Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Utamakan rakyat sendiri, bukan pelancong berduit

SAYA ingin mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bimbang dan melihat sendiri betapa seriusnya lambakan warga asing di negara kita.
Walaupun merasa pelik dengan kenyataan itu kerana perkara ini sudah dilaung-laung oleh rakyat setiap hari, bulan dan tahun, namun sebagai warganegara saya bangga kerana Hishammuddin akhirnya sedar bahawa senario ini sangat menakutkan terutamanya kepada industri pelancongan kita pada masa akan datang.
Namun saya tidak berapa setuju jika menteri berkenaan hanya mengulas bahawa senario ini akan menakutkan pelancong asing tulen. Benarkah hanya keselesaan pelancong asing yang berduit yang Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus fikirkan?
Bagaimana pula dengan keselesaan dan perasaan kami sebagai warga tempatan? Selama ini bagaimanakah perasaan warga tempatan dalam menjalani kehidupan mereka dengan 'berkongsi' semua tempat-tempat awam, kenderaan awam (bas, teksi, tren dan monorail) serta tempat-tempat membeli-belah tanpa gangguan warga asing?
Warga China memenuhi kawasan Bukit Bintang, Pudu kerana di situlah melata kelab karaoke dan tempat- tempat urut, manakala warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Filipina pula memenuhi setiap ceruk dan ruang, termasuklah di kampung- kampung.
Jadi, hanya perasaan dan keselamatan pelancong asing sahajakah yang harus dijaga?
Pada tahun 2010 ini sudah tiba masanya KDN menghentikan terus pengambilan pekerja asing dari Bangladesh, Filipina, Nepal, Myanmar dan Indonesia. Berikan pilihan kepada pekerja sah yang sedia ada di Malaysia, sama ada untuk menyambung jika kepakaran mereka masih diperlukan atau hantar mereka pulang ke negara asal selepas tamat tempoh.
Sudah tiba masanya kita juga wajib menapis 100 peratus taraf pendidikan mereka sebelum memasuki Malaysia. Ramai dari warga asing yang disebutkan di atas tidak mempunyai pendidikan asas langsung di negara asal.
Pengambilan pembantu rumah asing juga harus dikurangkan kerana jika setiap rumah mempunyai paling kurang seorang pembantu, bayangkan pada musim perayaan, berapa ramaikah dari mereka ini akan memenuhi setiap ruang? Dan disinilah bermulanya segala masalah dan gejala sosial di kalangan warga asing.
Maka, perketatkan peraturan di setiap agensi pengambilan pekerja asing di Malaysia supaya setiap rumah hanya dibenarkan mengambil seorang hingga dua pembantu sahaja. Jika mereka melanggar peraturan, jangan hanya menyaman majikan, saman sekali agensi pekerja asing yang meluluskannya dengan saman yang tinggi supaya mereka tidak berani melakukan kesalahan lagi.
Ini termasuklah restoran-restoran, tempat-tempat makanan segera dan tempat-tempat membeli-belah di Malaysia, kita tidak memerlukan warga asing untuk melayan kita!
KDN juga harus memantau institusi-institusi pengajian swasta dalam pengambilan pelajar-pelajar asing terutamanya dari negara Timur Tengah, China dan Afrika.
Pastikan setiap institusi swasta ini mengemukakan bon tahunan dan rekod bulanan atau semester mengenai pelajar-pelajar asing di bawah kelolaan mereka kepada KDN.
Setiap pelajar wajib menyediakan bon yang tinggi (terutamanya dari negara-negara tersebut) sebagai jaminan kepada pihak Imigresen bahawa mereka tidak akan menyalahgunakan visa pelajar.
Sudah terang lagi bersuluh, perlukah kita menambahkan lagi masalah negara kita yang sedia ada gara-gara gejala sosial yang semakin menggerunkan, dengan melambakkan lagi pekerja asing di Malaysia?
Setiap kali media cetak dan elektronik mengulas mengenai ramainya lambakan warga asing mahupun kedatangan warga Afrika di sesetengah tempat, apakah yang KDN lakukan selepas keluarnya berita ini?
Adakalanya saya lihat KDN tidak konsisten dalam melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka oleh rakyat.
Jadi, jika mahukan sokongan dan mandat dari rakyat, utamakan dahulu rakyat sendiri dan fahamilah kehendak kami sebelum 'membantu' kemasukan warga asing.

Isu lambakan warga asing

SAYA ucapkan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sanggup turun padang melihat sendiri senario warga asing yang terdapat di ibu negara. Hasilnya, beliau merumuskan bahawa lambakan warga asing adalah luar biasa.
Terdapat banyak persoalan di sebalik rumusan itu. Mengapakah ia berlaku dan bagaimanakah ia boleh terbiar sehingga jumlah warga asing yang masuk ke negara ini bagaikan tidak terkawal.
Apa yang Hishammuddin lihat itu hanya di Chow Kit. Jika beliau masuk ke kampung-kampung tertentu, pasti beliau akan lebih terkejut. Sekarang ini, apa sudah jadi dengan gerai-gerai jualan atau kedai di Chow Kit. Siapa yang berniaga di situ? Lihat juga di Kepong. Jengahlah ke pinggir ibu negara seperti Kampung Pandan dan Kampung Melayu Ampang misalnya, apa sudah jadi di situ? Bagaimana dengan kampung-kampung lain? Bagaimana dengan warga asing yang sekian lama bertapak di sini, beranak pinak, mendirikan rumah di tanah Malaysia.
Senario kebanjiran warga asing bukanlah perkara asing bagi rakyat. Media kita terutamanya Utusan Malaysia sendiri telah banyak membuat pendedahan mengenai isu ini. Namun, apakah kesudahannya? Warga asing bukan semakin kurang, malah semakin meningkat jumlahnya.
Saya tidak mampu lagi untuk bayangkan keadaan itu dalam tempoh 10 tahun akan datang. Hakikatnya, pemimpin kita (sama ada pemerintah atau pembangkang) terlalu sibuk berpolitik, bercakaran sesama sendiri dan tidak pernah mencari titik noktah bagi menyelesaikan masalah pendatang asing. Maafkan saya, orang politik di negara kita nampaknya mengeksploit masalah untuk menyelesaikan masalah sehingga kita semakin bertambah masalah.
Maka isu-isu penting seperti kebanjiran pendatang tanpa izin ini bagaikan terlepas pandang. Walaupun ia adalah sesuatu yang malang bagi negara kita, namun sebenarnya kita masih belum terlewat untuk bertindak. Hishammuddin telah pun melihat sendiri apa yang berlaku dan sudah tentu beliau tidak akan berdiam diri.
Rakyat gembira dengan pendedahan beliau itu. Rakyat terasa lega apabila pemimpin mereka melihat sendiri apa yang sekian lama menjadi ketakutan dan kebimbangan mereka.
Kepada pemimpin politik, cukup- cukuplah berpolemik kerana yang rugi ialah rakyat sendiri. Rakyat tidak wajar menjadi mangsa kepada permainan politik. Berdasarkan senario ini, saya sebenarnya amat bimbang kalau kata- kata pepatah, menang sorak kampung tergadai menjadi kenyataan.

Keaslian rumah Melaka





SEJAK zaman Kesultanan Melayu Melaka, bentuk istana Melaka dikatakan telah menjadi asas kepada rupa bentuk rumah tradisional Melayu Melaka dan seterusnya menjadi bentuk asli rumah Melayu di Malaysia.
Pembinaan rumah-rumah tradisional didirikan oleh orang-orang tua dahulu mengikut petua dan cara yang disesuaikan dengan faktor persekitaran, adat resam, kepercayaan dan Islam sebagai agama mereka.
Rumah tradisional Melayu Melaka mempunyai tarikannya yang tersendiri kerana ia melambangkan ketinggian peribadi dan jati diri pemiliknya.
Kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung lipat kajang dan bertebar layar.
Dahulu, rumah orang Melayu diperbuat daripada papan dan kayu yang terbaik.
Ini bererti orang Melayu dahulu sudah pandai menilai mutu kayu dari hutan untuk keperluan hidup mereka.
Antara kayu yang sering digunakan adalah seperti meranti, cengal, belian, resak, tembusu, merang dan sebagainya.
Peredaran zaman telah mempengaruhi minda pemilik rumah tradisional untuk mengubah reka bentuk kepada yang lebih moden.
Jika anda ke Melaka, anda pastinya teruja untuk melihat dengan lebih dekat lagi rumah-rumah tradisional ini.
Salah sebuah rumah yang boleh dikunjungi jika ke Melaka ialah kepunyaan Zohaime Muhamad Sori yang terletak di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka.
Dibina semula di atas tanah seluas setengah hektar, rumah yang menelan belanja sehingga RM500,000 ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya di samping sedikit sentuhan moden.
''Walaupun rumah ini telah dibina semula, tetapi sebagai anak jati Melaka, saya masih lagi mengekalkan keaslian tradisionalnya walaupun memberi sentuhan moden di sudut-sudut tertentu.
''Asalnya hanya pondok, iaitu rumah ibu saya dan untuk mengekalkan keasliannya saya bina semula dengan menggantikan kayu-kayu yang lama dan yang telah rosak,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Melaka baru-baru ini.
Mengandungi empat buah bilik, rumah yang dibina dengan menggunakan 90 peratus kayu resak ini turut menggunakan empat batang kayu cengal sebagai tiang utama.
Selain itu, satu keunikan yang dapat dilihat di rumah tersebut ialah loteng yang dibina di bahagian atas rumah tersebut.
Boleh menempatkan katil serta almari baju, pembinaan loteng tersebut dilihat satu perkara yang jarang dilakukan bagi rumah-rumah hari ini.
Ia juga berfungsi sebagai tempat menyimpan barang.
Jika dilihat secara keseluruhannya, rumah yang didiami Zohaime sekeluarga masih lagi sebuah rumah tradisional yang mempunyai bumbung panjang untuk sistem pengudaraan yang baik.
Beliau juga masih mengekalkan tiga penggalan (bahagian) utama yang terdiri daripada tiang, badan dan bumbung.
Rumah tersebut juga dilihat satu kebanggaan bagi masyarakat Melaka dengan tangga baru yang menggunakan jubin pelbagai motif dan warna.
Sementara itu, penggalan tiang bermula dari tiang sehingga aras lantai yang mempunyai tapak konkrit juga masih boleh dilihat.
Bukan itu sahaja, penggalan badan pula terletak di antara tiang dan bumbung dan terdiri daripada dinding, serambi, pintu dan tingkap yang turut melengkapkan keaslian rumah tersebut.
Jika diteliti menurut Zohaime, bahagian-bahagian rumah tradisional Melaka, setiap satunya mempunyai pengertian, kegunaan atau fungsi yang tersendiri.
Sebagai contoh, bahagian serambi berfungsi sebagai tempat duduk tetamu, tempat mengadakan perundingan atau permuafakatan yang penting terutamanya dalam menjalankan urusan adat istiadat seperti majlis perkahwinan, kenduri dan juga kematian.
Selepas serambi, terdapat pintu yang menghubungkannya dengan bahagian rumah ibu.
Rumah ibu sering menjadi tempat pelbagai upacara bagi kaum wanita berhubung dengan urusan perkahwinan.
Seterusnya ruang yang dipanggil bilik dalam dijadikan bilik pengantin apabila majlis perkahwinan berlangsung. Dari rumah ibu, terdapat sebuah pintu menuju ke pelantar yang menghubungkannya dengan rumah dapur.
Seperti diketahui, sejak zaman dahulu lagi, rumah tradisional Melayu Melaka menjadi lambang kepakaran orang Melayu terutamanya dalam bidang seni bina.
Bagaimanapun kini, hanya terdapat segelintir sahaja yang masih mengekalkan keaslian rumah Melayu Melaka untuk tatapan umum.

Perjalanan selamat di lebuh raya

SEMALAM dan hari ini, Tahun Baru Cina disambut penuh meriah. Ia juga bermakna, musim cuti panjang masih berbaki. Selain masyarakat Cina, kaum-kaum lain turut 'tumpang' untuk merancang percutian masing- masing.
Dalam sibuk memikirkan hari bergembira itu, jangan lupa 'tradisi' di Malaysia yang menyaksikan kemalangan maut turut akan meningkat sepanjang musim perayaan. Pasti kita akan mendengar berita kemalangan terutama yang melibatkan kemalangan maut.
Kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut melalui kempen-kempen, penguatkuasaan serta Ops Sikap setiap kali musim perayaan.
Rakan penulis, Mohammad Ismail dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis ada menulis bahawa kita tidak akan sampai awal sehari daripada orang lain jika kita memandu melebihi had laju yang dibenarkan, jika silap perhitungan surat 'cinta' dari PDRM pasti akan diterima. Kita juga tidak akan diangkat menjadi juara pelumba F1 jika kita memotong barisan dan 'mencilok' di sana dan sini semasa memandu di jalan raya dan lebuh raya.
Oleh itu, katanya, tanamkan sedikit sifat 'sabar' dan patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
Sepanjang musim perayaan ini, elok masyarakat memikir dan merancang perjalanan. Pilihan berada di tangan kita sendiri sama ada untuk memandu dengan selamat atau membahayakan orang lain.
Walaupun diakui bahawa setiap kejadian itu telah tersurat, namun kita perlu berikhtiar untuk mengelakkannya kerana menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi nyawa keluarga yang tersayang.
Jadi, bagi mereka yang merancang bercuti dan perlu mengambiil masa perjalanan yang lama, buat pilihan cara mana hendak ke destinasi tersebut - jalan laut, udara atau darat? Jika darat, laluan mana yang hendak dipilih, jalan raya biasa atau lebuh raya bertol? Jika memilih lebuh raya bertol, itu juga pilihan tepat. Penulis tertarik dengan Laporan "Lebuhraya Utara-Selatan: Kajian Faktor PLUS kepada Pengguna dan Ekonomi" oleh Fakulti Pentadbiran dan Ekonomi Universiti Malaya Jun 2009. Kajian dan cadangannya patut diambil pertimbangan wajar.
Hakikatnya, lebuh raya di negara kita telah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan apabila dapat mengurangkan banyak kos. Bagi kawasan luar bandar khasnya, pembinaan lebuh raya baru dapat mengalihkan sesetengah pemandu daripada melalui perjalanan yang perlahan, bengkang-bengkok dan laluan sempit kepada perjalanan yang pantas, lurus dan lebuh raya yang luas.
Perubahan ini membolehkan kos pemanduan dikurangkan kepada banyak penduduk setempat. Kos perjalanan berkurang kerana pemandu kenderaan dan lori yang beralih menggunakan lebuh raya dapat menjimatkan masa, mengurangkan risiko kemalangan dan kos operasi kenderaan.
Jika dibandingkan dengan laluan alternatif lain, apabila menggunakan Lebuh Raya PLUS misalnya, pengguna dapat menjimatkan masa memandu bagi setiap kilometer bukan sahaja kerana mereka dapat memandu pada kelajuan tinggi tetapi juga hasil daripada perjalanan yang lancar.
Bayangkan had laju di lebuh raya 110 kmj sedangkan di jalan raya lain hanya 90 kmj, kalau pengguna di kedua-dua laluan itu memandu pada kelajuan maksimum, hasilnya pengguna jalan raya persekutuan atau negeri akan mengambil masa 40 saat bagi satu kilometer berbanding dengan memandu di lebuh raya PLUS mengambil masa 32.7 saat satu kilometer.
Bermakna, kenderaan pengguna lebuh raya dapat menjimatkan 7.3 saat per kilometer berbeza dengan mengguna jalan raya biasa.
Perkara ini bukan cakap kosong tetapi hasil kajian pakar dari Universiti Malaya. Malah menurut kajian itu juga, secara keseluruhan, masa perjalanan dapat dijimatkan RM0.279 per kilometer apabila pemandu beralih dari jalan raya biasa kepada lebuh raya.
Perkara mengenai keuntungan daripada pengurangan kos operasi kenderaan adalah topik paling digemari pemandu Malaysia. Tiada pemandu yang mahu melepaskan peluang ini.
Bagaimanapun berdasarkan kajian Universiti Malaya, kos operasi kereta dan lori berbeza di beberapa laluan Lebuh Raya Utara Selatan berbanding dengan jalan alternatif.
Tetapi elok kita pertimbangkan bagaimana kos operasi dapat dikurangkan semasa perjalanan di lebuh raya. Pertama, penjimatan berlaku kerana perubahan kelajuan kenderaan tidak sekerap dilakukan seperti di jalan raya biasa.
Kedua, tindakan pemandu hendak mengubah arah haluan kurang berlaku kesan daripada saiz jalan di lebuh raya yang lebih lebar. Hal ini baik untuk ketahanan tayar dan tempoh penggunaannya yang lebih lama.
Ketika ini orang ramai cukup gerun dengan jumlah kemalangan di jalan raya apatah lagi kemalangan maut. Syukur, dengan pembinaan lebuh raya, walaupun masih ada kemalangan maut tetapi kadar kemalangan dan kematian tidak setinggi kejadian di jalan raya biasa.
Menurut kajian pakar Universiti Malaya, dianggarkan kerajaan dapat menjimatkan kos kemalangan kira-kira RM0.044 per kilometer apabila memandu di lebuh raya PLUS.
Dalam banyak-banyak alasan, hakikatnya memandu di lebuh raya paling selamat. Faktor utamanya adalah lebuh raya mempunyai lebih banyak lorong dan bersaiz lebar serta kurang selekoh berbanding dengan jalan raya biasa.
Malah laluan keluar masuk lebuh raya lebih terkawal. Keadaan ini berbeza dengan apa yang biasa dilihat berlaku kesesakan di simpang jalan raya apabila sesebuah kenderaan ingin membelok atau memasuki laluan kiri atau kanan.
Data daripada kajian Universiti Malaya menunjukkan aspek keuntungan yang boleh diterima oleh pengguna lebuh raya pada purata satu kilometer adalah RM0.34 lebih murah berbanding memandu di jalan raya biasa.
Di samping pengguna lebuh raya bertol mendapati kos petrol 'diserap' kerana bayaran tol, sebenarnya mereka masih meraih keuntungan besar melalui penjimatan masa perjalanan.
Pemandu jalan raya biasa pun turut beruntung apabila semakin kurang bilangan kenderaan di lebuh raya tanpa tol dan jalan raya persekutuan.
Sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini, ingatlah keselamatan di jalan raya. Jika ingin perjalanan yang lancar, anda tentu sudah tahu buat pilihan sendiri.

Kemeriahan Tahun Baru Korea


Lee Si Yeon, (kiri) dan Kim Myng Hyeun bermain permainan tradisional Korea semasa Festival Tahun Baru Korea berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.


DALAM kemeriahan masyarakat Tionghua di Malaysia menyambut perayaan Tahun Baru Cina, Sekolah Korea di Malaysia tidak ketinggalan mengadakan sambutan Tahun Baru Korea untuk warga Korea di Kuala Lumpur.
Acara sambutan berkenaan berlangsung dengan meriahnya di sebuah restoran Korea, Restoran Jung-won di Jalan Ampang pada hari Sabtu lalu iaitu sehari sebelum perayaan Tahun Baru Cina diraikan di Malaysia.
Acara berkenaan diserikan dengan pertunjukan pelbagai permainan tradisional kanak- kanak Korea termasuk layang-layang, pertunjukan pelbagai tarian tradisional masyarakat Korea dan hidangan masyarakat berkenaan.
Sebahagian besar daripada pelajar Sekolah Korea di Malaysia dan keluarga mereka yang hadir pada acara sambutan berkenaan dilihat memakai Hanbok iaitu pakaian tradisional bagi lelaki dan wanita masyarakat Korea. Hanbok bagi wanita biasanya berwarna terang.
Pengetua Sekolah Korea di Malaysia, Ryu Seung Wan berkata, acara sambutan Tahun Baru Korea merupakan acara tahunan bagi Sekolah Korea di Malaysia yang sudah pun berusia 36 tahun.
'Ia bertujuan membolehkan masyarakat Korea di Kuala Lumpur berhimpun, bertanyakan khabar masing-masing dan menyambut Tahun Baru Korea di Kuala Lumpur bersama-sama dengan penuh meriah.
''Namun acara sambutan Tahun Baru Korea yang berlangsung kali ini adalah amat bermakna kerana hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Selatan berusia 50 tahun pada tahun ini," katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay yang menyifatkan sambutan Tahun Baru Korea di Malaysia sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Korea kepada rakyat Malaysia.
''Malaysia memandang tinggi daya tahan serta pencapaian luar biasa masyarakat Korea dalam perusahaan serta penerbitan filem dan drama.
''Etika dan budaya kerja masyarakat Korea menjadi inspirasi kepada Dasar Pandang ke Timur yang sehingga kini menjadi asas kepada hubungan dua hala Malaysia dan Korea Selatan," katanya.
Sempena sambutan 50 tahun jalinan diplomatik kedua-dua negara, tambah Seung Wan, Sekolah Korea di Malaysia merancang untuk mengadakan pelbagai program dan aktiviti menarik sepanjang tahun 2010 bagi meraikan dan mengeratkan hubungan dua hala berkenaan.
''Sambutan Tahun Baru Korea ini adalah permulaan kepada pelbagai program dan aktiviti yang akan berlangsung sepanjang tahun," katanya.

Jelas Seung Wan, Sekolah Korea di Malaysia bermula dengan hanya 51 pelajar pada tahun 1974. Kini, pelajarnya mencecah 480 orang.
Sekolah tersebut kini terdiri daripada dua kelas tadika, 12 kelas sekolah rendah, lima kelas menengah rendah dan sebuah kelas menengah atas.
''Sekolah berkenaan mempunyai 31 orang tenaga pengajar dan kini menyewa premis Sekolah Antarabangsa Sayfol di Jalan Ampang. Saya berhasrat untuk berbincang dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menyewa mana-mana premis yang sesuai dijadikan bangunan Sekolah Korea di Malaysia satu hari nanti.
''Masyarakat Korea di Malaysia sentiasa mahukan pelajar di Sekolah Korea di Malaysia mengutamakan kerjasama dan hidup secara harmoni dengan masyarakat Malaysia," katanya sambil menambah terdapat lebih 15,000 masyarakat Korea di Malaysia dan sebahagian besarnya di Kuala Lumpur.
Seung Wan yang fasih berbahasa Melayu dan sudah 20 tahun tinggal di Malaysia berkata, jumlah yang tinggi masyarakat Korea di Malaysia mendorong wujudnya direktori telefon Malaysia dalam bahasa Korea sejak beberapa tahun dulu.
Direktori yang seumpama yellow pages Telekom Malaysia itu memuatkan senarai alamat pelbagai syarikat penerbangan, bank asing, syarikat penghantaran, hospital, salon rambut, pusat rawatan akupuntur dan pusat pembelajaran Bahasa Inggeris yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.
Tambahnya, jumlah masyarakat Korea yang tinggal di Malaysia menyebabkan lebih 50 restoran Korea wujud di Lembah Kelang pada masa ini.
Seung Wan, 47, yang beragama Islam menjelaskan, terdapat lebih 30,000 warga Korea Selatan yang beragama Islam dan kebanyakan daripada mereka menetap di Seoul dan Busan.
''Saya mesti belajar bercakap Bahasa Melayu di Malaysia. Jika tidak, susah saya hendak minum dan makan kerana kebanyakan restoran makanan Korea di Kuala Lumpur menghidangkan makanan tidak halal," jelas beliau.
''Peratus warga Korea Selatan yang beragama Islam adalah sangat kecil iaitu tidak sampai satu peratus daripada 43 juta penduduk Korea Selatan.
''Saya memeluk Islam di Seoul lagi sebelum saya datang ke Malaysia," jelas beliau.
Kata Seung Wan, masyarakat Islam Korea Selatan suka berkunjung ke Malaysia kerana mereka berasa selesa berada di Malaysia berbanding negara-negara Islam yang lain terutamanya negara-negara Asia Barat.
''Masyarakat Islam di Korea Selatan memandang tinggi masyarakat Islam Malaysia kerana pada tahun 1976, Malaysia pernah menyumbang kepada pembinaan sebuah masjid terbesar yang pertama di Seoul.
''Sumbangan Malaysia ke atas pembinaan masjid itu masih tercatat di masjid berkenaan sehingga ke hari ini. Kerana itu, masyarakat Islam di Korea Selatan menyanjung tinggi masyarakat Islam di Malaysia," katanya.
Beliau juga berharap masyarakat Islam di Korea Selatan dan Malaysia boleh menjalinhubungan lebih rapat agar dapat berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan demi kepentingan ummah.

Menghargai pengorbanan anggota polis

Kes-kes yang dilaporkan di akhbar menunjukkan bahawa pihak yang paling menjadi tumpuan adalah pihak polis dan jika kita membuka radio atau TV setiap kali berita disiarkan, perkataan yang paling banyak disebut adalah polis. Sama ada kes bunuh, kes menghina institusi raja atau kes mencemarkan rumah ibadat agama lain menunjukkan pasukan polis masih merupakan pihak berkuasa yang perlu diberi lebih penghormatan. Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Musa Hassan bersama anggota-anggota bawahan berusaha dengan gigih untuk mengurangkan jenayah indeks akibat kebanjiran pendatang asing dan kemelesetan ekonomi dunia. Kenaikan gaji hanyalah sedikit penghargaan hasil pengorbanan anggota polis dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
Pasukan polis bertindak menjaga keamanan negara ini sejak 25 Mac 1807 apabila Piagam Keadilan 1807 British (Charter of Justice 1807) pasukan polis moden pertama ditubuhkan di negeri selat iaitu di Pulau Pinang. Sejak itu pasukan polis yang kemudiannya dikenali sebagai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tanggal 24 Julai 1958 terus berkembang pesat. Pasukan polis kita antara pasukan polis terbaik di dunia dari segi kemodenan dan penyelesaian kes yang dilaporkan oleh pengadu. Kes-kes jenayah sememangnya menjadi harapan semua pihak yang cintakan keamanan tidak akan berlaku, namun dengan kemasukan beramai-ramai pendatang asing tanpa izin, kes-kes jenayah terus berlaku atas faktor meneruskan kelangsungan hidup.
Kes dadah yang kini semakin canggih modus operandi pengedarannya memberi cabaran besar kepada pihak polis. Ia memerlukan pihak PDRM untuk terus terkehadapan dalam meningkatkan kaedah penyiasatan dan pengesanan. Sebagai sebuah organisasi yang terancang, pasukan polis mempunyai bidang tugas tersendiri melalui cawangan jabatan siasatan yang dikhususkan.
Cawangan D7 dan lain- lain cawangan dalam PDRM bergiat cergas menghapuskan maksiat, judi haram dan kongsi gelap dan inilah cabaran utama pasukan polis di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Bukit Aman berdiri megah menempatkan lokasi ibu pejabat PDRM yang terletak di tengah nadi bandar raya Kuala Lumpur sentiasa bersedia membasmi jenayah hingga ke akar umbi. Dengan kekuatan kira-kira 1,000 balai polis di seluruh negara, pasukan polis bertindak menjaga keamanan setempat 24 jam.
Perlu diingat tugas anggota polis bukan semudah menerima laporan kerana jika ada unsur jenayah yang bersifat perlu tindakan segera, maka laporan itu perlu disahkan terlebih dahulu sebelum siasatan lanjut dilakukan. Terdapat beberapa kes kebelakangan ini yang menunjukkan ada individu tergamak membuat laporan palsu kerana ingin melepaskan diri daripada menunaikan tanggungjawab mereka. Kes laporan palsu oleh bakal pengantin yang mendakwa dirinya dirompak sehingga wang kahwinnya lesap menunjukkan bahawa tugas polis bukan semudah menerima laporan kerana setiap pengadu juga berpotensi membuat jenayah iaitu menipu.
Kisah polis yang terlibat dengan gejala rasuah tidak boleh dikaitkan dengan semua anggota polis kerana dalam setandan pisang hanya sebiji dua sahaja yang busuk. Pasukan polis adalah semulia-mulia tugas yang diberkati oleh Allah SWT kerana sanggup menjaga keamanan walau nyawa menjadi galang ganti. Pihak polis adakala menghadapi masalah apabila ia dituduh dengan berbagai gelaran yang tidak enak didengar, sedangkan pihak yang menuduh tetap memerlukan polis untuk menjaga keamanan keluarga dan dirinya.
Pengorbanan nyawa polis dalam menyahut seruan negara menjaga keamanan adakala tidak dihargai oleh pihak tertentu, di mana lebih ramai mempersoalkan mengapa penjenayah ditembak mati lebih daripada kehilangan nyawa pihak polis akibat membanteras jenayah.
Provokasi terhadap pihak polis dalam perhimpunan pertubuhan tertentu yang tidak mendapat permit sepatutnya tidak dilakukan kerana ia adalah satu kesalahan iaitu mengganggu penjawat awam. Perbuatan ini biasanya dilakukan oleh perusuh-perusuh yang bersikap menggunakan 'undang-undang rimba' demi memperjuangkan misi dan visi mereka. Sikap hormat kepada pihak polis diketepikan dan ini yang menyedihkan kerana pengorbanan pasukan beruniform ini langsung tidak dihargai. Pihak polis bersengkang mata 24 jam sehari menjaga keamanan dan ini faktor membolehkan kita boleh mencari rezeki dan pelabur-pelabur asing berduyun-duyun masuk ke negara kita. Samseng jalanan juga selalu bersikap biadap merempit tanpa mempedulikan keselamatan diri dan pihak polis sendiri. Ada yang sanggup merempuh sekatan jalan raya dan melanggar polis trafik. Polis dilihat sebagai musuh, sedangkan perbuatan mereka mengganggu aliran trafik lebih mendatangkan bahaya jika tidak dibendung.
Justeru, pasukan polis perlu lebih dihormati dari saat ini. Bayangkan apa akan jadi kepada Kuala Lumpur yang baru menyambut Hari Wilayah jika pasukan polis gagal memantau keamanan bandar raya kita. Persepsi buruk kepada polis tidak boleh dikaburi dengan komen-komen nakal di dunia siber dan juga oleh pemimpin-pemimpin politik yang cuba menegakkan benang yang basah. Polis juga berubah seiring dengan masa dan tuntutan teknologi. Kini, khidmat komuniti polis dan orang ramai semakin popular dan menunjukkan iltizam KPN yang ingin masyarakat, media dan orang ramai bekerjasama.

Hidangan sihat Tahun Baru Cina


OLIVE Rosemary Crostini (pinggan bujur) dan Loh Sang. 
 
 
 
 RAMAI yang beranggapan, makanan sihat tidak sedap. Kata mereka, ia tawar dan tidak berperisa kerana kurang garam, gula dan sebagainya.
Tambahan lagi jika ia hanya berasaskan sayur-sayuran, pasti ramai yang berfikir dua kali sebelum memilihnya.
Berkunjung ke Woods Macrobiotics yang terletak di Bangsar akan mengubah tanggapan anda mengenai makanan sihat. Restoran berasaskan produk sayur-sayuran dan organik ini bukan sahaja menyediakan makanan berkhasiat malah tidak mengecewakan dari segi rasa dan persembahan.
Diasaskan oleh June Ka Lim sejak 1993, restoran ini menyajikan hidangan berasaskan konsep macrobiotic tanpa bahan perasa kimia, bahan pengawet, pewarna tiruan, MSG, gula proses, tepung dan beras putih, telur, daging serta produk tenusu.
"Saya percaya kehidupan kita sangat berkait rapat dengan alam sekitar. Jadi, persekitaran yang sihat menjadikan tubuh badan kita sihat, begitu juga melalui pengambilan makanan yang sihat," kata pakar pemakanan holistik ini.
June yang juga pencinta alam sekitar menyatakan macrobiotic adalah terma Greek yang bermaksud diet untuk hidup lebih lama berdasarkan keseimbangan holistik badan, minda dan jiwa.
Konsep yang dipercayai berusia lebih 5,000 tahun itu mula diperkenalkan oleh pengamal Jepun yang turut dipengaruhi oleh perubatan Cina purba.
Kini, ia diamalkan di serata dunia termasuk benua Asia, Amerika, Eropah, Afrika, Asia Barat dan negara-negara Mediterranean.
Kesemua sajian yang dihidangkan hampir kepada menu Jepun, namun June menambah beberapa stail tempatan untuk disesuaikan dengan selera masyarakat negara ini.
Sempena Tahun Baru Cina yang jatuh hari ini, Woods Macrobiotics menyediakan tiga set hidangan istimewa iaitu Harmony (keharmonian), Bliss (kegembiraan) dan Equilibrium (keseimbangan).
Penulis diberi peluang mencuba set C yang terdiri daripada hidangan tujuh menu. Dimulakan dengan pembuka selera Olive Rosemary Crostini yang digandingkan dengan otak-otak tauhu, memang terasa kelainan kerana gabungan Barat dan tempatannya.
Kemudian salad Loh Sang bagi menggantikan hidangan popular Tahun Baru Cina, Yee Sang. Diikuti hidangan sayur sawi boy choy dengan sos perang dan serpihan badam. Kepingan fucuk dengan sos ceri tomato juga tidak menghampakan. Rasanya seperti isi ikan yang enak.
Seterusnya, kacang buncis goreng bersama biji pain dan bijan. June berkata, untuk menghasilkan rasa yang enak, beliau menggunakan serbuk dashi ekstrak tumbuh-tumbuhan menggantikan bahan perasa tiruan. Kerana itu rasanya enak dan asli.
Hidangan keenam, cendawan shiitake yang dibungkus dalam daun buluh ala nyonya terasa pedasnya. Akhir sekali hidangan mi arang dengan serpihan tauhu dan sayur campur. Set ini berharga RM122 untuk dua orang, RM299 (6 orang) dan RM388 (10 orang).
Selain restoran, terdapat kedai menjual barangan organik di sebelah.
Restoran ini kembali beroperasi selepas cuti tahun baru Cina pada 19 Februari ini.
 
 

Tambah khasiat mi segera


Chef Nathalie Arbefeuile menyediakan hidangan menggunakan bahan asasnya, mi segera.


SEBUT saja mi segera, pasti ada yang memperlekeh dan menganggap ia makanan picisan. Sebenarnya ia boleh dibuat penambahbaikan dengan menambahkan bahan makanan lain yang lebih menyihatkan.
Pengambilan mi segera seharusnya ditambah dengan hidangan protein, serat dan sayuran bagi menyeimbangkan pengambilan zat makanan dalam diet seharian setiap individu.
Pakar pemakanan, Gaiyal Subramaniam berkata, mi segera sememangnya sesuai diambil sebagai alas perut bagi mereka yang tidak sempat mengambil hidangan sempurna. Tetapi seelok-eloknya ubah cara penyediaan hidangan mi segera tersebut supaya ia lebih berkhasiat dan mengenyangkan.
‘‘Hidangan mi segera biasanya mengandungi banyak kandungan sodium ataupun garam yang boleh menyebabkan masalah kepada tubuh.
“Oleh itu perlu diberi perhatian dengan menambahkan komponen makanan seperti protein, serat dan sayuran bagi memberi keseimbangan dalam sajian mee segera itu,’’ katanya pada bengkel kulinari bersama media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bengkel kulinari bersama media itu diadakan sempena Persidangan Kemuncak Mi Segera Sedunia (WINA) kali ke-7 yang akan diadakan pada 20 hingga 22 April 2010 di Kuala Lumpur. Tema persidangan ialah Makanan Dunia - Bersama Menjayakannya.
Menurut Gabenor WINA, Izham Mohamed, persidangan berkenaan diadakan bagi memberi penjelasan mengenai mi segera yang boleh dijadikan hidangan menyihatkan dan membetulkan tanggapan bahawa ia adalah makanan yang tidak menyihatkan.
Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Pemakanan-Malaysia dan Singapura, Nestle Products Sdn. Bhd., memberitahu, persatuan amat komited untuk menjadikan mi segera sebagai ‘makanan dunia’ setaraf dengan makanan asasi lain seperti nasi, pasta dan roti.
‘‘Objektif WINA adalah untuk memajukan industri dan mengukuhkan diet penduduk di seluruh dunia dengan memperbaiki kualiti mee segera serta meningkatkan kadar pengambilan makanan ini.
‘‘Pada 2009, kira-kira 93.6 bilion hidangan mi segera dinikmati dengan purata lebih 13 hidangan bagi setiap penduduk dunia. Ini menunjukkan penerimaan tinggi terhadap makanan kecemasan tersebut. Ia jelas menunjukkan mi segera adalah ‘makanan dunia’,” katanya.
Sementara itu, bengkel kulinari WINA itu bertujuan untuk menampilkan kreativiti, kecanggihan serta kesedapan mi segera tanpa menjejaskan nilai khasiat bagi setiap hidangan.
Chef Nathalie Arbefeuile dari Nathalie Gourmet Studio telah menyediakan tiga hidangan iaitu mi segera berkuah cendawan bersama udang tempura, dada ayam bertatah tiga lada bangala dan sayuran serta sarbat ros mee segera dengan laici dan buah rasberi.
Hidangan ini telah mengubah tanggapan betapa masakan mi segera boleh dipelbagaikan sama ada sebagai ramuan dalam hidangan barat atau makanan timur, malah boleh juga dijadikan pencuci mulut.

Pesta nasi lemak


Mohamed Daud (dua dari kiri) dan Yang Jamil (dua dari kanan) pada sidang akhbar Fiesta Nasi Lemak 1Malaysia.


NASI lemak, salah satu daripada hidangan masakan masyarakat Melayu turut digemari oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia. Nasi lemak sudah menjadi makanan harian pada setiap masa tidak kira pagi, tengah hari, petang dan malam.
Bertujuan menyatupadukan rakyat ke arah gagasan 1 Malaysia sebagaimana saranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak, pihak Jabatan Warisan Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Sri Warisan Event Management akan menganjurkan Fiesta Nasi 1 Malaysia pada 13 dan 14 Mac depan. Fiesta yang akan diadakan di Dataran Merdeka ini akan bermula daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Menurut Pengerusi Program Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia, Chef Yang Jamil, fiesta ini akan diisi dengan pelbagai acara menarik seperti pertandingan memasak nasi lemak yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat, demo masakan daripada selebriti tanah air, persembahan artis, pertandingan pakaian, gerai masakan warisan dan cabutan nombor bertuah.
''Kami mengalu-alukan penyertaan daripada persatuan artis tanah air, persatuan peniaga, pertubuhan, hotel, institusi pengajian tinggi, kolej masakan, restoran, orang perseorangan dan sebagainya.
''Kami turut menyeru kepada pihak-pihak penaja untuk bersama-sama membantu dan memeriahkan Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia ini.
''Terdapat dua kategori penyertaan, iaitu hotel dan individu. Bagi kategori hotel, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM1,000 sementara individu RM200. Kami menganggarkan untuk menerima lebih daripada 500 penyertaan,'' katanya yang ditemui pada sidang akhbar mengenai fiesta tersebut di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Penerangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Daud.
Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia akan dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim.
Pada hari tersebut juga sebanyak 10,000 bungkus nasi lemak akan diedarkan secara percuma kepada para pengunjung.

1901 jenama tempatan


1901 merupakan produk keluaran 100 peratus Bumiputera yang menitik beratkan soal kebersihan serta kesihatan.

JIKA selama ini anda tidak pernah mencuba hot dog keluaran syarikat Nineteen O One Sdn. Bhd. (1901), apa kata anda mencubanya dan tidak rugi malah ia amat berbaloi.
Ini kerana selain menggunakan daging yang berkualiti, hot dog yang disajikan juga sedap dan ditambah pula dengan sos yang dihasilkan daripada resipi tersendiri.
Pada masa yang sama, 1901 turut menyediakan produk yang mementingkan kesihatan dan ini dibuktikan dengan kesemua makanan di 1901 disediakan secara kukus dan bukan digoreng.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Ekesekutifnya, Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin, misi 1901 ialah menyedarkan pengguna bahawa makanan keluaran syarikatnya adalah 'makanan segera yang sihat' dan menjanjikan ia bebas minyak.
''Semasa memulakan perniagaan ini pada 1997, kami memutuskan untuk memberi pengguna pilihan baru dalam makanan segera yang bukan sahaja sedap dimakan, malah baik untuk kesihatan.
''Ini kerana bagi mereka yang menjaga kesihatan seboleh mungkin akan mengelak memakan makanan segera,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Tengku Rozidar, dengan menggunakan slogan '1901 food for friendship' atau makanan untuk persahabatan, 1901 adalah jenama universal yang bercirikan nilai tempatan.
Ini kerana, kata beliau, sebelum ini penggemar makanan segera sering mengaitkan 1901 sebagai jenama luar dan datang dari Amerika Syarikat.
Oleh yang demikian, pihaknya ingin menggubah persepsi itu dan menegaskan bahawa 1901 adalah syarikat tempatan yang dimiliki 100 peratus bumiputera dan semua produk mereka dibuat di Malaysia termasuk sos kecuali sos mustard.
Hari ini dengan mempunyai 80 buah cawangan di seluruh dunia termasuk di Singapura, Beijing dan Jakarta, 1901 diharap dapat dijadikan sebagai produk antarabangsa bercirikan Malaysia.
Umat Islam di Malaysia juga tidak perlu was-was memandangkan syarikat itu adalah 100 peratus milik Bumiputera yang sentiasa memastikan bahawa produk makanannya bersih, selamat dan halal.
Selain itu, pembekal sosejnya juga merupakan sebuah syarikat milik Bumiputera yang sentiasa memastikan sosej yang dibekalkan itu berkualiti tinggi.
Bagi penggemarpenggemar hot dog, 1901 pastinya memberi pelbagai pilihan kepada anda apabila menyediakan 11 jenis hot dog dan dua jenis burger.
Menurut Rozidar lagi, kini setiap 19 haribulan setiap bulan, 1901 akan membuat promosi di mana hot dog Chicago Beef dan New York Chicken akan dijual pada harga RM2.99 tidak termasuk air.
Bagi mereka yang ingin membeli secara set termasuk jus oren, anda cuma dikenakan bayaran tambahan RM1.
Jelas Rozidar lagi, promosi tersebut yang dibuat pada setiap bulan akan dijalankan secara berterusan.
''Promosi RM2.99 ini hanya untuk saiz regular sahaja dan ia telah pun bermula tiga bulan yang lalu.
''Walaupun ia baru bermula tetapi sebenarnya kempen tersebut telah pun dilaksanakan pada satu setengah tahun yang lalu.
''Ia adalah bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membeli dan mencuba produk 1901,'' katanya.
Kesemua cawangan 1901 dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam termasuk cuti umum.
Jadi kepada mereka yang belum pernah mencuba 1901, apa kata dapatkannya hari ini.

Koleksi kecil sempena ulang tahun ke-125


versi kecil teko berbentuk tembikai yang dicipta oleh pengasasnya Yong Koon.

APABILA Yong Koon, seorang tukang pewter muda berusia 14 tahun belayar dari pelabuhan Shantou di China ke Malaya lebih seabad lalu, beliau tidak menyangka perusahaan kecilnya bakal mengukir nama sebagai jenama pewter paling terkenal di dunia. Diasaskan pada 1885, Royal Selangor dengan bangganya menyambut ulang tahun yang ke-125 pada tahun 2010 dengan pelbagai rekaan baru.
Salah satu daripada koleksi khas bagi memperingati ulang tahun ini ialah koleksi kecil bagi meraikan hiasan rekaan simbolik syarikat ini.
Miniatur (hiasan kecil) merangkumi enam koleksi ini termasuk versi kecil teko berbentuk tembikai yang dicipta oleh pengasasnya, Yong Koon.
Ia mengisahkan sebuah teko yang menyelamatkan nyawa seorang lelaki ketika Perang Dunia Kedua diselitkan dalam buku Royal Selangor Born & Bred in Pewter Dust. Hiasan simbolik berkenaan kini dipamerkan di Muzium Pewter Pusat Pelawat Royal Selangor.
Terdapat dua lagi hiasan simbolik iaitu kole dan kendi comel hasil rekaan pereka pertama syarikat ini, iaitu Anders Quistgaard.
Dengan ketinggian lebih kurang 2.5 hingga 3 sentimeter, setiap hiasan kecil turut mempunyai logo ulang tahun ke-125 pada bahagian bawahnya.
Turut dimuatkan bersama koleksi kecil ini ialah bingkai gambar klasik bermagnet daripada penggunaan teknik tukul tangan yang klasik hingga kemasan antik bingkai dari koleksi muzium Victoria and Albert, sehingga bingkai Himalaya yang kemas dan berani.
Dengan lekatan magnet di belakang setiap bingkai butir, ia sesuai dijadikan hiasan rumah mahupun pejabat atau pun sebagai cenderahati.
Bagi memperingati ulang tahun ke-125 ini, kesemua hiasan kecil ini mempamerkan logo ulang tahun yang menggambarkan tahun 1885 dan 2010.
Turut dimuatkan ialah set barangan teko teh kecil, kole dan kendi yang disediakan dalam bekas hadiah.

Beli keperluan ikut bajet



Memilih keperluan dan peralatan untuk bayi perlu mengikut bajet yang munasabah.

FASA mabuk hamil di peringkat awal kehamilan serta keghairahan untuk membeli baju mengandung sudah berlalu. Kini tiba saatnya yang dinanti-nantikan iaitu masa untuk membeli kelengkapan bayi. Jika anda memiliki banyak wang, pastinya akan menghiasi bilik bayi dengan pelbagai kelengkapan dan hiasan.
Namun begitu, dinasihatkan supaya membeli kelengkapan bayi mengikut bajet yang munasabah kerana kebanyakan kelengkapan itu hanya digunakan sekejap sahaja. Ini disebabkan bayi cepat membesar dan tidak memerlukan lagi kelengkapan yang dibeli secara mewah.
Sebenarnya, apakah kelengkapan bayi yang perlu anda sediakan?
Jika dilihat barangan yang telah disenaraipendekkan, terdapat barangan bayi yang telah diklasifikasikan bermula daripada barangan mewah sehingga yang tidak masuk akal.
Kesudahannya, adakah bayi anda dapat memberikan perbezaan pada barangan tersebut?
Ingat! Barangan yang dibeli dalam kuantiti yang sedikit adalah lebih baik kerana ini akan mengelakkan daripada pembaziran.
Mari kita tinjau barangan yang lebih berbaloi untuk dibeli.
Katil bayi Perlu diberi keutamaan ialah ciri-ciri keselamatan dari segi ketahanan, pembuatan dan ketinggiannya.
Tempat duduk bayi dalam kereta Perlu memenuhi serta lulus peraturan keselamatan.Selepas itu, mari kita melihat apakah keperluan lain yang perlu dan tidak perlu bagi bayi anda.
Monitor pengesan bunyi Ia merupakan peralatan yang terbaik bagi keluarga yang baru menimang cahaya mata.Dengan monitor ini, ibu bapa boleh mendengar bunyi-bunyian yang amat perlahan yang boleh mengganggu tidur bayi anda dan tangisan bayi.Persoalannya, adakah anda betul-betul memerlukan peralatan tersebut?Mungkin tidak, kerana naluri seorang ibu dapat merasakan apa yang berlaku kepada bayi mereka.Lebih baik sekiranya anda menyimpan wang ataupun membelikan peralatan yang lebih diperlukan.
Beg gendong bayi Sekiranya anda mempunyai anak lebih daripada seorang, beg gendong bayi pastinya memudahkan anda. Ini kerana bayi sememangnya suka dipeluk.
Bantal busuk Ia merupakan satu situasi yang mahu dielakkan oleh ibu bapa. Dengan kehadiran bantal busuk, ia akan menyusahkan anda serta bayi anda sekiranya ia hilang atau lupa dibawa ketika berjalan-jalan. Ia juga boleh menjadikan satu tabiat anak anda mengusung bantal busuk ke mana sahaja.
Gim kecil Ia merupakan satu alat permainan yang mampu memudahkan kerja anda. Secara tidak langsung ia adalah alat pembelajaran bagi bayi anda.
Alat permainan Menyediakan permainan untuk anak anda seperti gelongsor, buaian dan sebagainya. Sebelum membeli kesemua alat permainan tersebut, anda perlu berfikir, lama mana ia boleh digunakan.
Insurans Kebanyakan ibu bapa zaman ini tidak ketinggalan membelikan insurans nyawa untuk bayi serta anak-anak mereka. Daripada membeli insurans nyawa, apa kata anda membeli insurans pendidikan yang dapat menjamin masa depan anak anda.
Kereta sorong Sebaik-baiknya, belilah kereta sorong yang ringan, kecil dan mudah dibawa. Bagi ibu bapa yang gemar membeli kereta sorong yang berwarna -warni dan besar, baik difikirkan semula kerana selain membebankan anda, ia juga memerlukan tempat simpan yang besar.

Putih berseri gigi si manja


Memberus sekurang-kurangnya dua kali sehari, selepas bangun dari tidur dan sebelum tidur.


PENJAGAAN gigi perlu bermula sebelum gigi pertama si manja mula tumbuh. Walaupun gigi bayi belum kelihatan semasa beberapa bulan pertama selepas kelahirannya, ia sebenarnya sudah terbentuk, hanya belum keluar daripada gusinya sahaja.
Penjagaan gigi yang tidak betul menyebabkan kerosakan gigi. Jika dibiarkan, kerosakan ini akan menusuk struktur tulang gigi dan menjejaskan perkembangan gigi kekalnya. Erti kata, gigi si manja mungkin akan tumbuh secara tidak teratur apabila membesar.
Pengambilan gula pada peringkat awal kehidupan (seperti menghisap puting dicelup madu), digandingkan pula dengan kebersihan oral yang tidak betul merupakan faktor dominan yang mengakibatkan kerosakan gigi.
Penjagaan gigi si manja lebih baik dimulakan dari awal kerana ia akan memanfaatkannya di kemudian hari.
Memberus gigi membantu mencegah kerosakan gigi tetapi anda perlu pastikan si manja tahu cara yang betul. Berikut adalah petua memberus gigi untuk memastikan kebersihan mulutnya.

  • Memberus sekurang-kurangnya dua kali sehari, selepas bangun dari tidur dan sebelum tidur. Pengumpulan plak berlaku lebih cepat semasa waktu tidur akibat penghasilan air liur yang berkurangan.

  • Ajar teknik memberus gigi yang betul. Beritahu si manja yang memberus gigi hadapan sahaja tidak akan menjamin kebersihan keseluruhan mulutnya. Memberus permukaan tepi dan belakang gigi adalah penting dalam mengekalkan kebersihan mulutnya.

  • Jangan tergesa-gesa apabila memberus gigi. Luangkan sekurang-kurangnya tiga minit setiap kali memberus gigi. Petua mudah untuk mencegah kerosakan gigi

  • Elakkan si manja tidur dengan menghisap botol yang mengandungi minuman manis seperti susu atau jus epal kerana ia menyebabkan giginya diselaputi cecair manis semasa tidur.

  • Amalkan tabiat minum air kosong kerana ia lebih baik untuk kesihatan. Apabila ingin memberi snek, berilah buah-buahan dan sayuran berbanding gula-gula dan aiskrim.

  •   

    Iktibar Tahun Harimau

    PENGAJARAN tahun harimau, bersyukurlah dengan apa yang ada (Mingguan Malaysia 14 Februari 2010)
    Apabila saya mengemukakan formula keadilan dan perpaduan mengikut statistik penduduk 60 - 40 (Islam - bukan Islam) berkaitan hak pembinaan rumah ibadat, agihan ekonomi dan politik dalam menyelesaikan masalah etnik dalam Mingguan Malaysia bertarikh 27.12.2009, saya dikecam, dihentam dan digodam. Pada saya, itulah formula keadilan, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Terbaru, Centre for Policy Initiative (CPI) yang diketuai oleh Lim Teck Ghee mahukan formula tersebut diguna pakai dalam perkhidmatan awam disebabkan oleh dominasi orang Islam dalam sektor ini, agar tidak berlaku zero sum game. Tidak ada seorangpun yang marah atau mengecam beliau, malah boleh dikatakan semua bersetuju.
    Dahulu, formula ini ditentang, sekarang terhegeh-hegeh mahu ianya diterima. Inilah sifat yang perlu disisihkan untuk mendepani dunia yang makin mencabar. Bila rasa kurang, mahu ditambah. Bila sudah terlebih, didiamkan sahaja, kalau boleh mahu ditambah lagi sehingga membukit. Asyik mahu menang besar atau ultra kiasu.
    Siapakah yang sebenarnya mengamalkan zero sum game? Saya yakin CPI sudah ada jawapannya.
    Sebelum ini, parti-parti komponen BN yang tidak perlu saya sebutkan lagi, sibuk mendesak kerajaan mahukan sektor perkhidmatan awam mestilah mencerminkan populasi kaum iaitu penguasaan 25 peratus orang Cina, 15 peratus lain-lain kaum. Persoalannya, kenapakah formula ini tidak diaplikasikan dalam bidang ekonomi atau sektor swasta yang didominasi bukan Islam? Bukankah ini yang dinamakan keadilan?
    Kajian demi kajian yang dilakukan, sudah memberikan jawapan bahawa bukan Melayu tidak berminat bekerja dalam perkhidmatan awam kerana gaji yang rendah. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar iaitu jawatan berpangkat tinggi. Dalam perkhidmatan polis misalnya, daripada 250 belia bukan Melayu yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan tinggi kepolisan berbanding jawatan pangkat rendah.
    Kajian ini sudah jelas menunjukkan psiki bangsa-bangsa yang ada di negara kita akan kecenderungan mereka. Cubalah fahami hakikat ini dan berlapang dada.
    Ternyata, trend sengaja menonjolkan yang negatif atau yang masih belum cukup dengan sengaja menyembunyikan perkara yangpositif, semakin menjadi-jadi. Golongan ini sengaja memejamkan mata akan sejarah perkhidmatan awam di negara ini, yang tidak dapat lari daripada perkara 154 Perlembagaan Persekutuan.
    Perkara ini menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan rizab bagi orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan suatu kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan yang baginda fikirkan perlu. Menurut Mohd Suffian Hashim (1987), rasional perkara ini adalah pada awal kemerdekaan, bilangan orang bukan Melayu dalam perkhidmatan awam terlampau ramai, berbanding Melayu di buminya sendiri. Pada ketika itu, orang bukan Melayu lebih terdedah kepada pendidikan di bandar berbanding Melayu yang rata-rata berada di luar bandar.
    Menurut kajian Comber (2007), penyertaan kaum bukan Melayu (Cina) tidak ramai hari ini dalam perkhidmatan awam, kerana mereka lebih terpesona kepada sektor korporat atau perniagaan sendiri. Ia dilihat sebagai satu kerjaya yang lebih baik berbanding makan gaji dalam sektor awam sekadar cukup makan. Lagipun, kaum ini berjiwa besar, bangga dengan tamadun mereka, tidak mahu diperintah dan lebih suka memerintah dengan berdikari. Psiki ini perlu difahami semua. Kajian juga menunjukkan wujud persepsi, adalah sukar untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam kerana sektor ini telah dibolot oleh orang Islam atau persekitaran Melayu. Jika berjaya pun mendapatkan sesuatu jawatan itu, terlalu sukar untuk mendapat kenaikan pangkat. Hujah ini turut disokong bahawa bukan Melayu agak tidak selesa bekerja dalam persekitaran Melayu, kerana asuhan atau sosialisasi politik mereka yang berbau perkauman seperti tempat tinggal, pendidikan, media dan sebagainya (Yew Yeok Kim, 1982). Tambahan pula, syarat kepujian dalam Bahasa Melayu adalah antara halangannya.
    Sebenarnya, kerajaan telah memberi dan membuka peluang kepada bukan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Kita lihat banyak muka-muka bukan Melayu memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam termasuk ketua setiausaha kementerian, jawatan-jawatan kanan dan sebagainya, berbanding sebelumnya.
    Tidakkah ini satu perubahan dan keterbukaan? Dalam sektor perbankan misalnya, banyak bank yang dipunyai oleh orang Islam, menampakkan bilangan bukan Melayu yang agak ramai berbanding dengan muka Melayu dalam bank bukan Melayu. Inilah satu satu ciri keterbukaan agama Islam. Saya minta Teck Ghee buat kajian berapa peratus orang Melayu diterima bekerja dalam syarikat bukan Melayu serta berapa ramai yang diperalatkan untuk melariskan jualan? Justeru, tidakkah wajar Melayu berada dalam perkhidmatan awam? Barulah menang-menang.
    Isu yang dibangkitkan oleh CPI ini mengingatkan saya kepada bantuan RM15 juta diluluskan oleh kabinet untuk membantu ibu-ibu tunggal yang beragama Islam. Isu ini terus dimanipulasikan tanpa henti saban hari oleh penulis dan media ultra kiasu. Mereka mendesak kerajaan agar ibu-ibu tunggal bukan Islam mesti turut dibantu. Saya tidak menafikan bahawa kerajaan perlu membantu mereka yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi. Prinsip Islam amat jelas dalam menangani isu ini.
    Selaku Yang di-Pertua PIBG sekolah menengah majoriti bukan Islam, sayalah paling banyak meluluskan bantuan yuran sekolah ke atas pelajar bukan Islam berbanding pelajar Islam, kerana merekalah lebih ramai yang memerlukan bantuan setelah disiasat latar belakangnya. Jangan tuduh saya rasis pula, sekadar menyahut seruan 1Malaysia, tanpa mengambil kesempatan. Tidak salah membantu kafir zimmi, selagi mana mereka tidak menentang Islam. Yang dibimbangi ialah segelintir yang digelar kafir harbi, yang terang-terang menghina dan menentang Islam. Golongan ini tidak layak berada di bumi bertuah ini.
    Kiasu
    Saya tidak selicik ultra kiasu yang memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk memenuhi cita-cita mereka. Saya juga ingin melihat keadilan turut dipraktiskan sama di bawah negeri ultra kiasu yang mencanangkan mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz. Kenapa CPI tidak membuat kajian atau memberikan pandangan yang sama di negeri ultra kiasu tersebut dari segi agihan ekonomi. Tidakkah Khalifah Umar Abdul Aziz mahu melihat keadilan ini dilaksanakan? Termasuk gerai-gerai orang Islam yang sedang rancak dirobohkan? Kenapa dasar-dasar Umar Abdul Aziz tidak muncul-muncul? Saya ingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan dasar Middle Malaysia, termasuk think-tank mereka yang cuba berlagak seolah-olah bebas tanpa berpihak. Sebenarnya ada niat tersembunyi untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat ultra kiasu.
    Saya menyarankan supaya kajian demi kajian dilakukan, berasaskan formula 60-40 dalam semua bidang dengan bertunjangkan perlembagaan, bukannya mengikut emosi dan mahu menjadi jaguh untuk mendapatkan 1 > 1. Semua pihak faham, bahawa pendapatan per kapita orang Islam masih ketinggalan berbanding dengan bukan Islam. Ini bermakna, dari segi logik, oleh kerana populasi Islam agak besar, sudah tentu lebih ramai kalangan mereka yang perlu dibantu berbanding dengan bukan Islam.
    Sama juga dalam isu ekonomi, penguasaan bukan Melayu telah melebihi 70 peratus, bermakna, ibu tunggal bukan Melayu sudah tentu lebih banyak mempunyai peluang daripada ibu tunggal Islam. Lagipun cara hidup ibu tunggal Islam berbeza dengan kehidupan bukan Islam. Ibu tunggal bukan Islam boleh bekerja dalam semua sektor tanpa mengira halal haram. Tetapi ibu tunggal Islam ada batasannya. Mereka tidak boleh mencari rezeki di tempat-tempat subahat seperti kedai judi, arak, riba, kelab malam atau mendapatkan rezeki secara mungkar, walaupun saya tidak nafikan ada yang bekerja di tempat tersebut. Maknanya, peluang Islam agak terhad dalam bidang pekerjaan berbanding dengan bukan Islam.
    Pada masa sama, orang Islam pula janganlah terlalu memilih kerja. Saya jarang melihat orang Melayu Islam dalam sektor perburuhan, berbanding buruh Indonesia. Sedih teramat sangat melihat belia remaja dan anak muda kita sanggup melepak dan membuang masa tanpa kerja. Namun, terasa bangga pula membaca berita sebahagian kecil orang Islam sanggup mencari rezeki dalam timbunan sampah sehingga kehilangan nyawa.
    Walaupun berita ini menyedihkan, tetapi semangat untuk mencari rezeki yang halal patut dipuji. Golongan sebeginilah yang mesti dilihat secara serius oleh kita semua dan dibantu melalui Dasar Ekonomi Baru serta tidak ketinggalan bantuan zakat. Sebenarnya tidak timbul masalah ibu tunggal dan kemiskinan, jika institusi zakat digerakkan sepenuhnya dengan telus.
    Hari ini kita menghadapi masalah sebab ada segelintir orang Islam yang kaya mahu terus menjadi kaya tanpa menghiraukan orang lain. Sifat mahu jadi kaya adalah amat baik dan mulia. Tetapi harta itu milik Allah, ia harus dikongsi dengan orang lain atau menyelamatkan ibu-ibu tunggal.
    Akhirnya, kepada semua yang meraikan Tahun Baru Cina, saya ucapkan Gong Xi Fa Cai. Semoga kedatangan tahun harimau akan menurunkan sifat ultra kiasu harimau kepada kurang kiasu. Tahun harimau mengajar kita supaya lebih berhati-hati dalam segala aspek kehidupan. Hindari perasaan dendam dan iri hati, lebihkan sikap bersyukur dan menerima pendapat orang lain. Sikap ini akan menjadi kita tidak mudah jatuh, kerana sekali kita jatuh, mungkin kita sudah tidak berdaya untuk bangun kembali.

    Ngaum bergaung cakar berbisa....

    Jenis harimau apakah yang dijadikan haiwan dalam zodiak Cina sempena Tahun Baru? Adakah harimau China atau tidak kira jenis harimau mana? Kalau ada Harimau China, tidakkah patut ada Harimau Melayu. Atau Harimau Malaya. Atau Harimau Malaysia. Tidakkah patut harimau yang dirujukkan sebagai haiwan dalam zodiak China ialah pada mana-mana harimau dan tidak semestinya Harimau China. Atau bagi penduduk Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina, rujukan harimaunya wajar kepada harimau tempatan, iaitu Harimau Malaya atau Harimau Malaysia.
    Oleh kerana Tahun Baru Cina merupakan perayaan tradisi kebudayaan China, maka sudah tentu rujukannya adalah Harimau China. Maka daripada lukisan tradisi China yang digandingkan dengan tulisan kaligrafi mereka, harimau yang dipaparkan adalah Harimau China.
    Harimau adalah daripada keluarga Mamalia Felidae. Genusnya ialah panthera dan spesies dinamakan sebagai Panthera tigris.
    Terdapat lima subspesies harimau, walaupun ada antaranya diancam kepupusan. Sementara tiga subspesies lagi sudah pupus.
    Subspesies harimau yang boleh dikatakan sebagai Harimau China ialah Panthera tigris amoyensis dan Panthera tigris altaica.
    Panthera tigris amoyensis adalah harimau yang tinggal di sekitar China selatan. Ia dilinduingi oleh pemerintah China kerana diancam kepupusan. Harimau ini dinamakan Harimau China Selatan. Namun begitu, ia juga dikenali sebagai harimau Amoy atau harimau Xiamen.
    Sementara Panthera tigris altaica adalah Harimau China yang tinggal di sebelah utara. Ia dinamakan sebagai Harimau Siberia. Tetapi ia juga dikenali sebagai Harimau Amur, Harimau Manchuria, Harimau Altai, Harimau Korea atau Harimau China Utara.
    Maka kedua-dua Harimau China Selatan dan Harimau China Utara inilah yang boleh dianggap sebagai Harimau China dan menjadi rujukan sebagai haiwan bagi zodiak kalendar China.
    Namun begitu, walaupun namanya Harimau China Utara, ia sudah tidak kelihatan di negara itu. Kehadirannya hanya dikesan di Siberia iaitu dalam Rusia. Maka dalam keadaan begini, apa yang disebut sebagai Harimau China hanyalah patut merujuk kepada Harimau China Selatan.
    Tetapi sistem takwim China dengan zodiak haiwan walaupun muncul daripada kebudyaaan China, tetapi ia tidak hanya dirayakan oleh orang China dan keturunan mereka. Tahun Baru China turut dirayakan di Asia Tenggara yang banyak penduduk keturunan China. Namun begitu, Sistem zodiak dan takwim China ini dipakai dan diserap ke dalam kebudayaan beberapa bangsa bukan China iaitu Korea, Mongolia, Vietnam dan Jepun.
    Bangsa-bangsa ini turut menjadikan kalendar China sebagai sebahagian daripada kebudayaan mereka. Maka tentunya zodiak haiwan itu turut diambil kira oleh mereka.
    Tidak ada harimau yang dikesan di Jepun. Sementara Harimau di Korea dan Mongolia dipercayai merujuk kepada Harimau Siberia yang kini sudah tidak ada di negara-negara itu. Tetapi Vietnam mempunyai harimau yang dikenali sebagai Harimau Indochina. Dengan nama subspesiesnya Panthera tigris corbetti. Ia berada di kawasan Indochina iaitu Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand dan Myanmar. Ia juga ada kalanya dikesan di China.
    Maka apabila Vietnam menyambut Tahun Baru, maka harimau yang menjadi rujukannya ialah Harimau Indochina ini.
    Rujukan
    Tetapi bagi dunia Barat, apabila disebut harimau, sering kali rujukannya adalah Harimau Benggala atau dikenali sebagai Royal Bengal Tiger yang banyak terdapat di India. Oleh kerana Britain pernah menjajah India, maka harimau inilah yang menjadi rujukan dunia Barat. Subspesies yang dikenali sebagai Panthera tigris tigris ini adalah yang paling banyak ada di dunia.
    Walaupun India mempunyai harimau paling banyak dan China menjadikan harimau sebagai salah satu daripada haiwan zodiaknya tetapi hanya Malaysia yang menjadikan harimau sebagai haiwan nasional. Ini kerana hanya Malaysia yang menjadikan dua ekor harimau sebagai sebahagian daripada jata negara.
    Sememangnya harimau begitu rapat dengan psiki orang Melayu. Harimau yang ada di Malaysia ini dinamakan Harimau Malaya dengan nama subspesiesnya ialah Panthera tigris jacksoni.
    Inilah sebenarnya Harimau Melayu dan atas sebab itu ketika merekabentuk jata negeri bagi Johor maka dipilihnya harimau sebagai haiwan untuk melambangkan negeri. Johor merupakan negeri pertama yang mempunyai jati negeri sendiri di Tanah Melayu untuk menunjukkan bahawa ia sebuah negeri berdaulat ketika mula Britain mengukuhkan kekuasaannya ke atas negeri-negeri Melayu.
    Warna belang harimau iaitu kuning dan hitam juga dijadikan warna negeri-negeri Perak dan Negeri Sembilan. Maka warna ini juga merupakan latar kepada Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang ditaja penjajah Britain.
    Untuk menunjukkan lagi kepentingan harimau, pihak berkuasa Britain menjadinya lambang Keretapi Tanah Melayu. Pengangkutan keretapi merupakan sistem penting dalam mengukuhkan penjajahan dan pentadbiran British ke atas negeri-negeri Melayu.
    Harimau juga dijadikan lambang Malayan Film Unit pada tahun 1946. Unit ini sekarang menjadi Filem Negara Malaysia. Dengan adanya lambang harimau, ia meletakkan kepentingan kedua-dua institusi itu dalam kehidupan bernegara Malaysia.
    Maka apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan, maka sudah tentu dua ekor harimau dipilih sebagai lambang pada jata negara. Begitu juga dengan Malaysia apabila ia dibentuk.
    Singapura pula mengambil seekor harimau untuk diletakkan pada jata negaranya bagi melambangkan hubungan pulau itu dengan Malaya.
    Walaupun apa jua kepercayaan orang Cina terhadap Tahun Harimau, tetapi bagi negara yang menjadikan harimau sebagai lambangnya, maka tahun harimau adalah tahun Malaysia.
    Seperti kata Balai Seni Lukis Negara dalam kad Tahun Baru Cinanya: Ngaum bergaung, cakar berbisa, menang bertarung, lintas terasa... itulah Resam Harimau.
         

    Realiti kemiskinan di India

    AKIBAT kemiskinan kanak-kanak ini terpaksa bekerja mengutip kotak dan barangan plastik untuk sesuap nasi. 
     
     
     
     
     
     TAHUN lepas kita dikejutkan dengan keupayaan filem Slumdog Millionaire menggondol lapan anugerah di Anugerah Academy termasuklah filem terbaik dan pengarah terbaik. Filem tersebut benar-benar memberi impak besar kepada dunia perfileman serta kebanyakan penduduk dunia kerana ia membuktikan keupayaan bakat Asia menonjol di Hollywood.
    Selain itu ia turut merubah pandangan bahawa filem membabitkan India tidak semestinya hanya melibatkan tarian dan nyanyian saja.
    Namun dari sudut lain pula ini sebenarnya mendedahkan realiti yang berlaku dalam kehidupan majoriti rakyatnya. Realitinya kemiskinan dan kemelaratan adalah satu perkara yang amat sinonim dengan kehidupan penduduknya. Namun begitu di mana-mana sudut dunia orang ramai semakin galak menyatakan tentang kebangkitan negara India sebagai sebuah kuasa ekonomi baru dunia. Perkara itu memang benar dan kita boleh lihat sendiri perubahan yang telah berlaku di sana berbanding 15 atau 20 tahun lepas.
    Di India sahaja 57 rakyatnya tersenarai dalam golongan bilionair yang juga senarai paling ramai di Asia. Dua orang warganya iaitu Mukesh Ambani yang menguasai Reliance Industries dan Lakshmi Mittal, pemilik antara syarikat besi terbesar dunia Arcelor Mittal menduduki tempat ketujuh dan kelapan dalam senarai manusia terkaya dunia.
    Malah dijangkakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang rakyat India akan meminggirkan warga AS dalam senarai 10 orang terkaya dunia. Pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan di India kini antara yang tertinggi pada kadar sembilan peratus setahun dengan 350 juta rakyatnya tergolong dalam kelompok masyarakat kelas menengah.
    Semua kekayaan ini adalah hasil dari dasar liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada sekitar tahun 90-an.
    Namun selepas peningkatan ekonomi yang memuncak ditambah pula dengan jumlah bilionair teramai di Asia masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup masih lagi di takuk lama. Kebuluran, taraf hidup yang rendah, masalah sosial yang meruncing, tahap kesihatan yang sangat menyedihkan merupakan antara masalah lama yang masih dihadapi warganya.
    Hakikatnya lebih dua pertiga daripada lebih 1.2 bilion penduduknya adalah miskin.
    mengemis
    Kemiskinan dan hidup melarat masih menjadi satu pemandangan biasa dalam kehidupan jutaan rakyatnya. Kehidupan anak gelandangan yang terpaksa mengemis kepada setiap orang yang lalu lalang adalah satu perkara biasa. Setiap hari apabila malam semakin lewat maka golongan pengemis juga bertebaran memenuhi kawasan seperti di bawah jambatan dan tepi-tepi jalan untuk mencari tempat melelapkan mata sementara menunggu hari kembali cerah keesokannya.
    Itulah hakikat kehidupan sebenar yang menghantui penduduknya. Semua ini di sebalik kekayaan yang semakin melimpah ruah, kehidupan rakyat miskinnya tidak pernah berubah. Yang bertambah hanyalah kekayaan yang dimiliki oleh golongan kaya. Namun si miskin tetap dengan kehidupan melarat mereka. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang malah ada kalangan mereka yang tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan. Masalah ini bertambah teruk dengan pertambahan penduduk yang tidak dibendung.
    Berdasarkan standard Bank Dunia, taraf kemiskinan diukur jika pendapatan yang diperolehi adalah kurang dari AS$2 (RM7.20) sehari.
    Malah berdasarkan anggaran kerajaan pada 2007 seramai 220.1 juta penduduknya hidup melarat akibat hidup di bawah paras kemiskinan.
    Seramai 21.1 peratus dari keseluruhan penduduknya di kampung manakala 15 peratus penduduk bandarnya pula hidup dalam kesempitan dan kemiskinan melampau.
    Menambahkan lagi kekusutan, pembahagian kekayaan antara negeri-negeri juga tidak sama rata. Negeri seperti Delhi dan Punjab mempunyai jumlah populasi kemiskinan yang sangat kurang berbanding negeri-negeri seperti Bihar dan Orissa. Lebih 50 peratus rakyat di negeri ini hidup di bawah paras kemiskinan.
    Jumlah kemiskinan juga adalah sangat berbeza antara penduduk di luar dan dalam bandar.
    bergantung
    Masalah kemiskinan di India banyak disumbangkan oleh penduduk di luar bandar akibat terlalu bergantung kepada sumber pertanian. Maka faktor cuaca seperti kekurangan hujan dan sebagainya sangat mempengaruhi kehidupan harian mereka.
    Maka tidak menghairankan lebih 150,000 petani di India membunuh diri dalam tempoh satu dekad lepas akibat dihimpit kemiskinan.
    Namun masalah utama kemiskinan mereka pastinya kerana kedudukan kasta yang memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ini kerana akibat berasal dari kasta rendah maka tidak menghairankan kebanyakan mereka tidak menikmati kemudahan awam seperti hospital dan sekolah.
    Akibat dari kemiskinan yang melampau di kawasan luar bandar maka kebanyakan mereka ini mencuba untuk mencari kehidupan yang lebih baik dengan berhijrah ke bandar.
    Biarpun India kini menduduki tempat keempat ekonomi terbesar dunia dari sudut kuasa beli dan ke-12 terbesar bagi pertukaran mata wang, ternyata reformasi ekonomi di negara itu gagal melimpahkan manfaatnya kepada penduduk terutama di luar bandar.
    Maka kita boleh lihat penghijrahan rakyat India ke negara-negara lain telah menjadi amalan berterusan sejak dahulu. Malah ia berterusan sehingga ke hari ini. Oleh itu adalah perkara biasa untuk melihat wajah-wajah keturunan India walau di mana pun kita berada.
    Menyedari hakikat ini adalah penting untuk kita mensyukuri semua nikmat dan kekayaan yang terdapat di negara ini walaupun mungkin tidak semewah yang dikaut oleh golongan billionair di India. Namun yang pasti nikmat ini dikongsi bersama secara adil dan saksama oleh semua kaum tanpa perlu ada sebarang prasangka.
       
     

    Bas amfibia ganti feri


    Bas amfibia ini juga boleh digunakan di atas darat.


    PERKHIDMATAN feri yang sekian lama menghubungkan antara dua kawasan yang dipisahkan oleh sungai merupakan satu pemandangan biasa di mana-mana negara. Malah di negara ini perkhidmatan feri paling popular menghubungkan antara terminal feri Pulau Pinang di Butterworth ke terminal feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay di George Town. Tetapi bagaimana jika pemandangan ini digantikan dengan perkhidmatan bas yang mampu menyeberangi sungai-sungai.
    Mungkin dilihat agak mustahil tetapi itulah yang berlaku di Glasgow, Scotland apabila perkhidmatan ini yang dikenali sebagai bas amfibia bakal digunakan bagi menggantikan perkidmatan feri.
    Bas amfibia dipilih untuk menggantikan feri yang terpaksa ditamatkan perkhidmatan bulan depan kerana syarikat yang menguruskannya Strathclyde Partnership for Transport tidak mampu lagi menanggung kerugian serta untuk menjimatkan kos.
    Perkhidmatan bas amfibia setingkat ini dilihat mampu mengembalikan kegemilangan feri menghubungkan Renfrew dan Yonker yang telah berjasa selama lebih 500 tahun.
    Bas Amfibia yang berharga 700,000 pound sterling (RM3.8 juta ) yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat Belanda mampu membawa penumpang seramai 50 orang pada satu-satu masa.
    Sehingga kini teknologi bas amfibia masih belum pernah digunakan untuk tujuan pengangkutan utama tetapi teknologi ini pernah digunakan untuk tujuan promosi dan pelancongan.
    Menurut syarikat yang menguruskan perkhidmatan ini Stagecoach, bas amfibia ini telah dipandu uji di Rotterdam dan ia telah berjaya mencapai piawaian yang dikehendaki.
    Bas ini juga telah digunakan dalam satu projek bersama dengan syarikat New York Waterways yang menggunakan bas amfibia untuk tujuan pelancongan di Sungai Hudson di New York.
    Apa yang membuatkan bas ini berbeza ialah ia akan digunakan atas kapasiti harian dan pelancongan selain boleh digunakan di atas darat.
    Namun perkara yang tidak diingini berlaku ketika uji pandu bas baru-baru ini apabila ia didapati rosak secara tiba-tiba.
    Percubaan
    Dalam ujian percubaan selama dua hari itu, bas berkenaan didapati rosak pada bahagian suspensi pada hari kedua.
    Namun para jurutera berjaya membaikpulih kerosakan dan ujian percubaan berjaya disambung semula beberapa hari kemudian.
    Menurut jurucakap Stagecoach, Steve Stewart, bas berkenaan telah menjalani ujian pergi balik seperti yang dikehendaki tetapi sistem suspensi membabitkan beg udara tiba-tiba meletup.
    "Pihak kami menerima kejadian ini sebagai masalah teknikal yang perlu dihadapi ketika proses pemeriksaan. Ini adalah cabaran biasa yang perlu dihadapi," kata Stewart.
    Berdasarkan casis badan bas amfibia tersebut ia menggunakan enjin jet air berkembar yang boleh mencapai kelajuan lapan batu nautika sejam ketika di dalam air dengan menggunakan rangka sebuah bas biasa ketika di atas darat.
    Namun bagi Stewart bas amfibia ini mempunyai potensi yang sangat cerah untuk dikembangkan.
    "Perkhidmatan bas ini sangat sesuai untuk menghubungkan dua kawasan yang terpisah oleh sungai dan pada masa sama anda boleh menikmati pemandangan indah ketika menyusuri sungai," katanya.
    Mungkin sudah tiba masanya bagi pihak yang berkenaan di negara ini untuk melihat sama ada penggunaan bas amfibia sebagai alat pengangkutan yang boleh dieksploitasi atas tujuan perhubungan mahupun pelancongan.
    Mungkin harganya mahal dan kos penyelenggaraan tinggi tetapi dari jangka masa panjang ia mampu menggalakkan pelancongan di negara ini.
       

    Buku di pantai Bondi



    PENGUNJUNG pantai menikmati bacaan percuma di tepi pantai.



    BAGI mereka yang berkunjung ke Australia tidak sah pemergian mereka jika tidak mengunjungi pantai Bondi yang terkenal dengan keindahan pantai selain menjadi tumpuan bagi penggemar sukan papan luncur. Terletak di selatan Sydney, pantai Bondi sememangnya terkenal di kalangan pelancong tempatan mahupun asing.
    Pelbagai kemudahan lain dari hotel bertaraf lima bintang hinggalah hostel budget disediakan. Pelbagai aktiviti menarik juga boleh diterokai antaranya melawat tapak orang asli yang terletak berhampiran dimana lukisan dan ukiran terawal mengenai kehidupan mereka boleh ditemui.
    Selain itu terdapat tapak untuk sukan ekstrem seperti luncur roda, basikal dan skate board. Juga terdapat kawasan bersiaran di sepanjang pantai untuk pengunjung menikmati pemandangan indah terutama ketika matahari terbenam. Ternyata pantai Bondi adalah kawasan yang sesuai untuk mereka yang mahu melarikan diri untuk sementara waktu dari tekanan kerja dan hidup.
    Tumpuan
    Namun begitu di sebalik keasyikan pengunjungnya menikmati pemandangan indah pantainya yang memutih, tiba-tiba pantainya menjadi tumpuan para penggemar buku.
    Ini kerana pada 5 Februari lepas pantai ini yang sentiasa penuh dengan pengunjung telah ditempatkan 30 rak buku.
    Kesemua rak buku berkenaan telah disumbangkan oleh pembuat perabot dan barangan hiasan rumah terbesar dunia, Ikea. Projek tersebut yang berlangsung selama sehari merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 Ikea, yang ditubuhkan di Sweden oleh Ingvar Kamprad pada 1943.
    Rak-rak tersebut menempatkan beberapa ribu naskhah buku untuk bacaan percuma para pengunjung pantai Bondi.
    Mereka juga boleh menukar buku secara percuma selain menderma untuk sebuah yayasan celik huruf The Australian Literacy & Numeracy Foundation pada hari berkenaan.
    Susunan rak buku itu juga mencatat sejarah sebagai susunan rak buku di luar bangunan terpanjang di dunia. Susunan rak buku berwarna merah itu sememangnya satu perkara dalam usaha menarik orang membaca di Australia.
    Malah dalam meraikan usia 30 tahun kewujudan IKEA, ia pastinya dinilai sebagai satu usaha murni kepada masyarakat dalam memupuk semangat membaca.
    Mungkin usaha ini perlu diteruskan dari hanya diadakan untuk tempoh waktu yang singkat sebegini pada masa depan. Ini kerana selain sebagai tempat untuk berehat dan beriadah orang ramai juga perlu dikembangkan pemikiran mereka dengan semangat membaca walaupun ketika berada di kawasan pantai.

    Signifikan tahun harimau


    TAHUN harimau bukan sekadar lambang keberanian tetapi satu pengharapan yang optimis.


    BAGI masyarakat Cina, Tahun Harimau yang bakal disambut bersempena Tahun Baru Cina hari ini bukan sekadar menunjukkan lambang keberanian tetapi lebih daripada itu.
    Bagi mereka ia lebih daripada satu pengharapan yang optimis.
    Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar lunar Cina. Kalendar lunar Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.
    Kalendar lunar Cina merupakan kalendar yang tertua di dunia, digunakan sejak 2600 sebelum masihi. Penggunaan kalendar ini telah diperkenalkan oleh maharaja Huang Ti. Bersamaan dengan kalendar barat, kalendar lunar Cina juga berasaskan pusingan tahunan yang mana permulaan tahun dimula berdasarkan pusingan bulan. Oleh sebab itu, permulaan tahun bagi kalendar Cina jatuh di sekitar bulan Januari dan Februari.
    Satu putaran lengkap bulan mengelilingi bumi memakan masa selama 60 tahun dan terdiri daripada 5 putaran yang setiap satunya memakan masa selama 12 tahun. Kalendar lunar Cina menamakan setiap tahun berdasarkan 12 binatang.
    Haiwan-haiwan itu terdiri daripada harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, kera, ayam, anjing, khinzir, tikus dan lembu.
    Masyarakat Cina percaya bahawa setiap manusia yang lahir mempunyai pengaruh terhadap personaliti dan sikap berdasarkan binatang yang dinamakan pada tahun manusia tersebut dilahirkan.
    Dari 12 ikon haiwan yang dinyatakan harimau merupakan binatang yang terkenal ganas, mudah marah dan tiada rasa takut terhadap lawan. Ia sering melakukan serangan yang membabi-buta demi melampiaskan hasratnya.
    Ramalan mengatakan Tahun Harimau yang berelemenkan logam akan mengundang suasana 'keras' dan sukar untuk menghadapinya.
    Menurut ramalan, Tahun Harimau merupakan tahun yang mengalami berbagai masalah besar dan banyak terjadi persaingan yang tidak sihat, baik di bidang ekonomi, politik dan hukum alam. Oleh itu siapa pandai maka dia yang akan terselamat.
    Di sebalik kegawatan ekonomi yang melanda kebanyakan negara di dunia, kaum Cina yakin semangat dan kebangkitan ekonomi akan pulih sehebat semangat harimau yang sering berjaya apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran.
    Adalah lumrah bagi manusia mengejar wang ringgit walau dengan apa cara sekali pun. Maka anda dinasihatkan berhati-hati kerana segalanya seperti tiada kepastian kerana ia didorong atas dasar mengejar nikmat semata. Dinasihatkan agar tidak melakukan bisnes yang banyak spekulasi, sebaliknya sentiasa bersyukur.
    Dikhabarkan juga, pada Tahun Harimau ini juga keadaan politik semakin panas. Cantas mencantas menjadi amalan. Bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh serta kemalangan pengangkutan menelan korban yang ramai.
    Asal usul
    Menurut asal-usul perayaan Tahun Baru Cina berasal dari seekor raksasa yang bernama, 'Nian' atau yang bermaksud 'tahun' dalam bahasa Melayu yang sering mencari mangsa pada malam sebelum tahun baru bermula.
    Ketika itu manusia sangat takut akan raksasa ini. Pada satu hari, kebun buluh yang berdekatan kampung terbakar yang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat seperti mercun. Ini telah menakutkan raksasa itu mengakibatkan a tidak berani untuk pergi berdekatan kampung itu.
    Selain itu orang-orang tua juga berpesan supaya menggantungkan kertas berwarna merah di pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah mereka pada setiap waktu menjelangnya tahun baru, bagi mengelakkan raksasa Nian mengganas semula. Warna merah sangat ditakuti oleh Nian, dan mampu menghalau raksasa itu.
    Seperti yang kita sedia maklum amalan bermain mercun dan menggantung kertas merah masih diteruskan hingga hari ini, walaupun ada di antara masyarakat muda-mudi Cina tidak tahu tujuan sebenar amal tersebut dilakukan.
    Namun hakikatnya Tahun Baru Cina melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang.
    Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki. Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, kuih pulut dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.
    Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, Ia ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei. Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan.
    Menariknya Tahun Baru Cina di negara ini diraikan oleh semua kaum yang berbilang bangsa. Agama bukanlah halangan untuk kita mengeratkan silaturrahim antara pelbagai bangsa dan kaum di negara ini. Keunikan sebegini yang membuatkan negara ini dihormati dan dicemburui oleh rakyat dan negara asing.

    Layang-layang untuk pancing kelawar

    kelawar







    KANAK-KANAK yang dibawa ibu bapa turut belajar membuat dan melukis layang-layang di Muzium Layang-layang. 
     
     
     
     
     
     
    MUNGKIN bagi kebanyakan orang layang-layang merupakan permainan khusus untuk kanak-kanak pada masa lapang atau bagi layang-layang tradisional pula ia merupakan satu bentuk hasil seni yang hanya dikuasai oleh generasi lama.
    Namun di Indonesia layang-layang memainkan peranan besar dalam kehidupan dan juga berkait rapat dengan pelbagai kepercayaan mistik.
    Layang-layang turut digunakan bagi memancing ikan dan kelawar.
    Ia dibuat dengan ciri-ciri khas pula dikaitkan dengan pemujaan semangat padi yang dimainkan selepas musim penuaian. Manakala layang-layang diletakkan patung dewa serta dewi dikaitkan dengan pemujaan di Bali.
    Ada juga layang-layang yang diperbuat daripada daun dan kulit batang pisang dan ia merupakan teknik lama yang sukar ditemui orang yang mahir.
    Jika mahu melihat layang-layang berkenaan memang bukan perkara mudah kerana pembuatan dan aktiviti sedemikian tersebar di seluruh Indonesia yang merupakan sebuah negara ribuan pulau.
    Memancing ikan todak menggunakan layang-layang dilakukan oleh nelayan di Lampung, Sumatera, manakala memancing kelawar menggunakan layang-layang dilakukan oleh penduduk di persisiran pantai di Jawa Barat.
    Kelawar yang ditangkap digunakan untuk perubatan khususnya untuk mengubati penyakit berkait masalah pernafasan.
    Oleh itu jika mahu melihat daripada layang-layang untuk memancing ikan dan kelawar hingga layang-layang untuk pemujaan semuanya dipamer di Muzium Layang-layang yang terletak di Pondok Labu, Jakarta Selatan.
    Di muzium tersebut terdapat kira-kira 400 koleksi layang-layang bukan sahaja dibuat di Indonesia, bahkan dari seluruh dunia termasuk Wau Bulan yang dibuat Kelantan, Malaysia.
    Lebih unik lagi muzium layang-layang itu merupakan milik peribadi dan pemiliknya merupakan seorang pakar kecantikan yang akhir jatuh cinta kepada pembuatan layang-layang dan kini mengabdikan seluruh hidupnya kepada aktiviti yang disukainya.
    Berminat
    Muzium berkenaan yang dibuka kira-kira tujuh tahun lalu itu terletak di kawasan rumahnya di Jalan H. Kamang No.38 dan orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang www.museum-layang.com.
    Ini adalah kerana sukar untuk mencari lokasi muzium berkenaan yang terletak di kawasan perumahan yang padat di Pondok Labu.
    Jika pengunjung bernasib baik mereka berpeluang bertemu dengan pemilik muzium berkenaan, Endang yang berusia 59 tahun dan dapat berbual-bual dengan beliau yang cukup mesra serta tidak lokek untuk menceritakan pengalamannya.
    Endang yang kelihatan lebih muda daripada usianya itu mengakui aktiviti bermain layang-layang yang kini menjadi kerja sepenuh masanya yang cukup memberi ketenangan kepada dirinya.
    Selain untuk aktiviti riadah, layang-layang yang dihasilkan turut dijual daripada yang berharga RM15 hingga yang berharga RM1,500 sebuah.
    Ibu kepada tiga orang anak dan nenek kepada empat orang cucu itu berkata, dia mempelajari membuat layang-layang sejak tahun 1985.
    Sejak itu rumahnya dipenuhi dengan layang-layang dan bertitik-tolak daripada itu dia mula memikirkan untuk membuka muzium layang-layang sendiri.
    Berikutan itu dia membeli sebuah rumah lama yang mahu dijual dan dibongkar serta dipindah ke kawasan rumahnya di Pondok Labu dan sehingga kini ia kekal menjadi muzium utama.
    Di muzium itu juga dipamerkan daripada layang-layang yang paling kecil iaitu 2 sentimeter hingga layang-layang yang bersaiz gergasi iaitu 9 x 26 meter.
    Dengan pengalaman yang ada Endang turut membantu Jabatan Pendidikan bagi melatih belia yang berminat dalam pembuatan layang-layang yang turut diadakan di kawasan rumahnya.
    Selain itu beliau dan pekerjanya yang terlatih juga turut mengajar membuat layang-layang kepada kanak-kanak yang datang pada hujung minggu bersama keluarga. Selain layang-layang terdapat juga kemahiran lain diajar termasuk membuat barangan seramik.
    Pengunjung muzium itu dikenakan bayaran kira-kira RM4 dan dimulakan tontonan video tentang permainan layang-layang di Indonesia dan di seluruh dunia.
    Selepas itu barulah dibawa melawat muzium dan bagi mereka berminat untuk belajar kemahiran ia dikenakan bayaran berasingan iaitu antara RM5 hingga RM20.
    Di Jakarta sebenarnya memang terlalu banyak muzium yang dianggarkan berjumlah ratusan termasuk yang milik kerajaan dan individu. Antara muzium peribadi pula adalah Muzium Harry Dharsono di Cilandak, Muzium Akili of Art di Kedoya, Jakarta Barat, Muzium di Tengah Kebun di Kemang Timur, Jakarta Selatan dan Muzium Martha Tilaar di Pulo Gadung.
    Banyaknya jumlah muzium itu telah memperkayakan lagi khazanah muzium di Jakarta dan ia bukan sahaja terletak di bawah usaha kerajaan semata-mata.
     
     
     
     

    Lebuh raya sesak, ramai pulang bercuti

     
    DERETAN kenderaan yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas berdekatan Hentian Puduraya sepanjang tiga kilometer ekoran ramai yang pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina, semalam.
     
     
     
     
     
     
     
     


    KUALA LUMPUR 13 Feb. - Beberapa batang lebuh raya menghala ke utara dan selatan tanah air sesak dengan kenderaan berikutan ramai warga kota mengambil kesempatan pulang bercuti ke kampung halaman masing-masing sempena cuti panjang Tahun Baru Cina ini.
    Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS Expressways Berhad (PLUS), Khalilah Mohd. Talha berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu telah mengakibatkan kesesakan berlaku di lokasi tertentu lebuh raya di bawah kendalian PLUS.
    "Kita mendapat laporan, kesesakan ke arah utara berlaku di persimpangan masuk ke Putra Mahkota menghala ke Seremban.
    "Lebuh raya menghala ke utara pula, kesesakan berlaku di Rawang menghala ke Bukit Beruntung dan Slim River hingga ke Simpang Pulai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
    Khalilah berkata, kesesakan yang berlaku di Slim River hingga Simpang Pulai dikesan berpunca akibat hujan lebat serta pengurangan daripada tiga kepada dua lorong.

    Kurikulum baru BI diperkenal 2011


    MUHYIDDIN Yassin bersama pelajar yang menghidap penyakit kerapuhan tulang, Siti Nurfarah Hanim Azman, 13, yang didukung bapanya, Azman Mohamad selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sempena Program Juara Rakyat di Dewan Majlis Daerah Besut, Terengganu, semalam.


    BESUT 13 Feb. - Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kurikulum baru Bahasa Inggeris dalam usaha memantap dan memperkasakan pembelajaran dan pengajaran bahasa itu di semua sekolah seluruh negara mulai tahun depan.
    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, pihaknya telah menyiapkan kurikulum baru itu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk dari segi penggunaan Bahasa Inggeris British bagi memastikan impian menjadi suatu realiti.
    Katanya, langkah itu sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran yang mahu memastikan semua pelajar di negara ini mampu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa selain Bahasa Melayu.
    '' Kurikulum baru itu amat menarik dan memenuhi cita rasa pelajar apabila diperkenalkan bagi membolehkan mereka mampu berkomunikasi dan menggunakan bahasa antarabangsa itu secara meluas.
    ''Ia akan diguna pakai tahun depan untuk murid tahun satu dengan konsep yang digunakan lebih kepada pembelajaran secara interaktif (fun learning) seperti penggunaan seni bahasa (Language Arts), tata bahasa, penggunaan sebutan dan pertuturan secara betul," katanya.
    Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyatakan demikian selepas merasmikan Program Juara Rakyat Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong,Jerteh dekat sini, hari ini.
    Hadir sama Menteri Besar Datuk Ahmad Said, Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh, wakil rakyat dan pemimpin pelbagai peringkat.
    Dalam majlis itu Muhyiddin meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Sekolah Menengah Imtiaz dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud bagi membolehkan sekolah itu menjadi peneraju dalam mencipta kejayaan dalam pelajaran.
    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sejajar dengan usaha itu, Kementerian Pelajaran juga akan mengambil 365 guru pakar Bahasa Inggeris dari luar negara bagi membolehkan mereka mengajar dan mendidik guru Bahasa Inggeris sedia ada di negara ini.
    Beliau berkata, langkah itu adalah ke arah memastikan proses pengajaran bahasa antarabangsa tersebut berjalan lancar.
    Katanya, penempatan mereka dibuat secara kontrak bagi membolehkan usaha secara terancang dapat dilakukan.
    ''Selain penempatan guru pakar, guru sedia ada di negara ini juga akan dilatih dengan pelbagai insentif dan galakan. Melalui tindakan demikian ia bakal menjadi suatu rangsangan untuk melakukan sesuatu ke arah yang lebih baik," katanya.

    Carian pintas artikel blog ini

    Blog lain

    Arkib Blog

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails

    Photobucket