Selamat datang

Powered By Blogger

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Coklat untuk kesihatan






Koko bukan sahaja lazat dan berkhasiat malah baik untuk kesihatan kulit.







COKLAT boleh dikatakan tergolong dalam kategori makanan sihat. Ramai orang tahu bahawa coklat menghasilkan endorfin (protein) yang membuatkan kita lebih riang, ceria dan bersemangat.
Bagaimana pula dengan jantung? Penyelidikan terbaru membuktikan coklat adalah sumber anti-oksidan terbaik seperti wain merah.
Anti-oksidan dalam coklat dikenali sebagai phenol mampu mengelak kerosakan oksidasi lipoprotein rendah (LDL) dan perlahan-lahan mengurangkan kadar mendapan lemak dalam arteri juga radikal bebas.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail berkata, persepsi negatif terhadap coklat menghalang masyarakat menikmati kebaikan khasiat semula jadi coklat yang sebenarnya. "Secara purata rakyat Malaysia hanya mengambil 600 gram coklat setahun jika dibandingkan dengan penduduk Eropah dengan penggunaan koko perkapita sebanyak 1 hingga 6 kilogram setahun.
"Ini disebabkan salah tanggapan bahawa pemakanan coklat mengakibatkan kegemukan, sakit gigi, jerawat, kolesterol dan sebagainya," katanya.
Beliau berucap pada pelancaran program Inspirasi Koko Musim Keempat di Restoran Berputar Seri Angkasa, Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, pengacara program berkenaan, selebriti terkenal tanah air Serena Redzuawan yang kekal bersama rancangan terbitan TV2 itu sejak tahun 2006.
Program bersiri selama 13 minggu itu kali ini bertumpu kepada penyebaran maklumat mengenai keistimewaan peranan koko dalam kesejahteraan dan kesihatan manusia secara keseluruhannya.
Segmen terbahagi kepada Bicara Koko dan Info Koko, Sajian Koko, Fakta dan Mitos, Kreatif Koko dan Kuiz Inspirasi Koko.
Kata Serena, segmen tip dan petua makanan berkhasiat dapat menangkis rasa takut kepada produk berasaskan koko.
"Malah ia juga menunjukkan bagaimana untuk menggunakan koko dalam masakan dan menambah rasa serta khasiat dalam setiap hidangan," tambah beliau.
Pada majlis yang sama, Dr. Azhar melancarkan produk inovatif berasaskan koko iaitu Beautecoa yang merupakan rangkaian produk kosmetik dan penjagaan peribadi berkualiti tinggi keluaran LKM.
Produk kecantikan berasaskan koko ini mengandungi bahan-bahan terpilih dan gabungan kebaikan khasiat koko serta teknologi pemprosesan terkini untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan.
Koleksi produk kecantikan Beautecoa terdiri daripada;
lCocoa Body Scrub - Formulasi khas daripada mentega koko boleh melembutkan kulit dengan bantuan lenggai sekam koko sebagai ejen eksfoliasi (pengelupasan) dan menjana sel kulit baru.
lPelembap Cocoa Butter - Pelembap semula jadi yang melembut dan melindungi kulit serta melegakan iritasi kulit.
lGincu Cocoa Butter - Melembapkan bibir dan menahan lembapan bagi merawat bibir kering.
lBedak asas Cocoa-Based Cream-To-Powder - Mengandungi fungsi tambahan sebagai bahan antipenuaan yang sukar ditemui dan mempunyai tekstur berkrim.
lBalsam bibir berasaskan koko - Lemak semula jadi mentega koko melegakan bibir pecah, mudah diserap dan melembutkan bibir.
Menurut Dr. Azhar, serbuk koko mengandungi kompaun phenolic yang mampu mengeluarkan radikal bebas lalu memberikannya khasiat antioksidan.
"Ujian menunjukkan tannin dalam serbuk koko mampu mengelak pertumbuhan bakteria yang mengakibatkan kerosakan gigi.
"Di samping itu ia juga mempunyai ejen antibakteria terhadap micrococcus luteus dan S. aureus yang terdapat pada kulit manusia," jelasnya.
Sementara mentega koko cair pada 37 darjah Celsius ke atas dan beku pada suhu bilik. Kandungan lebih 35 peratus terdiri daripada asid oleik yang memberi kelembapan, 33 peratus asid stearic (penghadang lembapan) dan Vitamin E sebagai antioksidan.
Justeru mentega koko merupakan pelembap semula jadi yang bukan sahaja melembut dan melindungi kulit kering malah melegakan iritasi dan menghapuskan kedutan dan tanda penuaan.
Malah lemak mentega koko yang mempunyai ejen menenang dan memulih juga digunakan pada zaman Aztec purba sebagai produk penjagaan bibir untuk memulihkan bibir kering sehingga ke hari ini.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.koko.gov.my.

Teknologi lubang mikro beri keselesaan


DUNIA fesyen hari ini bukan sahaja tertumpu kepada sepasang baju yang dipakai malah kini ia meliputi pelbagai aksesori yang digayakan seseorang seperti tas tangan, rantai, subang, gelang dan tidak ketinggalan kasut.
Kasut yang berkualiti bukan sahaja memberi keyakinan kepada wanita dan lelaki untuk tampil lebih terurus malah ia turut memberi keselesaan apabila memakainya dalam tempoh masa yang panjang.
Pereka kasut yang semakin kreatif juga antara punca rekaan kasut tidak hanya tertumpu kepada kepelbagaian jenis, bentuk, saiz dan warna malah kini setiap rekaan pasti diadakan kajian terlebih dahulu bagi memastikan setiap kasut yang dihasilkan berpadanan dengan bentuk kaki si pemakai.
Hasilnya, walaupun kasut melekap lebih lapan jam, kaki tetap selesa tanpa berpeluh, tidak ketat atau longgar.
Koleksi Geox dari Itali juga antara jenama yang amat menitikberatkan ciri-ciri keselesaan baik bagi kaki wanita ataupun lelaki Asia.
Lantaran itu Geox percaya ketelitian tersebut merupakan cara terbaik menghasilkan kehalusan gaya untuk rangkaian produk terbaru mereka.
Himpunan musim luruh dan sejuk 2009/2010 dari Geox pastinya memberi kebebasan yang diperlukan gaya hidup sihat kerana selain mementingkan penampilan dan keselesaan, bentuknya begitu serasi dengan setiap kaki penggemarnya.
Menurut Pengasas dan Pengerusi Geox, Mario Moretti Polegato, koleksi kali ini lebih tertumpu kepada generasi muda dan pihaknya akan terus menerokai pasaran yang lebih luas untuk meningkatkan penerimaan setiap golongan masyarakat terutamanya untuk pasaran Asia.
''Untuk koleksi kali ini, ia bukan sahaja bertemakan 'seimbang, bermutu dan mempunyai kelas tersendiri', bahkan Geox juga tampil dengan teknologi terkini untuk terus menawan hati pengguna yang sedia ada dan pelanggan baru.
''Walaupun boleh dikatakan kami masih baru di pasaran Malaysia, kami akan terus memberi rekaan terbaik serta sesuai dengan kehendak pasaran dan cita rasa pengguna di negara ini,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

MARIO Moretti Polegato menunjukkan teknologi lubang mikro yang digunakan untuk koleksi musim luruh/sejuk 2009/2010.


Tambah beliau, Geox yang mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun 2006 kini mempunyai tiga buah kedai utama dan 12 kedai di dalam pusat membeli-belah.
Selain menampilkan koleksi kasut untuk wanita (52.8 peratus), Geox turut mempunyai koleksi untuk lelaki (42.9 peratus) dan kanak-kanak (5.3 peratus).
Mengulas lanjut mengenai produk keluaran Geox, menurut Polegato, selain diperbuat daripada kulit lembu yang berkualiti serta menampilkan reka bentuk yang ringkas, lembut dan halus, ia turut menampilkan koleksi kasut yang boleh 'bernafas'.
Mengetengahkan teknologi antarabangsa berasaskan kaki, Geox merupakan syarikat yang pertama memperkenalkan penggunaan lubang mikro pada kasut yang bertujuan untuk memberikan keselesaan, kesejukan dan kering sepanjang masa.
''Koleksi kasut yang ditampilkan bersesuaian untuk pemakaian sepanjang masa dan di mana juga.
''Teknologi yang digunakan bukan sahaja mampu membuatkan kaki 'bernafas' sepanjang masa malah ia juga mampu membuatkan kaki kering dan selesa.
''Jika boleh kami ingin mendahului inovasi dalam bidang ini dengan setiap pasang kasut Geox menerapkan teknologi keselesaan dan sokongan yang unik serta digabungkan dengan rekaan-rekaan baru yang segar dan bergaya untuk membuktikan bahawa gaya dan kesihatan kaki boleh mencipta keserasian,'' kata Polegato.
Lebih menarik lagi apabila setiap kasut wanita yang ditampilkan diserikan lagi dengan penambahan aksesori seperti buckle, ikatan tali, batu-batu berkilauan dan juga reben.
Bagi koleksi wanita, terdapat juga tumit rata dengan pelbagai warna yang menarik.

Perang boleh dihapuskan

TRAGEDI peperangan tidak pernah memberi sebarang keuntungan kepada kehidupan manusia sejagat. Apatah lagi dalam setiap perang yang berlaku dalam dunia moden sekarang ia dikaitkan dengan peranan kuasa-kuasa besar sama ada secara langsung atau pun di belakang tabir.
Jika dahulu peperangan yang berlaku hanya melibatkan di antara tentera sahaja tetapi kini skop serangan semakin meluas sehingga melibatkan kawasan bandar mahupun kampung. Yang menjadi mangsa adalah masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita mahupun orang tua.

Dalam wawancara dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berlangsung di pejabatnya di tingkat 86, Menara Berkembar Petronas bersama wartawan Mingguan Malaysia, WAN NORAZAH WAN CHIK dan HAFIZAHRIL HAMID beliau dengan lantang mengecam peperangan sebagai satu jenayah yang digunakan kuasa besar sebagai alasan untuk mewujudkan keamanan.

Beliau turut berharap melalui Persidangan dan Pameran Antarabangsa mengenai Jenayah Perang yang dianjurkan Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana (PGPF) selama empat hari mulai Rabu ini, ia dapat mendidik masyarakat dunia mengenai erti peperangan serta menanamkan sifat sukakan keamanan, kasih sayang dan belas kasihan.

Mingguan: Macam mana kita boleh mendedahkan jenayah perang kerana kuasa-kuasa besar sering memainkan peranan di belakang tabir?

Dr. Mahathir: Kalau kita lihat dahulu dalam soal perhambaan yang mengamalkan, mendagang serta mempunyai hamba yang ramai adalah mereka dari negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Tetapi apabila mereka memperolehi pendapat umum yang menolak perkara ini melalui suara dan undi mereka, maka kita boleh secara beransur-ansur menukar pemikiran.

punya cadangan adalah supaya sesiapa yang ingin jadi calon presiden, ahli Kongres atau ahli Parlimen di negara-negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan, mereka perlu berikrar tidak akan menggunakan peperangan untuk menyelesaikan sebarang pertelingkahan. Jika kita bagi sokongan kepada pemimpin seperti ini maka kita akan dapat Parlimen yang dipenuhi oleh mereka yang anti peperangan. Mereka ini juga boleh membuat undang-undang mencegah perang. Inilah yang berlaku ketika cubaan menghapuskan perhambaan. William Wilberforce, seorang ahli Parlimen Britain telah berusaha selama 20 tahun untuk menghentikan perdagangan hamba.

Namun akhirnya bukan sahaja perdagangan hamba dihentikan oleh kuasa besar dan peniaga besar tetapi hati kecil manusia beranggapan mempunyai hamba adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan oleh mereka yang bertamadun. Mungkin satu hari kita akan mendapati orang ramai yang akan menjadi mangsa bila ada peperangan, mereka akan jadi mangsa.

Dahulu perang hanya membabitkan tentera dengan tentera di lapangan perang. Namun sekarang seluruh negara adalah lapangan perang. Apabila tentera meletupkan bom mereka bukan memilih sama ada mangsa itu askar atau atau bukan askar. Semua jadi mangsa sama ada orang tua, muda, perempuan atau lelaki semua kena. Maka ia adalah atas kepentingan orang ramai bahawa perang perlu dihapuskan. Ini kerana yang akan jadi mangsa adalah orang ramai sama ada mereka ini penyokong kerajaan atau musuh semua kena.

Bagaimana dengan pandangan bahawa kebanyakan peperangan dilakukan untuk melariskan perdagangan senjata?

DR. MAHATHIR: Ini sudah menjadi satu masalah yang besar. Sebenarnya industri senjata merupakan penyumbang terbanyak kepada ekonomi sesebuah negara. Jika tidak ada industri senjata atau penyelidikan berjuta pekerja akan kehilangan kerja mereka dan juga para kapitalis akan kehilangan keuntungan mereka. Namun apabila kita menghasilkan senjata maka ia akan ditambah baik dan ia akan dihasilkan dalam skala yang besar. Ini seolah-olah menunjukkan semakin banyak senjata maka kita tidak akan kalah dalam perang.
Jadi apa yang akan dilakukan ialah berperang, membunuh manusia dan menguji senjata. Selepas itu mereka akan menghasilkan lebih banyak senjata baru. AS telah mula berpandangan tentang perang pada masa depan di angkasa lepas. Dan Presiden Ronald Reagan telah mengasaskan Star Wars. Mereka ini tidak ada pandangan lain selain berperang dan perang bagi mereka adalah penyumbang besar kepada ekonomi. Jika dihentikan industri ini tentulah akan memberikan masalah. Namun sebenarnya kita boleh atasi masalah itu seperti mengalihkan perbelanjaan untuk penyelidikan contohnya kajian untuk ubat penyakit AIDS ataupun H1N1.

Menyediakan ramuan bajet menjaga kesejahteraan rakyat

SELAMA dua jam Datuk Seri Najib Tun Razak berdiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan cadangan Bajet 2010.

Selaku Perdana Menteri, beliau tenang dan bersemangat mengemukakan bajet sulongnya sebagai Menteri Kewangan.

Bajet ini mempunyai makna yang cukup besar kerana inilah bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan ia juga menjadi pembuka tirai ke arah RMK-10 dan asas model ekonomi baru.

Dengan tema "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" Najib menyusun langkah dan strategi untuk negara menangani dan menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

Berdasarkan pengalaman lepas, kerajaan pusat di bawah teraju Barisan Nasional diyakini mampu membawa Malaysia menjadi negara pelaku perubahan dan pencipta penyelesaian dalam menghadapi cabaran getir ekonomi dunia.

Kita tidak boleh membiarkan ekonomi negara ditekan dan kesannya pasti akan dirasai oleh rakyat. Malah kita tidak mahu kekangan ini membantutkan harapan kita untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Dalam hal ini, kita setuju bahawa Malaysia perlu melakukan transformasi dan inovasi secara menyeluruh. Perkara yang menjadi agenda utama negara ini sedang dilaksanakan melalui gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Petunjuk Prestasi Utama, model ekonomi baru, PEMUDAH, PEMANDU dan Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

Syukur, hasil langkah-langkah proaktif kerajaan, kita dapat merasakan tanda-tanda pemulihan sekarang. Sebagai mana keyakinan Najib, begitu juga rakyat mengharapkan pada 2010 ekonomi global akan kembali pulih.

Dengan itu fokus Bajet 2010 yang mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian NKRA dapat dilaksanakan. Ketiga-tiga strategi Bajet 2010 wajar diberi perhatian khusus, terutama kaitannya dengan model ekonomi baru iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi; memastikan pembangunan holistik dan mapan; dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Kita yakin strategi-strategi itu bakal meningkatkan keupayaan sektor swasta kembali menjadi penjana utama ekonomi negara, menambah kekuatan modal insan dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira kaum.

Kita rasa bersyukur kerana ketika berdepan dengan cabaran global, kerajaan mampu untuk menguruskan ekonomi negara tanpa memberi tekanan kepada rakyat, ahli perniagaan dan pelabur.

Sesungguhnya beberapa strategi yang dibentangkan oleh Najib bertujuan menambah baik kedudukan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran di samping terus menjamin kesejahteraan rakyat.

Dengan pelepasan cukai, pemberian insentif, biasiswa dan dana bantuan, Bajet 2010 menyediakan satu persekitaran yang membolehkan rakyat dan ahli perniagaan mampu berkembang maju dan berdaya tahan dalam mengharungi cabaran mendatang.

Bajet 2010 sesungguhnya bukan semata-mata pengagihan peruntukan dan usaha mencari pendapatan negara, tetapi lebih penting lagi terkandung di dalamnya ramuan formula untuk menjaga kesejahteraan dan mendahulukan rakyat di bandar dan luar bandar. Malah ia juga memastikan pencapaian diutamakan agar ia bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia.

Hadiah Najib untuk rakyat

Sebagai sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat, segala sumpah janji dan khidmat diabdikan tidak lain tidak bukan, adalah untuk melihat kesejahteraan serta kemakmuran dinikmati semua pihak tanpa sebarang pengecualian

CUKAI


Pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000.

Pengurangan kadar cukai maksimum individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus.


Pelepasan cukai langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun pada 2010 hingga 2012.

KAKITANGAN AWAM


Bayaran khas RM500 kepada penjawat Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib kerajaan pada Disember ini.


Pinjaman pembelian komputer setiap tiga tahun berbanding lima tahun sekali sekarang.

RUMAH


74,000 unit rumah kos rendah disediakan untuk disewa kepada rakyat pada 2010.

KWSP


Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.


Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.


Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

KWSP


Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.


Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.


Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

PENDIDIKAN


Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar mendapat ijazah kelas pertama.


30 pelajar terbaik menerima Biasiswa Nasional di universiti tersohor.


Pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun.


Diskaun 50 peratus perkhidmatan kereta api jarak jauh kepada pelajar dengan kad diskaun pelajar 1Malaysia.

Bajet rakyat 1Malaysia

PEMBENTANGAN Bajet 2010 menjadi perhatian semua pihak kerana ia akan melihatkan dua aspek yang penting iaitu pertamanya ia merupakan pembentangan bajet yang pertama oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan keduanya ialah rakyat menantikan apakah agenda masa depan kerajaan yang bakal dilaksanakan seperti yang telah digariskan melalui gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.

Rakyat mahu lihat kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk menjayakan gagasan ini menjadi realiti dan bukan retorik ataupun slogan semata-mata.

Perkara ini cukup signifikan kerana pengurusan sumber ekonomi dan kewangan adalah elemen penting yang akan mencorakkan masa depan dan hala tuju sesebuah negara. Justeru, rakyat mendambakan pengurusan dan pengagihan sumber ekonomi yang seimbang, adil dan saksama dengan mengambil kira kepentingan semua golongan rakyat yang berkaitan.

Bagi rakyat biasa terutamanya golongan luar bandar, isu-isu kepenggunaan seperti kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang dilihat sebagai satu masalah yang besar yang ditambah dengan jumlah pendapatan yang rendah ataupun sederhana.

Soal pengangguran yang masih berada pada tahap yang membimbangkan juga terus membelenggu anak muda negara ini. Masih ramai graduan dan belia kita di luar bandar menghadapi kesukaran untuk memperoleh pekerjaan bagi meneruskan kehidupan harian mereka. Itu belum lagi isu perebutan pekerjaan antara warga tempatan dengan warga asing.

Senario ekonomi global masih tidak begitu memberangsangkan dan meyakinkan kita untuk menarik nafas yang lega walaupun pihak kerajaan melalui pelbagai agensi yang terlibat seperti Kementerian Kewangan dan Bank Negara cuba meyakinkan rakyat bahawa ekonomi kita semakin pulih dengan mengunjurkan sedikit pertumbuhan.

Hakikatnya masih ramai lagi rakyat kita yang belum pulih daripada tempias kegawatan ekonomi yang sedang melanda. Maka rakyat mengharapkan kerajaan akan membentangkan bajet yang boleh merangsang kembali ekonomi negara di samping memastikan perbelanjaan yang bakal dilaksanakan tidak membazirkan wang rakyat.

Bajet ini perlu memberi fokus dan keutamaan kepada kehendak dan keperluan rakyat terutamanya golongan luar bandar dan yang berpendapatan rendah serta sederhana. Kehendak semua kaum juga perlu dititikberatkan.

Memang sukar untuk memenuhi tuntutan semua pihak namun di sinilah kerajaan perlu memperlihatkan kebijaksanaan mereka dalam mengurus dan mengagih sumber ekonomi itu seadil yang mungkin dengan seimbang. Jika ia dapat dilaksanakan dengan bijak, maka rakyat pastinya akan memberikan sokongan yang kuat kepada semua usaha kerajaan yang akan bakal dibentangkan.

Kalau benar kerajaan ingin membuktikan bahawa slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan bukan satu retorik maka perkara-perkara asas sebeginilah wajar menjadi perhatian bajet kali ini agar di samping dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ia sekali gus dapat mengurangkan beban rakyat jelata.

Seterusnya sebagai usaha untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang menepati konsep 1Malaysia, kerajaan juga wajar memberi perhatian kepada program-program yang boleh memupuk semangat perpaduan dan kekitaan serta peningkatan semangat patriotik di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini. Aktiviti sebegini perlu dirancakkan perlaksanaannya dengan lebih terancang dan tersusun agar boleh merealisasikan konsep gagasan tersebut.

Justeru, besarlah harapan kita agar bajet kali ini akan menjadi Bajet 1Malaysia yang akan memberi ruang dan peluang kepada segenap lapisan rakyat negara ini berganding bahu, bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan dan menikmati bersama pertumbuhan dan kekayaan ekonomi negara ini.

Percayalah bahawa jika kita mampu mewujudkan keseimbangan dalam pengagihan kekayaan ekonomi secara sama rata maka pastinya ketirisan dalam soal perpaduan yang semakin merisaukan dewasa ini tidak akan berlaku sama sekali atau sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.

Meningkatkan kesedaran derma organ sebagai sedekah jariah

Pemansuhan PPSMI mungkin 2011

Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

"Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu.

"Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk memansuhkan PPSMI pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Nor, Muhyiddin menegaskan, keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

"Ini adalah keputusan yang muktamad. Jadi apa pun keadaan kita telah menyatakan kesediaan untuk tidak kembali kepada dasar lama iaitu meneruskan PPSMI.

"Segala persiapan telah mula dilakukan mulai sekarang dan saya beri jaminan walaupun PPSMI hanya akan dimansuhkan mulai 2012, insya-Allah ia akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh tersebut ditetapkan kerana kerajaan memerlukan masa untuk membuat semua persiapan sebelum MBMMBI dilaksanakan.

Jelasnya, persiapan itu penting kerana kerajaan telah belajar daripada pengalaman lalu apabila tempoh terlalu singkat iaitu hanya enam bulan sebelum melaksanakan PPSMI menyebabkan pelbagai masalah timbul.

"Dasar baru ini memerlukan kita menyediakan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru Bahasa Inggeris baru yang mahir," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) mengenai pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam keputusan kerajaan, Muhyiddin menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu memahami keputusan yang dibuat oleh kepimpinan sekarang.

Jelasnya, walaupun Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tetapi penentangan bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu keras.

Kurikulum perlu sesuai keperluan setempat

SATU perkara yang kita selalu abaikan apabila bercakap tentang kurikulum di Malaysia adalah mengenai kesesuaiannya untuk semua lapisan masyarakat. Maksud saya, keseragaman kurikulum di Malaysia adalah atas andaian bahawa semua masyarakat di Malaysia adalah homogenous. Positifnya keseragaman ini adalah ia dapat melicinkan usaha penilaian dan pengukuran di pelbagai tahap. Maka, peperiksaan berpusat termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi wadah pengukuran pencapaian semua lapisan masyarakat. Sebenarnya, kita sedar akan kewujudan perbezaan dalam lapisan masyarakat. Umpamanya masyarakat bandar memiliki sokongan pembelajaran yang tinggi termasuk kemudahan pusat tuisyen serta teknologi maklumat.

Ia berbeza dibandingkan dengan masyarakat luar bandar yang terkebelakang dari sudut itu.

Saya yakin bahawa penggubal kurikulum menyedari perbezaan seperti ini, namun keseragaman kurikulum difikirkan perlu demi mencapai matlamat satu negara bangsa.

Namun, di celah-celah perbahasan ini, ada sekelompok masyarakat yang sejak merdeka diperhatikan kurang mampu bersaing di peringkat kebangsaan iaitu kelompok pribumi. Kumpulan ini majoritinya tinggal di pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan beberapa bahagian di negeri lain.

Pengalaman sebagai guru mengajar murid berketurunan Jakun telah mendorong saya untuk mengutarakan idea ini kerana saya dapati mereka ini sebenarnya mempunyai prioriti yang berbeza.

Keperluan utama bagi kumpulan pribumi seperti ini adalah makanan. Seperti kata ahli psikologi Maslow bahawa setiap masyarakat bermula daripada keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal seterusnya kepada tahap kepuasan diri. Maka ilmu yang amat tinggi nilai kepada mereka adalah ilmu yang mampu mengubah nasib hidup mereka. Ini kerana tujuan pendidikan dalam erti kata mudah adalah untuk membangunkan masyarakat bertamadun.

Ketamadunan itu bermula daripada pembelajaran ilmu untuk diamalkan. Maka dalam konteks masyarakat pribumi, ilmu yang dipelajari hendaklah berupaya membangunkan mereka.

Sejarah pendidikan di Tanah Melayu era Inggeris mengajar kita bahawa kurikulum sekolah digubal dengan mengambil kira keperluan setempat.

Umpamanya, ilmu pendidikan yang diajar di Maktab Perguruan Sultan Idris pada zaman itu berkisar kepada kemahiran memasak, anyaman dan ilmu pertanian.

Biarpun ada sarjana Melayu yang melihatnya sebagai satu cara untuk menghalang kemajuan orang Melayu tetapi positifnya ia berupaya menjadikan pendidikan itu lebih hampir dengan masyarakat pada waktu itu.

Melihat kepada keadaan hari ini, para pelajar yang gagal dalam SPM dan berhasrat untuk meneruskan kehidupan di desa, mereka terpaksa mencari ilmu dan kemahiran lain demi survival.

Hanya sedikit ilmu yang dipelajari itu dapat digunakan untuk kehidupan desa seperti ilmu matematik dan bahasa. Ilmu lain yang dipelajari seolah-olah sukar untuk diaplikasi dalam kehidupan harian.

Idea kurikulum yang sejajar dengan keperluan setempat bukan suatu yang asing. Ia mempunyai kaitan rapat dengan ekonomi yang digerakkan oleh pasaran (market-driven). Di Jerman dan Perancis umpamanya, kursus kejuruteraan lebih menjurus kepada kemahiran serta praktikal berbanding teori. Lantaran itulah, kursus kejuruteraan yang dijalankan di negara terbabit lebih bercorak melahirkan juruteknologi berbanding jurutera. Respons kepada perubahan inilah yang melahirkan banyak kursus ijazah teknologi mula ditawarkan oleh banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Hujah-hujah ini adalah justifikasi kepada wajarnya aspek keperluan setempat diambil kira dalam menggubal kurikulum. Maka, saranan Timbalan Menteri Pelajaran agar penggubalan kurikulum khusus Orang Asli dan pribumi hendaklah turut mengambil kira aspek ini.

Saya yakin jika ia diambil kira, sekolah akan menjadi satu institusi ilmu yang hampir dengan masyarakat sekali gus memartabatkan guru sebagai profesional bukan sekadar di sekolah malah melewati sempadan itu.

Budaya peka cuaca boleh elak kemalangan

KEJADIAN kemalangan sebuah kereta yang merempuh enam buah motosikal yang sedang berteduh ketika hujan lebat di bawah jambatan di Putrajaya baru-baru ini seharusnya membuka mata dan minda pelbagai pihak.

Ternyata kejadian tidak diingini seperti ini tidak boleh dipandang remeh atau suratan takdir semata-mata. Menuding jari mencari salah siapa bukanlah penyelesaiannya. Berfikir dan bertindak untuk menangani masalah ini mungkin dapat menyelamatkan nyawa pada masa akan datang.

Pada hemat saya, merancang perjalanan adalah perkara yang paling penting sebelum kita memandu kereta, menunggang motosikal malah pejalan kaki juga harus merancang perjalanan mereka.

Merancang bermaksud bukan sahaja dari segi keadaan kenderaan, pemilihan jalan malah faktor cuaca juga harus diambil kira. Saya berpendapat, kita masih belum peka tentang cuaca di negara kita.

Apa yang saya cuba kongsikan adalah, kita tidak mengambil berat tentang faktor cuaca sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Walaupun kadangkala kita tidak mempunyai banyak pilihan, ternyata kepekaan kita terhadap cuaca masih rendah. Kita sedia maklum dengan keadaan iklim khatulistiwa di mana hujan dan panas sepanjang tahun tidak mengira masa. Tetapi kita langsung tidak menyediakan diri untuk perkara seperti ini.

Saya mengambil contoh di negara Jepun misalnya, ibu bapa di sana akan melihat ramalan kaji cuaca pada sebelah malam bagi menyediakan payung untuk anak mereka ke sekolah pada esoknya.

Sebab itu ada pepatah Melayu mengatakan 'sediakan payung sebelum hujan'. Pernahkah kita terfikir untuk menyediakan payung untuk anak kita ke sekolah kerana bimbang mereka akan dibasahi hujan ketika pulang pada keesokannya?

Inilah yang dinamakan pendidikan awal yang patut bermula di rumah. Walaupun informasi cuaca itu hanyalah ramalan semata-mata, tetapi saya percaya dengan teknologi yang ada sekarang. Jabatan Meterologi Malaysia sudah mampu menyediakan maklumat yang hampir tepat untuk kegunaan kita bersama. Malangnya itulah sikap kita, tidak mengambil berat tentang maklumat percuma yang disajikan setiap hari kepada kita.

Pihak media elektronik juga mampu memainkan peranan yang besar terhadap pembentukan budaya peka terhadap cuaca kepada rakyat Malaysia.

Apa yang saya lihat, informasi cuaca tidak lagi diberi penekanan yang sewajarnya. Jika dahulu ada penyampai khas untuk informasi ini, tetapi kini hanya sekadar informasi yang diiringi muzik yang menyedapkan telinga. Tiada siapa yang ingin ambil tahu, jika hujan maka basahlah. Baru kita tercari-cari di mana payung atau sibuk mencari pelindung.

Saya amat berharap media elektronik boleh mencontohi negara maju yang lain. Mereka bukan sengaja untuk mempopularkan slot ramalan kaji cuaca pada waktu berita perdana mereka. Sudah pasti ada tujuan yang lebih besar untuk itu, iaitu memupuk budaya merancang perjalanan pada hari yang berikutnya.

Marilah sama-sama kita suburkan budaya peka terhadap cuaca. Rasanya tidak rugi kalau kita mengambil sedikit masa pada waktu malam untuk menyediakan diri kita pada keesokannya.

Walaupun perkara ini nampak remeh mungkin kita dapat menghindarkan diri dari pelbagai musibah.

Jangan jadikan alasan 'kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya' membuatkan kita hanya berserah semata-mata.

Rancang dahulu baru tawakal. Insya-Allah dengan usaha kecil seperti ini dapat memberi kesan yang besar terhadap pelbagai perkara.

Carian pintas artikel blog ini

Blog lain

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Photobucket