Rancangan perhimpunan haram Bersih semalam untuk menarik sokongan sehingga 300,000 orang, tidak kesampaian.
Tidak lebih 10,000 orang menyertai perhimpunan itu berdasarkan maklumat polis, agensi-agensi berkaitan dan pemerhati bebas.
Saya mendapat tahu, penganjur Bersih dan pemimpin pembangkang termasuk Anwar Ibrahim kecewa. Mereka telah membuat persiapan luar biasa sejak dua bulan lalu tetapi kehadiran tidak menepati jangkaan.
Ia mesej jelas betapa senario di Malaysia bukanlah seperti di Mesir, Tunisia, Libya dan Syria seperti yang cuba diperlihatkan oleh Bersih.
Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada majoriti rakyat Malaysia kerana menolak Bersih, yang diketahui mempunyai agenda dan muslihat kotor.
Ini merupakan kemenangan awal kepada rakyat yang percayakan penentuan di peti undi, bukannya melalui demonstrasi haram.
Sudah tentu ucapan terima kasih yang amat istimewa ditujukan kepada pasukan polis yang bekerja keras menjamin keselamatan. Meskipun menghadapi provokasi luar biasa dan dicerca oleh penyokong Bersih, para anggota polis tetap bersabar. Malah polis memberi layanan baik termasuk makan minum dalam khemah khas ala kenduri kahwin kepada semua yang ditahan.
Saya juga tabik kepada polis kita kerana bertindak tegas menahan lebih 1,400 orang termasuk para pemimpin pembangkang, penganjur Bersih dan juga pemimpin Patriot yang menentang perhimpunan itu.
Sehingga ruangan ini ditulis, keadaan terkawal dengan baik biarpun banyak sekatan jalan terpaksa dilakukan bagi menjaga ketenteraman awam. Lebih-lebih lagi polis telah menemui senjata dan bom dalam beberapa pemeriksaan sebelum ini. Kelmarin, ada pendedahan terdapat rancangan jahat untuk menembak peserta demonstrasi haram dan kemudian menuduh ia angkara polis.
Dengan semua langkah yang diambil, syukur tiada huru-hara. Kemungkinan Kuala Lumpur dikenakan darurat dengan melibatkan peranan tentera juga dapat dielakkan.
Sekali lagi Allah telah selamatkan bumi Malaysia daripada konspirasi golongan durjana. Alhamdulillah.
Pelakon terhebat
Dengan izin Allah, hujan lebat di ibu negara petang semalam, merencatkan perancangan Bersih. Sebelum hujan pun, sebenarnya tidak ramai yang tampil. Golongan muda tidaklah seramai yang disasarkan. Kaum paling ramai seperti dijangka adalah Melayu, itupun majoritinya adalah penyokong Pas. Paling kurang adalah Cina, hanya beberapa kerat. DAP lebih bijak dalam membuat percaturan dan nampak jelas Pas dipergunakan.
Namun saya lega kerana bilangan ahli dan penyokong Pas tidaklah besar kerana masih ramai yang tidak mahu terperangkap dengan agenda Anwar Ibrahim, DAP dan Pengerusi Bersih S. Ambiga. Kepada kelompok Pas yang berkenaan, tahniah kerana mereka mengambil keputusan yang bijak dan tidak rela diperkudakan oleh anasir anti Islam.
Saya melihat ini juga sebagai kegagalan Timbalan Presiden Pas yang baru, Mohamad Sabu yang juga timbalan kepada Ambiga. Cubaan beliau membakar semangat ahli-ahli Pas kononnya menyertai perhimpunan itu menyamai angkatan tentera Rasulullah, tidak memberi kesan.
Apa pun saya berharap pihak berkuasa tidak ambil mudah. Bersih tetap menjadi ancaman keselamatan. Maka sekretariat Bersih terutama Ambiga mesti disiasat habis-habisan. Ini meliputi sumbangan dana asing yang melimpah masuk. Itu juga merupakan antara sebab mengapa beliau tetap berdegil dan tidak mahu membatalkan perhimpunan haram. Selepas dibebaskan semalam, Ambiga mendakwa perhimpunan itu berjaya.
Pada saya memang berjaya dari segi mengakibatkan kesusahan kepada orang ramai terutama kesesakan teruk jalan, menjejaskan ekonomi, menghalang rutin harian mencari rezeki dan melumpuhkan aktiviti pelancongan. Perbuatan beliau dan Anwar ternyata sabotaj kepada negara sama kesannya dengan serangan pengganas.
Sepatutnya rakyat Malaysia yang terjejas menyaman mereka di mahkamah. Anwar pula tidak akan berputus asa walaupun perhimpunan haram semalam gagal memberi impak sebagaimana di Dataran Tahrir, Kaherah. Isu skandal video seks melibatkan beliau menjadikan perhimpunan haram itu nampak kotor bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Namun waspadalah. Selagi tidak berlaku anarki untuk mengalihkan perhatian daripada skandal video seks dan perbicaraan kes liwat bermula Rabu ini, selagi itu Anwar tidak akan berhenti.
Orang yang sangat terdesak untuk menyelamatkan masa depan politik, boleh melakukan apa sahaja. Aksi itu berlaku lagi semalam. Anwar bukanlah berminat sangat mahu menyuarakan soal menuntut pilihan raya bersih. Dia lebih menghasut untuk menumbangkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan sebagaimana pernah dilakukannya. Tidak menghairankan laungan reformasi berkumandang semalam dengan berselindung atas nama Bersih.
Dalam insiden berasingan, beliau menggambarkan dirinya cedera teruk terkena tembakan gas pemedih mata. Kerana asap lehernya berbalut. Tujuan sebenar adalah bagi mendapat simpati dan perhatian media antarabangsa. Secepat kilat gambar itu dikirimkan oleh banyak agensi asing. Tidak mengejutkan. Dulu pun beliau pernah berbohong dengan menuduh kerajaan meracunnya menggunakan arsenik. Meminjam kata-kata Senator Ezam Mohd. Noor dan S. Nallakaruppan, Anwar adalah ‘pelakon’ terhebat.
Isyarat yang salah
Di Malaysia, kalau mahu mendapat perhatian istimewa rancanglah mengadakan perhimpunan haram. Biarpun rancangan itu berniat kotor, mengancam keselamatan negara dan memudaratkan rakyat, ia boleh dikompromi.
Itulah yang berlaku kepada penganjur perhimpunan Bersih. Pengerusinya, S. Ambiga mendapat ‘pengiktirafan’ sehingga dibenarkan mengadap ke Istana Negara.
Apa yang berlaku itu mengelirukan orang ramai kerana Bersih telah diisytiharkan pertubuhan haram. Banyak NGO yang tertib, bertanggungjawab, banyak jasa dan menjunjung Perlembagaan negara, terkedu. Belum tentu mereka berpeluang dengan mudah untuk diterima mengadap.
Membenarkan Ambiga ke Istana Negara ketika beliau terus keras kepala mahu mengadakan perhimpunan haram, adalah isyarat yang salah kepada rakyat.
Saya berpendapat tiada sesiapa seharusnya mengheret Istana Negara dalam situasi seperti itu. Lebih banyak negatif daripada positif.
Ia akan menjadi duluan (precedent) tidak sesuai dalam konteks politik di Malaysia yang cukup kompleks. Jika dibenarkan, selepas ini, banyak pihak mohon mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memenuhi hajat biarpun hanya mewakili kelompok kecil atau minoriti rakyat.
Selain itu, jika isu yang dibawa kepada Seri Paduka tidak selesai, ia akan mendedahkan raja kepada kritikan dan boleh menjejaskan imej institusi raja yang semua pihak perlu junjung. Keikhlasan dan keterbukaan Seri Paduka termasuk untuk membantu meredakan ketegangan akhirnya akan disalahertikan.
Pendekatan terbaik dalam mengurus keselamatan dan ketenteraman awam, ialah dengan menyerahkan kepada pihak polis sepenuhnya. Sejak era darurat pertama lagi, telah terbukti polis kita tegas, cekap dan berpengalaman menangani apa sahaja krisis. Awang sedikitpun tidak pernah ragu.
Najib dan Anwar...
Semasa Anwar Ibrahim mencaturkan perhimpunan haram Bersih dari suite sebuah hotel mewah sebelum berarak tanpa permit di jalanan, Perdana Menteri, Najib Tun Razak pula sibuk dengan agenda kerjanya. Semalam, Perdana Menteri menyempurnakan dua acara penting di Putrajaya sebelum menghadiri dua lagi majlis di Terengganu.
saya lihat Najib seperti biasa, tenang dan sedikitpun tidak melatah. Ketua pembangkang itu pula entah ke mana hilang seri wajah - makin keruh. Sedangkan air muka Najib, selalunya jernih di sebalik banyak bebanan dan tekanan tugas.
Begitulah pembawaan Perdana Menteri, yang tidak mudah terperangkap dengan percaturan dan provokasi Anwar. Lalu saya teringatkan filem Kungfu Panda 2 ketika menonton wayang bersama anak-anak, baru-baru ini. Moral daripada filem itu, ketenangan dalaman (inner peace) menjadi senjata untuk menang dalam apa sahaja persaingan. Dalam diam, Najib sudah lama berpegang kepada formula itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan