Selamat datang

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Bumi terus berdepan ancaman

Copenhagen menjadi tumpuan dunia dari 7 hingga 18 Disember lalu apabila Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan di ibu negara Denmark ini.
Bandar raya ini dijangka melakar sejarah apabila satu keputusan penting dibuat berhubung tindakan menyelamatkan bumi daripada ancaman pemanasan global. Namun malangnya ia berakhir dengan kegagalan. Tiada sebarang perjanjian dimeterai dan tiada deklarasi dikeluarkan.
Walaupun pada saat-saat akhir, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berjaya mendapatkan sokongan China, India, Brazil dan Afrika Selatan, terhadap cadangan-cadangannya, setelah tetapi ia tidak cukup untuk menarik sokongan semua negara bagi menandatangani perjanjian yang konkrit.
Beberapa negara membangun terutamanya Venezuela, Cuba, Sudan dan Bolivia menentang cadangan AS itu dan menyifatkannya sebagai tidak dapat diterima kerana ia tidak menetapkan sasaran spesifik jumlah pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Namun walaupun gagal mencipta sejarah, sekurang-kurangnya Copenhagen berjaya membuka mata tentang bahaya perubahan iklim kepada bumi dan kehidupan manusia.
Ia juga dilihat menjadi forum penting bagi negara-negara di dunia bergerak ke depan, setelah AS kini tidak lagi memulaukan usaha untuk menangani masalah perubahan iklim berbanding sebelum ini, setelah ia enggan menandatangani Protokol Kyoto 1997.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut menghadiri persidangan itu juga tidak meletakkan harapan tinggi bahawa dunia akan mencapai satu perjanjian teguh. Tetapi kata beliau, sekurang-kurangnya persidangan itu berjaya mencapai satu komitmen politik, terutama negara maju dan penyumbang terbesar karbon.
Najib yakin Copenhagen akan menjadi batu loncatan bagi mengadakan perbincangan susulan ke arah mengadakan satu perjanjian yang konkrit, setelah Protokol Kyoto dijangka tamat pada 2012.
Jerman pada akhir persidangan itu mengumumkan untuk mengadakan satu lagi sidang kemuncak dalam tempoh enam bulan bagi merangka teks perjanjian berkenaan.
Perubahan iklim tercetus akibat fenomena pemanasan global secara berterusan berikutan pelepasan gas rumah hijau ke udara ekoran aktiviti pembangunan dan ekonomi terutama oleh negara-negara maju.
Akibat perubahan iklim ini, bumi berhadapan dengan ancaman peningkatan paras air laut, kemarau, banjir, taufan, kebakaran hutan, glasier yang cepat mencair, bungkah ais di Artik dan Antartika pecah, sistem ekologi terganggu dan spesies binatang serta tumbuh-tumbuhan musnah.
Jika fenomena ini tidak ditangani segera negara-negara pulau seperti Maldives dan Botswana serta bandar-bandar di pinggir pantai seperti Venice akan tenggelam dan negara seperti Nepal akan ditimbus glasier yang runtuh dari Pergunungan Himalaya.
Pada masa inipun sudah kerap berlaku kebakaran hutan di Eropah, AS dan Australia dan bencana alam ini pasti akan menjejaskan ekonomi banyak negara di dunia.
Isu pemanasan global menjadi perbincangan hangat sejak lebih tiga dekad lalu, tetapi hanya selepas Sidang Kemuncak Bumi di Rio dan Protokol Kyoto pada 1997, barulah isu itu mendapat perhatian serius dunia.
Bagaimanapun, setakat ini tidak ada satu tindakan serius dan tegas diambil untuk menanganinya. Kebanyakannya sekadar kenyataan dan janji-janji di atas kertas.
Perbincangan demi perbincangan diadakan termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Bali dua tahun lalu. Tetapi kebanyakan negara, terutama yang bertaraf maju enggan memberi komitmen.
Sehubungan itu, persidangan di Copenhagen ini dianggap sebagai persimpangan penting bagi membuat keputusan secara kolektif untuk menyusun tindakan berkesan ke arah membendung gejala itu.
Sebenarnya, kegagalan di Copenhagen ini sudah mula dirasai sejak awal lagi semasa mesyuarat peringkat perunding, pegawai dan menteri setelah berlaku perbalahan dan perbezaan pandangan yang begitu ketara di kalangan perwakilan.
Walaupun cuaca di luar sangat sejuk, tetapi suasana dalam dewan di Bella Centre tempat berlangsungnya persidangan itu terasa begitu 'panas' dengan perwakilan 'berperang' membahaskan isu pemanasan global.
Pada hari pertama pemimpin dan ketua-ketua kerajaan mula menyampaikan ucapan bagi menyatakan pendirian negara masingmasing, suhu di luar dewan mula mencecah di bawah paras negatif 5 darjah Celsius dengan salji turun memenuhi jalan-jalan raya.
'Bahang' panas perbincangan boleh dirasai ke seluruh dunia apabila penduduk mengadakan demonstrasi menuntut para pemimpin memberi komitmen untuk menjayakan persidangan itu.
Di Copenhagen sendiri lebih 20,000 penduduk berarak dan berkumpul di Bella Centre bagi menuntut komitmen pemimpin-pemimpin dunia untuk menyelamat bumi daripada kegawatan pemanasan global.
Perdana Menteri sendiri terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Copenhagen menuju ke hotel penginapan di Hotel First St Pitri pada 16 Disember berikutan tunjuk perasaan di bandar raya ini.
Kemuncak persidangan ini bermula pada 17 Disember apabila 120 pemimpin dunia termasuk Obama dan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd yang pada mula dijadual tidak akan menghadiri persidangan itu mula berucap menyampaikan pendirian negara.
Ketika ini AS masih mengungguli rekod sebagai penyumbang gas rumah hijau terbesar di dunia diikuti China, negara membangun yang sedang berkembang pesat.
Obama ketika berdiri di podium telah mengumumkan kesediaan AS untuk menyumbangkan sebanyak AS$10 bilion setahun sehingga 2012 dan sebanyak AS$100 bilion setahun selepas tempoh itu sehingga 2020 bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Bagaimanapun Obama berkata, bantuan itu hanya diberikan sekiranya negara-negara membangun bersedia melaksanakan pelan tindakan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, mengamalkan ketelusan bagi membolehkan laporan dan data berhubung tindakan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka diteliti serta menyediakan bantuan kewangan untuk tujuan tersebut.
Jika sebelum ini AS enggan menandatangani Protokol Kyoto kerana keengganan China bersikap telus berhubung laporan, maklumat dan data tetapi pada persidangan Copenhagen ini, pendirian China berhubung perkara itu agak berlembut sedikit.
Perdana Menteri China, Wen Jia Bao yang berucap selepas Obama kelihatan bertolak ansur soal ketelusan apabila bersetuju melaksanakan tindakan tanpa sebarang syarat, asalkan ia tidak mengugat kedaulatannya.
Sehingga akhir persidangan itu, negara-negara maju juga masih gagal menetapkan jumlah sebenar dana yang perlu mereka sumbang bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, terutama bantuan dana dalam jangka panjang selepas Protokol Kyoto tamat pada 2012.
Sementara itu, negara-negara membangun memutuskan bahawa mereka tidak akan menandatangani sebarang perjanjian sekiranya mereka tidak diberi bantuan kewangan yang mencukupi dan bantuan pemindahan teknologi daripada negara-negara maju.
Negara miskin pula menuduh negara maju cuba menghancurkan Protokol Kyoto.
Pada peringkat awal, terdapat dua cadangan dikemukakan iaitu pertama, supaya Protokol Kyoto dilanjutkan dengan negara maju bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Satu lagi cadangan ialah mewujudkan perjanjian baru yang melibatkan negara-negara miskin dan AS yang tidak menandatangani Protokol Kyoto.
China dan India mencadangkan supaya negara maju menyumbangkan sebanyak 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau iaitu sekitar AS$200 bilion.
Soal mengenai bagaimana dana itu akan diagihkan serta tentang perlunya sebuah badan khas ditubuhkan untuk menguruskan penyaluran dana itu turut menghangatkan persidangan.
Masalah lain yang menjadi pertikaian ialah mengenai sasaran berhubung kadar peningkatan suhu dunia. Negara miskin mencadangkan supaya perjanjian menetapkan kadar peningkatan suhu kepada 1.5 darjah Celsius manakala negara maju mahu kadar peningkatan suhu 2 darjah Celsius.
Satu lagi input yang menjadi pertikaian ialah mengekalkan sasaran kawasan hutan di negara-negara membangun sebanyak 50 peratus menjelang 2020.
Di bawah Protokol Kyoto, negara maju dikehendaki mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 5.2 peratus setahun dalam tempoh pertama sehingga 2012.
Sejak empat tahun lalu, perbincangan telah diadakan bagi menetapkan kadar baru pengurangan gas rumah hijau untuk negara maju bagi tempoh empat tahun kedua selepas 2012. Negara maju seperti Jepun, Australia dan beberapa negara lain mencadangkan supaya perjanjian baru diadakan menggantikan Protokol Kyoto dengan memasukkan AS yang tidak menganggotainya.
Tindakan negara maju tidak mahu meneruskan Protokol Kyoto telah menimbulkan kemarahan negara membangun ketika perbincangan untuk memutuskan kadar pengurangan pelepasan gas bagi negara-negara maju untuk tempoh selepas 2012.
Menurut Kesatuan Negara-negara Pulau agregat sasaran nasional bagi negara maju hanyalah pengurangan antara 13 peratus hingga 19 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2020 berbanding 1990.
Jumlah ini jauh lebih rendah daripada sasaran 40 peratus yang dituntut oleh negara membangun merujuk kepada kajian saintifik.
China, India, Brazil dan Afrika Selatan menolak draf yang disediakan oleh Denmark yang mencadangkan separuh daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau ditanggung oleh negara membangun menjelang 2050 dengan menjadikan 2020 sebagai tarikh permulaan bagi menyekat suhu dunia naik melebihi dua darjah Celsius.
China, India dan negara-negara membangun lain menentang sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 50 peratus menjelang 2050, kerana bimbang pembangunan negara mereka akan terjejas.
Panel antara kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menyatakan bahawa negara-negara maju perlu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau antara 25 hingga 40 peratus di bawah paras 1990 menjelang 2020 dan antara 80 hingga 95 peratus di bawah paras 1990 menjelang 2050 jika mahu mengekalkan suhu di bawah kadar yang boleh mengancam alam sekitar, ekologi dan manusia.
Saintis pula berkata, negara-negara maju perlu menetapkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam masa terdekat antara 25 peratus hingga 40 peratus dari paras 1990 bagi memastikan permulaan yang baik untuk mengurangkan kesan perubahan iklim seperti peningkatan paras air laut dan kemusnahan banyak spesis binatang dan tumbuh-tumbuhan.
Satu panel saintis PBB berkata, sebarang peningkatan suhu melebihi 2 darjah Celsius akan membawa peningkatan paras air laut yang boleh mengancam negara-negara pulau dan bandar-bandar berdekatan pantai.

Tiada ulasan:

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

Arkib Blog

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails