Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Guna teknologi untuk haji

Namun ramai di antara mereka yang akan merindui detik-detik sepanjang menunaikan ibadah dan pastinya akan terdetik di hati mereka rasa keinsafan tentang kebesaran Tuhan dan betapa kerdilnya manusia.
Di sanalah perasaan kerdil ini yang hanya dikongsi oleh umat Islam kerana pelbagai jenis manusia dari pelbagai latar belakang bersama-sama menunaikan ibadah haji dengan meninggalkan segala pangkat, harta dan kekayaan bagi menumpu kepada menjalankan kewajipan terhadap Tuhan yang satu.
Pastinya dengan berakhirnya ibadah haji ini, ia akan meninggalkan seribu satu keinsafan kepada diri bahawa Tuhan itu terlalu agung. Tapi apakan daya segala ketentuan telah ditetapkan dan akhirnya manusia akan kembali dengan urusan seharian mereka selepas ini. Namun di sebalik pelbagai peristiwa yang berlaku, ibadah haji ini tetap akan tercatat sebagai satu peristiwa penting dalam kalendar setiap umat Islam.
Selain itu bagi setiap umat Islam yang mengembara ke bumi Mekah pada musim haji akan cuba untuk memperoleh haji mabrur. Malah adalah lebih baik jika mereka dapat membawa kemabruran itu ke dalam lingkungan masyarakat sama ada di kalangan keluarga, jiran mahupun rakan sekerja
Menurut ulama, haji mabrur adalah haji yang tidak dicampuri dengan dosa-dosa. Ini bermaksud bahawa kebajikan haji yang diperoleh mereka yang melakukannya telah mempertahankan diri daripada melakukan maksiat dan dosa. Orang yang mendapat haji mabrur akan semakin kuat imannya serta makin meningkat amal ibadatnya. Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga, justeru ia menjadi harapan setiap orang yang beriman.
Untuk ibadah haji tahun ini kira-kira 2.5 juta umat Islam berhimpun di sana bagi menunaikan wukuf di Arafah yang merupakan acara kemuncak haji. Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz berkata, bilangan jemaah dari luar negara mencecah 1.8 juta orang iaitu tertinggi dalam sejarah, manakala kira-kira 200,000 permit dikeluarkan untuk jemaah tempatan termasuk warga Saudi dan negara Arab Teluk.
Bagaimanapun puluhan ribu jemaah tanpa permit turut membanjiri Mina, dengan memintas sekatan jalan raya yang didirikan oleh pihak berkuasa bagi menguatkuasakan peraturan 'tiada permit, tiada haji'.
Menjelang terbit matahari pada sembilan Zulhijjah, tempat tertinggi di Arafah, Jabal Rahmah dipenuhi sebilangan jemaah berpakaian ihram yang mendaki ke puncak untuk mengambil kedudukan dan menghabiskan masa dengan berdoa dan berzikir.
Selepas Maghrib, jemaah bergerak ke Muzdalifah, separuh perjalanan di antara Arafah dan Mina, untuk bermalam (mabit) dan mengutip anak batu bagi tujuan melontar jamrah.
Ibadat
Mereka kembali ke Mina selepas solat subuh esok untuk mula melontar jamrah dan melakukan ibadat korban. Alhamdulillah, perjalanan haji tahun ini bebas daripada sebarang insiden tidak diingini.
Namun berbeza dengan musim haji sebelumnya, tahun ini dengan pelbagai pembangunan dan dibantu kecanggihan teknologi ternyata ia telah banyak membantu umat Islam memudahkan urusan mereka di sana.
Sebelum ini, mereka yang mahu mengerjakan ibadah haji akan menyalin segala ayat serta pesanan dari guru agama dan mufti di dalam buku nota kerana takut terlupa potongan ayat al-Quran yang penting yang perlu dibaca ketika mengerjakan ibadah berkenaan.
Kini, ada di antara mereka hanya membawa iPad masing-masing sebagai rujukan sepanjang mengerjakan ibadah berkenaan.
Dengan iPad, ia mempunyai satu aplikasi yang memberi panduan haji lengkap bagi memudahkan rujukan kepada setiap jemaah yang mengerjakan ibadah berkenaan.
Selain itu, telefon pintar seperti BlackBerry dan iPhone juga memberi peluang kepada jemaah haji mengambil gambar di dalam Masjidil Haram bagi merakamkan kenangan manis mereka di sini.
Selain penggunaan peralatan canggih, pelan kerajaan Arab Saudi dalam mengawal kesesakan yang sebelum ini mampu memberikan masalah kepada jemaah dilihat berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.
Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi telah menyediakan pelan rapi yang bertujuan untuk mengawal kesesakan di Jambatan Jamrah semasa jemaah haji mula melontar jamrah di Mina.
Menurut pelan tersebut, jemaah yang tiba di Jambatan Jamrah dengan tren Masyair akan dikumpulkan semula untuk memastikan mereka melaksanakan kerja melontar di semua tingkat kompleks itu.
Komander Pertahanan Awam di Jamrah, Brigadier Jeneral Zuhair Seibiyah berkata, fokus pelan itu juga adalah untuk mengelakkan pergerakan terlalu ramai jemaah di laluan masuk dan laluan keluar di kompleks jambatan lima tingkat itu semasa waktu puncak.
Katanya, lebih 1,300 pegawai melaksanakan pelan tersebut yang membenarkan jemaah melakukan lontaran antara 11 pagi hingga 6 petang (4 petang hingga 11 malam waktu Malaysia) selama empat hari mulai hari ini sehingga 19 November (10-13 Zulhijjah).
"Segala persiapan sudah dilakukan bagi mencegah kesesakan jemaah di tingkah bawah dan tingkat satu jambatan dan mengagihkan mereka untuk melakukan kerja melontar di kesemua lima tingkat jambatan," ujarnya.
Seibiyah berkata, Pertahanan Awam sudah membuat persiapan khas untuk menerima jemaah yang menaiki tren Masyair di tingkat empat jambatan.
"Kemudian eskalator akan digunakan untuk membawa mereka ke tingkat lain sebagai sebahagian langkah untuk mengelakkan kesesakan dan insiden rempuhan.
"Dengan siapnya kelima-lima tingkat, struktur jambatan raksasa mempunyai kapasiti untuk mengendalikan 400,000 jemaah sejam," katanya.
Kemudahan tersebut juga telah melipatgandakan keupayaan pasukan Pertahanan Awam untuk bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan, tambah komander itu.
Selain itu, bilangan lokasi pemantauan di Jamrah ditingkatkan daripada 51 kepada 102 bagi membolehkan anggota Pertahanan Awam mengawasi pergerakan jemaah dan menghantar bantuan kepada jemaah yang memerlukan pertolongan cemas.
Begitulah keadaan yang berlaku dalam musim haji tahun ini. Walaupun dari segi semangat dan kerinduan untuk menunaikan haji itu tetap membara seperti tahun-tahun sebelumnya, namun dengan kecanggihan teknologi ia mampu menjadikan perjalanan menunaikan haji lebih selesa dan kondusif.
Namun walau apa pun keadaannya apa yang penting niat dan persediaan perlu diutamakan cumanya bantuan teknologi dan prasarana yang semakin ditambah baik oleh kerajaan Arab Saudi ini pastinya akan mampu memudahkan semua urusan bagi tetamu Allah SWT yang akan semakin bertambah pada saban tahun.

HAD LAJU KENDERAAN AWAM

KEMALANGAN bas biasanya dikaitkan dengan kelajuan. Saya cadangkan penggunaan peralatan Ia adalah sebuah alat elektronik di dalam kenderaan yang mempunyai pelbagai fungsi.
Salah satunya, boleh mengawal kelajuan. Dengan cara menetapkan had kelajuan, enjin tidak akan dapat mencapai had rpm yg dikehendaki walaupun pedal minyak ditekan untuk mendapatkan kelajuan yang diingini pemandu.
Diharap, pihak berkuasa dapat menjadikan kawalan had laju ECU-electronic control ini sebagai satu undang-undang (made by law) untuk pengangkutan awam, bas ekspres khususnya.........

B737-800 buka lembaran baharu MAS


Pesawat Boeing B737-800 milik MAS mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, baru-baru ini.


Penerimaan pesawat Boeing, B737-800 pada 1 November lalu bukan hanya menyaksikan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) memiliki pesawat baharu, tetapi juga mencerminkan titik permulaan hala tuju syarikat penerbangan kebangsaan itu.
Dalam industri penerbangan yang sengit persaingannya, permodenan angkatan pesawat dilihat penting kerana inisiatif itu bukan sahaja mampu melonjakkan imej, bahkan turut menarik penumpang menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
Seperti mana pesawat baru Airbus, A380 yang dipesan oleh MAS, B737-800 juga boleh menjadi daya tarikan sehingga membuatkan penumpangnya memilih untuk menggunakan perkhidmatan sesebuah pesawat.
Di bawah program permodenan angkatan pesawatnya, MAS telah menempah sehingga 55 buah pesawat B737-800, 25 buah pesawat A330-300 dan enam buah A380.
''Ketika ini, pesawat A380 menjadi faktor daya tarikan kepada penumpang,'' kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, MAS hanya akan menerima pesawat penumpang terbesar pertamanya itu pada 2012, setelah beberapa kali jadual penghantarannya ditunda.
Tengku Azmil berkata, dengan memiliki pesawat B373-800, MAS boleh menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab berikutan pesawat itu mampu terbang lebih jauh berbanding B737-400 yang mempunyai jarak penerbangan sehingga 1,600 batu nautika (2,963 kilometer).
Dengan keupayaan terbang sejauh 3,115 batu nautika (5,765 kilometer), pesawat baharu MAS itu mampu terbang selama enam jam ke Hong Kong dan Jepun dari Kota Kinabalu.
MAS yang menerima B737-800 pada 1 November lalu akan memperoleh dua pesawat yang sama pada tahun ini. Kehadiran pesawat tersebut dilihat oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton yang melawat Malaysia baru-baru ini, sebagai penghubung kerjasama erat antara MAS dengan pengeluar kapal terbang AS.
Pesawat pertama itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada 15 November ini bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dan seterusnya ke Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.
Perkhidmatan B737-400 akan ditamatkan secara berperingkat tetapi tindakan tersebut tidak dilakukan serta-merta.
Berikutan peredaran masa, industri penerbangan juga menghadapi perubahan dan paling ketara ialah kemunculan syarikat penerbangan tambang murah, sekali gus mencetuskan persaingan yang sengit.
Dalam menghadapi persaingan sengit, semua perkara perlu diambil kira khususnya ciri-ciri keselesaan dengan menawarkan tambang pada harga yang kompetitif bagi menarik lebih ramai penumpang.
Pesawat B737-800 milik MAS diberi sambutan semburan pancutan air daripada bomba Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang sebagai gimik menyambut ketibaan pesawat tersebut.


Menerusi penampilan hiasan dalaman skyline interior yang diperkenalkan dalam B737-800, ia dijangka dapat memberi lebih keselesaan kepada penumpang.
Boeing menjangka penampilan skyline interior dapat menarik penumpang tambahan untuk setiap tiga ataupun empat penerbangan bagi kelas ekonomi dan setiap 35 penerbangan untuk kelas pertama, bernilai AS$400,000 (RM1.24 juta) bagi tempoh lima tahun.
Konsep skyline interior merupakan konsep yang sama digunakan pada B787, dikenali Dreamliner, yang dijadual melakukan penerbangan komersial sulung pada pada tahun depan
Konsep tersebut akan menyaksikan dalaman pesawat kelihatan lebih besar dengan mengetengahkan siling yang lebih tinggi dengan lapan mod pencahayaan walaupun lebar dalaman B737-800 adalah sama dengan lebar model B373 terdahulu.
Skyline interior akan menggunakan pencahayaan diod pengeluar cahaya (LED) dan bukaan tingkap yang lebih besar yang membuatkan bahagian dalam pesawat itu lebih terang dengan memberi perasaan seolah-olah berada dalam kabin pesawat berbadan besar.
Boeing turut menambah tempat simpanan barangan dalam B737-800 yang berkeupayaan menyimpan lebih banyak beg dengan menggunakan ruang kabin yang kurang.
B737-800 milik MAS itu turut dilengkapi dengan skrin paparan cecair (LCD) pada setiap kerusi untuk hiburan dalam pesawat.
Seperti mana bahagian dalaman MAS yang baru, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan wajah badan pesawat baru.
"Kesemua B737-800 akan mempunyai wajah badan yang sama. Kami mahu rekaan yang ringkas menggambarkan berterusan dan mesra alam," kata Tengku Azmil.
Menerusi wajah badan pesawat yang baru dengan imej lebih dinamik bukan hanya kepada pesawat tetapi juga perniagaan MAS pada masa depan.

Pembangunan Masjidil Haram dikagumi



Kerja-kerja pembinaan Menara Abraj al-Bayt di Jalan Ibrahim Al Khalil, Mekah giat dijalankan.


Pembangunan Masjidil Haram atau Al Haram dan kawasan persekitarannya menimbulkan rasa kagum pada jemaah haji Malaysia yang pernah tiba di kota suci ini.
Masing-masing yang ditemui Bernama berpandangan kerajaan Arab Saudi melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk memelihara masjid tersebut selain memastikan ia tetap bergerak selaras peredaran zaman.
"Kali pertama menunaikan umrah bersama isteri, Samsukinah Saad, 53, pada 2007. Dalam tempoh empat tahun saja begitu banyak perubahan berlaku di persekitaran Masjidil Haram," kata Mohd. Zaini Nasri.
Pegawai kanan Universiti Utara Malaysia itu berkata, semua kemudahan yang disediakan termasuk bilik air bertaraf dunia.
Sementara itu, Mohd. Jaafar Omar, 57, dan isterinya Faridah Mohd. Yatim, 55, berpendapat kemudahan yang terdapat di Masjidil Haram lebih bagus sekarang.
"Semasa kali pertama menunaikan umrah pada 2005, Masjidil Haram tidak seperti hari ini. Jemaah sekarang mudah melakukan saie atau berehat dalam kawasan masjid sambil membaca al-Quran," kata Faridah.
Masjid tersebut telah melalui pembangunan fasa ketiga (1988-2005) antaranya penambahan menara, tiga kubah, 18 lagi pintu masjid, pembesaran kawasan solat, sistem saliran moden dan penyaman udara.
Pembangunan ini berlaku seiring dengan pembangunan di Arafat, Mina dan Muzdalifah manakala pembesaran fasa keempat bermula dari 2007 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.
Sementara itu, Gabenor Mekah Putera Khaled Al-Faisal memberitahu, pengenalan perkhidmatan tren baru dan bas yang mampu membawa jemaah ke tempat suci dalam tempoh setengah jam, dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan pada musim haji tahun ini.
Akhbar The Saudi Gazette memetik beliau sebagai berkata, beberapa kaedah lain turut dilaksanakan bagi menangani masalah kesesakan.
"Kenderaan kecil yang membawa penumpang kurang daripada 25 orang akan dilarang masuk ke tempat suci, dan ini akan menghindarkan lebih 30,000 kenderaan jemaah tempatan pada musim haji.
"Selain itu, perkhidmatan bas sehala ke tempat suci dijangka memakan masa tidak lebih setengah jam di bawah penyusunan baru sistem pengangkutan," katanya ketika melancarkan kempen kesedaran peraturan haji peringkat kebangsaan kali ketiga di sini semalam.
Putera Khaled memberi amaran kepada pengusaha perkhidmatan haji bahawa mereka bakal berdepan siasatan serta hukuman, jika didapati cuba menipu jemaah.
Bagaimanapun, beliau memuji kejayaan undang-undang 'Tiada Permit, Tiada Haji' bagi mempromosi penganjuran haji secara terancang dan sistematik yang terbukti berkesan sejak dua tahun lepas.
Putera Khaled turut merayu kepada dermawan yang selama ini menyediakan makanan dan minuman kepada jemaah tanpa permit, sebaliknya meminta mereka membiayai perbelanjaan haji golongan itu serta meletakkan mereka di bawah pengurusan pengusaha haji.
Beliau turut menggesa agar kawalan keselamatan di pintu masuk Mekah diperketat bagi menghentikan isu jemaah haji tanpa permit.

Mekah perlu mesra



KEADAAN di Mekah khususnya di Masjidil Haram kini semakin sesak. Manakan tidak, di sinilah bertemu dan berkumpulnya umat Islam dari seluruh pelosok dunia pada musim haji.
Pada tahun 2009, jumlah yang menunaikan rukun Islam kelima ini dianggarkan seramai kira-kira 2 juta orang.
Hal yang sedemikian mendorong kerajaan Arab Saudi memulakan pelan pembangunan Mekah khususnya membesarkan kawasan Masjidil Haram sejak tahun 2008. Ini termasuk menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan Mina.
Sejumlah RM425 bilion dijadual dibelanjakan di bawah projek berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membesarkan infrastruktur dan tempat-tempat suci di Mekah.
Tidak ketinggalan usaha perubahan ini turut merangkumi pelbagai aspek seperti pengangkutan awam, penginapan serta bekalan air bersih.
Selain itu, sistem monorel yang menghubungkan Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah juga sudah mula digunakan untuk musim haji kali ini.
Kerja-kerja pembangunan ini sedang giat dijalankan bagi memastikan beberapa projek mega yang dilaksana di kota suci ini siap menjelang 2012.
Antara projek mega itu adalah Menara Abraj al-Bayt yang dan bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.
Bangunan berkenaan yang juga menempatkan kompleks hotel gergasi. Di atasnya tersergam indah sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.
Kompleks itu yang dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Arab Saudi mengandungi tujuh menara hotel serta 3,000 bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidil Haram.
Anak kelahiran Mekah, Salman Ismail, 44, menyambut baik langkah kerajaan Saudi membangun dan menaik taraf kemudahan di Masjidil Haram dan Mekah.
Pada masa yang sama, beliau berharap pembinaan hotel-hotel mewah di sekitar Masjidil Haram tidak akan membawa kepada peningkatan mendadak kos mengerjakan haji dan umrah.
"Kita dapat lihat kebanyakan hotel bersaiz sederhana telah sekitar masjid telah dirobohkan dan dibina hotel mewah sebagai ganti.
"Harapannya, senario ini tidak menjejaskan peluang jemaah seperti dari Malaysia untuk menunaikan umrah pada kadar yang berpatutan.
"Sebabnya, untuk menunaikan haji kita perlu menunggu kuota. Jadi ramai yang memilih menunaikan umrah dahulu," kata ahli perniagaan yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah ini.
Salman yang masih mempunyai keluarga di Mekah memberitahu, antara kemudahan yang perlu diberi perhatian adalah tandas dan tempat wuduk.
"Sebabnya, kalau dalam bulan biasa pun jemaah umrah menjangkau sekitar 100,000 orang bayangkan pula bagaimana keadaannya pada musim haji bilangan jemaahnya melebihi dua juta orang," katanya yang menunaikan haji pada tahun 2004.
Pada masa yang sama, kemudahan di pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah juga perlu diberi perhatian.
Kata Salman, selain perlu dibesarkan, lapangan terbang tersebut perlu dibuat penambahbaikan dalam segi pemeriksaan imigresen dan juga sistem bagasi.
"Mereka yang datang ke Mekah adalah tetamu Allah, jadi diharap urusan berkaitan imigresen dan bagasi ini dapat dipermudahkan supaya semuanya berjalan lancar dan pantas," jelasnya yang menunaikan umrah hampir setiap tahun sejak 10 tahun lalu.
Kesesakan lalu lintas juga adalah antara isu yang sering dibahaskan terutama pada bulan Ramadan dan musim haji.
Ia dirumitkan lagi dengan kurangnya tempat meletak kenderaan berbanding pembangunan bangunan pencakar langit seperti Zam Zam Tower.
Sehubungan itu, kata Salman, diharap kerajaan Saudi turut memberi perhatian kepada aspek prasarana lain bukan hanya kepada aspek pembinaan bangunan pencakar langit sahaja.

Kerajaan negeri proaktif tarik pelancong asing

MALAYSIA adalah antara destinasi pelancongan utama dunia. Fakta ini berasaskan rangking Pelancongan Dunia yang dikeluarkan oleh Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) yang menunjukkan seramai 23.6 juta pelancong antarabangsa melawat Malaysia pada tahun lalu.
Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kesembilan sebagai negara paling ramai dikunjungi pelancong antarabangsa. Jumlah pelancong pada 2009 menunjukkan peningkatan seramai 2.6 juta pelancong antarabangsa berbanding pada 2007.
Tahun lalu sahaja, sektor pelancongan menjana pulangan sebanyak RM53 bilion. Jumlah pengaliran wang masuk ini memberi pulangan kepada ramai pihak dengan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan perniagaan.
Ini menggambarkan bahawa sektor pelancongan mempunyai potensi yang amat besar sekali untuk dimajukan sebagai antara sektor utama negara.
Atas hakikat ini, kerajaan telah menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan mengubah landskap ekonomi negara ke arah berpendapatan tinggi. Strategi ini tepat dan sesuai untuk negara kita yang mempunyai pelbagai produk pelancongan seperti pulau-pulau yang diiktiraf sebagai antara yang tercantik di dunia.
Bayangkan, melalui sektor pelancongan, negeri seperti Melaka telah berjaya mengubah asas ekonominya sehingga diisytiharkan sebagai negeri maju. Usaha yang dilakukan selama 10 tahun oleh kerajaan negeri Melaka telah membuahkan hasil. Tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun akan datang, sasaran untuk menjadi sebuah negara maju dapat direalisasikan jika sektor pelancongan sentiasa diberi nilai tambah agar lebih istimewa berbanding negara-negara lain.
Melaka berada pada kelasnya tersendiri sebagai sebuah negeri yang bersih, ditambah lagi dengan pelbagai produk pelancongan yang sentiasa diberi nilai tambah. Suatu ketika dahulu landskap Melaka tidaklah sebersih sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini.
Namun, setelah pelbagai tindakan proaktif diambil seperti memastikan segala sampah sarap dicari oleh pencari sampah dan bukannya sekadar mengutip sampah di tong-tong sampah, akhirnya tindakan proaktif ini berjaya menyerlahkan keindahan dan kebersihan negeri ini.
Tahap kebersihan boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan utama untuk menggamit kedatangan lebih ramai pelancong ke negara kita. Strategi-strategi yang dilaksanakan di negeri Melaka seharusnya diperluaskan lagi di negeri-negeri lain. Memajukan sektor pelancongan negara memerlukan tindakan proaktif dan bukannya tindakan reaktif yang tidak membawa sebarang kebaikan.
Mengambil kira keuntungan yang melimpah ruah dari sektor pelancongan untuk negara dan rakyat, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan pada tahun depan sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2011. Antaranya, projek membangunkan resort bersepadu eco-natureberlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi. Malaysia mempunyai tarikan dari segi keindahan alam semula jadi. Usaha untuk mempromosi produk-produk alam semula jadi, taman dan kebun botani boleh mengasyikkan dan menarik perhatian pelancong yang melawat Malaysia.
Mungkin kita boleh mempelajari serba sedikit bagaimana Fontainebleau Forest boleh menjadi destinasi paling ramai dikunjungi pelancong di Perancis dengan mengekalkan keindahan alam semula jadinya. Umum mengetahui, Perancis menduduki tangga pertama di dunia dari segi bilangan ketibaan pelancong. Sudah tentu negara itu mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Strategi-strategi yang digunakan Perancis seharusnya dipelajari oleh pihak-pihak berkaitan di negara ini.
Ini kerana Malaysia juga seperti Perancis, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Mempunyai flora dan fauna yang masih terpelihara, bangunan-bangunan bersejarah dan mercu tanda kebanggaan negara seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang menjadi antara tempat tumpuan utama pelancong luar dan domestik. Justeru itu, pembangunan projek Menara Warisan Merdeka seperti yang diumumkan Perdana Menteri akan menjadi produk pelancongan terbaru negara.
Yang menariknya, bangunan-bangunan bersejarah seperti Stadium Merdeka dan Stadium Negara dikekalkan identitinya meskipun diadun dengan pembinaan menara moden 100 tingkat. Berkonsepkan bangunan hijau, produk pelancongan terbaru ini bakal menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia.
Selain itu, pelbagai acara, program, pesta dan karnival yang diadakan setiap tahun boleh menggamit kedatangan pelancong. Misalnya, program pelancongan seperti pelancongan Ramadan juga boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong.
Suasana Ramadan berbeza sama sekali berbanding bulan-bulan lain. Ketika ini, pelbagai juadah dan kuih muih dapat dilihat di bazar-bazar Ramadan. Kemeriahan Ramadan di Malaysia secara tidak langsung mampu mempesonakan pelancong luar untuk datang ke negara kita. Mereka sanggup berbelanja lebih demi merasai kelainan di negara kita.
Malahan, pengumuman pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan dijangka meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna pada bulan Ramadan tahun depan.
Dengan menggunakan pelbagai strategi ampuh untuk memikat kedatangan pelancong ke Malaysia, tidak mustahil pada tahun depan, angka kedatangan pelancong luar ke Malaysia bakal mencatatkan peningkatan yang membanggakan, seterusnya mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.

Wajib lulus mata pelajaran Sejarah elak rakyat terus keliru

AKIBAT buta sejarah, inilah yang berlaku di Malaysia hari ini. Pengetahuan sejarah yang dangkal membuatkan kumpulan tertentu berani mengemukakan tuntutan yang membelakangi Perlembagaan Negara? Adakah mereka tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak faham mengenai sejarah pembentukan tanah air yang mereka junjung ketika ini?.
Nampaknya, pepatah yang berbunyi 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' sekadar tinggal pepatah kerana ia bukan sahaja tidak dipraktikkan, malah turut diperlekehkan. Kesannya amat menakutkan. Negara ini boleh musnah kerana sikap segelintir pemimpin kaum yang menolak sejarah demi kepentingan sendiri.
Sejarah adalah sesuatu yang tidak boleh diubah, mahupun dipinda. Segala fakta dan tarikh kekal begitu buat selamanya dalam lipatan sejarah. Namun, apa yang berlaku hari ini, rakyat semakin keliru apabila ada usaha pihak tertentu mahu mengubah fakta sejarah.
Menyedari kesan buruk yang bakal berlaku jika perkara itu tidak dibendung, maka langkah kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 adalah tepat sekali.
Lebih tepat lagi apabila pendedahan mata pelajaran Sejarah mula diberi kepada murid sekolah rendah menerusi pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2014. Bak kata pepatah, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.
Pendedahan dari usia muda yang kemudian disambung pula ke peringkat sekolah menengah akan memantapkan lagi pemahaman generasi muda terhadap sejarah.
Hanya dengan pemahaman yang jelas, maka jika berlaku kemelut berkaitan pembentukan negara ini, ia lebih mudah untuk dijernihkan.
Dengan itu, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semalam bahawa mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib di peringkat peperiksaan SPM sebagai syarat untuk mendapatkan sijil peperiksaan itu perlu dilihat dengan positif.
Tujuannya adalah jelas iaitu untuk memahamkan rakyat terhadap sejarah negara ini. Ia penting supaya tidak timbul lagi sebarang kekeliruan yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Lebih daripada itu, ia penting bagi menyiapkan generasi muda untuk menjadi pemimpin pelapis yang memiliki jati diri yang tinggi, semangat cintakan negara yang tebal dan lebih bertolak ansur antara kaum.
Memandangkan penduduk negara ini berbeza kaum, budaya, agama dan adat resam, maka generasi muda mesti diberikan pendedahan melalui pendidikan agar mereka lebih memahami setiap perbezaantersebut.
Cara yang paling berkesan tentulah melalui pendidikan di sekolah. Dengan cara ini, setiap pelajar akan bertungkus lumus untuk membaca, mentelaah, meneliti, menghayati dan memahami sejarah negara ini.
Menerusi pembacaan yang agresif untuk lulus peperiksaan, maka secara tidak langsung, setiap apa yang 'dihidangkan' oleh buku sejarah termasuk keadaan negara ini pada zaman-zaman awal pembentukan kerajaan dapat difahami dengan jelas. Bagaimana keadaan negara ini ketika di bawah penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, kesemuanya boleh dikorek melalui pembelajaran subjek Sejarah di sekolah.
Bagaimana Inggeris memerintah dan bagaimana pembentukan Negeri-Negeri Selat pada 1826 telah membuka pintu seluas-luasnya kepada pendatang Cina dan India ke negara ini juga boleh difahami melalui sejarah.
Masyarakat India hari ini adalah satu kaum yang berasal dari keturunan mereka yang berhijrah dari India selatan semasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu.
Kebanyakan pendatang Cina di Tanah Melayu pula berasal dari China selatan, terutamanya wilayah Fujian dan Guangdong. Pada abad ke-19, kebanyakan mereka datang untuk bekerja sebagai 'buruh terikat' melalui perjanjian bertulis.. Itu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dipinda.
Sebelum itu, pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk dari Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka. Itu juga fakta sejarah yang tidak boleh diubah.
Generasi muda juga perlu dididik dan didedahkan dengan fakta sejarah bahawa Sarawak dan Sabah telah membantu pembentukan Malaysia bersama Malaya dan Singapura pada 16 September 1963. Itu juga penting agar tidak timbul kekeliruan mengenai pembentukan Malaysia. Ia juga fakta yang terpahat kemas dalam lipatan sejarah.
Maka untuk memahamkan rakyat terhadap sejarah, sewajarnya mata pelajaran Sejarah diwajibkan lulus kepada setiap pelajar. Inilah masanya dan inilah waktu yang paling tepat untuk membangkitkan semula rakyat yang telah tertidur lama dalam memahami perjalanan sejarah dan pembinaan negara ini.

Memperkasa penggunaan bahasa Melayu

GAPENA menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor korporat memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di tempat awam. Kenyataan tersebut bertepatan dengan perkara 152 yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
Di samping Perlembagaan, ia juga bertepatan dengan keseluruhan semangat dan jiwa Akta Bahasa Kebangsaan serta dasar yang berhubung dengannya. Seandainya PBT tidak menjalankan tugas-tugas tersebut dengan alasan tidak adanya peruntukan di dalam Akta PBT maka, tanggapan sedemikian adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan.
Tindakan memperkasa bahasa Melayu di sektor awam dan swasta adalah tindakan yang konstitutional. Maka jika kedua-dua pihak tidak melakukannya bererti tidak menghormati Perlembagaan Negara.
Pihak PBT seperti yang diperuntukkan di dalam akta bukan sahaja mengambil tindakan meningkatkan perkhidmatan pungutan sampah, pengangkutan awam, jalan raya dan sebagainya daripada pendapatan yang diperoleh dari cukai taksiran premis perniagaan, perumahan, perindustrian dan perdagangan, malah sepatutnya lebih daripada itu. PBT perlu memainkan peranan sebagai agensi yang melaksanakan paksi kenegaraan dan dasar-dasar nasional (kebangsaan).
Bulan Bahasa Kebangsaan pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an. Parti Buruh dan Parti Rakyat (Barisan Sosialis), Parti Progresif Rakyat (PPP) Malayan Democratic Party yang menguasai PBT turut aktif dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan pada masa itu. Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Hasnol Hadi yang menguasai Majlis Bandaran Melaka pada masa itu telah menubuhkan Badan Bertindak Bahasa bersama Perikatan turut bersama menukar nama jalan-jalan daripada nama warisan penjajah kepada bahasa kebangsaan.
Sebagai contoh Newcome Road ditukar kepada Jalan Munshi Abdullah, Heren Street ditukar kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock dan sebagainya. Fenomena ini berlaku di seluruh negara pada waktu itu. Tun Mustapha semasa menjadi Ketua Menteri Sabah dengan berani membawanya ke Dewan Undangan Sabah untuk melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Justeru, disyorkan kepada kerajaan untuk memperkukuhkan Akta Bahasa dengan memperuntukkan bidang penguatkuasaan. Setiap kesalahan bahasa pada papan tanda, papan iklan, nama jalan, nama taman perumahan, segala surat siaran dan brosur yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disaman dan didenda, selain dinasihati untuk membetulkan kesilapan berkenaan.
GAPENA juga menyokong cadangan Pemuda UMNO dan Wira Perkasa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan Malaysia bukan sekadar bahasa rasmi yang digunakan dalam upacara rasmi termasuk pentadbiran dan pemerintahan, tetapi ia adalah salah satu perkara pokok dalam proses pembinaan negara-bangsa dan kenegaraan.
Sebagai warganegara, setiap orang wajib berbahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi antara rakyat tetapi juga alat perpaduan. Oleh itu, di semua peringkat pelajaran dan pendidikan, bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.
Perlu disedari bahawa Perkara 152 tidak pula menghalang bahasa-bahasa kaum atau keturunan lain digunakan. Malaysia adalah di antara contoh perpaduan, keterbukaan dan demokrasi yang terbaik di dunia. Pada 1938 hingga 1942, kemudian selepas Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri Phibun Songkram di Thailand telah merangka Perlembagaan bahawa setiap warganegara Thailand wajib bernama Thai, berbahasa Thai, bersekolah Thai dan beragama Buddha.
Sesiapa yang menolaknya tidak layak menjadi warganegara Thailand. Sehingga sekarang di Thailand, bahasa pengantar di sekolah-sekolah adalah bahasa Thai, hatta bahasa Melayu yang diajar di beberapa universiti di Thailand sekarang seperti di Universiti Chulalongkorn, Universiti Thammasat, Universiti Prince Songkla, Universiti Thaksin dan lain- lain diajar dalam bahasa Thai.
Di Indonesia pula di zaman pemerintahan Suharto, warganegara bukan pribumi iaitu orang Cina Indonesia diwajibkan menggunakan nama Indonesia, berbahasa Indonesia dan bersekolah Indonesia untuk menyempurnakan proses satu bahasa, satu bangsa dan satu negara - Indonesia.
Di Malaysia tidak terdapat tindakan yang diambil seperti itu oleh pemimpin Malaysia kerana para pemimpin Malaysia mengamalkan sikap toleransi, kesederhanaan, demokratik dan menghargai kehadiran dan kewujudan kaum- kaum lain di negara ini. Malah di sebuah negara jiran, sekolah Cina tidak dibenarkan lantaran dikhuatiri berkembang ideologi lain daripada ideologi negara berkenaan.
Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri di Ipoh, Perak baru-baru ini adalah usaha untuk menegaskan proses kenegaraan. Rukunegara, Perlembagaan, perundangan, kedaulatan raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, seluruh dasar-dasar kebangsaan dalam pemerintahan, perpaduan, toleransi, berkongsi kuasa, sejarah negara dan proses negara-bangsa adalah di antara unsur-unsur kenegaraan Malaysia.
Melalui unsur-unsur ini, rakyat dapat hidup bersatu-padu, saling hormat menghormati dan menerima setiap orang sebagai warganegara walaupun terdapat kebudayaan warganegara yang bukan berasal dari wilayah kebudayaan Melayu.
Di Malaysia, terdapat kepelbagaian bahasa dan dialek; bangsa, kaum, suku dan puak; budaya dan adat, serta agama dan kepercayaan. Kepelbagaian bahasa dan dialek disatukan melalui bahasa kebangsaan. Idea kepelbagaian atau hetrogeniti di Malaysia berlawanan dengan idea pluralisme. Pluralisme adalah suatu ideologi sedangkan plurality adalah satu diskripsi mengenai kepelbagaian atau hetrogeniti. Begitu juga dengan multi-linguality, multi- raciality dan plurality agama.
Idealogi pluralisme bukanlah ideologi Malaysia; namun ada pihak mahu ideologi seperti ini dilaksanakan seperti menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa dan menolak nama jalan di dalam bahasa kebangsaan. Di dalam rangka kepelbagaian atau hetroginiti, maka seluruh jiwanya sudah sedia termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan dasar-dasar serta tindakan- tindakan pemerintah.
Ideologi pluralisme ini dibawa dan dijaja oleh sesetengah warganegara yang menolak semua sifat dan bentuk serta dasar-dasar yang berteraskan kebangsaan. Ketaksuban kepada ideologi pluralisme menyebabkan pihak-pihak ini melabelkan sesiapa juga yang mempertahankan dasar-dasar kebangsaan sebagai rasis. Sebenarnya pihak yang menolak dasar-dasar kebangsaan itulah yang rasis.
Ideologi pluralisme, multi-racialisme, multi- lingualisme, multi-culturalisme dan pluralisme agama sudah lama dikumandangkan sejak Malaysian-Malaysia diperkenalkan pada 1963 oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sewaktu Singapura di dalam Persekutuan Malaysia. Malang sekali, kini terdapat pula parti politik di dalam parti pemerintah (Barisan Nasional) mendendangkan lagu yang hampir serupa untuk membuktikan kerelevanan mereka dalam memperjuangkan tuntutan para penyokong mereka.
Pluralisme di dalam konteksnya pula dikatakan sejajar dengan hak asasi manusia. Di atas nama pluralisme, demokrasi dan hak asasi manusia, terdapat pihak yang cuba meruntuhkan seluruh paksi, ideologi dan dasar-dasar kebangsaan yang konstitutional yang selama ini telah mewujudkan keadilan, perpaduan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan.
Daripada data-data sejarah yang sudah declassified yang terhimpun di luar negara, terdapat pihak-pihak tertentu yang lari semasa Perang Dunia Kedua ke India, telah berunding dengan Parti Komunis Malaya untuk menubuhkan Republik Malaya atas alasan yang diherotkan (distorted) bahawa Melayu menyokong Jepun. Terdapat juga tulisan dalam akhbar Cina di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1930-an yang mempersoalkan hak orang Melayu di Tanah Melayu pada masa itu. Malah ada yang berpendapat ini, bukan negeri Melayu.
Munculnya Penyata Fe-wu dan Thuraisingam pada 1950-an semasa sebelum merdeka adalah reaksi balas kepada Penyata Pendidikan Razak dan Rahman Talib. Ideologi Malaysian-Malaysia sudah lama diperkatakan sebelum PAP muncul. Maka penegasan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan akan terus mendapat tentangan.
Penentangan dan pembangkangan terhadap ideologi, sistem dan dasar-dasar nasional akan dilihat terlalu terkebelakang di dalam rangka globalisasi dan mesra pasar yang berteraskan neo-liberalisme dan neo-capitalisme. Maka ketegasan dan iltizam politik dan perpaduan Melayu sahaja yang dapat memberikan jawapan balas.

Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, penambahan baru juga akan dibuat pada mata pelajaran tersebut antaranya menekankan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan.
Ketika ini, katanya, unsur mata pelajaran Sejarah banyak 'menumpang' pada subjek Kajian Tempatan yang diajar kepada murid Tahap Dua di sekolah rendah.
''Kita akan laksanakan subjek Sejarah ini bermula pada Tahap Satu dengan berkonsepkaneducation is fun menerusi pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.
''Kita mahu jadikannya sebagai mata pelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Puad, pihaknya perlu melatih semula guru mata pelajaran Sejarah sedia ada sebelum mata pelajaran tersebut boleh diajar kepada murid sekolah rendah.
Katanya, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk mengisi keperluan pembentukan negara Malaysia yang maju dan meningkatkan patriotisme rakyat agar generasi muda mengetahui asal-usul serta kepentingan menghormati Perlembagaan negara.
Mohd. Puad turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya keputusan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus akan membebankan pelajar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, subjek Sejarah akan diubah suai dengan dimasukkan elemen baru bagi menjadikannya lebih menarik dan efektif.
''Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air merupakan antara topik yang diberi keutamaan dalam subjek berkenaan bagi menyuntik semangat cintakan negara di kalangan generasi muda,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rajagopal tamatkan pemanduan berundur 1,010km

I. RAJAGOPAL mengangkat tangan gembira selepas berjaya menamatkan pemanduan kereta sejauh 1,010 kilometer secara berundur di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.



BUKIT MERTAJAM 15 Okt. - Impian penceramah motivasi, I. Rajagopal untuk memecahkan rekodnya dalam Malaysia Book of Records akhirnya tercapai apabila berjaya menamatkan pemanduan kereta secara mengundur sejauh 1,010 kilometer dari Johor ke Kedah sebelum tiba di bandar ini hari ini.
Kejayaan itu sekali gus mencerahkan peluang Rajagopal, 56, untuk mencipta sejarah dengan mencatatkan nama dalamGuinness World Records sebagai manusia pertama yang menamatkan percubaan seumpama itu.
Dua tahun lalu, Rajagopal berjaya memecahkan rekod Malaysia dengan memandu secara mengundur sejauh 88 kilometer dari Johor Bahru sehingga ke Pulai Beach Resort, Desaru.
Dalam percubaannya kali ini, Rajagopal menamatkan perjalanan enam hari dengan memulakan pemanduan 10 Oktober (10.10.10) lalu pada pukul 10.10 pagi dari Johor Bahru sebelum tiba di kompleks beli-belah Megamall di sini kira-kira pukul 6.30 petang ini.
Sepanjang perjalanannya, Rajagopal bersama konvoi empat kereta yang diiringi polis, memandu dalam lingkungan kelajuan 30 hingga 40 kilometer sejam.
''Saya amat gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan pemanduan dan saya harap kejayaan ini dapat dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita sejurus tiba di pekarangan kompleks beli-belah itu.
Antara yang menyambut ketibaannya ialah Ketua Pemuda MIC, T. Mohan dan para ahli Kelab Berkereta Oliver Putra Motorsport.
Menceritakan pengalamannya, Rajagopal berkata, cabaran utama yang dihadapinya ialah mengekalkan tumpuan sepanjang pemanduan lebih-lebih lagi di lokasi mencabar termasuk di kawasan berbukit-bukit.
''Bagaimanapun, saya cuba menikmati setiap detik pemanduan kerana bagi saya ia amat menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi pengalaman saya dengan orang ramai yang ditemui di sepanjang perjalanan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Malaysia Book of Records, Zulhairi Md. Zin yang ditemui memberitahu, pihaknya akan meneliti semua rakaman video serta dokumen-dokumen berkaitan berhubung pemanduan Rajagopal sebelum mengeluarkan sijil rasmi dalam masa terdekat.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket