WELCOME TO 'arifanwarlokmanolhakim.blogspot.com'

Welcome to my blog.
I hope that you all use my blog with happy and responsible.
If had a mistakes, I am irrenpossible with your happen.

BE ENJOY USE THIS BLOG!

SINCERELY,
Arif Anwar

World Clocks

Pujuk anak buat kerja sekolah

MAHIRAN ROSLI

sokongan ibu bapa penting bagi membolehkan anak melakukan kerja sekolah tanpa disuruh.


MEMANG memenatkan. Mana tidaknya hampir setiap hari harus mengingatkan anak-anak supaya membuat kerja sekolah. Yang naik risau kita, bukannya anak-anak. Mereka selagi tidak mendengar leteran atau desakan, tidak akan angkat punggung untuk membuat kerja sekolah.
Lagi memeritkan, kitalah yang harus duduk bersama-sama semasa membuat kerja sekolah sehingga kerja-kerja rumah lain tergendalam. Lagi teruk apabila ibu atau bapa yang menyelesaikannya kerana anak-anak langsung tidak faham atau mengantuk.
Ini adalah antara rungutan-rungutan yang selalu diluahkan oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.
Kadangkala leteran itu telah menjadi 'lagu merdu' bagi anak-anak dan bukan lagi arahan yang perlu diikuti dan ditakuti.
Ini sebenarnya adalah lumrah hidup kanak-kanak. Mereka sememangnya tidak suka membuat kerja sekolah. Sehubungan itu, tanamkan minat mereka untuk menyukai kerja sekolah.
Selain itu, ibu bapa harus ingat bahawa anda tidak boleh memaksa mereka melakukannya atau belajar.
Begitu juga, menyelesaikan kerja sekolah adalah masalah anak-anak. Justeru, mereka harus menggerakkan pensel mereka. Otak mereka harus berfikir. Punggung mereka harus diletakkan di kerusi.
Ramai ibu bapa beranggapan bahawa kerja sekolah adalah masalah mereka. Jadi mereka mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan seperti menjerit, marah, mengugut atau menarik balik keistimewaan yang diberi. Bagaimanapun kebanyakan taktik ini tidak memberi kesan.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak membuat kerja sekolah. Tugas kita ialah menyediakan struktur dan mewujudkan sistem. Tugas anak ialah menggunakan sistem itu.
Sehubungan itu, terdapat beberapa panduan yang boleh dilakukan bagi memujuk anak membuat kerja rumah.
Wujudkan ruang sesuai untuk membuat kerja sekolah
Antara alasan mengapa anak-anak tidak berminat membuat kerja sekolah ialah tidak cukup peralatan. Kadangkala tidak mempunyai rujukan yang sesuai dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.
Justeru, wujudkan satu tempat atau stesen kerja sekolah atau tempat belajar di rumah. Stesen itu mestilah:

  • Jauh daripada ruang televisyen atau tempat permainan video.

  • Lengkapkan dengan meja, kerusi atau komputer bergantung pada umur anak.

  • Pastikan alat tulis lengkap.

  • Buat jadual
    Dengan jadual ia boleh membentuk tabiat untuk melaksanakan kerja rumah di kalangan anak-anak. Ini sekali gus mengurangkan tekanan ibu bapa.
    Sebagai ibu bapa, buat jadual dan tetapkan waktu yang sesuai setiap hari. Pastikan bilakah masanya anak mesti melakukan kerja sekolah. Beri kelonggaran kepada mereka untuk menentukan waktu yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran.
    Kadangkala bagi mengelakkan melakukan kerja sekolah, anak akan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai tugasan pun.
    Justeru itu, masa yang telah ditetapkan melakukan kerja rumah haruslah diganti dengan waktu untuk belajar.
    Ingatkan mereka 10 minit sebelum waktu ditetapkan supaya mereka peka. Insya-Allah, selepas beberapa minggu atau bulan, anak anda akan melakukannya sendiri tanpa disuruh.
    Bantu menguruskan perancangan kerja sekolah
    Bantu anak untuk membuat perancangan menguruskan tugasan sekolah.
    Sediakan perancangan harian atau kalendar. Galakkan anak untuk membuat nota tarikh hantaran terakhir atau ujian akan datang dalam kalendar. Bantu mereka membuat jadual dan jelaskan bahawa waktu yang terurus tidak akan membebankan mereka.
    Selalu ingatkan mereka. Apabila anak telah biasa menggunakan kalendar dan jadual waktu, mereka akan tahu manfaat dan melakukan kerja sekolah itu sendiri.
    Jadikan diri sebagai contoh
    Banyak kanak-kanak merasakan melakukan kerja sekolah adalah satu bebanan dan ia dilakukan secara terpaksa kerana arahan ibu bapa.
    Akibatnya mereka jadi terganggu apabila tibanya waktu belajar. Untuk atasi masalah ini cuba minimumkan gangguan semasa anak-anak belajar seperti menutup televisyen dan radio.
    Ibu bapa perlu gunakan waktu ini melakukan kerja-kerja rumah, uruskan pembayaran bil dan sebagainya.
    Dengan ini, anda bukan sahaja meredakan gangguan, tetapi menunjukkan kepada anak bahawa anda juga melakukan 'kerja' di luar waktu kerja anda.

    Mengatasi perjalanan membosankan



    bawa peralatan melukis bagi membuat si kecil beasa sibuk.


    BERCUTI bersama ahli keluarga adalah masa bagi merapatkan hubungan, bergembira dan yang paling penting sekali, dapat melepaskan tekanan daripada tugas seharian. Namun, ada masanya perjalanan jauh menuju ke destinasi membuatkan kanak-kanak bosan. Anak-anak mengadu tentang tiada apa untuk dibuat dan sering bertanya bila akan sampai membuatkan ibu bapa turut resah gelisah.
    Terdapat cara-cara produktif untuk menghilangkan masa buntu ketika dalam perjalanan itu.
    Jadikan anak pembantu pemandu
    Jika anda sedang memandu ke destinasi percutian anda, sibukkan anak-anak anda dengan tugas mudah seperti membantu anda membaca peta atau memerhatikan simpang yang perlu dilalui. Buat mereka rasa berguna dan pastinya mereka tidak akan berasa bosan.
    Masa bermain
    Permainan adalah cara yang terbaik membuat si kecil berasa sibuk. Cuba cadangkan mereka bermain teka-teki atau silangkata ketika dalam perjalanan atau papan permainan seperti Saidina, Sahibba atau UNO ketika di tempat percutian atau bermain kejar-kejar di taman permainan berhampiran. Ini pasti membuat mereka sibuk serta membuat minda dan tubuh badan mereka aktif.
    Senaman baik
    Apabila dalam perjalanan jauh, cuba berehat seketika dan bersenam. Ia menyegarkan terutamanya selepas memandu lama dan bagi si kecil yang berasa terkurung di dalam kereta terlalu lama. Berhenti sekejap dan lakukan sedikit regangan atau senaman ringan. Ia, akan membuat anak-anak dan anda berasa lega. Berjalan pantas atau berjoging perlahan adalah cara terbaik untuk menyegarkan kembali badan dan minda selepas perjalanan jauh.
    Keluarkan snek
    Jika kanak-kanak masih juga bosan, apa kata keluarkan makanan ringan atau snek untuk menarik perhatian mereka. Kanak-kanak pastinya seronok dan tidak akan berasa bosan apabila mengunyah sandwic kegemaran mereka atau buah-buahan lazat.
       

    Nikmati tidur lebih lena




    Dari kiri, Francois Matraire, Aileen Chan dan Thierry Foucher menunjukkan pek Rilax Zzz pada majlis pelancarannya di kuala Lumpur baru-baru ini.


    MASALAH berkaitan dengan tidur menjadi isu yang semakin membimbangkan di kalangan masyarakat moden termasuk di negara ini.
    Menurut kajian terhadap tabiat tidur di Asia yang dijalankan oleh AC Nielsen pada 2005, Malaysia diletakkan di tempat ke lapan sebagai bangsa bersifat "burung hantu" (tidak tidur malam) di mana 54 peratus daripada penduduk negara ini hanya akan tidur pada tengah malam.
    Punca terjadinya masalah ini memang banyak. Antaranya waktu kerja panjang, tekanan, pengambilan kopi dan alkohol secara berlebihan, menonton rancangan televisyen hingga larut malam dan melayari Internet.
    Lebih merisaukan hanya segelintir sahaja yang menyedari bahawa kekurangan tidur bakal membawa ancaman besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan hidup.
    Kekurangan tidur dan kualiti tidur yang tidak baik setiap malam boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan seperti melemahkan sistem ketahanan badan, masalah kulit, lemah daya ingatan, kurang tumpuan dan tekanan darah tinggi.
    Dilaporkan lebih daripada 200 juta orang di seluruh dunia turut terganggu oleh masalah tidur. Di Amerika Syarikat sahaja telah mencatatkan lebih daripada 40 juta warga yang mengalami masalah tidur.
    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LiveLife, Aileen Chan, sebagai individu yang aktif, tidur biasanya dianggap sebagai membazirkan masa.
    Pada hakikatnya, tidur penting untuk memulih dan mengimbangi organ-organ badan di samping merehatkan minda untuk memproses informasi yang dikumpulkan pada waktu siang.
    "Waktu tidur juga masanya untuk pertumbuhan dan pembaikpulihan sel-sel bagi menentang kesan tekanan. Lantaran itu, tidur nyenyak adalah kaedah antipenuaan yang terbaik di samping berfungsi untuk meningkatkan prestasi fizikal dan kestabilan emosi,'' katanya.
    Sehubungan itu, ramai yang mencari-cari kaedah yang sesuai bagi membantu mereka mendapatkan tidur yang lebih nyenyak supaya berasa segar dan bersemangat apabila bangun pagi keesokan harinya.
    Menurut Aileen, tidur sebenarnya sebahagian penting daripada gaya hidup sihat seperti pemakanan dan senaman. Namun ramai tidak dapat memperoleh masa tidur yang mencukupi atau tidur yang berkualiti.
    Memahami keperluan itu, LiveLife, pengedar produk kesihatan dan kecantikan yang bersifat inovatif, mengumumkan pelancaran Rilax Zzz, formula baru yang dipertingkatkan kualitinya untuk menjamin kualiti tidur dan rehat yang lebih baik.
    Ia sebagai alternatif semula jadi kepada ubat tidur preskripsi kerana Rilax Zzz dirumus dengan ramuan semula jadi. Manfaatnya terbukti secara saintifik bagi membolehkan seseorang tidur dengan lebih nyenyak pada waktu malam dan bangun dari tidur setiap pagi dengan penuh bersemangat.
    Menurut Aileen, Rilax Zzz memberi alternatif bagi menyelesaikan masalah tidur kerap dialami oleh masyarakat moden hari ini.
    "Kita menyedari tentang keperluan tinggi para pelanggan terhadap produk yang betul-betul dapat berfungsi membantu mereka tidur tanpa sebarang kesan sampingan membimbangkan," katanya pada majlis pelancaran Rilax Zzz.
    Pelancaran disempurnakan oleh Penasihat Komersial dari Kedutaan Besar Perancis, Francois Matraire dan hadir sama wakil kepada ramuan Lactium dari Perancis, Thierry Foucher.
    Dalam pada itu Foucher berkata, Rilax Zzz berfungsi membantu pengguna melegakan perasaan, lebih cepat tidur dan mendapatkan tidur yang nyenyak.
    "Ia mengandungi dua jenis ramuan semula jadi yang terbukti keberkesanannya secara saintifik, iaitu Lactium.
    "Lactium adalah sejenis dekapeptida bioaktif yang unik daripada protein susu yang memberi kesan penenang dan ditambah pula ekstrak teh hijau yang mengandungi L-Theanine bagi memberi kesan kelegaan," katanya.
    Kualiti tidur
    Menurut Foucher, hasil kajian yang tersiar dalam The Open Sleep Journal (2009) menunjukkan bahawa Lactium telah membantu kebanyakan peserta untuk tidur dengan lebih cepat.
    Ia juga memberi kesan yang nyata untuk menangani pelbagai aspek berkaitan dengan masalah tidur.
    Hasil kajian juga menggambarkan peningkatan dalam kualiti tidur selepas pengambilan selama dua minggu dan pengurangan dalam tidur lewat serta gangguan waktu siang selepas pengambilan selama empat minggu.
    "Ekstrak teh hijau dalam Rilax Zzz pula mengandungi L-Theanine, sejenis asid amino yang mempunyai kesan kelegaan.
    "Ia dapat merangsang penghasilan gelombang otak alfa yang boleh menenangkan keadaan fizikal dan mental tanpa menimbulkan rasa mengantuk atau melemahkan kemahiran motor," katanya.
    Menurut beliau lagi, kajian mengesahkan bahawa ramuan ini mampu meningkatkan kualiti tidur dengan membolehkan minda kita berehat dan sembuh dengan sepenuhnya. .
    Setelah diambil satu jam sebelum tidur, kedua-dua ramuan yang terkandung dalam Rilax Zzz akan bertindak secara sinergistik untuk memberi tidur yang lebih lena dengan cara meningkatkan kualiti dan masa tidur secara menyeluruh.
    Produk ini sesuai untuk mereka yang mengalami masalah tidur yang berpunca daripada tekanan, putus haid, peningkatan usia, keletihan akibat perjalanan yang panjang dan sebagainya.

    Rahsia dalam telefon?

    Revolusi teknologi komunikasi melahirkan apa yang dianggap sebagai masyarakat yang pantas berubah (rapid changing society). Sebagai contoh, penggunaan telefon bimbit sudah menjadi barangan perlu. Kadar pemilikan telefon bimbit di negara ini mencatatkan peningkatan mendadak melebihi 100.1 peratus sejak tiga tahun lalu dengan penduduk memiliki sekurang-kurangnya dua alat komunikasi itu.
    Dalam kita mengakui penggunaannya banyak memudahkan urusan kehidupan, ia juga menampilkan permasalahan dan cabaran tersendiri. Segala maklumat dalam telefon bimbit termasuk gambar, boleh mendedahkan keadaan kepada risiko termasuk krisis rumah tangga. Makin ramai personaliti dan bintang sukan terkemuka dunia terkantoi disebabkan SMS dan gambar yang tidak sepatutnya ada pada telefon mereka. Di Malaysia, senarionya sama. Makin banyak kes putus hubungan malah bercerai-berai selepas membaca SMS pasangan masing-masing, yang 'tidak sewajarnya' ada. Kes kecurangan dan kayu tiga lebih mudah terbongkar dengan adanya telefon bimbit. Sebab itu, wanita apatah lagi isteri semakin teruja untuk mengetahui apa yang terkandung dalam telefon suami mereka. Rahsia apa yang disorok? Ada beberapa kenalan sudah mengeluh kerana isteri mereka makin aktif memeriksa telefon. Awang bernasib baik kerana isteri Awang belum sampai ke tahap itu. Apa pun, bagi suami, tunangan dan teman lelaki yang tidak nakal, mereka tidak perlu gusar. Jangan ada dusta di antara kita, sebagaimana judul sebuah lagu, sepatutnya menjadi pegangan. Namun bagi yang nakal, jika terkantoi, terimalah padahnya. Pertanyaan Awang, di manakah kategori anda berada - nakal atau sebaliknya?

    Kucing ramal kematian?

    ramal kematian?


    OSCAR bersama profesor perubatan di Brown University, Amerika Syarikat Dr. David Dosa.


    KEMATIAN adalah satu perkara yang pasti. Tidak akan ada seorang pun yang mampu mengelak kematian walau sehebat dan sekaya mana individu itu di muka bumi. Mungkin ada yang mengaku boleh meramalkan peristiwa yang akan berlaku di masa depan termasuk kematian, namun kewibawaannya tetap dipertikaikan.
    Tapi bagaimana pula apabila seekor kucing boleh meramalkan kematian. Mungkin pelik. Tetapi itulah yang didakwa oleh seorang profesor perubatan di Brown University, Amerika Syarikat (AS), Dr. David Dosa.
    Kucing yang diberi nama Oscar itu dianggap sebagai "malaikat maut berkaki empat" kerana dikatakan mempunyai keupayaan meramalkan kematian.
    Di peringkat awal Dosa agak skeptikal apabila diberitahu keistimewaan Oscar. Namun setelah membuat pemerhatian selama lima tahun, segala-galanya berubah.
    Sepanjang tempoh tersebut, beliau dan rakan-rakan yang terlibat dalam pemerhatian itu mendapati sebanyak 50 kematian telah diramal oleh Oscar dan ia terbukti benar.
    Kisah mengenai keupayaan luar biasa Oscar sememangnya sangat jarang berlaku dan mungkin ramai yang menganggap ia satu misteri yang menakutkan. Malah "deria keenam" yang dimiliki Oscar pastinya akan mengundang pelbagai spekulasi yang mampu menimbulkan keterujaan atau ketakutan di kalangan masyarakat.
    Kucing berkenaan dikatakan akan berguling-guling untuk rapat dan tidur bersama pesakit beberapa ketika sebelum kematiannya menjelma.
    Oscar telah dijadikan kucing angkat sejak dari kecil oleh Pusat Kejururawatan dan Pemulihan Steere House di Prividence, Rhode Island. Ia kemudiannya dilatih untuk menjadi kucing terapi. Pusat Steere House merupakan sebuah tempat jagaan untuk pesakit demensia dan mereka yang mengalami pelbagai penyakit di peringkat kritikal.
    "Setakat ini pesakit yang dirapati oleh Oscar akan pergi buat selama-lamanya," kata Dosa.
    Contoh
    Beliau mengambil contoh di mana pegawai kesihatan di situ telah meramalkan seorang pesakit yang sedang tenat mungkin akan mati akibat penyakit yang dialaminya. Bagaimanapun Oscar enggan merapati pesakit itu sebaliknya pergi kepada pesakit lain. Ramalan Oscar terbukti benar dan insiden itu telah mengejutkan semua staf di pusat berkenaan.
    Setakat ini tiada penjelasan saintifik yang mampu menghurai tentang keupayaan Oscar meramal kematian. Namun Dosa beranggapan apa yang berlaku adalah kerana keupayaan Oscar bertindak balas atau menghidu bau atau keadaan yang di luar batasan dan keupayaan manusia.
    Dosa yang mendedahkan perkara ini buat kali pertama pada 2007 kini telah melancarkan sebuah buku tentang kejadian ini yang bertajuk "Mengenali Oscar, Seekor kucing biasa dengan keupayaan luar biasa".
    Namun bukan niatnya untuk menakut-nakutkan orang ramai tentang keupayaan Oscar meramal kematian. Buku itu lebih kepada menceritakan keupayaan Oscar dan kisah yang berlaku serta membantu orang ramai berhadapan dengan orang tersayang yang mengidap penyakit kritikal.
    " Banyak yang boleh diceritakan tentang Oscar namun lebih banyak yang boleh diberitahu tentang hubungan kemanusiaan ketika ahli keluarga mereka berhadapan dengan saat-saat akhir kematian insan yang dikasihi.
    " Mungkin buku ini lebih menarik kerana kisah mengenai Oscar di dalamnya tetapi tidak ramai yang tahu tentang rumah pemulihan dan membuang persepsi tentang pusat ini yang dikatakan sebagai persinggahan terakhir sebelum mati," katanya.
    Namun sehingga kini Oscar tetap seperti kucing lain walaupun mempunyai keupayaan tersendiri. Tidak ada apa yang mengubah sifat semulajadinya walaupun perhatian terhadapnya semakin memuncak.
    Oscar tetap menghabiskan kebanyakan masanya dengan memerhati ke luar tingkap tanpa sebarang perasaan walaupun kini menjadi lebih jinak.
    "Pertama kali saya bertemunya, Oscar menggigit saya namun ia menjadi lebih mesra sekarang dan kami telah berpindah ke tempat yang lebih baik.
    "Saya tidak fikir Oscar sebagai binatang unik tetapi ia berada di sebuah tempat yang unik. Haiwan selalunya berkeupayaan untuk melihat dan merasa perkara yang kita tidak boleh ketahui.
    "Mungkin kita perlu terima anjing yang berupaya mengesan kanser atau ikan mengesan gempa bumi. Mereka lebih tahu dari kita tentang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak pasti," kata Dosa.
    Related Posts with Thumbnails

    games