|
|
Hakikatnya, gempa bumi yang melanda Haiti merupakan tragedi malang bagi dunia sebaik memasuki episod baru tahun 2010. Dalam kejadian tersebut dianggarkan lebih 200,000 orang terbunuh manakala 1.5 juta lagi hilang tempat tinggal.
Rata-rata mangsa bencana alam di situ bergantung kepada hasil pertanian, justeru kesengsaraan akibat musibah terburuk dalam tempoh 10 tahun itu sememangnya diketahui dunia.
Selepas hampir dua minggu kejadian gempa berukuran 7.0 pada skala Richter itu berlalu, kesan gempa semakin memburuk. Mangsa yang cedera meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan. Para doktor merayu untuk mendapatkan bantuan, manakala pencuri bertindak melibas satu sama lain dengan parang gara-gara berebut barang rampasan dari runtuhan bangunan.
Usaha untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap masih diteruskan. Namun dari hari ke hari keperluan ratusan ribu penduduk yang semakin meningkat masih tidak mampu dipenuhi.
Pakar bedah yang tidak menang tangan merayu untuk mendapatkan bekalan ubat bius, pisau bedah serta gergaji untuk memotong kaki atau tangan yang hancur.
Ribuan mangsa yang terselamat pula berasak-asak menaiki bas meninggalkan ibu negara. Di pusat bandar, mereka yang masih tinggal mengemis untuk mendapatkan keperluan asas.
Haiti yang sebelum ini mengalami masalah kekurangan sumber dan infrastruktur yang genting, terpaksa bangkit daripada kehancuran akibat kejadian gempa bumi antara paling dahsyat.
Sistem pendidikannya terjejas teruk setelah 50 peratus daripada sekolah di negara itu dan tiga universiti utamanya musnah
Kira-kira separuh daripada 15,000 sekolah rendah dan 1,500 sekolah menengah di Haiti musnah atau rosak dalam kejadian itu.
Program Makanan Sedunia (WFP) pula menjangka operasinya untuk memberi makanan kepada mangsa ditingkatkan daripada 67,000 orang kepada 97,000 orang.
Namun WFP memerlukan 100 juta bungkusan makanan yang sedia dimakan dalam tempoh 30 hari akan datang dan meminta sumbangan lebih banyak daripada seluruh dunia.
Seperkara yang menarik di sebalik peristiwa menyayat hati di Haiti adalah semangat dan usaha menghulurkan bantuan yang mendapat perhatian dari seluruh dunia. Paling ketara teknologi memainkan peranan penting dalam usaha untuk meredakan beban dan kesedihan penduduk di situ.
Teknologi
Jika sebelum ini usaha kemanusiaan hanya melibatkan antara negara dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kini masyarakat dunia tanpa mengira status dan kedudukan tidak lokek untuk turut serta.
Menerusi teknologi, masyarakat dunia lebih mudah untuk mendapatkan maklumat, berinteraksi serta berkongsi pandangan dan harapan.
Mesej kemanusiaan dilaungkan oleh pengguna-pengguna Internet menerusi laman web rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook bagi meraih simpati dan keprihatinan penduduk dunia dengan hanya menekan satu butang.
Selain gambar-gambar yang disiarkan di dalam ruangan Twitpic, topik-topik mengenai kejadian gempa di Haiti turut hangat dibicarakan termasuk pengguna laman web rangkaian sosial Facebook.
Langkah agresif turut disertai oleh selebriti lain seperti Oprah Winfrey, Paris Hilton, Ben Stiller, Lindsay Lohan dan Ryan Leslie.
Masing-masing menyampaikan mesej kemanusiaan melalui jaringan laman sosial Twitter milik mereka.
Dalam pada itu pasangan Brad Pitt dan Angelina Jolie merupakan antara selebriti terawal menyumbang derma sebanyak AS$1 juta (RM3.6 juta), selain Sandra Bullock dan Madonna (AS$250,000) bagi operasi bantuan perubatan organisasi tersebut.
Namun di sebalik semua kecanggihan teknologi, masyarakat Haiti masih terperangkap dengan kepercayaan lama yang sememangnya sinonim dengan cara hidup mereka iaitu voodo.
Voodo yang bermaksud roh ketuhanan dalam bahasa Ghana dan beberapa negara lain di Afrika sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kebanyakan penduduknya.
Lebih separuh daripada sembilan juta rakyat Haiti masih mengamalkan pelbagai cabang voodoo.
Terdapat mereka yang masih berpegang teguh dengan kepercayaan asal iaitu menganggap Nana Baluku sebagai tuhan pencipta, Mawu sebagai anak tuhan dan bertindak sebagai dewi bulan manakala Lisa sebagai dewi matahari.
Namun terdapat juga pengamal voodo yang mencampurkan kepercayaan mereka dengan Kristian Roman Katholik. Penjajahan barat mengakibatkan rakyatnya terpaksa bersembunyi mengamalkan agama mereka sehingga berpura-pura menganut Kristian.
Namun secara umumnya ramai di antara kita percaya voodo adalah sihir yang sering mengambil manusia dan haiwan sebagai korban untuk memuja semangat iblis dan mereka yang telah mati. Voodo yang tidak dinafikan kewujudannya telah menarik perhatian ramai orang untuk membuat kajian mengenainya.
Memandangkan Haiti merupakan antara negara pengamal voodo utama dunia, bencana yang menimpanya turut mengakibatkan perbalahan sesama mereka.
Contohnya kaedah mengkebumikan puluhan ribu mangsa gempa bumi dalam sejumlah kubur besar telah ditentang oleh ketua-ketua kepercayaan ilmu hitam voodoo yang membuat aduan kepada Presiden negara itu, Rene Preval.
Mereka bimbang pengkebumian secara tergesa-gesa tanpa mengikut upacara sepatutnya akan menyebabkan mayat-mayat itu hidup kembali dan mengancam penduduk.
Beberapa pegawai Haiti berkata, setakat ini sekurang-kurangnya 70,000 mayat telah ditanam di beberapa kubur besar di luar ibu negara berkenaan.
Menurut mereka, kaedah tersebut merupakan cara paling efisien bagi membuang banyak mayat yang reput selepas Haiti dilanda gempa bumi.
Ketua kepercayaan voodoo, Max Beauvoir bagaimanapun berkata, kaedah itu bertentangan dengan budaya masyarakat setempat.
Ia juga disifatkan sebagai tidak menghormati mayat.
Inilah antara beberapa rentetan mengenai negara malang yang tidak putus-putus ditimpa bencana.
Di sebalik kecanggihan teknologi yang kini menguasai dunia penduduk Haiti masih dibelenggu kepercayaan karut, perebutan kuasa dan pelbagai sifat ketamakan manusia. Masyarakat dunia semakin prihatin dengan masalah dan bencana yang melanda Haiti tetapi pengakhirannya rakyat sendiri yang perlu membuat perubahan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan