Maka baik bagi orang Melayu, Cina mahupun India, judi itu adalah amalan yang salah mengikut kepercayaan agama, budaya dan corak hidup masing-masing. Memang dari sudut ekonomi kerajaan akan mendapat keuntungan besar daripada pemberian lesen judi pertaruhan bola sepak. Tetapi keuntungan itu tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat kebanyakan kerana sumbernya yang sangat jelas haram. Sementelah apalah gunanya keuntungan berlipat kali ganda daripada hasil perjudian itu sekiranya kita terpaksa mempertaruhkan nilai-nilai mulia di kalangan masyarakat kita? Perdebatan sebegini mungkin dilihat sangat naif oleh sesetengah orang. Tetapi bagi mereka yang mengaku sebagai seorang yang beragama, sepatutnya berasa malu untuk terbabit dalam putaran ekonomi berasaskan perjudian.
Ada eloknya juga isu lesen perjudian bagi pertaruhan sukan ini dibangkitkan. Ia secara tidak langsung membuka mata pihak-pihak berkenaan terhadap kewajaran meneruskan pusat-pusat perjudian berlesen sedia ada. Ketika isu ini mendedahkan sekian banyak keruntuhan sosial yang disebabkan oleh aktiviti judi, maka wajarlah lesen perjudian sedia ada dikaji semula untuk tidak lagi diteruskan. Atau setidak-tidaknya kerajaan perlu mengawal aktiviti perjudian berlesen sedia ada supaya tidak menjadi barah di kalangan masyarakat. Memberikan lesen perjudian pertaruhan sukan akan membolehkan aktiviti itu dijalankan secara terbuka tanpa sekatan. Jika ini benar-benar berlaku, bayangkan betapa bahayanya generasi muda kita yang terdedah kepada salah laku moral seperti itu. Sepatutnya dalam hal ini, bukan isu perlu atau tidak lesen perjudian bagi pertaruhan sukan itu diluluskan.
Sebaliknya bagaimana kerajaan mahu membanteras amalan judi di kalangan masyarakat yang jelas merosakkan sistem sosial dan kekeluargaan kita. Adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah tahi judi ini dan melumpuhkan sepenuhnya jaringan aktiviti judi yang dilihat semakin berleluasa ketika ini. Dari sudut penguatkuasaan, pasukan keselamatan negara dilihat cukup berkemampuan untuk mencegah aktiviti perjudian haram itu. Buktinya saban hari bookie judi ditangkap di seluruh negara. Jika kerajaan bersungguh-sungguh dalam isu ini seperti mana dalam usaha memerangi jenayah rasuah, tidak mustahil hasrat melahirkan masyarakat yang bebas judi juga akan berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan