Letupan yang berlaku di kilang bunga api dan mercun, Bright Sparkles Sdn. Bhd. pada 7 Mei 1991, boleh diibaratkan seperti ‘medan perang’ yang diledakkan oleh ‘bom atom besar’.
Dalam sekelip mata, Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor tiba-tiba muncul di peta dunia apabila tragedi kebakaran kilang itu mendapat liputan besar-besaran pihak media antarabangsa.
Difahamkan, letupan itu berpunca daripada kelalaian pihak kilang yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas.
Tidak cukup dengan itu, satu per satu kisah yang terselindung di sebalik tragedi itu turut terbongkar. Paling mengejutkan, kilang itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978.
Bertitik-tolak daripada itu, sekali gus mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti mercun termasuk sempena perayaan walaupun sebelum ini ia dibenarkan.
Setakat 13 Mei tahun tersebut, seramai 23 orang dilaporkan maut berserta 83 yang lain cedera. Salah seorang yang rentung adalah ahli kimia, ‘Mr. Hong Kong’ atau Mr. Long Tai Heng, yang merupakan pengurus di kilang itu.
Apa yang pasti, anggota bomba turut menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi menyelamat kerana khuatir letupan akan berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang tersebut.
Hari ini walaupun setelah 20 tahun berlalu dan seluruh kawasan sekitar telah membangun dengan kewujudan kilang-kilang baru, namun kesan emosinya ‘masih berbekas’ kepada mangsa dan anggota keselamatan yang terlibat secara langsung dalam kejadian ngeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan