|
|
TAHUN 2009 baru sahaja tiga hari melabuhkan tirainya. Pelbagai kenangan pahit manis yang dilalui sepanjang tahun lepas ditinggalkan untuk menyambut tahun baru yang diharapkan bakal membuka lebih banyak harapan dan kejayaan.
Sambutan tahun 2010 yang juga bermakna genap 10 tahun abad 2000 bermula tetap meriah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun dunia masih terhimpit dengan pelbagai masalah.
Dengan kebanyakan negara berdepan dengan kesuraman ekonomi yang belum dapat dipastikan bila akan pulih, kita juga terpaksa berhadapan dengan kemelut isu pemanasan global yang semakin serius.
Namun begitu yang pastinya semua ini tidak menghalang masyarakat dunia menyambut ketibaan tahun 2010 dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan.
Bagi penduduk di negara maju kemeriahan sambutan tahun baru pastinya tidak akan lengkap jika acara dan pesta yang serba meriah dilakukan bagi memuaskan kehendak mereka.
Dengan acara hiburan dan pelbagai pesta bunga api melingkari segenap ceruk bandar-bandar besar di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pastinya sambutan tahun baru dilihat sangat eksotik dan pelengkap kemeriahan.
Bagi negara kuasa besar dunia, AS yang meraikan pemilihan presiden pertama dari kalangan kulit hitam Barack Obama tahun lepas ia juga dianggap sebagai simbol kemenangan bagi mereka yang menentang perkauman.
Namun begitu sehingga kini masih belum jelas apakah AS mampu kembali bangkit sebagai sebuah negara yang sangat berpengaruh yang dihormati kawan dan lawan seperti sebelum-sebelumnya.
Akibat dari kebodohan George W. Bush memimpin menyebabkan AS hilang penghormatan dan semua kemelut ini terpaksa ditanggung oleh Obama.
Dalam ucapan tahun baru yang dikeluarkan laman web White House beliau berharap tahun baru ini akan memberi sinar yang lebih baik.
Ujarnya lagi walaupun kebanyakan penduduk negara itu berhadapan dengan keadaan sukar berikutan kemelut ekonomi yang melanda namun diharapkan negara itu mampu bangkit dan berhadapan dengan semua masalah yang mendatang.
Kemeriahan
|
|
Di Eropah walaupun kebanyakan negara masih lagi diselubungi salji tebal namun ini tidak menghalang kemeriahan sambutan tahun baru berlangsung.
Di England kemeriahan pesta bunga api yang berlangsung di bandar London berhampiran rumah Parlimen sememangnya sesuatu yang dinantikan oleh penduduknya. Dianggarkan lebih 200,000 rakyatnya membanjiri kawasan sekitar London Eye bagi menyaksikan pesta bunga api.
Begitu juga di bandar-bandar lain di Eropah seperti Paris, Madrid dan Berlin yang mana kemeriahan lebih kurang sama dapat dilihat dan dirasai penduduknya. Pelbagai pesta, konsert dan pertunjukan bunga api berlangsung bagi meraikan sambutan tahun 2010.
Bagi negara-negara di Asia mereka juga tidak ketinggalan dalam meraikan sambutan tahun baru. Di Beijing dianggarkan lebih sejuta penduduknya berkumpul bagi menyaksikan pertunjukan bunga api dan konsert yang diadakan.
Kemeriahan yang sama turut dirasai hampir di seluruh bandar-bandar utama di Asia seperti Taiwan, Jakarta, Dubai dan Malaysia.
Kemelut ekonomi yang melanda dunia merupakan antara cabaran dan perkara utama yang perlu ditangani segera bagi kebanyakan negara.
Soal lain seperti pendidikan dan kebudayaan adalah penting untuk diseimbangkan tetapi apabila membabitkan perkara "periuk nasi" adalah perlu ia ditangani segera.
Berdasarkan pengamatan para penganalisis ekonomi, tahun 2010 masih belum menjanjikan sebarang pemulihan ekonomi yang nyata dan kita mungkin perlu berhadapan cabaran dan kekangan ekonomi yang lebih teruk.
Selain itu isu pemanasan global antara perkara yang perlu diberi perhatian khusus. Ini kerana ia membabitkan kelangsungan hidup manusia di dunia secara terus. Jika tidak ditangani segera maka manusia yang mencipta "kiamat" itu sendiri.
|
|
Sesungguhnya kemeriahan sambutan tahun baru masih dirasai sehingga ke hari ini. Namun kita semua sedia maklum bahawa sambutan yang serba meriah ini hanyalah sesuatu yang sementara. Ini kerana realiti sebenar kehidupan kebanyakan kita masih lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah dan ragam yang perlu dilalui dalam meneruskan kehidupan seharian.
Pastinya tahun baru ini turut diraikan dengan pelbagai azam dan perubahan baru yang ingin dilaksanakan. Sama ada ia mampu dipenuhi atau tidak itu soal lain.
Namun asalkan kita sudah memasang niat untuk melakukan perubahan dan cuba sedaya upaya melakukannya itu sudah pun satu perkara yang mulia. Hanya yang esa sahaja yang mampu menentukan apakah segala perancangan yang dilakukan pada tahun ini akan mampu dipenuhi atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan