
Tambahan lagi jika ia hanya berasaskan sayur-sayuran, pasti ramai yang berfikir dua kali sebelum memilihnya.
Berkunjung ke Woods Macrobiotics yang terletak di Bangsar akan mengubah tanggapan anda mengenai makanan sihat. Restoran berasaskan produk sayur-sayuran dan organik ini bukan sahaja menyediakan makanan berkhasiat malah tidak mengecewakan dari segi rasa dan persembahan.
Diasaskan oleh June Ka Lim sejak 1993, restoran ini menyajikan hidangan berasaskan konsep macrobiotic tanpa bahan perasa kimia, bahan pengawet, pewarna tiruan, MSG, gula proses, tepung dan beras putih, telur, daging serta produk tenusu.
"Saya percaya kehidupan kita sangat berkait rapat dengan alam sekitar. Jadi, persekitaran yang sihat menjadikan tubuh badan kita sihat, begitu juga melalui pengambilan makanan yang sihat," kata pakar pemakanan holistik ini.
June yang juga pencinta alam sekitar menyatakan macrobiotic adalah terma Greek yang bermaksud diet untuk hidup lebih lama berdasarkan keseimbangan holistik badan, minda dan jiwa.
Konsep yang dipercayai berusia lebih 5,000 tahun itu mula diperkenalkan oleh pengamal Jepun yang turut dipengaruhi oleh perubatan Cina purba.
Kini, ia diamalkan di serata dunia termasuk benua Asia, Amerika, Eropah, Afrika, Asia Barat dan negara-negara Mediterranean.
Kesemua sajian yang dihidangkan hampir kepada menu Jepun, namun June menambah beberapa stail tempatan untuk disesuaikan dengan selera masyarakat negara ini.
Sempena Tahun Baru Cina yang jatuh hari ini, Woods Macrobiotics menyediakan tiga set hidangan istimewa iaitu Harmony (keharmonian), Bliss (kegembiraan) dan Equilibrium (keseimbangan).
Penulis diberi peluang mencuba set C yang terdiri daripada hidangan tujuh menu. Dimulakan dengan pembuka selera Olive Rosemary Crostini yang digandingkan dengan otak-otak tauhu, memang terasa kelainan kerana gabungan Barat dan tempatannya.
Kemudian salad Loh Sang bagi menggantikan hidangan popular Tahun Baru Cina, Yee Sang. Diikuti hidangan sayur sawi boy choy dengan sos perang dan serpihan badam. Kepingan fucuk dengan sos ceri tomato juga tidak menghampakan. Rasanya seperti isi ikan yang enak.
Seterusnya, kacang buncis goreng bersama biji pain dan bijan. June berkata, untuk menghasilkan rasa yang enak, beliau menggunakan serbuk dashi ekstrak tumbuh-tumbuhan menggantikan bahan perasa tiruan. Kerana itu rasanya enak dan asli.
Hidangan keenam, cendawan shiitake yang dibungkus dalam daun buluh ala nyonya terasa pedasnya. Akhir sekali hidangan mi arang dengan serpihan tauhu dan sayur campur. Set ini berharga RM122 untuk dua orang, RM299 (6 orang) dan RM388 (10 orang).
Selain restoran, terdapat kedai menjual barangan organik di sebelah.
Restoran ini kembali beroperasi selepas cuti tahun baru Cina pada 19 Februari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan