BANCIAN Penduduk dan Perumahan Malaysia (BPPM) kelima atau Banci 2010 bermula 6 Julai lalu dan dijangka berakhir pada 22 Ogos ini. Adakah anda sudah didatangi pembanci? Jika belum, nantikanlah kedatangan mereka dengan 'tangan dan hati terbuka'. Jangan tutup pintu rumah anda!
Tidak perlu risau dan kacau dengan kehadiran mereka. Usahlah menjadikan diri anda pembenci kepada pembanci. Pembanci tidak akan mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan soalan-soalan mudah yang boleh dijawab oleh setiap ketua rumah.Malahan sambil keluar membuang sampah, mencuci kereta atau menjemur kain baju pun, anda boleh menjawabnya.
Kecuali anda mempunyai ahli keluarga yang terlalu ramai sehingga sukar untuk mengingati tarikh kelahiran setiap seorang anak.
Setakat diri sendiri, isteri atau isteri kedua serta seorang dua anak, mungkin tidak sukar tetapi kalau dah ramai mungkin terlupa juga, terpaksa masuk ke rumah merujuk sijil kelahiran atau kad pengenalan.
Banci antara lain bertujuan mengumpul data mengenai penduduk yang digunakan untuk merangka dan melaksanakan dasar-dasar bagi memperkasa serta meningkatkan status ekonomi dan kualiti hidup rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.
Khabarnya banci kali ini melibatkan kos RM200 juta dan tenaga kerja pula seramai 29,000 orang.
Tidak dinafikan tugas pembanci nampak mudah. Apa susahnya hendak bertanya nama, pekerjaan, pendapatan, ada Astro ke tidak, berapa buah kereta serta soalan-soalan mudah lain.
Tetapi untuk mendapat jawapan itu bukan juga satu kerja senang. Tugas membanci dilakukan setiap 10 tahun sekali. Seperti disebut sebelum ini, tujuannya bagi mengetahui jumlah penduduk di negara ini serta memudahkan perancangan kerajaan dalam merangka program pembangunan untuk rakyat.
Penulis sendiri pernah mengalami pengalaman melakukan kerja-kerja membanci ini. Kawasan yang ditugaskan ialah di beberapa taman perumahan di Seberang Perai, Pulau Pinang yang majoriti penduduknya adalah bukan Melayu.
Dikejar anjing, pintu rumah ditutup rapat, panggilan tidak dijawab, dihalau tuan rumah dan macam-macam lagi sudah dirasai sebagai pembanci.
Kesukaran yang dihadapi tentulah apabila tuan rumah enggan memberi kerjasama menjawab soalan yang dikemukakan. Tidak tahu bercakap bahasa Melayu atau bahasa Inggeris juga menjadi satu masalah.
Maka sebagai pembanci terpaksalah penulis menghafal satu dua perkataan dalam bahasa Cina yang boleh membantu seperti banci, kad pengenalan, surat beranak, nombor dan beberapa perkataan lain.
Macam-macam ragam dan kerenah manusia ditemui ketika membanci dilakukan. Dapat dilihat juga bagaimana pemilik rumah melakukan kerja-kerja sampingan terutama suri rumah. Mereka melakukan pelbagai kerja yang boleh dianggap sebagai industri kecil. Di situ dapat dilihat kegigihan mereka bekerja bagi menambah pendapatan keluarga.
Tidak kurang juga peluang melihat aktiviti masa lapang penghuni rumah. Jika bernasib baik, penghuni akan menjemput masuk ke rumah sambil menghulurkan minuman. Mungkin di kawasan luar bandar, 'layanan' lebih mesra lagi.
Keramahan penduduk luar bandar memungkinkan pembanci akan membawa pulang buah tangan atau 'kenyang' dijamu, misalnya pada musim buah-buahan.
Setelah 30 tahun berlalu, masalah yang dihadapi penulis dan mungkin sebahagian besar pembanci pada tahun 1980 masih berlaku. Ada lagi warganegara Malaysia yang tidak tahu bercakap bahasa Melayu.
Lebih teruk lagi apabila mereka juga tidak tahu berbahasa Inggeris. Mereka pula bukan duduk di pedalaman tetapi tinggal di sekitar kawasan bandar.
Menurut seorang pembanci baru-baru ini, beliau mengalami kesukaran untuk menemu bual penduduk yang tidak tahu berbahasa Melayu. Terkejut juga penulis kerana masih ada yang tidak tahu bercakap bahasa Melayu selepas hampir 53 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.
Jika tahun 1980, iaitu 23 tahun selepas merdeka mungkin boleh dimaafkan tetapi kini sudah memasuki tahun 2010.
Menyelak kembali pengalaman penulis pada tahun 1980, mungkin ketika itu penghuni yang ditemui dilahirkan sebelum merdeka, pada zaman penjajah. Mungkin ketika itu, dia hanya tahu bertutur bahasanya sahaja.
Tetapi kenapa generasi yang mungkin lahir pada tahun 1960an atau 1970an masih tidak mampu bercakap dalam bahasa Melayu? Di mana silapnya? Adakah sistem pendidikan negara yang silap? Atau adakah mereka berpura-pura tidak tahu bercakap dalam bahasa Melayu?
Bukankah pelik jika warganegara Malaysia tidak faham bahasa Melayu? Warga Pakistan, India, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, dan macam-macam lagi yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki mampu bercakap dalam bahasa Melayu.
Mereka di sini baru beberapa tahun tetapi warganegara Malaysia yang sudah berada di sini sejak dilahirkan tidak mampu bercakap bahasa Melayu sama ada tidak tahu sama sekali atau bahasa Melayu yang tidak lancar. Malulah kepada pendatang asing ini.
Menurut pembanci itu lagi, dikejar anjing dan disalak anjing dan tuan rumah yang dalam keadaan tidak bersedia dibanci adalah satu pengalaman biasa. Namun apa yang tidak dapat diterimanya apabila ada pemilik rumah yang 'benci banci'.
Katanya, amat mendukacitakan apabila pemilik rumah itu memaki hamun pemimpin negara. Beliau hampir bergaduh kerana mahu mempertahankan seorang pemimpin negara.
Lebih teruk ada pembanci yang dikatakan diculik. Begitulah antara masalah yang dihadapi pembanci.
Maka, berilah kerjasama kepada pembanci. Jika yang terlalu taksub kepada politik, jangan pula program kerajaan yang diadakan setiap 10 tahun sekali ini dianggap mudah dan remeh.
Selain temu ramah secara bersemuka, banci juga dijalankan melalui e-Census melalui lamanwww.statistics.gov.my dan mengisi sendiri borang soal selidik.
Harus diingat, banci ini bukan satu keperluan mana-mana parti politik. Siapa sahaja yang memerintah sama ada BN atau pakatan pembangkang memerlukan maklumat banci untuk merancang pembangunan pada masa depan. Berilah kerjasama kepada pembanci, jangan jadi pembenci!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan