BERITA kematian seorang pelajar, Mohamad Naim Mustaqim akibat didera di Maktab Tentera Sungai Besi tentu sekali mengejutkan.
Walau apa pun siasatan yang dilakukan, pelajar tersebut telah meninggal dunia dan mereka yang bertanggungjawab wajar dihukum. Amalan kuno yang dikenali ragging ini memang kerap berlaku di sekolah atau kolej berasrama. Begitu juga pergaduhan sesama pelajar. Apa yang boleh dikatakan daripada perkara ini adalah kecuaian pihak yang menjaga maktab, kolej atau sekolah berkenaan. Saya rasa ibu bapa pelajar tersebut bukan sahaja patut membuat laporan polis tetapi wajar mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak pentadbiran maktab tersebut termasuk pegawai-pegawai mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian tersebut. Tentera dikenali atas sifat disiplin mereka tetapi nampaknya sikap kurang disiplin telah menular ke dalam maktab tentera. Kalau tindakan undang-undang tidak diambil, perkara ini akan berlaku lagi. Pelajar-pelajar yang membuli pelajar yang meninggal dunia ini bukan saja patut dibuang tetapi dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka, walaupun mereka mungkin dianggap juvenil.
Saya ingat semasa saya memasuki Institut Teknologi Mara (ITM, sekarang UiTM), 40 tahun yang lalu, sudah ada amalan
ragging di kolej atau asrama sekolah. Dahulu, semasa pelajar baru memasuki ITM, kami semuanya dibuli oleh pelajar
senior. Kononnya, diadakan minggu orientasi tetapi seminggu itu adalah minggu mendera pelajar baru lelaki atau perempuan. Kami akan dikejutkan dari tidur pada pukul 3 pagi dan disuruh memakai seluar dalam sahaja untuk turun ke tingkat bawah tempat kediaman kami semasa itu di flat Seksyen 14, Petaling Jaya (PJ). Semasa itu, asrama pelajar ITM terletak di luar kampus dan kerana itu, pelajar perlu menyewa rumah atau flat di luar dan sekitar kawasan Petaling Jaya seperti Petaling Garden, Petaling Tin, Jalan Klang, Seksyen 17 PJ dan Seksyen 14, PJ. Sabun basuh kain akan ditabur di atas simen bangunan flat tersebut dan kami disuruh berenang atas sabun tersebut. Ia satu perbuatan yang menyeronokkan pelajar-pelajar
senior. Maklumlah orang sedang sedap tidur dibangunkan dan disuruh berenang atas simen yang bersabun. Sesetengahnya tidak sedar lagi apa yang berlaku pada masa itu. Pelajar-pelajar
senior masa itu bergaya semacam gangster.
Pada satu ketika, terdapat seorang pelajar dari Sarawak yang telah dibuli berlebihan oleh salah seorang ketua pelajar
senior. Pelajar Sarawak tersebut telah berlari ke biliknya dan mengambil pedang panjang dari bawah katilnya serta mengejar ketua pelajar
senior tersebut. Memang umur ketua pelajar
senior itu panjang kerana jika tidak, sudah tentu dia hilang kepalanya pada malam tersebut.
Selain itu, pelajar
senior juga menyumbat kepala kami ke dalam lubang tandas dan dengan megah mereka mengatakan itu adalah '
royal flush'. Saya melihat mereka ini berani kerana mereka ramai dan pelajar baru belum bersatu lagi pada masa itu.
Pelajar perempuan juga tidak ketinggalan dibuli oleh pelajar wanita
senior. Mana-mana pelajar baru wanita yang cantik sikit akan teruk dibuli kononnya mereka menjadi ancaman kepada pelajar
senior wanita dari segi berebutkan pelajar lelaki. Daripada apa yang diceritakan oleh pelajar wanita yang dibuli oleh pelajar wanita
senior kepada saya, mereka juga digerakkan pada awal pagi dan disiram dengan air pancutan yang deras ke dalam alat sulit mereka.
Semua perbuatan itu kononnya untuk membuang sikap angkuh dan sombong pelajar yang baru masuk. Dari mana pemikiran itu mereka peroleh, kita tak tahulah kerana apa yang saya lihat, selepas beberapa tahun peristiwa tersebut, ketua '
ragger' lelaki pada masa itu sekarang berjalan pakai tongkat dan memakai
pacemaker untuk jantungnya, manakala ketua pelajar wanita
senior itu pula sakit teruk dan telah pun meninggal dunia. Pada saya, itulah balasan Allah SWT di atas perbuatan mereka. Pada saya juga, amalan sebegini memang patut dihentikan kerana tidak mendatangkan faedah, sebaliknya boleh mendatangkan mudarat seperti apa yang berlaku kepada Muhammad Naim.
Saya rasa, ibu bapa yang ada anak-anak mereka yang tinggal di asrama sekolah sekarang elok memantau anak-anak mereka kerana duduk di asrama ini, ada baik dan ada juga buruknya. Secara peribadi, saya tidak berasa menempatkan anak kita di asrama satu amalan yang baik. Anak perempuan saya semasa di Maktab Rendah Sains Mara di Taiping, Perak, beberapa tahun lalu selalu dipulau bersama kawan setianya kerana mereka kerap bercakap dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan pelajar di maktab tersebut bercakap dalam bahasa Melayu. Bayangkanlah, mereka dipulau kerana selalu bercakap dalam bahasa Inggeris. Inilah jenis sikap pelajar Melayu kita. Kalau seseorang pelajar tersebut tidak kuat semangat dan berani, mereka akan terpengaruh dengan kumpulan yang berfikiran picik dan jumud. Kumpulan yang begini memang wujud di asrama-asrama kita. Nasib baik bagi anak saya, dia memperoleh 'tali pinggang hitam' taekwando semasa di sekolah menengah dan sesiapa pelajar yang cuba mencari pasal dengan dia, memang menerima padahnya.
Saya menyarankan anak-anak kita diberikan latihan mempertahankan diri kerana bukan saja ini baik untuk mempertahankan diri mereka daripada perbuatan pelajar jahat dan kaki buli, malahan di sekolah menengah sendiri pun kita pernah terbaca cerita pelajar dibuli oleh beberapa orang. Selain daripada kebolehan untuk mempertahankan diri daripada pelbagai ancaman, latihan tersebut menyemai sifat disiplin dan keyakinan diri.
Para pelajar hari ini bukan lagi macam zaman dulu. Terlalu banyak pengaruh yang menjadi ikutan mereka. Media saja mengajar mereka macam-macam. Kalau panggung wayang ada sekatan bagi mereka di bawah umur 18 tahun dan tidak boleh menonton wayang berunsur ganas dan seks, mereka boleh menonton dengan membeli VCD dan DVD haram yang dijual berleluasa. Pergi saja ke mana-mana taman selera, tentu kita akan didatangi oleh mereka yang menjual bermacam jenis VCD secara haram ini, secara terang-terang.
Membimbing anak-anak pada zaman ini bukan satu perkara yang mudah. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil berat tentang apa yang berlaku terhadap anak-anak mereka. Jika boleh, periksa beg sekolah mereka kerana kita tidak tahu apa yang kita boleh jumpa di dalam beg sekolah mereka. Kalau anak-anak dipaksa memberikan duit kepada kaki buli, mereka kadang-kadang tidak berani mengadu kepada ibu bapa. Itu sebabnya walaupun anak-anak kita sudah mencapai umur 16 tahun sekalipun, kita perlu mengambil tahu apa yang berlaku dan apa kegiatan mereka.