Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Kurikulum perlu sesuai keperluan setempat

SATU perkara yang kita selalu abaikan apabila bercakap tentang kurikulum di Malaysia adalah mengenai kesesuaiannya untuk semua lapisan masyarakat. Maksud saya, keseragaman kurikulum di Malaysia adalah atas andaian bahawa semua masyarakat di Malaysia adalah homogenous. Positifnya keseragaman ini adalah ia dapat melicinkan usaha penilaian dan pengukuran di pelbagai tahap. Maka, peperiksaan berpusat termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi wadah pengukuran pencapaian semua lapisan masyarakat. Sebenarnya, kita sedar akan kewujudan perbezaan dalam lapisan masyarakat. Umpamanya masyarakat bandar memiliki sokongan pembelajaran yang tinggi termasuk kemudahan pusat tuisyen serta teknologi maklumat.

Ia berbeza dibandingkan dengan masyarakat luar bandar yang terkebelakang dari sudut itu.

Saya yakin bahawa penggubal kurikulum menyedari perbezaan seperti ini, namun keseragaman kurikulum difikirkan perlu demi mencapai matlamat satu negara bangsa.

Namun, di celah-celah perbahasan ini, ada sekelompok masyarakat yang sejak merdeka diperhatikan kurang mampu bersaing di peringkat kebangsaan iaitu kelompok pribumi. Kumpulan ini majoritinya tinggal di pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan beberapa bahagian di negeri lain.

Pengalaman sebagai guru mengajar murid berketurunan Jakun telah mendorong saya untuk mengutarakan idea ini kerana saya dapati mereka ini sebenarnya mempunyai prioriti yang berbeza.

Keperluan utama bagi kumpulan pribumi seperti ini adalah makanan. Seperti kata ahli psikologi Maslow bahawa setiap masyarakat bermula daripada keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal seterusnya kepada tahap kepuasan diri. Maka ilmu yang amat tinggi nilai kepada mereka adalah ilmu yang mampu mengubah nasib hidup mereka. Ini kerana tujuan pendidikan dalam erti kata mudah adalah untuk membangunkan masyarakat bertamadun.

Ketamadunan itu bermula daripada pembelajaran ilmu untuk diamalkan. Maka dalam konteks masyarakat pribumi, ilmu yang dipelajari hendaklah berupaya membangunkan mereka.

Sejarah pendidikan di Tanah Melayu era Inggeris mengajar kita bahawa kurikulum sekolah digubal dengan mengambil kira keperluan setempat.

Umpamanya, ilmu pendidikan yang diajar di Maktab Perguruan Sultan Idris pada zaman itu berkisar kepada kemahiran memasak, anyaman dan ilmu pertanian.

Biarpun ada sarjana Melayu yang melihatnya sebagai satu cara untuk menghalang kemajuan orang Melayu tetapi positifnya ia berupaya menjadikan pendidikan itu lebih hampir dengan masyarakat pada waktu itu.

Melihat kepada keadaan hari ini, para pelajar yang gagal dalam SPM dan berhasrat untuk meneruskan kehidupan di desa, mereka terpaksa mencari ilmu dan kemahiran lain demi survival.

Hanya sedikit ilmu yang dipelajari itu dapat digunakan untuk kehidupan desa seperti ilmu matematik dan bahasa. Ilmu lain yang dipelajari seolah-olah sukar untuk diaplikasi dalam kehidupan harian.

Idea kurikulum yang sejajar dengan keperluan setempat bukan suatu yang asing. Ia mempunyai kaitan rapat dengan ekonomi yang digerakkan oleh pasaran (market-driven). Di Jerman dan Perancis umpamanya, kursus kejuruteraan lebih menjurus kepada kemahiran serta praktikal berbanding teori. Lantaran itulah, kursus kejuruteraan yang dijalankan di negara terbabit lebih bercorak melahirkan juruteknologi berbanding jurutera. Respons kepada perubahan inilah yang melahirkan banyak kursus ijazah teknologi mula ditawarkan oleh banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Hujah-hujah ini adalah justifikasi kepada wajarnya aspek keperluan setempat diambil kira dalam menggubal kurikulum. Maka, saranan Timbalan Menteri Pelajaran agar penggubalan kurikulum khusus Orang Asli dan pribumi hendaklah turut mengambil kira aspek ini.

Saya yakin jika ia diambil kira, sekolah akan menjadi satu institusi ilmu yang hampir dengan masyarakat sekali gus memartabatkan guru sebagai profesional bukan sekadar di sekolah malah melewati sempadan itu.

Budaya peka cuaca boleh elak kemalangan

KEJADIAN kemalangan sebuah kereta yang merempuh enam buah motosikal yang sedang berteduh ketika hujan lebat di bawah jambatan di Putrajaya baru-baru ini seharusnya membuka mata dan minda pelbagai pihak.

Ternyata kejadian tidak diingini seperti ini tidak boleh dipandang remeh atau suratan takdir semata-mata. Menuding jari mencari salah siapa bukanlah penyelesaiannya. Berfikir dan bertindak untuk menangani masalah ini mungkin dapat menyelamatkan nyawa pada masa akan datang.

Pada hemat saya, merancang perjalanan adalah perkara yang paling penting sebelum kita memandu kereta, menunggang motosikal malah pejalan kaki juga harus merancang perjalanan mereka.

Merancang bermaksud bukan sahaja dari segi keadaan kenderaan, pemilihan jalan malah faktor cuaca juga harus diambil kira. Saya berpendapat, kita masih belum peka tentang cuaca di negara kita.

Apa yang saya cuba kongsikan adalah, kita tidak mengambil berat tentang faktor cuaca sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Walaupun kadangkala kita tidak mempunyai banyak pilihan, ternyata kepekaan kita terhadap cuaca masih rendah. Kita sedia maklum dengan keadaan iklim khatulistiwa di mana hujan dan panas sepanjang tahun tidak mengira masa. Tetapi kita langsung tidak menyediakan diri untuk perkara seperti ini.

Saya mengambil contoh di negara Jepun misalnya, ibu bapa di sana akan melihat ramalan kaji cuaca pada sebelah malam bagi menyediakan payung untuk anak mereka ke sekolah pada esoknya.

Sebab itu ada pepatah Melayu mengatakan 'sediakan payung sebelum hujan'. Pernahkah kita terfikir untuk menyediakan payung untuk anak kita ke sekolah kerana bimbang mereka akan dibasahi hujan ketika pulang pada keesokannya?

Inilah yang dinamakan pendidikan awal yang patut bermula di rumah. Walaupun informasi cuaca itu hanyalah ramalan semata-mata, tetapi saya percaya dengan teknologi yang ada sekarang. Jabatan Meterologi Malaysia sudah mampu menyediakan maklumat yang hampir tepat untuk kegunaan kita bersama. Malangnya itulah sikap kita, tidak mengambil berat tentang maklumat percuma yang disajikan setiap hari kepada kita.

Pihak media elektronik juga mampu memainkan peranan yang besar terhadap pembentukan budaya peka terhadap cuaca kepada rakyat Malaysia.

Apa yang saya lihat, informasi cuaca tidak lagi diberi penekanan yang sewajarnya. Jika dahulu ada penyampai khas untuk informasi ini, tetapi kini hanya sekadar informasi yang diiringi muzik yang menyedapkan telinga. Tiada siapa yang ingin ambil tahu, jika hujan maka basahlah. Baru kita tercari-cari di mana payung atau sibuk mencari pelindung.

Saya amat berharap media elektronik boleh mencontohi negara maju yang lain. Mereka bukan sengaja untuk mempopularkan slot ramalan kaji cuaca pada waktu berita perdana mereka. Sudah pasti ada tujuan yang lebih besar untuk itu, iaitu memupuk budaya merancang perjalanan pada hari yang berikutnya.

Marilah sama-sama kita suburkan budaya peka terhadap cuaca. Rasanya tidak rugi kalau kita mengambil sedikit masa pada waktu malam untuk menyediakan diri kita pada keesokannya.

Walaupun perkara ini nampak remeh mungkin kita dapat menghindarkan diri dari pelbagai musibah.

Jangan jadikan alasan 'kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya' membuatkan kita hanya berserah semata-mata.

Rancang dahulu baru tawakal. Insya-Allah dengan usaha kecil seperti ini dapat memberi kesan yang besar terhadap pelbagai perkara.

Perlunya didikan agama diberi keutamaan

KADANG-KADANG kita terfikir, adakah kita memberikan masa yang setimpal kepada pengajian agama jika dibandingkan dengan masa yang kita berikan kepada pelajaran biasa.

Misalnya enam tahun untuk sekolah rendah, ditambah dengan lima tahun sekolah menengah, dicampur dengan dua tahun tingkatan enam dan tiga atau empat tahun untuk ijazah sarjana muda, dua tahun untuk sarjana dan mungkin empat tahun untuk ijazah kedoktoran. Antara 21 hingga 23 tahun tempoh masa dikhaskan untuk sekolah dan universiti.

Sedikit sangat terdapat dalam 21 tahun itu dimasukkan pengajian agama kecuali kalau seseorang itu mencari sendiri guru yang boleh membimbing sehingga betul-betul memahami apa yang diperlukan untuk menjadi seorang insan yang beriman.

Masalahnya bermula dengan ibu bapa yang mungkin tidak mengambil berat tentang perlunya anak-anak mendapat pengajian agama yang lengkap bukan setakat pandai membaca al-Quran sahaja.

Kalau ada pun kelas sebelah petang untuk sekolah agama selalunya hanyalah setakat sekolah rendah sahaja.

Daripada keadaan dan suasana yang tidak memberikan keutamaan kepada pengajian agama yang betul inilah timbul bermacam-macam fahaman dan muncul pelbagai jenis orang seperti Ayah Pin dan Rasul Melayu yang mempunyai pengikut tapi baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa.

Mereka yang menjadi pengikut ini bukannya terdiri orang tidak berpelajaran tetapi mereka yang mempunyai ijazah dan sarjana. Misalnya sebelumnya al-Arqam diharamkan, ramai pengikutnya yang terdiri daripada golongan terpelajar yang sudah terpengaruh dengan pelbagai tuntutan ketuanya termasuk dikatakan dilantik oleh Nabi Muhammad.

Pernah juga terdengar penceramah daripada luar negara yang berceramah hanya untuk golongan ahli-ahli korporat dan mereka memberikan sumbangan berjuta ringgit kepada penceramah yang kononnya begitu mendalam ilmu agamanya.

Mudahnya orang kita terpengaruh disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang agama. Kebanyakannya asas keagamaan mereka begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang mampu mempengaruhi dengan ilmu songsang. Mereka yang menjadi pengikut ini tidak mempunyai ilmu untuk menangkis fahaman yang tidak betul.

Ekoran daripada sikap "tidak takut Tuhan" inilah berlaku macam-macam penyelewengan, penipuan, jenayah dan seribu satu macam kesongsangan tabiat yang dilakukan oleh orang yang berpelajaran tinggi. Ada juga yang mengaji tidak tamat, tetapi dengan sedikit ilmu menggunakannya untuk tujuan yang menyimpang.

Hari ini kita terbaca tentang "siang hari pakai tudung, malam jadi kupu-kupu malam" di kalangan pelajar kita yang tidak malu lagi menggadai tubuh mereka. Begitu juga kelab-kelab gay dan lesbian.

Kesemua ini adalah ketidakmampuan mereka untuk menangkis pengaruh Barat yang mereka baca dan saksikan melalui televisyen, internet, majalah dan surat khabar.

Desakan kehidupan juga menyebabkan ibu bapa tiada masa untuk mendidik anak-anak dalam bidang agama kerana kedua-duanya terpaksa bekerja untuk menampung keperluan kehidupan.

Ramai anak-anak yang ditinggalkan di rumah jagaan kanak-kanak atau dijaga oleh pembantu rumah yang kebanyakannya orang asing seperti rakyat Indonesia dan Filipina. Jarang sekali bagi mereka yang sedar perlunya ilmu agama membawa guru ke rumah atau menyuruh anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas agama.

Di sinilah jabatan-jabatan agama sama ada berbentuk kerajaan atau badan-badan bebas yang disahkan untuk mengambil tindakan daripada peringkat kampung, daerah, bandar dan negeri bagi memastikan pengajian agama ini diberikan suatu keutamaan sama seperti yang diberikan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi dan politik.

Tidak kurang juga masa yang terluang bagi ibu bapa ditumpukan kepada politik, baik di peringkat cawangan, bahagian. Kalau peringkat negeri, maka lagi kuranglah masa untuk anak-anak.

Ini juga boleh menimbulkan macam-macam perkara yang kurang sihat seperti rebutan kedudukan, jawatan, dengki mendengki walaupun mempunyai pelajaran tinggi. Ini dapat kita saksikan sedang berlaku hari ini.

Kalaulah ilmu agama yang betul dapat diberikan secara percuma dalam pelbagai bidang dan peringkat, misalnya yang ingin tahu pasal belajar perkara yang asas, yang ingin mendalam misalnya dalam bidang tasawuf boleh mengikuti bidangnya.

Kita sedia maklum memang ada ceramah agama lepas-lepas sembahyang di masjid-masjid tetapi ini tidak mencukupi kerana kadang-kadang mereka yang betul-betul berminat mencari guru boleh tersalah pilih.

Kita perlu ingat bahawa ilmu yang pertama dituntut untuk kita pelajari ialah ilmu mengenal diri sebelum kita mengenali Allah.

Mengiktiraf tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua.

Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.

Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.

Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.

Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.

Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia.

Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.

Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan.

Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya.

Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

1,000 sertai Walk-a-Mile

Lebih 1,000 orang menyertai acara Walk-a-Mile anjuran Yayasan Jantung Malaysia (YJM) sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2009 hari ini.
Acara yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat itu dianjurkan oleh Yayasan Jantung Malaysia (YJM) bersama Nesvita Omega Plus dan akhbar Mingguan Malaysia serta disokong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Majlis pelancaran acara berjalan kaki sejauh 2.1 kilometer itu disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Pengerusi YJM, Datuk Dr. J.S. Sambi berkata, objektif utama acara tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran umum terhadap penjagaan jantung dan menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan angin ahmar.
“Acara berkonsepkan bukan pertandingan ini mengajak orang ramai berjalan kaki sekurang-kurangnya satu kilometer sebagai satu usaha menggalakkan masyarakat negara ini menjadikan berjalan kaki sebagai salah satu aktiviti rutin bagi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Walk-a-Mile di Taman Tasik Permaisuri di sini.
Tambahnya, senaman harian seperti berjalan kaki jika dilakukan selama 30 minit, tiga kali seminggu di samping mengamalkan pemakanan seimbang akan menjadikan jantung lebih sihat.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Kesihatan DBKL, Dr. Zainol Ariffin Pawanchee; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Pengarah Urusan Nestle (M) Berhad, Peter R. Vogt dan Pengarah Perdagangan Carrefour, Laurent Piazza.

DR. Mahathir Mohamad menerima cenderamata daripada Mohd. Nasir Ali sambil diperhatikan oleh Dr. J.S. Sambi (kiri) dan Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali selepas menyempurnakan majlis pelancaran Walk-a-Mile di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, semalam.


Kempen Walk-a-Mile yang dianjurkan di sini merupakan acara kemuncak kempen tersebut yang mula membuka tirainya di Alor Setar, Kedah pada 25 April lalu dan diikuti Kuantan, Pahang pada 21 Jun dan Melaka pada 19 Julai serta di Taiping, Perak pada 15 Ogos.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui berkata, acara itu sangat baik dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap penjagaan jantung mereka.
Roshayat Ariffin, 25, berkata, acara itu sangat bagus selain berpeluang untuk berjumpa dan beramah mesra dengan bekas Perdana Menteri.
“Seronok dapat sertai acara ini dan diharap banyak lagi syarikat akan turut serta memeriahkan acara ini di samping dapat mempromosikan barangan mereka terutamanya yang berkaitan produk penjagaan kesihatan,” katanya.
Seorang pelajar dari India, Priyanka Shree, 19, berkata, acara itu sangat menarik di samping dapat melihat pelbagai ragam masyarakat di negara ini yang berbilang bangsa dan agama.
“Acara yang menarik kerana ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan penjagaan kesihatan mereka terutamanya kesihatan jantung,” katanya.
Lim Boon Kee, 48, pula berkata, dia sangat suka dengan aktiviti berfaedah seperti ini dan berharap aktiviti seperti itu akan diadakan lagi.
“Saya sering datang ke sini untuk bersenam pada hujung minggu dan acara yang diadakan hari ini memang seronok selain berpeluang untuk berjumpa dengan bekas Perdana Menteri,” katanya.

Pastikan pelajar selamat kembali ke Padang

MERUJUK kepada laporan bertajuk Fakulti Perubatan Universiti Andalas dibuka 15 Oktober (Utusan Malaysia, 7 Oktober 2009), saya berasa sangat terkejut apabila Prof. Dr. Eryati Darwin merangkap timbalan dekan Universiti Andalas memohon lebih 300 penuntut Malaysia melaporkan diri selewat-lewatnya 19 Oktober ini.

Saya berpendapat bahawa bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang pelajar untuk mengatasi situasi yang tegang apatah lagi sesudah ditimpa bencana gempa.

Gesaan Timbalan Dekan Universiti Andalas itu boleh dianggap sebagai tindakan tidak munasabah kerana pelajar-pelajar ini masih berada dalam keadaan trauma dan tertekan akibat kejadian yang berlaku.

Tindakan itu juga boleh dilihat sebagai kurang relevan kerana kemudahan asas dan juga infrastruktur kebanyakannya telah terjejas akibat bencana gempa bumi.

Pihak pentadbiran Universiti Andalas sepatutnya mengambil kira aspek kebersihan dan keselesaan pelajar-pelajar ini sebelum mereka dipanggil melaporkan diri. Adakah dengan menyediakan khemah untuk dijadikan tempat kuliah mampu membantu pelajar ini memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran? Bau busuk dan kerosakan harta benda sudah tentu memberi impak besar kepada tumpuan mereka terhadap pelajaran.

Menyentuh soal keselamatan pula, saya berpendapat, ia tidak seharusnya dipandang enteng oleh pihak pentadbiran universiti. Pihak pentadbiran sepatutnya memastikan kawasan universiti itu benar-benar bebas daripada sebarang ancaman gempa bumi sebelum universiti itu dibuka kepada orang ramai.

Memang ada benarnya pepatah Melayu, 'guruh tak berbunyi, malang tak berbau'. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, tindakan susulan seperti mendapatkan kelulusan daripada pakar bahawa kawasan tersebut selamat didiami akan sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada pelajar kita untuk pulang ke sana.

Saya juga bersetuju bahawa pelajar ini perlu menghabiskan kuliah mereka. Namun adakah dengan situasi yang tegang dan keadaan mereka yang trauma ini dapat menjamin bahawa mereka akan berjaya menghabiskan pengajian mereka?

Sekurang-kurangnya berilah sedikit masa untuk mereka 'berehat' daripada keadaan trauma.

Paling tidak, keselamatan dan keperluan asas di universiti itu dibaiki dan dijamin seratus peratus selamat untuk didiami.

Rumah kayu dan buluh penyerap gempa

Hotel Andalas merupakan antara bangunan yang dapat bertahan selepas bumi Padang digoncang gempa 7.6 skala richter pada 30 September lalu.

Ia menjadi tempat persinggahan para pemandu lori.

Hotel itu hanya mempunyai katil kayu yang dialas dengan tilam kekabu nipis dan sebuah kipas kecil. Bilik air pula disediakan di bahagian luar dan pada mulanya memang cukup menakut situasinya dan terasa kekok kerana terpaksa tinggal dalam suasana kotor, tetapi setelah masuk hari kelima, lumut yang hijau serta kehitaman pada lantai dan dinding bilik air juga seolah-olah tidak kelihatan lagi.

Penulis amati syiling dan dinding hotel berkenaan jika terdapat retakan, maklumkan gempa sebelum ini telah meranapkan terus beribu buah bangunan.

Ternyata tidak ada kesan retak langsung pada lantai, dinding mahupun syiling hotel murah itu.

Seperkara yang penulis sedar syiling hotel berkenaan dibuat daripada buluh yang dianyam, manakala dindingnya pula diperbuat daripada papan lapis yang nipis dan ringan.

Lantas penulis terfikir ketika membuat liputan gempa di Tasikmalaya kira- kira sebulan lalu juga mendapati rumah-rumah yang diperbuat daripada buluh dan kayu langsung tidak terjejas dalam bencana itu.

Begitu juga ketika membuat tinjauan di Pariaman, rumah yang diperbuat daripada batu ranap sama sekali, tetapi rumah diperbuat daripada kayu dan buluh masih tegak berdiri. Mungkin mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi gempa perlu memberi keutamaan kepada pembinaan rumah daripada buluh dan kayu daripada menggunakan simen dan bata yang terbukti tidak mampu bertahan goncangan gempa.

Bangunan yang diperbuat daripada batu walaupun disokong besi yang besar dan utuh tetap tidak dapat bertahan dengan bencana gempa. Bahkan batu-batan yang runtuh menyebabkan banyak mangsa terkorban dan cedera parah.

Berbeza dengan rumah yang lebih banyak menggunakan bahan kayu dan buluh, kerosakan adalah minimum bahkan kecederaan ditimpa kayu serta buluh juga tidak terlalu serius.

Penduduk Indonesia memang terkenal dengan kemahiran bertukang terutama dalam membina bangunan daripada kayu dan buluh, jadi kemahiran itu harus digunakan sepenuhnya.

Namun, satu kejadian lucu ketika menginap di hotel tersebut, ketika penulis dan rakan bersiap sedia untuk ke Pariaman pada pukul 5 pagi, tiba-tiba terdengar bunyi seperti sesuatu benda yang runtuh.

Pada mulanya penulis fikirkan gempa berlaku sekali lagi, tetapi rupa-rupa katil di bilik sebelah yang runtuh dan apabila ditanya kepada pihak hotel itu mereka memberitahu bilik itu didiami oleh pasangan homoseks.

Kita tidak sampai hati biarkan rakyat Indonesia menderita

TRAGEDI gempa yang mengorbankan lebih seribu nyawa di Sumatera Barat, Indonesia mengundang rasa simpati yang bukan sedikit. Simpati kerana satu demi satu bencana melanda negara tersebut.

Setiap kali bencana, ada nyawa terkorban. Ada harta musnah. Lebih meruntunkan jiwa, Indonesia yang terkial-kial untuk bangkit memulihkan ekonominya tersungkur lagi.
Masyarakat antarabangsa sememangnya bersimpati terhadap perkembangan menyedihkan itu.

Apatah lagi negara-negara jiran. Umpama cubit paha kanan, paha kiri terasa - rakyat Malaysia bingkas menghulurkan bantuan.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) segera 'terbang' menghulurkan kudrat secara sukarela. Manakala tabung-tabung khusus untuk membantu mangsa-mangsa gempa di Padang segera ditubuhkan.

Kesemuanya itu kerana ingin meringankan beban yang ditanggung penduduk di situ. Lantaran kemusnahan yang dialami mereka bukan sedikit. Penderitaan mental dan fizikal mangsa-mangsa gempa bumi itu amat ketara sehingga mampu merungkai kemarahan rakyat negara ini akibat insiden membakar Jalur Gemilang dan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap Malaysia.

Paparan mayat-mayat bergelimpangan, bangunan dan kediaman rosak teruk serta mangsa-mangsa yang terselamat tetapi cedera parah cukup untuk memahamkan rakyat Malaysia tentang semangat kejiranan.

Betapa pentingnya sesebuah negara itu memakmurkan jirannya kerana apabila tercetus bencana atau bahaya, jiran-jiran itulah paling hampir untuk disandarkan harapan.

Jiran-jiran itulah yang pertama datang menghulurkan bantuan.

Hakikatnya banyak yang perlu dipelajari daripada kejadian terbaru di Sumatera Barat, Indonesia. Betapa bencana gempa, taufan, tsunami datang tanpa amaran. Dan setiap kali ia datang, sesebuah negara itu tidak akan mampu menghadapinya bersendirian.

Sebab itu, seboleh-bolehnya jangan disakiti hati jiran. Khabarnya gara-gara isu tarian Pendet yang membawa kepada 'upacara membakar Jalur Gemilang' dan kononnya akan berlaku peperangan antara Malaysia-Indonesia, kesannya tabung gempa yang ditubuhkan sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Tabung untuk mangsa gempa di Tasekmalaya di Jawa Barat tidak begitu memberangsangkan.
Alasannya - rakyat Malaysia tersentuh hati. Mereka juga berkecil hati - akibatnya rasa perikemanusiaan, belas ihsan dan keprihatinan terhakis. Biar pun hanya segelintir rakyat Indonesia terlibat mencerca Malaysia, namun tindakan sedemikian mampu mencetuskan kemarahan - lebih daripada itu mengundang rasa benci sehingga mengikis semangat kejiranan.
Namun sehingga ke tahap mana dan di paras mana rakyat negara ini mampu menyimpan rasa marah dan tersinggung. Sebaik-baik mendengar dan menonton kesan bencana berskala 7.6 Richter itu, segala perasaan negatif itu mencair.

Segala rasa sakit hati diketepikan terutamanya apabila rakyat di sini turut merasa kesan gegaran gempa itu. Semangat tolong menolong dan rasa simpati yang melimpah ruah merobohkan sempadan perasaan marah sebelum ini.

Tragedi-tragedi seperti ini mesti dipelajari hikmahnya oleh rakyat di kedua-dua negara. Begitu juga di kalangan penduduk jiran-jiran yang lain. Jangan diundang rasa benci. Jauhkan kontroversi - paling penting pelihara semangat kejiranan serantau yang nilai serta harganya sangat tinggi.

Bagi rakyat Malaysia, teruskan semangat ingin membantu. Hulurkan sumbangan dengan ikhlas bagi meringankan mangsa-mangsa gempa bumi di Padang. NGO-NGO pula terus taburkan bakti di negara yang taburan budaya dan bahasanya amat setara dengan penduduk di sini.

Perlu diakui titik-titik peluh dan rasa keinsafan yang timbul ketika bantuan dihulurkan mengajar kita untuk menjadi lebih matang.

Lebih penting lagi keikhlasan mendidik rakyat negara ini untuk percaya bahawa ada harinya dan ada masanya, kita juga memerlukan bantuan negara jiran.

Untuk itu jagalah hati negara jiran. Apatah lagi jika jiran itu tidak pernah menyakiti hati penduduk di sana. Jika pun hati rakyat di sini sedikit terguris dengan gelagat 'kurang akal' penduduk di sana, maka anggaplah ia asam garam kehidupan dua negara berjiran.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa belakang parang jika selalu diasah menjadi tajam - hati manusia jika selalu disakiti manakala maruahnya tidak dihormati, kesannya lebih meruncing.

Dan jika ia dilakukan secara berterusan, tidak mustahil segala rasa simpati dan keinginan untuk menghulurkan bantuan akan lenyap perlahan-lahan.

Kaji semula kurikulum JPJ

HARI ini rata-rata masyarakat berbicara mengenai Ops Sikap Ke-20 yang melabuhkan tirainya Isnin lalu. Ramai menyuarakan mengenai keberkesanan operasi itu dan ada juga menyuarakan pendapat untuk menangani masalah ini. Jika dilihat dari satu sudut, ini adalah perkembangan yang baik.

Masyarakat Malaysia sebenarnya memang peka terhadap perkara ini. Ops Sikap Ke-20 merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah operasi itu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu dengan 261 kematian. Jumlah korban tertinggi sebelum ini sebanyak 285 orang daripada 253 kemalangan maut yang dicatatkan semasa Ops Sikap Ke-3, iaitu pada 13 Disember 2002.

Kini, banyak agensi yang berkenaan seolah-olah buntu mencari jalan penyelesaian. Hasil kajian oleh Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (MIROS) juga telah membuktikan tabiat memandu yang tidak sihat adalah faktor utama penyumbang kepada permasalahan ini.
Saya berpendapat, sudah tiba masanya kita kembali ke pangkal jalan. Bak kata pepatah, ‘Jika sudah sesat, pulang ke tempat asal di mana tempat bermulanya perjalanan itu’. Ramai menyuarakan tentang kurikulum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang patut diberi kajian terperinci.

Segalanya-galanya bermula di sini. Saya tidak melabel kurikulum yang sedia ada ini tidak boleh diguna pakai. Kurikulum ini jugalah yang telah melahirkan ramai pemandu berhemah di negara ini. Cuma ada segelintir yang rakus mengikut hawa nafsu, mementingkan diri sendiri dan menyusahkan pengguna yang lain.

Saya menyarankan sebahagian kurikulum ini dapat diperkenalkan di peringkat sekolah menengah iaitu di tingkatan empat. Mungkin tidak menjadi mata pelajaran SPM, tetapi mungkin menjadi mata pelajaran wajib lulus untuk ke tingkatan lima.

Ada yang berpendapat bukan semua yang berhajat mendapatkan lesen memandu, tetapi pengetahuan dan kesedaran jalan raya amat penting diterapkan kepada semua peringkat masyarakat. Jadi adalah relevan jika pembentukan tabiat memandu yang sihat dan kesedaran keselamatan jalan raya bermula di sekolah.

Saya juga berpendapat, remaja di usia 16 tahun adalah peringkat umur yang terbaik untuk membentuk mereka. Di ketika inilah mereka seakan-akan teruja untuk mengetahui lebih lanjut apa itu memandu. Jadikan kurikulum ini sebagai satu mata pelajaran yang menarik dan menimbulkan kesedaran secara automatik dalam diri pelajar. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan, pengetahuan ini adalah ‘kemahiran hidup’ yang patut diambil tahu oleh semua orang.
Selain daripada kurikulum semata-mata, penerapan daripada segi ko-kurikulum juga mungkin boleh diambil kira. Penubuhan kelab-kelab yang berorientasi ‘Keselamatan Jalan Raya’ juga dapat memupuk sikap yang baik di jalan raya.

Wujudkan kelab ini secara aktif dan mungkin mendapat suntikan idea daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya ia dapat dipopularkan di peringkat kebangsaan. Ini juga dapat mewujudkan situasi di mana kita patut rasa dihormati kerana kita mematuhi undang-undang jalan raya.

Semua agensi yang berkenaan mungkin dapat duduk semeja dengan Kementerian Pelajaran bagi menghasilkan formula kurikulum yang berkesan kepada pelajar. Ini juga membuka ruang pekerjaan kepada guru-guru sekolah memandu untuk memanfaatkan pengetahuan mereka.

Skop kerja mereka juga akan menjadi lebih luas dan tidak tertumpu untuk mendapatkan lesen kepada pelajar sekolah memandu mereka. Tidakkah perkara seperti ini dapat memartabatkan fungsi mereka dalam membentuk pemandu yang berhemah di jalan raya?

Sudah sampai masanya penerapan kurikulum JPJ didedah di peringkat sekolah.

Pendedahan ini memerlukan kerjasama oleh semua pihak. Harus diingat, ibu bapa juga patut menjadi tunjang kepada penerapan nilai-nilai murni di jalan raya. Insya-Allah, jika semua pihak merasakan diri mereka bertanggungjawab atas usaha murni ini, tidak mustahil masalah ini dapat dibendung suatu hari nanti.

tempat ketiga permainan catur & open house di rmh sy

Utk pngthuan anda sma,sy tlh brjaya mndpt tmpt ketiga dlm prmainan catur.
Ia diadakan smpna mjlis pntpn hari kokurikulum & rkn mda kecergasan 3.10.2009.

Selain itu, sy jga mmbuat open house utk rkn2 sekloh pada 3.10.2009(3.00-5.00 ptg).
Rmi yg dtg.

Utk mngcpkan tahniah kpd sy, silalah berbuat demikian di dalam shoutbox(chatting).
Itu saja.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket