Sisih Rajagobal tidak akan bantu selesai masalah Harimau Malaya
Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Tindakan menyisihkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal bukan penyelesaian terbaik bagi memperbaiki kualiti pasukan kebangsaan, sebaliknya bantuan perlu dihulurkan kepada pengendali tersebut.
Itu pandangan sebilangan besar penggiat bola sepak tempatan yang menganggap Rajagobal masih lagi relevan membimbing Harimau Malaya ketika hampir kebanyakan penyokong mendesak agar jurulatih itu dipecat berikutan gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF baru-baru ini.
Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat, Rajagobal memerlukan pendedahan di luar negara berkaitan taktikal bagi membantu jurulatih tersebut menjana idea lebih meluas ketika membuat percaturan dalam sesuatu perlawanan.
Tambah Khalid, Sepanyol adalah destinasi paling sesuai untuk Rajagobal menimba ilmu kerana tahap kualiti bola sepak di negara itu dianggap terbaik di dunia.
"Mungkin idea ini boleh diteliti oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana bagi saya Rajagobal adalah jurulatih terbaik pernah dimiliki negara pada ketika ini.
"Bantuan perlu diberikan kepadanya terutama sebelum beraksi pada kelayakan Piala Asia tahun depan. Saya juga percaya melalui pendedahan yang dimiliki oleh Rajagobal selepas menjalani kursus di luar negara dapat diaplikasikan untuk peningkatan skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Dalam pada itu, bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu beranggapan satu pasukan penganalisis perlawanan bagi membantu ketua jurulatih wajar diwujudkan seperti yang telah diguna pakai oleh Jepun ketika ini.
Kata Karathu, peranan yang dimainkan oleh pasukan penganalisis tersebut amat penting kerana mampu membantu jurulatih menilai tahap keupayaan pemain.
"Pasukan penganalisis ini mestilah terdiri dalam kalangan jurulatih liga tempatan yang dapat menilai kekurangan atau kekuatan dalam pasukan kebangsaan dan setiap analisis tersebut perlu diteliti oleh ketua jurulatih sendiri.
"Dengan cara itu saya fikir pasukan kebangsaan mampu melangkah lebih jauh dan mencapai kejayaan tanpa menyingkirkan Rajagobal," jelas Karathu.
Dalam pada itu, jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor memberitahu, sumbangan idea baru bagi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan amat diperlukan bagi mencapai sesuatu keputusan positif.
Malah, Mohd. Azraai turut mengakui selain perlu mendapatkan idea baru pasukan kebangsaan juga perlu banyak belajar daripada kesilapan lalu.
"Bagi saya sumbangan pasukan liga tempatan dalam menyumbang pemain mereka adalah satu bentuk bantuan yang positif untuk skuad kebangsaan.
"Selain memberikan idea baru saya juga yakin jurulatih Rajagobal pasti mengetahui apa yang perlu dilakukan," kata Mohd. Azraai.
Jumlah kecil Red Warriors dipersoal
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Kekurangan pemain berkaliber daripada pasukan Kelantan dalam skuad Harimau Malaya terus dipersoalkan beberapa pihak yang mengikuti rapat kancah bola sepak tanah air.
Antara persoalan yang terus hangat dibualkan adalah kenapa pasukan Harimau Malaya yang dibimbing jurulatih Datuk K. Rajagobal tidak dibarisi ramai pemain skuad Kelantan.
Sedangkan pasukan The Red Warriors merupakan juara treble musim lalu.
Kebanyakan pengkritik sukan berpendapat, sistem pemilihan pemain negara tidak sistematik, malah mereka percaya pemain-pemain dari pasukan yang menjuarai kejohanan besar domestik sepatutnya mendapat tempat.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Mohd. Khairi Yazid berkata, beberapa nama dalam pasukan Kelantan boleh membantu skuad kebangsaan dalam perlawanan pusingan kelayakkan Piala Asia selepas Malaysia gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF.
"Sudah tiba masanya Rajagobal melakukan perubahan dengan menyenaraikan pemain dari pasukan yang menjuarai kejuaraan tertinggi dalam saingan bola sepak tempatan.
"Jadi pasukan yang merangkul kejuaraan paling banyak musim ini ialah Kelantan sepatutnya pemain dari pasukan inilah yang sepatutnya diberi peluang untuk memperkuatkan pasukan Harimau Malaya.
"Lagipun pemain Kelantan mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa iaitu dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambahnya, pendekatan tersebut turut dipraktikkan pasukan Singapura dan Thailand yang membariskan pemain dari pasukan yang menjuarai liga di negara masing-masing.
"Saya yakin dan percaya kehadiran pemain Kelantan seperti kapten paling berpengaruh Mohd.Badhri Radzi, Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin dan beberapa pemain lain yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa boleh membantu pasukan," katanya.
Turut senada dengan pendapat yang diutarakan itu ialah bekas pemain kebangsaan era-60, Mahadi Yusoff.
Mahadi berkata, sudah tiba masanya pengendali skuad kebangsaan itu menyenaraikan beberapa tonggak Kelantan bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan kelayakan Piala Asia nanti.
"Pendapat saya, amat wajar pasukan kebangsaan diperkuatkan dengan pemain dari skuad yang menjuarai liga sebagaimana dibuat ketika saya menyarung jersi negara pada akhir tahun 60-an dulu.
"Langkah ini cukup berkesan kerana mereka sudah serasi dan memahami cara permainan masing-masing. Sebagai contoh Mohd. Badhri dilihat cukup memahami kehendak dan corak permainan Norshahrul, buktinya dua jaringan yang dihasilkannya ketika aksi akhir Piala Malaysia adalah hantaran Badhri," tegasnya.
Singapura julang kejuaraan keempat
PEMAIN Singapura meraikan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali keempat selepas menewaskan Thailand menerusi agregat 3-2 biarpun tewas 1-0 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok semalam. - REUTERS
KUALA LUMPUR - Singapura mengesahkan mereka adalah kuasa baharu bola sepak Asia Tenggara apabila merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF buat kali keempat, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand pada perlawanan akhir kedua di Stadium Supachalasai, semalam.
Singapura yang diasak hebat sepanjang perlawanan bernasib baik kerana datang ke Bangkok bersama bekalan kemenangan 3-1 yang dicatat di tempat sendiri minggu lalu, sekali gus muncul juara menerusi agregat 3-2.
Kejayaan itu bermakna Singapura muncul negara paling banyak memenangi Piala Suzuki AFF, diikuti Thailand sebanyak tiga kali, manakala Malaysia dan Vietnam, masing-masing satu kali.
Sementara impian Thailand yang mahu menamatkan kemarau kejuaraan selama sepuluh tahun tidak kesampaian selepas kali terakhir memenanginya pada 2002 dan terus kempunan dalam aksi perlawanan akhir sebanyak tiga kali berturut-turut (2007,2008 dan 2012).
Ketinggalan dengan dua gol, Thailand mengasak bertalu-talu ke kubu pertahanan Singapura semenjak awal permainan lagi melalui beberapa pergerakan bahaya yang diatur oleh Pichitphong Choeichiu dan Jakkraphan Pornsai.
Tandukan Pornsai hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-17 ekoran kesilapan Izwan Mahbud yang gagal menumbuk bola keluar dengan kemas namun mujur palang menyelamatkan pintu gol Singapura.
Seminit sebelum perlawanan babak pertama berakhir, Kirati Keawsombut memecahkan kebuntuan dengan tandukan kencang berpunca daripada situasi sepakan penjuru sekali gus melonjakkan kembali moral pemain-pemain Thailand.
Namun, Kirati mensia-siakan peluang keemasan meletakkan Thailand di hadapan selepas percubaannya tidak menepati sasaran dan melepasi palang gol pada minit ke-66.
Pertahanan Singapura berjaya mengawal tekanan yang dilancarkan oleh tuan rumah sehingga penghujung perlawanan apabila mampu bertahan dengan baik untuk menghampakan jurulatih Thailand, Winfried Schafer dan 20,000 penyokong setia skuad Gajah Perang tersebut.
Ketua pasukan Singapura, Shahril Ishak dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) manakala penyerang Thailand, Teerasil Dangda muncul penjaring terbanyak kejohanan.
Malaysia yang kecewa gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada tahun ini meraih Anugerah Fair Play (permainan bersih).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan