
BERBEKALKAN semangat Malaysia Boleh, ramai anak muda di negara ini berusaha mencipta rekod bukan sahaja untuk diri mereka sendiri bahkan mengharumkan nama negara di persada dunia.
Mungkin sebelum kejayaan merentasi Selat Inggeris pada tahun 2003, nama Abdul Malik Mydin (kini Datuk) tidak dikenali biarpun ketika itu beliau merupakan pelumba basikal yang mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia.
Tiada siapa menyangka anak muda yang mempunyai impian dianggap 'gila' oleh sesetengah pihak, akhirnya membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu mencipta nama.
Sekuat mana ombak menghempas pantai begitu juga semangat yang ditunjukkan oleh Abdul Malik dalam mengejar impian bukan sahaja untuk dirinya bahkan seluruh rakyat Malaysia.
Beliau muncul sebagai perenang Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang berjaya mengharungi Selat Inggeris dengan catatan masa 17 jam 37 minit biarpun dalam keadaan suhu yang mencecah 6 darjah celcius.
Misi dinamakan Cabaran Selat Inggeris 2003 itu, dinaungi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menjadi titik tolak dalam membakar semangat generasi muda untuk terus berjaya dalam apa juga bidang diceburi.
Setelah semuanya berakhir, kini Abdul Malik kembali semula kepada minat lamanya iaitu sukan berbasikal tetapi sebagai penganjur Kejohanan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) yang kini masuk siri kedua.
Walaupun tidak lagi berenang, semangat kesukanan dalam dirinya masih tidak dapat dipadamkan sementelah ia penting dalam membentuk jiwa dan peribadi seseorang.
Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan AZRAI MOHAMMAD bersama jurugambar, IZHAM JAAFAR dan MOHD. AZIM ABD. RAHMAN menyingkap kembali kisah anak muda kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini dalam misinya mengharungi antara selat tersibuk di dunia itu.
Kejayaan Abdul Malik turut menjadi inspirasi kepada anak muda Malaysia lain seperti Dr. Lennard Lee yang berjaya melakukannya pada 2004 manakala Zahra Masoumah Abdul Halim pula gagal dalam cubaan awalnya pada 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan