Selamat datang
Doakan saya
Assalamualaikum wbt.
Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:
1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.
2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.
3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.
4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.
5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.
6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.
7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.
8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.
9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.
Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.
Amin..........
Nur Izzati: Antara hutang RM57 dan SBP
Hanya kerana dia anak pemandu lori dan ibunya pula pekerja kilang, dia gagal mendapatkan slip UPSR kerana masih berhutang kepada sekolah sebanyak RM57.
Dalam keadaan begini sepatutnya Guru Besar mengenepikan sebentar keegoan kerana hendak mempertahankan prosedur pejabat tetapi pada masa yang sama telah melukakan hati seorang murid yang berjaya menyumbang peratusan kejayaan Sekolah Convent Tarcisian.
Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Hafiz Seremban dan Pelajar Tingkatan Lima, Shah Alam, berkaitan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SPB) yang sekarang ini didominasi oleh golongan berada.
Pada pandangan saya sepatutnya Pengarah Pelajaran Negeri Perak janganlah cepat sangat membuat kenyataan bahawa perkara berhutang yuran dengan pihak sekolah adalah perkara biasa dan seolah-olah beliau bersetuju dengan tindakan sekolah untuk tidak memberikan slip keputusan.
Saya pernah menguruskan permohonan anak saudara saya tiga tahun lalu dan memang dia berkelayakan kerana mendapat 5A beserta dengan kegiatan kokurikulum. Oleh kerana dia tidak ada pengaruh politik atau saudara mara di Kementerian Pelajaran, maka permohonannya gagal. Akhirnya setelah puas merayu dapatlah anak saudara saya itu ke SBP bagi pengambilan ke tiga atau empat setelah ada calon yang menolak.
Saya amat terkejut apabila satu hari saya membantu adik saya untuk mengambil anaknya di sebuah SBP di Negeri Sembilan, saya melihat berbaris kereta BMW, Mercedes, Naza, Honda, Camary dan Berabus pun ada. Mana silapnya Kementerian Pelajaran? Saya difahamkan oleh kawan-kawan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pun sama juga keadaannya. Jadi dimana kah keadilan ini?
Silalah buat perubahan dan berilah keadilan pada pelajar miskin seperti Nur Izzati. Belalah nasib mereka. Saya juga datang daripada keluarga miskin anak penoreh getah.
Saya telah terpilih ke MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan, kira-kira 37 tahun dulu (kumpulan pertama) dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Ia telah merubah nasib saya daripada miskin kepada kehidupan sekarang ini. Terima kasih Mara.
Saya berharap pertimbangkan Nur Izzati ke mana-mana SPB demi masa depannya.
Ubah waktu peperiksaan elak banjir
Dalam usaha menangani masalah ini, adalah dicadangkan supaya semua peperiksaan PMR,SPM dan STPM diadakan pada bulan Oktober setiap tahun bagi mengelak waktu peperiksaan pada masa banjir melanda.
Kaedah mengubah waktu peperiksaan sebulan lebih awal juga memberikan manfaat kepada pelajar itu sendiri.
Ini kerana sudah tentu keputusan peperiksaan juga boleh dikeluarkan lebih awal.
Hasilnya, ia sudah tentu memberikan ruang dan peluang yang lebih kepada pelajar itu sendiri untuk memilih kerjaya atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Masalahnya di negara kita, kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi setelah tamat alam persekolahan mengambil masa yang agak lama. Masa yang terluang itu sepatutnya tidak dipersia-siakan begitu sahaja.
Bayangkan, setelah tamat peperiksaan SPM pada pertengahan bulan Disember dan keputusannya pula hanya diketahui di penghujung bulan Mac tahun berikutnya, sudah mengambil masa tiga bulan.
Untuk proses permohonan bagi mendapatkan tempat di mana-mana pusat pengajian tinggi pula mengambil masa lebih kurang tiga bulan juga.
Sekiranya peperiksaan SPM dan STPM diadakan pada bulan Oktober dan keputusan peperiksaan pula boleh diketahui sebelum menjelang akhir tahun serta proses untuk masuk ke pusat pengajian lebih tinggi lagi diambil selama dua bulan sahaja, sudah tentu pelajar dapat menyambung pengajian mereka pada awal bulan Mac dan bukannya bulan Julai atau Ogos sebagaimana dipraktikkan ketika ini.
Pada masa yang sama disyorkan juga supaya pusat pemulihan banjir yang lebih sempurna dibina di tempat-tempat yang selalu berlaku musibah itu.
Contohnya, membina bangunan tambahan yang lengkap dengan kemudahan asas di lokasi bangunan persekolahan.
Ini kerana pada masa yang sama ia boleh digunakan untuk kemudahan sekolah itu sendiri.
Perjalanan ibadah haji, korban dan pengorbanan politik
Tentu ramai yang kekenyangan dengan daging korban yang disumbangkan. Di negara kita, mereka yang berada turut merasai daging korban ini berbanding di negara lain, orang miskin berebut-rebut mendapatkan daging korban itu. Semoga mereka yang benar-benar memerlukan mendapat habuan masing-masing. Pada masa yang sama diharap mereka yang berkorban benar-benar jujur dan ikhlas dan tidak timbul cakap-cakap belakang seperti yang pernah terjadi sebelum ini. Lembu sudah dikorbankan, daging sudah diagih dan dimakan tetapi macam-macam cerita keluar sehingga ada yang begitu sensitif apabila disebut lembu. Semoga ibadah yang dibuat tidak terbawa-bawa sehingga ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pastinya di dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah, sambutan lebih meriah. Semoga saudara mara kita, sahabat handai dan kenalan yang berada di sana dapat menjalani ibadah mereka dengan sempurna. Setakat ini, tidak ada masalah besar dihadapi jemaah kita. Pada masa yang sama diharapkan Tabung Haji (TH) pada masa depan dapat memastikan syarikat-syarikat swasta benar-benar dapat menguruskan jemaah mereka dengan baik. Kita tidak mahu peristiwa jemaah terkandas berulang lagi seperti yang berlaku di Kompleks Haji Kelana Jaya. Ini soal ibadat bukannya hendak melancong. Khabarnya, syarikat berkenaan dipercayai mengambil jemaah melebihi kuota yang diberikan. Akibatnya, jemaah tidak mendapat visa dan penerbangan. TH perlu lebih tegas dalam perkara ini bagi memastikan syarikat berkenaan tidak mengulangi kesilapan mereka yang menyusahkan banyak pihak sekaligus menjejaskan imej TH. Tindakan yang boleh diambil ialah denda, senarai hitam, menggantung atau membatal lesen mengendalikan pakej haji pada masa depan.
Dalam pada itu, bagi mereka yang belum berkesempatan ke Mekah bolehlah terus berazam untuk ke sana pada tahun-tahun akan datang. Seperti azam Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang hasratnya tidak kesampaian menunaikan haji bersama keluarga tahun ini akibat pendedahan oleh penulis blog (bukan media cetak yang mendedahkannya) mengenai berita penajaan ke kota suci itu. Bak kata orang betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya. Itulah dilema dihadapi Tok Guru. Tetapi dalam lumrah kehidupan manusia ini, kalau tiada angin bertiup takkan pokok bergoyang. Kenapa ini terjadi? Satu persatu isu yang membabitkan Menteri Besar (MB) Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas itu ditimbulkan. Ibarat kata, Tak tumbuh, tak melata, tak sungguh, orang tak kata (kalau orang bercakap, tentulah ada benarnya). Begitulah hebatnya cubaan dan dugaan yang dihadapi oleh MB Kelantan itu. Beliau terpaksa berkorban dan melakukan pengorbanan demi nama baik diri, keluarga dan parti.
Seperti yang diakui Nik Aziz, beliau mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini disebabkan timbulnya isu mengenai menantunya itu. Jiwanya terganggu!
Begitulah hebatnya dunia politik. Orang politik mesti ‘masak’ dengan asakan seumpama ini. Cuba selak kembali bagaimana pemimpin politik lain seperti dari UMNO yang terpaksa menghadapi masalah yang sama. Contohnya dua mantan Perdana Menteri (PM) kita, Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menghadapi asakan dan cabaran seperti ini. Bukan sedikit cerita berkaitan anak dan menantu dijadikan modal politik oleh puak-puak sebelah sana. Ketika itu, anak dan menantu PM dijadikan sasaran. Puak-puak di sebelah sana bukan main hebat ‘membelasah’ PM ketika itu. Bagaikan pesta menghentam.
Tetapi lain pula ceritanya apabila puak sebelah sana yang membuat silap. UMNO tidaklah menggunakan kesempatan tersebut untuk membelasah habis-habisan walaupun sudah mendapat ‘bola tanggung’. Kalau dalam sukan badminton atau sepaktakraw, UMNO tidak menggunakan peluang membuat smash atau libasan maut bagi mematikan serangan lawan. Pendekatan UMNO amat sederhana dalam memerangi pelbagai tohmahan musuh politik mereka.
Agaknya itulah bezanya politik puak sebelah sini dan puak sebelah sana.
Maka sempena Hari Raya Korban ini, eloklah kita sama-sama berkorban untuk membuang sikap, perangai, tindakan atau kelakukan buruk yang suka ‘membelasah’ orang tidak tentu pasal. Korbankan perasaan hasad dengki, cemburu, khianat, prasangka buruk dan macam-macam lagi yang boleh menyakitkan hati sesama umat.
Ingatlah dalam politik, macam-macam boleh jadi. Ia ibarat roda. Hari ini kita seronok mengata orang, mungkin esok orang akan mengata kita. Mana nak cari dalam dunia sekarang, orang yang benar-benar maksum (terpelihara atau bebas daripada dosa, tidak tercela). Mungkin maksum yang ada hanyalah sekadar pada nama. Saya juga mempunyai seorang sahabat bernama Md. Som yang sama-sama mengerjakan umrah melalui syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.. Alhamdulillah, Md. Som ni memang bertuah kerana pergi umrah bersama saya pada bulan Mei dan di Mekah berazam untuk segera menunaikan haji. Akhirnya pada tahun yang sama, Md. Som dapat menunaikan haji juga melalui syarikat swasta. Itulah tuah Md. Som.
Begitulah kedudukan kita manusia di muka bumi ini. Kadangkala kita bernasib baik dan kadangkala kita tidak bernasib baik. Begitu juga halnya dengan kesilapan yang dilakukan. Semua orang pernah tersilap. Bak kata orang bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Dalam kehidupan ini, adakalanya tepuk air di dulang terpercik muka sendiri (mendedahkan aib keluarga sendiri), mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih (mencari salah orang, diri sendiri lebih banyak salah). Malahan ada kalanya walaupun kita sedar tindakan kita adalah satu kebodohan tetapi kita lakukan juga sama seperti meludah ke langit muka juga yang basah (perbuatan yang memalukan diri sendiri).
Maka pandai-pandailah membawa diri. Insaflah kita ini manusia. Masing-masing ada kelemahannya. Maka kalau takut kena getahnya , jangan makan nangka!
Awas banjir kedua
Amaran itu dikeluarkan ekoran ramalan hujan dijangka berterusan sehingga minggu depan yang berkemungkinan paras air di kebanyakan sungai utama di kedua-dua negeri itu terus meningkat dan memburukkan lagi keadaan banjir yang telah pun melanda.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, amaran hujan peringkat merah merupakan hujan monsun yang lebat dan meluas berlaku atau dijangka berlaku dalam masa beberapa jam.
''Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berada berdekatan tebing-tebing sungai,'' kata kenyataan itu.
Selain itu, di Pahang, Perak, Kedah dan Perlis, amaran hujan lebat peringkat kuning telah dikeluarkan di mana berlakunya luruan monsun dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Menurut kenyataan itu lagi, amaran peringkat kuning akan menyebabkan berlakunya hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa melibatkan beberapa daerah di Pahang, Perak, Kedah dan seluruh Perlis.
Bagi Pahang, ia melibatkan daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin dan dijangka berterusan sehingga Selasa depan.
Di Perak pula, ia melibatkan daerah Hulu Perak, Larut dan Matang, manakala di Kedah ialah daerah Sik, Baling, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pendang dan Perlis dijangka berterusan sehingga Rabu depan.
''Keadaan tersebut juga boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai," katanya.
Tambah kenyataan itu, semasa tempoh hujan lebat, orang awam diminta untuk lebih berhati-hati dan mengikut arahan pihak berkuasa serta mematuhi arahan berpindah jika banjir berlaku di kawasan mereka atau jika keadaan memerlukan.
Dalam pada itu, amaran angin kencang dan laut bergelora juga dipertingkatkan ke kategori kedua untuk angin kencang timur laut di perairan Condore di Laut China Selatan dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku sehingga esok.
Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 40-50km sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Kudat di utara Sabah juga dijangka berterusan sehingga esok.
Keadaan ini turut berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Ribut petir yang berlaku di perairan Langkawi, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah (Kudat dan Sandakan) dan Laut Sulu dijangka berterusan sehingga tengah hari ini menyebabkan ombak setinggi 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
Selain itu, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga Selasa depan.
Penjenayah disanjung, polis disinggung
Apabila ada penjenayah ditembak mati, lain pula cerita. Polis dikatakan membunuh dengan niat. Polis dituduh menyalahgunakan kuasa. Lebih teruk lagi tindakan polis dikaitkan dengan perkauman.
Tetapi jika polis yang ditembak mati oleh penjenayah atau polis terkorban dalam gerakan membanteras jenayah, tidak ada siapa peduli.
Tiada siapa yang membangkitkan kaum atau bangsa apa si penjenayah yang menyebabkan anggota polis itu terkorban atau tercedera. Tiada siapa juga mencadangkan supaya ditubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat kematian anggota polis.
Seperti yang ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak ada siapa yang simpati, jauh sekali mahu menghulurkan bantuan.
Paling-paling pun ayat yang terlontar daripada mulut kumpulan tertentu adalah: ''Oleh kerana dia (anggota yang terkorban) memilih untuk menjadi polis, maka ditembak penjenayah adalah takdir.''
Tidak pula mereka mengaitkan takdir dengan pilihan orang tertentu untuk bergelumang dengan jenayah sehingga rekod jenayah yang dicatatkan boleh saja dijadikan siri ensiklopedia.
Adakah di paras itu ukuran rasa hormat dan penghargaan rakyat negara ini terhadap tugas anggota polis? Adakah sebegitu adab rakyat Malaysia - penjenayah disanjung, anggota keselamatan disinggung?
Secetek itukah pemikiran kalangan rakyat negara ini sehingga tindakan polis dinilai berasaskan kaum dan bukannya alasan munasabah setiap das 'tindakan' yang dilepaskan?
Begitu juga dengan kes kematian penjenayah dalam tahanan. Jika melibatkan kaum tertentu, pantas anggota polis atau petugas penjara dituduh sebagai pembunuh. Seolah-olah apabila penjenayah itu terdiri daripada kaum tertentu maka niat polis tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menamatkan riwayat hidup mereka?
Hakikatnya persepsi yang mengaitkan tindakan polis dengan penjenayah yang tercedera atau mati ditembak berasaskan kaum cukup untuk menggambarkan sejauh mana rakyat di negara ini saling percaya mempercayai.
Dan selepas lebih 50 tahun merdeka masih ada tanggapan seperti itu menunjukkan hubungan antara kaum masih rapuh. Lebih bahaya lagi apabila kerapuhan itu diserlahkan dalam usaha pihak berkuasa membanteras jenayah. Sedangkan proses membersihkan negara daripada jenayah hakikatnya tidak mengenal kaum dan tidak pernah ada batas atau sempadannya.
Bukankah sepatutnya kefahaman yang mesti ada dalam pemikiran rakyat Malaysia begini bentuknya - jika anggota polis terkhilaf dalam tindakannya sehingga membawa kematian di pihak penjenayah, ia bukan kerana perkauman.
Kekhilafan itu semestinya didorong oleh kelalaian di pihak polis itu sendiri dan bukannya kerana bangsa seseorang atau kumpulan penjenayah yang terlibat.
Secara asasnya, tugas polis itu sendiri berhadapan dengan jenayah dan penjenayah. Justeru mempertahankan diri sendiri dan orang lain adalah 'senjata' utama mereka. Jika ada yang terkorban dalam proses tersebut, perlu diteliti puncanya. Mengaitkan tindakan tersebut dengan kaum tertentu sahaja bukan jawapan malah ia mengundang bahaya yang boleh memporak-perandakan negara.
Murid mangsa tragedi jambatan runtuh dapat 4A
IPOH 19 Nov. - Sukar untuk menggambarkan perasaan ibu bapa apabila melihat slip keputusan 4A 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sedangkan anak yang menduduki peperiksaan itu sudah tiada lagi.
Begitulah hakikat yang dihadapi keluarga mendiang V. Divyashree, 12, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng yang lemas dalam insiden jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, 26 Oktober lalu.
Bapanya, K. Vasudevan, 43, berkata, kejayaan tersebut kurang bermakna kerana anaknya sendiri tidak dapat meraikan hasil kerja keras untuk menjadi pelajar cemerlang dalam pelajaran.
"Sewaktu percubaan UPSR, Divyashree dapat 5A 2B. Walaupun pencapaian sebenar merosot tetapi saya tahu dia sangat gembira dengan keputusan ini.
"Sejak kecil dia memang budak yang pandai. Banyak subjek dia dapat markah 100 peratus malah bercita-cita untuk menjadi doktor pakar tulang apabila besar nanti," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Changkat Golf, Gopeng dekat sini hari ini.
Divyashree merupakan satu daripada tiga pelajar yang lemas dalam insiden jambatan gantung runtuh semasa mengikuti Kem 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.
Dua lagi yang menjadi mangsa arus deras Sungai Kampar itu ialah pelajar SJKT Mambang Di Awam iaitu M. Davadhasini, 11, dan N. Dina Deve,11.
Dalam keputusan UPSR lalu, Divyashree memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik, Bahasa Tamil (Pemahaman) dan Bahasa Tamil (Penulisan) manakala B bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris dan Sains.
Sementara itu, ibu mendiang, R. Kanakam, 41, berkata, anak sulungnya itu memang menunjukkan minat mendalam dalam pelajaran sejak kecil malah suka memegang buku walaupun baru berumur setahun.
Katanya, selain minat membaca pelbagai suratkhabar, Divyashree juga sentiasa membawa buku nota dan pensil di dalam poket untuk mencatat pelbagai kegiatan seharian hingga diiktiraf sebagai pelajar contoh dan harapan SJKT Gopeng.
''Sebelum ini ibu saudaranya ada berjanji jika cemerlang dalam UPSR dia akan dibawa melancong ke India. Nampaknya hasrat itu tidak kesampaian.
''Sehari sebelum Kem 1Malaysia itu, Divyashree juga sudah membuat keputusan untuk belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama, Selangor. Tetapi itu pun tak boleh," katanya sambil menahan sebak.
Anak peniaga tomyam dapat 5A
Hari ini, dia berbangga kerana dapat menghadiahkan keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada bapa, Mohd. Anwar Aliar Kunjoo, 42, dan seluruh keluarga.
Muhammad Haris Danial, 12, dari Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang, di sini memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan hari ini.
Ketua Pengawas SK Batu Lanchang yang juga menerima Anugerah Tokoh Pelajar sekolah itu merupakan antara 70 murid sekolah tersebut yang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR 2009.
Pelajar Melayu, India dapat 7A
Muhammad Daniel Idrus dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang dan S. Karthika Dewi dari SJKC Notre Dame masing-masing memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Cina (Penulisan dan Pemahaman), Sains dan Peka (Penaksiran Kerja Amali Sains).
Ketika ditemui pada sidang akhbar Jabatan Pelajaran negeri di sini, Muhammad Daniel yang ditemani ibunya, Suhani Maarof, 35, berkata, kejayaannya itu adalah hasil sokongan ibu bapa dan komitmen para guru serta rakan sekelas yang tidak jemu memberi tunjuk ajar kepadanya.
Menurutnya, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri sepanjang mengikuti pembelajaran di SJKC Bachang dan tidak berasa terpinggir walaupun hanya dia seorang sahaja murid Melayu di dalam kelas.
''Para guru dan murid lain di SJKC Bachang tidak pernah melayan saya seperti orang asing, layanan mereka sama sahaja. Buktinya saya berjaya meraih keputusan cemerlang UPSR hari ini dan ia kejayaan mereka juga," katanya.
Muhammad Daniel yang berminat menguasai bahasa asing itu berkata, dia berhasrat meneruskan pelajarannya di sekolah aliran Cina kerana berasakan banyak pengetahuan yang boleh diperolehinya.
Hasratnya itu dipersetujui oleh ibunya yang menyatakan kemungkinan akan menghantar Muhammad Daniel meneruskan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Melaka, Bandar Hilir.
Selain persamaan belajar di sekolah aliran Cina dan meraih keputusan cemerlang UPSR, Muhammad Daniel berkongsi cita-cita yang sama dengan Karthika Dewi iaitu mereka ingin menjadi seorang saintis apabila dewasa kelak.
Menurut Karthika Dewi, peluang mengikuti pembelajaran di sekolah aliran Cina menjadikan dirinya mahir menguasai bahasa Mandarin selain bahasa Tamil dan bahasa Inggeris.
''Pada mulanya memang agak sukar kerana masih kurang memahami bahasa Mandarin, namun lama kelamaan berkat didikan para guru dan sokongan rakan-rakan sekelas, saya akhirnya berjaya menguasai bahasa ini," kata anak kedua dari empat beradik ini.
Katanya, kejayaan meraih 7A dalam UPSR hari ini hasil kerja kuat dan kesungguhan ibu bapanya dan para guru SJKC Notre Dame yang tidak berputus asa membimbingnya menjadi insan cemerlang.
Pengorbanan ibu berbaloi anak cacat dapat 5A
Hari ini pengorbanan Norhaida Harun, 38, berbaloi apabila Siti Norfarah Hanim Azman, 12, berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Walaupun cacat kerana menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta, sejenis penyakit kerapuhan tulang tapi Siti Norfarah tidak mudah mengalah malah tetap gigih berusaha hingga akhirnya memperolehi kejayaan itu.
Dia adalah antara 40 murid Sekolah Kebangsan Tengku Mahmud II yang berjaya memperolehi 5A dalam UPSR tahun ini yang diraikan dalam satu majlis di sekolah itu hari ini.
Ketika nama diumumkan untuk ke pentas bagi mengambil slip keputusan UPSR, Siti Norfarah dan ibunya dilihat berlinangan air mata kegembiraan.
Bagi Norhaida, hanya pelajaran yang mampu diberikan kepada anaknya itu memandangkan dia sendiri tidak mampu untuk menyediakan harta yang banyak untuk kehidupan akan datang.
Semuanya adalah pengorbanan demi masa depan anaknya walaupun kadang kala terasa dirinya seakan terikat dengan rutin kehidupan sebegitu kerana terpaksa menghantar dan mengambil anaknya setiap hari.
Noraida juga akur dengan tugas suaminya Azman Mohamad, 40, yang hanya bekerja sebagai pembantu kesihatan juga tidak mampu meluangkan banyak masa untuk membantu menguruskan anaknya.
Hanya pada ketika tertentu sahaja Azman dapat menghantar Siti Norfarah ke sekolah manakala selebihnya, Norhaida yang banyak menghabiskan masa bersama anaknya itu di samping menjaga seorang lagi anaknya Siti Norfadila Husna, yang berusia 4 tahun.
Setiap pagi sebelum ke sekolah Norfarah akan dibekalkan dengan sedikit makanan kerana tidak mampu berjalan untuk ke kantin.
Dia bagaimanapun agak bernasib baik kerana ada seorang rakan sekelasnya, Nurul Alia Rosdi yang secara sukarela membantunya semasa di dalam kelas.
Nurul Alia banyak meringankan masalah anaknya sejak berada di tahun satu lagi dengan membantu jika anaknya itu ingin ke tandas pada masa yang diperlukan di samping menjadi rakan belajar," kata Norhaida.
Rakannya itu merasa tersentuh ketika pertama kali melihat kepayahan yang dihadapi Siti Norfarah lalu secara sukarela membantu rakannya sebagai menunaikan tanggungjawab sebagai seorang insan.
"Sesiapa sahaja yang memerlukan perlu dibantu dan saya tidak pernah merasa bosan dengan tugas sukarela ini malah merasa puas hati apabila dapat memberikan khidmat kepada mereka," ujar Nurul Alia.
Cacat: Nabil didukung ke kelas dapat 5A
Bagi Norlaili Mamat, 40, kecemerlangan anak ketiga daripada tujuh beradik itu merupakan hadiah paling bermakna buatnya disebabkan Muhammad Nabil bukan seperti kanak-kanak biasa.
Katanya, kejayaan yang mengejutkan mereka sekeluarga itu amat manis kerana ia hasil titik peluh Muhammad Nabil yang hanya mengharapkan pengajaran guru di sekolah kerana dia dan suami tidak mampu menyediakan kelas tuisyen untuk anak mereka itu.
"Ketika tahun satu dan dua, saya terpaksa mendukung dia masuk ke kelas kerana kelasnya terletak di tingkat dua Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1 di sini.
"Anak saya ini mengalami kecacatan pada kaki kiri dan kedua-dua tangannya sejak dilahirkan, namun saya memberikan semangat kepadanya supaya terus belajar tanpa berasa rendah diri.
"Saya bersyukur kerana hari ini Muhammad Nabil telah membuktikannya tetapi ia hanya langkah pertama untuk mencapai kejayaan kerana masih banyak cabaran yang harus ditempuhi selepas ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pelajar kurang upaya itu adalah salah seorang daripada 24 pelajar sekolah tersebut yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR.
Muhammad Nabil bergantung kepada sebatang tongkat untuk bergerak kerana kaki kirinya cacat sejak dilahirkan.
Sementara itu murid tersebut berkata, kecemerlangan dalam peperiksaan adalah hadiah yang mampu diberikan kepada ibunya yang telah banyak berkorban.
"Ini hadiah untuk mama kerana bersusah payah mendukung saya ke sekolah. Saya tidak tahu lagi macam mana untuk membalas jasa ibu saya dan jika keputusan ini menggembirakan dia, saya rasa sangat bersyukur.
"Terima kasih juga saya ucapkan kepada guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu selama ini dan saya berjanji akan terus menggembirakan keluarga saya," katanya.
Izzati gembira disalut kesedihan
utusanperak@utusan.com.my
NUR Izzati Azahar dipeluk erat oleh ibunya, Fatimah Ahmad yang sebak dan menitiskan air mata kegembiraan setelah mendapat tahu anaknya mendapat 5A dalam keputusan peperiksaan UPSR yang diumumkan di SK Tracisian, Ipoh, semalam.
IPOH 19 Nov. - Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.
Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.
Anak kepada pasangan pemandu lori dan pekerja kilang itu tidak dibenarkan oleh pihak sekolah untuk mengambil slip itu kerana gagal menjelaskan yuran berjumlah RM57.
"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan," katanya sebak ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent di sini hari ini.
Nur Izzati, anak kedua kepada pasangan Azahar Ariffin, 41, dan Fatimah Ahmad, 42, adalah antara 34 murid SK Tarcisian Convent yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.
Menurut ibunya, pendapatan keluarga yang tidak menentu menyebabkan Nur Izzati terpaksa 'berhutang' dengan pihak sekolah.
Menurut Fatimah, kesihatannya yang tidak mengizinkan dan sumber kewangan keluarga yang terhad menyebabkan dia tidak mampu menyediakan yuran peperiksaan Nur Izzati.
Malah, impiannya untuk melihat anaknya itu belajar di sekolah berasrama penuh juga mungkin tidak dapat ditunaikan kerana kedaifan keluarga mereka.
"Saya berharap sangat dia akan dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama. Dia sendiri pun menyatakan keinginan itu tetapi kami tidak mampu untuk memenuhi kehendaknya," katanya.
Sementara itu, Nur Izzati yang bercita-cita menjadi doktor berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat paling tinggi bagi mengubah nasib keluarganya.
"Saya mahu mengubah nasib keluarga dan buktikan kepada semua bahawa saya juga boleh berjaya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, kes pelajar lewat atau tidak menjelaskan yuran sekolah se hingga menyebabkan mereka tidak dapat mengambil slip keputusan peperiksaan bukan perkara baru.
Katanya, masalah tersebut biasanya berlaku kerana ibu bapa atau pelajar sendiri enggan berjumpa atau bekerjasama dengan pengurusan sekolah.
Kegagalan ibu bapa atau pelajar berbuat demikian katanya, menyebabkan pengurusan sekolah tidak mempunyai rekod yang dapat membantu pelajar dalam kategori kurang berkemampuan.
"Pihak sekolah pula perlu menjaga bukan seorang sahaja pelajarnya. Biasalah, bila hujung tahun ini, sekolah perlu mengemas kini rekod, jadi mesti ada yang menghadapi masalah ini jika mereka tidak berjumpa pihak pengurusan sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wajah-wajah cemerlang UPSR
Muhammad Nabil Mohd. Nasir, SK Othman Talib (1) Pasir Mas, Kelantan.
Kembar 5A
Nurul Syakirah Aziz (kiri) bersama Nurul Syahirah, SK Puteri, Seremban.
Rai kejayaan anak
UMMU Aiman Abd. Latif dari SK Gunung membawa slip keputusan UPSR 5A kepada bapanya, Abdul Latif Hamid, 46, yang mengambil upah menyulam anak padi di Kampung Alor Gunung, Alor Setar, semalam.
Banteras pendatang haram asing
Daripada sumber yang dipercayai, warga asing yang tinggal di negara ini melebihi dua juta orang atau hampir 10 peratus daripada warga Malaysia sendiri. Bukan semuanya ada permit yang sah kerana lebih daripada separuh warga asing yang datang dipercayai adalah pendatang haram.
Buat masa ini negara kita masih aman dan terkawal. Tetapi semakin hari semakin ramai pendatang yang datang. Tidak tahu dari mana dan bagaimana mereka memboloskan diri. Mereka menjadikan negara kita sebagai syurga untuk melakukan pelbagai jenayah.
Akibatnya kita takut dan bimbang akan berlaku bermacam-macam kejadian yang tidak diingini seperti rompak, rogol, ragut, peras ugut malahan bunuh. Ini telah menyebabkan kita sentiasa mengunci pintu dan pagar rumah.
Malah kita pula terasa terasing apabila keluar dari rumah dan menaiki komuter atau LRT apabila yang memenuhi pengangkutan awam itu adalah daripada golongan mereka.
Sikap biadap dan budaya kasar warga Afrika apabila mereka berkumpulan menakutkan penduduk tempatan. Mereka tidak langsung hormat atau merasa segan kepada kita, malahan kita pula disergahnya.
Kini tempat-tempat maksiat dan hiburan dibanjiri oleh warga asing, terutama sekali warga Afrika yang suka membuat kacau apabila mereka ini mabuk.
Sudah sampai masanya kita perlu banteras warga asing yang telah lama tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah. Berkas mereka dan banteras habis-habisan untuk memastikan negara kita bersih daripada pendatang haram.
Kita mesti bertegas dalam hal ini jika mahu melihat keamanan rakyat Malaysia terjamin. Jangan hanya melakukan operasi ini secara bermusim. Disyorkan adakan skuad atau unit khas yang mencukupi membanteras segala ancaman pendatang haram ini 24 jam sehari.
Pendatang haram datang ke negara ini kerana merasakan pengawasan agak longgar dan usaha menjejak mereka tidak menyeluruh. Tidak hairanlah pelbagai ragam manusia dari beberapa negara menjadikan Malaysia sebagai tempat mencari sumber rezeki secara tidak betul.
Malahan mereka merasa lebih bebas melakukan apa sahaja apabila berada di negara ini berbanding apabila berada di negara sendiri.
Dicadangkan setiap pendatang diberikan kad pengenalan khas. Apabila mereka pergi berjalan ke mana-mana, mereka ini hendaklah disaring melalui kad khas tersebut yang mempunyai cip yang ditetapkan tempohnya serta boleh mengenalkan diri apabila melalui laluan khas yang disediakan di tempat-tempat awam. Contohnya stesen kereta api atau tempat-tempat awam yang lain.
Dengan cara ini akan dapat mengurangkan pergerakan pendatang, terutama pendatang haram yang semakin ramai di negara ini.
Kaedah ini juga akan menyebabkan mereka merasa tertekan dan dengan sendirinya akan pulang ke negara asal kerana pergerakan mereka di sini terbatas dan sentiasa dipantau.
Amaran banjir di Pantai Timur, Utara
Jabatan Meteorologi memberitahu, kawasan di Kelantan yang terlibat adalah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang selain Kuantan, Jerantut, Pekan, Rompin dan Maran, kesemuanya di Pahang.
Dalam kenyataan akhbarnya di sini, jabatan itu memberitahu daerah di Terengganu adalah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Sementara di Perak Utara melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Kerian.
''Hujan dijangka berterusan di kawasan Pantai Timur dari 15 November ini hingga 19 November.
''Di Perak Utara dan seluruh Kedah, hujan dijangka berterusan dari 14 November hingga 20 November,'' menurut kenyataan itu.
Tambahnya, keadaan itu boleh menyebabkan banjir kilat khususnya di kawasan rendah dan tebing sungai.
Dalam pada itu, ombak kuat juga dijangka melanda perairan pantai Kelantan dan Terengganu selama dua hari bermula 14 November ini.
Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di perairan Conrode, Reef North, Layang-Layang dan Palawan selama lima hari mulai 19 November ini.Tiupan angin kencang itu dijangka mencecah 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil dan rekreasi laut.
Oleh itu, orang ramai diminta lebih berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Hebatnya ikan Sg. Tembeling
|
|
Begitulah hakikatnya bagi seorang penduduk Kampung Tempan dekat sini, Adenan Nipah, 56, yang menjalankan perniagaan ikan sungai salai secara komersial berikutan permintaan yang amat tinggi di pasar-pasar tani dan pekan sehari di bandar Jerantut.
Menurutnya, ikan air tawar Sungai Tembeling merupakan antara menu utama bagi penduduk di sini terutama bagi juadah tengah hari atau malam.
Katanya, keenakan ikan-ikan sungai itu memberi peluang kepada peniaga untuk memperoleh pendapatan yang berbaloi.
‘‘Syukurlah, setiap hari sebanyak 20 hingga 30 ekor ikan salai habis dijual dengan memperoleh pendapatan hampir RM400 sehari.
‘‘Itu tidak termasuk yang ditempah oleh pengusaha resort di Taman Negara, Kuala Tahan untuk dimasak kepada pelancong yang gemar masakan kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Tempan, Tembeling, baru-baru ini.
Menurut bapa kepada lapan anak itu, ikan salai Sungai Tembeling boleh dimasak lemak pedas, asam tempoyak, dibakar atau digoreng sehingga rangup.
Adenan memberitahu, aktiviti menangkap ikan sungai biasanya dilakukan selepas solat subuh setiap hari.
Beliau akan turun ke Sungai Tembeling untuk menangkap ikan yang terdiri daripada ikan patin, jelawat, kelah, temoleh, lawang dan lampam.
Bagi sesetengah nelayan sungai, mereka tidak menjual hasil tangkapan sebaliknya dibawa pulang untuk dimasak pais tempoyak, gulai asam tempoyak, asam rom, masak lemak cili api, pekasam, salai atau goreng.
‘‘Masakan ini cukup menyelerakan apatah lagi menjadi hidangan pada majlis kenduri, berbuka puasa dan meraikan orang kenamaan.
‘‘Ikan sungai salai mendapat perhatian di kalangan mereka yang gemar masakan kampung untuk hidangan tengah hari dan majlis-majlis jamuan meraikan orang kenamaan yang singgah ke kampung kami,” katanya.
Di daerah Jerantut, jelas Adenan, masakan berasaskan ikan air tawar jenis patin, jelawat, kelah, lawang dan temoleh juga boleh ditemui di pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
‘‘Jika ingin membeli gulai asam tempoyak ikan kelah dan patin di restoran di sekitar bandar Jerantut, poket perlulah tebal dengan duit.
‘‘Ini kerana, harga seketul ikan kelah dicampur masakan asam tempoyak mencecah antara RM25 hingga RM30. Begitu juga masakan ikan sungai yang lain, tidak kurang juga mahalnya,” ujarnya.
Adenan memberitahu, petua untuk makan ikan air tawar di restoran bandar Jerantut dan Taman Negara Kuala Tahan, seseorang itu perlu bertanya dahulu sama ada ikan tersebut diternak di kolam atau yang ditangkap di Sungai Tembeling.
Menurutnya, perbezaan habitat ikan air tawar itu memberi kesan daripada segi harga dan kelazatan isinya.
‘‘Kebiasaannya, ikan air tawar yang ditangkap di Sungai Tembeling lebih mahal harganya,” katanya.
Adenan menambah, menangkap ikan di Sungai Tembeling tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana ia bersalahan dari segi undang-undang.
Sehubungan itu, katanya, beliau memohon lesen daripada pihak yang berkenaan bagi membolehkan aktiviti tersebut dilakukan di Sungai Tembeling.
Seorang suri rumah dari Kampung Bantai, Siti Khatijah Ahmad, 60, berkata, masakan pais ikan Sungai Tembeling antara sajian tengah hari di rumahnya kerana makanan berkenaan cukup menyelerakan.
‘‘Saya menyediakan pais ikan sungai dan masakan asam tempoyak untuk hidangan tengah hari. Maklum sajalah, hendak ke bandar Jerantut membeli ikan basah (laut) jauh dari kampung ini,” katanya.
Menurut Siti Khatijah, memasak pais ikan berkenaan memang mudah dengan hanya menyediakan ikan, daun pisang, asam tempoyak dan bahan-bahan lain untuk menyedapkan masakan itu.
Rakannya, Azizah Embong, 61, pula berkata, sejak dari turun-temurun lagi, masakan tradisional Pahang berasaskan ikan air tawar menjadi menu utama mungkin kerana faktor tempat tinggal penduduk yang berdekatan sungai.
‘‘Wanita di sini juga boleh mendayung perahu dan menangkap ikan di sungai, bukan hanya orang lelaki sahaja. Setiap kali turun selepas subuh, tangkapan yang diperoleh sudah cukup untuk menyediakan hidangan sekeluarga itu hari tersebut,” katanya.
wajarkah pelajar bekerja secara sambilan.
Kerja sambilan ini memberi satu pengajaran berguna kepada remaja dalam kehidupan. Jangka masa yang pendek bersama-sama rakan sekerja dan majikan pasti meninggalkan pelbagai kesan yang menarik. Remaja menyedari betapa kehidupan social memerlukan kemahiran tinggi terutama ketika di tempat kerja. Jadi, pengalaman kerja sambilan menjadi alat untuk menjelaskan erti kehidupan sebenar kepada remaja sebelum mereka benar-benar melaluinya.
Malah, remaja mampu membentuk personaliti yang menarik menerusi kerja sambilan ini. Tugas di tempat kerja membina jati diri remaja yang baru kerana kerja ini memerlukan mereka menepati masa, rajin bekerja, menurut arahan, dan menggunakan minda ketika berinteraksi dengan pelanggan. Remaja yang dahulunya malas, tiada wawasan,tidak yakin diri dan sebagainya pasti berubah sebaik sahaja mereka bekerja secara sambilan ini.
Sudah pasti kelebihan ketara bekerja secara sambilan ini ialah aspek kewangan. Remaja mempunyai wang mereka sendiri yang memberi sedikit kepuasan dalam hidup. Perasaan mampu membeli sesuatu atas kemampuan kewangan sendiri sememangnya membawa satu perasaan yang tidak dapat dihuraikan. Jelaslah, kerja sambilan memberi satu kepuasan kewangan yang begitu tinggi kepada remaja.
Cuma dalam keghairahan remaja bekerja secara sambilan ini, aspek impak negatifnya harus diberi pertimbangan sewajarnya. Remaja menjadi individu yang terlalu sibuk, mementingkan kewangan,lupa tugas belajar mereka dan mungkin terlalu angkuh sehingga menganggap mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa bantuan keluarga. Sikap terlalu rapat dengan rakan sekerja yang lebih dewasa turut mampu menjerumuskan remaja ke arah budaya yang tidak sihat.
Kesimpulannya, kerja sambilan sememangnya wajar dilakukan oleh remaja tetapi harus secara bertanggungjawab. Remaja harus menimbang dengan mendalam sebelum menyertai kerja sambilan. Bukan sahaja kebenaran ibubapa penting tetapi remaja harus bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sesuatu yang ingin mereka lakukan? Atau mereka penuhkan masa cuti mereka dengan aktiviti berfaedah yang lain.
Gambar Banjir di Kelantan
Perubahan sikap mampu kurangkan ancaman banjir
Sehingga semalam, banjir masih menghantui Kelantan dan Terengganu. Ribuan penduduk terjejas akibat banjir setiap tahun. Apa yang lebih malang, setiap kali musim banjir, ada sahaja nyawa yang terkorban.
Usaha mengatasi banjir telah pun dilakukan oleh kerajaan menerusi pelbagai pendekatan. Namun ia tetap menjadi masalah pada setiap hujung tahun.
Ramai yang berpendapat, masalah banjir akan dapat diatasi sekiranya sistem saliran dan perparitan di Pantai Timur itu diperkemaskan. Begitu juga dengan usaha membina benteng di sepanjang Sungai Kelantan dan Sungai Golok. Namun ia memerlukan peruntukan yang cukup besar.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyatakan projek tebatan sungai-sungai itu memerlukan dana sekurang-kurangnya RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah itu mungkin melepasi RM2 bilion apabila mengambil kira pelbagai faktor termasuk kenaikan kos bahan-bahan dari semasa ke semasa.
Jumlah tersebut juga bermakna, apa yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk projek tebatan sungai-sungai itu tidak mencukupi.
Banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan projek menangani masalah banjir itu benar-benar berjaya dan sempurna.
Ini kerana selain membina benteng di sepanjang sungai, projek itu juga memerlukan kerja mendalamkan sungai dan membina lebih banyak sistem saliran.
Kesemua itu penting untuk memastikan hasil akhir menjadi sempurna dan tidak akan menyaksikan masalah banjir berulang.
Dan kini dengan peruntukan sejumlah RM300 juta menerusi RMK-9, projek itu telah pun berjalan.
Walaupun mungkin tidak boleh menjadi sempurna seperti jika peruntukan RM2 bilion disalurkan, sekurang-kurangnya ia menunjukkan bahawa kerajaan Pusat sangat prihatin ke atas masalah rakyat di Pantai Timur.
Paling penting, masalah banjir tidak akan dapat diatasi tanpa kerjasama rakyat di kedua-dua negeri itu.
Sikap prihatin terutama dalam menangani tabiat membuang sampah ke dalam sungai serta saliran sangat diperlukan.
Amat penting untuk meningkatkan kesedaran bahawa masalah banjir turut disumbangkan oleh tabiat buruk segelintir rakyat.
Hentikan tabiat membuang segala sampahsarap ke dalam sungai dan longkang.
Mungkin sedikit sebanyak ia akan membantu mengurangkan masalah banjir. Jika tabiat ini tidak diatasi, binalah seberapa tinggi benteng pun, banjir akan terus melanda.
Kini, sewaktu projek tebatan sungai berlangsung dan banjir masih melanda, ada baiknya untuk semua pihak mengambil sikap lebih berhati-hati.
Awasi anak-anak ketika musim banjir. Semoga tiada lagi berita sedih mengenai anak-anak lemas di dalam banjir akibat kealpaan ibu bapa dan keluarga
Yogurt dingin beku
|
|
Terbaru, yogurt Tutti Frutti, jenama terkenal dalam segmen manisan dingin lembut dari Amerika Syarikat yang kini memenuhi selera orang Malaysia dengan pelancaran cawangan terbarunya di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor.
Menurut Pengurus Besarnya, Zain Azrai Azhar Simin, cawangan Tutti Frutti pertama itu berkonsepkan layan diri yang menyediakan sajian yogurt melalui mesin dengan menawarkan 18 perasa yogurt serta 36 bahan tambahan untuk menyedapkan lagi makanan tersebut.
''Konsep layan diri ini dijangka menarik minat setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda kerana ia merupakan pilihan snek yang sihat dan enak.
''Tutti Frutti memiliki ramuan berkualiti tinggi tanpa kandungan bahan pengawet atau perasa tiruan,'' katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan cawangan pertama di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Kerjasama yang membabitkan pelaburan bernilai RM3.5 juta antara Kumpulan Naza dengan syarikat pengasas Tutti Frutti, Well Spring Inc., memperlihatkan Kumpulan Naza menjadi pemegang lesen utama bagi rangkaian Tutti Frutti di Malaysia, Singapura, Thailand dan India.
Yogurt dingin lembut tersebut ternyata lebih unik kerana kini boleh didapati dalam pelbagai perisa buah segar. Antaranya mangga, strawberi, kiwi dan blackcurrent dan ditambah pula dengan bahan tambahan seperti kiub laici, buah nanas, buah tembikai, biskut, cip coklat , jeli dan banyak lagi.
Di samping itu, ia juga kaya dengan sumber protein, kalsium, riboflavin dan vitamin B12.
Menawarkan harga pada RM0.58 bagi setiap 10 gram, yang pasti, kehadiran Tutti Frutti menggembirakan peminat-peminat yogurt selain kanak-kanak.
Jika dilihat hasil penyelidikan sebelum ini, kandungan khasiat untuk minuman yogurt lebih tinggi kerana ia direka sebagai minuman bagi seisi keluarga.
Mungkin ramai yang tidak tahu yogurt mampu mengenyangkan perut selain melancarkan penghadaman.
Dikatakan mula diinovasi sejak lebih 4,000 tahun lalu di Asia Barat secara tidak sengaja sewaktu pedagang melintasi padang pasir.
Hari ini yogurt bukan sahaja menjadi antara menu wajib bagi mereka yang menitikberat penjagaan kesihatan bahkan ia boleh dimakan begitu sahaja.
Selain itu, bagi penggemar yogurt di luar kawasan Lembah Klang, jangan bimbang kerana menjelang tahun 2010, sebanyak 25 buah cawangan akan dibuka di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, Kumpulan Naza dijangka mengendalikan lima cawangan manakala bakinya akan ditawarkan kepada usahawan tempatan di bawah program pelesenan yang membabitkan modal minimum sebanyak RM150,000.
Hari ini, dengan kehadiran pelbagai produk yogurt baru, yogurt pastinya akan terus kekal popular di rak produk tenusu pasar raya seluruh dunia.
Awasi anak dari ketagihan Internet
Jika di rumah, selain menonton televisyen, aktiviti yang paling popular ialah permainan komputer dan melayari Internet.
Kini dengan pelbagai laman web yang boleh dilayari secara percuma serta menghiburkan, telah melekakan dan menjadi ketagihan golongan remaja.
Penggunaan Internet yang keterlaluan telah menjadi satu masalah yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama ibu bapa bukan sahaja di negara ini malah menjadi masalah sejagat.
Kanak-kanak dilihat sebagai paling terdedah apabila melayari web dan mudah menjadi mangsa gangguan dan pengintipan. Terdapat pelbagai sumber yang boleh didapati di dalam talian yang memberi tumpuan terhadap isu ini dan perkara lebih penting ialah pendekatan proaktif yang diambil oleh semua pihak untuk mendidik kanak-kanak.
Pakar Psikiatri Universiti Sains dan Kesihatan Oregon, di Portland, Amerika Syarikat, Dr. Jerald Block, dalam tulisan editorialnya untuk American Journal of Psychiatry berkata, masalah penggunaan Internet kini sudah menjadi serius di seluruh dunia dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan dianggap sebagai salah satu penyakit mental.
Menurut Dr. Jerald, beberapa kajian yang telah dibuat di beberapa negara mendapati masalah ketagihan Internet di negara berkenaan sudah mencapai tahap yang sebegitu serius sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk mengatasi dan membendung masalah tersebut.
Di Korea Selatan pula, bagi menangani masalah ketagihan Internet ini, kerajaannya telah melatih 1,043 kaunselor bagi merawat ketagihan Internet dan menyenaraikan kira-kira 190 hospital dan pusat rawatan untuk tujuan ini.
Malah sebahagian ibu bapa di China yang berhadapan dengan anak-anak yang ketagihan Internet sanggup menghabiskan kira-kira RM4,680 sebulan untuk merawat anak mereka di klinik yang dikhaskan oleh kerajaan untuk merawat ketagihan Internet .
Mengapa jadi begitu? Ini kerana sistem komputer mampu dimiliki dan talian Internet mudah disediakan oleh sesiapa di rumah. Keputusan ibu bapa untuk membeli komputer dan menghubungkannya ke Internet biasanya untuk kebaikan anak mereka. Internet memberi pelbagai manfaat yang meluaskan pengetahuan dan sebagai alat komunikasi.
Kebelakangan ini, terdapat banyak kes dilaporkan di seluruh dunia berkaitan pengintipan dan gangguan siber terhadap kanak-kanak. Ini boleh dielakkan jika kanak-kanak sedar tentang selok belok kegiatan sedemikian dan cara pencegahan, termasuk perbualan selamat, pertemuan dengan orang asing dan sebagainya.
Ibu bapa perlu memainkan peranan mengajar anak mereka tentang keselamatan, bahaya dan bersikap bertanggungjawab dalam dunia siber.
Murid buta huruf naik kelas
|
|
Hari ini, murid Tahun 6 Sekolah Rendah Setapak Indah mampu tersenyum gembira sambil memberitahu dia mendapat nombor dua dalam peperiksaan kepada bapanya, Nazri Desa, 44, dalam bahasa isyarat kerana pekak dan bisu.
Marziani juga naik kelas ketiga dalam tempoh dua tahun setelah kemahiran membacanya meningkat membuatkan setiap mata pelajaran menjadi lebih jelas dan mudah difahami.
"Dulu saya cuma suka Matematik, sekarang saya paling suka Bahasa Melayu, Sains dan Bahasa Inggeris," katanya yang yakin dengan sasaran mendapat semua A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Begitu juga dengan Noor Saifah Ahmad, 41, ibu kepada Nur Kamalia, 10, dan Mohd. Anuar, 9, yang sedih apabila anak-anaknya itu ditempatkan di 'kelas harapan' (pemulihan) kerana hanya mampu mengenal suku kata mudah.
"Masa mereka tadika memang tak dapat kesan sebab tahu ABC tapi bila naik Tahun 2 pelajaran semakin merosot, bila suruh baca di papan tanda atau tulisan di surat khabar masing-masing garu kepala," kata ibu kepada lima orang anak ini.
Pun begitu, seperti Che Israfahmikinawati Ani, 32, mereka mendapat bantuan Global Peace Mission Malaysia (GPM) yang menganjurkan Program Literasi Kanak-Kanak JomBaca khas untuk anak-anak miskin yang buta huruf.
Kata ibu kepada Tunku Putra Isamudin Shah, 12, dan Izudin Shah, 8 ini, program yang menggunakan kaedah pembelajaran i-Sina itu berjaya mengubah keputusan anak-anaknya dari E kepada C dan B.
"Yang penting ibu bapa kena beri dorongan kepada anak-anak. Apa sahaja yang boleh kita lakukan, korban masa, bawa mereka pergi perpustakaan, tambah bahan bacaan dalam rumah sebagai latihan membaca," ujarnya.
Menurut Pengarah Program 2M i-Sina, Rahmalizah Ali, dalam usaha mengatasi masalah buta huruf bukan sahaja di kalangan kanak-kanak luar bandar malah di dalam bandar, ibu bapa perlu menilai tahap kemampuan sebenar anak-anak mereka.
"Jangan terlalu mudah anggap anak-anak boleh membaca kerana sebenarnya mereka belum mampu menguasai kemahiran membaca dengan sempurna," katanya.
Sebagai tambahan kepada program pemulihan yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah, Program JomBaca! menilai tahap kemahiran membaca murid-murid Tahun 1 hingga 6 .
Ia terbuka kepada murid-murid dari golongan miskin, anak yatim piatu, ibu tunggal dan ibu bapa orang kurang upaya (OKU) yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M).
Terdapat beberapa tahap atau kategori kelemahan penguasaan 2M iaitu:
1) Kenal huruf tetapi belum boleh membaca.
Ramai kanak-kanak kecil kenal huruf A hingga Z, sama ada melalui cara menghafal huruf tersebut (biasanya melalui nyanyian) atau mengenal bunyi huruf-huruf tersebut.
Namun, mengenal huruf tidak bermakna mereka boleh membaca. Malah, ribuan murid di sekolah-sekolah mampu mengenal nama-nama huruf namun mereka masih tidak mampu membaca dengan baik.
2) Hanya boleh membaca perkataan dengan dua suku kata.
Sistem pembelajaran membaca di negara ini kebanyakannya berdasarkan binaan dan gabungan bunyi suku kata serta bermula dengan perkataan dua suku kata terlebih dahulu.
Malangnya kategori murid yang hanya mampu membaca dua suku kata merupakan majoriti di kalangan kanak-kanak yang maju ke peringkat pembelajaran seterusnya di sekolah.
Mereka mampu membaca perkataan-perkataan dua suku kata ini dengan lancar dan yakin tetapi hanya terbatas serta belum menguasai kemahiran membaca dengan sempurna.
3) Kelihatan seakan-akan boleh membaca.
Kanak-kanak tertarik kepada gambar berwarna-warni yang menghiasi buku. Ini penting untuk menarik minat tetapi pada peringkat awal, buku seumpama itu mengakibatkan segelintir murid menghafal cerita tersebut.
Lama-kelamaan anak itu seolah-olah boleh membaca dengan lancar sebaliknya ia hanya menghafal ayat. Ibu bapa sukar mengesan tabiat ini dan boleh mengakibatkan murid itu tidak mampu membaca perkataan yang ditulis pada kertas lain.
4) Membaca dengan mengeja terlalu lambat.
Adakalanya kanak-kanak terlalu bergantung kepada kaedah membaca sambil mengeja dalam kepala.
Cara ini mengakibatkan pembacaan yang terlalu lambat dan jika keadaan ini berterusan dia akan merasai bebanan pembelajaran apabila Tahun 3 ke atas.
Ada di antara kanak-kanak ini mengambil masa beberapa minit untuk membaca satu ayat pendek tetapi rakan sebayanya habis membaca satu perenggan!
Tabiat mengeja harus dibuang kerana boleh mendatangkan masalah lain seperti sukar membaca perkataan dalam Bahasa Inggeris.
5) Membaca dengan laju tetapi salah.
Apabila disuruh membaca, ramai kanak-kanak yang belum boleh membaca dengan sempurna mengambil jalan mudah dan meneka perkataan yang dicuba dibaca.
Perkataan seperti 'selekoh' dibaca sebagai sekolah, 'belalang' sebagai belang dan sebagainya. Ada di kalangan murid sebegini yang mampu membaca dengan betul apabila perlahan tetapi menjadi gopoh bila disuruh membaca laju.
Tabiat 'meneka' perkataan mesti dibuang kerana menyebabkan kanak-kanak itu tidak faham apa yang dibacanya.
6) Tidak boleh membaca perkataan yang sukar seperti 'eksklusif', 'infrastruktur''atau 'penyelesaian'.
Ini adalah perkara biasa di kalangan murid yang belum mampu membaca dengan sempurna. Oleh kerana mereka membaca secara mengeja dan memecahkan perkataan kepada suku kata mudah, maka perkataan yang panjang dan sukar dieja adalah sukar untuk dibaca.
Masalah ini menyumbang kepada faktor mengapa murid-murid di Malaysia hadapi masalah membaca perkataan panjang dalam Bahasa Inggeris.
Perkataan dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dibaca mengikut suku kata mahupun dengan mengeja, kerana huruf yang digunakan dalam perkataan tersebut lazimnya tidak konsisten.
7) Tidak boleh membaca perkataan yang tidak dikenali.
Kanak-kanak lebih gemar menghafal apabila diperkenalkan dengan perkataan awal (whole words) menggunakan flash card atau buku cerita.
Rahmalizah berkata, Ada kanak-kanak pintar yang dapat mengklasifikasikan penggunaan bunyi huruf-huruf dengan efisien lantas boleh membaca.
Namun terdapat segelintir yang terus terjerumus dalam dunia hafalan. Ini mengakibatkan kanak-kanak itu kelihatan seperti boleh membaca tetapi sebenarnya hanya mampu menyebut perkataan mudah yang dihafal sahaja.
Ini menyebabkan katanya, ibu bapa hanya menyedari anak mereka gagal menguasai pembacaan dengan betul selepas menjangkau usia 9 tahun.
Masalah berkenaan menyebabkan kanak-kanak yang tergolong dalam kelompok itu menjadi murung dan tidak bersemangat untuk belajar apabila melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar.
Akhir tahun lalu, program pemulihan 2M intensif dilaksanakan selama 32 hari membabitkan lebih 80 murid di Kompleks Anjung Rahmat, Jalan Gombak. Daripada jumlah itu, 76 menamatkan program dengan 74 daripadanya berjaya dipulihkan dan 42 murid tamat program dengan cemerlang.
Tahun ini, GPM memperluaskan bantuan pendidikan itu ke Wangsa Maju, Setapak, Sentul dan Sungai Pusu di Gombak Utara termasuk anak-anak Orang Asli di kawasan berkenaan.
Bilangan peserta yang dijangka meningkat lima kali ganda berbanding sesi sebelumnya memerlukan sokongan dan sumbangan semua pihak sama ada individu, syarikat awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Baru-baru ini, Tabung JomBaca! Program Literasi Kanak-kanak dilancarkan oleh Penasihatnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim di Petaling Jaya bagi memperkenalkan program itu dan mengumpul dana untuk melaksanakannya tersebut akhir tahunini.
Tabung JomBaca! akan digunakan untuk menampung kos kem membaca sempena cuti sekolah di bawah program JomBaca 2009 bermula 21 November sehingga 3 Januari 2010.
Setiap murid memerlukan RM750 untuk mengikuti program selama 32 hari itu termasuk yuran pengajian, makan minum, pengangkutan, perkakas (buku, alat tulis, kertas kerja) dan menerima sumbangan kelengkapan sekolah sebagai persediaan sesi persekolahan tahun 2010.
"Kali ini kami jangka kira-kira 500 murid menyertai program ini dengan lebih 300 permohonan dari ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghadapi masalah membaca," katanya lagi.
Maklumat mengenai program JomBaca! 2009 boleh hubungi Akademi i-Sina, di talian 03-61883230 layari laman web www.gpm.com.my atau
Global Peace Mission, No 2-2A Jalan GJ 2 Batu 5 1/2 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur.
Membudayakan amalan membaca
|
|
''Ini kerana masyarakat yang komited terhadap amalan membaca dan menguasai ilmu akan terus maju dan gemilang,'' katanya ketika merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 1Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Raslin, untuk membudayakan amalan membaca , semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasi ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian.
Menjadi contoh
''Malah sebagai ibu bapa sendiri, kita harus menjadikan contoh utama kepada anak-anak dalam membudayakan amalan membaca di rumah.
''Tanpa perlu menuding jari ke arah pihak lain, kita sendiri seharusnya menjadi contoh dalam merealisasikan budaya membaca kepada anak-anak,'' tegasnya.
Ujarnya, selain berperanan sebagai guru pertama bagi setiap individu yang lahir ke dunia, ibu bapa juga memang dipertanggungjawabkan untuk membimbing dan mendidik zuriat yang dilahirkan dengan sebaik-baiknya.
Tidak dinafikan ada ibu bapa yang terlupa menyedarkan anak-anak peri pentingnya ilmu kerana ibu bapa itu juga tidak berilmu.
Tuntutan hidup juga sering kali menyukarkan ibu bapa menunjukkan teladan ilmu dan kesannya kepada anak-anak.
Bagaimanapun katanya, tidak ada ibu bapa di dunia ini yang menginginkan anak mereka bagaikan tiada tempias pun kepada masyarakat dan negara.
"Sekurang-kurangnya, jadilah orang yang berguna kepada diri sendiri kalau pun tidak pada keluarga.
"Doa dan harapan ibu bapa silih berganti, tetapi yang tidak tertunai ialah fenomena ilmu dalam sesebuah keluarga.
"Bayangkan jika anak tidak pernah melihat ibu bapa membaca walau sekalipun! Bagaimana anak-anak hendak merasakan budaya membaca di rumah sekiranya tanda-tanda begitu pun tidak berlaku langsung?'' jelasnya.
Oleh itu, katanya, mulakan dari sekarang, jadilah diri sebagai contoh untuk menjadikan anak-anak juga berminat untuk membaca sekali gus melahirkan generasi yang maju dan berjaya.
Menurut Raslin, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari bahawa kerajaan akan melaksanakan langkah lebih agresif bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai 'Negara Pembaca'.
'Negara Pembaca' bukan sahaja untuk melihat semua orang membaca di mana-mana tetapi juga merujuk kepada masyarakat Malaysia yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan, mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru.
Langkah ini sememangnya akan membolehkan rakyat Malaysia menyertai penduduk negara maju lain yang menjadikan membaca sebagai satu tabiat dan budaya hidup.
Tambahnya lagi, negara Jepun misalnya sudah lama menjadikan pembacaan sebagai salah satu aktiviti tetap dalam kehidupan seharian. Budaya itu berterusan kerana setiap rakyatnya melihat semua orang melakukannya.
Secara tidak langsung ia menjadi ikutan kepada generasi yang baru.
Sempena sambutan Hari Kanak-kanak 1Malaysia itu kira-kira 500 kanak-kanak dari pelbagai kaum melakukan acara 'membaca secara senyap' selama lima minit di perkarangan Perpustakaan Negara.
Majlis bertemakan Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan kanak-kanak berkaitan keseronokan membaca seterusnya memupuk tabiat itu sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu dan berfikiran kreatif.
"Konsep pembelajaran sepanjang hayat harus disemai dalam setiap sanubari rakyat negara ini, ia adalah sesuatu yang murni.
"Kita seharusnya membudayakan amalan membaca bagi merealisasikan konsep ini dan seterusnya membantu melahirkan masyarakat Malaysia berminda kelas pertama," katanya.
Usaha membudayakan aktiviti membaca di kalangan generasi muda merupakan titik tolak dalam membentuk masyarakat berpengetahuan yang dapat menyumbang kemahiran dan kepakaran kepada pembangunan sesebuah negara.
Tiada kesan naikkan harga rokok
Ini kerana rokok menyebabkan ketagihan. Di mana ada ketagihan di situ ada usaha untuk mendapatkannya. Walaupun seringgit sebatang pun, pelajar tetap akan boleh membeli di kedai.
Ambil contoh, petrol walaupun ia naik kerana harga pasaran di dunia, adakah masyarakat akan kisah mengenainya? Begitulah juga rokok.
Mereka tidak akan kisah tentang apa juga propaganda kerajaan terhadap tahap kesihatan atau fakta berapa ramai pesakit yang berkaitan rokok.
Saya bukanlah menidakkan usaha kerajaan dalam mengurangkan perokok di Malaysia, cuma kerajaan haruslah pandai mencari inisiatif alternatif untuk mengurangkan peratusan perokok ini.
Saya meluahkan ini berdasarkan apa yang saya lihat, dengar dan bualkan bersama-sama rakan perokok saya. Mungkin apa yang saya cuba utarakan di sini tidak mampu mengubah apa-apa. Tetapi kerajaan wajar memikirkannya jika mahu mengurangkan jumlah perokok.
Terima kasih atas dasar dan usaha yang kerajaan lakukan. Tetapi carilah alternatif lain selain daripada mempergunakan hak pencukaian terhadap tembakau.
Carian pintas artikel blog ini
Blog lain
Arkib Blog
-
▼
2009
(132)
-
▼
November
(23)
- Nur Izzati: Antara hutang RM57 dan SBP
- Ubah waktu peperiksaan elak banjir
- Perjalanan ibadah haji, korban dan pengorbanan pol...
- Awas banjir kedua
- Penjenayah disanjung, polis disinggung
- Murid mangsa tragedi jambatan runtuh dapat 4A
- Anak peniaga tomyam dapat 5A
- Pelajar Melayu, India dapat 7A
- Pengorbanan ibu berbaloi anak cacat dapat 5A
- Cacat: Nabil didukung ke kelas dapat 5A
- Izzati gembira disalut kesedihan
- Wajah-wajah cemerlang UPSR
- Banteras pendatang haram asing
- Amaran banjir di Pantai Timur, Utara
- Hebatnya ikan Sg. Tembeling
- wajarkah pelajar bekerja secara sambilan.
- Gambar Banjir di Kelantan
- Perubahan sikap mampu kurangkan ancaman banjir
- Yogurt dingin beku
- Awasi anak dari ketagihan Internet
- Murid buta huruf naik kelas
- Membudayakan amalan membaca
- Tiada kesan naikkan harga rokok
-
▼
November
(23)