Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, penambahan baru juga akan dibuat pada mata pelajaran tersebut antaranya menekankan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan.
Ketika ini, katanya, unsur mata pelajaran Sejarah banyak 'menumpang' pada subjek Kajian Tempatan yang diajar kepada murid Tahap Dua di sekolah rendah.
''Kita akan laksanakan subjek Sejarah ini bermula pada Tahap Satu dengan berkonsepkaneducation is fun menerusi pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.
''Kita mahu jadikannya sebagai mata pelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Puad, pihaknya perlu melatih semula guru mata pelajaran Sejarah sedia ada sebelum mata pelajaran tersebut boleh diajar kepada murid sekolah rendah.
Katanya, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk mengisi keperluan pembentukan negara Malaysia yang maju dan meningkatkan patriotisme rakyat agar generasi muda mengetahui asal-usul serta kepentingan menghormati Perlembagaan negara.
Mohd. Puad turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya keputusan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus akan membebankan pelajar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, subjek Sejarah akan diubah suai dengan dimasukkan elemen baru bagi menjadikannya lebih menarik dan efektif.
''Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air merupakan antara topik yang diberi keutamaan dalam subjek berkenaan bagi menyuntik semangat cintakan negara di kalangan generasi muda,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rajagopal tamatkan pemanduan berundur 1,010km

I. RAJAGOPAL mengangkat tangan gembira selepas berjaya menamatkan pemanduan kereta sejauh 1,010 kilometer secara berundur di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.



BUKIT MERTAJAM 15 Okt. - Impian penceramah motivasi, I. Rajagopal untuk memecahkan rekodnya dalam Malaysia Book of Records akhirnya tercapai apabila berjaya menamatkan pemanduan kereta secara mengundur sejauh 1,010 kilometer dari Johor ke Kedah sebelum tiba di bandar ini hari ini.
Kejayaan itu sekali gus mencerahkan peluang Rajagopal, 56, untuk mencipta sejarah dengan mencatatkan nama dalamGuinness World Records sebagai manusia pertama yang menamatkan percubaan seumpama itu.
Dua tahun lalu, Rajagopal berjaya memecahkan rekod Malaysia dengan memandu secara mengundur sejauh 88 kilometer dari Johor Bahru sehingga ke Pulai Beach Resort, Desaru.
Dalam percubaannya kali ini, Rajagopal menamatkan perjalanan enam hari dengan memulakan pemanduan 10 Oktober (10.10.10) lalu pada pukul 10.10 pagi dari Johor Bahru sebelum tiba di kompleks beli-belah Megamall di sini kira-kira pukul 6.30 petang ini.
Sepanjang perjalanannya, Rajagopal bersama konvoi empat kereta yang diiringi polis, memandu dalam lingkungan kelajuan 30 hingga 40 kilometer sejam.
''Saya amat gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan pemanduan dan saya harap kejayaan ini dapat dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita sejurus tiba di pekarangan kompleks beli-belah itu.
Antara yang menyambut ketibaannya ialah Ketua Pemuda MIC, T. Mohan dan para ahli Kelab Berkereta Oliver Putra Motorsport.
Menceritakan pengalamannya, Rajagopal berkata, cabaran utama yang dihadapinya ialah mengekalkan tumpuan sepanjang pemanduan lebih-lebih lagi di lokasi mencabar termasuk di kawasan berbukit-bukit.
''Bagaimanapun, saya cuba menikmati setiap detik pemanduan kerana bagi saya ia amat menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi pengalaman saya dengan orang ramai yang ditemui di sepanjang perjalanan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Malaysia Book of Records, Zulhairi Md. Zin yang ditemui memberitahu, pihaknya akan meneliti semua rakaman video serta dokumen-dokumen berkaitan berhubung pemanduan Rajagopal sebelum mengeluarkan sijil rasmi dalam masa terdekat.

Sikap buruk pemandu penyebab malapetaka

SEKALI bah sekali pantai berubah, itu adalah bidalan Melayu yang sudah lama digunakan dalam menggambarkan sesuatu perkara yang sering berubah-ubah sama ada melalui evolusi ataupun revolusi.
Malangnya, ini tidak berlaku dalam kes corak pemanduan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan jalan raya di negara ini.
Malah setiap kali musim perayaan dan cuti umum atau sekolah, maka jalan raya menjadi seperti medan perang yang meragut puluhan malah ratusan nyawa. Statistik yang ditunjukkan saban hari dalam media nampaknya tidak menggerunkan para pemandu kita.
Bayangkanlah kenderaan komersial yang berskala gergasi dengan puluhan roda dipandu seperti di litar lumba. Bukan sahaja secara biadap tetapi lebih dari itu seperti samseng jalan raya mengawal ketiga-tiga lorong di lebuh raya sehingga menimbulkan kesulitan yang bukan kecil kepada pemandu lain.
Walhal, mereka ini sudah memiliki lesen PSV yang sudah tentu memahami asas pemanduan di lebuh raya yang tidak membenarkan mereka memandu di lorong paling laju walaupun jika ingin memotong.
Tidak cukup dengan sikap buruk dan perangai hodoh ketika memandu, kadang kala serpihan tayar yang terkeluar dari roda kenderaan yang menggunakan tayar celup berkualiti rendah turut menimbulkan ancaman kemalangan kepada pengguna lain.
Ada lagi yang lebih hebat apabila membawa muatan batu kerikil yang tidak ditutup rapat sehingga jatuh bertaburan menghentam cermin kenderaan yang di belakang. Bukannya mendapat simpati sebaliknya mereka diketawakan apabila cermin hadapan kenderaan pecah atau retak.
Kepada siapa sebenarnya pengguna jalan raya lain ingin mengadu? Kepada penguat kuasa, yang kelihatan seperti gembira menyaman kenderaan persendirian yang dipandu laju.
Sehingga sanggup menyorok di sebalik tiang jambatan, di atas bukit di tepi lebuh raya dan pelbagai tempat tersorok lagi.
Mereka ini seolah-olah lupa sebenarnya tugas mereka sebenarnya adalah mendisiplinkan pemandu bukannya mencukupkan kuota saman.
Tidakkah mereka ini didedahkan sistem penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara maju di mana pemandu yang melanggar undang-undang termasuk memandu melebihi had laju akan dikejar dan diberikan saman serta-merta dan bukannya di saman ekor yang kemudian selepas enam bulan baru dihantar secara pos.
Jika begini corak penguatkuasaan peraturan di jalan raya di negara kita, nampaknya ia tidak akan berjaya diperbaiki. Sudahlah ia dibuat seolah-olah secara bermusim, berpilih-pilih dan tidak mengikut satu standard operasi antarabangsa maka apakah yang akan diharapkan lagi?
Kepada pihak Kementerian Pengangkutan, sila semak semula modul sekolah memandu kita. Apakah ia sesuai dengan perkembangan dan pertambahan kenderaan serta corak jalan raya negara kini.
Malah tidak pelik sekiranya ramai yang tidak mengetahui cara untuk menggunakan jalan-jalan mengikut kelasnya. Tentu ada juga yang berfikir bahawa memandu di lebuh raya sama saja dengan jalan persekutuan.
Apakah pasukan penguat kuasa juga tidak didedahkan dengan modul pemanduan di lebuh raya? Sehingga melalui beberapa pengalaman peribadi apabila soalan berkenaan ditanyakan setengah mereka turut terpinga-pinga apabila dimaklumkan bahawa menghalang lorong laju untuk digunakan bagi tujuan memotong sebagai satu kesalahan atau kenderaan komersial menggunakan lorong paling kanan adalah salah -- tidak diketahui mereka.
Kerana itu, insiden sedih berlaku lagi. Ramai yang menjadi korban di jalan raya. Sedangkan ia boleh dielakkan sekiranya semua pihak melakukan sesuatu tindakan secara bijaksana serta teratur.
Bukan hanya hangat-hangat tahi ayam atau sekadar melepas batuk di tangga sahaja.
Tidak ada gunanya wujud Jabatan Keselamatan Jalan Raya jika hanya membuat kempen mengagihkan topi keledar atau menunjukkan cara memakai tali keledar sewaktu musim perayaan.
Ia perlu sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu. Ia perlu dilaksana secara bijaksana, terancang malah perlukan tanda aras tertentu.
Jangan terlalu melihat ke dalam dan asyik memikirkan bahawa kita sahaja hebat sedangkan hakikatnya ramai tenaga pakar di luar yang boleh dijemput membantu.
Kita perlu menggunakan sedikit belanja bagi mencari pakar untuk berkongsi dalam merangka pelan strategi sebagaimana yang dilaksanakan oleh Polis, Rela dan beberapa Jabatan lain yang sudah melaksanakan transformasi berskala besar.
Jangan lagi menunggu sehingga makin ramai menjadi mangsa ataupun mungkin saudara mara atau anak isteri mereka yang berstatus ketua pengarah atau pengarah sendiri terkorban baru ingin dilaksanakan pembaharuan.
Bukalah mata dan buka minda, jangan biarkan jalan raya kita menjadi sungai mayat.
Mulakanlah agenda itu sekarang tanpa menangguhkannya lagi sehingga rakyat menjadi jelak dengan pelbagai alasan dan saling menuding jari bagi melepaskan tanggung jawab masing-masing.

Kereta berundur sejauh 1,010km

Pemandu kenderaan yang melalui Lebuhraya Cheras Kajang terkejut apabila melihat aksi sebuah kereta dipandu secara mengundur yang dilakukan oleh I. Rajagopal untuk mencipta nama dalam Guinness World Records.

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Pengalaman memandu secara mengundur sejauh 13 kilometer ke stesen minyak ketika kereta rakannya hampir kehabisan minyak memberi idea kepada seorang pakar motivasi untuk mencipta rekod dunia terhadap aksi tersebut.
I. Rajagopal, 56, berkata, beliau mahu mencatat namanya dalam Guinness World Records dengan memandu secara mengundur melalui jalan negeri sejauh 1,010 kilometer dari Johor ke Kedah sebelum berpatah balik ke Butterworth bagi menamatkan perjalanan dalam tempoh enam hari.
"Dua tahun lalu, saya telah memandu secara mengundur sejauh 88 kilometer dari Johor Bahru sehingga ke Pulai Beach Resort, Desaru untuk mencipta rekod Malaysia.
"Kali ini, saya mahu mengharumkan nama Malaysia dan sekali gus menjadi orang pertama di dunia melakukan aksi sebegini," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Jalan Rahmat di sini hari ini.
Ketika di sini, Rajagopal bersama konvoi empat kereta yang diiringi polis itu kemudian dilepaskan semula oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.
Turut hadir Ketua Pemuda MIC, T. Mohan dan Pengerusi Kelab Berkereta Oliver Putra Motorsport Jay Bee, Sa'dun Safihe.
Jelas Rajagopal, objektif utama percubaannya itu adalah untuk menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat negara ini dengan mempromosikan semangat 1Malaysia.
"Percubaan saya ini merupakan satu titik tolak kepada generasi muda untuk terus melakukan aktiviti berteraskan nasionalisme dan terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," ujarnya.
Sementara itu, Sa'dun berkata, pihaknya turut mahu mengumpul seberapa banyak mungkin tandatangan rakyat negara ini bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap gagasan 1Malaysia.
"Kami lakukan kerja murni ini bagi menunjukkan sokongan kepada gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Bahasa Melayu bahasa perpaduan

BULAN Bahasa Kebangsaan tiba lagi dan pastinya seperti tahun sebelumnya mereka yang komited terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan akan terus melaung-laungkan seruan agar semua pihak khususnya pemimpin politik benar-benar serius untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
Rakyat Malaysia yang serius untuk mewujudkan perpaduan antara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama akan tetap berusaha sedaya upaya untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia menguasai bahasa Melayu dengan sebaik mungkin.
Pada era dunia globalisasi yang semakin terbuka ini pastinya kita tidak berfikiran sempit untuk mengabaikan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia bahkan penguasaan mana-mana bahasa sekalipun perlulah digalakkan khususnya buat generasi muda.
Namun begitu, kita pastinya tidak mahu mengabaikan bahasa Melayu yang mempunyai seni keindahan gaya bahasanya yang sendiri terutamanya apabila kita mendalami keunikan makna tersirat di sebalik puisi, pantun, syair, gurindam, sajak, seloka dan sebagainya.
Agak memalukan kita rakyat Malaysia tatkala sebilangan rakyat negara asing seperti Rusia, China, Jepun dan sebagainya yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan tepat manakala masih ramai rakyat Malaysia yang gagal dan tidak berusaha untuk menguasai bahasa Melayu dengan tepat bahkan lebih gemar mencemarkan keindahan bahasa itu dengan bahasa rojak yang celaru.
Pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti di papan iklan, dialog filem dan juga dalam perbualan seharian perlulah diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ia juga mencerminkan kecelaruan dalam pemikiran.
Pemimpin utama negara perlu berani dan tidak malu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam siri ucapan mereka serta jangan ada krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu dalam diri mereka supaya ia dapat dijadikan contoh tauladan yang baik kepada keseluruhan rakyat Malaysia.
Dalam keghairahan mahu dilihat bersifat antarabangsa juga pihak pentadbiran awam, swasta, universiti dan sebagainya tidak perlu mengabaikan bahasa Melayu dalam program-program anjuran mereka.
Kuasailah bahasa-bahasa asing sebanyak mungkin, ungkapkan bahasa-bahasa tersebut dengan betul dan pastikan bahasa ibunda tetap diperjuangkan.
Semoga Bulan Bahasa Kebangsaan yang sedang berlangsung ini mampu meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu demi negara Malaysia yang tercinta.

Dunia di ambang krisis makanan

Pertemuan yang diadakan di Rom, Itali itu terpaksa diadakan selepas Rusia mengambil langkah drastik menghentikan eksport hasil pertanian gandum dan barli mereka. Tindakan Rusia itu didorong oleh penyusutan mendadak hasil pertanian negara itu kerana masalah perubahan cuaca yang ekstrem.
Sejak pertengahan tahun ini, suhu di Rusia mencecah sehingga 40 darjah Celsius menyebabkan lembah pertanian gandum dan barli kering-kontang dan terbakar. Negara itu bukan sahaja terpaksa menghentikan eksport hasil pertanian, malah mengumumkan akan mengimport pula kira-kira lima juta tan gandum dan barli bagi tahun 2010/2011.
Tindakan Rusia mengundang kebimbangan di banyak negara sekali gus melonjakkan harga bahan makanan tersebut di pasaran dunia. Awal Julai lalu, harga kedua-dua bahan makanan itu naik hampir 50 peratus.
Di pasaran AS, harga barli yang merupakan sumber makanan utama bagi sektor penternakan meningkat daripada 500 sen per dolar AS kepada 750 sen per dolar AS. Harga gandum pula dijual pada 250 dolar AS per metrik tan berbanding 175 dolar AS sebelumnya.
Peningkatan harga hasil pertanian itu tidak menunggu masa yang lama untuk mencetuskan kesan domino apabila harga barangan berasaskan sektor penternakan seperti daging dan hasil tenusu turut melonjak.
Bimbang dengan kesan yang boleh berlaku daripada tindakan Rusia itu, PBB pantas mengingatkan negara-negara lain untuk tidak mengambil langkah serupa. Ini kerana sudah ada desas-desus beberapa negara pengeluar utama gandum dan barli seperti Australia serta Kanada sedang berkira-kira untuk menghentikan eksport mereka.
Sama seperti Rusia, Australia ketika ini juga berdepan dengan tekanan penyusutan hasil pertanian itu ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu. Negara pengeksport keempat terbesar gandum itu tidak dapat menuai hasil tanaman tersebut dari wilayah baratnya kerana suhu yang terlalu panas.
Keadaan sebaliknya berlaku di Kanada apabila musim pertanian negara tersebut tahun ini jatuh serentak dengan musim hujan. Apa yang boleh dijangkakan, panas melampau di Australia dan cuaca lembap di Kanada akan mengurangkan hasil pertanian gandum.
Di rantau Asia Selatan, Kazakhstan dan Ukraine yang juga termasuk dalam kategori negara pengeluar gandum dan bijirin turut berdepan dengan ancaman serupa. Bagi negara-negara di rantau Asia yang kebanyakan rakyatnya menjadikan beras sebagai makanan ruji, kekhuatiran serupa sedikit pun tidak berbeza.
Bekalan beras menyusut dengan drastik serentak dengan apa yang berlaku terhadap pengeluaran gandum kerana faktor yang sama. Negara-negara pengeluar seperti China, Myanmar, Vietnam dan Pakistan tidak mampu menampung permintaan bekalan dunia kerana beberapa faktor.
Punca utama sudah semestinya bencana alam kerana perubahan cuaca yang luar biasa. Wilayah pertanian yang meluas di Pakistan tidak lagi kelihatan ketika ini selepas ditenggelamkan oleh banjir besar awal Ogos lalu.
Bencana alam yang disifatkan terburuk dalam sejarah Pakistan itu turut mengorbankan kira-kira 1,600 orang dan menjadikan berjuta-juta rakyatnya yang lain sebagai pelarian. Untuk tempoh yang panjang, Pakistan bukan hanya tidak mampu mengeluarkan hasil pertanian.
Malah, mengharapkan dunia luar menghulur bantuan makanan kepada rakyatnya yang kini diancam kebuluran. China yang meskipun menyaksikan pertumbuhan ekonomi luar biasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, turut mencatatkan kejadian bencana alam yang luar biasa juga sifat dan jumlahnya.
Banjir besar dan ribut taufan menyebabkan China berdepan kesukaran menguruskan sektor pertanian mereka dengan baik. Negara-negara pengeluar padi utama Asia Tenggara seperti Myanmar, Vietnam dan Thailand juga berdepan dengan ancaman bencana alam yang serupa.
Sesuatu yang pasti, krisis kekurangan bekalan makanan ini akan lebih menjerut negara-negara miskin terutamanya di benua Afrika dan Afghanistan.
Dari 50 buah negara yang menghadapi krisis makanan ketika ini, 36 buah negara terletak di rantau Afrika. Antaranya seperti Sudan, Chad, Liberia, Zimbabwe dan Republik Congo.
Di negara-negara ini, pembunuhan sesama rakyatnya kerana berebutkan makanan bukanlah sesuatu yang asing. Inilah yang dibimbangi oleh PBB daripada krisis bekalan makanan terbaru kali ini kerana sudah ada laporan berlakunya keganasan serupa di Zimbabwe baru-baru ini.
Afghanistan pula termasuk antara negara paling berisiko kerana faktor-faktor seperti konflik politik dan peperangan selain mempunyai jumlah penduduk yang paling ramai berada di bawah garis kemiskinan.
Krisis bekalan makanan terbaru ini juga akan menjejaskan usaha PBB untuk mengurangkan jumlah penduduk dunia yang kekurang gizi atau kelaparan.
Tahun ini, usaha itu terutamanya menerusi FOA dan organisasi kemanusiaan antarabangsa mula menampakkan hasil apabila buat pertama kalinya selepas 15 tahun, jumlah penduduk yang terpaksa berlapar berkurangan.
Menurut rekod FOA, jumlah penduduk dunia yang terpaksa berlapar atau kekurangan gizi ialah seramai kira-kira 920 juta orang. Ia merupakan penurunan yang agak besar berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 1.02 bilion orang.
Begitu pun, jumlah itu masih tinggi berbanding sebelum berlakunya krisis bekalan makanan pada 2008. FAO turut merekodkan seramai enam orang bayi dan kanak-kanak meninggal dunia setiap saat kerana kelaparan atau kekurangan gizi.
Ini merupakan jumlah yang tinggi dan PBB tidak menolak krisis bekalan makanan terbaru akan menyebabkan lebih ramai yang mati kebuluran

Cemerlang melalui vokasional

SAYA menyokong penuh cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan pendidikan vokasional dimulakan dari awal. Ini kerana pelajar yang diberi pengajaran di sekolah mempunyai tahap penerimaan pembelajaran yang berbeza. Ada pelajar yang boleh mengikuti akademik dengan cemerlang dan ada pelajar yang tidak dapat mengikutinya.

Pelajar yang tidak dapat mengikuti pelajaran ini akan merasa tersisih dan merasakan diri mereka tidak diperlukan walaupun dalam diri pelajar-pelajar ini ada kebolehan lain yang perlu digilap dan disemai. Mereka mempunyai kemahiran tangan pemberian Allah yang amat berguna.
Kerana itulah saya amat menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran agar pendidikan vokasional dimulakan selepas sahaja pelajar tamat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Ini kerana pihak guru sudah tentu dapat melihat pencapaian pelajar mereka selama enam tahun di sekolah rendah, dan tahap pencapaian pelajar yang memerlukan mereka kepada pendidikan vokasional sudah dikenalpasti. Pelajar yang lemah dalam akademik perlu disarankan mengikuti pelajaran vokasional.
Minat pelajar ini akan bertambah kerana mereka tahu sekalipun tidak dapat mengikuti pelajaran akademik, tangan mereka boleh membuat sesuatu yang baik untuk masa depan masing-masing.
Pendidikan vokasional ini akan menjadikan pelajar yang tidak cemerlang akademik menumpukan kepada apa yang mereka minati. Memupuk minat pelajar seawal ini akan banyak memberi kesan positif, antaranya:
* Mengurangkan masalah disiplin pelajar yang tidak berminat dengan akademik.
* Membolehkan pelajar mendapat pengetahuan dan pengalaman pada usia muda.
* Membolehkan pelajar merekacipta benda baru.
* Menambahkan bilangan tenaga mahir negara yang berkualiti dan sesuai dengan perkembangan industri.
* Membantu menjadikan Malaysia negara maju dan produktif.
* Mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja dari negara luar.
Saya ingin mencadangkan kelas pendidikan vokasional dilaksanakan dalam tiga kategori, iaitu Kelas Vokasional Junior, Kelas Vokasional Senior dan Kelas Vokasional Lanjutan.
Kelas Vokasional Junior adalah untuk pendidikan yang diberi di awal tingkatan satu hingga ke tingkatan tiga dalam bentuk vokasional umum. Semua pelajar akan belajar semua bidang vokasional iaitu elektrik, mekanikal dan awam.
Pada peringkat ini, pelajar sudah dapat menilai minat sebenar mereka dalam bidang apa. Pelajar-pelajar ini juga perlu kerap dibawa melawat ke industri supaya mereka tahu hala tuju minat mereka.
Jadi apabila mereka berada di tingkatan empat, mereka telah mempunyai pelbagai kemahiran asas yang diperoleh dari tingkatan satu, dua dan tiga. Setelah mereka faham dengan diberi penerangan yang jelas oleh guru, apabila di tingkatan empat pelajar ini sudah boleh membuat pengkhususan bidang apa yang akan diceburi untuk masa depan. Di sini akan berlaku peningkatan pengetahuan dan kemahiran vokasional yang ketara apabila mereka membuat pengkhususan dalam tingkatan empat dan lima.
Kelas Vokasional Senior pula untuk pelajar tingkatan empat dan lima mengikuti pengkhususan yang mereka minat dengan penekanan 70 peratus secara praktikal dan 30 peratus teori berhubung kursus yang diikuti.
Kelas Vokasional Lanjutan pula untuk memberikan pendidikan lanjutan selama setahun kepada pelajar untuk menyediakan mereka memasuki alam pekerjaan. Apabila pelajar ini keluar dari sekolah vokasional, mereka perlu diberi pengiktirafan yang tinggi dengan sijil atau sijil lanjutan yang setaraf sijil politeknik atau diploma.
Saya melihat anak-anak saya yang belajar di sekolah menengah vokasional kini berjaya dalam bidang masing-masing. Ini kerana semasa di sekolah mereka mendapat pengetahuan dan kemahiran yang sebenar. Anak-anak saya juga dibawa melawat ke industri berkaitan semasa mereka berada di sekolah vokasional.
Oleh itu saya ingin mencadangkan agar ada industri atau syarikat-syarikat besar menjadikan sekolah-sekolah vokasional sebagai anak angkat dalam hubungan ‘menang-menang’. Ini membolehkan industri mengambil pelajar lepasan sekolah vokasional dan sekolah pula mendapat pengetahuan baru seiring dengan perubahan teknologi.
Saya berharap saranan Timbalan Perdana Menteri itu akan segera diambil perhatian sekali gus dipraktik oleh Kementerian Pelajaran agar kita menjadi negara maju dengan tenaga pakar yang dikeluarkan oleh sekolah vokasional kita sendiri.
Saya yakin kita boleh melakukannya kerana sekolah vokasional dengan guru-gurunya yang mempunyai pelbagai kemahiran banyak mengeluarkan modal insan yang pada mulanya tidak diperlukan di sekolah akademik/harian biasa. Keluaran sekolah vokasional inilah sekarang yang banyak membantu membangunkan negara.

DNA bukan faktor utama sabitan kes jenayah

ASID deoksiribonukleik (DNA) merupakan sebatian kimia kompleks mengandungi unsur karbon, hidrogen, oksigen dan fosforus di dalam nukleus setiap sel.

DNA boleh memberi maklumat perkembangan secara biologi dan kimia seseorang individu. Atas dasar itu, analisis atau ujian DNA bermaksud proses mengenal pasti profil atau identiti seseorang berdasarkan kaedah kajian makmal.
Setiap unit nukleus (nukleotida) dari sel yang dikaji biasanya mengandungi tiga molekul asas terdiri daripada gula deoksiribosa dan bes bernitrogen yang terangkai bersama kumpulan fosfat. Satu molekul pula boleh mengandungi antara empat hingga lima juta unit nukleotida.
Apa yang penting proses membuat profil (profiling) hasil uji kaji tisu badan, tulang dan rambut mangsa ini perlu mempunyai rujukan dengan individu yang mempunyai hubungan biologi dengan mangsa tersebut. Misalnya ibu, bapa, anak dan adik-beradik kandung.
Ini kerana di negara ini kita masih tidak mempunyai pangkalan data DNA untuk warganegara sepertimana di negara maju, misalnya di Amerika Syarikat. Oleh itu, langkah pelbagai pihak untuk menyokong usaha penubuhan pangkalan data tersebut amat dialu-alukan.
Tanpa bukti DNA, pihak berkuasa masih mempunyai teknik dan kaedah lain dalam proses pengumpulan bukti untuk memastikan sesuatu kes jenayah yang berlaku boleh memungkinkan individu tertentu disabitkan. Apa yang utama, pihak polis perlu mempunyai urutan rantaian bukti (chain of evidence) yang kukuh untuk mensabitkan sesuatu kes.
Profil DNA hanyalah satu cara yang bersifat saintifik bagi membantu penyiasatan dan menyokong pendakwaan oleh pihak Peguam Negara dengan nilai kukuh dan bukti yang sukar dipatahkan mahupun dilenturkan oleh barisan peguam bela.
Beberapa tahun lalu, terdapat satu kes di mana pihak peguam bela berjaya melepaskan orang kena tuduh (OKT) disebabkan wujud bukti melampau dan keraguan munasabah oleh pihak peguam bela walaupun DNA OKT dikesan pada tubuh mangsa. DNA hanya bersifat menyokong kes pendakwaan dan bukannya faktor penentu sabitan sesuatu kes berjaya dilakukan. Kes yang berlaku beberapa tahun lalu itu melibatkan satu OKT dituduh berada di tempat kejadian berdasarkan kesan air mani OKT ada dalam badan mangsa, namun kewujudan dua lagi DNA air mani menunjukkan ada kemungkinan dua orang lain menjadi pembunuh sebenar.
Walaupun peguam bela mempunyai himpunan hujah untuk memecahkan rantaian bukti yang dikemukakan, ia bukan perkara yang perlu digusarkan kerana keterangan yang menjurus kepada penemuan bukti dan barang milik mangsa lebih daripada cukup secara teknikalnya untuk mendapatkan sabitan yang sukar dileraikan.
Soal utama bukan siapa menjadi peguam bela, tetapi bagaimana mereka boleh mencabar bukti yang dipersembahkan oleh pihak pendakwaan dengan cara yang penuh teknikal dan hujah perundangan bersandarkan Akta Keterangan 1960 dan kes-kes terdahulu.
Kes bersabit DNA yang paling terkenal ialah kes liwat melibatkan seorang ahli politik yang membawa kepada bukti berupa tilam diusung ke mahkamah. Tilam tersebut didakwa sebagai bukti seperti dalam pertuduhan tersebut dilakukan.
Kesan tompok air mani lama beberapa individu di atas tilam tersebut menjadi bualan orang ramai kerana buat kali pertama dalam sejarah bukti DNA diuar-uarkan. Bukti DNA ini dihebohkan hingga menenggelamkan bukti lain yang turut menyokong kes pendakwaan.
Sewajarnya kita tidak membincangkan sesuatu di luar bidang kuasa kita sebagai pihak yang tidak melihat sesuatu fakta atau bukti dari pelbagai sudut pandangan dan pendekatan sebagaimana pihak polis, pihak pendakwaan dan peguam bela dalam sesuatu kes.
Demi prinsip Kedaulatan Undang-undang dalam Rukun Negara, setiap kes yang dibicarakan di mahkamah tidak boleh hanya bersandarkan bukti DNA dan spekulasi semata-mata.
Pendakwaan sudah pasti akan merangkumi semua aspek daripada sekecil-kecil fakta hingga kepada kesimpulan yang akan memastikan bukan semua pendakwaan memerlukan bukti DNA kerana undang-undang keterangan bukanlah setakat bukti tersebut. Kes-kes yang terdahulu telah membuktikannya.

Guna stevia ganti gula

Pokok stevia bukan sahaja boleh menggantikan gula malah lebih murah dan mudah.



Kerajaan disarankan agar menggantikan penggunaan gula sebagai pemanis dengan tumbuhan stevia yang mampu mengurangkan kadar penyakit diabetis di kalangan orang ramai.
Pengurus Besar C. T. Lang Development (M) Sdn. Bhd., Abdullah Mohamad berkata, penggunaan tumbuhan itu adalah satu cara yang terbaik untuk menangani masalah tersebut.
"Tumbuhan stevia yang mampu tumbuh subur di negara ini dapat menstabilkan kandungan gula dalam darah dan pada masa yang sama dapat menurunkan risiko menghidapi diabetis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan khasUtusan Malaysia kelmarin yang mengupas ketagihan rakyat negara ini yang tergamak meracuni diri mereka dengan racun yang bernama 'gula'.
Tabiat ini sekali gus menyumbang kepada kematian dan dilaporkan empat daripada lima pesakit diabetes di negara ini akan mati akibat penyakit jantung selain enam kejadian strok yang berlaku pada setiap jam.
Tambah Abdullah, berbanding gula, stevia adalah 30 kali ganda lebih manis dan harganya juga lebih murah.
"Di Jepun, kerajaannya menggunakan tumbuhan ini sebagai sumber kemanisan mereka, kenapa tidak di sini?
"Pada pendapat saya, penggunaan stevia menggantikan gula adalah satu langkah yang menguntungkan dan berkesan," ujarnya.
Tambahnya, sejak beberapa kilang memproses gula di Chuping, Perlis dan Padang Terap, Kedah ditutup, negara mengimport gula daripada India.
Jelasnya, aktiviti mengimport gula menyebabkan aliran keluar wang tinggi sekali gus merugikan negara.
"Justeru, saya turut menggalakkan orang ramai mengubah tabiat pemakanan melibatkan gula mereka kepada tumbuhan ini yang jelas lebih berfaedah kepada kesihatan mereka," ujarnya.

Kukuhkan perpaduan demi sebuah negara berdaulat

BUAT pertama kalinya dalam sejarah pembentukan negara Malaysia, tarikh 16 September dijadikan cuti umum bagi seluruh negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengisthiyarkan cuti umum itu pada tahun lalu berkata, Hari Malaysia akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengerat perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat dalam bidang sukan, sosiobudaya, dan kesenian bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia.
Cuti umum itu boleh digunakan untuk saling kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan beragama Islam yang masih menyambut Hari Raya Aidilfitri. Inilah masa paling sesuai dan mengambil keberkatan Syawal, rumah terbuka yang diadakan diharap dapat mengukuhkan perpaduan rakyat. Inilah juga masa paling sesuai untuk memahami perbezaan budaya sesama rakyat dalam menghayati sambutan hari bersejarah ini.
Lebih daripada itu, sambutan Hari Malaysia yang diraikan hari ini oleh seluruh rakyat dari Perlis hingga ke Sabah diharap dapat mengukuhkan perpaduan penduduk berbilang kaum. Uniknya negara Malaysia kerana ia memiliki penduduk yang berbeza warna kulit, keturunan, etnik, budaya, agama, bahasa ibunda dan bangsa yang mana selepas 53 tahun negara ini bebas daripada cengkaman penjajah Inggeris dan 47 tahun membentuk Malaysia, kita masih hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni.
Tidak ada perbalahan kaum yang berlaku lagi selepas tragedi 13 Mei 1969 dan setiap pemimpin kaum dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kedamaian yang dimiliki hari ini, walaupun ada kalanya, keharmonian itu dijentik sedikit oleh pemimpin-pemimpin yang cepat melatah dalam mendepani isu berkaitan perpaduan rakyat.
Apa yang kita harapkan, perhimpunan di bumi Sabah Negeri Di Bawah Bayu pada hari ini akan menjadi titik permulaan kepada semua pemimpin kaum dan setiap rakyat untuk bermuhasabah diri bahawa sebarang kerosakan pada jalinan perpaduan yang wujud sekarang hanya akan memberi kesan paling buruk dalam sejarah pembentukan Malaysia.
Adakah kita mahu kehidupan aman damai sekarang rosak dek kerana sikap segelintir pihak yang cuba menangguk di air keruh. Memang diakui bahawa suasana dalam negara sekarang agak membahang, bukan kerana perubahan cuaca global yang semakin meningkat, tetapi kerana sikap sesetengah pemimpin kaum yang gemar bermain api.
Justeru, peranan kita sebagai rakyat yang merdeka adalah berusaha dengan penuh bijaksana agar api permusuhan yang dimulakan oleh mereka yang hanya memikirkan diri sendiri sehingga membelakangkan kepentingan negara dapat dipadamkan dan dibenamkan terus ke dalam lumpur laut dalam.
Selain itu, beberapa insiden yang dilihat boleh menjejaskan silaturahim antara kaum yang berlaku sejak kebelakangan ini hendaklah dijadikan iktibar dan biarkanlah biduk berlalu agar kiambang dapat bertaut semula.
Apa yang penting adalah sepakat membawa berkat di mana kesepakatan dan jati diri yang utuh dan padu wajar ada pada diri setiap warga negara ini.
Tanpa toleransi, hormat menghormati dan saling memahami, maka segala apa yang kita miliki termasuk ekonomi yang mantap, pembangunan yang rancak dan keselamatan persekitaran dalam kehidupan yang serba mencabar hari ini akan runtuh menyembah bumi. Adakah kita mahu ia berlaku di negara bertuah ini? Tepuk dada, tanya selera. Salam 1Malaysia.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket