Setiap akhir tahun dan permulaan tahun baru setiap orang daripada kita akan menetapkan keazaman masing-masing untuk dilaksanakan pada tahun baru nanti. Tetapi elok juga kita bermuhasabah dan merenung tentang apa yang telah berlaku.
Sebelum tirai 2009 dilabuhkan kita dikejutkan dengan satu demi satu kemalangan maut. Selepas lima kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres pastinya kita tertanya-tanya apakah tindakan drastik yang akan dilakukan oleh pihak yang berwajib?
Sekali lagi kita berhadapan dengan masalah 'sikap' pemandu yang cuai mengakibatkan nyawa penumpang melayang. Dalam melangkah tahun 2010, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa-masa akan datang semua pihak terutama pemandu bas perlu ada rasa 'tanggungjawab' dalam diri kerana ditangan mereka bergantung berpuluh-puluh nyawa, sedikit kecuaian akan menyebabkan banyak nyawa terkorban.
Isu politik sememangnya sentiasa mewarnai persada isu-isu yang berlaku di Malaysia. Walaupun 'tsunami politik' yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dalam proses pemulihan tetapi kesannya masih dirasakan. Pihak pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan juga tidak terlepas daripada menghadapi isu-isu yang mencabar kredibiliti mereka.
Satu perkara yang perlu diingati oleh semua pemimpin kerajaan bahawa rakyat sedang memerhatikan dan menilai apa yang berlaku. Jangan sampai apa yang disifatkan silent protest pada PRU 12 berulang pada PRU 13.
Walaupun kata-kata keramat 'perubahan' diungkapkan beratus kali, ini adalah masanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa perubahan yang dicanangkan bukanlah satu retorik. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri wajar dicontohi dan diikuti oleh semua pihak.
Semoga tahun 2010 akan membuka satu lembaran baru dalam kamus 1Malaysia. Amanat dan pesanan Perdana Menteri agar UMNO menjadi parti juara rakyat dan pemimpin menjadi 'jaguh' rakyat perlu dihayati dan direalisasikan oleh semua Yang Berhormat!
Kesungguhan kerajaan untuk memartabatkan institusi pendidikan diterjemahkan dengan peruntukan lebih RM30 bilion dalam bajet 2010. Salah satu usaha memperkasakan bidang pendidikan ialah dengan memperkenalkan Standard Guru Malaysia (SGM) yang menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.
pendapat Begitu juga Institusi Pengajian Tinggi (IPT), ramai yang memberikan pendapat dan berpandangan bahawa IPT perlu overhaul. Ternyata usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas menunjukkan komitmen untuk melakukan perubahan paradigma IPT Malaysia. Ini jelas berlandaskan lapan agenda dan strategi yang direncanakan selaras dengan RMK-10 KPT. Agenda-agenda tersebut adalah Agenda 1: Menonjol Potensi Setiap Rakyat Malaysia, Agenda 2: Pelaburan Dalam Sains dan Teknologi,Agenda 3: Malaysia Sebagai Pusat kepada Perkembangan Pengetahuan dan Inovasi, Agenda 4: Institusi Penyelidikan dan Autonomi, Agenda 5: Memperkasa Ijazah Kedoktoran dan Pasca Doktoral, Agenda 6: Konsortium, iaitu melalui Konsortium Projek Penyelidikan Berimpak Tinggi Bersepadu, Agenda 7: Generasi Muda iaitu agenda yang menjurus kepada pembangunan generasi muda Malaysia dan Agenda ke- 8: Universiti dan Model Alternatif Kewangan iaitu cadangan agar setiap universiti memikirkan pembiayaan untuk prasarana secara kreatif dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.
Melalui agenda-agenda tersebut dan usaha-usaha yang berterusan oleh KPT pastinya IPT di Malaysia akan melalui satu proses transformasi yang bakal melonjakkan IPT Malaysia di peringkat global dan pastinya cabaran ini akan lebih dirasai apabila melangkah tahun 2010 nanti.
bermaharajalelaIsu berkaitan sosial seolah-olah tidak ada kesudahannya, namun usaha gigih jabatan dan pihak berkuasa perlu diberi pujian walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Isu 'mat' dan 'minah' rempit masih lagi berleluasa. 'Mat rempit' sudah semakin bermaharajalela di jalan raya, mereka bukan sahaja memperjudikan nyawa mereka dengan aksi-aksi yang merbahaya tetapi sudah semakin berani merempuh pihak berkuasa seperti polis trafik dan JPJ yang mengakibatkan kecederaan parah.
Bagai kaduk naik junjung, begitulah diibaratkan dengan jenayah ragut, walaupun pelbagai pihak memberikan pelbagai saranan untuk mengenakan hukuman yang berat terhadap pesalah jenayah ragut namun dalam masa yang sama peragut semakin bermaharajalela sehingga sanggup 'membunuh' mangsa.
Ternyata tahun 2009 memberikan cabaran yang besar bagi pihak kerajaan untuk memastikan keselamatan
Tahun 2010 merupakan tahun yang mencabar untuk pihak kerajaan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah sebanyak 20 peratus seperti yang tercatat dalam NKRA, namun usaha tersebut tidak harus diletakkan di bahu pihak kerajaan semata-mata, semua pihak termasuk NGO, ibu bapa dan masyarakat perlu lebih berani dan komited untuk membantu kerajaan.
Namun hakikat yang perlu kita telan terdapat segelintir warga kita yang terperangkap dengan cinta warga asing yang akhirnya mereka dijadikan alat untuk mengedar dadah atau dipanggil 'Keldai dadah'.
Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 2006 sahaja, seramai 31 rakyat Malaysia dengan empat daripadanya adalah wanita ditahan di luar negara berkaitan kesalahan mengedar dadah. Seramai sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara atas kesalahan yang sama bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2008.
Walaupun ramai yang telah merana namun masih ramai yang terperangkap, begitu juga dengan isu cinta 'jejaka Lombok', 'Pak Arab' dan terkini penangan cinta 'Pak hitam'. Isu ini merupakan masalah yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana ia melibatkan persoalan moral gadis-gadis Malaysia daripada mudah diperdaya oleh jejaka-jejaka asing tersebut.
Semoga tahun 2010 nanti menjadi titik permulaan satu anjakan perubahan yang 'holistik' sama ada dari segi politik, pendidikan, sosial, dan lain-lain lagi. 'Belajarlah' daripada kesilapan dan pengalaman lalu dan jadikannya satu pengajaran agar kita tidak saling menuding jari antara satu sama lain hingga hilang pertimbangan rasional sebaliknya bermuafakat dalam suasana tenang mencari penyelesaian agar musibah yang berlaku dihadapi dengan satu keinsafan, rasa rendah diri dan reda atas ujian yang diberi oleh Allah SWT.
Dalam apa jua tindakan, semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang perlu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat menjadi keutamaan. Rakyat kini semakin bijak dan mereka sedang menilai prestasi wakil-wakil rakyat mereka dan penilaian akan diterjemahkan dalam PRU 13 nanti.
Bukan isu besar atau kecil yang menjadi persoalan tetapi rakyat sedang menilai bagaimana kemelut dan isu yang berlaku diselesaikan. Jika semakin lama isu atau kemelut dibiarkan berlanjutan, mungkin populariti akan bertambah tetapi 'majoriti' belum tentu bertambah! Sama-samalah kita renungkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan