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Justeru, kerajaan akan memperuntukkan RM400 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan Felda yang terpilih.
Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan Premium. BSN akan menyediakan RM50 juta bagi membiayai pembangunan sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.
Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan tambahan RM28 juta akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan ini akan disediakan mulai 1 Januari 2012.
Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia, tidak ada mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya mempunyai saham dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda penting Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190,000 Orang Asli di seluruh negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012, kerajaan akan memperuntukkan RM90 juta untuk penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan pendapatan.
Sememangnya, kerajaan amat bersimpati dengan bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan dengan ini memperuntukkan RM20 juta bagi pemindahan penduduk ke kawasan perumahan baru.
FOKUS KEEMPAT:
MEMPERKEJAP
PERKHIDMATAN AWAM
Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:
Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;
Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah RM6,325.39 kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada RM8,710. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah RM3,860.52, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada RM5,370;
Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16.
Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan
Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.
Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta. Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan maju.
Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos gratuiti dan pembayaran pencen.
Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.
Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.
Bagi maksud ini, kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.
Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai. Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi pengutip hasil.
Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak RM3,000 secara one-off.
Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16 September baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan individu akan memerlukan Policing in a modern and open society. Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi merealisasikannya, kita memerlukan pasukan polis yang moden dengan latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih. Untuk ini, peruntukan khas RM200 juta akan disediakan. Manakala sejumlah RM442 juta lagi akan diperuntukkan pada tahun 2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa memelihara kebajikan mereka.
Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.
Terdapat seramai 175,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak RM50 juta akan disediakan.
Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout.
Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak RM3,000 secara one-off kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup.
FOKUS KELIMA:
MEREDAKAN INFLASI
DAN MENGIMARAH
KEHIDUPAN RAKYAT
Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah berikut:
Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan terlatih;
Kedua: Memperuntukkan RM1.1 bilion pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA;
Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan RM300 juta akan disediakan; dan
Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan RM14 juta disediakan.
Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini, apabila:
Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar;
Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50. Subsidi kerajaan berjumlah RM2.25 atau 47 peratus dari harga sebenar; dan
Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal RM1.90, rakyat hanya bayar RM1.35. Subsidi kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar.
Kesimpulannya, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?
Tidak cukup sekadar itu, subsidi kerajaan bukan terhad hanya kepada bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak RM17 bilion. Ini meliputi:
Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal RM2.75, rakyat hanya bayar RM1.90. Subsidi kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi setiap liter diesel, harga asal RM2.66, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga sebenar; dan
Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal RM48.2, rakyat hanya bayar RM26.60. Subsidi kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari harga sebenar.
Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan RM150 juta dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat.
Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah RM33.2 bilion. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan.
Bagi tahun 2012, kerajaan akan menyediakan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan; bantuan kanak-kanak miskin RM100 sebulan, dengan had maksimum RNM450 sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara RM150 hingga RM300 sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500,000 rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup.
Selanjutnya, kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:
Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan RM40 juta;
Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai Felda dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara; dan
Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.
Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000, kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.
Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.
PR1MA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak pemilikan kerajaan. Justeru, kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa bidang tanah pemilikan kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenal pasti kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.
Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Justeru, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK10. Bagi tahun 2012, RM443 juta diperuntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.
Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan kesihatan akan diperuntukkan RM15 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Ini melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81 klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik 1Malaysia.
Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk itu, Hentian Pudu Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada satu-satu masa, yang dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaik taraf dengan belanja sebanyak RM40 juta. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah baru dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.
Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi hampir 3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan RM300 juta. Dari peruntukan ini, RM50 juta akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.
Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call semalaman antara RM30 hingga RM80 berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan golongan berpendapatan rendah, kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100,000 isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.
Bagi memastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi, kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham. Di samping itu, Mara akan menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management Buyout.
Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Pada perspektif lain, kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat beban yang ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi yang meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik perkhidmatan teksi, kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet persendirian diberi bantuan seperti berikut:
Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan;
Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;
Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian;
Keempat: Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012; dan
Kelima: Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan RM1,000 akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012.
Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat kira-kira RM7,560. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.
Kerajaan komited untuk memastikan bahawa tidak ada orang yang dituduh atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk diguami. Pada kala ini, dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut, kerajaan akan menambah RM10 juta lagi kepada yayasan pada tahun hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM15 juta.
Bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, kerajaan telah menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung Singgah untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat ini menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan makanan, kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah tersebut, 250 orang telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan diperluaskan ke Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang kepimpinan dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut, antara yang utama, kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita yang berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi.
Pada tahun 2011, kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi kepada RM300 juta. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan RM2.1 bilion untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, RM100 juta disediakan untuk usahawan kaum India dan RM100 juta lagi kepada usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, kerajaan mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi pengecualian duti setem.
Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara. Untuk ini, kerajaan akan memperuntukkan RM320 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.
Bertolak dari situ, kerajaan prihatin terhadap suara dan nurani orang muda. Sebagai projek perintis, kita bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik Kerajaan yang bernama MyCreative Venture Capital dengan dana permulaan RM200 juta.
Manakala sebanyak RM200 juta lagi akan disediakan untuk latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action for Youth atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran yang dikendalikan oleh institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan, pelatih akan diberi latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka mudah mendapat pekerjaan.
Pada masa ini, futsal semakin popular di kalangan belia dan peminat sukan. Bagi menggalakkan aktiviti sukan ini, kerajaan telah siap membina 1,100 gelanggang futsal di seluruh negara, manakala 527 lagi sedang dalam pembinaan. Memandangkan populariti sukan tersebut, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM15 juta bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah terutama sukan bola sepak, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.
Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton, skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga diberi tumpuan. Untuk ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM30 juta menjadikan keseluruhan peruntukan RM84 juta bagi program mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.
Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya untuk mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik kerajaan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.
Dalam Bajet 2011, bagi memastikan pekerja swasta dan mereka yang bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM6,000 untuk caruman kepada KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping mempromosi skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan;
Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.
Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Bagi meningkatkan simpanan untuk hari tua, kerajaan mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.
Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk membina dan menaik taraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit, jambatan kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang. Inisiatif ini akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.
Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, kerajaan bercadang membuat pemberian tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama: Bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup.
Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;
Kedua: Bantuan persekolahan RM100 diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM530 juta. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan
Ketiga: Pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.
Kerajaan menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai tabungan minimum sebanyak RM1,300.
Justeru, bagi membolehkan bakal jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, kerajaan dengan ini membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui penghadangan atau ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak RM1,300. Melalui kaedah ini, wang pencarum sejumlah RM1,300 itu masih kekal dalam KWSP tetapi pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji.
Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dalam memastikan agenda pembangunan nasional menjadi kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan Ogos yang lalu, kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara.
Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000 bagi penjawat awam dan bantuan RM1,000 bagi pesara kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618,000 pesara kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak RM4 bilion.
PENUTUP
Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dan anggota Dewan dari parti Barisan Nasional berdiri dengan nubari yang jernih bahawa kami melalui Bajet 2012 pada petang yang mulia penghulu segala hari ini, sekali lagi akan meneruskan tradisi para pendahulu kami dalam meletakkan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara di tempat yang teratas.
Pastinya, sepanjang tempoh 30 bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan telah melakar hala tuju jelas negara dalam pusingan akhir bagi menempa wawasan kebangsaan.
Ia tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip meraikan kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam dengan merundingi rakyat, proses penstrukturan ekonomi melalui Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi, malah, ia juga menjangkau Program Transformasi Politik yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia.
Sesungguhnya, sokongan besar rakyat amat penting untuk memastikan perjalanan kita akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju gapura Malaysia yang maju, makmur sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam lautan dunia yang tidak menentu.
Sememangnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak tunduk kepada tekanan atau apa-apa paksaan untuk mengambil jalan yang benar dan betul demi warga Malaysia. Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukannya dibuat-buat atau sebuah ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan sahsiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak. Perjuangan kami warisan mulia zaman berzaman meniti generasi.
Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah sebuah Bajet di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat. Kepada Allah jua kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

PMR

Sepanjang minggu ini sehingga 10 oktober depan, saya akan menduduki PMR bermula 4-6 & 9-10 oktober. Maka, saya tidak akan post sehingga tamat tarikh tersebut.

Jangan lupa juga doakan saya semoga dapat straight 8A PMR & dapat jawab dengan baik

Mencari potensi warga emas

DI NEGARA kita, orang tua sering dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti warga emas atau golongan veteran. Namun, 'warga emas' merupakan istilah yang paling popular diguna pakai sama ada dalam perbualan harian, urusan kerajaan mahupun media massa.
Warga emas secara amnya ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Istilah tersebut turut ditujukan kepada mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan iaitu pada umur 58 tahun.
Statistik rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu mendapati seramai 2,251,216 daripada 28,334,135 penduduk negara kini merupakan mereka yang dikategorikan sebagai warga emas.
Ini bermakna, hampir lapan peratus daripada populasi negara ini merupakan golongan sudah berusia. Jumlah berkenaan diunjurkan terus meningkat kepada 12 hingga 15 peratus menjelang tahun 2020 dan 2030.
Pada usia tersebut, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat atau menjaga anak cucu di rumah. Tidak kurang mengatakan, mereka tidak perlu bersusah payah untuk turut serta dalam pembangunan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah.
Walaupun dalam usia itu, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.
Melihat kepada kelebihan yang ada pada jumlah warga emas ini, kita harus akui bahawa segala proses pembangunan dan kemajuan negara, tidak dapat tidak, 'suara' golongan berkenaan perlu diambil kira.
Mereka bukan sahaja golongan berpengalaman, tetapi yang lebih penting adalah nasihat dan panduan yang berguna kepada generasi lebih muda agar dapat mengharungi cabaran lebih getir.
Dalam konteks kerajaan, biarpun peningkatan populasi warga emas belum mendatangkan kesan yang ketara kepada masyarakat secara keseluruhannya, Kabinet sejak tahun 1955 lagi dilihat telah bersiap sedia menghadapi cabaran tersebut.
Pelbagai usaha yang diambil seperti pengenalan polisi khusus seperti Dasar Warga Tua Negara (DWTN), Dasar Kesihatan Warga Emas Negara (DKWEN), Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara dan usaha menambah baik Dasar Warga Emas Negara (DWEN).
Pengenalan dasar tersebut mempunyai tujuan murni iaitu mahu mewujudkan masyarakat warga emas yang sejahtera, bermaruah dan mempunyai martabat diri yang tinggi.
Di samping itu, kerajaan berharap dapat mengoptimumkan potensi diri warga emas dan menentukan mereka menikmati semua peluang malah mendapat perlindungan sebagai salah satu entiti penting dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Pada masa sama, usaha memajukan potensi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan itu dilihat penting bagi memastikan mereka tidak terlalu bergantung kepada anak-anak atau waris lain untuk meneruskan kehidupan.
Langkah berkenaan dilihat mampu mengatasi masalah warga emas hidup bersendirian atau merempat tanpa hala tuju.
Tidak hairanlah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil baru-baru ini mengambil langkah berani dengan meminta dipercepatkan penggubalan akta untuk melanjutkan umur persaraan petugas swasta dari 55 tahun ke 64 tahun, yang mana turut melibatkan golongan warga emas.
Kata beliau, terlalu muda bagi rakyat Malaysia untuk bersara dan sesetengah organisasi memerlukan kakitangan berpengalaman untuk memimpin.
"Sektor swasta perlu memanfaatkan peluang ini dengan mengekalkan kakitangan lebih senior dalam organisasi, mereka yang berpengalaman luas untuk mentadbir dan adalah satu kerugian jika orang yang mampu meningkatkan prestasi organisasi itu dilepaskan sebelum waktunya," katanya.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil langkah prihatin dalam memastikan penjagaan dan perlindungan warga emas terpelihara melalui kewujudan Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (PJHWE).
Sehingga kini, terdapat 22 pusat seumpama itu di seluruh negara bagi memberi kemudahan jagaan harian terutama individu yang tinggal berseorangan ketika keluarga atau penjaga keluar bekerja. Dari segi peruntukan pula, kerajaan saban tahun menyalurkan dana untuk merangka program berkesan di samping membantu memastikan taraf hidup warga emas terjamin.
Contohnya, dalam program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, lebih 30 peratus daripada peruntukan RM1.4 bilion disalurkan membantu golongan warga emas.
Pada 1 Oktober setiap tahun pula, sambutan Hari Warga Emas peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.
Untuk tujuan itu, kita sebagai anggota masyarakat perlu memberikan sokongan moral kepada warga emas agar terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti supaya dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket